#41 Makmum Solat Qasar, Imam Solat Tamam

SOALAN

Bolehkah makmum solat qasar berimamkan imam yang solat tamam?

JAWAPAN

Firman Allah SWT:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang…”[1]

Daripada Ya’la bin Umayyah, katanya:

قُلْتُ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ (لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلاَةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا) فَقَدْ أَمِنَ النَّاسُ؟ فَقَالَ: عَجِبْتُ مِمَّا عَجِبْتَ مِنْهُ فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ. فَقَالَ: صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

Maksudnya: “Aku mengatakan firman Allah kepada Umar bin al-Khattab RA yang maksudnya (tidaklah berdosa mengqasarkan sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir). Bagaimana pula ketika keadaan orang ramai telah pun aman? Umar berkata: Aku juga tertanya-tanya tentang perkara yang engkau tanyakan itu. Lalu aku bertanya Rasulullah SAW tentang perkara tersebut. Baginda bersabda: Itu adalah pemberian Allah kepada kamu, maka terimalah pemberian-Nya.”[2]

Imam al-Nawawi menegaskan, syarat untu memendekkan solat adalah tidak mengikut imam yang solat penuh (tamam). Jika seseorang yang mengikut imam yang solat penuh [walau] pada satu detik dalam solatnya, wajib baginya melakukan solat penuh.[3]

Dalilnya adalah riwayat daripada Imam Ahmad daripada Ibn Abbas R.A bahawa beliau ditanyakan: ‘’Mengapakah orang musafir itu menunaikan solat dua rakaat ketika bersendirian dan solat empat rakaat apabila dia berimamkan kepada orang yang mukim?’’ Maka jawab Ibn Abbas: ‘’Yang demikian itu adalah sunnah’’.[4]

Syeikh Prof. Dr. Muhammad Al-Zuhaili berkata: ‘’Sekiranya seseorang yang bermusafir itu mengikut imam yang mukim maka menjadi kelaziman buatnya untuk solat secara penuh. Ini kerana ia merupakan solat yang wajib untuk disempurnakan.’’. Beliau berkata lagi: “Sekiranya [orang yang bermusafir itu] mengikut imam yang bermusafir dan dia tidak mengetahui niat imamnya [sama ada beliau solat secara tamam atau qasar] maka dia boleh untuk mengikat niat. Iaitu dengan cara: ‘’Sekiranya dia [imam] qasar maka aku pun qasar dan sekiranya dia solat penuh maka aku pun solat penuh.”.

Mengikut pendapat paling sahih, ikatan itu adalah sah. Maka sekiranya solat penuh, dia pun turut solat penuh dan sekiranya imam solat qasar maka dia pun solat qasar. Ini kerana zahir dari keadaan musafir adalah qasar.[5]

Kesimpulannya, tidak dibolehkan untuk mereka yang solat qasar berimamkan imam yang solat penuh. Sebaiknya adalah bersama dengan imam dengan mengikat niatnya jika tidak diketahui niat imamnya sekiranya kedua-duanya dalam musafir. Jika niat imamnya diketahui, sunnah untuk solat penuh bersama dengan imam. Wallahu a’lam.

[1] Surah al-Nisa’: 101

[2] Riwayat Muslim, no. 686

[3] Al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, 4/356.

[4] Mughni al-Muhtaj, 1/525

[5] Al-Mu’tamad fi al-Fiqh Al-Shafi’i, 1/475

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *