#600: Melakukan Solat Sunat Berjemaah

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tentang hukum melakukan solat sunat secara berjemaah? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat sunat merupakan antara amalan atau ibadat yang dituntut oleh syara‘ untuk dikerjakan. Solat-solat sunat yang dianjurkan tersebut juga menjanjikan fadhilat dan ganjaran yang tersendiri. Antaranya adalah, ia mampu menambah atau menampung kekurangan dalam solat fardhu seseorang. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاَتُهُ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَـابَ وَخَسِرَ، فَإِنِ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيْضَةٍ شَيْئًا، قَـالَ الرَّبُّ تَبَـارَكَ وَتَعَالَى: اُنْظُرُوْا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ، فَيُكَمَّلُ بِهِ مَا انْتَقَصَ مِنَ الْفَرِيْضَةِ ثُمَّ يَكُوْنُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى نَحْوِ ذَلِكَ.

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan yang pertama kali dihisab daripada seorang hamba pada hari Kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka beruntung dan selamatlah dia. Namun, jika rosak, maka rugi dan celakalah dia. Jika dalam solat fardhunya ada yang kurang, maka Rabb Yang Maha Suci dan Maha Mulia berfirman: ‘Lihatlah, adakah hamba-Ku memiliki solat sunat.’ Jika dia memiliki solat sunat, maka solat fardhunya disempurnakan oleh solat sunat tadi. Kemudian dihisablah seluruh amalan wajibnya sebagaimana tadi.”[1]

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji[2] ketika menjelaskan berkenaan solat-solat sunat atau solat nafal menyebut: Perkataan nafal (النَّفَلُ) dari segi bahasa bererti tambahan. Manakala pada istilah ialah solat lain solat fardhu. Ia dinamakan demikian kerana solat tersebut adalah tambahan  kepada solat fardhu. Solat ini juga disebut sunat, mandub atau mustahab.

Solat sunat terbahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian tidak sunat dilakukan secara berjemaah dan satu bahagian lagi sunat dilakukan secara berjemaah.

Berkenaan solat yang tidak sunat dilakukan secara berjema’ah, ia boleh dibahagikan kepada dua, iaitu solat yang mengiringi solat-solat fardhu, dan solat sunat yang tidak mengikut solat fardhu.

Pertama: Solat sunat mengiringi solat fardhu.

Solat sunat yang mengiringi solat fardhu terbahagi kepada dua iaitu sunat muakkad dan sunat yang tidak muakkad. Solat sunat muakkad ialah solat sunat dua rakaat sebelum solat fardhu Subuh, dua rakaat sebelum dan selepas solat fardhu Zuhur, dua rakaat selepas solat fardhu Maghrib dan dua rakaat selepas solat Isya’. Solat yang paling muakkad antara semua solat sunat tersebut ialah dua rakaat solat Fajar.[3]

Kedua: Solat yang Tidak Mengiringi Solat Fardhu

Solat sunat ini juga terbahagi kepada dua, iaitu solat sunat yang ditentukan namanya serta mempunyai waktu yang tertentu, dan solat sunat mutlaq yang tidak ditentukan nama dan waktunya.

Solat sunat yang ditentukan namanya serta mempunyai waktu yang tertentu adalah seperti berikut:

  • Solat Tahiyyatul Masjid. Tahiyyatul Masjid ialah solat dua rakaat yang dilakukan oleh setiap orang yang masuk ke dalam masjid sebelum dia duduk.
  • Solat Solat witir ialah sunat muakkad.[4] Ia dinamakan demikian kerana ditamatkan dengan satu rakaat, dan berbeza dengan solat yang lain. Sekurang-kurang solat Witir ialah satu rakaat, tetapi makruh melakukannya satu rakaat sahaja. Sekurang-kurang sempurna solat Witir ialah tiga rakaat, iaitu melakukannya secara dua rakaat bersambung dan satu rakaat lagi berasingan. Sementara yang paling sempurna adalah melakukannya sebanyak sebelas rakaat dengan mengucap salam selepas setiap dua rakaat dan diakhiri dengan satu rakaat.
  • Qiamullail[5] ialah solat malam yang dinamakan Tahajjud jika dilakukan selepas tidur. Ini kerana perkataan Tahajjud bererti meninggalkan tidur. Qiamullail ialah solat sunat yang tidak ditentukan bilangan rakaatnya dan dilakukan selepas terjaga daripada tidur sebelum azan Subuh.
  • Solat Sekurang-kurang solat Dhuha ialah dua rakaat, dan yang lebih sempurna ialah lapan rakaat. Cara yang afdhal melakukan solat tersebut ialah dengan memisahkan setiap dua rakaat.
  • Solat Solat Istikharah ialah solat sunat sebanyak dua rakaat[6] yang boleh dilakukan pada waktu-waktu yang tidak makruh.[7] Solat ini sunat dilakukan oleh sesiapa yang menginginkan sesuatu perkara yang harus sedangkan dia tidak mengetahui kebaikan perkara tersebut. Selepas bersolat Istikharah, sunat berdoa dengan doa yang ma’thur. Jika Allah SWT melapangkan dadanya untuk melakukan perkara itu selepas mengerjakan solat tersebut maka lakukanlah, dan jika sebaliknya janganlah melakukannya.

Manakala berkenaan solat sunat mutlaq yang tidak ditentukan nama dan waktunya, ia boleh dilakukan sebanyak mana yang dikehendaki dan pada bila-bila masa yang tidak makruh bersolat. Hal ini berdasarkan hadith, Nabi SAW bersabda kepada Abu Dzar RA:

الصَّلاَةُ خَيْرُ مَوْضُوْعٍ اسْتَكْثِرْ أَوْ أَقِلَّ

Maksudnya: Solat adalah sebaik-baik amalan. Justeru, lakukanlah sebanyak-banyaknya atau sekurang-kurangnya.[8]

Ketika melakukanlah solat Mutlaq, sunat mengucap salam setiap kali selesai dua rakaat sama ada dilakukan pada waktu malam atau siang hari.

 

Solat yang Sunat Dilakukan Secara Berjema’ah

Semua solat sunat yang telah disebutkan tidak sunat melakukannya secara berjemaah. Manakala solat sunat yang sunat berjemaah ialah solat sunat dua Hari Raya, solat Tarawih, solat Gerhana Matahari dan Bulan serta solat Minta Hujan (Istisqa’).[9]

Isu Solat Sunat Berjemaah

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Di dalam nas-nas syarak, di sana terdapat beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa solat sunat pernah dilakukan secara berjamaah pada zaman Rasulullah SAW. Antara contohnya adalah seperti solat gerhana bulan atau gerhana matahari, solat istisqa’ iaitu solat minta hujan, serta qiyam Ramadhan.

Para fuqaha mengatakan bahawa berjemaah ketika solat gerhana adalah sunnah. Fuqaha al-Syafieyyah dan al-Hanabilah berpendapat bahawa kedua-duanya adalah sunnah di antara gerhana bulan dan juga gerhana matahari untuk dilakukan secara berjamaah. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Bakrah R.A beliau berkata

‎كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَانْكَسَفَتِ الشَّمْسُ، فَقَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَجُرُّ رِدَاءَهُ حَتَّى دَخَلَ الْمَسْجِدَ، فَدَخَلْنَا فَصَلَّى بِنَا رَكْعَتَيْنِ، حَتَّى انْجَلَتِ الشَّمْسُ فَقَالَ صلى الله عليه وسلم:‏ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ، فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَصَلُّوا، وَادْعُوا، حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ

Maksudnya : Kami berada di sisi Rasulullah SAW, kemudian berlakunya gerhana matahari. Maka Nabi S.A.W pun berdiri seraya memakai rida’ sehingga baginda masuk ke dalam masjid. Maka baginda pun menjadi imam solat bersama kami sehingga selesai gerhana. Lalu baginda S.A.W bersabda : Sesungguhnya gerhana matahari dan bulan itu tidak berlaku disebabkan kematian seseorang. Jika kalian melihatnya maka solatlah serta berdoa, sehinggalah tamat gerhana.[10]

Berdasarkan hadis di atas, kita dapat melihat bahawa Rasulullah SAW melaksanakan solat gerhana ini secara berjamaah. Ini menguatkan pendapat golongan yang mengatakan bahawa dibolehkan untuk berjamaah dalam solat sunat.

Manakala berkenaan solat istisqa (meminta hujan) pula, dalil yang menunjukkan bahawa Nabi SAW melakukannya secara berjamaah adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata :

 ‎خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَبَذِّلًا مُتَوَاضِعًا مُتَضَرِّعًا حَتَّى أَتَى الْمُصَلَّى فَرَقَى عَلَى الْمِنْبَرِ وَلَمْ يَخْطُبْ خُطَبَكُمْ هَذِهِ وَلَكِنْ لَمْ يَزَلْ فِي الدُّعَاءِ وَالتَّضَرُّعِ وَالتَّكْبِيرِ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَمَا يُصَلِّي فِي الْعِيدِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah keluar dalam keadaan tidak berpakaian kemas, penuh tawadhu’, serta merendah diri sehinggalah baginda sampai ke tanah lapang lalu baginda naik ke atas mimbar dan tidak berkhutbah sebagaimana biasa. Akan tetapi baginda berterusan berdoa, menunduk diri, bertakbir, kemudian baginda solat dua rakaat sebagaimana pada hari raya.”[11]

Begitulah juga dengan qiyam Ramadhan, ataupun solat tarawih. Ia juga digalakkan untuk dilakukan secara berjamaah. Terdapat beberapa riwayat yang menyatakan hal tersebut antaranya adalah sebuah hadis daripada Abu Zar al-Ghifari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya sesiapa yang qiyam (solat malam) bersama Imam sehingga imam selesai, Allah akan menuliskan ganjaran untuknya qiyam sepanjang malam.”[12]

Syeikh al-Mubarakfuri menjelaskan: Ditanyakan kepada Imam Ahmad: Adakah kau suka seorang lelaki solat bersama orang ramai (secara berjamaah) pada bulan Ramadhan atau kau suka dia solat secara bersendirian? Maka Imam Ahmad menjawab : Aku suka jika dia solat berjemaah bersama orang ramai, dan aku juga suka sekiranga dia solat bersama dengan imam dan turut witir bersamanya. Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya seorang lelaki itu apabila dia qiyam bersama dengan imam sehingga imam selesai, nescaya dituliskan untuknya ganjaran qiyam sepanjang malamnya. Kata Imam Ahmad lagi: Dia qiyam secara berjemaah dan solat witir bersama mereka sehingga lah imam selesai. Kata Abu Daud : Aku melihat Imam Ahmad Rahimahullah, beliau berwitir pada bulan Ramadan bersama imamnya kecuali pada malam yang aku tidak menghadirinya.[13]

Maka demikianlah beberapa solat sunat yang dilakukan secara berjamaah pada zaman Rasulullah SAW berserta riwayat-riwayat yang telah kami sertakan berkenaan hal tersebut. Namun, persoalan timbul sama ada boleh juga berjemaah pada solat-solat sunat yang lainnya seperti solat tahiyatul masjid, solat rawatib, solat dhuha, dan seumpamanya adakah ianya juga boleh dilakukan secara berjamaah?

Berikut kami nukilkan beberapa pendapat para ulama berkaitan isu ini. Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani apabila mengulas tajuk bab yang diletakkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya (Solat Nafilah Secara Berjamaah): Maksudnya adalah solat sunat yang mutlak, dan ia juga boleh jadi solat yang lebih umum dari itu. Ibn Wahb meriwayatkan daripada Malik bahawa beliau berkata: Tidak mengapa untuk seseorang itu menjadi imam kepada sebuah kumpulan. Adapun sekiranya perbuatan itu (solat sunat berjamaah) menjadi masyhur lalu dihimpunkan orang ramai maka ini tidak dibolehkan. Ini terbina di atas kaedah sad al-zarai’ (menghalang jalan-jalan) kerana takut orang yang tiada ilmu akang menyangka bahawa solat sunat itu sebagai solat fardhu. Ibn Habib dari kalangan mazhab Malik mengecualikan qiyam Ramadhan kerana telah masyhurnya ia secara berjamaah sebagaimana yang telah dilakukan oleh para sahabat dan golongan selepas mereka.[14]

Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebut: Boleh untuk solat sunat secara berjamaah dan boleh juga secara bersendirian. Kerana Nabi SAW melakukan kedua-duanya (kadang berjamaah dan kadang bersendirian). Dan kebanyakan solat sunat baginda adalah secara bersendirian.[15]

Syeikh al-Buhuti mengatakan: Solat sunat secara sembunyi itu lebih afdhal dan tidak mengapa untuk ia dilakukan secara berjamaah. Kata Al-Majd dan selainnya: Melainkan jika ia dijadikan sebagai adat kebiasaan dan juga sunnah.[16]

Para fuqaha Syafieyyah seperti Imam al-Khatib al-Syarbini mengatakan: Sesungguhnya semua solat yang tidak disunatkan untuk berjamaah padanya adalah boleh untuk ia dilakukan secara berjamaah. Ini diambil dari perbuatan Umar yang mengumpulkan orang ramai untuk solat taraweh.[17]

Kata Imam al-Nawawi: Sesungguhnya solat-solat sunat itu tidak disyariatkan padanya untuk berjamaah, melainkan pada solat dua hari raya, solat gerhana, dan solat istisqa’. Demikian juga solat tarawih dan witir selepas tarawih. Sesungguhnya jamaah di dalam semua solat tersebut adalah afdhal. Adapun baki-baki solat sunat yang lain seperti solat rawatib yang dilakukan bersama solat-solat fardhu, solat dhuha, dan juga solat-solat sunat yang mutlak, maka tidak disyariatkan pada semua itu untuk berjamaah, iaitu tidak disunatkan. Akan tetapi jika seseorang melakukannya secara berjamaah maka ia dibolehkan. Tidak dikatakan yang perbuatan itu makruh. Imam Al-Syafie telah menaskan di dalam Mukhtasar Al-Buwaithi dan Mukhtasar Al-Rabi’ bahawa tidak mengapa berjemaah dalam solat sunat.[18]

Kesimpulan

Setelah kami meneliti pendapat-pendapat yang kami nukilkan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa dibolehkan untuk melakukan solat sunat secara berjamaah. Terutamanya seperti solat tarawih, istisqa, solat dua hari raya, dan solat gerhana.

Adapun solat sunat selainnya, yang tidak terdapatnya nas yang menunjukkan ia disyariatkan secara berjamaah, maka hukumnya adalah dibolehkan untuk didirikan secara berjamaah. Namun, hendaklah ia tidak dilakukan secara selalu dan berterusan sehingga menjadi suatu adat kebiasaan.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Riwayat al-Nasa’ie (451), (452) dan al-Tirmizi (411)

[2] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/509-528

[3] Berkenaan pembahagian ini juga, kami telah jelaskan dalam Ahkam Syari’yyah sebelum ini dengan tajuk: #78 Solat Rawatib yang Muakkad dan Tidak Muakkad. (https://maktabahalbakri.com/78-2/)

[4] Mengikut mazhab Hanafi, hukumnya adalah wajib. Walaupun begitu, pendapat jumhur ulama’ yang mengatakan sunat muakkad, adalah lebih kuat berdasarkan hadith Sayyidina Ali RA yang bermaksud: Solat Witir tidaklah wajib seperti solat yang diwajibkan atas kamu, tetapi Rasulullah SAW melakukannya.

[5] Semua ulama’ sepakat menetapkan solat Qiamullail atau Tahajjud, hukumnya Sunat Muakkad.

[6] Terdapat banyak pendapat berkenaan dengan bilangan rakaat solat Istikharah, antaranya dua rakaat, empat rakaat, enam rakaat, lapan rakaat, sepuluh rakaat dan dua belas rakaat.

[7] Solat ini boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja yang dikehendaki, seperti selepas mengerjakan solat sunat Rawatib atau solat sunat Tahiyyat al-Masjid dan boleh dikerjakan pada waktu siang, mahupun waktu malam, pagi atau petang, asalkan bukan pada waktu yang terlarang iaitu selepas solat Subuh, ketika matahari tepat di kepala dan selepas Asar. Akan tetapi sebahagian ulama’ berpendapat alangkah baiknya jika solat ini dikerjakan pada waktu malam, ketika suasana sepi dan hening, sebelum mengerjakan solat Witir.

[8] Riwayat Ibn Majah (901)

[9] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/509-528

[10] Riwayat al-Bukhari (1040)

[11] Riwayat Abu Daud (1165)

[12] Riwayat al-Nasa’ie (1605)

[13] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/448

[14] Lihat Fath Al-Bari, 3/62

[15] Lihat al-Mughni, 1/442

[16] Lihat Syarah Muntaha al-Iradaat, 1/247

[17] Lihat Mughni al-Muhtaj

[18] Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 3/197

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *