#444: Kematian Malaikat

[ux_products auto_slide=”2000″ equalize_box=”true” ids=”5450,5042,7018,90,4039,7068,9559,10144,4198,4204,4037,4034,6562,3137,3747,3750,5585″]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah para malaikat juga mati? Bilakah mereka akan mati? Adakah semua malaikat akan mati atau ada yang terkecuali? Terima kasih.

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Malaikat adalah hamba-Nya yang tidak bermaksiat kepada Allah SWT dan selalu melaksanakan apa yang diperintahkan-Nya. Allah SWT telah menciptakan mereka dan menentukan bahawa mereka akan selalu mentaati-Nya dan beribadah kepada-Nya.

Antara mereka ada yang ditugaskan menyampaikan wahyu, ada yang ditugaskan menurunkan rezeki, ada yang ditugaskan menjaga gunung-gunung atau yang ditugaskan sebagai makluk yang selalu beribadah, solat dan tasbih serta berzikir kepada Allah SWT.

Jumlah malaikat adalah tidak terhitung banyaknya. Sabda Nabi SAW:

إِنِّي أَرَى مَا لَا تَرَوْنَ، وَأَسْمَعُ مَا لَا تَسْمَعُونَ أَطَّتِ السَّمَاءُ، وَحُقَّ لَهَا أَنْ تَئِطَّ مَا فِيهَا مَوْضِعُ أَرْبَعِ أَصَابِعَ إِلَّا وَمَلَكٌ وَاضِعٌ جَبْهَتَهُ سَاجِدًا لِلَّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku melihat apa yang tidak kalian lihat, aku mendengar sesuatu yang tidak kalian dengar. Langit merintih dan layak baginya untuk merintih. Tidak ada satu ruang selebar 4 jari, kecuali di sana ada malaikat yang sedang meletakkan dahinya, bersujud kepada Allah.”[1]

Antara ciri-ciri malaikat sepertimana disebut dalam kitab bukunya al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha oleh Syeikh Abd al-Rahman Hasan Habannakah al-Maidani ialah:

  • Ia merupakan makhluk daripada cahaya.
  • Malaikat bersama kita tetapi kita tidak dapat melihat mereka.
  • Malaikat mampu menyerupai segala sesuatu dan berubah bentuk.
  • Kekuatan dan kemampuan mereka luar biasa seperti memikul arasy dan meniup sangkakala.
  • Taat hanya kepada Allah SWT
  • Hampir kepada Allah SWT dan dimuliakan-Nya.
  • Sebagai utusan kepada para Nabi.
  • Mampu naik dan turun daripada langit ke bumi tanpa sebarang masalah.
  • Takut hanya kepada-Nya.
  • Makhluk sebelum terciptanya manusia.
  • Mempunyai sayap dua pasang, tiga pasang dan empat pasang.[2]

Kematian Malaikat

Pada asasnya, setiap makhluk akan mati dan binasa. Allah SWT berfirman:

كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ ﴿٢٦﴾ وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Maksudnya: “Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa: Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.”[3]

Imam Ibn Kathir dalam menjelaskan ayat ini menyebut: Allah SWT mengkhabarkan bahawa seluruh penghuni bumi akan pergi dan mati secara keseluruhan. Demikian juga halnya dengan penghuni langit, kecuali yang dikehendaki oleh Allah SWT.[4]

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili mentafsirkan ayat ini dengan berkata: Semua apa yang ada di bumi mulai dari manusia hingga semua makhluk hidup yang ada, begitu juga para penduduk langit kecuali makhluk yang dikehendaki oleh Allah SWT, seluruhnya akan binasa, fana dan mati. Kehidupan mereka semua akan berakhir. Tiada yang kekal kecuali hanya Zat Allah SWT yang memiliki Keagungan dan Kebesaran. Kefanaan dan kebinasaan adalah sebuah keyakinan dan hal yang pasti bagi seluruh makhluk di langit dan bumi pada hari Kiamat.[5]

Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan ayat ini menukilkan bahawa Ibn Abbas R.Anhuma berkata:

لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ قَالَتِ الْمَلاَئِكَةُ : هَلَكَ أهْلُ الأَرْضِ. فَأَنْزَلَ اللهُ تَعَالَى : { كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ إِلاَّ وَجْهَهُ } فَأَيْقَنَتِ الْمَلاَئِكَةُ بالْهَلاَكِ

Maksudnya: Tatkala turun ayat ini (كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ), malaikat berkata, “Binasalah penduduk bumi.” Lalu turunlah ayat “كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجْهَهُ”, maka malaikat pun yakin dan sedar bahawa mereka juga fana’ dan akan binasa.[6]

Sesungguhnya para malaikat juga akan mengalami kematian dan inilah pendapat majoriti ulama. Imam al-Munawi telah menukilkan ijma’ tentang perkara dalam kitabnya Faidh al-Qadir.[7]

Allah SWT berfirman dalam ayat lain:

كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجْهَهُ

Maksudnya“Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah.”[8]

Imam al-Tabari menjelaskan, sebahagian ulama’ menyebut, makna ayat ini adalah segala sesuatu itu pasti binasa kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.[9]

Imam Ibn Kathir berkata, firman Allah SWT “كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجْهَهُ” ini mengkhabarkan bahawa sesungguhnya Allah SWT itu adalah Zat yang kekal (الدائم), tetap (الباقي), hidup, yang berdiri dengan sendiri-Nya, yang mematikan makhluk-Nya dan Zat yang tidak akan mati. Ini seperti yang ditegaskan Allah SWT pada ayat “كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ ﴿٢٦﴾ وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ”. Perkataan “وَجْهُ” di sini bermaksud Zat iaitu Allah.[10]

Allah SWT turut berfirman:

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ

Maksudnya: “Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya).”[11]

Imam Ibn Kathir menjelaskan: “Tiupan ini adalah tiupan yang kedua, iaitu tiupan kematian di mana penghuni langit dan bumi yang hidup akan mati, kecuali mereka yang dikehendaki oleh Allah. Ini sebagaimana telah disebut penegasan dan pentafsirannya dalam hadis sangkakala yang masyhur. Kemudian baki ruh-ruh makhluk-Nya digenggam, sehingga makhluk yang mati paling akhir adalah malaikat Maut. Dan tinggallah Rabb Yang Maha Hidup (الحي) lagi Maha Berdiri sendiri (القيوم), yang Maha Awal dan Dia juga Yang Maha Kekal pada akhirnya selama-lamanya.

Dia berfirman: “لِّمَنِ الْمُلْكُ الْيَوْمَ” (Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini?) (Surah Ghafir: 16). Dia berfirman sebanyak tiga kali, lalu Dia sendiri yang menjawabnya secara langsung dengan firman-Nya: “لِلَّـهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ” (Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya!) (Surah Ghafir: 16). Yakni, Dia-lah yang Maha Esa. Sesungguhnya Dia telah mengatasi segala sesuatu dan telah memutuskan kebinasaan atas segala sesuatu. Kemudian makhluk yang pertama kali dihidupkan kembali adalah Israfil yang diperintahkan untuk meniup sangkakala kali ketiga sebagai tiupan kebangkitan.[12]

Imam al-Suyuti di dalam kitab al-Haba’ik fi Akhbar al-Mala’ik berkata: “Aku ditanya: ‘Adakah para malaikat akan mati ketika tiupan sangkakala?’ Jawabnya: Ya. Allah SWT berfirman: “وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ” (Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah).

Kami (Imam al-Suyuti) telah jelaskan bahawa yang dikecualikan adalah Malaikat Pembawa Arasy, Jibril, Israfil, Mikail dan Malaikat Pencabut Nyawa, mereka semua akan mati setelah itu. Dan telah disebutkan daripada Wahb bin Munabbih bahawa malaikat-malaikat tersebut adalah makhluk yang pertama kali diciptakan dan yang terakhir dimatikan serta yang pertama kali dibangkitkan. Kemudian dikuatkan perkataannya tersebut dengan nas (dalil) akan kematian penduduk langit dan bumi, sehingga malaikat Jibril, Israfil, pembawa Arasy kemudian yang terakhir adalah malaikat pencabut nyawa.”[13]

 

Siapakah yang Dikecualikan oleh Allah daripada Menerima Kematian Ketika Tiupan Sangkakala?

Para ulama’ telah khilaf, siapakah yang dikecualikan oleh Allah kepada beberapa pendapat:

  • Imam Ahmad berpendapat, mereka yang di dalam syurga dari kalangan bidadari dan al-wildan. Sebahagian muridnya menambah, penjaga syurga iaitu Ridhwan dan penjaga neraka, iaitu Malik.
  • Muqatil dan sebahagian ulama’ berpendapat, mereka adalah Jibril, Mika’il, Israfil dan Malakul Maut. Sebahagian mereka menambah, malaikat yang menanggung Arasy.
  • Abu al-Abbas al-Qurtubi memberi pendapat yang berlainan dengan katanya: “Dikehendaki (dengan yang dikecualikan ialah) semua orang yang telah mati kerana mereka tiada kesan dan rasa. Justeru, mereka tidaklah ada lagi kematian ketika itu.”

Tarjih: Imam al-Qurtubi berpendapat dengan menukilkan pandangan gurunya Abu al-Abbas, bahawa yang sahih adalah tiada sebarang nas yang sahih yang menentukan mereka yang terselamat daripada tiupan sangkakala dengan kebinasaan. Semua nas menunjukkan sifat muhtamal (andaian).[14]

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas-nas yang dinyatakan, dapat difahami bahawa semua malaikat juga akan mengalami kematian selepas tiupan sangkakala kali kedua. Malaikat terakhir yang akan dimatikan disebut sebagai Malaikat Maut yang mencabut nyawa.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوْءِ الْخَاتِمَةِ

MaksudnyaYa Allah sudahilah (matikanlah) bagi kami dengan sebaik-baik kesudahan dan janganlah Engkau tamatkan ke atas kami dengan seburuk-buruk kesudahan. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 9 Februari 2022 bersamaan 7 Rejab 1443H

 

[1] Riwayat al-Tirmizi (2312), Ibn Majah (4190) dan Ahmad (21516). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menilai hadis ini sebagai hasan li ghairihi dalam takhrij al-Musnad (21516)

[2] Lihat al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha, oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman Hasan Habannakah al-Maidani, hlm. 235-240

[3] Surah al-Rahman (26-27)

[4] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/110

[5] Lihat al-Tafsir al-Munir, 14/243

[6] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran17/165 dan al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Tafsir al-Quran9/182

[7] Lihat Faidh al-Qadir, 3/561..

[8] Surah al-Qasas (88)

[9] Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 6/53

[10] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/403

[11] Surah al-Zumar (68)

[12] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/69

[13] Lihat al-Haba’ik fi Akhbar al-Mala’ik, hlm. 91

[14] Lihat al-Tazkirah oleh Imam al-Qurtubi, hlm. 167

[ux_product_categories auto_slide=”2000″]

Latest articles

Related articles