Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَقُولُوا۟ قَوْلًۭا سَدِيدًۭا ٧٠ يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَـٰلَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara), (70) Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.
(Surah al-Ahzab:70-71)
Perbuatan maksiat dan derhaka adalah bertentangan dengan ketaatan, atau bertentangan dengan perintah Allah SWT. Apabila seseorang tidak mematuhi atau melakukan yang bertentangan dengannya, maka dikatakan: Hamba itu telah menderhakai Tuhannya iaitu dengan melakukan apa yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya, atau meninggalkan apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya kerana dia memilih untuk dirinya sendiri selain dari apa yang dipilih oleh Allah dan Rasul-Nya dalam menurut hukum syarak, dan inilah kesesatan yang nyata.
Firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا
Maksudnya: Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
(Surah al-Ahzab: 36)
Al-Nasafi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Jika kemaksiatan itu berupa penolakan dan keengganan untuk menerima, maka ia adalah kesesatan kekufuran. Jika kemaksiatan itu berupa perbuatan dan dalam masa yang sama menerima perintah dan meyakini kewajipannya, maka ia adalah kesesatan pada kesalahan dan kefasikan. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Takwil, 3/32)
Pada dasarnya, Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur. Namun, hiburan menurut perspektif Islam harus dipandu dan dinilai berdasarkan nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama, serta tidak boleh mengandungi unsur-unsur yang dilarang atau bertentangan dengan ajaran Islam. Selain itu, Islam membenarkan hiburan kerana ia dianggap sebagai sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia.
Ini berdasarkan kepada hadith daripada riwayat Aisyah R.Anha bahawa:
أَنَّ أَبَا بَكْرٍ، دَخَلَ عَلَيْهَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَهَا يَوْمَ فِطْرٍ أَوْ أَضْحًى، وَعِنْدَهَا قَيْنَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَعَازَفَتِ الأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثٍ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: مِزْمَارُ الشَّيْطَانِ؟ مَرَّتَيْنِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: دَعْهُمَا يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا، وَإِنَّ عِيدَنَا هَذَا اليَوْمُ
Maksudnya: “Abu Bakar masuk menemuinya dan Nabi SAW berada di sisinya (Aisyah) pada Hari Raya Aidilfitri atau (Aidil) Adha. Di sisinya (Aisyah) ada dua orang penyanyi sedang menyanyikan lagu yang dinyanyikan kaum Ansar pada hari (perang) Bu‘ath. Maka Abu Bakar berkata: ‘Seruling syaitan? Beliau mengucapkannya sebanyak dua kali. Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Biarkan mereka berdua wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari raya, dan hari raya kita adalah hari ini.’”
Riwayat al-Bukhari (3931) dan Muslim (892)
Berdasarkan hadith di atas, jelaslah bahawa hiburan yang dapat menghiburkan jiwa dan menenangkan hati dibolehkan dalam Islam. Ini adalah seperti mana dinyatakan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghiburkan jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian. Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 273)
Tambahan lagi, ia juga bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Namun dalam isu ini, kami melihat pesta hiburan yang diadakan tersebut adalah melampau dan melanggar batas yang telah ditetapkan oleh syarak. Tambahan lagi, ia jelas menyerupai budaya Barat dengan pergaulan dan percampuran yang bebas antara lelaki dan perempuan. Diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda :
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.”
Riwayat Abu Daud (4031)
Imam al-Hafiz Ibn Kathir menyatakan bahawa: Hadith ini menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/87)
Ibn Abd al-Bar menyebut: Ditafsirkan siapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia daripada kalangan mereka atau dihukumkan bersama mereka atau siapa yang bertasyabbuh pada perbuatan mereka, keadaan mereka dan ini secara umumnya dimaksudkan dengan mengikut (meniru perbuatan mereka). (Lihat al-Tamhid, 6/80)
Oleh itu, Keadaan ini bukan sahaja menyalahi prinsip-prinsip moral dan etika dalam Islam, tetapi juga boleh membawa kepada kemudaratan sosial seperti keruntuhan akhlak dan nilai-nilai agama.
Bilal bin Saʿd dalam kenyataannya berkaitan dengan maksiat beliau menyebutkan bahawa: Jika maksiat dilakukan secara sembunyi, ia tidak akan memudaratkan melainkan pelakunya. Sebaliknya jika maksiat dilakukan secara terang-terangan dan ia tidak dibendung, ia akan memudaratkan masyarakat. (Lihat al-Zuhd wa al-Raqaiq oleh ibn al-Mubarak, hlm. 1350, Syu’ab al-Iman, oleh Abu Bakar al-Baihaqi, 10/80)
Fenomena meniru gaya hidup Baratkini banyak melanda sebahagian besar umat Islam. Malah untuk perkara-perkara yang sukar atau hampir mustahil dilakukan sekalipun, ada dalam kalangan umat Islam yang melakukannya. Atas sebab itulah Rasulullah SAW mengumpamakannya dengan lubang dhab.
Sabda Rasulullah SAW
«لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ، شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ» قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى؟ قَالَ: «فَمَنْ»
Maksudnya: “Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob (yang sempit sekalipun), pasti kalian pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang diikuti itu adalah Yahudi dan Nashrani?” Beliau menjawab, “Lantas siapa lagi?”
Riwayat Muslim (2669)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith tersebut, menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan syibr (sejengkal) dan zira’ (sehasta) serta lubang dhab adalah permisalan terhadap tingkah laku umat Islam yang begitu serupa dengan tingkah Yahudi dan Nasrani dari segi mengikuti mereka dalam hal kemaksiatan begitu juga perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. (Lihat: Syarh Muslim ‘ala al-Nawawi; 2/219)
Dhab itu termasuk haiwan reptilia yang ukurannya lebih besar daripada cicak dan lebih kecil daripada biawak. Binatang ini biasanya hidup di padang pasir. Ia tinggal di dalam lubang berupa saluran sempit, panjang dan berkelok-kelok. Begitu juga dengan tingkah laku umat Islam. Apabila seorang wanita Barat mengubah potongan rambutnya, Muslimah pun ramai-ramai ikut gaya rambut tersebut dan menayangkannya. Apabila seorang lelaki Barat galak mempromosi ‘trend’ yang menjatuhkan maruah, Muslim pun tidak ketinggalan melakukannya demi sebuah kandungan di media sosial. Apabila pornografi berleluasa yang tentu saja dipromosikan oleh Tamadun Barat, ada sahaja orang Islam yang membelanya mati-matian.
Muzik dalam Sejarah Islam
Sabda Baginda SAW:
إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT itu cantik, dan suka akan kecantikan.
Sahih Muslim (91)
Musik merupakan satu cabang seni yang menzahirkan keindahan dan kehalusan, seterusnya menatijahkan ketenangan dalam hati. Dalam sejarah Islam, kita mengenali dua nama yang amat sinonim dengan muzik, iaitu Abu Nasr al-Farabi dan Ziryab. Abu Nasr al-Farabi, seorang ahli falsafah terkemuka dunia dan amat terkenal dengan kitabnya berjudul Kitab al-Musiqi al-Kabir. Dalam kitab ini, beliau menjelaskan prinsip-prinsip falsafah tentang muzik, kualiti kosmik dan kesannya. Beliau sepertimana ahli falsafah sebelumnya mengkelaskan muzik sebagai salah satu ilmu-ilmu matematik. Beliau turut menulis satu makalah berjudul Risalah fi al-‘Aql, yang menyentuh tentang terapi muzik serta kesan-kesan positif terapi muzik terhadap jiwa manusia.
Terdapat banyak kisah yang masyhur akan kehebatan beliau bermain muzik, dan diceritakan kehebatan beliau mengalunkan muzik boleh membuatkan pendengar menangis, tertawa bahkan tertidur dalam satu majlis yang sama.
Sejarah Islam juga mengenali nama Ziryab, atau nama sebenarnya Abu al-Hasan ‘Ali ibn Nafi’, yang merupakan ketua ahli muzik di Istana Cordoba, dilahirkan pada tahun 789M di Iraq. Guru muziknya, Ishaq al-Mawsili merupakan pemuzik handal dari Baghdad, dan merupakan ahli muzik kegemaran Khalifah Harun al-Rashid. Dikatakan bahawa beliau menguasai lebih 1000 buah lagu, dan merupakan seorang komposer lagu yang amat handal. Lagu dan irama muzik beliau mempunyai simbolik yang tersendiri, dan bukan semata-mata sekadar bunyi-bunyian yang kosong dari makna.
Beliau juga telah menubuhkan kolej muzik pertama di dunia, yang mengajar antara lain komposisi muzik genre harmoni. Sumbangan beliau kepada muzik diiktiraf di seluruh dunia, dan dikatakan beliau telah mencetuskan revolusi pada zamannya dari sudut kaedah muzik zaman pertengahan, gaya hidup dan fesyen.
Selain itu, kita juga dapati Jalaluddin al-Rumi mendedikasikan banyak bait-bait puisi beliau dalam membicarakan soal muzik. Contohnya:
“Irama seruling menyembuhkan kesakitan perpisahan
Melodinya menghilangkan tabir-tabir keterdesakan”
“Apakah yang mampu menjadi racun dan penyembuh sekaligus? Hanya seruling!
Siapakah yang mampu menjadi penenang dan perindu sekaligus? Hanya seruling!”
(Rujuk Mathnawi, 1:11-12)
Disini kita melihat Jalaluddin al-Rumi sendiri mengakui sifat muzik yang bersifat serampang dua mata, dan mampu membawa kesan positif dan negatif.
Menurut Ibn ‘Abd Rabbihi al-Andalusi sewaktu menyimpulkan khilaf dalam ulama menyatakan bahawa hukum muzik dan nyanyian sama seperti syair; jika baik kandungannya maka baiklah ia, dan jika buruk kandungannya maka buruklah ia. (Rujuk al-‘Aqd al-Farid, 7/10) Inilah juga kalam Imam al-Syafi’e sewaktu bercakap tentang sya’ir yang diriwayatkan oleh Imam al-Juwainiy:
الشعر كلامٌ، حسنه حسن، وقبيحه قبيح
Maksudnya: Syair itu merupakan himpunan kata-kata, apabila baik lafaz dan kandungannya maka baiklah ia, jika buruk maka buruklah ia. (Rujuk Nihayah al-Matlab, 19/24)
Penutup
Justeru, adalah penting bagi kita memastikan setiap bentuk hiburan yang dianjurkan selari dengan ajaran Islam dan budaya ketimuran dengan menekankan adab dan tatasusila yang sewajarnya, serta menghindari unsur-unsur yang boleh merosakkan akidah dan moral masyarakat.
Di sini juga kami mengambil kesempatan menasihati kepada anak muda pada harini agar sentiasa mendalami ilmu agama dan mendekati para alim ulama agar sentiasa berada di atas landasan yang betul. Begitu juga kepada pihak berwajib khususnya Kerajaan mestilah mengambil cakna terhadap apa-apa anjuran aktiviti hiburan yang diadakan adalah selari dengan nilai-nilai moral yang bersifat universal dan sudah pasti tidak melanggar ketetapan syarak.
Wang bukanlah segala-galanya, sehingga prinsip moral boleh tergadai dengan alasan penganjur ‘mematuhi garis panduan’. Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahua’lam