Kenanganku Bersama Syeikh Sadiq Habannakah

Pengenalan Zul dengan Syeikh Sadiq Habannah al-Maidani, iaitu saudara kandung kepada Syeikh Hasan Habannakah memberikan Zul satu gambaran yang lebih luas dalam memahami fiqh Mazhab Syafie. Kemasyhurannya dalam Fiqh Syafie tidak dipertikaikan lagi sehingga penduduk Syam menganggap beliau sebagai Syeikhul Islam bagi mazhab Syafie. Beliau mewarisi keilmuan saudaranya, Syeikh Hasan Habannakah.

Nama sebenar beliau adalah Sadiq bin Marzuq bin Arabi bin Ghunaim Habannakah. Beliau dilahirkan di Maidan, Damsyik pada tahun 1918. Ayahnya merupakan seorang yang dihormati para ulama’ Syam kerana kebaikan dan ketakwaannya, begitu juga ibunya. Isteri Syeikh yang pertama dikahwini pada tahun 1938 dan isteri keduanya dikahwini pada tahun 1958. Kedua-duanya juga dikenali sebagai Muslim yang solehah.

Antara gurunya adalah Syeikh Muhammad Salim al-Labani, Syeikh Mahmud al-‘Aqqad dan Syeikh ‘Ali al-Daqqar. Gurunya yang banyak mempengaruhi dan memberi kesan dalam hidupnya adalah abangnya sendiri, al-Allamah Syeikh Hasan Habannakah. Disamping bertugas sebagai pengajar di madrasah, beliau juga mengajar di Masjid Manjak. Masjid Manjak adalah masjid yang dibina pada awal abad ke-15 pada era Dinasti Mamluk di bawah pemerintahan Nasruddin Mohammed, cucu Saifuddin Manjak, Gabenor Mamluk. Tarikan utama Masjid Manjak adalah menara asalnya yang masih utuh, yang dikelilingi dataran masjid. Menara ini dibina dalam bentuk empat segi dengan balkoni kayu dan hiasan yang ringkas.

Masjid Manjak

Kelebihan Syeikh dalam ilmu diakui oleh rakan sezamannya apabila beliau sering menggantikan guru-guru yang tidak hadir bagi subjek yang sukar seperti Mantiq dan Saraf. Kebanyakan murid-muridnya menjadi para ulama’ yang terkenal dan hebat antaranya Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti, Syeikh Dr. Mustafa al-Bugha dan Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili. Kelas Syeikh di Masjid Manjak sentiasa dipenuhi para ulama’, pelajar Arab dan bukan Arab, begitu juga orang awam. Pengajiannya yang sentiasa diselitkan dengan gurauan, dan diselang selikan dengan syair menyegarkan hadirin yang memenuhi Masjid Manjak. Kebiasaannya Zul akan mengayuh basikal daripada rumah sewanya ke Masjid Manjak atau ke rumah Syeikh. Kitab al-Iqna’ dan Kifayatul Akhyar dibawanya bersama dalam beg galas. Sesekali, Syeikh akan mengajarkan Tafsir al-Khazin, Tafsir al-Baidhawi dan al-Jami’ al-Saghir. Disamping pengajian di masjid, biliknya di masjid, dan rumahnya, beliau juga menyampaikan ceramah kepada masyarakat awam menggunakan kitab Sifat al-Safwah di rumah abangnya, Syeikh Hasan Habannakah.

Syeikh Hasan Habannakah

********************

Insya-Allah pada malam ini, kita akan memulakan pengajian kitab al-Minhaj, pada Bab Bad’i al-Azan. Syeikh Rushdi, sila bacakan.”, kata Syeikh Sadiq Habannakah.

قَالَ أَهْلُ اللُّغَةِ الْأَذَانُ الْإِعْلَامُ قَالَ اللَّهُ تعالى وأذان من الله ورسوله وقال تعالى فأذن مؤذن وَيُقَالُ الْأَذَانُ وَالتَّأْذِينُ وَالْأُذَيْنُ قَوْلُهُ (كَانَ الْمُسْلِمُونَ يَجْتَمِعُونَ فَيَتَحَيَّنُونَ الصَّلَاةَ) قَالَ الْقَاضِي عِيَاضٌ رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى مَعْنَى يَتَحَيَّنُونَ يُقَدِّرُونَ حِينَهَا لِيَأْتُوا إِلَيْهَا فِيهِ وَالْحِينُ الْوَقْتُ مِنَ الزَّمَانِ قَوْلُهُ (فَقَالَ بَعْضُهُمْ اتَّخِذُوا نَاقُوسًا) قَالَ أَهْلُ اللُّغَةِ هُوَ الَّذِي يَضْرِبُ بِهِ النَّصَارَى لِأَوْقَاتِ…

Syeikh membetulkan silanya dan memulakan huraiannya. “Semasa peringkat awal sebelum adanya syariat azan, umat Islam berkumpul dan berbincang untuk menentukan kaedah terbaik untuk memanggil umat Islam menunaikan solat. Ada yang mencadangkan dibunyikan loceng sebagaimana agama Kristian. Ada yang mencadangkan ditiup shofar, sejenis tanduk yang ditiupkan pada perayaan Yom Kippur dan Rosh Hashanah dalam agama Yahudi. Umar mencadangkan dipilih seorang lelaki untuk menyeru orang ramai menunaikan solat. Maka, Rasulullah SAW pun memerintahkan Bilal untuk melaungkannya.”

Pengajian khusus di rumahnya dan di bilik khas beliau di Masjid Manjak, dihadiri para ulama’ seperti Syeikh Qasim al-Nuri, Syeikh ‘Abd al-Halim Abu Sya’r, Syeikh Rusydi Qalam, Syeikh Umar al-Sawwah, Syeikh Riyadh Khattab dan Syeikh Dhiya’ Khattab. Syeikh selalunya akan membacakan kitab al-Minhaj dan Syarh al-Asymuni ‘ala Alfiyah ibn Malik fi al-Nahwi. Selepas mensyarahkannya, Syeikh akan membuka peluang kepada para ulama’ lain untuk memberikan pandangan dan akhirnya, akan disimpulkan oleh beliau sendiri. Sesekali, Zul ikut serta dalam pertemuan tertutup itu untuk mengambil manfaat daripada setiap butiran mutiara para ulama’ yang hadir.

“Pensyariatan azan walaupun daripada mimpi para sahabat mengikut sebahagian riwayat tetapi ianya tidak bercanggah dengan riwayat yang lain. Ini kerana apabila diberitakan kepada Rasulullah SAW makanya, Baginda SAW mengiyakannya. Dan pengakuan Rasulullah SAW termasuk dalam hadith Nabi SAW sementelahan lagi telah dibentangkannya kepada Baginda SAW.”

Zul mencatat setiap pandangan para ulama’ yang hadir di dalam buku notanya. Sebagaimana kebiasaan, semua para ulama’ bersetuju dengan kesimpulan Syeikh tanpa sebarang bantahan. Itulah kehebatan Syeikh yang dikagumi para ulama’ yang sezaman dengannya.

Setiap hari, jadualnya penuh dengan halaqah ilmu bermula dengan kuliah Subuh bersama para pelajar Arab dan bukan Arab, kuliah siang hari di mana Syeikh Ratib al-Nabulsi – doktor perubatan yang juga keturunan ulama dan khatib di Masjid Ibn Arabi – menjadi pembacanya. Jadual kuliahnya diakhiri dengan kuliah selepas ‘Isyak. Pada setiap hari Selasa selepas ‘Isyak, beliau akan membacakan kitab Manhaj al-Qatr iaitu ringkasan kepada Qatrunnada oleh Ibn Hisyam, seterusnya Syarah Qatrunnada, Syarah Syuzur al-Zahab, Audhah al-Masalik dan lain-lain. Manakala setiap kali kuliah ‘Isyak pada hari Ahad dan hari Rabu, beliau akan mengajar Tafsir dan Fiqh.

Pengajian umum dijalankan selepas solat Isyak pada hari Sabtu, Isnin, dan Khamis dan selepas terbit matahari setiap hari Jumaat. Antara kitab yang digunakan adalah Umdat al-Salik. Syeikh ada sebuah bilik di masjid di mana beliau bersama anak-anak muridnya termasuk Zul mendalami kitab Kifayatul Akhyar selepas solat Isyak pada setiap hari Khamis. Pengajian itu kemudiannya berpindah ke anjung masjid. Pada hari Sabtu selepas solat ‘Isyak, Syeikh akan mengajar Muamalat, kitab Fath al-Mu’in, Tuhfah al-Tullab dan al-Iqna’.

Masjid Manjak

Selepas selesai pengajian kitab al-Iqna’, Syeikh Sadiq Habannakah memanggil Zul. “Zulkifli, datang ke sini.”. Zul terpinga-pinga kerana secara tiba-tiba Syeikh memanggilnya. Beliau segera bangun, menghampiri Syeikh dan duduk di depan beliau. Syeikh tersenyum dan mengeluarkan 100 Lira daripada poket jubahnya. “Ambillah. Untuk belanja seharian kamu.”. Syeikh memasukkan not kertas itu dalam poket bajunya.

“Minggu depan, kamu datang ke rumah aku selepas solat sunat Hari Raya. Aku adakan sedikit jamuan.”, pesan Syeikh kepada Zul sebelum beliau pulang. Zul masih lagi merasakan seolah-olah dirinya bermimpi.  Sudahlah dapat 100 Lira, Syeikh jemput beraya di rumah lagi!

********************

Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Syria amat meriah, namun sudah pastinya Malaysia jauh lebih meriah. Beberapa hari sebelum 1 Syawal, orang ramai membeli baju di al-Mazzeh sebelum Hari Raya Aidilfitri. Selesai solat sunat hari raya, Zul dan Hazman bergegas ke rumah Syeikh Saddiq dengan menaiki basikalnya.

Sampai di sana, sudah ramai yang memenuhi rumahnya. Dalam ramai tetamu yang hadir, cuma Zul dan Hazman anak muda Melayu yang “sesat” dalam kumpulan besar masyarakat Arab Syria. Sebuah meja tembaga besar diletakkan di tengah-tengah ruang tamu rumah Syeikh. Ada nasi dan seekor kambing panggang di dalamnya. Ada semangkuk besar salatah di sebelahnya. Ada pelbagai jenis lauk pauk tradisional Syria termasuk manisan yang dihidangkan. Ada Shir Khurma, Kimami Sewaiyan, roti manis Shirmal yang boleh dimakan bersama Nihari, Firni dan pelbagai jenis lagi juadah. Memang rambang mata Zul dan Hazman pagi tersebut!

Syeikh sibuk melayan tetamu yang hadir dan sesekali melihat Zul sambil tersenyum. Zul melihat tetamu keluar masuk sambil menikmati makanan yang disediakan. Satu persatu dirasanya. “Mende wojik cube. Dop juppe di Tranung ning…”, bisik Zul sendirian. Sambil makan, beliau agak hairan melihat tetamu yang datang bersamanya keluar secara berkumpulan dan datang tetamu lain pun secara berkumpulan. Apabila kumpulan pertama selesai menjamu selera, mereka akan keluar dan hadir pula kumpulan lain. Pada satu-satu masa, Zul perasan hanya ada lima kumpulan di ruang tamu. Namun, ia diabaikan kerana beranggapan mereka memang hadir secara berkumpulan.

Hazman menyiku Zul dan berbisik. “Zul. Ana wase kite doh saloh pahang budaye sini. Kalu mung perati, grup hok maghi dengang kite doh kelik lame doh. Itu grup pertame. Habih makang, grup tu kelik. Grup kedue tu jadi grup pertame. Ye makang pulop. Masuk grup baru, tunggu situ.  Satu mase ade lime grup je. Kite ning bahang segheme makanang dari awal tadi. Brape round doh? Dari pagi pah ke tengahari.Hehehe…”

“Alamok. Betul jugak enta cakak. Boleh dah kite beransur. Malu jugop. Hihihi…”, Zul ketawa kecil. Mereka bergegas membasuh tangan dan mengucapkan terima kasih kepada Syeikh atas layanan yang diberikan. Merah padam muka Zul dan Hazman menahan malu apabila dipandang oleh semua tetamu yang hadir. Sepanjang perjalanan pulang, keduanya ketawa besar setelah menyedari tersalah dalam memahami budaya Hari Raya Aidilfitri di Syria. “Zul, enta kena ingat. Kite di Damsyik, bukan Kuale Ganu! Hahaha…”, kata Hazman kepada Zul.

Anak-anak kecil Syria yang sedang bermain di tepi jalan, memerhatikan kedua-dua anak muda Melayu tersebut yang tidak habis-habis dengan ketawa mereka sehinggalah mereka hilang daripada pandangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *