Alhamdulillah, syukur kepada-Nya, selawat dan salam kepada Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat. Alhamdulillah, dalam ruangan Renungan Ramadhan kali ini, kami akan fokuskan satu tajuk terkait dengan catatan kemenangan Islam di bulan Ramadhan, iaitu  Peperangan Zallaqah dan Iktibarnya.

Perang Zallaqah atau juga dikenali dengan Pertempuran Sagrajas berlaku pada hari Jumaat, 12 Rejab 479 H antara tentera Islam dan tentera Kristian.  Yusuf bin Tasyfin merupakan pemimpin tentera Islam ketika itu. Beliau merupakan seorang pemimpin yang paling gemilang dalam memimpin Dinasti Murabitun. Ketika itulah berlakunya puncak kegemilangan dan kejayaan kerajaan Murabitun.

Beliau telah dipanggil oleh Amir Cordoba iaitu al-Mu’tamid ‘Alallah bin Abbad yang terancam kekuasaannya oleh Raja Alfonso VI, dan meminta bantuan kepada Yusuf bin Tasyfin. Lalu Yusuf bin Tasyfin yang dibantu oleh sebahagian daripada Muluk al-Tawa’if di Andalusia membawa pasukan dengan kekuatan seramai 10,000 tentera bantuan dari Afrika.

Sebelum memutuskan untuk berperang, Yusuf bin Tasyfin telah mengirimkan surat kepada Raja Alfonso VI. Dalam suratnya, dia menawarkan beberapa pilihan, iaitu masuk Islam, membayar jizyah atau berperang. (Lihat Raudh al-Qirtas, hlm. 146; al-Raudh al-Mi’thar, hlm. 290)

Alfonso IV lalu membalas surat tersebut dengan menulis, “Jika aku memilih perang, apa pandanganmu atas pilihanku ini?” Apabila tiba surat tersebut ke tangan Yusuf bin Tasyfin, spontan dia memegang surat itu lalu menulis balasannya pada halaman belakang surat tersebut, “Jawapannya adalah apa yang akan kamu lihat dengan mata kepala kamu sendiri, bukan yang kamu hanya biasa dengar dengan telinga kamu. Semoga salam sejahtera selalu dilimpahkan kepada orang yang mahu mengikuti petunjuk.” Membaca surat jawapan daripada Yusuf bin Tasyfin, Alfonso VI lalu sedar bahawa dia sedang menghadapi orang kuat yang perlu ditentangnya. (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh oleh Ibn al-Athir, 13/446)

Tentera Kristian telah bersedia untuk menyambut kedatangan Yusuf bin Tasyfin. Mereka mengumpulkan pasukan dalam jumlah yang sangat besar. Dikatakan jumlah mencapai lebih daripada 300,000 tentera, dengan dipimpin secara langsung oleh Alfonso VI, setelah dia memperoleh bantuan daripada kerajaan-kerajaan Kristian yang berada di Perancis, Itali dan negara-negara Kristian yang lain. Alfonso tampil di pasukan hadapan dengan membawa papan salib dan gambar Jesus, sambil dengan angkuh melaungkan, “Dengan pasukan ini, aku akan perangi jin dan manusia. Akan aku perangi sekalian malaikat-malaikat yang ada di langit.” Dia sangat yakin bahawa ini adalah Perang Salib melawan Islam. (Lihat al-Raudh al-Mi’tar oleh al-Humairi, hlm. 289; Nafh al-Tib oleh al-Muqri, 4/363)

Lalu tentera Islam pun berhadapan dengan pasukan Raja Alfonso VI yang berjumlah dengan kekuatan seramai 300,000 anggota tentera. Maka tercetuslah pertempuran yang sengit di Zallaqah pada bulan Rajab tahun 479 H.  Pasukan tentera Islam pula berjumlah sekitar 30,000 tentera. (Lihat al-Andalus: Min al-Fath ila al-Suqut oleh Dr. Raghib al-Sirjani, hlm. 492)

Dengan taktik yang dilancarkan oleh Yusuf bin Tasyfin, umat Islam mula menguasai serangan terhadap orang-orang Kristian. Pasukan pertama yang dipimpin oleh al-Mu’tamid telah melancarkan serangan ke arah tentera Kristian yang dipimpin oleh Albert Hanes. Yusuf bin Tasyfin telah merancang strategi dengan menyimpan satu pasukan lain agar dapat mengalahkan pasukan Alfonso.

Dengan kebijaksanaannya, ketika pasukan tentera Islam pertama yang dipimpin oleh al-Mu’tamid sudah mula berguguran dan pasukan raja Alfonso juga mula mengalami penurunan, maka datanglah pasukan kedua Yusuf bin Tasyfin dari atas bukit untuk menggempur pasukan Raja Alfonso. Pertempuran yang sengit pun berlangsung antara kedua-dua pasukan.

Akhirnya, pasukan Kristian telah tersepit hasil serangan daripada kedua-dua pasukan tentera Islam yang dipimpin oleh al-Mu’tamid dan Yusuf bin Tasyfin. Lalu mereka melarikan diri secara berterabur dengan penuh ketakutan, dan terlihat kekacauan dan kepanikan di kawasan kubu raja Alfonso. Pertempuran berlaku daripada pagi hingga ke malam.

Penulis kitab al-Hilal al-Musyiyat menjelaskan detik-detik pertempuran tersebut dengan menyebut: “Setelah berlaku pertempuran yang sangat sengit, dan serangan demi serangan berjaya dilancarkan, maka kedudukan Alfonso VI pun terdesak. Beberapa pasukan kuda elitnya lari bertempiaran. Pasukan berkuda mereka yang lain berteriak saling meminta tolong antara satu sama lain. Mereka terlempar dari atas kuda masing-masing. Mereka lari dari medan pertempuran demi menyelamatkan diri. Maka Allah menghulurkan pertolongannya kepada tentera Islam. (Lihat al-Hilal al-Musyiyat, hlm. 61)

Raja Alfonso akhirnya semakin terdesak dan mengalami luka parah di bahagian lutut. Akhirnya beliau pun lari dari medan perang dan meninggalkan pasukannya untuk menyelamatkan diri daripada pasukan tentera Islam. Pertempuran akhirnya dimenangi oleh tentera Islam. (Lihat al-Andalus: al-Tarikh al-Musawwar oleh Tariq Suwaidan; al-Andalus: Min al-Fath ila al-Suqut oleh Dr. Raghib al-Sirjani, hlm. 492-499)

Antara iktibar yang boleh kita ambil, kesatuan dan perpaduan umat Islam yang disertakan dengan iman, azam dan tekad serta kesungguhan yang luar biasa untuk mencapai mardhatillah, mampu menggerunkan dan menghancurkan musuh. Begitu juga sikap angkuh musuh dengan jumlah yang ramai sehingga mencabar kekuasaan Tuhan sanggup berdepan dengan sesiapa sahaja termasuk malaikat, sentiasa merugikan dan menzahirkan kebodohan pemikiran. Benarlah firman Allah SWT:

كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ

Maksudnya: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah.”

(Surah al-Baqarah: 249)

Dikatakan, jumlah mereka yang selamat kurang daripada 500 orang. Itulah hebatnya tentera Islam di bawah pimpinan Yusuf ibn Tasyfin. Semoga Allah merahmatinya dan tentera Islam yang menyertai peperangan tersebut. Amin.

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

25 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *