#391: Melupuskan al-Quran yang Rosak

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana cara untuk melupuskan al-Quran yang telah rosak. Contohnya mushaf al-Quran yang rosak disebabkan banjir yang melanda. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

 

Definisi al-Quran dan dan Kemuliaannya

Menurut al-Qamus al-Muhit, al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التَّنْزيل) iaitu yang diturunkan (Lihat al-Qamus al-Muhit, 1/49) Menurut al-Mu’jam al-Wasit, al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة), iaitu bacaan sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧)‏ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.[1]

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qira’atuh (bacaannya/cara membacanya).[2]

Firman Allah SWT:

وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya:Dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”[3]

Dikatakan juga bahawa al-Quran adalah majaz (kiasan) bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar).[4]

Dari sudut Istilah, al-Quran adalah kalam tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya.[5]

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.[6]

Makna al-Quran yang disepakati oleh Ulama’ Usul, fuqaha’ dan Ulama’ Bahasa – Al-Quran adalah Kalam yang mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mazhaf yang dipindahkan secara mutawattir dan membacanya adalah Ibadah.[7]

Definisi al-Quran dari sudut Istilah yang masyhur ialah: Kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

 

Keistimewaan al-Quran

Sebenarnya al-Quran cukup istimewa berbanding dengan mana-mana kitab. Oleh kerana tajuk ini cukup besar, penulis hanya menyebut sepintas lalu dengan satu dalil sahaja dengan setiap satunya. Dipetik daripada karya Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang bertajuk Kaifa Nata’amal Ma’a al-Quran al-‘Azim, antara lain menyebut:

  • Al-Quran kitab Ilahi. Hal ini dijelaskan dengan banyak ayat antaranya :

الر ۚ كِتَابٌ أُحْكِمَتْ آيَاتُهُ ثُمَّ فُصِّلَتْ مِن لَّدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ

Maksudnya“Alif, Lam, Ra. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun rapi ayat-ayatnya, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu yang diturunkan daripada sisi Allah Yang Maha Mendalam pengetahuan-Nya.”[8]

  • Al-Quran adalah kitab mahfuz (terpelihara). Firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya“Sesungguhnya kamilah yang menurunkan Al-Quran dan memeliharanya.”[9]

  • Al-Quran adalah kitab mukjizat. Firman Allah SWT :

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَـٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya“Katakanlah (wahai Muhammad)  “ Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan Al-Quran , mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu.”[10]

Al-Quran dikatakan sebagai sebuah kitab mukjizat kerana makhluk tidak akan mampu dan mustahil untuk mendatangkan sebuah kitab semisal al-Quran sekalipun terdapat gabungan dan kesepakatan antara seluruh manusia dan jin dalam . Sudah tentu perkataan makhluk tidak akan boleh menyamai perkataan Yang Maha Pencipta, yang tiada tandingan dan tara.[11]

  • Al-Quran kitab yang nyata lagi mudah. Firman Allah SWT:

فَإِنَّمَا يَسَّرْنَاهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Maka sesungguhnya kami memudahkan Al-Quran dengan bahasamu(wahai Muhammad) moga-moga mereka mengambil pengajaran.”[12]

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata, ayat Al-Quran dihafaz oleh ribuan sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Inilah istimewanya yang tiada pada mana-mana kitab atau buku yang lain.

  • Al-Quran kitab untuk zaman seluruhnya. Ia bermaksud kitab yang kekal yang bukan hanya sesuai pada suatu masa sahaja dan bukan untuk satu generasi. Tetapi ia sesuai sepanjang zaman dan semua tempat. Justeru tidak pelik sehingga sekarang al-Quran tetap menjadi panduan dan pedoman dalam menempuh kehidupan.
  • Al-Quran kitab agama keseluruhannya. Maksudnya ialah ia menjadi asas kepada agama dan roh Islamnya dan daripadanya diambil roh akidah, ibadat, akhlak dan juga usul tasyriq dan hukum hakam.
  • Al-Quran merupakan kitab kemanusiaan sejagat. Hal ini dapat difahami berdasarkan kepada sifat al-Quran itu sendiri yang banyak menekankan kehidupan manusia dengan kalimahnya dan untuk alam sejagat. Benarlah firman Allah SWT:

إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya“Al-Quran itu tidak lain hanya peringatan bagi seluruh penduduk alam.”[13]

Cara Pelupusan al-Quran yang Telah Rosak

Sebelum saya melebarkan jawapan ini, marilah sama-sama kita menginsafi apa yang berlaku berkenaan dengan banjir atau bah besar yang melanda di beberapa tempat di negara kita. Walaupun begitu, sifat sabar, redha dan menghulurkan bantuan sama ada wang ringgit, harta benda bahkan tenaga bertali arus oleh semua pihak adalah amat terpuji, bahkan usaha seperti ini sewajarnya dipupuk dengan lebih baik lagi.

Dalam menjawab isu inil kami mulakan dengan firman Allah SWT :

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”[14]

Para ulama’ telah khilaf (berbeza pendapat) tentang bagaimana cara melupuskan al-Quran kepada dua pendapat.

Pendapat Pertama: Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat hendaklah digali tanah dan ditanam di  dalamnya.

  • Hal ini sepertimana dinyatakan oleh ulama’ Hanafi antaranya al-Haskafi yang menyebut: “Mushaf apabila berada pada keadaan yang mana kita tidak mampu membacanya lagi hendaklah ditanam sebagaimana keadaan orang Islam yang mati.[15] Sahib al-Hasyiah memberi komentar dengan berkata: “Diletakkan perca kain yang bersih yang diletakkan di dalamnya (al-Qur’an yang rosak) kemudian ditanam di tempat yang tidak dihina dan dipijak.”
  •  Al-Buhuti, seorang ulama’ dalam mazhab Hanbali berkata: “Jika sekiranya mushaf telah basah atau lupus, hendaklah ditanamnya secara nas. Imam Ahmad menyebut bahawa mushaf Abu al-Jawza’ telah basah, lantas digali lubang pada masjidnya dan ditanamnya.”[16]
  • Syeikh Muhammad bin Ibrahim Al al-Syeikh (mantan Mufti Besar Arab Saudi) berpendapat, cara yang paling sahih ketika luput sebahagian kertas mushaf ialah dengan menanamnya di masjid. Jika tidak boleh maka ditanamnya di tempat yang bersih lagi suci dan harus juga membakarnya.[17]

 

Pendapat Kedua: Mazhab Maliki dan Syafi’i berpendapat, hendaklah dibakar.

  • Hujah bagi pendapat yang kedua ini adalah berdasarkan tindakan Saidina Uthman yang memerintahkan untuk membakar mushaf yang lain yang berbeza dengan mushaf yang ditulis, dan perbuatan tersebut telah disaksikan oleh ramai Sahabat. Kisah ini telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya no. 4988. Mus’ab bin Sa’d berkata : “Aku mendapati ramai orang yang mana menyaksikan peristiwa arahan Saidina Uthman supaya mushaf-mushaf yang lain dibakar. Perbuatan tersebut menjadi kehairanan bagi mereka tetapi tidak seorang pun dari kalangan mereka mengingkarinya.” Diriwayatkan oleh Abu Bakr bin Abi Daud dalam bukunya Kitab al-Masahif halaman 41.
  • Ibn Battal berkata: Perintah Saidina Uthman supaya membakar semua mashaf ketika dihimpunkan al-Quran menandakan keharusan membakar kitab-kitab yang terpada padanya Asma’ullah (nama-nama Allah). Yang demikian, sebagai kemuliaan baginya dan pemeliharaan daripada dipijak dengan kaki serta dicampakkannya pada mana-mana tempat.”[18]
  • Imam al-Suyuti berkata: “Apabila perlu kepada melupuskan sebagian kertas mushaf dengan sebab basah atau rosak, maka tidak harus diletakkannya pada mana-mana tempat sekalipun tinggi kerana boleh jadi akan jatuh dan dipijak. Begitu juga tidak harus mengoyaknya kerana memisahkan huruf-huruf dan kalam tersebut. Justeru, kalau dibakarnya dengan api, maka tidak mengapa. Ini kerana perbuatan Saidina Uthman yang membakar semua mushaf dan tiada seorangpun yang mengingkarinya.”[19]

 

Tarjih

Selepas meneliti dua pandangan di atas samada menanamnya atau membakarnya, saya melihat bahawa adalah diharuskan kedua-duanya kerana ia bermatlamat untuk memuliakan al-Qur’an atau mushaf.

Walaupun begitu, saya lebih cenderung kepada hujahan mazhab Syafi’i dan Maliki yang memilih dengan cara membakar. Perbuatan sahabat seperti Saidna Uthman yang merupakan ijtihad daripadanya dan juga selepas itu tidak diingkari oleh mana-mana sahabat menjadi hujah yang kuat kepada perbuatan tersebut untuk mengharuskan pembakarannya. Ini kerana ianya memang rosak disebabkan banjir dan alangkah baiknya selepas itu, debu yang berbaki, ditanam kerana mengambil pendapat yang pertama dari mazhab Hanafi dan juga Hanbali.

Alhamdulillah, mutakhir ini telah wujud alat yang moden dalam menghancurkan kertas sehingga menjadi seperti debu atau serpihan halus dan tidak kekal lagi walaupun kalimah dan huruf secara zahir. Kemudian ianya dibakar pula dan kemudian ditanam, maka sudah tentu lebih selamat dalam memuliakan al-Qur’an daripada dihina atau dipijak.

Begitu juga terpakai dalam isu ini berkenaan dengan nama-nama Allah, kitab-kitab hadith atau kitab-kitab agama yang mengandungi nama Allah yang hendaklah kita muliakan di mana cara pelupusannya dibuat sebagaimana dilupuskan mushaf seperti di atas.

Semoga jawapan ini menyelesaikan isu dan kemelut berkenaan dengan pelupusan mushaf yang rosak atau yang tidak mungkin dapat dibaca lagi dengan sebab ditenggelami air dalam tempoh masa yang tertentu. Wallahua’lam.

Bertarikh: 2 Februari 2022 bersamaan 30 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Qiyamah: 17-18

[2] Lihat al-Mu’jam al-Wasit, 2/722

[3] Surah al-Isra’: 78

[4] Lihat Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, 2/197-198

[5] Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2

[6] Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8

[7] Lihat Mabahith fi Ulum al-Quran, hlm 21

[8] Surah Hud : 1

[9] Surah al-Hijr : 9

[10] Surah al-Isra’: 88

[11] Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4024

[12] Surah al-Dukhan : 58

[13] Surah al-Takwir : 27

[14] Surah al-Hijr: 9

[15] Lihat al-Durr al-Mukhtar, 1/191

[16] Lihat Kasyaf al-Qina’, 1/137

[17] Lihat al-Fatawa, 13/84

[18] Lihat Syarah Sahih al-Bukhari, 10/226

[19] Lihat al-Itqan fi Ulum al-Qur’an, 2/1187

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *