Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana hukum perkahwinan antara manusia dengan jin? Adakah dibolehkan perkahwinan seperti itu? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Takrif Jin dan Hakikat Kewujudannya

Secara asasnya, kita perlu mengakui akan kewujudan jin di dalam alam ini. Demikian juga kita mengakui bahawa golongan jin ini mempunyai jisim serta boleh berubah bentuk kepada pelbagai jenis bentuk.

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut al-Jin berbeza dengan al-Insan. Lafaz “وَأَجَنَّهُ” bermaksud “Apabila dilindungi sesuatu”. Dan bagi setiap sesuatu yang dihijab daripada kamu maka sesungguhnya (جُنَّ) iaitu dilindung (tidak boleh dilihat) daripada kamu.

Ibn Manzur menyatakan, dinamakan al-Jin kerana terlindung dan terhalang mereka itu daripada pandangan. Ini seperti al-Janin dilindung (daripada pandangan) ia daripada perut ibunya.[1]

Walaupun kita tidak dapat melihat mereka dengan mata kasar kita ia bukan bermakna syaitan dan jin tidak wujud. Kewujudan mereka tidak dapat dilihat oleh kita. Ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT:

إِنَّهُۥ يَرَىٰكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُۥ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ

Maksudnya: “…Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka…”[2]

Syeikh Tahir Ibn ‘Asyur menyebut bahawa sebahagian ahli ilmu menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa syaitan tidak mungkin untuk dilihat. Akan tetapi bukan begitu maksud ayat tersebut. Ianya membawa makna bahawa mereka melihat kita dalam keadaan kita tidak boleh melihat mereka. Kalaupun kita tidak boleh melihat mereka itu tidak bermakna kita tidak boleh melihat mereka selama-lamanya. Tidak dapat melihat mereka pada waktu sekarang tidak boleh menafikan kewujudan mereka secara mutlak.[3]

Maka kita boleh katakan bahawa orang yang mengingkari kewujudan jin dan syaitan pada hakikatnya mereka mengingkari perkara yang sudah mencapai taraf mutawatir yang kalau disanggahi atau dinafikan ditakuti akan jatuh kepada kekufuran kerana menafikan sesuatu yang mutawatir.

Sheikh Muhammad al-Syibli menukilkan pandangan Imam Al-Haramain Al-Juwaini. Beliau berkata: “Ketahuilah bahawa kebanyakan ahli falsafah,golongan Qadariah dan kesemua orang yang zindiq mengingkari akan kewujudan jin dan syaitan. Pengingkaran yang dilakukan oleh mereka tidak lain tidak bukan adalah kerana tidak mentadabbur dan memperdalami Syariah. Sedangkan di sana terdapat nas-nas yang mutawatir dan athar-athar yang masyhur.”[4]

Abu al-Qasim al-Ansari anak murid kepada Imam al-Haramain menyebut bahawa mengithbatkan kewujudan jin dan syaitan bukanlah mustahil dari sudut akal. Nas Al-Quran dan hadis terlebih dahulu memperakui kewujudan mereka. Oleh kerana itu mereka yang berpegang kepada agama mestilah mengetahui bahawa ianya perkara yang harus pada akal dan telahpun dibuktikan melalui nas-nas ayara’.[5]

Jin Juga Ditaklifkan Seperti Manusia

Ibn ‘Abd al-Bar yang menyebut: Golongan jin di sisi jemaah (para ulama) adalah kumpulan mukallaf yang turut termasuk dalam khitab (syarak). Ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَبِأَي آلَاء رَبكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maksudnya: “Maka dengan nikmat Tuhan kamu berdua yang manakah hendak kamu dustakan?”[6]

Imam al-Razi dalam tafsiran beliau terhadap ayat di atas berkata : Kesemua ulama telah bersepakat bahawa golongan jin kesemuanya adalah mukallaf.

Manakala al-Qadhi Abu al-Hasan ‘Abd al-Jabbar pula menyebutkan: Kami tidak mengetahui sebarang khilaf dalam kalangan ahli nazhar tentang hal tersebut (iaitu jin termasuk dalam kalangan mukallaf). Dan al-Quran menyebutkan tentang hal itu dalam banyak ayat.

Begitu juga di dalam surah yang lain menceritakan tentang keimanan golongan jin kepada Allah SWT apabila mendengar ayat al-Quran yang dibacakan kepada mereka. Ini membuktikan bahawa golongan jin juga ditaklifkan supaya beriman kepada Allah SWT seperti mana ditaklifkan kepada golongan manusia. Firman Allah SWT:

قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا ﴿١﴾ يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ ۖ وَلَن نُّشْرِكَ بِرَبِّنَا أَحَدًا

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan! ‘Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.[7]

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyebut di dalam tafsirnya bahawa ayat di atas antaranya menjelaskan bahawa golongan jin juga diberi taklifan dan tanggungjawab mengikut syariat Islam seperti mana golongan manusia. Begitu juga, di antara kalangan mereka itu terdapat golongan yang beriman dan mereka menyeru kepada golongan jin yang kafir agar beriman kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada seluruh makhluk termasuk manusia, jin dan malaikat.[8]

Imam al-Qadhi Badr al-Din al-Syibli menyebut: Ini adalah antara beberapa ayat yang menunjukkan ke atas taklifannya mereka (golongan jin) dan mereka itu turut termasuk dalam ayat suruhan dan juga ayat larangan.[9]

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan tidaklah aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku.”[10]

Maka berdasarkan ayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa golongan jin dan manusia adalah termasuk dalam arahan untuk beribadah kepada Allah SWT. Ini seperti yang disebutkan oleh Saidina Ali bin Abi Thalib R.A dalam menghuraikan maksud ayat di atas dengan katanya: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk Aku perintahkan kepada mereka agar beribadah.”[11]

Dalam kitab A’lam al-Jin wa al-Syaitan menyatakan, bahawa ayat di atas menggambarkan jin diberi taklifan melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Sekiranya mereka mentaatinya, maka redha Allah SWT ke atas mereka dan diberikan ganjaran syurga. Dan sekiranya mereka melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT, maka mereka akan diberi balasan neraka.[12]

Justeru, perbahasan di atas membenarkan bahawa golongan jin juga termasuk di dalam kalangan yang diberi taklifan supaya beriman dan patuh kepada perintah Allah SWT sepertimana yang ditaklifkan kepada umat manusia.

 

Golongan Jin Yang Beriman dan Kufur Kepada Allah SWT

Dalam hal ini juga, Allah SWT telah menjelaskan bahawa terdapat golongan jin yang beriman kepada-Nya serta golongan jin yang ingkar dan kufur terhadap-Nya. Firman Allah SWT:

وَأَنَّا مِنَّا الْمُسْلِمُونَ وَمِنَّا الْقَاسِطُونَ ۖ فَمَنْ أَسْلَمَ فَأُولَـٰئِكَ تَحَرَّوْا رَشَدًا

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang berugama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar.”[13]

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya menyebut, ayat di atas menceritakan tentang golongan jin ini sesetengah daripada mereka beriman, taat dan beramal soleh kepada Allah SWT dan sesetengah daripadanya melakukan kezaliman dan menyimpang daripada jalan kebenaran dan kebaikan… (الْقَاسِطُونَ) bermaksud golongan jin yang kafir, mereka menyeleweng daripada pertunjuk yang benar. Dan mereka ini akan dimasukkan ke dalam neraka Allah SWT.[14]

Begitu juga, di dalam hal ganjaran dan pembalasan Allah SWT terhadap golongan jin yang beriman dan kufur. Hal ini digambarkan di dalam al-Quran, bahawa mereka akan diberi ganjaran dan balasan di hari akhirat kelak. Oleh itu, ini tidak membezakan mereka daripada apa yang diberikan oleh Allah SWT kepada golongan manusia. Firman Allah SWT:

فِيهِنَّ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنسٌ قَبْلَهُمْ وَلَا جَانٌّ

Maksudnya: “Di dalam syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin.”[15]

Ibnu Kathir menyatakan, ayat di atas merupakan bukti bahawa golongan jin yang beriman akan dimasukkan kedalam syurga. Dinukilkan riwayat daripada Artah bin al-Manzur katanya: telah ditanya kepada Dhamrah bin Habib, adakah golongan jin dimasukkan ke dalam syurga? Katanya: “Ya, bahkan mereka juga berkahwin.”[16]

Perkahwinan Antara Jin dan Manusia

Berkenaan dengan isu perkahwinan antara jin dan manusia, secara ringkasnya terdapat tiga pandangan ulama’:

  • Hukumnya haram. Inilah pendapat Imam Ahmad, Imam al-Zuhri, al-Hakam, Qatadah, Hasan al-Basri, Hajjaj ibn Artat, Abu Hammad dan Imam al-Ghazali
  • Hukumnya makruh. Inilah pendapat Malik, Qatadah, al-Hakam, al-Hasan, Uqbah al-‘Asam, Ishak bin Rahawaih.
  • Hukumnya harus. Ini sebahagian pendapat ulama’ Syafie. Ini juga pandangan sebahagian salaf seperti al-Tha’labi, al-A’masy, Uthman ibn Sa’id al-Dari. Kata Syeikh Abu Hamid al-‘Imad bin Yunus: “Ya, boleh untuk manusia berkahwin dengan jin.”

Imam al-Munawi berkata: “Dalam al-Fatawa al-Sirajiyyah oleh ulama’ Hanafi, tidak harus perkahwinan antara jin dan manusia kerana berlainan jenis. Begitu juga dalam Fatawa al-Barizi di kalangan ulama’ Syafiiyah tidak harus berkahwin antara keduanya.[17]

Begitu juga terdapat pandangan ulama’ Syafie yang mengharamkannya seperti al-Khatib al-Syarbini. Kata beliau: “Pengharaman dalam perkahwinan itu ada dua; bersifat selama-lamanya atau selamanya. Antara bentuk perkahwinan yang diharamkan selama-lamanya adalah perkahwinan antara jenis yang berlainan. Contohnya, tidak dibenarnya perkahwinan antara lelaki dari kalangan manusia dan perempuan dari kalangan jin (atau sebaliknya).”[18]

Syeikh Yusuf bin Ahmad al-Sijistani dari kalangan fuqaha Al-Hanafiyyah menyebut: “Tidak dibolehkan perkahwinan antara manusia dengan jin.”[19]

Syeikh Syarafuddin al-Barizi berkata: Tidak dibolehkan bagi seseorang lelaki itu untuk berkahwin dengan seorang wanita dari kalangan jin. Ini berdasarkan mafhum daripada dua firman Allah yang berikut :

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا

Maksudnya: “Dan Allah telah menjadikan buat kamu isteri-isteri daripada diri kamu sendiri.”[20]

Begitu juga firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا

Maksudnya: “Dan antara tanda-tanda kebesaran-Nya adalah Dia menciptakan buat kamu isteri-isteri dari diri kamu sendiri supaya kamu berasa tenang kepadanya.”[21]

Para ulama tafsir dalam huraian mereka ke atas dua ayat ini menyebut: (Iaitu Allah SWT menjadikan buat kamu pasangan) dari jenis kamu sendiri yang mengikut proses kejadian kamu.

Begitu juga Syeikh Jamaluddin al-Isnawi turut menyebut bahawa tidak dibolehkan untuk seseorang itu berkahwin dengan perempuan dari kalangan jin berdasarkan keumuman dua ayat yang mulia di atas. Maka kata para ulama tafsir ketika menafsirkan dua ayat tersebut bahawa ia bermaksud: (Pasangan kamu) adalah dari jenis kamu sendiri dan ciptaan yang sama seperti kamu.[22]

Hal ini sama seperti firman Allah SWT:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari diri kamu sendiri.”[23]

Iaitu maksudnya: “Daripada kalangan anak Adam.”

Demikian juga para ulama yang menghalang perkahwinan dengan jin ini berhujahkan kepada sebuah hadis dhaif yang menyebut :

نهى النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم عَن نِكَاح الْجِنّ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang perbuatan nikah dengan jin.”[24]

Demikian juga antara hujahan lain menyebutkan bahawa pernikahan itu disyariatkan untuk menimbulkan perasaan kasih sayang, ketenangan (antara dua pasangan), serta mahabbah. Dan ciri yang demikian itu tidak dimiliki oleh golongan jin.

Begitu juga tidak terdapatnya kebenaran daripada syarak terhadap perkahwinan antara manusia dan juga jin. Bahkan Allah SWT berfirman:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Maka bernikahlah dengan apa yang baik buat kamu dari kalangan orang perempuan.”[25]

Perkataan perempuan itu bermaksud: Nama bagi golongan perempuan anak Adam secara khusus. Maka kekallah pengharaman ke atas selain mereka (orang perempuan dari kalangan anak Adam). Ini kerana kaedah fekah menyebutkan: “Asal bagi kemaluan adalah haram sehinggalah datangnya dalil yang menghalalkan.”

Begitu juga para ulama menyatakan bahawa pernikahan sesama manusia di antara lelaki yang merdeka dengan perempuan dari kalangan hamba pun tidak dibenarkan sedangkan mereka dari jenis yang sama. Maka perkahwinan di antara manusia dengan jin adalah lebih utama untuk tidak dibenarkan.

Penutup

Kami nyatakan bahawa berdasarkan beberapa nas dan hujahan yang dikemukakan di atas, hukum perkahwinan di antara manusia dengan jin adalah dilarang. Ini bertepatan dengan maqasid syarak dari pensyariatan perkahwinan sesama manusia antara lelaki dan perempuan, iaitu untuk menghasilkan sakinah, mawaddah, serta menyebar luaskan keturunan manusia dari kalangan lelaki dan juga perempuan. Lebih-lebih lagi syarak amat menekankan tuntutan kafa’ah yakni sekufu sesama pasangan dalam perkahwinan.

Kami juga berpendapat bahawa tidak harus perkahwinan antara jin dan manusia kerana berlainan jenis dan juga tabiatnya. Sifat jin adalah tidak berjisim dan sifat manusia adalah berjisim. Ini berasaskan kepada firman Allah SWT:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا

Maksudnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan.[26]

Mafhum daripada kenyataan ini menunjukkan kepada kita bahawa manusia dikurniakan Allah isteri dan suami mereka dari jenis mereka sendiri dan ia terbeza yang amat ketara antara manusia dan jin. Ini dijelaskan lagi dengan firman-Nya:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”[27]

Syeikh al-Syanqiti menyebut: “Ayat ini juga menunjukkan bahawa Allah tidak menciptakan manusia untuk pasangan-pasangan mereka kecuali untuk jenis dan diri pasangan mereka sendiri.[28]

Antara beberapa masalah yang timbul akibat membenarkan pernikahan antara manusia dan jin adalah:

  • Boleh terjerumus kepada banyaknya perzinaan dan kemudian dinisbahkan kandungan kepada alam jin.
  • Nikah memberi maksud untuk memperoleh zuriat dan kehidupan keluarga serta anak-anak. Kepada siapa untuk dinisbahkan mereka dan bagaimana penciptaan mereka?
  • Berinteraksi dengan jin seumpama ini tidak sunyi daripada pelbagai kemudaratan sedangkan Islam menggesa untuk memelihara keselamatan manusia.
  • Lebih parah lagi, ia membawa kepada membuka pintu kepada banyak persoalan yang tidak berkesudahan dan sukar diselesaikan.

Kami akhiri dengan pendapat Syeikh al-Azhar Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq antara lain menyebut: Perkahwinan ini perlu dipastikan dan disahkan terlebih dahulu. Persoalan ini amat jauh daripada waqi’ dan realiti. Hal ini kerana permasalahan qadha’ (hukum dan perundangan) diputuskan berdasarkan kepada dalil-dalil yang dibawa oleh kertas perbincangan dan iqrar (pengakuan) yang diterima secara Syarak.[29]

Semoga dengan penjelasan ini kita memahami agama kita dengan sebaik-baiknya. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 7 Februari 2022 bersamaan 5 Rejab 1443H

 

[1] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/89

[2] Surah al-‘Araf : 27

[3] Lihat Tahrir Ma’na Al-Sadid Wa Tanwir Al-‘Aql Al-Jadid Fi Tafsir Al-Quran Al-Majid, 3/26

[4] Lihat Aakam al-Marjan Fi Gharaib Al-Akhbar wa Ahkam Al-Jann, hlm 6

[5] Lihat Aakam Al-Marjan Fi Ghraib AL-Akhbar wa Ahkam Al-Jann, hlm 6-7

[6] Surah al-Rahman (47)

[7] Surah al-Jin: 1-2

[8] Lihat Tafsir al-Munir 29/163

[9][9] Lihat Akaam al-Marjan fi Ahkam al-Jaan oleh Badr al-Din al-Syibli, hlm. 63

[10] Surah al-Zariyat: 56

[11] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/52

[12] Lihat A’lam al-Jin wa al-Syaitan, 1/41

[13] Surah al-Jin: 14

[14] Lihat Tafsir al-Munir, 29/170

[15] Surah al-Rahman: 56

[16] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/465

[17] Lihat Faidh al-Qadir, 1/186

[18] Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/232

[19] Lihat Munyah al-Mufti ‘an al-Fatawa al-Sirajiyyah

[20] Surah al-Nahl (72)

[21] Surah al-Rum (21)

[22] Lihat Akaam al-Marjan fi Ahkam al-Jaan, hlm. 114

[23] Surah al-Taubah (128)

[24] Riwayat Harb al-Karmani secara mursal.

[25] Surah al-Nisa’: 3

[26] Surah al-Nahl: 72

[27] Surah al-Rum: 21

[28] Lihat Adhwa’ al-Bayan, 3/43

[29] Lihat Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qadhaya Mu’asirah, 2/146

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *