Renungan Ramadhan #31: Ihya’ Malam Raya

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya, para sahabatnya dan semua yang mengikut jejak langkahnya sehingga ke Hari Kiamat. 

Pada kali ini, dalam ruangan Tazkirah Harian Ramadhan, kami fokuskan berkenaan dengan menghidupkan malam raya atau disebut sebagai Ihya’ Malam Raya. 

Aidilfitri adalah hari anugerah daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan taat. Ia adalah satu penghargaan kepada mereka yang melakukan ketaatan kepada Allah dengan tidak berbelah bagi.

Hari kebesaran itu disambut selepas menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan yang mulia. Maka Aidilfitri itu sebenarnya ialah hari untuk berbuka yang mana pada hari itu dihalalkan apa yang telah diharamkan kepada kita melakukannya pada siang hari di bulan Ramadan seperti makan, minum, dan bersama dengan isteri.

Hari tersebut adalah bagi umat Islam bergembira dan berada di dalam keadaan penuh ceria setelah mereka berjaya menyempurnakan kewajipan dan ketaatan kepada Allah SWT pada bulan Ramadan.

Firman Allah SWT:

قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ ‎

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal).

(Surah Yunus: 58)

Terdapat banyak nas yang menggalakkan kita menghidupkan malam raya, di mana padanya terdapat keberkatan dan rahmat. Justeru, bergembira pada malam raya dengan memuja dan memuji kebesaran Ilahi dan bertakbir sudah pasti mempunyai banyak kelebihan.

Di sini dinyatakan dua perkara yang digalakkan pada malam raya selain daripada mengeluarkan zakat fitrah:

  •   Menghidupkan malam raya dengan berQiamullail. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَتَيْ الْعِيدَيْنِ مُحْتَسِبًا لِلَّهِ لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ.

Maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari raya (Aidil Adha dan Aidilfitri) kerana mengharapkan ganjaran kerana Allah. Maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia).”

Riwayat Ibnu Majah (1782). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan bahawa hadith ini dha’if.

  •   Bertakbir pada malam raya dan pagi hari raya sehingga solat raya. Hal ini berdasarkan hadith riwayat Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

زَيِّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبِيْرِ

Maksudnya: “Hiasilah hari raya kamu dengan bertakbir.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (4373) Imam al-Sakhawi di dalam al-Maqasid al-Hasanah (281) menyatakan bahawa sanad hadith ini dhaif.

 

Terdapat juga hadith lain yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani, daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, bahawa Nabi SAW bersabda :

مَنْ صَلَّى لَيلَةَ الفِطْرِ وَالأَضْحَى لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَومَ تَمُوتُ القُلُوب.

Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan solat pada malam hari raya Aidilfitri dan Aidil Adha, maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia).”

Riwayat  al-Tabarani (159) di dalam al-Mu‘jam al-Ausat. Al-Haithami di dalam Majma‘ al-Zawa’id (2/233) menyatakan bahawa hadith ini adalah lemah kerana di dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang bernama Umar bin Harun al-Balkhi.

Berdasarkan apa yang dinyatakan di atas, didapati bahawa hadith-hadith berkenaan menghidupkan malam hari raya kebanyakannya adalah lemah. Namun, hadith-hadith tersebut hanyalah bersifat fadha’il ‘amal (kelebihan-kelebihan beramal) dan tidaklah melibatkan hukum-hakam seperti halal dan haram.

Justeru, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa ia boleh untuk diamalkan. Beliau menjelaskan: “Imam al-Syafi’i dan para ulama’ Syafi‘iyyah menganjurkan untuk menghidupkan malam hari raya walaupun hadith dalam perkara ini statusnya dha’if. Di awal kitab, kita sudah menjelaskan prinsip dalam fadha’il amal (kelebihan-kelebihan beramal) di mana hadith-hadith di dalamnya lebih dilonggarkan dan tetap diamalkan meskipun diketahui kedha’ifannya.” (Lihat al-Majmu‘, 5/49)

Di dalam tulisan beliau yang lain, Imam al-Nawawi turut menyebutkan: “Para ulama’ mazhab al-Syafi‘i menjelaskan bahawa sangat dianjurkan untuk menghidupkan malam dua hari raya dengan memperbanyakkan solat atau ibadah-ibadah ketaatan yang lain.” (Lihat al-Majmu‘, 5/49)

Justeru, kami melihat bahawa harus untuk menghidupkan malam hari raya dengan mengerjakan pelbagai ibadah ketaatan seperti solat berjemaah, solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, melaungkan takbir pada malam hari raya dan sebagainya. 

Laungan takbir bagi hari raya puasa (Aidilfitri) adalah digalakkan bermula selepas terbenamnya matahari pada malam raya sehinggalah ketika imam keluar untuk mendirikan solat sunat hari raya. Berkenaan hal ini Imam al-Syafi‘i ada menyatakan: “Orang ramai bertakbir pada hari raya puasa ketika hilangnya matahari pada malam raya secara bersendirian dan juga secara berjemaah dalam setiap keadaan sehinggalah imam keluar untuk mendirikan solat hari raya, kemudian mereka berhentikan takbir.” (Lihat al-Umm, 1/275)

Manakala sighah (bentuk) takbir hari raya pula adalah seperti yang diketahui umum. Di antaranya seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu‘ (5/31):

اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَر، اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا، لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ، وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ، لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعَدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ.

Justeru, antara amalan yang patut dilakukan pada malam hari raya dan pada hari raya ialah:

  •   Qiamullail.
  •   Berdoa kepada Ilahi.
  •   Bertakbir. (ألله أكبر)
  •   Bertahlil. (لا إله إلا الله)
  •   Bertahmid. (الحمد لله)
  •   Dan bertasbih. (سبحان الله)

Semoga malam Raya yang kita lalui diimarahkan dengan ketaatan dan kepatuhan kepada Alalh SWT seperti yang kita bincangkan di atas. Natijah yang kita doakan agar kita dikurniakan ketaqwaan, kerahmatan, keredhaan dari-Nya dan keampunan. Amin.

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

30 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *