Alhamdulillah, segala puji hanya bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya, para sahabatnya dan semua yang mengikut jejak langkahnya sehingga ke Hari Kiamat. 

Pada kali ini, dalam ruangan Tazkirah Harian Ramadhan, kami fokuskan berkenaan zikir.

Daripada Abdullah bin Busr RA, beliau berkata:

أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ شَرَائِعَ الْإِسْلَامِ قَدْ كَثُرَتْ عَلَيْنَا، فَبَابٌ نَتَمَسَّكُ بِهِ جَامِعٌ؟ قَالَ: لَا يَزَالُ لِسَانُكَ رَطْبًا مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat Islam itu terasa banyak bagiku, maka (ajarilah aku) satu bab (ilmu) yang aku akan berpegang teguh dengannya?. Rasulullah menjawab: Hendaknya lisanmu terus menerus berzikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla.”

Riwayat Ahmad (4/188) (190) dengan lafaz sebegini, Ibn Majah (3793), al-Tirmizi (3375), Ibn Hibban (814). Al-Tirmizi mengatakan hasan gharib. Kesemuanya dikeluarkan dari riwayat Amr bin Qais al-Kindi daripada Abdullah bin Busr.

Keistimewaan Hadis

Hadis ini menunjukkan bahawa kemuliaan Nabi SAW yang meraikan hal ehwal para sahabat yang tidak berkemampuan dalam melaksanakan kesemua jenis amalan ibadat (amal ibadat sunat). Maka diberikan kemudahan kepada para sahabat dengan berterusan berzikir kepada Allah.

Sebahagian ulama berkata: “Hadis ini menunjukkan kelebihan dalam istiqamah berzikir kepada Allah.”

Hadyu al-Nabawi dan Istifadah Hadis

Pertama: Ayat-ayat Allah yang menyebut tentang zikir. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا ‎﴿٤١﴾‏ وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا ‎﴿٤٢﴾‏ هُوَ الَّذِي يُصَلِّي عَلَيْكُمْ وَمَلَائِكَتُهُ لِيُخْرِجَكُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ ۚ وَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا ‎﴿٤٣﴾‏ تَحِيَّتُهُمْ يَوْمَ يَلْقَوْنَهُ سَلَامٌ ۚ وَأَعَدَّ لَهُمْ أَجْرًا كَرِيمًا 

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang. Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu – dan malaikat-Nya pula (berdoa bagi kamu) – untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa Melimpah-limpah rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat). Sambutan penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemui-Nya ialah ucapan “Salam” (selamat sejahtera); dan Ia telah menyediakan untuk mereka pahala balasan yang mulia.”

Surah al-Ahzab (41-44)

Allah SWT berfirman:

 إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.”

Surah Taha (14)

Allah SWT berfirman:

‏ الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Surah al-Ra’d (28)

Kedua: Sesungguhnya berzikir kepada Allah SWT merupakan ibadat yang menjauhkan kita dari kelalaian kepada-Nya, dan mendekatkan kita kepada-Nya. Islam menitikberatkan kepentingan zikir kepada Allah. 

Ketiga: Seorang muslim yang berakal sudah semestinya akan mendahulukan semulia-mulia amal di dalam kehidupannya dan beramal dengannya, iaitu zikir kepada Allah SWT. Ini bertepatan dengan hadis sahih daripada Abi Darda’ RA, beliau berkata, bahawa Nabi SAW bersabda: 

أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ، وَأَزْكَاهَا عِنْدَ مَلِيكِكُمْ، وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ، وَخَيْرٌ لَكُمْ مِنْ إِنْفَاقِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ، وَخَيْرٌ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ؟ قَالُوا: بَلَى، قَالَ: ذِكْرُ اللَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Mahukah kamu aku khabarkan kepada kamu dengan amalan yang terbaik, lebih suci di sisi raja kamu, akan mengangkat darjat kamu, dan lebih baik daripada kamu menginfaqkan emas dan perak, lebih baik bagi kamu jika kamu berhadapan dengan musuh kamu lalu kamu memenggal lehernya atau mereka memenggal leher kamu? Mereka (sahabat) menjawab: “Ya.” Rasulullah SAW bersabda: “Berzikir kepada Allah SWT.”

Riwayat al-Tirmizi (3299) dan Ahmad (20713)

Keempat: Imam Ibn Qayyim dalam kitabnya al-Wabil al-Sayyib menyebut tentang kelebihan-kelebihan zikir:

  • Menghalau syaitan.
  • Mendatangkan keredhaan Allah.
  • Menghilangkan kegelisahan hati yang dukacita.
  • Hati menjadi tenang dan gembira.
  • Menguatkan hati dan tubuh badan.
  • Menerangi hati dan wajah.
  • Datangnya rezeki.
  • Orang yang berzikir akan merasa manisnya keimanan dan ketenangan.
  • Datangnya kecintaan al-Rahman yang merupakan ruh Islam.
  • Mendekatkan diri kepada Allah sehingga dimasukkannya dalam golongan orang yang mencapai tahap ihsan iaitu beribadah kepada Allah seakan-akan melihat-Nya.
  • Datangnya inabah, iaitu kembali pada Allah SWT. Semakin seseorang kembali kepada Allah dengan banyaknya berzikir pada-Nya, maka hatinya juga akan kembali kepada Allah dalam setiap keadaan.
  • Seseorang akan semakin dekat kepada Allah mengikut dengan kadar zikirnya kepada Allah SWT. Semakin dia lalai dari berzikir, maka dia juga akan semakin jauh dari-Nya.
  • Akan semakin bertambah kemakrifatan kepada Allah (mengenal Allah). Semakin banyak zikir, semakin bertambah makrifah seseorang kepada Allah.
  • Datangnya rasa takut pada Rabb ‘Azza wa Jalla dan semakin menghinakan diri kepada-Nya. Manakala orang yang lalai dari berzikir, akan semakin hilang rasa takutnya kepada Allah.
  • Akan meraih apa yang Allah SWT firmankan. Firman Allah SWT:

 فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ     

Maksudnya: “Maka ingatlah pada-Ku, maka Aku akan mengingati kamu.”

Surah al-Baqarah (152)

  • Hati akan semakin hidup. Ibn Qayyim pernah mendengar daripada gurunya, Ibn Taimiyyah berkata:

الذِّكْرُ لِلْقَلْبِ مِثْل الْمَاء لِلسَمَكِ فَكَيْفَ يَكُوْن حَال الْسَمَك إِذَا فَارقَ الْمَاء؟

Maksudnya: “Zikir pada hati seperti air yang diperlukan ikan. Lihatlah apa yang akan terjadi jika ikan tersebut berpisah dari air?”

  • Hati dan ruh semakin bertambah kuat. Jika seseorang me-lupakan zikir maka keadaannya sebagaimana badan yang hilang kekuatan. Ibn Qayyim Rahimahullah menceritakan bahawa Ibn Taimiyyah pernah solat Subuh dan beliau duduk berzikir kepada Allah SWT sehingga terbit matahari. Setelah itu beliau berpaling kepadaku dan berkata: “Ini adalah kebiasaanku di pagi hari. Jika aku tidak berzikir seperti ini, hilanglah kekuatanku.” 
  • Zikir menjadikan hati semakin bersih putih yang sebelumnya berkarat. Karatnya hati adalah disebabkan kerana lalai dari berzikir mengingati Allah. Sedangkan putih bersihnya hati adalah dengan zikir, taubat dan istighfar.
  • Menghapuskan dosa, kerana zikir adalah kebaikan terbesar dan kebaikan yang akan menghapus keburukan.
  • Menghilangkan kerisauan dan keserabutan. Kerisauan ini dapat dihilangkan dengan berzikir kepada Allah.
  • Ketika seorang hamba selalu mengingat Allah, maka Allah akan mengingatnya di saat dia memerlukan pertolongan.
  • Jika seorang hamba mengenal Allah dalam keadaan senang, maka Allah akan mengenalnya dalam keadaan dia susah.
  • Menyelamatkan seseorang dari azab neraka.
  • Zikir menyebabkan turunnya sakinah (ketenangan), naungan rahmat, dan dikelilingi oleh malaikat.
  • Zikir menyebabkan lisan semakin sibuk sehingga terhindar dari ghibah (mengumpat), namimah (adu domba), dusta, perbuatan keji dan batil.
  • Majlis zikir adalah majlis para malaikat dan majlis orang yang lalai dari berzikir adalah majlis syaitan.
  • Orang yang berzikir begitu bahagia, begitu pula ia akan membahagiakan orang-orang di sekitarnya.
  • Akan memberikan rasa aman bagi seorang hamba dari kerugian di hari kiamat.
  • Tangisan orang yang berzikir, Allah akan memberikan naungan ‘Arasy kepadanya di hari kiamat iaitu hari yang amat panas.
  • Sibuknya seseorang pada zikir adalah disebabkan Allah memberikan untuknya lebih daripada yang diberikan kepada peminta sedekah.
  • Zikir adalah ibadah yang paling ringan, namun ibadah tersebut amat mulia.
  • Zikir adalah tanaman syurga.
  • Pemberian dan keutamaan yang diberikan kepada orang yang berzikir, tidak diberikan kepada amalan lainnya.
  • Berterusan berzikir kepada Allah menyebabkan se-seorang tidak mungkin melupakan-Nya. Orang yang melupakan Allah adalah penyebab kesengsaraannya di hari ia dikembalikan. Seseorang yang melupakan Allah menyebabkan dia melupakan dirinya dan maslahat untuk dirinya. Allah SWT berfirman:

 وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللَّهَ فَأَنسَاهُمْ أَنفُسَهُمْ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ 

Maksudnya: “Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka Itulah orang-orang yang fasik.”

Surah al-Hasyr (19)

  • Zikir adalah cahaya bagi pemiliknya di dunia, di dalam kubur, dan pada hari kebangkitan.
  • Zikir adalah ra’su al-Umur (induk segala perkara). Sesiapa yang dibukakan baginya kemudahan untuk berzikir, maka dia akan memperolehi berbagai kebaikan. Sesiapa yang luput dan melepaskan dari berzikir ini, maka luputlah dia dari berbagai kebaikan.
  • Zikir akan memperingatkan hati yang tertidur lena. Hati akan kembali tersedar dengan berzikir.
  • Orang yang berzikir akan semakin dekat dengan Allah dan bersama dengan-Nya. Kebersamaan di sini adalah dengan kebersamaan yang khusus, bukan hanya sekadar Allah itu bersama dengan maksud mengetahui atau meliputi.

Semoga Allah SWT menjadikan kita termasuk di kalangan ahli zikir. Sementelahan lagi pada bulan Ramadhan al-Mubarak ini dan pada 10 akhir Ramadhan ini untuk kita basahkan lidah kita dengan zikrullah. Amin.

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

24 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *