Alhamdulillah, segala puji hanya bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya, para sahabatnya dan semua yang mengikut jejak langkahnya sehingga ke Hari Kiamat. 

Pada kali ini, dalam ruangan Tazkirah Harian Ramadhan, kami fokuskan berkenaan dengan hari-hari terakhir Ramadhan. Justeru, meninggalkan bulan yang penuh  berkat dan kemuliaan ini akan cukup terasa pada jiwa kita yang cintakan ibadat. Semoga mukhayyam tarbawi Ramadhan pada kali ini menatijahkan kepada kita ketaqwaan. Saya tajukkan pada kali ini dengan Jadilah Hamba Allah, Bukan Hamba Ramadhan.

Inilah yang disebut oleh salafussoleh agar kita jangan terperangkap dengan bulan untuk beribadat tetapi kita hendaklah istiqamah dan beriltizam beribadat kepada Tuhan kita Allah Rabb al-‘Alamin. Justeru, benarlah kata ulama:

كُنْ رَبَّانِيًا وَلَا تَكُنْ رَمَضَانِيًا

Kalau kita semak setiap kali selesai ibadat yang besar seperti puasa di bulan Ramadhan dan ibadat-ibadat yang lain yang diisi di bulan Ramadhan, tetapi ia seharusnya dilangsungkan hingga kepada bulan-bulan seterusnya. Ini kerana sebagai contoh:

  • Puasa Ramadhan, selepas itu kita juga digalakkan untuk puasa sunat. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.”

Riwayat Muslim (1164)

  • Solat malam seperti tarawih dan lain-lain juga hendaklah kita teruskan dengan solat-solat lain pada waktu yang lain.
  • Sedekah, sebagaimana kita disuruh bersedekah, begitu juga kefardhuan zakat fitrah, masa wajibnya adalah selepas selesai bulan Ramadhan yakni malam Raya. Tetapi sunat kita awalkan. Ini kerana zakat fitrah untuk menyucikan kelemahan dan salah silap kita sepanjang kita berpuasa dan memberi makan kepada orang-orang miskin. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

فَرَضَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ، وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ ، مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ ، فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ ، وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ ، فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَاتِ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah fardhukan zakat fitrah sebagai menyuci untuk orang berpuasa dari sebarang lagha serta keji di samping memberi makan kepada golongan miskin. Siapa yang menunaikannya sebelum solat raya maka dia dianggap zakat yang diterima. Dan sebaliknya, siapa yang menunaikannya selepas solat hari raya maka dia dianggap sebagai sedekah.”

Riwayat Abu Daud (1609)

  • Sebenarnya, selepas bulan puasa namanya bulan Syawal, masyarakat kita menyangkakan ia semata-mata bulan Raya. Tetapi, hakikat sebenar dalam Islam, ia adalah mukadimah dan permulaan bulan haji. Untuk makluman, bulan haji itu ialah Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Bulan ini, orang-orang zaman dahulu sebelum wujudnya kenderaan moden seperti kapal terbang sudah bersiap sedia untuk pergi ke Mekah kerana mengambil masa yang agak lama untuk menyempatkan diri untuk berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah. Rasulullah SAW bersabda:

الحَجُّ عَرَفَةُ

Maksudnya: “Haji adalah Arafah”. 

Riwayat al-Tirmizi (814)

Justeru, saya katakan marilah sama-sama kita mengambil semangat Ramahdan yang telah kita lalui sebagai mukhayyam tarbawi kita untuk menambahkan lagi semangat kita sebagai hamba Alalh SWT yang sejati. Saya akhiri dengan firman Allah SWT;

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”

(Surah al-Baqarah: 186)

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

29 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *