Hari minggu adalah hari yang agak lapang bagi Zul di Damsyik. Memandangkan tidak ada apa-apa urusan penting, beliau bercadang untuk pergi ke Dataran Marjeh. Dataran tersebut dibina pada zaman ‘Uthmaniyyah pada akhir kurun ke-19. Beberapa orang temannya seperti Fuad Ebnu Ali, Ghazali, Nazmi Karim, Pok Cik, Hakimi dan lain-lain sudah diajak namun masing-masing ada urusan. Anuar pada mulanya ingin turut serta tetapi terpaksa membatalkan hasratnya kerana ada persiapan untuk jamuan makan. Anuar memang antara yang pandai memasak dalam kalangan pelajar Malaysia di sini.

Baru minggu lepas, Zul dan rakan-rakan serumah bergotong royong memasak Sup Tulang Ayam dengan resepi tempatan. Di Syria, ayam dijual dalam empat bentuk. Ada yang dijual seekor, dipotong, bahagian dalaman sahaja iaitu hati dan tulang sahaja. Tulang ayam kerap menjadi pilihan Zul dan sahabat-sahabatnya kerana murah dan jika kena cara memasaknya, memang sedak! Chef sudah tentu Hakimi, antara sahabatnya yang pandai memasak selain Anuar.

*****************

Jika inginkan ketenangan selain di Masjid Manjak atau Masjid Tenkiz, Zul suka ke Dataran Marjeh. Melihat gelagat orang ramai, anak-anak yang berkejaran, pasangan suami isteri tua dan muda bersenda gurau di kedai makan. Burung-burung merpati, ratusan ekor banyaknya penuh di dataran. Setiap kali Zul ke sana, pasti akan kelihatan pengunjung memberi dedak kepada merpati-merpati tersebut.

Nampak seakan-akan jinak, namun bila didekati, semuanya berterbangan melarikan diri. Itulah namanya jinak-jinak merpati. Boleh bercampur, tetapi tidak begitu rapat atau mesra.

Zul menapak ke gerai teh berdekatan kerana tekaknya sudah kehausan. Teh di Syria dan umumnya negara-negara Arab, bukan sahaja sedap aroma dan rasanya, kaedah penyediaannya juga berbeza dan ada seninya yang tersendiri. Lelaki tua yang menjual teh itu menyambut Zul dengan penuh ceria. “Macam biasa pakcik…Teh satu!”, pesan Zul dengan jarinya diisyaratkan dengan angka satu. Lelaki tua itu mengangguk dan pantas tangannya mencapai teko tembaga dan diisi dengan serbuk teh. Di Malaysia, air yang digunakan sudah pasti air paip yang dimasak. Berbeza pula di Syria, air daripada mata air Fijeh, sumber kepada Sungai Barada yang merupakan sungai terkenal di Damsyik dituang ke dalam teko yang sedang dipanaskan. Memang lain rasanya minum air bersih daripada sumber mata air! Pelanggan boleh memilih untuk meminum teh berkenaan dengan gula atau tanpa gula. Cawan yang disediakan kecil dengan kuantiti teh yang sedikit namun pekat dan menyegarkan.

Sambil menikmati teh yang masih berkepul-kepul asapnya, Zul termenung mengenangkan keluarga di kampung. Beliau ada pulang ke Malaysia baru-baru ini semasa cuti di tempat pengajiannya. Semasa kepulangannya ke Terengganu, Khairul ada bertanyakan hukum perempuan yang ingin mengulang hafazan al-Qur’an dalam keadaan haid. “Gege pakat bincang hukum hafizah dalam haid, nok ngulang hafazan. Mu wase boleh ke dop?”, tanya Khairul kepada abangnya.

“Asasnya, dop bulih. Itu pandangan dalam mazhab kite, mazhab Syafie. Nabi kabor doh,

لاَ تَقْرَأ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ

“Dop bulih ppuang haid bace Qur’an walaupung se ayat…”[1]

“Tapi ade perbahasang berkenaan perawinya Ismail ‘Ayyash. Ringkasnye, sebahagian ulama hukumkan hadis ini dhaif. Pendapat ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih, dibolehkang untuk pegang Qur’an bagi ppuang yang haid, dan bulih bace Qur’an untuk mengajor dan belajor. Imam al-Bukhari, Imam Ibn Jarir al-Tabari, Ibn al-Munzir, al-Syaukani, al-San’ani, al-Sya’bi, pendapat Imam al-Syafi’i dalam qaul qadim, membenorkang. Fatwa Syeikhul Azhar Syeikh Jad al-Haq ‘Ali Jad al-Haq pun ade. Mung boleh rujuk dalam kitab Buhuthun wa Fatawa. Ye kate, boleh ppuang haid bace Qur’an, hafaz Qur’an mase haid kalu de ujian.”. Padat dan terperinci penjelasan Zul kepada adiknya.

“Ayub. Nanti mung tolong aku. Aku nok buat buku kecik bahas hukum ni. Pah tu mung bagi ke Yah di Azhar. Ye bulih taip comey skek.”. Khairul hanya tersenyum dengan permintaan abangnya. Itulah Zul. Pantang ada isu, terus disiapkan buku atau risalah kecil untuk penjelasan. Di SMAASZA, beliau menyiapkan risalah yang menghimpunkan solat-solat sunat yang tiada asasnya dalam Islam. Di Madinah, beliau dan beberapa sahabatnya menyusun sebuah risalah memperbetulkan pandangan Tabung Haji dalam isu melontar sebelum zawal.

Setengah jam di gerai teh, perutnya mula berbunyi tanda kelaparan. Setelah membayar 3 Lira bagi secawan teh, Zul berjalan kaki ke gerai makanan yang tidak jauh dari situ. Gerai itu memang popular dengan hati lembu atau kambing yang dimasak bersama bawang dengan rempah ratus. Bagi juadah yang lebih murah, ada juga disediakan lemak kambing. Selalunya, zul akan memesan lemak kambing yang dibakar bersama rempah, untuk dimakan bersama roti pita.

“Kamu dari mana?”, sapa seorang lelaki berkulit gelap di sebelah Zul. Mungkin daripada Sudan. “Aku daripada Malaysia. Belajar di Majma’ Ilmi Jami’ Sadat.”. Zul membalas sapaannya dan berbual dengan pelanggan di situ. Bermula dari isu makanan, sampailah ke politik semasa Syria, semuanya boleh dibualkan sambil mulut laju mengunyah.

Duk ccacang atau duduk di kerusi kayu kecil yang tersedia, menikmati keenakan menu marhaen lemak kambing yang panas mencair di dalam mulut, berbual-bual dengan pengunjung yang terdiri daripada pelbagai bangsa; itulah hujung minggu yang membahagiakan saat Zul di Syria.

********************

“Ambilkan aku helang tu.”, Zul menunjuk ke arah seekor helang kecil dalam sangkar berdekatan penjualnya. Selain helang kecil, sederhana dan besar, ada juga dijual burung merpati dan beberapa jenis burung lain. Itulah uniknya Dataran Marjeh, hampir semua benda ada dijual. “Di Malaysia, payoh nok bele lang. Sini aku nok bele sekor. !”, Zul berbisik sendirian.

Helang pun bertukar tangan. Nampak jinak. Zul mengusap-usap dan bercakap-cakap dengan helangnya. “Aku dop aa’uu mung pahang ke idok bahase Tranung. Tapi disebabkan mung ning lang spesies Arab, aku nok bagi name mung, Zaka’. Zaka’ dalam Bahase Arab maksudnye cerdik, bijok. Hehe…”

Memberi nama kepada haiwan peliharaan adalah antara sunnah Nabi SAW. Baginda ada kuda bernama al-Sakb, al-Murtajaz, Lizaz, al-Zarb, al-Luhaif. Unta susu Nabi antaranya bernama al-Hanna’, al-Samra’. ‘Ujzah, Zamzam, Suqya, Barakah adalah antara nama kambingnya.

Sepanjang perjalanan pulang, Zul melihat-lihat helangnya. Beberapa orang kanak-kanak Syria mengekorinya dan memanggil-manggil, “Saqar!”. Kanak-kanak kedua pula bersuara “Nasr!”. Datang seorang kanak-kanak daripada tepi Zul dan bertempik, “Baaazzz…!”. Zul cuma ketawa dengan keletah kumpulan kanak-kanak tersebut. Apa yang dipanggil itu adalah istilah bagi burung helang dalam Bahasa Arab.

Memori ikang sekila sudah lama terkubur di Kubang Kekura. Kini Zaka’ adalah teman Zul untuk berhibur, menghilangkan lelah belajar di Syria.

[1] Riwayat al-Tirmizi (131)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *