Bab 55: Rehlah ke Syria, Mesir dan Indonesia

“Aku amat gembira dengan kunjungan anda semua daripada Malaysia. Rakyat Malaysia sentiasa dekat di hatiku walaupun aku belum pernah sampai ke sana. Aku pernah ada seorang murid. Namanya Zulkifli. Entah bagaimana khabarnya sekarang…”, ujar Syeikh Rushdi Qalam kepada delegasi Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang hadir menziarahinya di Masjid Ishak bin Rahawaih.

Kesemuanya yang hadir tersenyum memandang sosok yang berada di sebelah Syeikh. Ustaz Zaidi dan Ustaz Labib mengunjukkan ibu jari mereka kepada Zulkifli. Zulkifli lalu bersuara kepada gurunya, “Syeikh, sayalah Zulkifli.”

Wajah Syeikh berubah menjadi merah dan terkejut. Beliau amat gembira dan memeluk Zulkifli yang berada di sebelahnya. “Ya Salaaammm. Aku betul-betul tak cam engkau. Nampak lain daripada zaman belajar dahulu!”, katanya lagi.

Suasana di Syria khususnya Midan masih aman, sebagaimana zaman ketika Zulkifli masih belajar di sini. Apa lagi yang lebih indah daripada masyarakat yang ramah, harga barang yang murah dan suasana yang aman damai? Setiap langkahannya di sana, seakan terngiang-ngiang halwa telinga alunan penasyid terkenal Syam, ‘Imad Rami dan Sabah Fakhri.

Selepas berkelana ke bumi Syam, mereka meneruskan perjalanan ke Mesir. Beberapa pertemuan diaturkan bersama pihak Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, wakil Syeikhul Azhar, wakil Mufti Republik Arab Mesir, dan Majlis Tertinggi Pengurusan Anak-anak Negeri Sembilan Mesir. Peluang berada di sana juga tidak dilepaskan oleh Zulkifli untuk merasai pengalaman mendengar kuliah di Universiti al-Azhar yang disampaikan oleh Prof. Dr. Muhammad ‘Imarah.

“Dalam Islam, terdapat beberapa aliran pemikiran yang perlu kita kenali.”, kata beliau kepada para mahasiswa dalam dewan kuliahnya. Zulkifli yang berada di barisan tengah, turut mencatat setiap isi penting yang disampaikan.

Beliau menyambung syarahannya dengan berkata, “Ada aliran yang menghidupkan pembaharuan Islam atau dinamakan sebagai Madrasah Asalah al-Fikriyyah fi Syari’atina wa Tasyri’atina. Para pemukanya adalah Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Muhammad ‘Abduh, Syeikh Rashid Rida, Syeikh Mahmud Shaltut, Syeikh Abdullah Darraz, Syeikh Muhammad al-Khudari dan Syeikh Muhammad Abu Zahrah. Itu tokoh-tokohnya pada era moden.”

“Selain itu, terdapat juga aliran Madrasah al-Ra’y, Madrasah al-‘Asr dan Madrasah Muwazanah wa Tarjih yang mana aliran ketiga ini dipelopori oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya Imam Ibn al-Qayyim. Terdapat juga aliran yang muncul pada abad ke-13 dan 14 hijrah yang dibawakan oleh Imam al-San‘ani, Imam al-Shawkani, Syeikh Sayyid Sabiq, Syeikh Siddiq Khan dan Syeikh Nasiruddin al-Albani. Mereka memfokuskan kepada usaha talfiq antara pandangan dalam mazhab dan tidak terikat kepada matan-matan fiqh semata-mata.”

Selepas kuliah, Zulkifli dibawa Hasrul Nizam, bekas muridnya di Kolej UNITI yang sedang menyambung pengajian di Universiti al-Azhar untuk menikmati Hamam Masywi di Mat’am Ferhat, di El-Gamaliya, Kaherah. Itulah kali pertama Zulkifli menjamah burung merpati bakar yang disumbat di dalamnya nasi, disamping Sup Kawari’ dan daging dhab. Enak dan amat menyelerakan.

“Dr. Zul. Apa pandangan ulama’ mazhab Syafie tentang hukum makan merpati?”, tanya Ustaz Jamil ketika mereka sedang menjamah hidangan tersebut.

Zulkifli tersenyum dan menghabiskan kunyahannya sebelum membalas, “Ustaz Jamil tahu. Saja tanya ana ni. Hehe. Ulama’ Syafi’iyyah sepakat, halal hukumnya makan burung unta, ayam, bangau, burung bustard, puyuh, itik, burung pterocles, burung pipit, buruk lark, burung francolinus dan burung merpati.[1]

“Apa yang penting, ni Ustaz Jamil belanja. Itu yang jadi bertambah-tambah…”, sambungnya lagi. Berderai ketawa mereka semuanya dengan usikan Zulkifli.

Selesai menjamu selera, Zulkifli berkata kepada Hasrul. “Hasrul. Enta tolong dapatkan dompet yang murah-murah di sini boleh? Enta beli dalam 100 buah. Cuba tawar sampai dapat 5 genih untuk satu dompet. Insya-Allah boleh tu.”

Ringkas dan mudah permintaan Zulkifli namun Hasrul pula yang kerisauan untuk memenuhi hasrat gurunya. “Harga dompet di sini 20 genih. Mana nak cari sampai 5 genih? Aduh…”, bisik Hasrul keseorangan. Hasrul menapak keseorangan ke Bazar Khan el-Khalili di Al-Hussein, mencari-cari kedai yang menjual dompet dengan harga “hampir mustahil” 5 genih.

30 minit kemudian, Hasrul kembali ke hotel tempat Zulkifli dan delegasi Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan menginap dengan wajah yang penuh keceriaan. “Alhamdulillah, dapat ustaz. Harga 5 genih!”, ujar Hasrul sambil mengangkat bungkusan plastik yang berisi dompet-dompet .

Menjadi kebiasaan bagi Zulkifli untuk mendapatkan cenderahati untuk ahli keluarga dan kenalan jika beliau ke luar negara. Walaupun kecil, itulah tanda ingatan dan pengerat ukhuwwah yang sentiasa dititikberatkan.

Sebelum pulang, Zulkifli menempah 2 pasang kakula berwarna hitam dan kelabu sebagai kenangan. Ia adalah jubah luar yang menjadi simbol al-Azhar selain serban (‘imamah) yang popular itu. Beliau tidak pernah menuntut ilmu di universiti bersejarah itu tetapi pernah berguru dengan para masyaikh lulusan al-Azhar semasa di SMAASZA, juga ketika peringkat Sarjana. Bahkan, manhaj al-Azhar juga begitu dekat di hatinya.

********************

“Kalau Dr. setuju, ana amat harapkan Dr. dapat mewakili Malaysia ke Jakarta, Indonesia. Ada persidangan antarabangsa pada 2-3 Oktober ni.”, kata Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada Zulkifli ketika pertemuan di pejabatnya.

“Baik, insyaAllah Dato’. Jawab Zulkifli ringkas. Mungkin kerana jawatan beliau sebagai Panel Akidah dan Panel Syariah JAKIM disamping beberapa amanah lain di peringkat universiti dan luar universiti, Ketua Pengarah JAKIM melihat beliau sebagai calon yang sesuai untuk mewakili Malaysia bagi persidangan berprestij itu.

Persidangan tersebut diadakan di Hotel Borobudur, Jakarta dan Zulkifli bakal menyampaikan pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk Peranan Haji Dalam Meningkatkan Kerjasama Dunia Islam.

Majoriti audien adalah daripada Indonesia sendiri dan Iran. Sebahagian pembentang memilih untuk bertutur dalam Bahasa Indonesia, manakala selebihnya dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Apabila program sudah mula menginjak ke tengahari, suasana mula hambar dan kebanyakan peserta sudah nampak keletihan dek pembentangan yang tidak henti-henti sejak pagi. Mungkin juga kerana majoriti pembentang pada sesi itu menggunakan Bahasa Indonesia dan Bahasa Inggeris yang tidak difahami oleh peserta daripada negara luar. Penganjur mula menghidangkan juadah tengahari di meja-meja dan hadirin mendengar pembentangan sambil menjamahnya.

Tiba giliran Zulkifli membentang, semua audien sedang khusyuk menikmati hidangan.

“Saya mohon maaf kerana tidak mampu berbahasa Indonesia dengan baik walaupun saya daripada negara jiran, Malaysia. Insya-Allah, saya akan membentangkan kertas kerja Peranan Haji Dalam Meningkatkan Kerjasama Dunia Islam dalam Bahasa Arab.”

Sebilangan besar peserta daripada Iran mengangkat kepala. Kebanyakan mereka berserban putih, menandakan mereka adalah para ulama’ yang bukan daripada Ahlul Bait sebagaimana kefahaman dalam tradisi Syiah. Ayatullah Muhammad Ali Tashkiri – berserban putih – yang berada berhampiran pentas meletakkan sudu dan garfu. Memberikan perhatian penuh kepada setiap baris tutur kata Zulkifli. Suasana dewan menjadi sunyi. Hanya kedengaran suara Zulkifli menghuraikan kertas kerjanya.

Selepas selesai pembentangan, beliau dikerumuni delegasi daripada Iran. Amat mengejutkan. Mereka mengucapkan tahniah, memuji-muji pembentangan Zulkifli dan meminta kad namanya. “Dr. Zulkifli, jemput datang ke Iran satu hari nanti!”, ujar seorang mullah kemudian memberikan kad namanya.

Zulkifli tersenyum dan mengucapkan terima kasih atas sambutan yang tidak disangka-sangka daripada mereka.

Sedang Zulkifli menjawab soalan demi persoalan peserta daripada Iran yang mengelilinginya di meja makan, tangannya ditarik lembut. Ustaz Abdul Aziz, Atase Agama Kedutaan Besar (Kedubes) Malaysia di Jakarta mengisyaratkan kepada Zulkifli untuk mengajaknya beredar daripada Hotel Borobudur.

“Kalau Dr. layan satu-satu, memang tak habis soal jawab. Hehe…Mari kita makan di luar. Ana belanja Dr. makan Nasi Arab, Jus Avocado. Di Malaysia, konsep restoran makanan Arab tak berapa popular lagi tapi di Indonesia dah banyak.”, bisik Ustaz Abdul Aziz semasa mereka berjalan keluar daripada hotel.

“Alhamdulillah, terima kasih ustaz. Ustaz layan ana sungguh-sungguh sampai ana pun segan. Moga ada peluang kita bekerjasama di masa depan.”, balas Zulkifli di dalam kenderaan rasmi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Ustaz Abdul Aziz ketawa kecil dan berkata, “Semua rakyat Malaysia yang ke sini, tetamu ana. Tambah-tambah lagi orang macam Dr. Ana kena layan betul-betul. Insya-Allah, ana pun harap kita dapat bekerjasama di Malaysia nanti. Amin…”

____________________

[1] Al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, 9/21.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *