Kenapa kita perlu bersahur? Jawapannya, kerana mengikut perintah Nabi SAW. Antara kelebihannya, sebuah hadith diriwayatkan oleh oleh Anas Bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

تَسَحَّرُوا، فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya : “Bersahurlah kamu, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.” 

Riwayat al-Bukhari (1923) dan Muslim (45)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan galakan dalam bersahur. Telah berlaku ijma’ dalam kalangan ulama’ bahawa bersahur adalah sunat dan ia bukanlah wajib. Adapun keberkatan padanya bermaksud dengan bersahur akan menguatkan seseorang itu untuk berpuasa dan membuat seseorang itu bersemangat dengan bersahur. Di samping itu, dengan bersahur akan membuat keinginan seseorang itu untuk berpuasa bertambah, disebabkan kurangnya kesusahan yang dialami bagi orang yang bersahur (disebabkan keberkatan bersahur). 

Ini adalah pendapat yang betul dan mu’tamad pada makna hadith ini. Dikatakan juga, keberkatan yang dimaksudkan adalah dengan berjaga malam, berzikir, berdoa pada waktu yang mulia iaitu waktu turunnya rahmat dan diqabulkan (diterima) doa dan istighfar. (Lihat al-Minhaj, 7/206). Kita juga disunatkan melewatkan bersahur dan mempercepatkan berbuka.

Begitu juga, kita mengharapkan agar Allah SWT mengampuni dosa kita dan malaikat mendoakan untuk kita. Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, sabda Rasulullah SAW:

السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ ، فَلاَ تَدَعُوهُ ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ ، فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Maksudnya: “Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Jangan pernah kalian meninggalkannya walaupun hanya dengan satu tegukan air. Sesungguhnya Allah memberikan rahmat dan para malaikat pula mendoakan ke atas orang yang bersahur.”

Riwayat Imam Ahmad (11102), Ibn Abi Syaibah (9013) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (8064). Syeikh Syuaib al-Arna’ut menyatakan hadith ini sahih dalam takhrij al-Musnad.

Justeru, janganlah kita meninggalkan sahur walaupun hanya seteguk air. Inilah pesan Rasulullah SAW:

تَسَحَّرُوا وَلَوْ بِجُرْعَةٍ مِنْ مَاءٍ

Maksudnya: “Bersahurlah walaupun hanya dengan seteguk air.”

Riwayat Ibn Hibban (3472) dan Abu Nu’aim dalam Ma’rifah al-Sahabah (4191). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (2945). Manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya hasan dalam takhrij Sahih Ibn Hibban.

Semoga Allah memberkati hidup kita dengan sebab kita bersahur sebagaimana dijanjikan dalam hadis Nabi SAW. Amin.

Akhukum fillah,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

8 Ramadhan al-Mubarak 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *