Pelajar Sarjana di al-Majma’ al-‘Ilmi al-‘Ali, Jami’ al-Sadat

Awal pagi Zul, Azli dan Hazman sudah menunggu di al-Majma’ al-‘Ilmi al-‘Ali (MIA) di Masjid al-Aqsab (Jami’ Sadat), Damsyik. Ia adalah sebuah institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh Syeikh Prof. Dr. Muhammad Abdullatif Soleh al-Farfour yang juga berperanan sebagai Dekan. Beliau juga anggota Lajnah Majma’ Fiqh Islami bertempat di Mekah. MIA diasaskan pada tahun 1990 dan mempunyai Kuliyyah Ilmu-Ilmu Islam dan Bahasa Arab, begitu juga Bahagian Pengajian Pascasiswazah. MIA menyediakan pengajian di peringkat Diploma, Licentiate, Sarjana, dan Doktor Falsafah dalam bidang Bahasa Arab, Syariah dan Perundangan.

Syeikh Prof. Dr. Muhammad Abdullatif Soleh al-Farfour dilahirkan pada tahun 1944 di Al-Faiha’, Damsyik dalam sebuah keluarga yang amat disegani dan terkenal dengan keilmuan, perundangan dan kefatwaan sejak ratusan tahun. Beliau menerima didikan ilmu agama secara talaqqi daripada ulama tempatan antaranya bapanya sendiri, al-‘Allamah Syeikh Muhammad Soleh Al-Farfour Al-Hasani, seorang sasterawan dan penyair yang juga terkenal dengan kealimannya dalam fiqh, usul fiqh, akidah dan ilmu perdebatan (munazarah). Selain itu, beliau juga berguru dengan mantan Mufti Syria, Dr. Muhammad Abi al-Yusri ‘Abidin; Mufti Maliki dan Ketua Perikatan Ulama’, Syeikh Muhammad al-Makki al-Kattani; dan Syeikh al-Sayyid Muhammad al-Hasan bin ‘Alawi bin Abbas.

“Enta kenal ke Syeikh ning?”, tanya Azli kepada Zul.  “Fuad Ibnu Ali ade kabor ke ana haritu. Syeikh ade BA di Universiti Syria, Damsyiq. Lepah tu Syeikh buat sekali lagi BA Undang-Undang, Master Fiqh Perbandingan & Undang-Undang. Tesis Syeikh tajuknye ‘Teori Istihsan dalam Perundangan Islam dan Kesannya Terhadap Masalih Mursalah’. Dapat kelas pertame. Subhanallah. Syeikh buat PhD di al-Azhar jugop. Tajuk tesis die ‘Ibn ‘Abidin dan Kesannya Terhadap Fiqh Islami – Satu Kajian Perbandingan dengan Undang-undang’. Mase Syeikh buat viva voce, Syeikh Prof. Dr. Abd al-Ghani Muhammad ‘Abd al-Khaleq yang jadi ketua panel penilai. Syeikh lulus kelas pertama dan Universiti al-Azhar mintak untuk dicetok tesis tu. Beruntung kite dapat belajar bowoh Syeikh.”, Zul bercerita panjang lebar.

“Ni enta bace ning, senarai buku yang Syeikh tulis.”. Zul mengunjukkan sebuah kitab tulisan oleh Syeikh Prof. Dr. Muhammad Abdullatif Soleh al-Farfour berjudul Ahkam al-Solat ‘ala Mazhab al-Syafi’e. Di kulit belakang kitab tersebut menyenaraikan beberapa buah buku tulisan beliau antaranya:

  1. Ibn ‘Abidin wa Atharuhu fi al-Fiqh al-Islami: Dirasah Muqaranah bi al-Qanun
  2. Nazariyyah al-Istihsan wa ‘Alaqatuha bi al-Masalih al-Mursalah
  3. Al-Fiqh al-Hadhari fi al-Islam
  4. Al-Wajiz fi Usul Istinbat al-Ahkam
  5. Al-Madrasah al-Rabbaniyyah wa Rijaluha al-Rabbaniyyun
  6. Al-Zad bin Usul al-Fiqh al-Islami
  7. Al-Arba’un al-Sihhah

“Banyok lagi. Ni baru sebahagian.”, kata Zul. Sambil menunggu giliran untuk menyerahkan dokumen pendaftaran di kaunter, mereka membelek beberapa pamplet yang disediakan.

MIA menghimpunkan lebih 80 orang ulama’ seluruh dunia sebagai Majlis Penasihat Tertinggi. Semasa meneliti buku profil MIA, Zul sempat melihat beberapa nama besar yang menyokong penubuhan MIA antaranya Syeikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, Syeikh Dr. Nuruddin ‘Itr, Syeikh Dr. Mustafa al-Khin, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dan ramai lagi.

“Eh, Zul, Mang. Orang depan kite doh settle tu urusang die. Jom, gilirang kite!”, Azli berbisik kepada kedua-dua sahabatnya. Merek bertiga bergegas ke kaunter dan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran di MIA.

“Kamu bertiga daripada mana?”, tanya pegawai yang dipanggil Ustaz Fuad di kaunter dengan dahi yang berkerut. “Kami daripada Malaysia.”, jawab Zul mewakili sahabat-sahabatnya. Pegawai Ustaz Fuad tersebut menghela nafasnya dan berkata, “Pihak kami memohon maaf. Anda semua sebenarnya terlewat seminggu. Pendaftaran untuk kemasukan ke al-Majma’ al-Ilmi al-‘Ali telah ditutup minggu lepas. Maaf, saya tak dapat bantu.”

Allahuakbar! Masalah kedua pula timbul selepas isu visa di Kedutaan Syria di Amman minggu lalu. Hazman menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Azli pula terduduk di kerusi. Buntu memikirkan solusi bagi masalah mereka ini.

Zul segera berbincang dengan pegawai berkenaan dan memohon jasa baik beliau untuk menerima pendaftaran mereka. 15 minit lamanya mereka berbincang. Azli dan Hazman hanya memerhatikan. Sesekali Zul dan pegawai berkenaan ketawa. Kemudian Zul menunjukkan satu persatu dokumen yang dibawanya. Entah, apa yang dibualkan. Alhamdulillah, akhirnya pegawai berkenaan tersenyum, menganggukkan kepala dan menerima dokumen-dokumen mereka.

Zul berpaling kepada sahabat-sahabatnya dan mengangkat ibu jarinya. “Bereh blakee…”, katanya perlahan sambil tersengih. “Alhamdulillah…”, Azli meraup mukanya tanda syukur. Bermulalah kehidupan baharu Zul sebagai pelajar Sarjana di MIA.

********************

Syeikh Dr. Mustafa al-Khin

Berdebar rasanya apabila hendak bertemu dengan penyelia buat pertama kali. Draf kertas cadangan untuk tesis sarjananya dipegang kemas. Sampai di hadapan pintu bilik penyelianya, Zul membaca nama yang tertera di pintu, “Syeikh Dr. Mustafa Sa’id al-Khin”. Pintu diketuk dan Zul memberi salam.

“Waalaikumussalam. Silakan masuk.” Terdengar suara garau daripada dalam bilik.

Zul membuka pintu.  Kelihatan seorang lelaki yang sudah beruban rambutnya, berkaca mata sedang sibuk membaca buku dan meneliti dokumen di atas mejanya.

“Silakan duduk.”, katanya kepada Zul.

Zul masih agak kekok. Mungkin kerana gementar. Pertama kali berhadapan dengan salah seorang penulis al-Fiqh al-Manhaji, sebuah kitab Fiqh Mazhab Syafie yang popular dan baharu dicetak pada 1992.

Syeikh lahir pada tahun 1922 dan mula menghafal al-Quran pada usia 8 tahun. Dunia persekolahannya bermula di sekolah al-Jam‘iyyah al-Ghara’ yang ditadbir oleh guru besarnya, Syekh Muhammad Hasan Habannakah. Di sini, beliau terkenal sebagai pelajar yang bijak dalam Matematik. Bermula tahun  1931, beliau mula mengikuti bapanya untuk menyertai halaqah ilmu yang dikendalikan oleh Syeikh Hasan Habannakah di Masjid Manjak. Syeikh Hasan Habannakah mengajar di masjid tersebut kepada orang ramai selepas waktu Isya’ dan kepada pelajar pada waktu pagi sehingga Zuhur. Guru beliau di sekolah, Syeikh Husain Khitab dapat mengesan kecerdikannya kerana dapat menghafal 50 hadith dalam satu hari. Lalu gurunya berpesan kepada keluarga Mustafa agar memberi perhatian kepada pendidikan kepadanya.

Syeikh meneruskan pengajian di Maahad Tawjiyyah al-Islami bertempat di Masjid Manjak. Antara rakan sepengajiannya adalah Syeikh Abdul Rahman Hasan Habannakah dan Syeikh Muhamad Hamawi. Pada peringkat ini, beliau mendapat didikan terus daripada Syeikh Hasan Habannakah dengan belajar fiqh, hadith, tafsir dan lain-lain. Pada malam Jumaat mereka belajar sirah dari kitab al-Syifa’ karangan Qadhi ‘Iyad. Pada usia 20 tahun, beliau telah mengajar di Maahad al-Tawjiyyah al-Islamiah dalam subjek Matematik untuk peringkat rendah. Beliau juga mengajar subjek insya’, nahu dan ulum syar’iyyah.

Atas kelebihannya, Syeikh terus memasuki Universiti al-Azhar bermula Tahun 3 dan terus melangkah ke peringkat Doktor Falsafah di sana selepas pentadbiran Universiti al-Azhar membuat ketetapan, mana-mana alumni yang ada pengalaman kerja selama 5 tahun, layak memohon untuk melanjutkan pengajian Doktor Falsafah. Kebetulan, selepas beliau menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Muda, beliau sempat berkhidmat beberapa buah sekolah, Universiti Damsyik dan Universiti Imam Muhammad bin Saud di Riyadh. Tesis PhD beliau bertajuk “Athar al-Ikhtilaf fi al-Qawa‘id  al-Usuliyyah fi Ikhtilaf al-Fuqaha’ (Kesan Perbezaan Kaedah-Kaedah Usul Dalam Perbezaan Pandangan Para Fuqaha)” dan berjaya diselesaikan pada tahun 1971.

Zul masih mendiamkan diri, memandang rak buku Syeikh yang dipenuhi pelbagai kitab. Di atas mejanya juga ada beberapa buah kitab. Di mana-mana ada kitab. Syeikh pula khusyuk membelek dokumen yang bertimbun di atas mejanya. Sepanjang 5 minit, suasana sepi kecuali kedengaran bunyi kenderaan di luar. “Nama kamu Zulkifli ya? Dari Malaysia? Tajuk apa yang kamu hendak tulis?”, tanya Syeikh, memulakan bicara dengan dengan mesra.

Sedar tak sedar, hampir sejam kedua-duanya berbincang. Bermula daripad draf yang telah Zul hasilkan, sehinggalah kepada tajuk tesisnya. Syeikh seorang yang amat teliti, serius, begitu menitikberatkan kaedah bahasa yang tepat. Sepanjang pertemuan pertama itu, beliau banyak membantu Zul dalam mencadangkan bahan rujukan dan panduan penulisan akademik. “Zulkifli. Mulai minggu hadapan, kamu datang ke rumah saya seminggu sekali untuk penyeliaan tesis.”, pesan Syeikh kepada Zul.

. “Zulkifli. Mulai minggu hadapan, kamu datang ke rumah saya seminggu sekali untuk penyeliaan tesis.”, pesan Syeikh kepada Zul.

Zul keluar daripada bilik penyelianya dengan senyuman penuh kelegaan. Beliau membuka beg dan mencapai buku notanya. Penuh dengan catatan hasil perbincangan kedua-duanya. Zul membaca tajuk yang diputuskan oleh Syeikh sebentar tadi…

Al-‘Uqubat: Dirasah Muqaranah baina al-Syari’ah wa al-Qanun al-Wadh’ie
(Hukuman: Kajian Perbandingan antara Syariah dan Undang-Undang Berkanun)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *