Penggunaan AI dalam Aplikasi al-Inarah dan The Noor

Mukadimah

Alhamdulillah, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW, keluarga dan para sahabat serta yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Kesudahan.

Pada 17 Ramadhan 1444 H, telah berlangsung satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Maktabah al-Bakri dan TheNoor. Satu kolaborasi strategik telah diumumkan bagi pembangunan sistem kecerdasan buatan (AI) untuk soal jawab agama dalam Bahasa Melayu. Ia merupakan inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia dan di seluruh dunia.

Kami katakan bahawa Islam dan teknologi tidak dapat dipisahkan. Persoalannya adalah sejauh mana kita dapat memanfaatkan teknologi untuk perkembangan dan pengukuhan agama Islam itu sendiri. Benarlah sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

Maksudnya:Hikmah kebijaksanaan merupakan harta yang hilang milik orang Mukmin; di mana sahaja dia dapatinya, maka dialah yang paling berhak ke atasnya.”

Riwayat al-Tirmizi (2687)

Isu ini pernah timbul sebelum ini di mana kami pernah mengeluarkan kenyataan jawapan berkenaan Chatgpt yang perlu dikemaskini atau diperbaiki. Namun, apa beza teknologi AI tersebut dengan AI yang akan dibangunkan melalui The Noor dan al-Inarah? Inilah persoalan yang akan kami jawab dan kami kupas pada kali ini. Justeru, dalam ruangan al-Mawaqif pada kali ini, kami kemukakan dengan tajuk Penggunaan AI dalam Aplikasi al-Inarah dan The Noor. Semoga ia dapat memberi satu pencerahan dengan sebaik mungkin.

Definisi AI

Menurut  Encyclopædia Britannica, Artificial Intelligence (AI) atau kecerdasan buatan adalah keupayaan komputer digital atau robot yang dikawal komputer untuk menjalankan tugas yang biasanya dikaitkan dengan makhluk berakal. Istilah ini kerap digunakan untuk projek pembangunan sistem yang dianugerahkan proses intelektual khas manusia, seperti keupayaan untuk berhujah, mencari makna, menggeneralisasi, atau belajar dari pengalaman masa lalu. 

Sejak pembangunan komputer digital pada tahun 1940-an, telah ditunjukkan bahawa komputer boleh diprogram untuk menjalankan tugas yang sangat kompleks—seperti mencari bukti untuk teorem matematik atau bermain catur—dengan kecekapan yang hebat. Namun, meskipun terus ada kemajuan dalam kelajuan pemprosesan komputer dan kapasiti memori, masih belum ada program yang dapat menyesuaikan fleksibiliti manusia sepenuhnya di domain yang lebih luas atau dalam tugas yang memerlukan banyak pengetahuan harian. 

Di sisi lain, beberapa program telah mencapai tahap prestasi pakar dan profesional manusia dalam menjalankan tugas tertentu, sehingga kecerdasan buatan dalam pengertian terbatas ini ditemui dalam aplikasi yang pelbagai seperti diagnosis perubatan, enjin carian komputer, pengenalan suara atau tulisan tangan, dan chatbot.

Dalam bahasa lain, kecerdasan buatan, atau AI, adalah teknologi yang membolehkan komputer dan mesin untuk mensimulasikan kecerdasan manusia dan kemampuan menyelesaikan masalah. Secara sendirian atau digabungkan dengan teknologi lain (contohnya, sensor, geolokasi, robotik) AI dapat melakukan tugas yang sebaliknya memerlukan kecerdasan atau campur tangan manusia. Pembantu digital, panduan GPS, kenderaan autonomi, dan alat AI generatif (seperti Chat GPT Open AI) adalah hanya beberapa contoh AI dalam berita harian dan kehidupan harian kita.

Jenis-Jenis AI

Terdapat beberapa jenis AI dan perbezaanya seperti berikut:

Kecerdasan Buatan: Ia adalah satu ciri di mana mesin belajar untuk melakukan tugas, bukan hanya melakukan pengiraan yang dimasukkan oleh pengguna manusia. Aplikasi awal AI termasuk mesin yang boleh bermain permainan seperti dam dan catur, dan program yang boleh menghasilkan bahasa. 

Pembelajaran Mesin: Pendekatan AI di mana algoritma komputer (set peraturan dan prosedur) dibangunkan untuk menganalisis dan membuat ramalan dari data yang dimasukkan ke dalam sistem. Teknologi berasaskan pembelajaran mesin digunakan setiap hari, seperti suapan berita peribadi dan peta ramalan lalu lintas. 

Rangkaian Neural: Pendekatan pembelajaran mesin yang dimodelkan selepas otak di mana algoritma memproses isyarat melalui nod yang saling berhubung yang dipanggil neuron buatan. Meniru sistem saraf biologi, rangkaian neural buatan telah digunakan dengan jayanya untuk mengenali dan meramalkan corak isyarat neural yang terlibat dalam fungsi otak. 

Pembelajaran Mendalam: Bentuk pembelajaran mesin yang menggunakan banyak lapisan pengiraan untuk membentuk apa yang digambarkan sebagai rangkaian neural mendalam, yang mampu belajar dari jumlah data kompleks, tidak terstruktur yang besar. Rangkaian neural mendalam bertanggungjawab untuk pembantu maya yang dikawal suara serta kenderaan pandu sendiri, yang belajar untuk mengenali tanda lalu lintas.

Penggunaan AI dalam Mencari Maklumat, Mengatur dan Menganalisa

Secara umumnya, antara contoh penggunaan AI dalam mencari maklumat, mengatur dan menganalisa adalah seperti berikut:

Pertama: Mencari Maklumat

  • Mesin Pencarian: Google dan Bing menggunakan algoritma AI yang kompleks untuk memahami dan memproses permintaan pencarian pengguna, serta bagi mengembalikan hasil atau carian yang paling relevan. Algoritma ini mempertimbangkan banyak faktor, termasuk kata kunci yang digunakan, lokasi pengguna, dan sejarah pencarian sebelumnya, untuk memberikan hasil yang paling relevan dan tepat. Selain itu, mesin pencari ini juga menggunakan AI untuk memahami dan mengindeks halaman web, yang memungkinkan mereka untuk menemukan dan mengembalikan informasi yang relevan dalam tempoh beberapa saat. 

Sebagai contoh, jika seseorang mencari, “restoran terbaik di Kuala Lumpur,” maka mesin pencari akan menggunakan AI untuk memahami konteks permintaan tersebut dan mengembalikan hasil carian yang paling relevan, seperti senarai restoran yang telah mendapat ulasan bagus daripada pengguna lain.

  • Rekomendasi Produk: Perkhidmatan seperti Amazon dan Netflix menggunakan AI untuk menganalisis perilaku pengguna dan memberikan cadangan produk atau filem yang sesuai. Sebagai contoh, jika seseorang sering membeli buku tentang sejarah di Amazon, maka AI akan belajar dari perilaku ini dan mula merekomendasikan buku sejarah lain yang mungkin dia sukai.

Kedua: Mengatur

  • Pengurusan Email: Gmail menggunakan AI untuk mengatur email ke dalam kategori seperti Utama, Sosial dan Promosi, serta menandakan email yang berunsurkan spam. Sebagai contoh, jika seseorang menerima email dari laman media sosial seperti Facebook, maka AI akan secara automatik akan memindahkannya ke folder Sosial.
  • Asisten Virtual: Siri, Alexa dan Google Assistant menggunakan AI untuk mengatur jadual, mengatur alarm, mengirim pesanan dan banyak tugasan lain berdasarkan perintah suara pengguna. Sebagai contoh, pengguna boleh meminta Siri untuk mengatur alarm untuk bangun pagi atau meminta Google Assistant untuk mengirim mesej atau pesanan kepada rakannya.

Ketiga: Menganalisa

  • Analisis Sentimen: AI digunakan untuk menganalisis sentimen dalam teks, seperti ulasan produk atau posting di media sosial, untuk memahami pandangan pengguna umum.
  • Pengesanan Penipuan: Bank dan Badan Kewangan menggunakan AI untuk menganalisis pola transaksi dan mengesan aktiviti mencurigakan atau penipuan. Sebagai contoh, jika ada transaksi besar yang tidak normal pada kad kredit seseorang, maka AI dapat mengesan ia sebagai aktiviti mencurigakan dan memberitahu pemiliknya, bahkan menyekat transaksi tersebut.

Selain itu, terdapat beberapa aplikasi atau perisian AI yang boleh dikatakan menjalankan tugas yang hampir sama sepertimana yang akan dilakukan oleh aplikasi al-Inarah dan The Noor. 

Antaranya ialah Ifta Maya atau Virtual Ifta. Ia telah dilancarkan pada 29 Oktober 2019 oleh Bandar raya Dubai. Ia juga dikatakan perkhidmatan dunia pertama yang menggunakan kepintaran buatan (AI) untuk mengeluarkan fatwa. Pameran telah diadakan selama 3 hari, sehingga 31 Oktober 2019, di Menara Pejabat Emirates selaras dengan fasa pertama inisiatif ‘Dubai 10X’ yang diadaptasi dari cetusan idea Yang Mulia Syeikh Hamdan bin Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Pemangku Raja Dubai dan Pengerusi Majlis Eksekutif Dubai, serta Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Masa Depan Dubai.

Ifta Maya adalah sistem fatwa pintar yang berfungsi selama 24 jam. Ia mengubah mekanisme penyediaan fatwa Syariah melalui teknologi Kecerdasan Buatan (AI),  dan bukan lagi sarjana Islam yang menjawab soalan menerusi telefon. Program Ifta Maya menyumbang kepada penyediaan beberapa saluran inovatif yang memudahkan menjawab pertanyaan. Ia juga memudahkan penyediaan fatwa Syariah yang diluluskan oleh IACAD dan menyampaikannya secara inovatif dan interaktif yang membolehkan pengguna dari seluruh dunia mengakses fatwa dalam Bahasa Arab dan Inggeris. Meskipun begitu, ketika pelancarannya, mereka menyatakan bahawa Ifta Maya hanya mampu menjawab 205 soalan berkaitan solat. Ini sepertimana dijelaskan oleh Ketua Bahagian Fatwa Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Kebajikan (IACAD), Tariq Al Emadi ketika pelancaran rasmi Ifta Maya tersebut.

Akhlak yang Sepatutnya Dimiliki Ketika Menggunakan AI

Oleh kerana isu ini amat baru dan moden yang bersifat terkini, maka fatwa berkenaan AI adalah amat nadir dan jarang ditemui pada masa saya menyiapkan penulisan ini. Saya nyatakan di sini beberapa poin yang dikemukakan oleh al-‘Allamah Syeikh Abdullah bin Bayyah dalam persidangan Rome Call for AI Ethics pada 10 Januari 2023. 

Syeikh menegaskan bahawa semua agama dalam risalah masing-masing mahukan kebahagiaan manusia. Tetapi Islam menggesa untuk mencapai dan mendapatkan pengetahuan dengan kajian dan ilmu sebagaimana firman Allah SWT:

 وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

Maksudnya: “Dan berdoalah dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku’.”

(Surah Taha: 114)

Ilmu dengan mafhum yang lebih luas merangkumi sebarang bentuk pengetahuan sama ada agama mahupun dunia yang dengannya tertegaknya masyarakat secara kerohanian dan material. Itulah cara berdirinya tamadun dan membangun dapatan kajian di mana agama sekali-kali tidak pernah menghalangnya bahkan menggalakkannya.

Menurut beliau, sebarang bentuk AI perlu meraikan batasan akhlak yang menjadi nilai yang paling tinggi bagi kedudukan manusia memelihara kemuliaannya dan kehidupannya.

AI adalah sebahagian daripada ciptaan moden timbul dari sifat kecerdikan manusia yang telah berpindah dari perkembangan teori kepada realiti dan penghasilan. Kejayaannya amat membanggakan dalam pelbagai cabangan dan bidang dan ia sentiasa berkembang yang memberi faedah kepada golongan yang khusus dan juga pihak kerajaan.

Mutakhir ini, AI telah menguasai kecerdikan buatan yang mampu menduduki banyak cabang seperti kesihatan, pengangkutan, pembelajaran, latihan dan pembuatan. Ini sudah tentu menambahkan lagi kehidupan manusia dengan lebih baik. Dalam masa yang sama, Syeikh juga mengingatkan bahawa AI boleh membuka pintu yang membawa kepada banyaknya bahaya dan malapetaka apabila penggunaannya tersalah langkah.

Kesungguhan manusia untuk mencapai sesuatu sehingga membinasakan diri digambarkan oleh beliau melalui syair  oleh penyair Arab yang terkenal Abu al-Fath al-Busti seperti katanya:

كَدُودٌ كَدُودِ القَزِّ يَنْسُجُ دَائِماً                  وَيَهْلِكُ غَمًّا وَسْطَ مَا هُوَ نَاسِجُهْ

Dia bersungguh seperti ulat sutera yang sentiasa menganyam

         Dan dia membinasakan dengan kecewa saat menganyamnya.

(Lihat Mu‘jam al-Udaba’ oleh Yaqut al-Hamawi, 1/103)

Menariknya, Syeikh menimbulkan beberapa persoalan secara falsafah akhlak berkenaan kebebasan, kehendak, dan kebertanggungjawaban. Beliau bertanyakan beberapa soalan antaranya

  1. Siapa yang menanggung kesilapan AI?
  2. Apa yang akan berlaku dengan hubungan sosial antara manusia?
  3. Bagaimana mungkin AI memberi kesan kepada akhlak dan peradaban serta perlakuan kita?
  4. Bagaimana cara kita membetulkan kesilapan AI?
  5. Bagaimana kita hendak menghukum sistem atau program yang kita bina jika ia lebih cerdik daripada kita?
  6. Bagaimana kita boleh menjamin kita selamat?

Semuanya ini akan membentuk satu ancaman kepada sistem manusia keseluruhannya yang dikenali di sisi Islam sebagai kulliyat al-khams iaitu memelihara agama, kehidupan, akal, pemilikan harta benda dan keluarga. Manakala sifat syariat adalah untuk memelihara kelima-limanya.

Antara kerisauan yang ditimbulkan beliau adalah ancaman besar kepada keluarga yang menyebabkan hilang keadaan bersendirian tanpa gangguan (privacy) dan pencerobohan data maklumat, bahkan boleh menyebabkan hilang harta benda dan pemilikan. Lebih parah daripada itu, dibimbangi ia membawa perpecahan kepada masyarakat melalui penyebaran maklumat yang palsu, sesat dan lain-lain.

Syeikh menyeru pemimpin agama, pengurusan syarikat, pelaksana dan kerajaan untuk bekerjasama bagi membesarkan faedah daripada AI dan mengecilkan mudaratnya berdasarkan neraca akhlak Islam yang mulia

Beliau membawakan kaedah yang masyhur berdasarkan hadith:

‏ لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”

Menurutnya, ia menjadi asas hukum oleh pemerintah agar dapat memelihara manusia dalam arus kemajuan dan perkembangan AI daripada sebarang kemudaratan.

Beliau akhirnya menyimpulkan, perkembangan AI dalam masyarakat tidak memadai dengan hanya memenuhi tujuan tertentu semata-mata, tetapi nilai dan akhlak yang mulia wajib dijunjung dan menjadi petunjuk jalan yang sebenarnya.

Sebarlah Islam 

Menyebarkan agama Islam, ilmu dan hukum-hakamnya di samping menjelaskan salah faham terhadap Islam dengan menggunakan pelbagai aplikasi merupakan satu perintah umum Rasulullah SAW kepada kita semua. Daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.”

Riwayat al-Bukhari (3461) dan al-Tirmizi (2669)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Al-Mu’afi al-Nahrawani berkata dalam kitabnya al-Jalis: Ayat (آيَةً) dalam bahasa Arab digunakan dalam tiga makna, iaitu:

Pertama: Tanda-tanda yang agung

Hal ini sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah SWT:

 آيَتُكَ أَلَّا تُكَلِّمَ النَّاسَ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ إِلَّا رَمْزًا ۗ

Maksudnya: “Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja.”

(Surah Ali Imran: 41)

Kedua: Mukjizat atau keajaiban yang berlaku

Ini seperti yang terdapat dalam firman Allah SWT:

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً

Maksudnya:Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah).”

(Surah Ali Imran: 49; Surah Hud: 103; Surah al-Hijr: 77; Surah al-Nahl: 11 65, 67, 68; al-Syu’ara’: 8)

Ketiga: Musibah yang menimpa

Hal ini seperti dalam kalimat:

جَعَلَ الْأَمِيْرُ فُلَانًا الْيَوْم آيَة

Maksudnya: “Pemimpin itu menimpakan musibah kepada si fulan pada hari ini.”

Ketiga-tiga makna ini disebut sebagai ayat (آيَةً) kerana mengandungi makna petunjuk, pemisahan dan penjelasan.

Manakala dalam hadith di atas, disebut ‘وَلَوْ آيَةً’ (walaupun satu ayat), yakni hendaklah setiap yang mendengar segera menyampaikan ayat yang didapatkan atau didengarnya meskipun sedikit, agar semua yang datang dari Nabi SAW dapat dinukil.” Demikian perkataan al-Mu’afi. (Lihat Fath al-Bari, 17/660)

Selain itu, makna hadith di atas juga adalah bahawa seorang Muslim dituntut untuk menyampaikan ayat al-Quran dan al-Sunnah yang telah sampai kepadanya, kepadanya orang lain yang belum mengetahuinya.

Hal ini sepertimana dijelaskan oleh al-Mubarakfuri, bahawa lafaz hadith ‘بَلِّغُوا عَنِّي’ (Sampaikanlah daripadaku) bermaksud sampaikanlah walaupun satu ayat pendek daripada al-Quran. Al-Quran datang dari sisi Allah dan disampaikan oleh Rasulullah SAW. Perintah dalam hadith ini terlebih lagi mencakupi juga perintah untuk menyampaikan hadith-hadith Nabi SAW.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/360)

Sebahagian ulama mentafsirkan perkataan ‘آيَةً’ dalam hadith di atas sebagai perkataan yang bermanfaat. Hal ini sepertimana makna yang terkandung dalam hadith daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَمَتَ نَجَا

Maksudnya: “Sesiapa yang diam, maka dia akan selamat.”

Riwayat al-Tirmizi (2501) dan Ahmad (6481). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij musnad Ahmad (9/1960).

Dan hadith daripada Tamim al-Dari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ

Maksudnya: “Agama itu adalah nasihat.”

Riwayat Muslim (55)

Justeru, berdasarkan hal ini, ditafsirkan makna hadith tersebut adalah, “Sampaikanlah hadith-hadith daripadaku walaupun sedikit.”

Namun yang kuat adalah pentafsiran yang pertama, seperti yang dikuatkan oleh al-Mubarakfuri.

Atas asas inilah, kami mengorak langkah dengan mengemukakan dhawabit dan pelaksanaan AI di The Noor dan Apps al-Inarah semata-mata sebagai petanda Islam sesuai di sepanjang zaman dan masa. Islam sekali-kali tidak menentang kemodenan dan anti-establishment. Sebaliknya, boleh digunakan dengan seupaya mungkin mengikut dhawabit dan akhlak Islamiyyah.

Cadangan Garis Panduan Pembangunan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi Soal Jawab Agama di TheNoor

  • Bagi memastikan AI menyediakan jawapan yang tepat, semua bank jawapan yang terdapat di web maktabahalbakri.com akan disemak oleh Pegawai Penyelidik Maktabah al-Bakri dan disahkan oleh Lajnah Tarjih yang akan dilantik oleh Pengerusi TheNoor.
  • Jawapan yang dikemukakan AI hanyalah ringkasan. Sekiranya pengguna ingin penjelasan lanjut dan menyeluruh, AI akan menyarankan pautan ke aplikasi al-Inarah.
  • Sekiranya ada jawapan yang mungkin menimbulkan pertanyaan dalam kalangan masyarakat, Maktabah Al-Bakri berhak untuk membuat penjelasan dan kenyataan bagi menjelaskan kekeliruan. Dalam masa yang sama, jika ada jawapan yang telah dibuktikan salah, Maktabah Al-Bakri bertanggungjawab penuh dalam memperbetulkannya.
  • Jelaskan kepada pengguna bahawa sistem ini adalah AI yang mungkin memiliki keterbatasan dan tidak boleh dianggap sebagai pihak berautoriti yang mutlak. Berikan makluman ringkas tentang bagaimana sistem tersebut bekerja dan bagaimana jawaban dibuat. Jika pengguna ada pertanyaan lanjut, boleh disalurkan kepada Maktabah Al-Bakri.

Penutup

Alhamdulillah, selesailah sudah dapatan kajian kami dalam siri al-Mawaqif dengan tajuk  Penggunaan AI dalam Aplikasi al-Inarah dan TheNoor. Kami sentiasa berusaha untuk menjawab persoalan-persoalan baru (ahkam mustajiddah) dengan lebih baik dari semasa ke semasa.

Peranan AI dalam TheNoor yang dikuasakan oleh Al-Inarah hanya terbatas kepada himpunan jawapan dalam maktabahalbakri.com, yang diringkaskan untuk kemudahan pengguna. Pun begitu, amanah dan tanggungjawab sebagaimana yang disebutkan di dalam Sifat al-Fatwa wa al-Mufti wa al-Mustafti oleh Ibn Hamdan al-Harrani sentiasa diutamakan. Kami juga mengambil kecaknaan dan prihatin berkenaan dengan saranan yang terkait isu akhlaq Islamiyyah ketika berinteraksi dengan AI ini seperti nasihat para ulama’.

Kami mengharapkan usaha yang kami lakukan ini dirahmati lagi diberkati Allah untuk ummah dalam mencari kebenaran yang terkait dengan hukum-hakam dalam melayari bahtera kehidupan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75) 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *