Mutiara di Dataran Syam

“Ustaz Zul! Ana nak belajar Hikam dengan Ustaz Zul boleh…? Sapaan Azlan memutuskan lamunan Zul. Zulyadain yang ada disisinya turut tersenyum. Kitab Hikam dipeluknya di dada. Kedua-duanya ingin belajar dengan Zul. Sejak mula menyambung pengajiannya di Syria, Zul adalah antara yang pelajar Malaysia yang menjadi rujukan untuk bertalaqqi oleh adik-adik junior di sana.

Kebetulan, Zul konsisten belajar secara talaqqi Syarah Hikam Ibn Ata’illah oleh Syeikh ‘Abd al-Majid Al-Syurnubi yang diajarkan oleh Syeikh Rusydi Qalam, imam dan khatib di Masjid Ishaq bin Rahawaih. Setiap kali selesai kelasnya dengan Syeikh secara bersemuka seorang diri, Zul akan pulang dan kadang-kadang mengadakan kelas dengan para pelajar Malaysia di rumahnya. Syeikh Rusydi Qalam adalah murid kepada al-‘Allamah Syeikh Hasan Habannakah dan teman sepengajian dengan Syeikh Sadiq Habannakah, Syeikh Husain Khatib, Syeikh ‘Abdul Qadir Barakat dan Syeikh Kurayyim Rajih.

Syeikh Rusydi Qalam

“Dalam kitab Al-Hikam, Imam Ibn Ata’illah menyebutkan hikmah ke-11 yang berbunyi:

ادفن وجودك فى أرض الخمول فما نبت مما لم يدفن لا يتم نتائجه

“Benamkan dirimu ke dalam tanah yang gersang, sesungguhnya apa-apa yang tumbuh daripada sesuatu yang tidak ditanam, maka tidak sempurnalah natijahnya”

Syeikh Abdul Majid As-Syurnubi menyatakan, hikmah ini mengajar penuntut ilmu untuk berakhlak dengan sifat tawadduk dan ikhlas. Hal ini kerana kedua-dua sifat ini akan menjaga seseorang daripada mencari kemasyhuran. Imam Ibn Ata’illah memberi satu analogi yang cukup mudah. Beliau menyamakan penuntut ilmu dengan sebiji benih. Bagi seorang petani, untuk mendapatkan hasil tanaman yang subur dan baik, maka petani tersebut perlu mendapatkan biji benih yang berkualiti. Kemudian benih tersebut disemai di tapak yang dijaga rapi. Ditanam dengan kedalaman yang tertentu. Ketika ia disemai, tiada sesiapa pun yang mengetahui kualiti benih tersebut. Bahkan ia lansung tidak kelihatan di atas tanah. Sehinggalah sampai masa dan waktu yang sesuai, maka benih tersebut bertukar menjadi hasil tanaman. Akarnya yang kuat di dalam tanah menyebabkan ia tidak mudah tercabut ditiup angin. Begitu juga dengan sumber mineral yang yang mudah diperolehi melalui akar yang berselirat.”. Huraian Syeikh yang ringkas dan mudah difahami, menjadikan Zul amat selesa untuk bertalaqqi dengan beliau.

“Syeikh, jika tak keberatan, saya ingin belajar dengan Syeikh kitab-kitab akidah. Boleh?”, tanya Zul kepada Syeikh Rusyid Qalam pada satu petang selepas Zul pulang daripada syarahan Syeikh Nuruddin ‘Itr di Majma’ Ilmi Jami’ Sadat. Syeikh bersetuju dan memintanya untuk datang ke Masjid Manjak. “Boleh, insya-Allah Zulkifli. Kita akan mulakan dengan kitab Syarah al-‘Aqidah al-Tahawiyyah oleh al-‘Allamah Imam ‘Abd al-Ghani al-Ghunaimi,” katanya kepada Zul. Beliau merupakan seorang faqih bermazhab Hanafi, lahir di Damsyik. Menuntut dengan al-‘Allamah Ibn ‘Abidin. Antara muridnya antara Syeikh Tahir al-Jaza’iri. Antara karyanya adalah dalam bidang bidang akidah, fiqh Hanafi, nahu dan lain-lain.

Pada permulaan, Zul mempelajari kitab Syarah al-‘Aqidah al-Tahawiyyah oleh al-‘Allamah Imam ‘Abd al-Ghani al-Ghunaimi dengan Syeikh. Jika di Universiti Islam Madinah dahulu, Zul mempelajari kitab al-‘Aqidah al-Tahawiyyah bersama Syeikh ‘Abdullah bin Muhammad al-Ghunaiman, salah seorang ulama’ dalam bidang Akidah yang disegani di Madinah yang juga merupakan Ketua Panitia Pengajian Tinggi, Universiti Islam Madinah. Pendedahan tentang kepelbagaian kupasan dan syarahan mengikut aliran Ahlul Hadith dan Asyairah menjadikan Zul lebih terbuka dalam memahami konsep sebenar akidah Ahli Sunnah wa al-Jama’ah.

Pengajian diteruskan dengan kitab al-‘Aqidah al-Asbahaniyyah, Ithaf al-Murid bi Syarh Jaurahah al-Tauhid, Qatr al-Nada, al-Adab al-Bahth wa al-Munazarah dan beberapa buah kitab lain. Semuanya ditamatkan dalam pengajian bersama Syeikh. Kadangkala, pengajian diadakan di kedai kain Syeikh yang menjual kain, dan keperluan rumah seperti stoking dan sebagainya. Zul akan mengayuh basikal daripada rumahnya dan melintasi kubur al-‘Allamah Syeikh Badruddin al-Hasani dan Imam Ibn Asakir. Setiap kali melaluinya, Zul akan memberhentikan basikalnya, membacakan Surah al-Fatihah dan disampaikan kepada roh kedua-dua ulama’ besar Syam tersebut.

********************

Zul membuka kitab Qimat al-Zaman ‘inda al-Ulama karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah yang baharu dibelinya. Sedang membacanya, matanya tertarik kepada satu frasa:

“Aku melihat ramai orang telah membazirkan masa dalam bentuk yang amat ajaib. Jika malam panjang, mereka bercakap yang tidak memberi manfaat atau membaca kitab yang lagha. Jika siang hari pula panjang, mereka penuhi dengan tidur. Ibnul Jauzi hidup di Kota Baghdad dan membandingkan mereka yang banyak bercakap di atas perahu sedangkan mereka tiada apa-apa. Aku lihat amat sedikit mereka yang faham tentang kewujudan mereka. Justeru, mereka sediakan sebanyak-banyak bekalan untuk musafir. Maka bertakwalah kepada Allah dengan kurniaan usia kepadamu dan bersegeralah sebelum luputnya serta berlumbalah dengan masa yang ada…”

Tempoh masanya di Syria, bukanlah panjang. Zul tidak boleh berlama-lamaan. Masa perlu disusun dengan baik supaya tidak tersisa.  Sebab itulah beliau memanfaatkan masanya sepanjang di Syria untuk mengutip sebanyak mungkin mutiara-mutiara Dataran Syam yang penuh barakah ini.

Zul pernah menghadiri beberapa kali halaqah bersama Syeikh ‘Abdul Qadir al-Arna’out. Beliau berkulit putih kemerahan, bermata biru, agak tinggi tubuhnya dan tegap. Dalam pengajiannya, sesekali beliau bergurau dan membawakan kisah-kisah lucu. Beliau juga seorang yang amat merendah diri dan tawadhu’. Satu hari, Zul bertanya kepada beliau, “Syeikh. Apakah sahih kitab al-Ibanah dinisbahkan kepada Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari?”. Jawab Syeikh, “Ya, benar. Aku tidak ketahui penafiannya daripada mana-mana ulama…”.

Zul juga tidak melepaskan peluang untuk berguru dengan Syeikh Dr. Muhammad ‘Abdullatif Soleh al-Farfour, Mudir Majma’ Ilmi Jami’ Sadat. Bersamanya, Zul mempelajari al-Arba’un al-Sihhah, 40 hadis susunannya sendiri dan kitab al-Futuhat al-Makkiyyah oleh Ibn ‘Arabi. Walaupun ia adalah tokoh yang dilingkari beberapa kontroversi yang didengarinya sejak beliau di Madinah, huraian Syeikh begitu mendalam dan terperinci berkenaan kalam-kalam Ibn ‘Arabi dan disulam dengan dalil al-Qur’an dan Hadis, menjadikan pengajian kitab berkenaan lebih kukuh dan tidak lari daripada landasan tasawwuf yang sahih.

“Ingatlah wahai para penuntut ilmu! Diriwayatkan bahawa Imam Malik bin Anas pernah berkata: Barangsiapa yang mempelajari ilmu fiqh tanpa tasawwuf, maka dia telah fasiq. Barangsiapa mempelajari ilmu tasawwuf tanpa ilmu fiqh, maka dia telah menjadi zindiq. Manakala barangsiapa yang menghimpunkan kedua-dua ilmu tersebut, maka itulah sebaik-baik dan sesempurna perkara.[1]

Renungilah kata-kata para Sufi yang sebenar. Mereka adalah ahlullah, ahli hakikat, ma’rifat dan sudah pastinya ahli syariat. Diriwayatkan bahawa Abu Bakar al-Warraq pernah berkata: Sesiapa yang berpada dengan ilmu kalam tanpa sifat zuhud (ilmu tasawwuf), dia menjadi zindiq. Siapa yang berpada dengan sikap zuhud tanpa mempelajari ilmu kalam dan fiqh, dia telah berbuat bid’ah. Manakala barangsiapa yang berpada dengan fiqh tanpa sikap zuhud dan wara’, dia telah fasiq. Manakala sesiapa yang menguasai kesemua ilmu ini, dia mencapai martabat mukhlis.[2]

Sidi Ahmad Zarruq pula telah menetapkan satu kaedah penting dalam ilmu tasawwuf iaitu: Tiada tasawwuf tanpa fiqh, kerana dengan ilmu fiqh dapat diketahui hukum-hakam Allah SWT yang zahir. Begitu juga tiada ilmu fiqh tanpa tasawwuf, kerana amal soleh hanya diperoleh dengan keikhlasan dan keimanan hakiki kepada Allah SWT. Oleh kerana itu, kedua-dua tasawwuf dan fiqh perlu disepadukan, sebagaimana perlunya disepadukan ruh dengan jasad. Nisbah ilmu tasawwuf kepada agama ibarat ruh kepada jasad.”[3]. Nasihat Syeikh Dr. Muhammad Abdullatif Soleh al-Farfour bagaikan air dingin yang membasahi tekak yang kehausan di tengah rembang matahari yang terik. Beliau adalah antara contoh sufi yang berjiwa faqih, dan faqih yang berjiwa sufi.

Bumi Syria dianugerahkan Allah SWT dengan ulama’ daripada pelbagai aliran.  Majlis ilmu Syeikh Usamah al-Rifa’ie adalah antara tumpuan mereka yang ingin mendalami kitab al-Majmu’ Imam al-Nawawi dan dalam masa yang sama, istiqamah dengan gerakan dan perjuangan Islam. Kebanyakan pengikut setia pengajiannya adalah dalam kalangan anak muda dan mujahidin di Syria. Beliau adalah anak kepada Syeikh ‘Abd al-Karim al-Rifa’ie yang hidup sezaman dengan al-‘Allamah Syeikh Hasan Habannakah. Mufti Syria, Syeikh Ahmad Kiftaro juga ada pengikutnya yang tersendiri. Syeikh Ahmad Kiftaro terkenal sebagai seorang ahli Sufi dan Mufti ‘Am Syria ketika itu yang begitu aktif mempromosikan fiqh ta’ayush dan semangat muhibbah bersama para paderi Kristian. Zul pernah ke Jami’ Abu Nur untuk mengikuti ceramah yang disampaikan Mufti Syria tersebut. Beliau menghuraikan tafsir Surah al-Baqarah ayat 197 dengan amat baik. Di sisinya kelihatan Syeikh Rajab Dib, orang kanan kepada Syeikh Ahmad Kiftaro.

“Adapun bekalan hakiki yang berkekalan manfaatnya bagi pemiliknya di dunia mahupun di akhiratnya adalah bekal ketakwaan yang merupakan bekalan menuju negeri akhirat, dengan nikmat yang tidak terhingga. Kemudian Allah memerintahkan ‘bertakwalah kepadaKu hai orang-orang yang berakal’ yang bermaksud, wahai orang-orang yang memiliki akal yang matang, bertakwalah kepada Tuhan kalian, di mana bertakwa kepada-Nya adalah hal paling utama yang diperintahkan kepada akal, dan meninggalkan hal tersebut adalah sebuah tanda kejahilan dan kerosakan fikiran…”

____________________

[1] Hasyiyah al-‘Adawi ‘ala Syarh al-Zarqani 3/195, Mirqat al-Mafatih 1/478 dan Al-Futuhat al-Rahmaniyyah fi Halli Alfaz al-Hikam al-‘Atha’iyyah, hal. 42

[2] Hilyah al-Awliyaa’ 10/236

[3] Qawa’id al-Tasawwuf, hal. 22

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *