Alhamdulillah, kami rafa’kan setinggi syukur kepada-Nya, selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabatnya dan semua yang mengikuti jejak langkahnya sehingga ke Hari Pembalasan. Pada ruangan Renungan Ramadhan kali ini, saya ingin mengajak para pembaca merenung kemukjizatan al-Qur’an

Firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ 

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Surah al-Baqarah (185)

Al-Qur’an telah mengubah sejarah dan tamadun manusia dari keadaan yang amat perlahan kepada kemajuan yang luar biasa. Al-Qur’an telah membasmi jahiliyyah dan sistemnya kepada ilmu, makrifah, keunggulan akhlak, keperibadian mulia, wawasan yang jelas, manual kehidupan yang terbaik, dan perlembagaan dalam hidup. Malah, sudah pasti ia adalah kitab hidayah kepada sekalian manusia. Siapa yang mengamalkannya dalam kehidupan, nescaya jadilah dia orang yang berjaya. Siapa yang meninggalkannya pula akan sesat, sengsara, derita dan kebahagiaan tidak akan singgah dalam kehidupannya. Inilah hukum Ilahi.

Al-Syahid Hasan al-Banna berkata: “Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Al-Qan adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membacanya.”

Dalam sebuah hadis berstatus lemah daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Nabi SAW bersabda:

إن هذا القرآن مأدبة الله فتعلموا من مأدبته ما استطعتم، إن هذا القرآن هو حبل الله والنور المبين والشفاء النافع، عصمة لمن تمسك به ونجاة لمن تبعه لا يعوج فيقوم، ولا يزيغ فيستعتب، ولا تنقضي عجائبه ولا يخلق من كثرة الرد. فاتلوه؛ فإن الله يأجركم على تلاوته بكل حرف عشر حسنات، أما إني لا أقول لكم: {الم} حرف، ولكن: ألف حرف، ولام حرف، وميم حرف؛ ثلاثون حسنة.

“Al-Quran ini adalah hidangan Allah SWT. Oleh itu, hadaplah hidangan Allah SWT ini sepuas hati kamu. Al-Quran ini adalah tali Allah SWT (cahaya yang menjadi petunjuk), cahaya yang terang dan ubat yang mujarab, pengawal bagi orang yang berpegang dengannya, penyelamat bagi orang yang mengikutnya, sesiapa yang tersesat akan dipandunya, sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan, keajaibannya tiada henti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun diulang Bacalah kerana Allah SWT, kerana Dia akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya setiap satu huruf sepuluh ganjaran. Saya tidak katakan Alif Laam Mim sebagai satu huruf tetapi alif (1 huruf) dan Laam (1 huruf) dan Müm (1 huruf).”

Riwayat al-Hakim

Untuk mendapatkan perincian dengan lebih tentang kelebihan al-Quran ini bolehlah rujuk buku saya yang bertajuk Tips Hafazan al-Quran. Bersempena dengan Nuzul al-Quran ini, sekurang-kurangnya kita cuba muhasabah semula, bagaimana sebenarnya dan sepatutnya kita berinteraksi dengan al-Quran. Antara saranan saya adalah, kita perlu:

  1. Membacanya
  2. Tadabbur ayat-ayatnya
  3. Belajar hukum-hakam tajwidnya
  4. Bercita-cita untuk mengkhatamkannya
  5. Memahami tafsirnya
  6. Mengamalkannya dalam kehidupan
  7. Menghayatinya sehingga menjadi sebati dalam kehidupan kita
  8. Mempertahankannya daripada dihina dan dipersenda

Contoh terbaik adalah Rasulullah SAW apabila ditanya kepada Aisyah R.Anha, “Bagaimana akhlak Nabi SAW?” Jawabnya “Adalah akhlaknya al-Quran.” Ertinya, Rasulullah SAW menterjemahkan al-Quran dalam kehidupan peribadinya sehingga al-Quran benar-benar dekat di hatinya, di jiwanya, bahkan dalam kehidupannya.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga kita sentiasa bersama al-Quran walaupun dilanda badai dan ombak ujian di dalam kehidupan yang penuh mencabar ini. Marilah kita menadah tangan dan berdoa:

اللهُمَّ اجْعَلْهُ لَنَا شِفاءٌ وَهُدَى وَإِمَامًا وَرَحَمَةً، وَارْزُقْنَا تِلَاوَتَهُ عَلَى النَّحوِ الَّذِي يُرضِيكَ عَنَّا.

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah al-Quran bagi kami sebagai penawar, petunjuk, pemimpin dan rahmah. DAn kurniakan kepada kami untuk suka membacanya mengikut apa yang Kamu redha kepada kami.

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

16 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *