#30 Lembapan Pada Kemaluan Selepas Bersetubuh Terkena Cadar

SOALAN

Maaf sekiranya soalan ini kurang sopan. Selepas bersetubuh, zakar suami saya yang masih basah terkena cadar. Sebelum menunaikan solat subuh, suami duduk di atas cadar tadi bersama pakaian solat. Apakah hukum pakaian solat tersebut?

JAWAPAN

Imam al-Nawawi menyatakan air mani keluar ketika kemuncak syahwat serta mengakibatkan kepenatan. Adapun air mazi keluar ketika seseorang dalam keadaan syahwat, tidak mengakibatkan kepenatan.[1]

Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani mendefinisikan air mazi sebagai air yang berwarna putih jernih, halus dan melekit, keluar ketika bangkitnya permulaan syahwat atau ketika bergurau senda bersama isteri dan menciumnya. Ia keluar tanpa memancut dan tidak diiringi dengan lembiknya zakar, kadang-kadang ia keluar tanpa disedari. Ia adalah najis dan jika terkena pada pakaian maka tidak boleh dibawa untuk bersolat dan perlu dibersihkan. Namun begitu, keluarnya air mazi tidak memerlukan seseorang untuk mandi wajib[2]

Diriwayatkan daripada Sahl bin Hanif, beliau berkata:

كُنْتُ أَلْقَى مِنَ الْمَذْىِ شِدَّةً وَعَنَاءً فَكُنْتُ أُكْثِرُ مِنْهُ الْغُسْلَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَسَأَلْتُهُ عَنْهُ فَقَالَ ‏”‏ إِنَّمَا يُجْزِئُكَ مِنْ ذَلِكَ الْوُضُوءُ ‏”‏ ‏.‏ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ بِمَا يُصِيبُ ثَوْبِي مِنْهُ قَالَ ‏”‏ يَكْفِيكَ أَنْ تَأْخُذَ كَفًّا مِنْ مَاءٍ فَتَنْضَحَ بِهِ ثَوْبَكَ حَيْثُ تَرَى أَنَّهُ أَصَابَ مِنْهُ

Maksudnya: “Aku merasa letih dan payah kerana sering mandi disebabkan keluarnya mazi, lalu aku adukan hal itu kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda, “Cukuplah engkau berwudhu”. Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana dengan mazi yang terkena pada pakaianku? Baginda menjawab, “Cukuplah engkau mengambil air setapak tangan, lalu engkau siramkan pada pakaian yang terkena itu.[3]

Pun begitu, terdapat pengecualian dalam hal yang sukar dielakkan. Antaranya, lembapan yang ada pada zakar suami atau di kemaluan isteri semasa bersetubuh. Lembapan itu dimaafkan walaupun bercampur dengan najis seperti air mazi. Lembapan faraj adalah cairan putih jernih yang diragukan  sama ada sifatnya  antara  mazi dan peluh.[4] Cecair ini keluar daripada kawasan faraj yang zahir apabila wanita duduk mencangkung. Kawasan zahir faraj adalah kawasan yang sampai had zakar ketika bersetubuh mengikut pendapat yang paling sahih.[5]

Secara asasnya para ulama’ Syafi’iyyah berbeza pandangan samada lembapan faraj itu suci atau tidak. Namun, menurut al-Baghawi dan al-Rafi’e, yang sahih adalah suci. Al-Mawardi juga menyatakan, Imam al-Syafi’e menegaskan dalam sebahagian kitab-kitabnya akan kesucian lembapan faraj.[6] Syeikh ‘Abu Bakr Uthman bin Muhammad Syata al-Dimyathi al-Bakri menyebutkan, “Iaitu [tidak wajib dibasuh] lembapan faraj. Samada ia suci atau najis kerana ia adalah termasuk kategori kedua [najis] yang dimaafkan padanya. Ia tidak menajiskan apa yang disebut itu [kemaluan pasangan yang bersetubuh, telur dan bayi yang baharu lahir].[7] Pandangan ini juga disokong oleh Syeikh Sulaiman bin Umar bin Mansur al-‘Ujaili dengan katanya, lembapan yang keluar di kawasan faraj yang wajib dibasuh (kawasan faraj yang zahir ketika mencangkung atau had zahir faraj), tidak menajiskan zakar ketika bersetubuh kerana ia dihukumkan suci.[8]

Justeru, zakar suami yang basah dan terkena cadar, tidaklah menyebabkan cadar tersebut bernajis. Pakaian solat itu juga tidak dikira bernajis. Adapun jika khuatir ada kemungkinan air mazi terkena pada cadar, boleh dibasuh kawasan berkenaan sebagai keluar daripada khilaf. Keringanan ini tidak terpakai jika lembapan itu daripada perzinaan atau melancap kerana kaedah fiqh menyebutkan:

الرخص لا تناط بالمعاصي

Maksudnya: “Keringanan/kelonggaran tidak boleh diambil untuk perkara maksiat.”

Wallahu a’lam.

[1]  Al-Majmū Sharḥ al-Muhadhdhab, 2/141.

[2]  Matlaʿ al-Badrayn wa Majmaʿ al-Bahrayn, 1/85.

[3] Riwayat al-Tirmizi, no. 115.

[4] Al-Majmū Sharḥ al-Muhadhdhab, 2/570. 

[5] Ḥashiyah al-Bujayrimī ‘ala al-Khāṭib, 1/108.

[6] Al-Majmū Sharḥ al-Muhadhdhab, 2/570

[7] Iʿānat al-Ṭālibīn, 1/104.

[8] Ḥāshiyah al-Jamal ʿalā Sharḥ al-Minhaj, 1/178.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *