Keindahan Akhlak Penduduk Halab

“Zul tak ade ziarah rumah kawan-kawan Arab dia ke di Syria? Sarah nak tahu jugak budaya orang di sana. Haritu atuk cerita kisah Zul di rumah Syeikh Sadiq Habannakah. Bestlah. Sarah dapat bayang macam-macam jenis makanan ade masa hari raya tu!”. Sarah begitu teruja dengan kisah Tok Aki berkenaan juadah Hari Raya Aidilfitri di Syria.

“Ye..ye. Hari ni atuk nok cite lah. Atuk nok cite pengalamang Zul ke Halab dengan saing-saing die, Hassoun Shaqrouq dengan Ahmad Bish. Memang lain macam layanang orang Syria ni kepade orang luor, terutamenye tetamu.” Tok Aki mencicip air Kopi o di sisinya dan menyambung cerita beliau…

********************

“Zulkifli. Kamu patut datang ke kampung aku di Halab. Aku dan Ahmad Bish akan tunggu kamu di sana. Ajaklah Hazman sekali.”, kata Hassoun Shaqrouq, sahabatnya yang bekerja di Universiti Aleppo. Usianya sekitar 40-an dan amat menggemari nasyid. Pantang diminta untuk bernasyid, pasti akan dialunkan lagu-lagu nasyid. Antara lagu yang dinyanyikan adalah Jina al-Madinah yang pernah dipopularkan oleh Imad Rami, penasyid terkenal di Syria.

جينا المدينة ، لنزور نبينا

زرنا وصلينا ، وسلمنا عليه

بالحضرة وبالباب ، قبلنا الأعتاب

وغمرنا النور ، من رب غفور

لدی أغلی النور ، رب الأرباب

الله  الله  الله  ،  الله  الله  الله

Dengan tangannya digayakan seolah-olah memukul gendang, begitu asyik beliau mengalunkan nasyid tersebut sambil menggoyangkan kepalanya, menghayati lirik yang dinyanyikan. Zul tergelak kecil dengan gelagat Hassan Shaqrouq. Ahmad Bish yang berada di sebelah Zul tersengih melihat sahabatnya yang seolah-olah berada dalam konsert nasyid. Beliau kemudiannya menyambung nasyid tersebut diiring tepukan tangan Hassoun Shaqrouq mengikut tempo. Ahmad Bish adalah imam di salah sebuah masjid di daerahnya Salqin. Perwatakannya lebih warak, tubuhnya besar dan tinggi. Selalu memakai jubah, sesuai dengan imejnya sebagai seorang imam.

Jarak Damsyik ke Halab lebih kurang Terengganu ke Kuala Lumpur. Dari Damsyik, Zul dan Hazman menaiki bas Zaituni melalui Ruknuddin, melintasi Jambatan Baghdad, merentas padang pasir yang kering kontang. Sepanjang jalan Lebuhraya Damsyik – Halab, tiada apa-apa yang menarik kecuali beberapa kawasan bersejarah yang dilalui bas. Antaranya Maloula yang terkenal dengan Biara St. Thecla, kompleks Kristian yang menempatkan bangunan-bangunan purba daripada tanah liat yang diduduki oleh para pendeta, biarawati, dan masyarakat Kristian. “Hassoun Shaqrouq kabor ke aku, kalu napok signboard Hama, Saraqib, dop jauh doh dengang Halab.”, kata Zul sendirian.

Walaupun agak lama perjalanannya, tidak terasa penat kerana keadaan di dalam bas Zaituni amat selesa. Mungkin setaraf atau lebih daripada bas ekspress popular Malaysia pada era 90-an seperti Jelita, Mayang Sari dan Super Coach. Sampai di bandar Halab, kami tercari-cari van menuju ke kampung tersebut. Datang seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Ahmad. “Kamu berdua hendak pergi ke mana? Nampaknya macam orang luar.”, tanya Ahmad dengan mesra.

“Kami hendak ke kampung Hassoun Shaqrouq di Mir al-Hussein. Kamu kenal Hassoun Shaqrouq?”, tanya Zul kepada Ahmad. “Oh…kenal. Mari saya bawa kamu.”, katanya kemudian bergegas ke van.

“Disebabkan kamu orang luar dan tetamu kami, jangan risau. Saya tidak ambil apa-apa bayaran tambang. Saya akan bawa kamu sampai ke depan rumah Hassoun Shaqrouq.”, kata Ahmad sambil memandu. Dua kali Zul bertanya untuk kepastian. Jawapannya tetap sama. Beliau tidak akan ambil apa-apa bayaran. Subhanallah!

Ketibaan Zul dan Hazman pada senja itu disambut meriah oleh Hassoun Shaqrouq dan Ahmad Bish. “Ahlan…Ahlan. Selamat datang ke kampung kami. Wallahi kami amat gembira menerima tetamu, orang Malaysia!”, kata Hassoun Shaqrouq sambil mengalunkan nasyid menyambut ketibaan kami. “Waseang ning baru kali pertame dilayang macam VIP!”, bisik Hazman kepada Zul. Mereka ditempatkan di sebuah rumah tetamu yang dipanggil manzul.

“Memang special kite ning, Mang. Ana ingat kite tido rumoh orang kappung sini. Sekali puok ye bagi sebijik rumah. Subhanallah…”. Zul memulakan perbualan sebaik sahaja mereka merebahkan tubuh di tilam yang disediakan. 10 minit kemudian, pintu manzul diketuk. Zul yang berada berdekatan pintu segera membukanya.

“Mang. Ade budok laki duk ccacang depang pintu ning. Ana ingatkan ye nok ajok maing. Ye bowok kibbeh sepinggang!”. Zul memanggil Hazman ke muka pintu. Kedua-duanya kehairanan. Kata anak kecil itu, ibunya yang berikan untuk kami sebagai tetamu. Walaupun masih terpinga-pinga, Hazman mengambilnya dan mengucapkan terima kasih. Kibbeh adalah makanan tradisi Syria yang berbentuk seakan-akan Cek Mek Molek, namun isinya adalah daging kambing cincang dibalut dengan gandum burghul bercampur daging kambing dan bawang serta beberapa rempah ratus Syria.

Lebih kurang 45 minit selepas itu, pintu manzul diketuk lagi. “Ndape pulok Arab ning…”, Zul mengeluh. Bukannya marah tetapi hairan dalam kekenyangan! Sedulang Nasi Arab sudah tersedia di depan pintu. Kali ini seorang kanak-kanak perempuan yang membawanya. Zul memberikan gula-gula dan mengucapkan terima kasih kepada kanak-kanak tersebut. “Mang. Budok ppuang pulok. Ye maing kasor. Sedulang Nasi Arab. Ppale Kambing pun ade…”. Zul berpaling ke arah Hazman dan menggelengkan kepala. Hazman menepuk dahinya. Tersandar kekenyangan Zul dan Hazman pada malam itu.

Keesokan paginya, Hassoun Shaqrouq dan Ahmad Bish membawa kedua-dua sahabat mereka berjalan-jalan sekitar kampung. Suasana yang hijau, dan udara yang segar amat menenangkan. Mengingatkan Zul kepada kampung halamannya di Terengganu. Mereka singgah ke sebuah kandang lembu untuk melihat sendiri proses pemerahan susu lembu untuk dijual ke sekitar Halab.

“Mang. Menarik ning. Kalu buleh hok fresh, memang sedak do’oh…”, kata Zul kepada Hazman sambil menunjukkan kepada bekas susu di depannya. Hassoun Shaqrouq tidak memahami apa yang dibualkan keduanya namun dia tersenyum dan berbisik kepada kepada Ahmad Bish. Zul dan Hazman diajar kaedah memerah susu lembu oleh seorang penduduk kampung. Memang teruja kerana itu pertama kali mereka melakukannya. Selesai lawatan sekitar kampung, mereka pulang ke manzul untuk berehat dan mengemas barang sebelum pulang. Zul mencari-cari stokingnya yang hilang. “Enta ada napok stoking ana dop? 3 minggu dop basuh tu. Nyaknye kalu tinggal sini. Hehe…”, tanya Zul dengan rasa lucu. Hazman menggelengkan kepala dan kembali mengemas begnya.

Pintu manzul diketuk lagi.

Zul dan Hazman saling berpandangan. Hazman mengisyaratkan kepada Zul untuk membuka pintu. Zul bingkas bangun dan membukanya. Hassan Shaqrouq berdiri di hadapan pintu, tersenyum dengan memegang dua botol besar susu segar. Hazman mengintai dari tepi pintu. Kedua-duanya tercengang. “Aku tahu kamu nak rasa susu segar lembu di Halab. Jadi, aku bawakan khas. Mesti kamu hairan, tak putus-putus penduduk kampung datang memberi juadah makanan dan minuman. Itulah adat kami. Penduduk kampung akan bergilir-gilir menyediakan keperluan tetamu. Tetamu perlu dilayan sebaiknya. Kegembiraan tetamu adalah kebahagian kami.”, kata Hassoun Shaqrouq dengan penuh ceria.

“Oh, aku lupa hendak maklumkan kepada kamu, Zul. Stoking kamu ada disidai di rumah aku. Ibu aku ambil tadi pagi semasa mengemas manzul.”, tambah Hassoun Shaqrouq. Zul ketawa kecil dan menggelengkan kepalanya. Beliau amat kagum dengan cara masyarakat kampung di Halab melayani mereka. Terlalu sempurna dan istimewa.

Sebelum pulang, Zul dan Hazman bertemu kedua-dua sahabat mereka. “Hassoun, Ahmad Bish. Aku hendak menceritakan kepada kamu berdua. Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi, seorang ulama besar India pernah berkata, ‘Jika Rasulullah tidak ditakdirkan berhijrah ke Madinah, sudah pasti Baginda akan berhijrah ke Halab kerana keindahan akhlak penduduknya…”, Zul tersenyum dan memeluk erat kedua-dua sahabatnya itu.

********************

Sepanjang perjalanan pulang, seakan terngiang-ngiang syarahan Syeikh Muhammad ‘Ali al-Thani, guru kepada Zul di Masjid Nabawi tentang sunnah memuliakan tetamu.

“Di dalam Al-Quran menceritakan bagaimana para Nabi dengan kemuliaan hati mereka menerima, menyambut dan melayan tetamu. Di antaranya ialah Nabi Ibrahim ‘alahissalam. Allah merakamkan perkara ini di dalam Al-Quran. Firman Allah:

هَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَٰهِيمَ ٱلْمُكْرَمِينَ ﴿٢٤﴾ إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ فَقَالُوا۟ سَلَـٰمًا ۖ قَالَ سَلَـٰمٌ قَوْمٌ مُّنكَرُونَ ﴿٢٥﴾ فَرَاغَ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ فَجَآءَ بِعِجْلٍ سَمِينٍ ﴿٢٦﴾ فَقَرَّبَهُۥٓ إِلَيْهِمْ قَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”.[1]

Ayat ini tentang perbuatan Nabi Ibrahim AS menyambut dan melayan tetamu yang hadir ke rumahnya walaupun Baginda tidak mengenali orang yang datang ke rumahnya itu. Baginda tidak tahu yang datang itu adalah malaikat namun Baginda tetap melayannya. Kata Ibnu Kathir di dalam tafsirnya: ”Imam Ahmad dan kebanyakan para ulama mengatakan wajib melayan tetamu yang datang bertandang ke rumah.”[2]

Kata Syeikh Muhammad al-Amin Al-Syanqiti di dalam kisah Nabi Ibrahim ini ada beberapa pengajaran yang boleh diambil di antaranya segera menghidangkan makanan dan minuman untuk tetamu, hidangkan apa yang terbaik yang ada di dalam rumah, dekatkan makanan kepada tetamu dan bercakap dengan lemah lembut dengan tetamu[3]

Kesimpulannya, memuliakan tetamu sangat dianjurkan oleh Nabi SAW. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW :

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يُؤْذِ جَارَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat makan jangan sakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Juga sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau hendaklah dia diam.”[4]

Berdasarkan hadis ini, di antara kesempurnaan iman adalah mempunyai sifat suka memuliakan tetamu. Kata Al-Munawi: “Iaitu dia hendaklah memuliakan tetamunya sama ada kaya atau miskin. Sambut tetamu dengan wajah yang ceria, beri hadiah dan membalas ziarah tersebut dengan menziarahi dan bertandang ke rumah tetamu tersebut.”[5]

Imam Al-Nawawi berkata : Melayan tetamu adalah sunnah. Jika seseorang bertandang ke rumahnya dan tidak ada mudarat baginya, sunat baginya untuk melayan tetamu tersebut.”[6]

____________________

[1] Surah Al-Zariyat: 24-27

[2] Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, 4/300

[3] Adhwa’ Al-Bayan Fi Idhah Al-Quran bi Al-Quran, 2/297

[4] Riwayat Al-Bukhari, no. 6136

[5] Faidh Al-Qadir, 6/209

[6] Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 9/57

One thought on “Keindahan Akhlak Penduduk Halab

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *