Menumpang Teduh di Jordan

Tahun 1989 – 1993 Zul berada di Madinah. Tahun 1994, beliau memulakan musafir ilmunya ke Syria. Sekali lagi, Lapangan Terbang Telaga Batin dan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang ditinggalkan, menuju ke Jordan sebagai transit sebelum masuk ke Syria. Zul mengimbau kembali kenangan pertamanya melihat Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Bagai rusa masuk kampung. Teruja dengan saiznya yang jauh lebih besar. Lebih lucu, teruja dengan bas double decker kerana sepanjang hidupnya di Terengganu, beliau cuma mengenali Bas Pokcik Ripin dan Bas Deraman.

“SUB – AMM. Moga Allah SWT permudahkan, insya-Allah.”. Zul berbisik seorang diri sambil membelek-belek tiket kapal terbangnya. Beliau memandang Azli Khalid dan Hazman Hasyim di sebelahnya. Kedua-duanya nampak segak berkemeja dengan corak kotak dan seluar hitam. Penerbangan lebih kurang 12 jam ke Amman, Jordan termasuk transit dimulakan dengan doa menaiki kenderaan. Senggang masa semasa perjalanan udara ke sana dimanfaatkan oleh Zul untuk menulis draf kertas cadangan tesis Sarjana beliau. Tak rugi kertas cadangan tesis disiapkan seawal mungkin. Sekurang-kurangnya Zul ada masa yang panjang untuk berbincang dengan bakal penyelianya nanti.

Ketibaan Zul, Azli Khalid dan Hazman Hasyim di Lapangan Terbang Antarabangsa Permaisuri Alia disambut oleh beberapa pelajar Malaysia yang belajar di Jordan. Walaupun saling tidak mengenali atau kurang mengenali, tetapi sikap bantu membantu yang subur dalam kalangan masyarakat Malaysia, banyak memudahkan urusan Zul di luar negara. Itulah pengalamannya sejak berada di Madinah.

Di luar lapangan terbang, sebuah kereta sudah menanti. “Kita nak ke mana?”, Zul bertanya salah seorang pelajar yang menyambut mereka. “Insya-Allah, kita ke Sweileh. Ustaz bertiga akan menginap sementara waktu di rumah Ustaz Din dan Ustaz Misbah.”, balasnya ringkas. Zul cuma menurut apa sahaja yang diaturkan. Bumi Jordan adalah baharu baginya. Kalau di Madinah, bolehlah Zul buat macam kampung sendiri. Benarlah pepatah Melayu, “Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum, masuk kandang lembu menguak.”

********************

Dalam kitab Safahat min Sabr al-Ulama’ ‘ala Syada’id al-‘Ilm wa al-Tahsil tulisan Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah, terdapat pelbagai mutiara berharga berkenaan pengorbanan salafussoleh dalam menuntut ilmu. Antara kisah yang menarik perhatian Zul adalah kisah Baqi bin Makhlad bin Yazid al-Andalusi. Baqi bin Makhlad bin Yazid dan dilahirkan pada bulan Ramadhan tahun 201 Hijrah.[1] Beliau telah bermusafir dari negerinya nun jauh ke kota Baghdad dengan hanya berjalan kaki. Semangat dan cita-cita besarnya semata-mata untuk bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal dan menuntut ilmu daripadanya.

Beliau menceritakan: “Ketika aku hampir tiba ke kota Baghdad, aku mendengar berita ujian yang menimpa Ahmad bin Hanbal iaitu ditahan di rumahnya tanpa boleh menyampaikan ilmu serta mengajar kepada mana-mana orang. Aku merasa amat sedih disebabkan itu. Lalu aku pun mencari tempat tinggal untuk aku menetap. Setelah aku letakkan baranganku di satu bilik kecil yang aku sewa, lantas aku terus menuju ke masjid jami’ yang besar. Aku amat ingin duduk bersama penuntut ilmu dalam halaqah-halaqah yang ada dan mendengar apa yang mereka bincangkan.

“Aku hadir ke sebuah majlis ilmu yang mulia. Terdapat seorang lelaki yang sedang membicarakan keadaan para perawi. Beliau mendha’ifkannya dan menguatkan mereka. Aku bertanya kepada orang yang berada berhampiranku, “Siapakah dia?” Orang itu menjawab, “Itulah Yahya bin Ma’in.” Aku melihat ada ruang yang kosong berhampiran dengannya. Aku cepat-cepat menuju kepadanya sambil berkata, “Wahai Abu Zakariya, semoga Allah merahmatimu. Aku adalah seorang lelaki perantau dari negeri yang jauh. Aku ingin bertanya, mohon jangan meremehkanku.” Lantas katanya kepadaku, “Silakan.” Maka, aku bertanya kepadanya tentang sebahagian ahli hadis yang pernah aku temui. Dia memberi jawapan dan pujian yang baik kepada sebahagian dari mereka, dan menyebut dengan kecacatan pada sebahagian yang lain.

Di akhir pertanyaan, aku bertanya kepadanya tentang Hisyam bin Ammar di mana aku sendiri banyak mengambil ilmu darinya. Yahya berkata, “Abu al-Walid Hisyam bin Ammar, ahli solat dan ibadat dari kota Damsyiq. Thiqah bahkan lebih dari thiqah. Dan, kalau pun dalam pakaiannya terdapat kesombongan atau takabbur, nescaya dia bermujahadah untuk menentang kesombongan tersebut. Ini kerana ia tidak dapat mempengaruhi keadaannya lantaran kebaikan dan kemuliaannya.” Maka, orang-orang yang berada di halaqah berteriak, “Cukup bagimu, semoga Allah merahmatimu. Orang lain juga ingin bertanya.”

Dalam keadaan berdiri, aku sempat bertanya: “Boleh aku tahu berkenaan seorang lelaki bernama Ahmad bin Hanbal?” Maka, Yahya bin Ma’in memandangku dengan hairan. Beliau berkata kepadaku, “Orang seperti kita membicarakan Ahmad bin Hanbal? Beliau adalah Imam umat Islam. Orang terbaik dan termulia dari kalangan mereka.”

Aku pun keluar mencari kedudukan rumah Imam Ahmad bin Hanbal. Aku menjumpai seseorang yang dapat membantu menunjukkan jalan ke rumahnya. Aku mengetuk pintu rumahnya. Beliau lalu keluar dan membuka pintu. Beliau melihat lelaki yang belum pernah dikenalinya. Aku berkata, “Wahai Abu Abdillah, saya adalah seorang lelaki perantau, yang negerinya jauh. Ini adalah kedatanganku pertama kali di negeri ini. Aku menuntut ilmu hadis dan pengumpul sunnah. Aku tidak bermusafir sejauh ini kecuali hanya kepadamu.” Dia berkata kepadaku, “Masuklah lorong itu dan jangan sampai terlihat oleh seorang pun.”

Lantas beliau bertanya kepadaku, “Di mana negerimu?” Aku menjawab, “Daerah Maghrib yang jauh.” Beliau bertanya kepadaku, “Afrika?” Aku menjawab, “Lebih jauh dari itu. Aku menyeberangi lautan untuk tiba ke Afrika. Negeriku Andalus.” Beliau berkata, “Negerimu benar-benar jauh. Tidak ada sesuatu yang lebih aku sukai daripada membantu orang sepertimu dengan baik, untuk mewujudkan keinginannya. Hanya kerana saat ini aku sedang menghadapi ujian dengan sesuatu yang mungkin kamu telah mendengarkannya.” Aku menjawab, “Benar, aku telah mendengarnya ketika aku berjalan ingin menemuimu dan hampir tiba di sini.

Aku bertanya kepadanya, “Wahai Abu Abdillah, ini adalah kedatanganku yang pertama kali. Aku adalah orang yang tidak dikenali di kalangan mereka. Jika Syeikh bersetuju, aku akan datang setiap hari dengan menyamar sebagai peminta sedekah. Di depan pintu, aku akan mengucapkan apa yang sering diucapkan para pengemis. Lalu, Syeikh keluar ke tempat ini. Seandainya Syeikh menyampaikan setiap hari hanya satu hadis sahaja, maka itu sudah cukup bagiku.” Beliau menjawab, “Ya, dengan syarat kamu jangan muncul di halaqah-halaqah, dan tidak pula kepada para ahli hadis.” Aku menjawab, “Saya berjanji.”

Pada hari berikutnya, aku mengambil ranting pohon dengan tanganku, kemudian membalut kepalaku dengan kain. Kertas dan dakwat aku sembunyikan di sebalik lengan bajuku. Lalu, aku datang ke pintu rumahnya sambil berteriak, “Pahala, semoga Allah merahmati kamu!” Begitulah yang diteriakkan oleh para peminta sedekah di sana. Maka, beliau keluar kepadaku dan menutup pintu. Beliau menyampaikan dua, tiga hadis atau lebih kepadaku.

Aku terus melakukan hal tersebut sehinggalah orang yang menimpakan ujian kepada beliau telah mati. Setelah itu, kepemimpinan diambil alih oleh orang yang berpegang kepada mazhab ahlussunnah. Maka, nama Ahmad bin Hanbal kembali masyhur. Beliau dihormati di mata manusia dan ketokohannya menjadi terkenal. Maka orang ramai berduyun-duyun datang kepadanya. Beliau kemudian semakin mengetahui kesabaranku yang sebenarnya. Jika aku mendatangi halaqahnya, beliau akan melapangkannya untukku dan mendekatkanku kepada dirinya. Beliau berkata kepada para ahli hadis, “Orang ini berhak menyandang gelaran sebagai penuntut ilmu yang sejati.” Kemudian, beliau menceritakan kisahku bersamanya. Dia menyampaikan hadis kepadaku, membacakannya untukku dan aku membacakannya kepadanya.

Suatu ketika, aku jatuh sakit. Aku berusaha untuk segera sembuh. Imam Ahmad bin Hanbal mencariku kerana aku tidak hadir di majlisnya. Beliau bertanya tentang diriku. Lalu ada yang memberitahu perihal sakitku kepadanya. Lantas dia datang untuk menjengukku bersama orang ramai. Ketika itu, aku terbaring di bilik yang aku sewa, beralaskan tikar, berselimut kain dan buku-buku yang ada di kepalaku.

Aku mendengar suara riuh rendah di luar bilikku. Aku mendengar mereka berkata, “Dia di sana. Lihatlah imam umat Islam telah datang.” Pemilik penginapan pun datang kepadaku dengan tergopoh-gopoh. Dia berkata kepadaku, “Wahai Abu Abd al-Rahman. Ini Abu Abdillah Ahmad bin Hanbal, imam umat Islam datang menjengukmu.”

Imam Ahmad segera masuk. Beliau duduk di sisi kepalaku. Bilik tersebut penuh sesak dengan orang ramai sehingga tidak muat. Sebahagian daripada mereka berada di luar bilik dengan berdiri, manakala pena tergenggam di tangan mereka. Imam Ahmad tidak mengatakan kepadaku melebihi dari kata-kata ini: “Wahai Abu Abd al-Rahman. Berbahagialah dengan pahala Allah. Engkau telah menjalani hari-hari sihat, yang tidak ada sakit padanya. Dan engkau sekarang sedang menjalani hari-hari sakit, yang tidak ada sihat padanya. Semoga Allah meninggikanmu kepada keselamatan dan memberikan kesembuhan kepadamu.” Aku melihat pena-pena menulis lafaz yang Imam Ahmad ucapkan.

Kemudian, beliau keluar meninggalkanku. Maka, penghuni penginapan berbondong-bondong mendatangiku, mengasihiku dan melayaniku atas dasar agama dan ingin mendapatkan pahala dari Allah SWT. Ada yang membawakan tilam. Ada yang membawakan selimut dan makanan-makanan yang lazat. Dalam merawat diriku yang sedang sakit, mereka lebih prihatin daripada keluargaku. Hal tersebut kerana aku telah dijenguk oleh seorang lelaki yang soleh.”

Imam Baqi bin Makhlad dicatatkan telah meninggalkan beberapa karya yang agung. Antaranya kitab musnad dalam ilmu hadith. Ibn Hazm berkata, “Musnad Baqi memuatkan hadis riwayat daripada lebih 1300 orang sahabat, di mana beliau menyusun hadis setiap sahabat sesuai dengan bab-bab fiqh, sehingga ia merupakan kitab musnad sekaligus kitab musannaf. Aku tidak mengetahui susunan seperti ini bagi sesiapa pun sebelumnya.”[2]

Beliau turut menghasilkan karangan dalam bidang tafsir. Imam al-Suyuti dalam kitabnya Tabaqat al-Mufassirin menyebut berkenaan Tafsir Baqi Ibn Makhlad. Beliau meriwayatkan dari Ibn Hazm al-Zahiri bahawa Tafsir Baqi Ibn Makhlad adalah mempunyai kelebihan berbanding tafsir-tafsir lain termasuk Tafsir Ibn Jarir al-Tabari. Kata Ibn Hazm: “Beliau adalah seorang mufassir dan tidak ada karya dalam Islam yang menyerupai tafsir Baqi. Tidak tafsir Muhammad bin Jarir (Tafsir al-Tabari) dan tidak juga tafsir-tafsir selainnya.”[3]

Ramai ulama’ yang telah memberikan pujian terhadap beliau. Antara pujian yang diberikan terhadap Baqi bin Makhlad, adalah sepertimana yang disebut oleh Imam Ibn Abd al-Bar, katanya:, “Baqi adalah seorang yang mulia, bertakwa, gemar berpuasa, rajin beribadah dan pada masanya tidak ada yang sebanding dengannya dan unik.”[4]

Imam al-Zahabi pula berkata: “Baqi bin Makhlad ibn Yazid; Seorang Imam, seorang qudwah (tauladan), bergelar Syeikh al-Islam, Abu Abd al-Rahman al-Andalusi al-Qurtubi. Seorang al-Hafiz dan merupakan pengarang kitab Tafsir dan al-Musnad yang tidak ada tandingan bagi kedua-duanya.” Kata beliau lagi: “Baqi bin Makhlad adalah seorang Imam Mujtahid, soleh, rabbani, jujur, ikhlas, induk dalam ilmu dan amal, tiada bandingannya, tidak banyak bergaul (kerana ilmu dan ibadah), berfatwa berdasarkan athar, tidak bertaqlid kepada seorang pun.”

Daripada Tahir bin Abd al-Aziz al-Andalusi menyebut: “Beliau adalah seorang yang luas ilmunya seperti halnya lautan dan saya sangat takjub kepada beliau akan ilmunya yang sangat luas.”[5]

*********************

“Assalamualaikum Ustaz Zul, Ustaz Azli, Ustaz Hazman. Selamat berkenalang. Sebeloh ana ni Ustaz Misbah. Ana Din, Din al-Takiri. Orang Seberang Takir. Hehe…”, Din menghulurkan tangannya sambil tersenyum mesra dan disambut oleh Zul. Perjalanan sepanjang 35 minit tadi daripada lapangan terbang ke Sweileh mengambil masa 30 minit memberi peluang kepada Zul dan dua orang sahabatnya melelapkan mata seketika. Namun, mereka masih keletihan akibat jet lag.

“Ana rasa enta bertiga ni jet lag lagi. Letih tu, dari jauh mari sini. Pergi rehat dulu di ruang tamu. Buatlah macam rumah sendiri. Ana dengan Din siapkan makanan.”, pesan Misbah yang turut membantu mengangkat bagasi mereka. Zul meletakkan bagasinya di sudut ruang tamu dan merehatkan tubuhnya. Sukar hendak melelapkan mata kerana masih tidak percaya, beliau sudah berada di Jordan. Hanya selangkah lagi untuk sampai ke Syria.

Setengah jam kemudian, Din memanggil, “Ustaz Zul, Ustaz Azli, Ustaz Hazman, mari makang. Siap blake doh ning…!”. Semasa menikmati juadah yang disediakan, mereka berbual-bual tentang sistem pendidikan dan universiti-universiti di Jordan.

“Untuk pelajar Pengajiang Islam, ade Universiti Jordan, Universiti Mu’tah, Universiti Yarmouk. Kalu hok baru, Universiti Aal al-Bayt, Mafraq. Baru tubuh taun lepah. Tapi jauh skek. Dalam 1 jam lebih dari bandor Amman. Biasenye, orang Malaysia mari sini ambik Usuluddin, Fiqh atau Bahasa Arab macam ana.”, Din bercerita dengan panjang lebar. Nampak berselera Zul, Azli Khalid dan Hazman Hasyim menikmati makanan pada tengahari itu.

“Ade mase, Ustak Din dengan Ustak Misbah kene bowok ana ziarah Syeikh Dr. Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi. Ana dengar lame doh name ye sejok ana di Madinah tapi dop ade rezeki nok juppe.”, kata Zul sambil tersenyum. “Insya-Allah, boleh-boleh. Enta semua dua minggu kan di sini? Kita jalan-jalan pusing Jordan.”, balas Ustaz Misbah.

Hikmah persinggahannya di Jordan selama dua minggu, kenalan beliau semakin bertambah. Kebanyakannya adalah para pelajar yang bijak dan aktif dengan majlis ilmu dan berpersatuan. “Assalamualaikum Ustaz Zul. Selamat berkenalan. Ana Hasrizal. Ni sahabat ana, Fazdi. Alang-alang Ustaz Zul sampai di Jordan, bolehlah kita bual-bual sikit. Boleh ambil ilmu, manfaat dari orang Madinah.”, sapa Hasrizal dengan mesra. Zul menyambut sapaan itu dengan ketawa kecil. “Ana tak ada apa-apa. Ana pun singgah nak tumpang berkat antum di sini.”. Hasrizal turut membawa bersamanya beberapa naskhah akhbar al-Sabil dan majalah al-Mujtama’ untuk bacaan Zul dan sahabat-sahabatnya.

“Kalau Ustaz Zul nak tahu, Hasrizal ni artis di sini. Kumpulan Usrah al-Firdaus. Sedap lagu dia, ‘Merah Senja’. Nanti Ustaz boleh mintak dia nyanyi selagu dua, duet dengan Erfino.”, Fazdi menyampuk perbualan Zul dan Hasrizal. Hasrizal beralih memandang Fazdi dan membuat isyarat meminta sahabatnya diam. Zul cuma ketawa kecil dengan usik-mengusik dua orang sahabat itu.  “Bolehlah. Nanti bagi ana satu album Usrah al-Firdaus. Boleh ana dengar masa di Syria.”, kata Zul sambil memandang Hasrizal.

“Ana sebenarnye nok kenalkang enta dengan banyok lagi pelajar Malaysia di sini. Kite gi juppe Imran, Zulkifli Sulong, Abdul Manan, Safiyuddin, Ustaz Zulkifli Yusof dengan Ustaz Sabri Haron hok sambung PhD sini, Ahmad Shah, Asri Zainul Abidin, Erfino, Maszlee.”, Din membilang satu persatu sahabat-sahabatnya yang tinggal berdekatan.

“Din…sahabat kita ni nak ke Syria. Ustaz-ustaz ni ada sini dua minggu je. Enta susun jadual macam ustaz-ustaz ni duduk sebulan…!”, Misbah menepuk peha Din diiringi hilai tawa semuanya.

____________________

[1] Tarikh Ulama’ al-Andalus, 2/93; al-Manhaj al-Ahmad fi Tarajim Ashab al-Imam Ahmad, 1/177; Ikhtisar al-Nablusi li Tabaqat al-Hanabilah, m. 79

[2] Tarikh al-Islam wa Wafayat al-Masyahir wa al-A’lam, 7/139

[3] Tabaqat al-Mufassirin, m. 40; Siyar A’lam al-Nubala’, 12/287; Tarikh Ulama’ al-Andalus, 2/93

[4] Tarikh al-Islam wa Wafayat al-Masyahir wa al-A’lam, 20/315

[5] Siyar A’lam al-Nubala’, 13/286

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *