Dia bernama Abu Ishaq Muhammad bin Ar-Rasyid bin Al-Mahdi bin Al-Mansor. Lahir tahun 179 H/795 M. Ibunya seorang ummu walad yang bernama Maridah.

Selama kekhalifahan Al-Makmun, Al-Mu’tasim merupakan gabenor wilayah Syam dan Mesir. Ia diangkat oleh Khalifah Al-Makmun sebagai putera mahkota pada hari meninggalnya. Selepas itu, al-Mu’tasim dibaiah menjadi khalifah pada bulan Rejab 218 H / Ogos 833 M hingga wafatnya di Kota Samara pada 18 Rabi’ul Awwal 227 H/ 8 Januari 842 M.

Ibnu Atsir meriwayatkan pada zaman pemerintahan al-Mu’tasim, terjadinya serangan tentara Romawi yang sangat bengis dan kejam. Mereka membunuh semua lelaki, menawan para wanita dan kanak-kanak serta mencukil mata mereka, kemudian memotong hidung dan telinga mereka. (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh. Jilid VI, hlm. 479) Setelah memasuki wilayah kekuasaan Islam, mereka bertindak sesuka hati dengan bongkak. Seorang wanita (keturunan Hasyim) yang merupakan tawanan tentera Romawi diganggu oleh orang Yahudi, lalu berteriak memanggil, “Wahai al-Mu’tasim, wahai al-Mu’tasim.”

Kejadian itu dilihat oleh seorang lelaki tua. Lantas, dia musafir menuju ke kota Baghdad dan menyampaikan peristiwa yang berlaku di hadapan matanya dan penghinaan yang dilakukan oleh orang Yahudi tersebut. Ketika itu, Khalifah Mu’tasim mendengar dengan teliti di atas singgahsananya. Dengan matanya yang merah berair, tangannya digenggam menahan kemarahan seraya bangun dan berkata: “Labbaiki ya ummah,” yang memberi maksud, wahai ibuku, Mu’tasim pasti datang.

Baginda segera bertindak menghantar tentera beliau untuk menyahut panggilan wanita tersebut dan menyelamatkannya.

Khalifah Al-Mu’tasim mempersiapkan bala tenteranya dan melancarkan jihad ke atas Rom. Di dalam Tarikh al-Khulafa’, Imam Sayuti menulis bahawa 3,000 tentera Rom telah terkorban dan 30,000 yang lain ditawan di dalam peperangan ini.

Sebelum berangkat, terlebih dahulu dia menanyakan kepada tenteranya, “Kota Romawi yang manakah yang paling kuat dan kukuh?” Pertanyaan beliau itu dijawab oleh tenteranya, “Amuriyah (Amorium).” Ini kerana kota tersebut belum pernah berjaya ditakluki semenjak zaman Islam. Kota tersebut merupakan pusat orang-orang Nasrani, kota yang mereka paling banggakan, kerana kota tersebut merupakan tempat kelahiran Theopilus. (Lihat Mausu’ah al-Tarikh al-Islam. Jilid III. Cet. VI, hlm 266)

Selepas melakukan segala persiapan, Khalifah al-Mu’tasim dan tenteranya menyerang kota tersebut dan Theopilus pun tidak dapat bertahan lama di kota itu. Dia mengundurkan diri dari pertempuran tersebut dan masuk ke benteng Amorium. 

Benteng itu dikepung dan diserang dengan pelbagai serangan dan peralatan perang sehingga mereka menyerah. (Lihat Sejarah Daulat Abbasiyah. Jilid I. Cet. I. J, hlm 227) Menurut Muhyiddin al-Khayyat, korban dari pihak Theopilus sekitar 90,000 orang. Al-Mu’tasim pun memerintahkan agar benteng kota yang dianggap kukuh dan suci itu — yang terletak di wilayah Galatia— supaya dihancurkan dan dimusnahkan. Sehingga ke hari ini, kota itu hanya tinggal serpihannya saja. Dalam pertempuran itu, Al-Mu’tasim dibantu oleh dua panglimanya yang terkenal, iaitu Afsyin Asynas dan Itakh. (Lihat  Tarikh al-Syu’ub al-Islamiyah, hlm. 228—240.)

Al-Mu’tasim jatuh sakit dan melakukan rawatan bekam pada awal Muharram 227 H/Oktober 841 M yang dilakukan oleh doktor peribadi baru, Yahya bin Masawaih, setelah wafatnya doktor peribadi beliau ayng sebelumnya, Salmawaih bin Bunan. Setelah itu penyakitnya semakin parah dan akhirnya wafat pada Rabiul Awwal 227 H/Disember 841 M dalam usia 48 tahun.

Semoga akan lahir Mu’tasim kedua dalam membela Islam dan agamanya. Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *