Zul mengambil kesempatan menziarahi dengan salah seorang guru beliau di Madinah semasa musim haji tahun 1996. Dalam pertemuan itu, beliau memohon nasihat dan pandangan Syeikhnya berkenaan calon yang dirasakannya sesuai daripada ketiga-tiga calon yang diperkenalkan oleh Husni.
“Zulkifli, wanita solehah adalah anugerah dalam rumahtangga. Nabi SAW bersabda:
فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
Maksudnya: “Pilihlah perempuan yang beragama nescaya beruntunglah kamu.”[1]
Imam Nawawi menyebut bahawa hadith di atas menerangkan kepada kita bahawa kebiasaan adat seseorang apabila ingin menikahi wanita, terdapat empat perkara yang menjadi kayu pengukur. Rasulullah SAW menyuruh agar dilihat pada agamanya kerana ianya menguntungkan seseorang di dunia dan akhirat.[2]
Syeikh Abdullah Bassam menjelaskan maksud “فَاظْفَرْ” itu sebagai cari dan berusahalah serta berlumbalah untuk mendapatkan perempuan yang baik agamanya.[3] Jadi, kalau sudah jumpa yang baik agamanya, jangan ubah lagi pilihan. Terus nikahinya..[4] Kamu pun sudah mempelajari Bulugh al-Maram dan syarahnya oleh Imam al-San’ani semasa kamu di Madinah dulu. Itulah pesannya dalam memilih bakal isteri.”
Zul mengangguk-angguk tanda faham apa yang dinyatakan oleh gurunya itu. Air teh di hadapannya langsung tak dicicip. Sejak Husni mengusulkan cadangan kepadanya untuk memilih calon isteri, banyak hal yang difikirkannya terutama berkaitan perancangan masa depan setelah berumah tangga.
“Jika menurut apa yang kamu khabarkan berkenaan calon isteri kamu, maka aku amat bersetuju. Aku sentiasa doakan moga-moga Allah redhai pilihan kamu.”, kata gurunya menamatkan perbualan mereka.
********************
“Ustaz Zul nak pilih yang mana? Nampak serius betul pilih tu?”, usik Husni apabila melihat Zul termenung panjang setelah meneliti gambar yang diberi. Mungkin banyak perkara yang dirisaukannya terutama persediaan untuk menempui alam rumahtangga.
Jumhur ulama Syafi’iyyah, Malikiyyah, Hanafiyyah dan sebahagian Hanabilah menghukumkan sunat bagi seseorang itu untuk melihat terlebih dahulu calon isteri atau suami. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda kepada sahabat yang ingin bertunang:
انْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّهُ أَحْرَى أَنْ يُؤْدَمَ بَيْنَكُمَا
Maksudnya: “Lihatlah perempuan itu dahulu kerana ia akan lebih mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua.”[5]
Begitu juga hadith dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sahal bin Sa’d radhiyallahu ‘anhu, katanya:
أَنَّ امْرَأَةً جَاءَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ جِئْتُ لأَهَبَ لَكَ نَفْسِى فَنَظَرَ إِلَيْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَعَّدَ النَّظَرَ إِلَيْهَا وَصَوَّبَهُ ثُمَّ طَأْطَأَ رَأْسَهُ
Maksudnya: “Seorang menemui Rasulullah SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, aku datang menyerahkan diriku kepadamu! Lalu Rasulullah SAW memerhatikan perempuan itu ke atas dan ke bawah dan kemudian Baginda menundukkan kepalanya.”[6]
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, katanya:
كُنْتُ عِنْدَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَأَخْبَرَهُ أَنَّهُ تَزَوَّجَ امْرَأَةً مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم أَنَظَرْتَ إِلَيْهَ. قَالَ لاَ. قَالَ « فَاذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّ فِى أَعْيُنِ الأَنْصَارِ شَيْئًا.
Maksudnya: “Ketika aku bersama-sama Nabi SAW, seorang lelaki telah menemui Baginda, lalu memberitahu bahawa dia akan mengahwini seorang perempuan Ansar. Maka, Rasulullah SAW bersabda: Adakah engkau melihatnya? Lelaki itu menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Pergilah lihat perempuan itu kerana pada mata Ansar terdapat suatu kelainan daripada mata perempuan lain, yang mungkin tidak menarik hatimu.”[7]
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Humayd al-Sa’idi RA, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا خَطَبَ أَحَدُكُمْ امْرَأَةً فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَنْظُرَ إِلَيْهَا إِذَا كَانَ إِنَّمَا يَنْظُرُ إِلَيْهَا لِخِطْبَتِهِ وَإِنْ كَانَتْ لَا تَعْلَمُ
Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu ingin meminang seorang perempuan, tidaklah salah melihatnya dahulu, jika tujuan melihat itu untuk meminang walaupun tidak diketahui oleh perempuan.”[8]
Syeikh Dr. Mustafa al-Khin pernah berbual dengan Zul berkenaan perkahwinan, semasa beliau ke rumahnya. Kata Syeikh, “Seorang perempuan juga berhak melihat lelaki yang ingin dikahwininya bagi memastikan keadaan lelaki tersebut supaya tidak menyesal selepas perkahwinan. Hal ini adalah kerana perempuan juga tertarik hati dengan lelaki, sepertimana lelaki tertarik hati dengan perempuan.”
*********************
Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik sesak dengan orang ramai yang menunggu kepulangan jemaah haji. Sudah menjadi tradisi di sana, pintu gerbang khas dibina dan sambutan diadakan sejak daripada lapangan terbang sehinggalah ke kampung halaman masing-masing. Jemaah haji diraikan bagai raja yang baharu turun daripada singgahsananya dengan pelbagai jamuan yang enak-enak. Menjadi adat sebahagian masyarakat Syria, menggelarkan “Haj” dan “Hajah” kepada mereka yang baru pulang daripada menunaikan haji.
Di rumah sewanya, Zul dan sahabat-sahabatnya yang baharu pulang, menerima kunjungan ramai pelajar Malaysia di Damsyik. Zul berbisik kepada Hazman, “Mang, air zamzam sorang sebotol je. Tetamu ade rama ning. Ana jemput 10 orang jah. Tapi napok gaye macam 10 bijik bas mari ning. Air zamzam pun nok habis doh.”
Hazman menggaru kepalanya. Kedua-duanya buntu. Takkanlah nak disuruh tetamu balik pula. Memang meriah rumah sewa mereka petang itu dengan tetamu yang tidak putus-putus hadir.
“Ana ada idea tapi hok ning kite due jelah tahu…”, Zul berbisik kepada Hazman dan mengisyaratkannya untuk ke dapur. Hazman kehairanan dan tertanya-tanya dengan cadangan sahabatnya itu. Kedua-duanya menuju ke dapur.
Zul mengambil botol air masak lantas mencampurkannya dengan air zam-zam. “Enta ni nakal, tapi bijop jugok. Dakpe, kire air zamzam jugok. Niat kite baik. Nok rai tetamu. Rama berhajat nok rase air zamzam.”, kata Hazman menekan perutnya yang sakit kerana menahan ketawa.
Setibanya Zul daripada menunaikan haji, beliau bertemu dengan salah seorang gurunya di Masjid Manjak. Beliau juga bertanyakan pandangan dan memohon nasihat berkenaan keputusannya untuk berkahwin dengan calon pilihannya.
“Aku berpandangan, pilihan kamu adalah baik. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW pernah bersabda:
الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”[9]
Imam al-Qurthubi menjelaskan wanita solehah yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya.[10]
Syeikhnya ketawa kecil dan menyambung nasihatnya. “Mungkin ada yang bertanya, apa hikmahnya mengambil wanita yang beragama dan berakhlak? Bagaimana pulak kecantikan? Ketahuilah, agama akan terus kukuh bersama-sama peredaran zaman. Manakala akhlak pula akan terus mantap bersama hari-hari yang berlalu, di samping pengalaman hidup. Apabila setiap pasangan menjadikan agama dan akhlak sebagai asas pemilihan, ia lebih menjamin kelangsungan kasih yang berkekalan.
Namun, tidak pula bermaksud bahawa manusia tidak perlu mengambil kira faktor keturunan dan kecantikan. Sebaliknya, ia bermaksud bahawa sekiranya ciri-ciri tertentu sahaja yang ada pada seseorang perempuan, maka pemilihan berdasarkan agama adalah yang paling baik. Jika wanita itu baik keturunannya, ada rupa paras yang cantik, berakhlak dan beragama, maka itulah wanita yang paling baik untuk dijadikan pasangan. Kamu faham, Zulkifli?”, tanya gurunya sambil menepuk bahu Zul.
Pertemuan Zul dengan dua orang gurunya di Madinah dan Syria adalah usaha istisyarah setelah beliau melaksanakan istikharah di Mekah. Istikharah adalah satu sunnah yang diajarkan oleh Nabi saw kepada umatnya. Allah SWT berfirman:
وَاستَعِينُواْ بِالصَّبرِ وَالصَّلَوةِ
Maksudnya: “Dan kamu mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.”[11]
Hukum istikharah adalah sunat dengan ijma’ para ulama’, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Saidina Jabir RA:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُعَلِّمُنَا الاسْتِخَارَةَ فِي الأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنْ الْقُرْآنِ يَقُولُ : إذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ لِيَقُلْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengajarkan kami tentang istikharah pada semua perkara sepertimana yang Baginda SAW ajarkan kami tentang surah-surah di dalam al-Quran. Rasulullah SAW bersabda: “Jika seseorang itu berasa ragu dalam suatu urusan, maka rukuklah (solatlah) sebanyak dua rakaat yang sunat dan bukan wajib. Kemudian berdoalah dengan doa:
اللَّهُمَّ إنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ , وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلا أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلامُ الْغُيُوبِ. اللَّهُمَّ إنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ : عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ اللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ : عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ , فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ ارْضِنِي بِهِ
“Ya Allah, jika Engkau tahu bahawa urusan ini baik untukku, pada agamaku, pada kehidupanku dan pada pengakhiran urusanku ini, maka tentukanlah ia dan mudahkanlah ia untukku, kemudian berkatilah untukku padanya. “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjukMu menurut pengetahuanMu, dan aku memohon ketetapan dengan kekuasaanMu, dan aku memohon dari kelebihanMu Yang Maha Agung, kerana sesungguhnya Engkaulah yang berkuasa dan aku tidak berkuasa. Dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui dan aku tidak mengetahui. Dan Engkaulah Tuhan Yang Mengetahui perkara-perkara ghaib. Ya Allah, jika Engkau tahu bahawa urusan ini buruk untukku, pada agamaku, pada kehidupanku dan pada pengakhiran urusanku, maka jauhkanlah ia dariku dan jauhkanlah aku darinya, dan tentukanlah untukku kebaikan di mana sahaja ia berada, kemudian jadikanlah aku redha dengannya.” [12]
Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar dengan berkata:
وَإِذَا اسْتَخَارَ مَضَى بَعْدَهَا لِمَا يَنْشَرِحُ لَهُ صَدْرُهُ ، والله أعلم
Maksudnya: “Dan apabila seseorang itu selesai melaksanakan istikharah, maka hendaklah dia melakukan urusannya menurut apa yang dilapangkan dadanya untuk membuat keputusan.”
Syeikh berpesan kepada Zul, “Tindakan kamu adalah tepat. Kamu telah istikharah dan kamu juga telah istisyarah (meminta nasihat, pandangan). Rasulullah SAW bersabda:
مَا خَابَ مَنِ اسْتَخَارَ وَلَا نَدِمَ مَنِ اسْتَشَارَ وَلَا عَالَ مَن اقتَصَد
Maksudnya: Tidak akan kecewa sesiapa yang melakukan istikharah, tidak akan menyesal orang yang meminta nasihat, dan tidak akan miskin orang yang bersederhana.[13]
Tidak beberapa lama selepas itu, Zul ditemani Abdul Halim – sahabatnya daripada Kemboja dan menetap di Melaka – pulang ke kampung halamannya dan memaklumkan hasratnya untuk melangsungkan perkahwinan kepada kedua ibu bapanya. Alhamdulillah, mereka bersetuju dan tanpa melengahkan masa, Zul menuju ke Negeri Sembilan untuk bertemu bakal ibu mertua dan calon isterinya.
Dalam pertemuan pertama, tidak banyak yang Zul bicarakan kecuali serba sedikit tentang latar belakang dirinya kepada Puan Hajah Aisyah, ibu saudara kepada calon isterinya. Hasil pertemuan tersebut, kedua-dua buah keluarga bersetuju untuk melangsungkan perkahwinan 2 minggu lagi. Persiapan untuk bergelar raja sehari dibuat sekadar seadanya kerana kedua-duanya masih bergelar pelajar. Bakal isterinya pelajar Sarjana Muda bidang Perubatan di Royal College of Surgeons in Ireland (RCSI Dublin) manakala Zul adalah calon Sarjana Syariah di al-Majma’ al-Ilmi al-‘Ali Jami’ Sadat, Damsyik, Syria. Dua bidang yang jauh berbeza namun dipertemukan dengan takdir dan izin-Nya.
*********************
Zul menarik nafas panjang dan melafazkan, “Aku terima nikahnya Shereen binti Mohd Yunos…”
“Alhamdulillah…” bergema suara sahabat-sahabat sekolahnya beliau di SMASZA Ladang dan SMAASZA Batu Burok di belakang Zul.
Zul menjeling kepada Shukri dan beberapa sahabatnya yang lain dan tersenyum.
Tanpa disangka, bermula daripada soalan “cepumas” Husni, ia berakhir dengan terbinanya sebuah mahligai rumahtangga antara Zul dan isterinya. Husni banyak membantu mempermudahkan urusan perkenalan sehinggalah hari yang bersejarah itu.
“Ustaz Zul, jangan lupa janji kita. Majlis Syura Muslimun akan jemput Ustaz untuk Summer Training Camp kami di UK nanti!”, pesan Husni sebelum pulang ke rumahnya. Kedua-duanya bersalaman dan berpelukan. “Terima kasih banyak-banyak Husni. Enta banyak bantu ana, dari awal sampai hari ni.” Masih jelas diingatannya, pertemuan terakhirnya dengan Husni semasa musim Haji.
Mutawalli al-Sya’rawi, adik bongsu Zul memerhatikan dari jauh sambil kamera dipegang di tangannya. Zul memanggil adiknya dan bertanya, “Wallie nok pukul gambor ke? Maghi sini!”. Kamera diberikan kepada Khairul dan kedua-duanya bergambar dengan penuh ceria.
Majlis perkahwinan Zul dan isterinya amat ringkas dengan mas kahwin dan hantaran yang rendah. Tetamu semasa kenduri kahwin di Negeri Sembilan dan Majlis Sambut Menantu di Terengganu pula hanya sekitar 100-200 orang. Pun begitu, suasana berlangsung dengan penuh mahabbah dan kegembiraan. Ia bersesuaian dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad radhiallahu ‘anhu katanya:
أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةٌ، فَقَالَتْ: إِنَّهَا قَدْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: مَا لِي فِي النِّسَاءِ مِنْ حَاجَةٍ، فَقَالَ رَجُلٌ: زَوِّجْنِيهَا، قَالَ: أَعْطِهَا ثَوْبًا، قَالَ: لاَ أَجِدُ، قَالَ: أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ،
Maksudnya: “Seorang perempuan menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi SAW kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: Aku tidak berhajat kepada perempuan. Lalu seorang lelaki berkata: Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu. Sabda Baginda: “Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian.” Dia menjawab: “Aku tidak memilikinya. Lalu Baginda bersabda lagi: “Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi.”[14]
Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini menyebut: “Hadis ini menunjukkan bahawa mahar itu boleh sedikit (bernilai rendah) dan boleh juga banyak (bernilai tinggi) apabila kedua pasangan saling redha, kerana cincin dari besi menunjukkan nilai mahar yang murah. Inilah pendapat dalam mazhab Syafi’i dan juga pendapat jumhur ulama dari kalangan salaf dan khalaf.”[15]
Setelah beberapa minggu di Malaysia, maka bermulalah kehidupan baharu Zul dan isterinya, kembali sebagai pelajar yang terpisah di dua benua berbeza, Zul di bahagian barat benua Asia dan isterinya di benua Eropah.
[1] Riwayat al-Bukhari, no. 4802; Muslim, no. 1466
[2] Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/51-52
[3] Taudhih al-Ahkam min Bulugh a-Maram, 5/234
[4] Subul al-Salam, 10/4
[5] Riwayat al-Tirmizi (1087)
[6] Riwayat al-Bukhari (4833)
[7] Riwayat Muslim (3550)
[8] Riwayat Ahmad, no. 23602
[9] Riwayat Muslim (715)
[10] Al-Mufhim, 4/221
[11] (Surah al-Baqarah: 45)
[12] Hadith riwayat al-Bukhari: (1166)
[13] Riwayat al-Tabarani, no. 2267.
[14] Riwayat al-Bukhari (4741) dan Muslim (1425)
[15] Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 9/190