Bab 44: Musafir ke United Kingdom

“Selamat datang Ustaz Zul, ke United Kingdom!”, kata Husni sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Bersama beliau, beberapa orang pelajar Malaysia yang belajar di United Kingdom. Cuaca yang dingin sekitar 23 °C mula terasa sebaik sahaja beliau tiba di lapangan terbang. Bagi orang putih, itu sudah suhu yang selesa. Zul ada meneliti beberapa pamplet yang disediakan di dalam kapal terbang. Cuaca bulan Julai 1996 di United Kingdom diramalkan warm, dry, and sunny.

Lapangan Terbang Heathrow London adalah antara lapangan terbang tersibuk di dunia. Di sini, orang ramai seakan tidak menghiraukan antara satu sama lain. Masing-masing kelihatan sibuk dengan urusan sendiri. Langkahan mereka pun laju, mengejar masa. Zul bermusafir ke United Kingdom buat pertama kali bagi memenuhi jemputan daripada Majlis Syura Muslimun (MSM) untuk menyampaikan ceramah dalam sebuah summer training camp anjuran pertubuhan berkenaan.

Pada mulanya, pemergian Zul ke United Kingdom hampir-hampir dibatalkan kerana masalah hubungan diplomatik antara Syria dan dunia Eropah. “Saya rakyat Malaysia dan Malaysia adalah salah sebuah negara Komanwel. Sepatutnya tidak ada masalah untuk saya ke United Kingdom.”. Kata Zul dengan menunjukkan pasport dan tiket beliau kepada pihak imigresen. Setelah beberapa kali meyakinkan pegawai imigresen tersebut, akhirnya Zul dibenarkan meneruskan perjalanannya.

*********************

“Assalamualaikum Ustaz Zulkifli. Ana Dzulkefly Ahmad, alhamdulillah lulusan PhD dalam bidang Toksikologi di Imperial College London, Saint Mary’s Campus tahun 1993. Boleh panggil ana Abu Iman. Selamat datang ke STC 1996 anjuran Majlis Syura Muslimun.”. Dzulkefly menghulurkan tangannya dan disambut Zul. Mereka berjabat tangan dengan penuh mesra walaupun baharu pertama kali bertemu.

“Sebelah ana ni, Ustaz Shaharuzzaman dan Ustaz Hazizi, mahasiswa Universiti al-Azhar.”, sambung Dzulkefly, memperkenalkan Zul kepada dua orang lagi penceramah lain yang turut hadir dalam program berkenaan yang diadakan di Islamic Centre Nottingham Central Mosque.

Dzulkefly tinggi lampai orangnya. Aktif dengan gerakan Islam dan antara pelajar cemerlang di sana. Beliau mudah mesra dengan sesiapa sahaja, murah dengan senyuman namun serius bila berbincang berkenaan agama.

Abdul Latif yang berada di sebelah Ustaz Hazizi tersenyum gembira dan berkata, “Untung Summer Training Camp tahun ni. Ada ustaz-ustaz daripada Syria dan Mesir. Alhamdulillah!”.

Sesi ceramah Zul dalam Summer Training Camp berkenaan Fiqh Luar Negara mendapat sambutan yang amat baik. Seorang pelajar mengangkat tangan dan bertanya, “Kawan saya berpuasa di negara Norway. Siang pun lebih 19 jam. Macam mana puasanya? Bila nak berbuka?”

Zul mencatat soalan berkenaan di buku notanya dan mula menjawab. “Terima kasih kepada saudari yang bertanya. Islam adalah agama yang mudah dan Allah tidak memberatkan hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggungnya. Firman Allah swt :

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ

Maksudnya :” Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”[1]

Sheikh Ibrahim al-Baijuri ketika menjelaskan makna puasa yang ditakrifkan oleh Allamah Ibn Qasim al-Ghazzi: “Yang dimaksudkan menahan dari perkara yang membatalkan sepanjang siang hari bermaksud bermula dari terbit matahari sehingga tenggelam matahari.”[2]

Sebahagian para ulama berpandangan, tetap perlu berpuasa seperti biasa mengikut waktu siang dan malanya. Dalilnya adalah firman Allah swt :

كُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلْخَيْطُ ٱلْأَبْيَضُ مِنَ ٱلْخَيْطِ ٱلْأَسْوَدِ مِنَ ٱلْفَجْرِ ۖ

Maksudnya:” Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.”[3]

Namun, terdapat pandangan yang dikemukakan oleh Syeikh Muhammad Abduh, Syeikh Jad al-Haq, iaitu bekas Syeikhul Azhar, Sheikh Abdul Latif Hamzah, Sheikh Sayyid Tantawi, Sheikh Ali Jumah dan juga pandangan Sheikh Mustafa al-Zarqa’ di maana mereka mengambil waktu berbuka di Mekah atau negara terdekat yang siang dan malamnya mempunyai tempoh waktu yang seimbang. Ini lebih menepati maqasid syariah dan memberi keringanan kepada mereka yang terpaksa berpuasa lebih dari 19 jam. Firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ ۚ

Maksudnya: “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama .”[4]

Syeikh Mustafa al-Zarqa’ menyimpulkan bahawa apa paling penting adalah menjaga maqasid syariah dalam menentukan waktu solat dan juga waktu berpuasa agar ia tidak menjadi satu tanggungan yang tidak mampu dilakukan. Ia juga menyerlahkan maksud syariat itu tanpa ada pengurangan padanya.”[5]

Selepas selesai ceramahnya, Husni menghampiri Zul dan berpesan, “Ustaz Zul kena rehat betul-betul. Esok, lusa ni kita nak ke Liverpool, Dundee, Shieffeld, Cardiff, Leicester sampai ke Scotland. Jauh perjalanan kita ni. Di Scotland, kita singgah makan malam, tidur di rumah sorang ustaz dari Kelantan yang tengah buat PhD di Universiti Edinburgh.”

Keesokan harinya, awal-awal pagi lagi Zul, Husni dan beberapa orang sahabatnya sudah bertolak daripada Cricklewood, rumah Husni yang juga tempat penginapan Zul sepanjang hampir 2 minggu di United Kingdom. Sepanjang perjalanan, Zul betul-betul teruja melihat kemajuan pembangunan di United Kingdom yang amat pesat. Masyarakatnya amat berdisiplin, mementingkan kebersihan dan peramah. Itulah sudut yang baik untuk dicontohi dan sedikit berbeza dengan dunia Arab.

“Untuk makluman ustaz, UK ni negara yang mempunyai macam-macam bangsa, selain Mat Salleh. Yang dominan di sini, kalau Muslim biasanya orang Arab, Pakistan. Ada 4 buah negeri di sini; England, Scotland, Wales dan Ireland Utara.”. Husni memberi penerangan kepada Zul dengan gaya seperti pemandu pelancong.

“Kalau Ustaz Zul biasa dengar Liverpool FC, ha…sinilah tempat dia. Kejap lagi kita singgah bergambar di depan University of Liverpool.”. Husni menyambung penerangannya. “Eh, maaf ustaz. Ana lupa ustaz-ustaz mana minat bola macam kami ni. Hahaha.”, katanya lagi.

Zul yang sejak awal tadi cuma mendiamkan diri, tiba-tiba bersuara. “Ana minat Pele, Socrates, Zico, Roberto Carlos. Team Brazil. Kalau antum ingat, gol Zico masa Worldcup 1982 memang betul-betul cantik. Liverpool FC ni, ana minat Ian Rush, Kevin Keegan. Cuma prestasi Liverpool ada naik turun. Ogos nanti mula FA Premier League kan? Kita tengoklah prestasi Liverpool macam mana. Dengar kata, Manchester United pun boleh tahan…”

Husni dan sahabat-sahabatnya yang lain tercengang. Bukan main-main ilmu bolasepak Ustaz mengaji Syria ni! Husni terkebil-kebil memandang Zul, ustaz berjubah putih di depannya. Zul cuma tersengih dan menukar topik perbualan. “Jom kite pukul gambor!”

Dalam perjalanan, mereka sempat singgah ke sebuah ladang strawberi. “Di sini ustaz, makanlah seberapa banyak ustaz nak. Kalau nak beli, baru ustaz petik, masuk dalam bakul ni dan bayar di kaunter sana.”, Husni menjelaskan kepada Zul tentang kaedah penjualan strawberi yang menarik di sini.

“Ana pertama ni kali makan strawberi. Sedap betul. Kaedah jualan pun unik. Tak pernah ana jumpa di mana-mana. Ana teringat hadis Nabi:

رَحِمَ اللَّهُ رَجُلًا سَمْحًا إِذَا بَاعَ وَإِذَا اشْتَرَى وَإِذَا اقْتَضَى

Maksudnya: “Allah merahmati orang yang memudahkan ketika menjual dan ketika membeli serta orang yang meminta haknya.”[6]

Antara persinggahan mereka juga adalah Sungai Thames. Ia ialah sebatang sungai utama yang mengalir di selatan England. Ia merentasi London dan juga beberapa pekan dan bandar lain termasuk Oxford, Reading dan Windsor. Husni juga membawa Zul melalui London Bridge yang terkenal, dan Tower Bridge yang boleh dibuka jambatannya bagi laluan bot dan kapal besar.

Setelah beberapa hari mereka bermusafir, Zul, Husni dan beberapa orang sahabatnya sampai di Scotland. “InsyaAllah ustaz. Kita makan malam di rumah orang Pantai Timur Ustaz ni dari Kelantan. Anak tok guru pondok. Sambung PhD bidang undang-undang hartanah Islam.”, kata Husni kepada Zul sementara mereka mencari-cari alamat rumah ustaz berkenaan.

“Haa…jumpa dah. Jom!”. Husni mematikan enjin keretanya dan keluar daripada kenderaan diikuti Zul. Dari jauh, cuma kelihatan samar-samar kerana sudah menjengah waktu malam. Ustaz berkenaan sudah siap menunggu di depan pintu rumahnya. “Alhamdulillah, sampai on time. Apa khabar Husni, Ustaz Zul? Nampak lapar tu. Mari kita makan slalu.”, kata beliau.

“Lupa nak kenalkan diri. Ana Luqman bin Abdullah, pelajar PhD di Edinburgh. Kalau Ustaz Zul ingat, ana salah sorang urusetia untuk program ceramah ustaz di Islamic Centre Nottingham Central Mosque.”. Ustaz Luqman memperkenalkan dirinya ketika menjamu selera di meja makan. Malam itu, Zul makan dengan cukup berselera. Jarang-jarang jumpa ikan Salmon yang dimasak grill oleh isteri Ustaz Luqman. Memang sedap!

“Terima kasih banyak-banyak Ustaz Luqman. Ana akan ingat Ustaz dan ikan salmon ni sampai bila-bila…Hehe. Insya-Allah, ada rezeki kita jumpa di Malaysia.”. Zul berseloroh dan disambut gelak tawa Husni dan Ustaz Luqman.

Bilik tidur mereka telah disiapkan oleh awal oleh Ustaz Luqman dan isterinya. Malam itu selepas selesai menikmati makan malam, Zul terus melelapkan matanya dek keletihan.

 ******************

Kali kedua Zul ke UK adalah selepas bergelar suami.  Beliau bermusafir daripada Damsyik ke United Kingdom ditemani sahabatnya, Azman melalui jalan darat. Daripada Damsyik, mereka menaiki bas ke İzmit, Turki dan langsung masuk ke England. Suasana di Turki terutamanya di Istanbul, adalah lebih Barat daripada Barat. Kesan-kesan sekularisme yang ditinggalkan oleh Mustafa Kemal Atatürk begitu jelas membekas dalam kalangan rakyatnya.

“Matawang Lira Turki jatuh merudum, Zul. Ana check tadi, 100 USD sama dengan 12-15 juta Lira lebih.”, kata Azman kepada Zul.

Di United Kingdom, Zul dijemput menyampaikan ceramah di beberapa buah tempat termasuk Malaysia Hall, London. Semangat kekeluargaan begitu jelas dalam kalangan warganegara Malaysia di United Kingdom. Disamping juadah yang disediakan oleh pihak Malaysia Hall, hampir setiap keluarga membawa juadah untuk dikongsi bersama. “Dulu tahun 60-an, ada bangunan Kelab Melayu London di Cricketfield Road. Sekarang dah tak ada. Jadi, di sinilah kami buat gathering, ustaz. Walaupun duduk negara orang, tapi bila lauk pauk Melayu ni, terubatlah sikit rindu ke Malaysia.”, cerita Haiza, antara pelajar cemerlang di sini yang menjadi urusetia bagi program ceramah yang dihadiri Zul.

Sedang Zul menceduk nasi, bahunya ditepuk. Satu suara berbisik ke telinganya, “Zul, mung kenal aku lagi dop?”. Zul terdiam. Anak Tranung mana pula yang tersesat di kota London ni?

Beliau memalingkan muka dan wajahnya berubah dengan tiba-tiba. “Eh…Syamsuddin? Ya Allahhh…Dop beruboh muke mung dari dulu!”, kata Zul dengan penuh gembira. Sahabat lamanya itu dipeluk dengan erat. Zul memanggil Husni yang ada berdekatan dan berkata, “Husni. Ana nak kenalkan, Syamsuddin. Ni sahabat lama ana di SMASZA Ladang. Tak sangka jumpa di sini. Subhanallah…”.

Husni tersenyum dan membalas, “Oh…sahabat Ustaz Zul rupanya. Patutlah En. Syamsuddin kata ada kawan lama dia nak mari London. Hahaha.”

Zul turut menerima jemputan menyampaikan khutbah di kota London sebelum meneruskan perjalanannya ke Ireland untuk bertemu isterinya. Di Ireland, Zul disambut oleh Azlisham, pelajar genius yang mengiringi Zul sepanjang beliau di Ireland. Zul mengambil peluang singgah ke institusi Pendidikan terkenal, Royal College of Surgeons in Ireland (RCSI Dublin) di mana tempat isterinya belajar. Sepanjang seminggu di Ireland, Azlishamlah yang banyak memudahkan urusan dan membantu untuk menyusun ceramah Zul bersama rakyat Malaysia di Ireland.

Seminggu di Ireland terasa amat singkat. Tiba masanya Zul berangkat pulang ke Syria, meneruskan pengajiannya pada tahun akhir sebelum pulang ke Malaysia.

Perjuangan itu memang melelahkan. Tetapi ukhuwwah itu mendamaikan. Perjuangan itu mampu memisahkan, mungkin membezakan. Namun ukhuwwah atas syahadah yang sama, senantiasa tetap akan mempertautkan. Terima kasih sahabat-sahabat!

____________________

[1] Surah al-Baqarah: 286

[2] Hasyiah al-Bajuri ‘ala Syarh al-Allamah Ibn Qasim al-Ghazzi(1/427)

[3] Surah al-Baqarah: 187

[4] Surah al-Haj: 78

[5] Al-‘Aql wa al-Fiqh Fi Fahm al-Hadith al-Nabawi, 124 – 125.

[6] Riwayat al-Bukhari, no. 2076.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *