Alhamdulillah, saay pernah mencatatkan dalam Tazkirah Harian Ramadhan berkenaan Catatan Kemengan Ramadhan. Pada kali ini, saya akan tumpukan dan fokuskan secara khusus berkenaan dengan pembukaan kota Mekah. Catatan dalam Garis Masa Hayat al-Rasul SAW menunjukkan pembukaan kota Makkah berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke-8 Hijrah.

PEPERANGAN PEMBUKAAN KOTA MEKAH 

Ibn al-Qayyim telah menyebutkan: “la adalah satu pembukaan teragung yang dengannya Allah memuliakan agamanya, Rasul-Nya, tentera-Nya dan parti-Nya yang beramanah, dengannya juga Allah telah menyelamatkan negeri-negeri-Nya dan rumah-Nya yang telah pun ditetapkan sebagai tempat hidayah untuk seluruh alam, menyelamatkan dari tangan-tangan kafir dan musyrikin, ianya pembukaan yang turut bergembira olehnya penghuni-penghuni langit, lanjutan kemuliaannya melimpah ke angkasa cakerawala hingga dengannya maka berduyun-duyunlah manusia menganut agama-Nya, hingga dengan-Nya wajah bumi terukir seribu senyuman mekar.”

SEBAB TERCETUSNYA PEPERANGAN 

Semasa peristiwa al-Hudaibiyah, di antara syarat perjanjian ialah: Sesiapa yang ingin menyertai Muhammad dan bersekutu dengannya, beliau berhak berbuat demikian dan sesiapa yang ingin berpihak dengan Quraisy dan bersekutu dengannya beliau berhak berbuat demikian. Mana-mana qabilah yang bersekutu dengan mana-mana kem maka ianya dianggap sebagai sebahagian dari kem itu, mana-mana pelanggaran ke atas qabilah yang menyertai kem-kem tadi adalah dianggap sebagai pelanggaran ke atas kem secara langsung. Berdasarkan syarat ini maka Khuza’ah telah bersekutu dengan Rasulullah, manakala Banu Bakar pula menyertai Quraisy, dengan itu kedua-dua qabilah ini menikmati keamanan dan kesejahteraan, sedang sebelum ini kedua-duanya saling bermusuhan dan saling menuntut bela dan membalas dendam yang diwarisi sejak zaman jahiliah lagi.

Dengan kedatangan Islam dan termeterainya perjanjian keamanan al-Hudaibiyyah maka tersebarlah benih keamanan di antara semua pihak, namun Banu Bakar masih tetap hendak membalas dendam kesumat lamanya, di mana Naufal bin Muawiyah al-Daily bersama pengikutnya dari kalangan bani Bakar telah keluar pada bulan Sya’ban tahun kelapan Hijrah, lantas menyerang Khuza’ah di malam hari, sedang di masa itu mereka sedang berada di kawasan berair yang dikenali sebagai “al-Watir” dalam kejadian berkenaan Banu Bakar telah berjaya membunuh orang-orang Khuza’ah dan sebagai lanjutan terjadilah pertarungan dan peperangan di antara keduanya dan seterusnya Quraisy menghulur bantuan senjata kepada sekutunya banu Bakar, malah beberapa tokoh Quraisy telah turut serta di dalam peperangan berkenaan berselindung di sebalik kegelapan malam, hingga mereka dapat membawa Khuza’ah ke dalam kawasan al-Haram Makkah. 

Oleh yang demikian maka berkatalah Banu Bakar: “Wahai Naufal! sekarang kita telah memasuki kawasan al-Haram ingatlah, Tuhan kau, Tuhan kau, lantas al-Khuza’ah menjawab: Wahai Bakar tiada Tuhan di hari ini, kamu sudah pun membalas dendam kesumat kamu itu, aku bersumpah, sebenarnya kamu telah melakukan pencabulan di kawasan al-Haram ini, tidakkah di sini sudah terbayar dendam kamu itu? Setelah Khuza’ah melangkah masuk ke kawasan Makkah mereka terus mendapat perlindungan di rumah Budail bin Warqa’ al-Khuza’i dan rumah kawan setia mereka yang dikenali sebagai Rafie’. 

Amru bin Salim al-Khuza’i terus meluru ke Madinah menemui Rasulullah. Sesampainya beliau di sana, beliau pun mempersembahkan kepada Rasul hasratnya melalui madahnya, sedang pada masa itu Rasulullah sedang duduk berbual di dalam masjid bersama-sama kaum muslimin. Amru pun bermadah: 

“Duhai Tuhan, aku merayu Muhammad sekutu kita dan bapanya yang tertua semasa kamu kanak-kanak dan kami bapa tangan erat bergenggaman. Bantulah sepenuh pertolongan. Serulah penyembah Allah menghulur bantuan. Pada mereka Rasul mulia semulia bulan purnama mengambang.

Apabila marah mukanya bergelora Dibelakangnya tentera seramai samudera. Mengajar Quraisy yang mengkhianati setia. Mengucap janji merubah kata. Di Kada’ kami dibelasah. Kerana menyangka tiada pembela. Mereka terhina, terkecil angka namun dendam mereka menuntut. Kami bersembahyang kami dibunuh.”

Rasulullah SAW terus menjawab: “Kau dibela wahai Amru, kemudian Baginda SAW diperlihatkan mendung merintangi langit,” Maka katanya lagi: “Awan berarak itu, pembuka pertolongan kepada Banu Kaab.” Tidak berapa lama kemudian tiba pula Budail bin Warqa’ al-Khuza’i bersama beberapa orang dari Khuza’ah, di mana mereka menemui Rasulullah SAW melaporkan bilangan mereka yang terkorban peristiwa yang mengerikan itu dan penyertaan langsung oleh Quraisy membantu Bani Bakar, kemudian mereka pun pulang semula ke Makkah. 

ABU SUFIAN KE MADINAH UNTUK MEMBAHARUI PERJANJIAN 

Tidak syak lagi Quraisy dengan tindakannya bersama-sama dengan sekutunya itu merupakan pencerobohan kepada perjanjian dan pengkhianatan terang-terangan kepada perdamaian yang dimeterai bersama itu, tanpa alasan yang boleh dimaafkan, kini Quraisy sudah pun menyedari kesalahan yang mereka lakukan itu, sekaligus merasai buruk padah dari tindakannya di luar batasan, dengan itu mereka memanggil semua ketua-ketua mereka untuk satu mesyuarat tergempar. 

https://images.alwatanvoice.com/news/large/9999015323.jpg 

Keputusannya menghantar pimpinan mereka Abu Sufian pada masa itu, untuk ke Madinah bagi memperbaharui perdamaian. Rasulullah SAW memberitahu kepada sekalian sahabatnya apa yang akan dilakukan oleh Quraisy dalam usaha mengatasi pengkhianatan mereka itu dengan sabdanya: “Kamu akan didatangi Abu Sufian untuk mengemaskini perjanjian Hudaibiyah itu, malah memohon untuk dilanjutkan lagi tempohnya.” Abu Sufian terus bergerak ke Madinah sebagaimana keputusan yang mereka persetujui, beliau bertemu dengan Budail bin Warqa’ dalam perjalanan pulang dari Madinah ke Makkah. Abu Sufian terus bertanya Budail: “Kamu ini dari mana?” Abu Sufian mengesyaki yang beliau ini datang menemui Rasulullah SAW. Jawab Budail: “Aku bersiar-siar dengan Khuza’ah di sekitar pantai tadi dan di sekeliling lembah-lembah ini.” Abu Sufian bertanya dengan penuh ragu: “Bukankah kamu datang menemui Muhammad ?” Kata beliau: “Tidaklah.”

Setelah Budail berangkat ke Makkah, Abu Sufian berkata kepada teman yang mengiringinya: “Kalaulah Budail ini datang dari Madinah pasti tunggangannya memakan makanannya (‘alaf) yang mengandungi biji-biji al-Madinah,” Kemudian, beliau terus ke tempat najis unta, dipecahkannya, memang beliau dapati bijian al-Madinah di dalam kandungan najis, maka kata Abu Sufian: “Aku bersumpah demi Allah, Budail telah menemui Muhammad.”

Walau bagaimana pun Abu Sufian terus ke Madinah, pertama beliau datang menemui anak perempuannya, Ummu Habibah, setibanya di hadapan Ummu Habibah beliau pun menggayakan diri untuk duduk di atas hamparan Rasulullah SAW, apa lagi Ummu Habibah pun menggulung hamparan tadi, maka kata Abu Sufian: “Kenapa wahai anakku apakah kau membenciku?” Maka jawab Ummu al-Mukminin: “Itu adalah hamparan Rasulullah, kau ini musyrik najis”. Jawab Abu Sufian: “Selepas kau berpisah dari ku, kau telah terkena sihir.”

Dengan itu beliau keluar dari situ, dan terus menemui Rasulullah SAW, Abu Sufian menegur Baginda, tetapi Rasulullah tidak menjawab sepatah apa pun, kemudian beliau menemui Abu Bakar, meminta jasa baik beliau untuk menyampai hasratnya kepada Rasulullah SAW tapi jawab Abu Bakar: “Aku tidak boleh berbuat apa pun.” Lantas beliau pergi menemui Umar dan beliau meminta Umar menolongnya dalam hal ini, maka jawab Umar: “Apakah aku ini yang akan menjadi orang tengah untuk kamu? Demi Allah, kalaulah aku tidak mempunyai apa pun selain debu-debu, namun dengannya pun cukup untuk aku menentang kamu, pasti aku lakukan.” Kemudian beliau datang menemui Ali bin Abi Talib di masa itu Fatimah sedang duduk di sampingnya, manakala anaknya Hasan sedang merangkak di hadapannya, kata Abu Sufian: “Wahai Ali, sebenarnya kaulah orang paling mengasihi daku, di hari ini aku datang memerlukan pertolonganmu, janganlah membiarkan daku pulang dengan hampa sahaja, daku memerlukan kau menjadi orang tengah, untuk menyampaikan hasrat ku kepada Muhammad.” Kata Ali pula: “Bangsat kau Abu Sufian, sebenarnya Rasulullah sudah berazam hendak melakukan sesuatu di mana kami tidak berhak untuk berbicara dengannya.” 

Lalu beliau berpaling ke arah Fatimah dengan berkata: “Boleh tak engkau menyuruh anak engkau ini melindungi manusia ramai, maka dengan itu beliau akan menjadi penghulu seluruh bangsa Arab hingga ke akhir zaman?” Jawab Fatimah: “Demi Allah mana boleh anakku ini berbuat demikian, malah tiada siapa yang boleh menghalang Rasulullah SAW dari bertindak.” 

Ketika itu Abu Sufian terasa dunia menjadi gelap dan berkata kepada Ali bin Abi Talib dalam keadaan serba kebingungan dan putus asa: “Wahai Abu al-Hasan, aku mendapati keadaan semakin meruncing, cuba kau nasihatkan daku.” Jawab Ali: “Demi Allah, aku tak tahulah apa nasihat yang baik untuk kau, kerana kau sendiri adalah pemimpin Banu Kinanah, ayuh pergilah minta perlindungan dari orang ramai, kemudian pulanglah ke tanah airmu.” Tanya Abu Sufian: “Apakah itu boleh memberi sesuatu yang baik untukku?” Jawab Ali: “Demi Allah, aku tidak menyangka demikian, cuma aku tidak ada nasihat selain dari itu.”

Lantas Abu Sufian pun beredar dari situ menuju ke masjid, di sana beliau melaung: “Wahai kalian, daku memohon perlindungan kalian, kemudian dia terus memecut untanya dan beredar. Setibanya di pangkuan Quraisy, beliau terus disoal dengan kata mereka: “Apa yang kau capai?” Jawab beliau: “Aku menemui Muhammad untuk berbicara dengannya, demi Allah tak sepatah yang dijawabnya, setelah itu aku menemui Ibnu Abi Quhafah, beliau pun sama, tidak suatu pun yang aku perolehi, kemudian terus kepada Umar Ibn al-Khattab: Aku dapati beliau musuh yang rendah profil, kemudian ku temui Ali Ibn Abi Talib, beliau adalah yang terlembut di antara kesemua, beliau telah menasihati aku untuk melakukan sesuatu, namun demikian aku pun tak pasti apakah pendapatnya itu boleh memberi sesuatu kebaikan?” 

Tanya mereka: “Apakah nasihat beliau kepada kamu?” Kata Abu Sufian: “Beliau menyuruh aku meminta perlindungan dari orang ramai, maka aku pun buatlah seperti yang beliau syorkan itu.” Tanya hadirin: “Apakah Muhammad telah mempersetujuinya?” Jawab Abu Sufian: “Tidak.” Kata hadirin: “Celaka kau, penasihat kau itu tak lebih dari menambahkan cemuhan orang terhadap kamu.” Jawab Abu Sufian: “Tidak! Demi Allah sebenarnya aku tak ada pilihan kecuali itu sahaja.”

PERSIAPAN UNTUK PEPERANGAN DAN USAHA UNTUK MERAHSIAKANNYA 

Satu petikan dari riwayat al-Tabrani mengatakan bahawa Rasulullah telah mengarah Aisyah R.Anha mempersiapkan kelengkapan dan peralatan, iaitu tiga hari lebih awal, sebelum Rasulullah SAW menerima berita pelanggaran terhadap perjanjian perdamaian. Persiapan Rasulullah ini tak siapa pun mengetahuinya, cuma di suatu hari Abu Bakar telah datang menemui anaknya dengan bertanya: “Anakku! Apa semua persiapan ini?” Jawab Aisyah: “Demi Allah! Saya pun tidak tahu.” Kata Abu Bakar: “Demi Allah, sebenarnya ini bukan masa untuk memerangi bangsa kulit kuning itu (yakni Roman), ke mana Rasulullah hendak tuju agaknya?” Jawab Aisyah: “Entahlah, demi Allah saya kurang pasti.” 

Di subuh hari selepas persiapan itu, tibalah Amru bin Salim al-Khuza’i bersama dengan empat puluh penunggang kenderaan, Amru terus berbicara dengan Rasulullah SAW melalui madahnya, seperti yang kita sebutkan sebelum ini. Sekalian yang mendengarnya pun mengetahui peristiwa pelanggaran perjanjian. Selepas itu disusuli pula dengan kedatangan Abu Sufian, dengan itu sahihlah peristiwa berkenaan, Rasulullah mengarah mereka supaya bersiap sedia tanpa berahsia lagi, Rasulullah memberitahu mengenai pergerakannya ke Makkah, namun beritanya tetap dirahsiakan dan ditutup rapat dengan sabdanya: “Rahsiakan berita ini agar tidak sampai ke pengetahuan Quraisy supaya dapat kita gempur dan kejutkan mereka dengan kedatangan kita ke sana secara mendadak.” 

Sebagai usaha menutup dan mengaburkan tindakan Baginda, Rasulullah mengutus satu unit sariyah yang terdiri lapan orang di bawah pimpinan Abu Qutadah bin Rabie’ ke daerah kediaman Adham yang terletak di antara Zi al-Khasyab dan Zi al-Maruah, kira-kira sejauh tiga “Barad” dari al-Madinah. Kira-kira di awal bulan Ramadhan tahun kelapan (8) Hijrah, supaya disangka orang bahawa Rasulullah akan menuju ke sana, dan sebagai cara buat merahsiakan pergerakan yang sebenar, sariyah ini terus berjalan hinggalah sampai berita kemaraan Rasulullah ke Makkah, maka sariyah ini mengalih arahannya hingga bertemu dengan Rasulullah. Di dalam suasana yang kritikal itu, seorang sahabat bernama Hatib bin Abi Baltaah telah mengutus risalah ke Makkah buat menceritakan pergerakan Rasulullah ke sana, beliau mengupah seorang perempuan untuk membawa risalah berkenaan. Beliau bertindak menyorok risalah berkenaan di dalam sanggulnya.

Di masa itu Allah memberi tahu Rasul-Nya tentang tindakan Hatib itu lantas Rasulullah mengutus Ali dan Miqdad dengan sabdanya: Ayuh kamu berdua ke sana hingga ke tempat bernama “Raudhah Khakh” kerana di sana ada seorang perempuan ya.ng membawa risalah untuk Qm-aisy. Mereka berdua terus bergerak ke sana, hingga sampai ke tempat seperti yang disebut oleh Rasulullah, setelah berhadapan dengan perempuan yang disebutkan itu, mereka meminta perempuan berkenaan turun dari kenderaannya dengan berkata: “Kamu membawa risalah?” Jawab perempuan itu: “Aku tidak ada sebarang .risalah pun”. Ali dan Miqdad pun memeriksa kenderaannya dan tidak didapati sebarang apa pun; kemudian kata Ali: “Aku bersumpah dengan nama Allah, masakan Rasulullah berdusta dan membohongi kita, demi Allah kau mesti serahkan surat itu atau kalau tidak kami telanjangkan kau”. Setelah beliau melihat kesungguhan Ali maka katanya: “Ayuh berpaling dari sini”, setelah beliau berpaling, perempuan itu pun merungkai sanggulnya dan dikeluarkan risalah berkenaan, serta diserahkan kepada Ali, dengan itu mereka berdua kembali membawanya kepada Rasulullah.

Baginda mendapati surat berkenaan, bunyinya: (Dari Hatib bin Abi Baltaah ke hadapan Quraisy) memaklumkan mereka mengenai pergerakan Rasulullah, maka Rasulullah pun menjemput Hatib dengan bertanya: “Apakah motifnya yang membawa kamu menulis risalah kepada Quraisy?” Jawab Hatib: “Wahai Rasulullah janganlah segera menghukum ke atasku. Demi Allah daku ini tetap beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tidak sekalipun aku murtad atau menukar agama, tetapi daku ini seorang lelaki yang terikat dengan Quraisy namun bukanlah sebahagian dari mereka, cuma anak dan keluargaku sahaja berada di sana, malahan daku tidak ada sebarang ikatan kekeluargaan di sana yang boleh menjaga keselamatan di antara satu sama lain, maka di sini ku sukalah sebagai mengganti kekurangan ku tadi dengan menjadikan mereka sebagai pihak yang boleh menjaga keselamatan anak-anakku di sana.

Kata Umar: “Wahai Rasulullah serahkan sahaja si munafiq ini untuk ku penggal lehernya, orang ini sudah pun mengkhianati Allah dan Rasul-Nya. Dia sudah menjadi munafik.” Jawab Rasulullah: “Beliau ini adalah peserta peperangan Badar, mana tahu, boleh jadi Allah telah membuka sesuatu kepada tentera Badar. Kemudian Rasulullah bersabda: Lakukanlah apa yang hendak kamu lakukan, sebenarnya aku mengampuni kamu. Di masa itu air mata beliau mengalir di pipinya dan berkata: Sesungguhnya Allah lebih mengetahui. Demikian kehendak Allah untuk menjaga supaya tidak ada sebarang berita mengenai persiapan dan pergerakan kaum muslimin yang sampai ke pengetahuan Quraisy.

PERGERAKAN TENTERA ISLAM KE ARAH MAKKAH 

Sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan tahun lapan (8) Hijrah Rasulullah pun bergerak keluar dari al-Madinah menuju ke Makkah dengan bala tentera seramai sepuluh ribu orang yang kesemuanya dari kalangan para sahabat. Baginda melantik Abu Rahm al-Ghaffari sebagai Amir di Madinah. Semasa Baginda di al-Juhfah atau selepasnya, Baginda telah bertemu dengan bapa saudaranya al-Abbas bin Abdul al-Mutalib yang telah keluar bersama-sama dengan anak keluarganya sebagai seorang muslim untuk berhijrah, dan semasa Baginda di “al-Abwa”‘ Rasulullah SAW bertemu dengan anak bapa saudaranya Abu Sufian bin al-Harith dan anak emak saudaranya Abdullah bin Abi Umaiyah, tetapi Rasulullah berpaling dari mereka berdua kerana sebelum ini mereka berdua merupakan di antara orang yang banyak menyakiti dan mencela Baginda, justeru itu maka kata Ummu Salamah kepadanya: “Kedua-dua anak saudara mu itu tidakkah lebih jahat dari orang lain”. Manakala Ali pula menasihati Abu Sufian bin al-Harith dengan katanya: “Ayuh kamu datang sahaja ke hadapan Rasulullah dan katakanlah seperti mana katanya saudara-saudara Yusuf kepada adik mereka: 

“Kata mereka: Demi Allah sebenarnya Allah telah mengutamakan engkau dari kami, dan kendatipun kami ini sesungguhnya bersalah. Sesungguhnya Baginda tidak akan membiarkan seseorang yang lebih baik percakapannya. Abu Sufian pun mematuhi nasihat Ali, hingga membawa Rasulullah menjawab dengan katanya: “Kamu di hari ini tidak akan ditempelak lagi, semoga Allah mengampunkan dosa kamu dan dialah Maha mengasihani dari segala pengasih” 

Surah Yusuf (91-92) 

Dengan itu Abu Sufian mendendangkan beberapa rangkap syairnya: Demi jiwa ketikaku membawa panji Mengatasi kuda al-Lata melawan Muhammad Bagaikan musafir kebingungan di malam nan gelap Masa hidayat dah tiba. Kini ku ditunjuk Bukan diri ku yang menunjuk Malah orang yang ku buru dahulu Membawa daku ke penjuru hidayah. Kemudian Rasulullah menepuk dadaku dengan sabdanya: “Oh! rupanya kau yang memburuku dahulu” 

TENTERA ISLAM SINGGAH DI MAR AL-ZAHRAN 

Rasulullah meneruskan perjalanannya dalam keadaan berpuasa. Orang ramai pun turut berpuasa, hinggalah apabila Baginda sampai ke alKadid, kawasan air yang terletak di antara Asafan dan al-Kadid, Baginda membuka puasanya, maka sekalian tentera pun turut berbuka. Dari situ Baginda terus bergerak hingga sampai ke “Mar al-Zahran” dikenali juga sebagai Wadi Fatimah. Semasa Rasulullah singgah di situ, waktu sudah hampir isya’, di situ Rasulullah memerintah tentera berkhemah, mereka menyalakan api, kira-kira ribuan api yang dinyalakan. Rasulullah melantik Umar sebagai orang yang bertanggungjawab. 

ABU SUFIAN DI HADAPAN RASULULLAH SAW 

Sewaktu Rasulullah singgah di Mar al-Zahran, al-Abbas pun mengambil baghal Rasulullah yang bernama al-Baydha’ dan keluar mencari-cari kalau-kalau ada orang yang mencari kayu api atau siapa sahaja yang boleh memberitahu kepada Quraisy, supaya mereka keluar meminta perlindungan dari Rasulullah sebelum Baginda masuk ke Makkah. Sebenarnya Allah telah pun menggelapkan sebarang berita dari sampai ke pengetahuan Quraisy, namun dengan tindakan mereka itu menjadikan mereka ternanti-nanti dan keluh kesah. Abu Sufian sering keluar ke pinggiran Makkah memerhati kalau-kalau dapat memperolehi khabar selanjutnya, di suatu masa beliau keluar bersama Hakim bin Hazim dan Budail bin Warqa’ untuk mendapat berita mengenai al-Madinah. Kata al-Abbas: “Demi Allah sesungguhnya semasa ku berjalan-jalan dengan menunggangi baghal Rasulullah itu, aku dengar suara Abu Sufian yang sedang berbual-bual dengan Budail dan berbincang-bincang, di mana Abu Sufian berkata kepada Budail: Aku tidak pernah melihat api yang dinyalakan dan khemah yang tertegak seperti malam ini. Maka jawab Budail: “Demi Allah ini adalah kerja Khuza’ah, yang terjadi rentetan peperangan dahulu”. Kata Abu Sufian pula: “Takkanlah ini ‘Khuza’ah, bilangan mereka kecil yang boleh diperlekeh, takkanlah semua itu api dan tenteranya.” Kata al-Abbas: “Aku kenali suaranya itu, lalu aku berkata: Wahai Abu Hanzalah? Beliau pun segera mengenali suaraku, jawab beliau: Kamu Abu al-Fadhl? Jawab ku: Ya. Tanya beliau: Apa hal kamu? Ibu bapaku menjadi qurban demi kepentingan kau, kata ku: Itu dia Rasulullah bersama-sama orangnya, dibumi Allah esok pagi Baginda berhadapan dengan Quraisy.” Kata Abu Sufian: “Demi Ibu-bapaku, apakah jalan penyelesaiannya?” Kata ku, Demi Allah! Kalau Baginda sempat menangkap kau, pasti Baginda pancung leher kau, Ayuh ikut belakang baghal ini supaya kita menemui Baginda untuk meminta perlindungan dan keamanan.” Dengan itu beliau pun ikut al-Abbas, sedang dua orang kawannya tadi beredar pulang ke Makkah. Kata al-Abbas: “Ku pun bawa Abu Sufian, bila sahaja kami melalui salah satu unggunan api tentera-tentera Islam mereka bertanya: Siapa ini? Tapi bila mereka melihat baghal Rasulullah SAW yang ku tunggangi itu mereka berkata: Ayuh bapa saudara Rasulullah dengan baghal Baginda, tapi bila sahaja ku sampai keunggunan api Umar bin al-Khattab, beliau menyapa, katanya: “Siapa ini”, beliau segera bangun menuju ke arah ku, bila sahaja beliau ternampak Abu Sufian di belakang ku terus beliau berkata: “Abu Sufian, musuh Allah?” 

Alhamdulillah yang membolehkan kau memegangnya tanpa janji dan ikatan. Kemudian terus beliau pergi untuk menemui Rasulullah, Daku pun terus bergegas juga hingga dapat aku dahuluinya, ku pun segera menemui Rasulullah, dan Umar pun mengikut masuk dengan berkata: “Wahai Rasulullah SAW ini dia Abu Sufian, biar ku pancung kepalanya”, kemudian sampuk ku: “Wahai Rasulullah aku telah lindungi beliau ini, dengan itu aku pun duduk berhampiran Rasulullah sambil aku memegang kepalanya, dengan kata ku: Demi Allah, di malam ini tidak ada orang yang akan berbicara dengannya selain dari ku sendiri.” Oleh kerana Umar terlalu banyak sangat mempersoal Abu Sufian maka kata ku: “Bertenanglah wahai Umar! Demi Allah, kalaulah yang dipersoalkan ini salah seorang tokoh banu Adi bin Kaab takkan ku berkata demikian.” Dan jawab beliau: “Bertenanglah wahai Abbas, demi Allah! Islam mu ini lebih suka kepada ku dari Islam al-Khattab, kalau beliau Islam, bagi .ku tidak ada apa-apa perasaan, kerana memang ku tahu bahawa keislaman mu itu lebih sayang bagi Rasulullah SAW dari keislaman al-Khattab.” Akhirnya, kata Rasulullah: “Abbas! Ayuh pergilah ke tempat haiwan tunggangan mu itu, tapi bila subuh menjelang nanti bawa beliau ini ke hadapan ku”. Ku pun beredar dari situ. Di pagi hari itu ku pun terus bawa Abu Sufian menemui Rasulullah. Sebaik sahaja Rasulullah melihat Abu Sufian terus Baginda berkata: “Bedebah kau Abu Sufian, masih belum sampaikah masanya lagi untuk kau kenali bahawa tiada Tuhan melainkan Allah?”. Jawab Abu Sufian: “Demi kaulah ibu ayahku, betapa mulianya kau ini, betapa berlapang hati kau dan betapa cinta perhubungan kau ini? kalaulah ku mempercayai bersamanya ada sekutu yang lain pasti ku restui manfaat darinya”. Sabda Rasulullah lagi: “Bedebah kau Abu Sufian, masih belum sampai masanya lagi untuk kau kenali yang daku ini Rasul utusan Allah?”.

Kata Abu Sufian: “Demi kaulah ibu bapaku! Betapa mulianya kau, betapa berlapang hati kau dan betapa cinta perhubungan kau ini! Adapun disaat ini, hatiku masih belum boleh menerima sepenuhnya. Maka kata al-Abbas: “Bedebah sungguhnya kau ini, ayuh segera Islam, dan ucaplah bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah, sebelum leher kau dipancung”. Dengan itu beliau pun memeluk Islam dan mengucap ucapan kebenaran itu. Kemudian kata al-Abbas pula: “Wahai Rasulullah, Abu Sufian ini jenis manusia suka berbangga, buatlah sesuatu untuk beliau”. Kata Rasulullah SAW: “Ya, sesiapa yang berlindung di dalam rumah Abu Sufian beliau adalah selamat dan sesiapa masuk ke dalam rumahnya dan mengunci dari dalam maka beliau pun selamat dan sesiapa memasuki Baitullah al-Haram maka beliau ini pun selamat juga”. 

TENTERA ISLAM MENINGGALKAN MAR AL-ZAHRAN MENUJU KE MAKKAH 

Di pagi hari itu, iaitu pagi hari Rabu tanggal tujuh Hijrah Rasulullah SAW bergerak meninggalkan Mar al- Zahran menuju ke Makkah dengan memerintah al-Abbas supaya membawa Abu Sufian ke segenting suatu lembah untuk memerhati pergerakan tentera Islam dari atas tebing cerun bukit. al-Abbas pun membawa Abu Sufian ke sana. Bila tiba di situ, terdapat satu qabilah dengan panji-panjinya lantas beliau bertanya: “Wahai Abbas itu siapa?” Maka jawab Abbas seperti katanya: “Itu Sulaim”, maka sampuk beliau: “Apa peduli aku dengan Sulaim”. Lepas itu berlalu pula qabilah yang lain, maka tanya Abu Sufian: “Siapa mereka itu?” Jawab al-Abbas: “Itu Muzainah”. Kata Abu Sufian: “Apa peduli aku dengan Muzainah”. Hingga selesai semua Qabilah berlalu di situ, maka semuanya disoal, kata Abu Sufian, kesemuanya beliau menjawab: Apa peduli aku dengan yang itu dan yang ini, hinggalah diakhirnya Rasulullah memintas dari situ dalam satu kontinjen yang serba hijau, padanya al-Muhajirin dan al-Ansar, pandangan tajam ke hadapan. Kata Abu Sufian: “Subhanallah, siapa mereka ini wahai al-Abbas?”. Jawab al-Abbas: “Yang itu Rasulullah bersama kaum Muhajirin dan Ansarnya. Maka kata Abu Sufian: “Tak seorang pun berdaya berhadapan dengan mereka ini.

Dan sambungnya lagi: Demi Allah wahai Abu al-Fadhl, “kerajaan” anak saudara mu ini sudah menjadi besar di hari ini”. Kata al-Abbas: “Wahai Abu Sufian, itu adalah “kenabian”. Jawab beliau; Ya, itulah satu anugerah. Panji al-Ansar dibawa oleh Saad bin Ubbadah, sebaik sahaja beliau melintasi di hadapan Abu Sufian maka kata beliau: “Hari ini hari pertarungan, hari dihalalkan di bumi haram ini, malah di hari Allah menghinakan Quraisy. Apabila Rasulullah tiba bertentangan dengan Abu Sufian, beliau bertanya: “Wahai Rasulullah SAW tidakkah kau dengar apa yang telah dituturkan oleh Saad tadi?”. Kata Rasulullah: “Apa katanya?” Jawab Abu Sufian: “Beliau kata begini-begini”.

Maka kata Uthman dan Abd al-Rahman bin Auf: “Wahai Rasulullah, kita tak boleh harap, nanti berlaku pertarungan terhadap Quraisy. Maka jawab Rasulullah: “Malahan di hari inilah Kaabah diagungkan dan dengannya Allah memuliakan Quraisy”, Kemudian Rasulullah mengutus seorang sahabat kepada Saad untuk memindahkan panji yang di bawanya tadi ke tangan anaknya Qais, dengan itu bererti panji masih tidak terlepas dari Saad lagi, namun ada pendapat mengatakan berpindah ke tangan al-Zubair. 

QURAISY MENCABAR KEMARAAN TENTERA ISLAM 

Sewaktu Rasulullah melalui di hadapan Abu Sufian, al-Abbas berkata kepadanya; “Ayuh selamatkan kaum kau”. Abu Sufian pun bergegas pulang ke Makkah, sesampainya beliau ke Makkah, terus beliau melaung sehabis suaranya: “Wahai kalian Quraisy, itu dia Muhammad telah datang dengan tenteranya yang belum pernah ku saksi sebelum ini, maka sesiapa yang berlindung di rumah Abu Sufian beliau adalah selamat”, lalu isterinya Hindun binti Utbah menuju ke arahnya lantas menarik misainya dan berkata: “Bunuh si gemuk gedempol yang tak berguna ini, hodoh sungguh pengawal peninjau ini”. Kata Abu Sufian pula: “Binasalah kamu, di hari ini jangan kamu bersombong diri, kerana hari ini Baginda telah datang dengan bala tentera yang belum pernah dilihat seramai ini, Ayuh cepat, siapa yang berlindung di rumah Abu Sufian beliau adalah selamat”.

Jawab orang-orang Quraisy: “Celaka engkau, apa yang boleh menyelamatkan kami sekiranya kami berada di dalam rumah mu ini?”. Sambung Abu Sufian: “Siapa yang masuk ke dalam rumahnya dan mengunci dari dalam, beliau juga terselamat dan sesiapa memasuki al-Masjid beliau juga selamat”. Dengan itu, orang ramai pun segera berpecah dan memasuki rumahnya dan al-Masjid, di samping mengumpulkan askar-askar biasa mereka dengan berkata: “Kita kedepankan mereka ini, tapi sekiranya berlaku sesuatu ke atas Quraisy maka kita akan bersama dengan mereka ini, sekiranya mereka terbunuh maka kita bayar sahaja apa yang mereka pinta dari kita”. Di suatu tempat segolongan Quraisy yang singkat pemikiran berkumpul dengan Ikrimah bin Abu Jahal, Sufwan bin Umaiyah dan Suhail bin Amru.

Tempat itu dikenali sebagai al-Khandamah bertujuan memerangi kaum muslimin. Di antara mereka ada seorang dari qabilah Banu Bakar bernama Hamas bin Qais, beliau sebelum ini bertugas mengumpul senjata, di suatu hari pernah ditanya oleh isterinya: “Kenapa kamu menyediakan apa yang ku lihat ini?”. Jawab beliau: “Kesemua ini untuk Muhammad dan sahabat-sahabatnya.” Jawab isterinya: “Tak ada sesuatu pun yang boleh menghalang Muhammad dan sahabat-sahabatnya.” Maka kata Hamas: “Demi Allah, sebenarnya aku hendak membuat sesuatu yang baik untuk kau, lantas beliau bermadah: Sekira mereka mara, tiada bagiku alasan Ini dia senjata nan lengkap peralatan Serampang ku pun bermata dua Tangkas pula pukulannya Beliau ini salah seorang yang berkumpul di al-Khandamah. 

TENTERA ISLAM DI ZI TAWA 

Rasulullah SAW telah pun bergerak hingga sampai ke “‘Zi Tawa”, semasa berjalan Rasulullah SAW sentiasa menunduk kepalanya merendah diri kepada Allah. Setelah melihat pemberian Allah kepadanya dengan kemenangan dan pembukaan Kota Makkah, terasa seakan janggutnya mencecah belakang tunggangannya. Semasa di “Zi Tawa” Rasulullah menyusun tenteranya, Baginda meletakkan Khalid bin al-Walid di sebelah kanan bersama-sama dengan beliau adalah Aslam, Salim, Ghaffar, Muzainah, Juhainah dan beberapa qabilah-qabilah Arab yang lain.

Diarahnya Khalid supaya memasuki Makkah dari sebelah bawah, dengan pesanannya: “Kalau kamu dapati ada orang-orang Quraisy yang menghalang kamu, kamu boleh bunuh mereka, hinggalah kamu menemui daku di al-Safa”. Al-Zubair bin al-Awwam diletakkan di sebelah kiri, bersama-sama beliau ialah Panji Rasulullah, beliau diarah supaya memasuki Makkah dari sebelah atas iaitu dari arah “Kada9”, panji itu dipacakkan di al-Hajjun, beliau menunggu di situ hinggalah Rasulullah sampai. Adapun Abu Ubaidah bin al-Jarrah memimpin tentera pejalan kaki yang tidak membawa peralatan perang, beliau di arah supaya mengambil jalan “Baton al-Wadi”, bergerak hingga bertemu dan berhadapan dengan Rasulullah di Makkah. 

TENTERA ISLAM MEMASUKI MAKKAH

Setiap pasukan tentera Islam yang dibahagikan itu mengambil laluan masing-masing yang telah diarah kepada mereka. Adapun Khalid dan sahabat-sahabatnya tetap menundukkan sesiapa sahaja yang menghalang, namun dua orang dari sahabatnya iaitu Kurz bin Jabir al-Fihri dan Khanis bin Khalid bin Rabi’ah telah terkeluar dari kumpulannya, di mana mereka telah mengambil jalan lain menyebabkan mereka dibunuh. Golongan Quraisy yang singkat pemikiran (al-Sufaha’) telali bertembung dengan Khalid bin al-Walid dan sahabat-sahabatnya di al-Khandamah. 

Justeru itu maka berlakulah satu pertarungan kecil hingga terbunuh dua belas orang musyrikin dan berakhir dengan kekalahan Quraisy. Hamas bin Qais yang dahulunya menyediakan peralatan senjata buat melawan Rasulullah SAW telah melarikan diri ke dalam rumahnya dan meminta isterinya mengunci dari dalam. Hal ini menyebabkan isterinya kehairanan dan berkata: “Di mana kau ini? kan dahulu kamu telah berkata-kata dan bermadah”.

Jawab Hamas: “Kiranya kau menyaksi medan Khandamah, ketika larinya Safwan dan Ikrimah. Pedang muslim telah menyambut kami semua memenggal setiap lengan dan kepala. Tidak kedengaran selain pukulan di belakang kami masih terdengar tetakan. Pasti kau membisu tanpa celaan. Khalid terus mara menggeledah penjuru Makkah, akhirnya beliau sampai ke hadapan Rasulullah di al-Safa. Manakala al-Zubair maju ke hadapan hingga sampai ke Al-Hajjun di tepi masjid al-Fatah beliau memacak panji Rasulullah SAW, beliau tidak ke mana-mana hinggalah Rasulullah datang. 

RASULULLAH MEMASUKI AL-MASJID AL-HARAM DAN MEMBERSIHKANNYA DARI BERHALA-BERHALA 

Setelah itu Rasulullah pun bangun sedang kaum Muhajirin dan Ansar mengelilingi Baginda SAW dan memasuki al-Masjid, terus Baginda ke Hajar al-Aswad dan menyentuhnya dengan tangan Baginda, kemudian terus bertawaf mengelilingi Kaabah, Baginda SAW menjatuhkan 360 berhala-hala dari atas Ka’bah, dengan busur panah yang di tangannya sambil berkata: 

“Kebenaran telah datang dan kebatilan menghilang, sesungguhnya kebatilan itu telah terpadam.” 

(al-Isra’: 81) 

“Kebenaran telah datang dan kebatilan tiada lagi menjelang dan tiada pula ia berulang.”

 (Saba’: 49) 

Di masa yang sama berhala-hala pun jatuh dan tumbang, hancur berderai-derai. Rasulullah melakukan tawaf di sekeliling Ka’bah dengan menunggang kenderaannya, di masa itu bertawaf dengan menunggang kenderaan belum diharamkan lagi di dalam syarak. 

Baginda hanya melakukan tawaf sahaja, apabila Baginda menyempurnakan bilangan tawaf, Rasulullah terus memanggil Uthman bin Talhah, Baginda mengambil anak kunci Ka’bah darinya dan disuruh membuka pintu Ka’bah. Apabila Baginda melangkah masuk Baginda mendapati di dalamnya gambar-gambar, di antaranya gambar Saidina Ibrahim dan Ismail AS yang sedang bersumpah dengan berhala. Kata Rasulullah: “Allah memusnahkan mereka yang mengada-adakan semuanya ini? Demi Allah mereka tidak pun pernah bersumpah dengan berhala.” Kemudian Baginda terlihat ukiran kayu seekor burung merpati, terus Baginda memecahkannya, manakala gambar-gambar di dalam Ka’bah diperintah supaya dipadamkannya. 

RASULULLAH BERSOLAT DI DALAM KA’BAH KEMUDIAN MEMBERI UCAPAN KEPADA QURAISY 

Selepas itu Baginda Rasulullah SAW menutup pintu Ka’bah sedang Baginda SAW di dalam Ka’bah bersama Usamah dan Bilal, di situ Baginda SAW berdiri dengan membelakangi pintu Ka’bah, apabila Baginda SAW melangkah ke depan dengan jarak tiga hasta Baginda SAW berhenti di situ, jadi dua tiang sebelah kirinya dan satu tiang berada di sebelah kanan Baginda SAW. Di belakang Baginda SAW tiga tiang, kerana al-Haram di masa itu didirikan atas enam batang tiang. Baginda SAW bersembahyang di situ, setelah Baginda berjalan-jalan di dalam Kaabah, bertakbir di setiap penjurunya, menyebut kalimah Tauhid, kemudian barulah Baginda SAW membuka pintunya, di masa itu Quraisy sedang memenuhi ruang masjid secara bersaf menunggu apa yang hendak dilakukan oleh Rasulullah ke atas mereka.

Rasulullah memegang lawang pintu Ka’bah, sedang khalayak Quraisy menunggu di bawah, dengan sabdanya: “Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya, benar janji-Nya, membantu hamba-Nya, mengalahkan golongan Ahzab sendiri-Nya, ingatlah setiap warisan lama, setiap warisan Jahiliyah samada harta benda atau darah kesemuanya di bawah kakiku ini, kecuali penjaga Baitullah dan pemberi minum kepada jemaah Haji. Ingatlah, pembunuhan secara tersalah adalah hampir seperti dengan tindakan secara sengaja dengan menggunakan cemeti dan rotan dendanya terlalu berat, iaitu seratus ekor unta, empat puluh darinya sedang sarat mengandung. Wahai kalian Quraisy, sesungguhnya Allah telah pun melenyapkan dari kamu kesombongan jahiliyah, sikap bermegahan dengan baka keturunan, sebenarnya manusia adalah dari Adam sedang Adam adalah dari tanah. Kemudian Baginda membaca ayat al-Quran: 

“Wahai manusia sesungguhnya Kami ciptakan kamu sebagai lelaki dan perempuan, dan Kami ciptakan kamu berbangsa-bangsa, berqabilah-qabilah untuk kamu berkenalan, sesungguhnya yang termulia dari kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Bijaksana ” 

(al-Hujuraat: 13) 

Hari ini kamu tidak akan ditempelak lagi.” Kemudian sambung Baginda dengan sabdanya: “Wahai kalian Quraisy, apakah yang kamu fikirkan akan ku lakukan terhadap kamu semua?” Jawab mereka: “Tentulah baik, kerana saudara seorang yang mulia anak kepada saudara yang mulia”. Maka jawab Rasulullah: “Sesungguhnya aku berkata kepada kalian seperti Yusuf telah berkata kepada saudara-saudaranya: Tiada tempelak ke atas kamu di hari ini, beredarlah, kamu semua bebas.”

KUNCI KAABAH DIKEMBALIKAN SEMULA KEPADA PENJAGANYA 

Selepas semuanya itu, Rasulullah SAW duduk semula di dalam al-Masjid al-Haram, di mana Ali bin Abi Talib RA bangun dan menemui Rasulullah sambil memegang kunci pintu Ka’bah, dengan berkata: “Wahai Rasulullah, berilah tugas menjaga Ka’bah dan tugas memberi minum kepada kami, semoga Allah memberi selawat ke atas engkau.” Tetapi di dalam riwayat yang lain yang mengemukakan permohonan itu ialah al-Abbas. Di sini Rasulullah bersabda: “Di mana Uthman bin Talhah?” Dengan itu dijemput Uthman bin Talhah ke hadapan Rasulullah dan Rasulullah berkata: “Ini dia kunci untuk engkau, hari ini adalah hari kebaikan dan tunai janji.”

Mengikut riwayat Ibn Sa’d di dalam kitab bernama al-Tabaqat bahawa Baginda SAW telah berkata kepada Uthman semasa penyerahan kunci itu dengan sabdanya: “Ambillah kunci ini untuk selama-lamanya, ianya tidak akan dirampas kecuali yang zaiim, sesungguhnya Allah telah meletakkan amanatnya ke atas kamu, dan makanlah segala sesuatu yang tersampai kepada kamu dari rumah Allah ini dengan ma’ ruf.”

Semoga kita menjadikan peristiwa pembukaan kota Makkah sebagai tanda inspirasi kita untuk menapak ke hadapan dalam kehidupan ini, amin.

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

9 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *