[ux_products]
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang yang melakukan perancangan keluarga kerana pendapatannya yang rendah? Adakah seorang suami boleh merancang keluarga disebabkan hal ini? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Definisi Perancangan Keluarga
Menurut portal myHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, merancang keluarga bermaksud menentukan bilakah masa yang sesuai untuk mempunyai anak, jarak kehamilan dan berapakah bilangan yang di ingini oleh pasangan tersebut.
Secara asasnya, masa yang sesuai untuk wanita hamil adalah:
Ibu dan bayi adalah berisiko jika faktor-faktor di atas tidak dipenuhi. Dari itu wanita adalah digalakkan mengamalkan kaedah perancang keluarga berkesan.
Antara kaedah-kaedah perancang keluarga yang ada ialah:
(Lihat portal myHealth Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah topik ‘Merancang Keluarga, http://www.myhealth.gov.my/perancang-keluarga/)
Hukum Perancangan Keluarga Kerana Pendapatan Rendah
Para ulama berbeza pandangan tentang hukum tanzim al-usrah atau perancangan keluarga atas alasan kemiskinan. Kami kemukakan perbezaan pandangan serta hujah-hujahnya seperti berikut:
Pendapat Pertama: Tidak Dibenarkan.
Antara hujah bagi mereka yang tidak membenarkannya adalah:
وَلاَ تَقْتُلُواْ أَوْلاَدَكُم مِّنْ إمْلاَقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ
Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.[1]
وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu, dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya.”[2]
Pendapat Kedua: Dibenarkan.
Bagi mereka yang membenarkannya, mereka memperincikan perancangan keluarga atau tanzim al-usrah kepada tanzim al-nasal (perancangan anak) dan tahdid al-nasal (membataskan anak).
Tanzim al-Nasal merujuk kepada usaha untuk menjarakkan anak dengan menggunakan kaedah-kaedah seperti memakan ubatan pil perancang, melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur, memakai kondom, melakukan azal (ejakulasi luar rahim), dan mengeluarkan air mani daripada kemaluan wanita selepas selesai persetubuhan dan memasang peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara. Kaedah ini diharuskan denga syarat-syarat:
Ini berdalilkan athar daripada Jabir RA:
كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالقُرْآنُ يَنْزِلُ
Maksudnya: “Kami dahulu melakukan `azal pada zaman Rasulullah SAW sedangkan al-Quran sedang turun.”[3]
Ertinya, tiada larangan daripada al-Quran tentang perkara itu kerana jika ia dilarang nescaya al-Quran akan menyatakan larangan. Dalam riwayat Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang `azal, maka baginda menjawab:
مَا عَلَيْكُمْ أَنْ لاَ تَفْعَلُوا، فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ كَتَبَ مَنْ هُوَ خَالِقٌ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ
Maksudnya: “Apa yang baik atas kamu agar kamu tidak melakukannya, kerana Allah telah menulis siapakah yang menjadi Pencipta (bagi setiap sesuatu) sehingga Hari Kiamat.”
Dalam riwayat Abu Said RA menyebut:
لَيْسَتْ نَفْسٌ مَخْلُوقَةٌ إِلَّا اللَّهُ خَالِقُهَا
Maksudnya: “Tiada suatu nyawa pun yang diciptakan melainkan Allahlah Penciptanya.”[4]
Ertinya, jika Allah mengkehendaki seorang anak itu dikandungkan dan dilahirkan juga, tiada siapa yang boleh menghalang. Maka, pasangan yang merancang itu hendaklah redha, beramanah dan berasa tanggungjawab.
Manakala Tahdid al-Nasal (membataskan anak) menggunakan kaedah yang lebih melibatkan campur tangan perubatan yang kekal seperti pemandulan kekal dan melakukan pengguguran. Kaedah ini dianggap haram kerana melibatkan pengubahan ciptaan Allah, merosakkan asas kehidupan dan melakukan pembunuhan. Ini juga tindakan yang menafikan Allah sebagai Pemberi Rezeki bagi ibu bapa dan anak-anak. Apatahlagi jika ia dilakukan oleh wanita atau lelaki yang belum berkahwin.
Pengecualian ialah bagi kes yang melibatkan masalah kesihatan yang mengancam nyawa seseorang wanita seperti risiko besar kematian atau menyebabkan masalah kesihatan yang kritikal bagi ibu akibat mengandung dan bersalin. Maka ketika itu, boleh dilakukan pengguguran sebelum kandungan mencapai umur 120 hari daripada tarikh persenyawaan berlaku, atau 106 hari daripada hari terakhir haid.
Fatwa-Fatwa Ulama dan Badan Berautoriti
Pertama: Imam al-Ghazali
Imam al-Ghazali berpendapat pengguguran kandungan ialah haram mutlak sekalipun pada peringkat awal seperti nutfah kerana ianya asas kehidupan manusia. Namun, beliau beliau berpendapat bahawa azal ialah harus dan menyatakan beberapa niat syarie untuk melakukan azal antaranya ialah faktor ekonomi, kesihatan isteri, dan kecantikan isteri bagi tujuan kasih sayang berpanjangan antara pasangan bagi mengelakkan talaq. Beliau juga menyatakan faktor yang fasid (rosak) yang tidak boleh diterima dan berdosa seperti takut untuk mendapat anak perempuan.[5]
Kedua: Majma’ al-Fiqh al-Islami
Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuwait pada 1-6 Jamadilakhir 1409 H bersamaan 15 Disember 1988 M telah memutuskan, antara lain:
Ketiga: Syeikh Atiyyah Saqr
Syeikh Atiyyah Saqr pada Mei, 1997 melalui Dar al-Ifta’ al-Misriyyah mengeluarkan fatwa atas soalan hukum melakukan pemandulan bagi tujuan perancangan keluarga bahawa dibolehkan pemandulan atas alasan kesihatan atau selainnya bagi tempoh tertentu, dengan syarat kemampuan untuk reproduksi itu kekal dan boleh digunakan kembali apabila masa berlalu. Justeru, tidak boleh pemandulan itu dilakukan jika kesannya bersifat sempurna dan kekal sehingga hilang kemampuan dan fungsinya, melainkan wujudnya kemudaratan yang serius.[7]
Keempat: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
Dalam persidangan kali ke-28 yang diadakan 29 Februari 1991, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah membincangkan Sistem Susuk Norplant Dalam Program Perancang Keluarga Kebangsaan. Muzakarah telah memutuskan bahawa Sistem Susuk Norplant ini adalah harus digunakan. Penggunaan sistem ini hendaklah tertakluk kepada keputusan Muzakarah Kali Ke-12 pada 20 Januari 1977 yang memutuskan hukum mengenai Perancang Keluarga adalah seperti berikut:
Kesimpulan
Berdasarkan soalan yang dikemukakan, dibolehkan bagi kedua pasangan untuk menggunakan kaedah tanzim al-nasal yang diharuskan oleh Syarak bagi tujuan merancang keluarga dengan cara menjarakkan anak, bagi tujuan pengurusan ekonomi kerana berpendapatan rendah.
Hal ini juga perlulah disertakan dengan niat bahawa jika Allah berkehendakkan pasangan itu anak, maka tiada siapa yang boleh menghalang dan hendaklah pasangan itu redha kepada takdir Allah dan bersikap bertanggungjawab.
Meskipun begitu, rujukan kepada pakar perubatan Islam yang thiqah adalah amat diperlukan dalam mengambil sebarang tindakan perubatan.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H
[1] Surah al-An’am: 151
[2] Surah al-Baqarah: 216
[3] Riwayat al-Bukhari (5209)
[4] Riwayat al-Bukhari (7409)
[5] Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 2/52
[6] Lihat Majallah al-Majma’ Siri 4, 1/73
[7] Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 47/10
[8] Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam, hlm. 138