Bab 48: Pelajaran Bukan Hanya Di Dalam Kelas

Program Diploma Pengajian Islam adalah program baharu yang ditubuhkan hasil usahasama Zulkifli dan rakan-rakan sejawatannya seperti Ustaz Nafis Borhan, Ustaz Sabri Awang, Ustaz Azman Che Mat, Ustazah Hayati dan Ustazah Jami’ah. Wakil-wakil daripada Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan Bahagian Jaminan Kualiti, Kementerian Pengajian Tinggi (BJK, KPT) telah turun ke Kolej UNITI bagi memantau proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang dikendalikan oleh para pensyarah dalam subjek-subjek Pengajian Islam. Kelas yang dikendalikan Zulkifli, dipantau dan diselia oleh Dr. Abdul Samat Musa selaku salah seorang panel yang dilantik. Beliau merupakan pensyarah di Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).

Berkat kesungguhan pihak pentadbiran, komitmen para pensyarah dan kerjasama para pelajar, hasrat Zulkifli untuk mewujudkan Diploma Pengajian Islam di Kolej UNITI tercapai dan Zulkifli dilantik sebagai Ketua Programnya.

“Para fuqaha membahagikan khilaf kepada beberapa bahagian. Pertama, ikhtilaf tanawwu’. Kedua, ikhtilaf afham. Dan ketiga, iktilaf tudhad. Ana akan bagi contoh mudah untuk setiap perbezaan ikhtilaf ni.”, kata Zulkifli dalam kelasnya di hadapan para pelajar.

Jarang sekali beliau berpandukan kepada nota semasa dalam kelas. Zulkifli lebih selesa mengajar dengan kaedahnya tersendiri, dan contoh-contoh yang disampaikan lebih dekat dengan para pelajarnya. Mungkin itu yang membuatkan kelas beliau terasa lebih “hidup” dan digemari para pelajar. Disiplin beliau dalam mengajar adalah sentiasa tepat pada masa dan tidak meleret. Huraiannya adalah ringkas, padat, dengan bahasa yang amat mudah difahami walaupun oleh para pelajar yang tiada ada asas dalam Bahasa Arab dan agama di peringkat sekolah.

“Pertama, ikhtilaf tanawwu’. Ikhtilaf ini berlaku disebabkan terdapatnya banyak dalil atas satu jenis daripada ibadah. Seseorang tu kadangkala beramal dengan satu dalil dalam ibadah tersebut. Kadangkala dia beramal dengan dalil lain yang juga ada, berkenaan ibadah yang sama. Contohnya bacaan doa iftitah. Dalam satu riwayat dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi SAW membaca:

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ المَشْرِقِ وَالمَغْرِبِ اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنَ الخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ  اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالبَرَدِ

Maksudnya : Ya Allah, jauhkanlah di antaraku dan juga kesalahan-kesalahanku sebagaimana Engkau telah menjauhkan di antara timur dan juga barat. Ya Allah, bersihkanlah diriku daripada kesalahan-kesalahan sebagaimana telah dibersihkan baju yang putih daripada kotoran. Ya Allah, basuhkanlah kesalahan-kesalahanku dengan air, salji, dan juga air sejuk.[1]

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada A’isyah radhiyallahu ‘anha, beliau menceritakan Rasulullah SAW apabila bangun pada waktu malam, Baginda memulakan solat dengan bacaan:

اللهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ  وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ  فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ  عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ  أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ  فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ  اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: Wahai Allah, Tuhan kepada Jibrail, Mikail, dan juga Israfil. Tuhan yang menciptakan langit-langit dan juga bumi. Tuhan yang mengetahui perkara ghaib dan juga perkara yang nyata. Engkau menghukum di antara hamba-hamba-Mu terhadap perkara yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah aku akan kebenaran terhadap apa yang mereka perselisihkan dengan keizinan-Mu. Sesungguhnya Engkau memberikan hidayah kepada sesiapa yang Engkau kehendaki ke arah jalan yang lurus.[2]

“Lain kan bacaan pertama dan kedua? Kita beramal dengan dua-dua bentuk bacaan ini, dapat pahala walaupun berbeza kerana ini perbezaan dalam jenis lafaz dan Rasulullah SAW pernah membaca dengan kedua-dua bacaan ini.”

“KRRIIIIINNNNGGGG……”. Loceng berbunyi menandakan sudah masuk waku rehat pada jam 1 petang.

Zulkifli menamatkan kelasnya dan memaklumkan kepada para pelajar. “Insya-Allah, ana akan sambung perbahasan ikhtilaf afham dan ikhtilaf tudhah dalam kelas esok. Kelas Tafaqquh Fiddin Matan Ajurrumiah dan Fath al-Qarib jam 2.30 petang ini seperti biasa, di surau. Terima kasih semua…”

********************

Hubungan Zulkifli dengan para pelajar sangat erat. Beliau tidak lokek untuk memberi wang, mahupun berbelanja untuk para pelajarnya. Tidak hairan jika melihat pelajar kelasnya membawa periuk nasi, beras dan lain-lain perkakas memasak serta bahan mentah ke kampus kerana adakalanya mereka akan bergotong royong memasak dan makan bersama-sama di dalam dulang pada waktu senggang. Setiap pelajar dibahagikan dengan tugas masing-masing.

“Razmalinda. Awak cari lagi 2-3 orang kawan-kawan, untuk memasak ye. Mea, duit yang ana bagi tadi, enta belilah barang-barang mentah yang sesuai. Cari sahabat-sahabat enta yang pandai masak. Kite nak buat Nasi Lemak.”. Zul mengagihkan tugas kepada Razmalinda dan Razman, dua orang pelajarnya.

Pengalaman pembelajaran Zulkifli dengan para masyaikh di Universiti Islam Madinah yang adakalanya diadakan di kebun kurma, dan kemudiannya bergotong royong menyiapkan juadah untuk dinikmati bersama, dipraktikkan semula di Kolej UNITI. Itu lebih mengurangkan tekanan kepada para pelajar, disamping membina hubungan yang lebih akrab antara pelajar dan pensyarah.

“Ustaz, ana ada soalan. Apa hukum makan tangan kiri?”, tanya Hasrulnizam. Beberapa pelajar lain ketawa kecil kerana soalan itu mungkin terlalu remeh untuk ditanyakan. Makanan yang masih panas-panas telah siap terhidang di dalam dulang. Perut masing-masing sudah berkeroncong. Cuma selalunya, mereka akan mendengar tazkirah ringkas terlebih dahulu yang disampaikan oleh Zulkifli sendiri.

Zulkifli membalas, “Soalan yang amat baik. Jumhur ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali berpandangan bahwa hukum makan dengan tangan kanan sunat dan dianjurkan, dan makruh hukumnya makan dan minum dengan tangan kiri kalau bukan dalam keadaan darurat. Kebanyakan ulama mazhab Syafi’e berpandangan, hukum makan dengan tangan kanan  sunat dan dianjurkan. Ini yang dikemukakan oleh Imam al-Ghazali dan Imam al-Nawawi. Antum balik nanti boleh rujuk dalam Al-Bahr al-Ra’iq, al-Bariqah al-Mahmudiyyah, Hasyiyah al-‘Adawi, dan Mughni al-Muhtaj. Menurut salah satu qaul Imam al-Syafi’e, beliau tegasskan hukum makan dengan tangan kanan adalah wajib.”

“Sebab ape makruh? Nabi SAW pernah doakan keburukan kepada seseorang yang tak mahu makan dengan tangan kanan:

أَنَّ رَجُلاً أَكَلَ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بِشِمَالِهِ فَقَالَ « كُلْ بِيَمِينِكَ ». قَالَ لاَ أَسْتَطِيعُ قَالَ « لاَ اسْتَطَعْتَ ». مَا مَنَعَهُ إِلاَّ الْكِبْرُ. قَالَ فَمَا رَفَعَهَا إِلَى فِيهِ.

Maksudnya: Ada seorang lelaki makan di samping Rasulullah SAW dengan tangan kirinya. Lalu Rasulullah bersabda, ‘Makanlah dengan tangan kananmu!’ Dia menjawab, ‘Aku tidak mampu.’ Baginda bersabda, Semoga kamu benar-benar tidak mampu melakukannya.’ Tidaklah dia enggan untuk makan dengan tangan melainkan kerana kesombongan. Setelah itu tangannya tidak mampu sampai ke mulutnya.[3]

********************

“Sedak ork ngaji dengan Zul? Ade makang-makang. Sarah mesti suke.”, tanya Tok Aki kepada cucunya.

“Betul. Betul. Betul! Bestla makan sama-sama. Ada masa serius, ada masa santai. Tapi ade je ilmu yang dapat. Atuk, kelas di surau tu, yang kitab Atuk sebut tu, belajar macam mane? Sarah tak fahamlah.”, ujar Sarah kepada Tok Aki.

Tok Aki tersenyum dan membalas, “Oh. Tu kelas pengajian kitab Matan Ajurrumiah, ilmu Nahu. Se lagi kitab Fath al-Qarib, kitab Fiqh Mazhab Syafie. Zul akan duduk tengah-tengah, para pelajar die di keliling. Segheme kene hafal matan Ajurrumiah. Zul akan check se se. Jadi, pelajar pun bangung untuk semok hafazang dengan Zul. Bende ning Zul buat mase die naik jadi Ketue Program Pengajian Islam. Die buat gitu sebab nok kukuhkan asas ilmu agama para pelajar.”

Sarah mengangguk tanda faham.

____________________

[1] Riwayat al-Bukhari, no. 744 dan Muslim, no. 598.

[2] Riwayat Muslim, no. 770.

[3] Sahih Muslim, no. 2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *