Renungan Ramadhan #11: Selamat Tinggal Fasa Pertama Ramadhan

Alhamdulillah, kepada Allah jua kami mengucapkan syukur, selawat dan salam keatas Junjungan Nabi SAW, keluarga, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya sehingga hari kesudahan.

Alhamdulillah, dalam ruangan Tazkirah Harian Ramadhan pada hari ini, saya tajukkan dengan Selamat Tinggal Fasa Pertama Ramadhan. Ramai di kalangan salafus soleh membahagikan fasa kepada tiga; sepuluh pertama, sepuluh kedua dan sepuluh terakhir. Ini mengingatkan kita kepada hadis:

أَوَّلُ شَهْرِ رَمَضَانَ رَحْمَةٌ ، وَأَوْسَطُهُ مَغْفِرَةٌ ، وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Permulaan bulan Ramadhan membawa kerahmatan, pertengahannya keampunan dan kesudahannya pelepasan dari api neraka.”

Riwayat Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya (1887), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3608)[1]

Pada kali ini kita telah memasuki fasa kedua dengan maksud bermula 11 hingga ke 20 hari bulan Ramadhan. Pada fasa inilah pecutan kita dalam melaksanakan ibadat perlu ditingkatkan lagi. Keadaan ini lebih jelas di Makkah dan Madinah, di mana kita akan dapati umat Islam dari seluruh dunia datang untuk melaksanakan umrah dan ziarah di samping beribadat seperti tarawih dan solat-solat sunat. Pengunjung akan bertambah ramai pada hari-hari terakhir Ramadhan.

Justeru, amat perlu bagi kita menyusun strategi atau muhasabah sebelum berakhirnya Ramadhan. Berikut adalah cadangan saya:

  • Adakah sudah kita khatam al-Quran? Kalau belum bila lagi?
  • Jika sudah khatam cubalah khatam sekali lagi atau beberapa kali lagi. Ini kerana salafussoleh mengulangi khatam al-Quran pada bulan Ramadhan seupaya mungkin.
  • Bagaimana prestasi ke masjid untuk solat Isyak dan tarawih? Adakah makin lemah atau masih istiqamah? Justeru, perlulah merebut peluang yang berbaki ini. Di samping mengharapkan untuk memperolehi ibadat pada malam al-Qadr.
  • Bagaimana kita zahirkan sifat kekeluargaan dalam keluarga kita terutamanya solat berjemaah, berbuka berjemaah, bersahur berjemaah bahkan pergi ke masjid pun berjemaah terutamanya ketika solat Isyak dan Tarawih?
  • Adakah kita melakukan sedekah atau tidak? Bagaimana pula menjamu orang berbuka puasa? Walaupun mungkin seorang dua atau lebih pada Ramadhan kali ini. Semoga kita termasuk di kalangan orang yang banyak berinfak.
  • Hubungan silaturrahim dengan keluarga begitu juga rakan taulan juga hendaklah lebih dieratkan. Bak kata pepatah Melayu, “Buang yang keruh ambil yang jernih.”

Saat yang sama, marilah kita meletakkan surah al-‘Asr menjadi pedoman kepada hidup kita dalam berinteraksi dengan waktu Ramadhan yang berbaki ini. Firman Allah SWT:

وَالْعَصْرِ ‎

Maksudnya: “Demi masa.”

(Surah al-Asr: 1)

Imam al-Syaukani menjelaskan: “Allah SWT bersumpah dengan masa kerana di dalamnya terkandung pelbagai pelajaran, dari sudut berlalunya siang dan malam, dan dengan perhitungan putarannya serta pergantian gelap dan terang. Sesungguhnya pada demikian itu terdapat petunjuk yang jelas terhadap Pencipta yang Maha Perkasa, Maha Mulia dan untuk bertauhid hanya kepada-Nya. (Lihat Fath al-Qadir, 8/56).

(الْعَصْرِ) atau masa, hampir kepada kalimah ‘asir (عصير) iaitu jus yang diperah daripada buah-buahan. Tidak dinamakan perahan melainkan  buah-buahan itu diperah sehingga tinggal hanya hampas, seperti batang tebu yang telah diperah airnya dengan dimasukkan dalam mesin perahan beberapa kali.

Pendek kata, gunakan masa yang ada pada kita dan perahlah ia dengan sehabisnya untuk bekalan kita di hari akhirat kelak kerana dunia destinasi yang sementara sedangkan akhirat itulah matlamat yang bersifat kekal abadi. Justeru, janganlah kita alpa dengan masa yang berbaki agar apabila tiba masanya kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi.

Marilah sama-sama kita menginsafi masa yang ada pada bulan Ramadhan ini untuk kita tingkatkan lagi amalan soleh kita dan kesungguhan kta dalam beribadat. Moga-moga, Allah SWT kurniakan kepada kita rahmat, keampunan dan berakhir dengan selamatnya daripada api neraka. Amin.

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

10 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

[1] Ia juga disebutkan oleh al-Suyuti di dalam kitab al-Dur al-Manthur dan berkata: Diriwayatkan oleh Al-‘Uqaili, tetapi dinyatakan lemah, juga diriwayatkan oleh Al-Asbahani dalam kitab al-Targhib. Ia juga disebutkan oleh Al-Muttaqi di dalam kitab Kanz al-A’mal (8/477). Kesemua sanad mereka datang daripada jalur Said bin al-Musayyab daripada Salman al-Farisi. Hadith ini mempunyai sanad yang lemah kerana terdapat dua kecacatan, iaitu:

  1. Sanadnya terputus. Said bin al-Musayyab tidak mendengar hadith ini daripada Salman al-Farisi RA.
  2. Dalam sanad tersebut terdapat seorang perawi bernama Ali bin Zaid bin Jad’an. Ibn Sa’ad menyatakan: Dia lemah dan tidak boleh dijadikan dalil. Dia juga dilemahkan oleh Imam Ahmad, Ibn Ma’in, al-Nasa’i, Ibn Khuzaimah, Al-Jurjani dan selain mereka seperti yang disebutkan dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 5/207)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *