Renungan Ramadhan #19: Banyakkan Beristighfar

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya, para sahabatnya dan semua yang mengikut jejak langkahnya sehingga ke Hari Kiamat. 

Dalam memasuki 10 akhir Ramadhan, Renungan Ramadhan pada kali ini ingin membincangkan secara khusus yang terkait dengan galakan beristighfar. Hal ini amat penting sebagai seorang hamba yang terdedah kepada salah dan silap dalam melayari bahtera kehidupan ini. Benarlah sabda Nabi SAW:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya : “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.” 

Riwayat al-Bukhari (6307)

Kalaulah Rasulullah SAW bersifat maksum sentiasa beristighfar setiap hari melebihi 70 kali, ini menandakan perintah kepada kita lebih aula dalam beristighfar. Hal ini bertambah muakkadnya atau pentingnya beristighfar apabila berlaku kesilapan dan dosa. Inilah yang disebut dan dizikirkan oleh Nabi Adam AS seperti berikut:

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”

Begitu juga, istighfar amat digalakkan khususnya pada pagi Jumaat sebelum menunaikan solat Subuh.

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قال صَبيحَةَ يَوْمِ الجُمُعَةِ قَبْلَ صَلاةَ الغَدَاةِ: أسْتَغْفِرُ اللهَ الذِي لا إلهَ إلَّا هُوَ الحَيَ القَيومَ وأتُوبُ إلَيْهِ ثلَاثَ مَرَات، غَفَرَ اللهُ تعالى ذُنوبَهُ ولو كانتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beristighfar pada pagi hari Jumaat sebelum menunaikan solat pagi. Dengan mengatakan “Aku memohon ampun kepada Allah, Tiada Tuhan melainkan-Nya, yang Maha Hidup, Maha Kekal Mentadbir dan aku bertaubat kepada-Nya sebanyak tiga kali. Maka Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.”

 Riwayat Ibn al-Sunni (83)

Antara ulama yang menilai status hadith ini ialah Imam al-Hafiz Ibn Hajar. Beliau mengatakan bahawa hadith ini adalah gharib dan sanadnya terlalu dhaif. Selain itu, Imam al-Nawawi ada menukilkan hadith ini di dalam kitabnya al-Azkar dengan sighah tamridh yang menunjukkan bahawa hadith tersebut adalah dhaif. Di samping itu juga, Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini dhaif. Walaupun hadith tersebut dinilai dhaif, tetapi terdapat banyak dalil yang bersifat umum menuntut untuk kita memperbanyakkan istighfar dalam setiap masa dan keadaan. Adapun berkaitan makna seperti buih-buih lautan adalah kinayah banyaknya dosa dan dosa-dosa yang diampunkan ini adalah dosa-dosa kecil yang berkaitan dengan hak-hak Allah SWT. (Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 2/143)

Imam al-Nawawi menyatakan disunatkan kepada kita untuk memperbanyakkan berzikir dan berselawat kepada Nabi SAW pada hari Jumaat berbanding hari-hari yang lain. Selain itu, kita juga disunatkan untuk memperbanyakkan berdoa pada hari tersebut bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. (Lihat al-Azkar, 85)

Apa itu Istighfar?

Perkataan istighfar berasal dari Bahasa Arab yang membawa maksud memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan oleh kita. Istighar pada lazimnya menjadi ungkapan sebagai zikir yang kita lafazkan setiap masa bertujuan menghapus dosa dan melindungi diri daripada sebarang kejahatan.

Bukan itu sahaja tetapi ia banyak menyelesaikan kemelut kehidupan. Dikeluarkan dari kesempitan hidup. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

.مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” 

Riwayat Abu Daud (1518)

Menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’outh, sanadnya dhaif kerana salah seorang perawi bernama al-Hakam bin Mus’ab padanya jahalah (tidak dikenali) sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Zahabi.

Namun begitu, dengan beristighfar hati kita akan jadi lebih tenang. Sekaligus mengeluarkan kita dari belenggu hidup yang memenatkan. 

Kami nyatakan di sini beberapa contoh istighfar yang dilafazkan berdasarkan nas al-Quran dan hadith, antaranya:

  • Sayyidul istighfar

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّى ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ ، خَلَقْتَنِى وَأَنَا عَبْدُكَ ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَىَّ وَأَبُوءُ بِذَنْبِى ، اغْفِرْ لِى ، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya : “Ya Allah Engkau Tuhanku, tidak ada tuhan selain Engkau , Engkaulah yang menjadikan aku , dan aku adalah hamba Mu, aku akan selalu menepati janji-Mu sekemampuan Ku, aku berlindung kepada Mu dari kejahatan yang aku perbuat. Aku kembali kepada Mu dengan nikmat yang telah Engkau berikan. Aku kembali kepada Mu dengan dosa, maka mapunilah aku, sesungguhnya tidak ada yang bisa mengampuni dosa kecuali Engkau.”

  • Istighfar sebelum salam dalam solat

اللَّهُمَّ إنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” 

Riwayat al-Bukhari (7387) dan Muslim (2705)

  • Istighfar meminta ampun dan taubat

رَبِّ اغْفِرْ لِى وَتُبْ عَلَىَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Maksudnya :  “Ya Tuhan ampunilah dan sayangilah aku dan terimalah taubatku , sesungguhnya Engkau Maha penerima Taubat dan Maha Penyayang.” – (Hadis Riwayat Abu Daud).

  • Sependek-pendek istighfar

اَسْتَغْفِرُ اَللّهَ

Maksudnya: “Aku memohon ampun kepada Allah.” Atau dengan tambahan di belakangnya iaitu:

اَسْتَغْفِرُ اَللّهَ الْعَظِیْمَ

Terdapat banyak kelebihan istighfar yang boleh anda jadikan panduan dalam hidup, Antara kelebihannya itu adalah seperti:

  • Allah ampunkan dosa walau sebanyak buih di lautan. Ini berdasarkan hadith yang dinyatakan di atas.

 غَفَرَ اللهُ تعالى ذُنوبَهُ ولو كانتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ

Maksudnya: “Maka Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.

 Riwayat Ibn al-Sunni (83)

Allah SWT berfirman:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ‎﴿١٠﴾‏يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ‎﴿١١﴾‏ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا ‎﴿١٢﴾‏

Maksudnya: “Maka aku katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, dan memberikanmu kebun-kebun dan (di dalamnya pula) untukmu sungai-sungai.”

Surah Nuh (10-12)

  • Istighfar boleh membentuk keperibadian seseorang

Dengan beristighfar kita sememangnya dapat memanfaatkan masa dengan amalan yang mendatangkan banyak manfaat dan pahala. Sama ada sedang berehat atau bekerja, bibir sentiasa melafazka zikir dan istighfar membolehkan kita mengingati Allah setiap masa. 

Seorang ulama berkata, “Tanda orang yang arif (bijak) itu ada enam. Apabila ia menyebut nama Allah, ia berasa bangga. Apabila menyebut dirinya, ia merasa hina. Apabila memperhatikan ayat-ayat Allah SWT, ia ambil pelajarannya. Apabila muncul keinginan untuk bermaksiat, ia segera mencegahnya. Apabila disebutkan ampunan Allah SWT, ia merasa gembira. Dan apabila mengingat dosanya, ia segera beristighfar.” (Lihat Kitab Tanbihu al-Ghafilin, 67)

Justeru, marilah sama-sama kita melazimi diri kita untuk beristighfar apabila bangun dari tidur, selepas mendirikan solat, semasa bekerja, semasa berehat, dan sebelum masuk tidur. Usaha ini sedikit sebanyak akan mendidik diri mendahulukan Allah SWT dalam apa jua yang kita buat. 

Kesimpulannya, istighfar sangat penting kerana padanya terdapat banyak kelebihan. Selain itu juga, kita sebagai seorang manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan perlulah melazimi istighfar di dalam kehidupan seharian kita. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-Nya yang sentiasa melazimi istighfar serta menggolongkan kita dalam kalangan penghuni syurga. Amin.

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

18 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *