Mukadimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ
Maksudnya: “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.”
(Surah al-Ma’idah: 49)
Ibn Kathir berkata: Yakni, hai Muhammad, putuskanlah perkara di antara seluruh manusia dengan apa yang diturunkan Allah kepadamu di dalam al-Quran yang agung ini, dan dengan hukum-hukum yang telah Allah tetapkan untukmu, dan tidak dihapus oleh-Nya dalam kitab-kitab yang diturunkan kepada para Nabi terdahulu. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/595)
Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di menyebut: Ayat ini menjelaskan tentang keadilan, bahwa intipatinya adalah hukum yang disyariatkan oleh Allah, kerana ia mengandungi keadilan yang sempurna dan apa yang menyelisihinya adalah kezaliman. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 2/94)
Daripada Abu Umamah al-Bahili R.A, daripada Rasulullah SAW, bahawa sabda Baginda:
لَتُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya akan berlaku, dirungkai (dirombak) ikatan ajaran Islam (yang teguh) satu demi satu. Maka, apabila setiap satunya dirombak menjadikan para penganut Islam berpegang dengan simpulan berikutnya (yang masih ada). Simpulan pertama yang dirombak ialah (pelaksanaan) hukum Islam dan simpulan terakhir yang dirombak ialah (pelaksanaan) solat.”
Riwayat Ahmad (22160), Ibn Hibban (6715) dan al-Tabarani (7486). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya jayyid dalam takhrij al-Musnad.
Syeikh Abd al-Karim Zaidan memberi penjelasan berkenaan hadith di atas seperti berikut:
وَالمَقْصُودُ بِالْحُكْمِ: الحُكْمُ عَلَى الْمَنْهَجِ الإِسْلَامِي، وَيَدْخُلُ فِيهِ باِلضَّرُورَةِ وُجُودُ الخَلِيفَةِ الَّذِي يَقُومُ بِهَذَا الحُكْمِ، وَنَقْضُهُ يَعْنِي التَّخَلِّي عَنْهُ وَعَدَمُ الاِلْتِزَامِ بِهِ، وَقَدْ قُرِنَ بِنَقْضِ الصَّلَاةِ وَهِيَ وَاجِبَةٌ فَدَلَّ عَلَى وُجُوبِهِ
Maksudnya: “Yang dimaksudkan dengan al-Hukm di sini ialah kekuasaan yang berjalan di atas landasan Islam. Terkandung di dalamnya secara dharuri pentingnya kewujudan Khalifah yang menegakkan kekuasaan tersebut. Manakala yang dimaksudkan dengan naqdhuhu (نَقْضُهُ) yakni kekosongan dan ketiadaan iltizam padanya. Rasulullah SAW telah menggandingkan hilangnya institusi kekuasaan ini dengan hilangnya ikatan solat, sedangkan solat itu wajib, di mana ia menunjukkan bahawa kekuasaan ini hukumnya adalah wajib.” (Lihat Usul al-Da’wah, hlm. 205)
Hubungan yang akrab antara pelaksana hukum Allah yang Allah tetapkan di muka bumi sebagai khalifah atau pemimpin dengan sifatnya mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar adalah seiringan dan bersamaan. Benarlah firman Allah SWT:
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Maksudnya: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah SWT jualah kesudahan segala urusan.”
(Surah al-Hajj: 41)
Ibnu Kathir berkata: ‘Athiyyah al-‘Aufi berkata tentang ayat ini, seperti firman-Nya: (وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ) “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi,” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/544)
Sayyid Qutb berkata: Maksudnya, janji Allah yang kukuh dan tidak mungkir ialah Dia akan menolong siapa sahaja yang menolong agama-Nya. Siapakah orang-orang yang menolong agama Allah hingga mereka wajar menerima pertolongan Allah yang Maha Gagah dan Maha Perkasa, dan tidak akan mengalahkan siapa sahaja yang menjadikan Allah sebagai pelindungnya?
Mereka ialah: (الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ) “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi”; (أَقَامُوا الصَّلَاةَ) Mereka yang sentiasa beribadat kepada Allah dan mengukuhkan hubungan mereka dengan-Nya; (وَآتَوُا الزَّكَاةَ) Mereka yang menunaikan kewajipan harta, mengatasi tabiat bakhil, membersihkan diri mereka dari tamak haloba dan menumpaskan bisikan-bisikan syaitan, mengukuhkan perpaduan masyarakat dan menjamin keperluan golongan yang lemah dan golongan yang memerlukan bantuan dalam masyarakat; (وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ) Mereka yang menyeru dan mendorong manusia ke arah kebaikan; (وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ) Dan mereka yang menentang kejahatan dan kerosakan. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 11/184)
Prof Dr Hamka berkata: (الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ) “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi”. Ertinya telah Kami tolong dan berhasil perjuangan mereka melawan kezaliman itu, “mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat.” Dengan susunan ayat seperti ini bukanlah bererti bahawa mereka baru mendirikan sembahyang dan kukuh di muka bumi, atau setelah mereka menang menghadapi musuh-musuhnya, bahkan sejak awal, perjuangan keyakinan dan keimanan kepada Tuhan itulah pegangan teguh mereka. (Lihat Tafsir al-Azhar, 17/177)
Berdasarkan ayat di atas juga, jelas menunjukkan mereka yang dikurniakan Allah SWT dengan kedudukan yang kukuh di muka bumi perlu melaksanakan perintah utama iaitu:
- Mendirikan solat.
- Menunaikan zakat.
- Melaksanakan amar makruf.
- Mencegah kemungkaran.
Kerajaan seperti ini, iaitu kerajaan yang mana ketuanya, agensi-agensi pentadbirannya dan majlis-majlis syuranya sangat mengambil berat tentang Islam dan melaksanakannya pada setiap individu.
Saya telah mengemukakan pandangan berkenaan isu ini pada 3 Ogos 2023 yang lalu, rentetan kes Iki Putra.[1] Saya tidak berhasrat untuk mengulas topik dan ‘watak’ yang sama, sebaliknya meletakkan fokus yang jauh lebih besar. Di sebalik polemik yang berlaku, itulah sebenarnya matlamat pelaksanaan perundangan iaitu bagi mengharmoni dan menstabilkan masyarakat agar semua lapisan masyarakat dapat merasakan keadilan undang-undang yang dilaksanakan.
Dalam masa yang sama, saya juga melihat masih wujud salah faham yang besar dalam kalangan sebahagian pihak yang terlibat tentang undang-undang sivil, undang-undang syariah dan syariat Allah SWT.
Justeru, saya namakan penulisan pada kali ini dengan tajuk: Sivil vs Syariah? Penamat Bagi Polemik Domino Effect. Saya yakin para pembaca bersetuju bahawa mereka yang beriman kepada Allah, kitab-Nya dan Rasul-Nya, sudah tentu ingin kebaikan kepada sekalian makhluk, bahkan ditabalkan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi. Benarlah firman Allah SWT:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً
Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”.
(Surah al-Baqarah: 30)
Ringkasan Penghakiman oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun binti Tuan Mat
Saya mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu ringkasan penghakiman mahkamah yang dibacakan oleh Tengku Maimun binti Tuan Mat selaku Ketua Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan Malaysia berhubung kes Nik Elin Zurina binti Nik Abdul Rashid & 1 lagi v Kerajaan Negeri Kelantan yang antara lain disebut seperti berikut:
Kes/petisyen di hadapan kami yang difailkan oleh Nik Elin Zurina binti Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha binti Tengku Abdul Rahman (‘pempetisyen’) terhadap Kerajaan Negeri Kelantan (‘responden’) adalah berkaitan dengan kuasa Badan Perundangan Negeri Kelantan untuk menggubal atau membuat beberapa peruntukan dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah (I) 2019 (‘Enakmen 2019’).
Enakmen 2019 mengandungi 68 seksyen dan pempetisyen mencabar 20 seksyen iaitu:
- Seksyen 5 (dakwaan palsu),
- Seksyen 11 (memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat),
- Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya),
- Seksyen 14 (liwat),
- Seksyen 16 (persetubuhan dengan mayat),
- Seksyen 17 (persetubuhan dengan bukan manusia),
- Seksyen 30 (kata-kata yang boleh memecah keamanan),
- Seksyen 31 (gangguan seksual),
- Seksyen 34 (memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau pernyataan palsu),
- Seksyen 36 (apa-apa yang mengkhayalkan),
- Seksyen 37 (berjudi),
- Seksyen 39 (mengurangkan ukuran, sukatan, dan timbangan),
- Seksyen 40 (melakukan transaksi muamalat yang berlawanan dengan hukum syarak),
- Seksyen 41 (melakukan transaksi muamalat secara riba dll),
- Seksyen 42 (penyalahgunaan penandaan dan perbahasan halal),
- Seksyen 43 (menawar atau memberi perkhidmatan maksiat),
- Seksyen 44 (perbuatan sebagai persediaan untuk menawarkan atau memberi perkhidmatan maksiat),
- Seksyen 45 (perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan maksiat),
- Seksyen 47 (perbuatan sumbang mahram) dan
- Seksyen 48 (muncikari) (‘peruntukan-peruntukan tersebut’).
Pempetisyen mengatakan peruntukan-peruntukan tersebut adalah tidak sah. Alasannya adalah kerana Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat peruntukan-peruntukan tersebut, yang merupakan hal perkara di bawah kuasa Parlimen untuk membuatnya.
Isu: Isu yang perlu kami putuskan adalah sama ada Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat peruntukan-peruntukan tersebut mengikut batasan yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya. Dengan kata lain, isu di hadapan kami tidak kena mengena dengan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di negara ini. Sama ada Islam atau Mahkamah Syariah dipertahankan atau sebaliknya bukan persoalan di dalam kes/petisyen ini.
Namun, kami ingin menjelaskan bahawa terdapat tiga (3) jenis hukuman di bawah undang-undang Islam, iaitu (i) hudud, (ii) qisas dan (iii) takzir. Hukuman hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan oleh Allah. Hukuman qisas adalah hukuman yang dikenakan hukuman balas seperti nyawa dibalas dengan nyawa dan melukakan dibalas dengan melukakan. Seperti hudud, qisas juga ditentukan oleh Allah. Perbezaan antara hudud dan qisas ialah hukuman qisas ini hendaklah dituntut oleh mangsa atau keluarga mangsa. Diyat yang bermaksud pampasan atau gantirugi adalah merupakan sebahagian daripada hukuman qisas. Takzir pula adalah hukuman yang tidak ditentukan oleh Allah tetapi kadar dan bentuk hukuman ditentukan oleh kerajaan/pemerintah dan akan dijatuhkan kepada penjenayah mengikut budibicara hakim.
Mahkamah Syariah di Malaysia, setakat hari ini, tidak melaksanakan hukuman hudud atau qisas, hanya takzir. Mahkamah sivil juga melaksanakan hukuman takzir. Sebegitu, tidak ada bezanya Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil kerana kedua-dua sistem Syariah dan Sivil melaksanakan hukuman takzir. Perbezaannya cuma hukuman takzir yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah adalah bersumberkan atau mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat Negeri dan diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri manakala hukuman takzir yang dilaksanakan oleh Mahkamah Sivil adalah mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat Persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen.
Ingin juga dinyatakan bahawa hukuman takzir Mahkamah Syariah adalah tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang setakat hari ini, mengehadkan hukuman penjara kepada tempoh tidak melebihi 3 tahun, denda tidak melebihi RM5000.00 dan sebat tidak melebihi 6 kali.
Sedemikian, jika ada pihak mencabar undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah atas alasan Badan Perundangan Negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang tertentu, dan jika Mahkamah Sivil membenarkan cabaran tersebut, pihak yang mencabar dan Mahkamah Sivil tidak boleh dikatakan menentang Allah, kerana undang-undang yang dicabar itu bukan yang ditentukan atau ditetapkan oleh Allah, tetapi oleh Badan Perundangan Negeri.
Jika isu pencabaran undang-undang yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri/Badan Perundangan Negeri dilihat dari sudut ini, tidak timbul soal Mahkamah Sivil tidak mempertahankan kedudukan agama Islam, atau tidak memperkasakan Mahkamah Syariah.
Maka, melihat kepada cabaran ini sahaja, Mahkamah Syariah atau undang-undang Islam di Malaysia tidak akan pada bila-bila masa berkubur dan diletakkan batu nisan seperti didakwa oleh peguam Yusfarizal Yusof kerana Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kuasa perundangan kepada semua Kerajaan Negeri untuk menggubal undang-undang yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah. Ditegaskan sekali lagi bahawa apa yang dicabar dalam petisyen ini bukanlah kedudukan undang-undang Syariah di Malaysia. Dakwaan-dakwaan pempetisyen adalah khusus terhadap tindakan Badan Perundangan Negeri Kelantan yang mengikut hujahan pempetisyen, telah melangkaui kuasa berkenaan jenis-jenis kesalahan yang boleh diluluskan oleh Kerajaan Negeri, dalam ruang lingkup yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan: Kami mulakan dengan memetik kata-kata Suffian LP bahawa “.. The power of Parliament and State Legislatures in Malaysia is limited by the Constitution, and they cannot make any law they please.” (lihat Ah Thian v Government of Malaysia [1976] 2 MLJ 112).
Melalui Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan telah menggariskan perkara-perkara yang Parlimen boleh membuat undang- undang dan perkara-perkara yang Badan Perundangan Negeri boleh membuat undang-undang. Dengan kata lain, kuasa perundangan Persekutuan dan Negeri telah ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan di dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri, dan Parlimen mahu pun Badan Perundangan Negeri tidak boleh membuat undang-undang melangkaui senarai masing-masing.
Di awal perbicaraan, pempetisyen menarik balik cabaran terhadap seksyen 5 dan seksyen 37(1)(a) Enakmen 2019. Seksyen 5 memperuntukkan bahawa adalah menjadi suatu kesalahan bagi mana- mana orang yang mengisytiharkan dirinya atau mana-mana orang lain sebagai Rasul atau Nabi, Imam Mahdi atau keramat; atau menyatakan atau mendakwa bahawa dia atau mana-mana orang lain mengetahui peristiwa atau perkara di luar pemahaman atau pengetahuan manusia. Seksyen 37(1)(a) pula memperuntukkan bahawa adalah menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana orang yang berjudi atau didapati berada di tempat berjudi sama ada dia melakukan perjudian atau tidak. Dengan penarikan balik itu, seksyen 5 dan seksyen 37(1)(a) adalah dianggap sah.
Berhubung peruntukan-peruntukan lain yang dicabar, prinsip undang-undang adalah mantap bahawa untuk menentukan sama ada undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan Negeri adalah sah dan termasuk di dalam batasan kuasa perundangan masing-masing, ujian yang terpakai adalah pith and substance (inti pati) peruntukan tersebut. Jika dari segi inti patinya peruntukan yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu adalah perkara yang termasuk di dalam Senarai Persekutuan, maka Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang itu (sila lihat Mamat bin Daud & Ors v Government of Malaysia [1988] 1 MLJ 119). Ujiannya bukanlah dengan membandingkan peruntukan yang dicabar tersebut dengan peruntukan sedia ada dalam undang-undang Persekutuan untuk menentukan sama ada terdapat ciri-ciri perbezaan pada kedua-duanya (lihat Iki Putra bin Mubarrak v Kerajaan Negeri Selangor & Anor [2021] 2 MLJ 323).
Meneliti hujahan pihak-pihak dan mengguna pakai prinsip inti pati, kami memutuskan bahawa seksyen 13 dan seksyen 30 adalah sah kerana ia berkenaan dengan perkara yang Badan Perundangan Negeri Kelantan/responden mempunyai kuasa untuk membuatnya, manakala seksyen-seksyen lain yang dicabar adalah tidak sah kerana inti pati peruntukan-peruntukan tersebut adalah berkenaan perkara di bawah Senarai Persekutuan yang mana hanya Parlimen mempunyai kuasa untuk membuatnya.
Intipati seksyen 13 adalah berkenaan penjagaan dan untuk mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam, yang termasuk di bawah Butiran 1 Senarai Negeri. Ia juga berkaitan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa negeri-negeri boleh membuat undang-undang bagi tujuan mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganut agama Islam. Demikian juga inti pati seksyen 30 adalah untuk mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam, bukannya untuk semata- mata memecah keamanan.
Justeru, kami membenarkan permohonan pempetisyen untuk suatu deklarasi bahawa seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34, 36, 37(1)(b), 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47 dan 48 Enakmen 2019 adalah batal dan tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri Kelantan/responden membuat undang-undang berkenaan hal perkara yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.
Selaras dengan seksyen 83 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, kami tidak membuat sebarang perintah tentang kos.[2]
Inilah petikan daripada ringkasan penghakiman mahkamah yang dibacakan oleh Tengku Maimun binti Tuan Mat selaku Ketua Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan Malaysia berhubung kes Nik Elin Zurina binti Nik Abdul Rashid & 1 lagi v Kerajaan Negeri Kelantan.
Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
Seterusnya, pada 15 Februari 2024, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) telah mengeluarkan titah berhubung isu di atas, dalam Mesyuarat MKI kali Ke-71 yang diadakan di Putrajaya.
Antara intipati Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj:
- Semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara perlu sentiasa didokongi oleh rakyat Malaysia. Di dalam menangani isu yang berbangkit ini apa yang lebih penting ialah usaha kita dalam mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Usaha-usaha ini termasuklah mengkaji sekiranya ada keperluan untuk mencadangkan pindaan kepada peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan dan/atau undang-undang Persekutuan yang berkaitan, bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan “ambiguity”.[3]
- Pelbagai pihak terutama ahli-ahli politik, pengamal undang-undang, para akademik dan rakyat biasa telah membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes tersebut. Terdapat ulasan yang memberi penjelasan sebenar tentang kesan kepada keputusan kes tersebut. Namun demikian terdapat juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini. Malah ada yang telah menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai detik “Black Friday” kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini. Beta tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik tersebut.
- Beta telah disembah maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang ditubuhkan atas titah Beta semasa mesyuarat MKI Kali ke-70 pada 28 Ogos 2023, sedang meneliti persoalan yang berbangkit ini. Antaranya:
- Melaksanakan kajian terhadap isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi termasuklah analisis terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada secara menyeluruh,
- Mengkaji keputusan-keputusan mahkamah tertinggi serta membincangkan isu-isu tersebut secara terperinci; dan
- Mencadangkan dan membuat pengesyoran tentang kaedah penyelarasan yang terbaik dan harmoni terhadap isu kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan; dan
- Mengkaji kaedah memperkasakan bidangkuasa Mahkamah Syariah.
- Jawatankuasa Khas ini telah diberi tempoh setahun dari tarikh ianya ditubuhkan untuk memberikan sebarang cadangan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan. Beta menyeru dan menggesa semua pihak, termasuk pakar-pakar perundangan agar membantu Jawatankuasa Khas ini dengan memberikan cadangan-cadangan yang berilmiah, bernas serta praktikal bagi memudahkan Jawatankuasa Khas ini melaksanakan tugas mereka.
- Sementara itu, Beta menyeru kepada semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari Jawatankuasa Khas berkenaan. Di kesempatan ini, Beta ingin menasihatkan umat Islam di negara ini terutama kepada para alim ulamak dan para ilmuan Islam agar sentiasa memelihara adab di dalam mencetuskan sesuatu pandangan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan di kalangan umat Islam.
- Kita tidak perlu berbalah secara terbuka di dalam perkara-perkara yang boleh kita selesaikan dengan cara bermusyawarah dan secara tertutup. Kita perlu meraikan perbezaan pendapat dan menyelesaikan perbezaan pandangan tersebut secara ilmiah, berhemah serta melalui saluran yang betul.
- Rakyat terutama umat Islam sentiasa melihat dan memandang tinggi kepada para ilmuan islam dan para alim ulamak dan sentiasa mengharapkan sesuatu ketetapan berkaitan sesuatu hukum itu dapat disepakati oleh semua. Oleh itu adalah menjadi harapan Beta agar saranan dan nasihat Beta ini dijadikan panduan ke arah perpaduan dan kesejahteraan umat Islam di negara ini.
- Umat Islam sedia maklum bahawa isu-isu agama sering dipolitikkan sejak beberapa dekad yang lalu malah semakin serius sejak kebelakangan ini. Akibatnya berlaku permusuhan, salah faham serta kekeliruan di kalangan umat Islam. Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama. Telah tiba masanya umat Islam semua bersatu demi kekuatan umat Islam. Apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan agama Islam akan menghormati umat Islam. Di samping itu pentadbiran agama Islam di negara ini perlulah bebas dari pengaruh politik kepartian dan amalan mempolitikkan setiap urusan agama.
- Teguran Beta ini tidak dimaksudkan kepada mana-mana pihak malah Beta mengingatkan kepada semua ahli-ahli politik agar jangan mengambil kesempatan untuk mempolitikkan setiap isu yang melibatkan agama Islam sehingga ianya menjadi modal kepada persengketaan politik yang tiada berkesudahan. Isu agama adalah sesuatu yang boleh menjadi sensitif kepada umat Islam, oleh itu elakkanlah dari tuduh-menuduh antara satu sama lain atas isu agama yang pada asasnya boleh kita selesaikan secara bersama.
- Beta menyeru umat Islam di negara ini agar terus memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwah yang selama ini menjadi teras kepada kemajuan negara. Sesungguhnya akar persaudaraan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Islam mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan kepada kemakmuran serta kedaulatan negara keseluruhannya. Berdasarkan hasrat itulah, perselisihan dan pertikaian yang muncul dalam kalangan masyarakat berkaitan apa-apa isu sekalipun, perlu diurus dengan penuh tertib, ketinggian hikmah serta bersikap adil kepada semua pihak.[4]
Matlamat Syariat dan Perundangan Islam
Sebelum membincangkan isu ini dengan lebih jauh, suka untuk saya mulakan terlebih dahulu dengan mengemukakan perbincangan tentang matlamat syariat dan perundangan Islam. Firman Allah SWT:
ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِّنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).”
(Surah al-Jathiyah: 18)
Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Kemudian Kami tetapkan undang-undang yang lengkap bagimu yang menyeru kepada segala kebaikan dan melarang dari segala keburukan dari urusan Kami yang berhubungan dengan hukum syarak, maka ikutilah syariat itu. Sesungguhnya dalam mengikutinya terdapat kebahagiaan yang kekal, kebaikan, dan kejayaan. Dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui iaitu orang-orang yang kehendak mereka tidak berdasarkan ilmu dan tidak mengikutinya. Mereka adalah setiap orang yang menyimpang dari syariat Rasulullah SAW yang hanya mengikuti hawa nafsu dan kehendaknya, maka mereka adalah termasuk dalam hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.777)
Dalam menjelaskan perkara ini, Imam Ibn al-Qayyim menyatakan:
فَإِنَّ الشَّرِيعَةَ مَبْنَاهَا وَأَسَاسُهَا عَلَى الْحِكَمِ وَمَصَالِحِ الْعِبَادِ فِي الْمَعَاشِ وَالْمَعَادِ، وَهِيَ عَدْلٌ كُلُّهَا، وَرَحْمَةٌ كُلُّهَا، وَمَصَالِحُ كُلُّهَا، وَحِكْمَةٌ كُلُّهَا؛ فَكُلُّ مَسْأَلَةٍ خَرَجَتْ عَنْ الْعَدْلِ إلَى الْجَوْرِ، وَعَنْ الرَّحْمَةِ إلَى ضِدِّهَا، وَعَنْ الْمَصْلَحَةِ إلَى الْمَفْسَدَةِ، وَعَنْ الْحِكْمَةِ إلَى الْبَعْثِ؛ فَلَيْسَتْ مِنْ الشَّرِيعَةِ وَإِنْ أُدْخِلَتْ فِيهَا بِالتَّأْوِيلِ
Maksudnya: “Syariah (Islamiyyah) itu terbina dan terasas di atas hukum dan maslahah para hamba dalam kehidupan dunia dan akhirat. Ia keseluruhannya adil, keseluruhannya rahmat, keseluruhannya maslahah, keseluruhannya hikmah. Maka setiap masalah yang terkeluar daripada keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada sebaliknya, daripada maslahah kepada mafsadah (kerosakan), daripada hikmah kepada sia-sia, maka ia bukan daripada syariah walaupun dimasukkan ke dalamnya secara takwilan.” (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 3/11)
Sebenarnya, kenyataan ini menunjukkan sifat syariah yang dibina serta asasnya dipenuhi hikmah dan maslahat. Sifatnya juga adil dan rahmat. Ramai pihak yang hanya mengambil sebahagian daripada keterangan Ibn Qayyim dan meninggalkan sebahagian yang lain. Ibn Qayyim menyebut selanjutnya:
فَالشَّرِيعَةُ عَدْلُ اللَّهِ بَيْنَ عِبَادِهِ، وَرَحْمَتُهُ بَيْنَ خَلْقِهِ، وَظِلُّهُ فِي أَرْضِهِ، وَحِكْمَتُهُ الدَّالَّةُ عَلَيْهِ وَعَلَى صِدْقِ رَسُولِهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – أَتَمَّ دَلَالَةً وَأَصْدَقُهَا، وَهِيَ نُورُهُ الَّذِي بِهِ أَبْصَرَ الْمُبْصِرُونَ، وَهُدَاهُ الَّذِي بِهِ اهْتَدَى الْمُهْتَدُونَ، وَشِفَاؤُهُ التَّامُّ الَّذِي بِهِ دَوَاءُ كُلِّ عَلِيلٍ، وَطَرِيقُهُ الْمُسْتَقِيمُ الَّذِي مَنْ اسْتَقَامَ عَلَيْهِ فَقَدْ اسْتَقَامَ
Maksudnya: “Syariah itu adalah keadilan Allah sesama manusia, rahmat-Nya terhadap makhluk-Nya dan bayangan-Nya di muka bumi. Hikmahnya itu menunjukkan kepada-Nya serta benarnya Rasul-Nya SAW yang menyempurnakan menyempurnakan dalilnya dan kebenarannya. Ia merupakan cahaya yang dengannya dapat melihat orang yang faham, dan petunjuk bagi mereka yang mengambilnya. Ia juga sebagai penyembuh yang sempurna bagi merawat orang yang sakit, jalan yang lurus yang dengannya siapa yang beristiqamah pasti mendapatnya.” (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 3/11)
Imam al-Izz bin Abdul Salam berkata: “Ketahuilah, sesungguhnya Allah SWT tidak mensyariatkan sesuatu hukum daripada hukum-hakamnya kecuali demi kemaslahatan di dunia atau akhirat atau demi kedua-duanya sekali, sebagai suatu kelebihan ke atas hamba-hamba-Nya.” (Lihat Syajarat al-Ma’arif, hlm. 355)
Saya tegaskan di sini bahawa Syariat Allah SWT ditaklifkan dengan adanya ‘illah bagi mencapai maslahat kepada hamba-Nya sepertimana kata fuqaha’:
أَحْكَامُ الشَّارِعِ مُعَلَّلَةٌ بِالْأَسْبَابِ، مُرْتَبِطَةٌ بِالْمَصَالِحِ.
Maksudnya: “Hukum-hukum syarak itu diillahkan dengan sebab-sebab, diikat dengan maslahat-maslahat.” (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 624)[5]
Ertinya, tidak boleh menetapkan hukum atas sesuatu berdasarkan zahir ianya sunnah atau tidak semata-mata, sebaliknya melihat kepada maslahat suatu perkara itu. (Lihat al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 32)
Kesempurnaan dan Keunggulan Undang-undang Islam
Firman Allah SWT:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
(Surah al-Maidah: 3)
Al-Tabari berkata: ‘وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا’ (dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu), maksudnya adalah “Aku redha.” Firman-Nya, ‘الْإِسْلَامَ دِينًا’ ( Islam itu menjadi agama untuk kamu), maksudnya adalah: “Pasrah kepada perintah-Ku dan tunduk kepada ketaatan-Ku atas apa yang disyariatkan kepada kamu semua, berupa batas-batas-Nya, kewajiban-kewajiban-Nya dan tanda-tanda-Nya.” ‘دِينًا’ (Agama bagimu), maksudnya adalah, “Ketaatan kamu semua kepada-Ku.”
Jika seseorang berkata, “Atau Allah tidak redha Islam bagi hamba-hamba-Nya, kecuali Dia ingin menurunkan ayat ini?” Katakanlah, “Allah SWT masih redha bagi makhluk-Nya Islam sebagai agama, tetapi Dia masih memurnikan Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya dalam darjat serta martabat Islam, darjat demi darjat, martabat demi martabat, dan keadaan demi keadaan, hingga menyempurnakan syariat-syariat dan tanda-tanda-Nya, sehingga mencapai darjat dan martabat yang paling tinggi.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 8/331)
Ibn Kathir berkata: Ini adalah nikmat Allah yang paling besar bagi umat Islam. Allah telah menyempurnakan agama mereka, sehingga mereka tidak memerlukan agama lain. Mereka juga tidak memerlukan nabi lain selain Nabi mereka, semoga rahmat dan kesejahteraan sentiasa terlimpah untuk Baginda. Kerana itu, Allah menjadikan Baginda sebagai penutup para nabi dan mengutusnya kepada umat manusia dan jin. Tidak ada yang halal selain yang sudah dihalalkan-Nya, dan tidak ada yang haram selain yang sudah diharamkan-Nya. Tidak ada agama, kecuali yang sudah disyariatkan-Nya. Semua yang diberikan Nabi SAW adalah benar dan jujur, serta tidak ada kedustaan di dalamnya.
Ini sebagaimana yang Allah firmankan: ‘ وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا ۚ لَّا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ’ (Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari Kalimah-kalimah-Nya) [Surah al-An’am: 115] Kalimat Allah itu sempurna dalam kebenaran berita dan adil dalam larangan dan perintah-Nya.
Setelah Allah menyempurnakan agama bagi mereka, kenikmatan yang mereka terima pun sempurna. Untuk itulah, disebutkan dalam firman-Nya: ‘الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا’ (“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”)
Kerana Allah SWT telah meredhai Islam sebagai agama kita, maka kita harus meredhai apa yang telah Allah redhai untuk kita. Kita pun harus mencintai apa yang Dia sukai untuk kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/495)
Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, bahawa Allah SWT telah menyempurnakan buat kamu agama kamu dengan kemenangan yang sempurna dan syariat yang menyeluruh dari segi zahir dan batin, usul dan furu‘ (cabang). Oleh sebab itu, cukuplah al-Quran dan al-Sunnah dalam hukum-hakam agama, sama ada usulnya mahupun furu‘nya. Selain itu, Allah SWT juga telah mencukupkan nikmat-Nya buat kamu sama ada zahir dan batin, serta telah memilih dan menjadikan buat kamu agama yang diredhai-Nya. Justeru, kerjakanlah kehidupan seharian kamu dengannya sebagai tanda kesyukuran kamu kepada-Nya dan pujilah Allah yang telah mengurniakan kepada kamu dengan agama yang paling baik, mulia dan sempurna — iaitu agama Islam. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/219)
Kewajiban Berhukum dengan Hukum Allah dan Rasul-Nya
Allah SWT berfirman:
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ حَرَجًۭا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًۭا
Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”
(Surah al-Nisa’: 65)
Sesungguhnya undang-undang Islam adalah undang-undang yang diredhai oleh Allah SWT. Maka sudah pasti ianya mempunyai keistimewaan dan hikmah tersendiri yang tidak dapat ditandingi dengan undang-undang manusia. Ciri keistimewaannya yang utama ialah kesempurnaan dan syumul. Perundangan Islam bertujuan memelihara lima perkara utama yang menjadi keperluan manusia iaitu agama, nyawa, akal, kehormatan dan harta. Hidup manusia akan sempurna jika dapat memelihara kelima-lima perkara ini.
Islam ialah agama yang sesuai dengan setiap zaman dan merangkumi kehidupan dunia dan akhirat. Orang yang memeluk Islam sudah mengetahui dan meyakini hakikat dan kualiti Islam. Justeru hukuman yang dikenakan kepada orang Islam adalah bertujuan memeliharanya daripada berterusan tenggelam dalam kesesatan.
Sebagai contoh, jika dilihat kes zina dan pembuangan bayi yang berlaku dalam kalangan remaja pada hari ini makin meningkat dan berleluasa. Maka bagi tujuan menjaga institusi kekeluargaan daripada tercemar serta menjaga kehormatan seseorang dalam masyarakat, hukuman hudud yang dikenakan kepada penzina merupakan benteng yang kukuh dalam memelihara keturunan manusia. Ini kerana, kesan negatifnya hasil daripada perzinaan akan lahirlah anak-anak terbiar yang akan menghancurkan institusi masyarakat.
Oleh yang demikian, manusia perlu yakin dengan keistimewaan undang-undang ciptaan Allah SWT satu-satunya undang-undang yang mencakupi kesempurnaan dan kesyumulan demi menjaga kemaslahatan, kesejahteraan dan keselamatan umat manusia keseluruhannya di atas muka bumi ini. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/557-558)
Semoga kita meyakini keunggulan syariat Islam dalam semua aspek seterusnya dapat mengamalkannya dalam kehidupan kita, kerana ia merupakan syariat Ilahi yang sudah pasti unggul dan agung.
Fatwa-Fatwa Ulama tentang Undang-Undang Islam
Ramai tokoh ulama telah menyuarakan secara tegas berkenaan keunggulan perundangan Islam dan kewajiban untuk memartabatkannya. Kami kemukakan di sini beberapa pandangan tokoh ulama’ Islam, antaranya:
- Syeikh Ibn Taimiyyah
Dalam Makarim al-Akhlaq (hlm. 33), disebut bahawa salah satu bentuk rahmat Allah SWT adalah menetapkan hukuman terhadap jenayah yang berlaku sesama manusia, seperti serangan terhadap jiwa, tubuh, harta, kehormatan, pembunuhan, pencederaan, tuduhan zina atau pencurian. Allah SWT telah menetapkan hukuman sebagai satu bentuk pencegahan terhadap jenayah, dengan mengambil kira maslahat, pencegahan dan pembasmian terhadap jenayah tersebut, tanpa melebihi batas yang sepatutnya dikenakan terhadap penjenayah tersebut. Oleh kerana itu, Allah SWT tidak menetapkan hukuman berupa pemotongan lidah atau hukum bunuh bagi perbuatan berbohong, dan tidak juga disembelih bagi kejahatan berzina, dan tidak juga hukum bunuh bagi kejahatan mencuri.
Sebaliknya, allah SWT menetapkan hukuman tersebut dengan memastikan nama dan sifat-Nya termasuk dalam hikmat dan rahmat-Nya, kelembutan, kebaikan dan keadilan-Nya, dengan tujuan untuk menghindarkan bencana dan kejahatan, serta menghilangkan kezaliman dan permusuhan. Dengan itu, semua manusia berpuas hati dengan kurniaan Pencipta-Nya, sehingga tidak ada yang merampas hak orang lain dengan sewenang-wenangnya.
- Syeikh Mahmud Syaltut
Dalam kitab al-Islam: Aqidah wa Syari’ah (hlm. 391), Syeikh Mahmud Syaltut menyebut:
إنَّ الشَّرِيعَةَ الإسلَامِيَّةَ اكْتَفَتْ فِي قِسْمِ الْمُعَامَلَاتِ بِالْإِرْشَادِ إِلَى أَنَّ الْقَصْدَ إِنَّمَا هُوَ تَحْصِيل الْمَصَالِحِ، وَحِفْظُ النِّظَامِ وَالْحُقُوْقِ، وَتَرْقِيَّةُ الْحَيَاةِ. وَلِذَا لَمْ تَأْتِ فِيهِ غَالِباً إِلَّا بِمَا يُشْبِهُ الْقَوَانِين الكلية.
Maksudnya: Sesungguhnya Syariat Islam telah mencukupkan dalam bahagian muamalat dengan memberi petunjuk bahawa objektif utama hanyalah untuk menghasilkan maslahat, menjaga nizam dan hak-hak, serta meningkatkan kualiti hidup. Oleh kerana itu, tidak datang kepadanya kebanyakannya melainkan dengan apa yang menyerupai undang-undang yang menyeluruh.
أَمَّا التَّفَاصِيلُ وَالتَّطْبِيقُ عَلَى الجُزْئِيَّاتِ الَّتِي لَا تَقِفُ عِنْدَ حَدٍّ وَالَّتى تَخْتَلِفُ وِجْهَةُ الحَقِّ فِيهَا بِاخْتِلَافِ الأَزْمِنَةِ وَالأَمْكِنَةِ فَقَدْ تَرَكَتْهَا الشَّرِيعَةُ إِلَى مَا يَتَّفِقُ عَلَيهِ أَهْلُ الرَّأْيِ وَيَرْشُدُ إِلَيْهِ النَّظَرُ فِي كُلِّ زَمَانٍ وَمَكانٍ قَالَ اللهُ تَعَالَى فِي سُورَةِ النِّسَاء: ﴿وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ﴾ “.
Adapun berkenaan perincian dan pelaksanaan pada perkara-perkara yang tidak terhenti pada batasan dan yang berbeza pandangan hak di dalamnya dengan perbezaan masa dan tempat, maka Syariat telah meninggalkannya kepada apa yang disepakati oleh ahl al-ra’yi (para pemikir) dan dipandu oleh pandangan pada setiap masa dan tempat.
Allah SWT berfirman:
وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka.”
(Surah al-Nisa’ : 83)
- Syeikh Abdul Qadir Audah
Beliau menyebut dalam kitabnya, al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami (1/8):
“Kita gembira dengan pengiktirafan daripada ahli undang-undang yang kembali kepada syariat dalam bidang-bidang kemasyarakatan kerana nas-nas kanun yang dihukum ambilan dan sumbernya daripada Syariat Islamiah. Berkenaan dengan bahagian jenayah yang menjadi akidah majoriti pengamal undang-undang tidaklah sepakat pada zaman kita dan tidak sesuai untuk di laksanakan pada hari ini, sekalipun tidak sampai kepada tahap undang-undang buatan manusia. Ini merupakan akidah yang sesat dan tersilap.
“Hal ini kerana kejahilan dan kita merasa pelik di mana kita berhukum berkenaan dengan jenayah pada syariat dengan ketidakbaikan undang-undang Islam. Inilah sebesar-besar jahil berkenaan dengan hukum-hukum syariat. Dan siapa yang mahu melihat kesilapan fahaman dan akidah ini yang sesat, hendaklah menelaah pada kitab-kitab syariat Islam yang pasti mendedahkan setiap asas dan kaedah serta teori dalam syariat Islamiah.”
Seterusnya beliau berpendapat: “Kita jahil berkenaan dengannya tanpa sebarang alasan untuk diperkenalkan kepada manusia. Bidang ini sebenarnya menjelaskan bahawa syariat Islamiah mengatasi qanun Wad’iy hasil ciptaan tangan-tangan manusia yang amat jauh perbezaannya dalam masalah jenayah yang umum. Suka ditegaskan bahawa bidang jenayah dalam syariat Islamiah sesuai dan munasabah dengan selayak-layaknya untuk dilaksanakan pada zaman sekarang dan juga akan datang sebagaimana ia sesuai dilaksanakan pada zaman dahulu.” (Lihat al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami oleh Syeikh ‘Abd al-Qadir ‘Audah, 1/8)
Beliau juga menyatakan bahawa perundangan Islam adalah satu sistem yang bertujuan untuk mencapai asas kemaslahatan dalam kehidupan, berasaskan ketetapan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya, serta dilaksanakan mengikut kesesuaian dan kemaslahatan semasa, dengan mekanisme ijtihad dan ijma’. Ia merupakan sebahagian penting daripada Syariah Islam yang menyeluruh. Menurut beliau lagi, seluruh perundangan yang ditetapkan oleh Allah kepada umat manusia kesemuanya memiliki tujuan kemaslahatan, yang memberi manfaat dan kebaikan kepada kehidupan manusia secara keseluruhan. (Lihat al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami oleh Syeikh ‘Abd al-Qadir ‘Audah, 1/50)
- Syeikh Muhammad Abu Zahrah
Beliau pernah dijemput menghadiri Nadwah Islam di Lahore pada tahun 1957. Kebanyakan yang hadir adalah dari kalangan Orientalis Yahudi dan pendokong mereka. Dalam majlis tersebut ada yang mengingkari sunnah, azab kubur dengan bersandarkan ‘اخْتِلَافُ أُمَّتِي رَحْمَةٌ’. Ada yang berpendapat al-Quran bukan kitab hukum. Ada berpendapat ijmak tiada melainkan ijmak dalam majlis parlimen sahaja.
Kesemua ini menyebabkan Syeikh Abu Zahrah bingkas bangun dan membantah fahaman-fahaman tersebut dengan hujah yang kuat dan beliau disokong oleh Mustafa Mubarak, Mustafa al-Zarqa’, Omar Bahauddin al-Amiri. Disebabkan kelantangannya itu, golongan orientalis tersebut mencelanya. Lantas Syeikh dengan tegas berkata: “Jika sekiranya ucapan kami ini membawa kemarahan kepada penyembah orientalis daripada Amerika, ya Allah tambahkanlah kepada mereka kemarahan ke atas kami, kerana kami tahu kemarahan mereka merupakan redha bagi Kamu!” (Lihat Muhammad Abu Zahrah, hlm. 87-91)
- Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi
Syeikh al-Qaradhawi menegaskan bahawa sifat menyeluruh yang menjadi keistimewaan Islam dengan merangkumkan kehidupan seluruhnya, serta insan seluruhnya, pada semua peringkat dan semua aspek kehidupan ini, wajib disambut dengan sifat menyeluruh yang sama oleh setiap muslim dari sudut kepatuhan terhadap keseluruhan ajaran Islam dengan kesempurnaan, keumuman dan keluasannya. Maka tidaklah harus diambil sebahagian dari ajaran dan hukumnya, sedangkan sebahagian atau bahagian-bahagian yang lain disisihkan, sama ada dengan sengaja atau dengan cara mengabaikannya, kerana ajaran dan hukum itu semuanya adalah satu dan tidak boleh dipisah-pisahkan. (Lihat al-Khasa’is al-‘Ammah Li al-Islam, hlm. 123).
Tafsir Ayat 65 Surah al-Nisa’
Oleh kerana ayat ini menjadi ayat yang paling tegas peri pentingnya berhukumkan dengan hukum Allah SWT dan Rasul-Nya SAW dalam apa jua pertelingkahan serta wajib menerimanya dengan lapang dada, maka sayugia kami perincikan tafsirannya mengikut aqwal al-mufassirin dan para ulama’.
Allah SWT berfirman:
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”
Surah al-Nisa’ (65)
Ibn Kathir berkata: Allah SWT bersumpah dengan menyebut diri-Nya Yang Maha Mulia lagi Maha Suci. Tidaklah beriman seseorang sebelum dia menjadikan Rasulullah SAW sebagai hakim dalam semua urusannya. Semua yang diputuskan oleh Rasulullah SAW adalah perkara yang benar dan wajib diikuti secara zahir dan batin.
Apabila mereka meminta keputusan hukum darimu, maka mereka hendaklah mentaatinya dengan tulus ikhlas sepenuh hati. Dalam hati mereka, tidak boleh terdapat suatu keberatan pun. Mereka hendaklah tunduk zahir batin serta menerima dengan sepenuhnya, tanpa ada rasa kesempitan, tanpa penolakan, dan tanpa ada sedikit pun rasa menentang. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/331)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah SWT menegaskan bahawa mentaati Rasul adalah suatu kewajiban. Bahkan penegasan ini diungkapkan dalam bentuk sumpah bahawa orang yang tidak mahu menerima keputusan Nabi dengan lapang hati bukanlah orang yang beriman. Allah bersumpah kepada Nabi dengan sifat ketuhanan-Nya bahawa orang-orang munafik yang tidak suka berhakim kepada Nabi, sebenarnya bukanlah orang yang beriman. Mereka dianggap sebagai orang beriman jika telah memenuhi tiga syarat, iaitu:
- Mereka mahu mengangkat Rasul sebagai hakim untuk memutuskan perkara-perkara yang mereka perselisihkan. Seseorang belum dianggap beriman hingga mereka mahu menjadikan Rasul sebagai pemutus semua urusannya. Apa yang diputuskan oleh Rasul adalah benar sehingga wajib diikuti secara zahir mahupun batin.
- Hati mereka tidak merasa sempit, berat, atau mengeluh ketika menerima keputusan Nabi tersebut. Orang yang beriman hendaklah tunduk dan patuh terhadap keputusan yang telah ditetapkan oleh Rasul. Hatinya penuh kerelaan, menerima tanpa syarat, dan tidak banyak cakap.
- Patuh dan pasrah sepenuhnya terhadap keputusan Nabi tersebut baik secara zahir mahupun batin. Tidak merasa berat hati, enggan, apalagi menentang. Tahap ketiga ini adalah tahap patuh dalam pelaksanaan. Terkadang, ada orang yang mengakui bahawa suatu keputusan adalah benar, namun dia tidak mahu melakasanakannya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/140)
Sayyid Qutb berkata: Di sini, sekali lagi kita dapati diri kita berada di hadapan syarat keimanan dan batas keislaman yang dijelaskan oleh Allah SWT, di mana Allah sendiri yang bersumpah dengan zat-Nya dan selepas penjelasan ini, tiada lagi ruang bagi sesiapa untuk memberi sesuatu pendapat atau takwilan dalam menentukan syarat keimanan dan batas keislaman. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/51)
Sebab Nuzul ayat ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin al-Zubair R.Anhuma menyatakan:
أَنَّ رَجُلًا مِنَ الأَنْصَارِ خَاصَمَ الزُّبَيْرَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شِرَاجِ الحَرَّةِ، الَّتِي يَسْقُونَ بِهَا النَّخْلَ، فَقَالَ الأَنْصَارِيُّ: سَرِّحِ المَاءَ يَمُرُّ، فَأَبَى عَلَيْهِ؟ فَاخْتَصَمَا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلزُّبَيْرِ: «أَسْقِ يَا زُبَيْرُ، ثُمَّ أَرْسِلِ المَاءَ إِلَى جَارِكَ»، فَغَضِبَ الأَنْصَارِيُّ، فَقَالَ: أَنْ كَانَ ابْنَ عَمَّتِكَ؟ فَتَلَوَّنَ وَجْهُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَالَ: «اسْقِ يَا زُبَيْرُ، ثُمَّ احْبِسِ المَاءَ حَتَّى يَرْجِعَ إِلَى الجَدْرِ»، فَقَالَ الزُّبَيْرُ: وَاللَّهِ إِنِّي لَأَحْسِبُ هَذِهِ الآيَةَ نَزَلَتْ فِي ذَلِكَ: (فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ) [النساء: 65]
Maksudnya: Bahawa seorang lelaki al-Ansar bertengkar dengan al-Zubair di sisi Nabi SAW mengenai saluran air yang mereka gunakan untuk menyiram pokok kurma. Orang al-Ansar itu berkata: “Lepaskan air agar ia boleh mengalir.” Al-Zubair enggan melakukannya. Mereka mengadukan pertengkaran itu kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda kepada al-Zubair: “Siramlah wahai al-Zubair menggunakan air itu, kemudian salurkanlah kepada jiranmu.” Orang al-Ansar itu berang dan berkata: “Adakah kerana dia sepupumu (lalu kamu memihak kepadanya)?” Maka berubah (marah) wajah Baginda SAW, lantas bersabda: “Siramlah wahai al-Zubair, kemudian tahan air tersebut sehingga ia sampai ke dasar pokok kurma.” Al-Zubair berkata: “Demi Allah SWT, aku menyangka ayat ini diturunkan sempena kisah tersebut: “فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ”
Riwayat al-Bukhari (2359)
Selain itu, terdapat ulama yang berpendapat bahawa ayat 65 ini secara zahirnya bersifat umum. Dalam erti kata lain, kaum Muslimin tidak boleh keluar daripada syariat Allah SWT, bahkan wajib ke atas mereka untuk berhukum dengannya dalam setiap perkara, sama ada berkaitan soal ibadah, muamalat dan seluruh urusan agama dan dunia kerana ayat tersebut bersifat umum kepada semua. Selain itu, hal ini juga kerana Allah SWT telah berfirman:
أَفَحُكْمَ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكْمًۭا لِّقَوْمٍۢ يُوقِنُونَ
Maksudnya: “Apakah hukum Jahiliah yang mereka masih kehendaki? Bagi orang yang yakin, siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah?”
(Surah al-Maidah: 50)
Begitu juga firman-Nya:
وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْكَـٰفِرُونَ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang yang kafir.”
(Surah al-Maidah: 44)
Demikianlah juga firman-Nya:
وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menghukum dengan peraturan yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka ialah orang-orang yang zalim.”
(Surah al-Maidah: 45)
Dan firman-Nya:
وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menggunakan hukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka ialah orang-orang yang fasiq.”
(Surah al-Maidah: 47)
Kesemua ayat-ayat di atas bersifat umum meliputi seluruh urusan yang diperselisihi dan menimbulkan konflik antara mereka. Oleh sebab itu, Allah SWT berfirman selepasnya: (فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ) yang bermaksud, “Demi Tuhanmu, mereka belum beriman,” yakni umat manusia sama ada daripada kalangan kaum Muslimin atau selainnya. Seterusnya disambung lagi: (حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ) iaitu, “sehinggalah mereka menjadikan diri engkau hakim.” – huruf kaf (ك) di sini merujuk kepada Nabi Muhammad SAW – yakni sehinggalah mereka menjadikan Baginda SAW sebagai hakim. Perkara tersebut adalah dengan mengikuti keputusan hukum yang telah diputuskan oleh Baginda SAW ketika Baginda masih hidup atau dengan berhukum berdasarkan sunnahnya setelah Baginda wafat. Berhukum dengan sunnahnya pula bermaksud berhukum dengan apa yang telah diturunkan daripada al-Quran dan al-Sunnah. Kemudian disebutkan dalam ayat berikutnya: (فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ) yakni dalam mana-mana perselisihan yang timbul antara mereka. Inilah kewajipan ke atas mereka iaitu untuk memutuskan semua perselisihan tersebut berdasarkan al-Quran dan (keputusan) Rasulullah SAW ketika Baginda masih hidup atau selepas kewafatannya dengan mengikuti sunnahnya yang merupakan penjelasan dan tafsiran kepada ayat-ayat al-Quran serta petunjuk kepada makna-maknanya.
Adapun ayat: (ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا) pula bermaksud hendaklah mereka melapangkan dada mereka menerima keputusan yang telah diputuskan oleh Baginda SAW dan tidak ada dalam hati mereka sebarang masalah (keberatan) dengan keputusan tersebut. Hal ini kerana hukum (keputusan) tersebut adalah suatu kebenaran yang tiada keraguan lagi padanya dan ia juga merupakan hukum Allah SWT. Oleh itu, wajib untuk mereka menerimanya dan berlapang dada dengan perkara tersebut tanpa sebarang perasaan tidak puas hati. Bukan itu sahaja, bahkan wajib ke atas mereka untuk menerima keputusan tersebut dengan penuh kerelaan dan keredhaan serta jiwa yang tenang. Inilah kewajipan ke atas seluruh kaum Muslimin dalam mana-mana perselisihan yang timbul antara mereka berupa tuduhan dan pertelingkahan, sama ada hal tersebut berkaitan dengan ibadah atau harta benda atau perkahwinan atau talaq atau lain-lain perkara yang terdiri daripada urusan-urusan mereka. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Baz, 24/220-222)
Setelah Allah SWT menerangkan bahawa keimanan sesorang tidak akan sempurna kecuali menjadikan Rasulullah SAW sebagai hakim dalam perselisihan, Allah SWT menyebut pula tentang kekurangan seseorang dalam melaksanakan perintah Allah SWT adalah disebabkan kelemahan iman. Jika Allah SWT mewajibkan kepada manusia agar membunuh diri sebagaimana yang diperintahkan kepada Bani Israel yang telah menyembah anak lembu sebagai jalan bertaubat atau berhijrah di jalan Allah SWT dari negeri mereka, maka mereka tidak akan melakukannya kecuali sedikit sahaja. Sekiranya mereka mengamalkan nasihat supaya melakukan suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya, maka ia adalah adalah lebih baik dan lebih meneguhkan iman mereka. Allah SWT akan memberikan kepada mereka ganjaran syurga dan dipimpin ke jalan yang lurus di dunia dan akhirat. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/143)
Sesiapa yang taat kepada Allah SWT dan rasul-Nya, maka mereka akan ditempatkan di syurga bersama-sama dengan orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah SWT. Mereka ialah para nabi, siddiqun, orang yang mati syahid dan orang yang soleh. Mereka adalah sebaik-baik teman dalam syurga kerana mereka saling mencintai dan bergembira apabila berjumpa sebagaimana yang disebut dalam hadis daripada Ibn Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
المَرءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ
Maksudnya: “Seseorang itu akan bersama orang yang dia cintai (pada hari Akhirat kelak).”
Riwayat al-Bukhari (6168)
Ganjaran sesiapa yang mentaati Allah SWT dan rasul-Nya ini adalah limpah kurnia yang paling tinggi daripada-Nya. Hidup dalam kedudukan yang mulia di dunia dan bersama-sama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah SWT di hari akhirat adalah kebahagian yang paling dicari oleh seseorang. Allah SWT Maha Mengetahui siapa yang berhak terhadap ganjaran-Nya tersebut. Maka cukuplah Dia Yang Maha Mengetahui siapa yang ingkar dan siapa yang taat, siapa yang munafik dan siapa yang ikhlas yang layak untuk bersama-sama dengan orang yang diberikan nikmat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/85)
Sesungguhnya, ayat ini amat membekas dalam jiwa kita betapa peri pentingnya untuk kita kembali urusan kehidupan kita sentiasa mengikuti perintah Allah SWT dan rasul-Nya. Maka, itulah golongan yang sebenar-benar beriman.
Sebagai seorang Islam yang beriman sama ada lelaki dan perempuan, maka wajib bagi kita akur, beriman dan taat serta meredhai hukum yang telah dinyatakan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا
Maksudnya: Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
(Surah al-Ahzab: 36)
Al-Syaukani berkata: Yakni tidak halal bagi orang yang beriman kepada Allah, jika Allah dan Rasulullah memerintahkan suatu perintah, kemudian dia memilih perintah mana yang mahu dia taati. Dan semestinya, dia wajib melakukan apa yang diperintahkan kepadanya dan menyerahkan dirinya di bawah perintah Allah dan Rasul-Nya. (Lihat Fath al-Qadir, 4/221)
Syeikh al-Sa’di berkata: Maksudnya tidak sepatutnya bagi orang yang memiliki iman, kecuali dia bergegas dalam mencari keredhaan Allah dan Rasul-Nya, serta lari daripada kemurkaan Allah dan Rasul-Nya, mematuhi perintah keduanya dan menjauhi larangan keduanya. Maka sangat tidak patut bagi seorang lelaki beriman dan tidak juga bagi perempuan beriman, “apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan”, dari ketetapan-ketetapan dan keduanya memastikan dan mewajibkannya, “akan ada bagi mereka pilihan lain tentang urusan mereka, ” maksudnya, memiliki pilihan (sendiri), sama ada mereka mahu mengerjakannya atau tidak.(Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/334)
Tafsir Ayat 38 Dari Surah al-Ma’idah
Allah SWT berfirman:
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Ma’idah: 38)
Syeikh Abu Bakar al-Jaza’iri dalam menjelaskan firman Allah SWT dengan kalimah (نَكَالًا), mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah pembalasan dari Allah SWT yang boleh menjadikan orang lain menahan diri dari perbuatan mencuri. Imam Ibn Kathir pula menyebutkan, yang dimaksudkan agar hukuman ini menjadi pengajaran dari Allah SWT buat kedua-dua pencuri lelaki dan pencuri perempuan atas perbuatan mereka itu. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/629; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/100)
Syeikh Abu Bakar al-Jaza’iri Rahimahullah turut menyebut bahawa hukuman tersebut sebagai balasan atas kezaliman yang telah dilakukan kerana mencuri harta orang lain secara haram. Ini merupakan pembalasan dari Allah SWT bagi mereka dan menjadikan mereka sebagai iktibar agar orang lain tidak mencuri harta orang lain melalui jalan pencurian yang diharamkan. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/629)
Saya sendiri pernah melihat pelaksanaan hukum potong tangan di hadapan Masjid Nabawi atas kesalahan mencuri pada tahun 1989. Apabila melihat tangan yang telah digantung, maka hati terus merasakan betapa gerunnya hukum Tuhan serta bertekad agar diri tidak lagi ada sifat ingin mencuri. Begitu juga, memastikan anak isteri dan kaum keluarga terselamat daripada hukuman tersebut. Itulah kesan daripada melihat pelaksanaan hukum hudud yang terkait dengan potong tangan. Pelaksanaannya pantas, cepat dan kemudian dibawa oleh ambulans tanpa sebarang jeritan yang kedengaran daripada pesalah.
Maka benarlah firman Allah SWT:
نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ
Maksudnya: “(Juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah.”
(Surah al-Ma’idah: 38)
Pada akhirnya, Allah SWT menutup ayat ini dengan firman-Nya (وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ), yang mana bermaksud Allah SWT jualah yang Maha Kuasa dalam meletakkan suatu pembalasan, serta Dia jualah yang Maha Bijaksana dalam segala perintah, larangan, pensyari‘atan dan ketentuan-Nya. (Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/100)
Hukuman Hudud
Dalam memahami isu ini juga, penting juga bagi kita untuk memahami maksud sebenar dan hakikat hukuman hudud, qisas dan ta’zir sepertimana yang sering disebutkan.
Saya mulakan dengan mengemukakan secara ringkas di sini penjelasan berkenaan hukum hudud, dari sudut definisi, dalil-dalil dan hikmahnya seperti berikut:
Definisi
Hudud menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat adalah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, dan tidak boleh diubah-ubah oleh manusia, seperti hukum zina, murtad, dan minum arak.
Ia merupakan kata pinjaman bahasa Arab (الحُدُودُ) dan juga jamak kepada kalimah al-had (الحَدُّ), yang bermaksud menghalang. Ia digunakan untuk merujuk kepada hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘ ke atas pelaku jenayah. Ia dinamakan demikian kerana hukuman ini menjadi sebab yang menghalang pesalah itu dari mengulangi kesalahan tersebut, serta menghalang sesiapa sahaja yang berhasrat untuk melakukannya.
Kalimah al-had (الحَدُّ) juga digunakan untuk merujuk kepada maksiat-maksiat yang dilarang, sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا
Maksudnya: “Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya.”
(Surah al-Baqarah: 187)
Yakni, itulah maksiat-maksiat yang telah Allah SWT larang dari kita melakukannya, oleh itu janganlah kita mendekatinya. Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat di atas berkata, (حُدُودُ اللَّهِ) dalam ayat ini bermaksud, hukum-hakam yang disebutkan dalam ayat ini merupakan batas-batas larangan Allah, maka janganlah melanggarnya. Dan (تِلْكَ) pula sebagai isyarat kepada perintah-perintah serta larangan-larangan yang disebutkan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/337)
Dan kalimah al-had (الحَدُّ) juga merujuk kepada apa yang telah Allah SWT tetapkan dari hukum-hakam-Nya, sepertimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:
مَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya: “Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Imam Abu Bakar al-Jaza’iri berkata, (حُدُودَ اللَّهِ) yang dimaksudkan adalah apa yang wajib dilakukan oleh seseorang hamba itu seperti mentaati perintah Allah dan tidak menyelisihinya. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/213)
Dan maksud hudud dalam firman Allah SWT ini dapat dilihat penggunaannya dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Tha‘labah al-Khusyani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وحَدَّ حُدُودًا فَلا تَعْتَدُوها
Maksudnya: “Dan Allah telah menetapkan batasan-batasan hukum maka janganlah kalian melampuinya.”
Riwayat al-Daraqutni dalam Sunannya (4/183-184)
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji pula mendefinisikan al-had (الحَدُّ) sebagai suatu hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘, dan ianya tidak boleh ditokok tambah atau dikurangkan ketetapannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/54)
Sebagai contoh, telah thabit riwayat daripada Abu Burdah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يُجْلَدُ فَوْقَ عَشْرِ جَلَدَاتٍ إِلَّا فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ
Maksudnya: “(Seseorang) tidak boleh disebat lebih daripada sepuluh kali sebatan melainkan dengan had yang telah ditetapkan oleh Allah (hukuman hudud).”
Riwayat al-Bukhari (6848) dan Muslim (1708)
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, maksud sabda Rasulullah SAW (حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ) adalah apa sahaja yang telah disebutkan oleh syara‘ kadarnya, sama ada sebatan atau pukulan yang dikhususkan, dan disepakati tentangnya, seperti zina, mencuri, minum arak, al-hirabah, tuduhan qazaf , membunuh, qisas, atau murtad. (Lihat Fath al-Bari, 12/177)
Syeikh ‘Abdullah al-Bassam di dalam kitabnya Taudhih al-Ahkam (6/319) pula membawakan perbincangan ulama’ mengenai maksud hudud (الحُدُودُ) yang datang dalam banyak nas-nas al-Quran serta Sunnah al-Nabawiyyah. Sebahagian mereka berpandangan bahawa yang dimaksudkan adalah apa telah yang ditentukan hukumannya oleh syara‘, seperti hukuman zina, qazaf, mencuri, qisas kerana membunuh atau mencacatkan anggota atau mencederakan. Maka selain dari maksiat-maksiat yang disebutkan ini, hukuman ke atas pelakunya adalah ta‘zir.[6]
Sebahagian ulama’ lain berpandangan bahawa yang dimaksudkan dengan hudud (الحُدُودُ) ini adalah perintah serta larangan Allah SWT. Dinukilkan kalam Imam Ibn al-Qayyim, katanya: “Sebetulnya, yang dimaksudkan dengan hudud adalah hak-hak yang merupakan perintah-perintah Allah SWT serta larangan-larangan-Nya.” Dan inilah yang dimaksudkan dalam firman Allah SWT:
وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Berdasarkan perbincangan para ulama’ ini, kami menyimpulkan bahawa makna kalimah hudud (الحُدُودُ) ini bergantung kepada konteks penggunaannya, dan ia maksudnya tidak akan jauh dari tiga hakikat di bawah:
- Dalam konteks penggunaannya pada perihal hukum-hakam, ia merujuk kepada umum perintah serta larangan Allah SWT yang wajib ditaati.
- Dalam konteks penggunaannya dalam hukuman jenayah, ia merujuk kepada hukuman bagi kesalahan jenayah tertentu yang telah Allah SWT tetapkan kadarnya, dan tidak boleh ditokok tambah atau dikurangkan ketetapannya.
- Dalam konteks penggunaannya dalam menerangkan tentang perbuatan maksiat, ia merujuk larangan-larangan Allah SWT yang tidak boleh dihampiri.
Manakala berkenaan hukuman had yang sudah ditentukan jenis dan jumlahnya itu terbahagi kepada tujuh jenis, iaitu zina, qazaf, meminum minuman keras, hirabah, murtad, pemberontakan dan mencuri.
Hikmah Pensyariatan Hudud
Saya cuba menyebutkan beberapa hikmah pensyari‘atan hudud ini dengan membahagikannya kepada dua, iaitu secara umum dan khusus seperti berikut:
Pertama: Hikmah Hudud Secara Umum
Umumnya, hudud disyari’atkan sebagai kaffarah yang menyucikan seseorang itu dari dosa maksiat yang telah dilakukannya di dunia ini.
Ini jelas berdasarkan hadith riwayat ‘Ubadah bin al-Samit R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika perjanjian ‘Aqabah:
بَايِعُونِي عَلَى أَنْ لاَ تُشْرِكُوا بِاللهِ شَيْئًا، وَلاَ تَسْرِقُوا، وَلاَ تَـزْنُوا، وَلاَ تَـقْتُلُوا أَوْلاَدَكُمْ، وَلاَ تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَـفْتَـرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ، وَلاَ تَـعْصَوْا فِي مَعْرُوفٍ، فَمَنْ وَفَى مِنْكُمْ فَأَجْرُهُ عَلَى اللهِ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَـعُوقِبَ فِي الدُّنْـيَا فَـهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا ثُمَّ سَتَـرَهُ اللهُ فَـهُوَ إِلَى اللهِ، إِنْ شَاءَ عَفَا عَنْهُ وَإِنْ شَاءَ عَاقَـبَهُ
Maksudnya: “Berbai‘ahlah kamu kepadaku bahawa sesungguhnya kamu tidak akan menyekutukan sesuatu dengan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anakmu, tidak akan mengada-adakan sesuatu secara dusta dengan penuh kesedaran antara tangan dan kaki kamu, dan tidak akan menderhaka dalam perkara ma‘ruf. Sesiapa di antara kamu menyempurnakan janji itu maka pahalanya dijamin Allah, dan sesiapa yang melanggar sesuatu daripada apa yang dijanjikannya itu, lalu Allah menghukumnya di dunia, maka itu adalah kaffarah baginya, dan sesiapa yang melanggar mana-mana janji tersebut kemudian Allah menyembunyikannya (tidak menghukumnya di dunia), maka urusannya kembali kepada Allah, sama ada Allah akan memaafkannya atau akan menyeksanya.”
Riwayat al-Bukhari (18), Muslim (1709), al-Tirmizi (1439), al-Nasa’ie (4178) dan Ahmad (22730)
Antara hikmah lainnya, ia juga bertujuan menjaga maqasid syari‘ah yang utama, iaitulah menjaga agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta. Yang demikian kerana dengan tertegaknya hukum hudud ini, ia mampu menghalang seseorang itu daripada melakukan maksiat. Maka ia boleh menjadi jaminan kepada masyarakat sejagat, dengan menyebarkan keamanan dan keadilan, serta memperolehi ketenteraman dalam menjalani kehidupan.
Selain itu, Syeikh Dr. Muhammad Abu Syahbah dalam Majalah Muhadharat Rabitah al-Alami Islami tahun 1396 di Makkah al-Mukarramah berkata:
“Berkenaan dengan hikmah pensyariatan hudud, apabila kita melihat kepada jenayah dan perlakuan kejahatan yang membawa kepada hukuman hudud, nescaya kita dapati jenayah tersebut keji dan membawa kepada kerosakan. Tiada satu daripadanya kecuali ia boleh mencacatkan asas Islam yang lima atau keperluan penjagaan dan pemeliharaan lima asas yang disepakati oleh semua agama, iaitu memelihara agama, jiwa, akal, maruah dan harta.”
Terdapat banyak nas daripada al-Quran dan hadis yang menggambarkan betapa beruntungnya mereka yang kembali kepada syariat Allah SWT dan berhukum dengannya, berbanding dengan yang mengingkari serta memilih segala kanun dan undang-undang yang lain, bukan semata-mata boleh menghalang kes dan indeks jenayah tetapi melahirkan lebih banyak jenayah baru.
Kedua: Hikmah Hudud Secara Khusus
Setiap jenayah yang dilakukan itu mempunyai hukuman hududnya yang tersendiri, dan ia berbeza-beza berdasarkan kepada jenayah yang dilakukan. Antara hikmahnya adalah:
- Hikmah Rejam
Imam Ibn al-Qayyim menyebutkan, disyari‘atkan rejam ke atas penzina yang telah berkahwin agar dia merasai kesakitan dengan semua anggota tubuh yang digunakan untuk bersedap-sedapan dengan cara yang haram. Dan rejam ini adalah kaedah pembunuhan yang paling keji, dan tarikan untuk melakukan zina secara semula jadinya sangat kuat. Maka dijadikan hukuman yang berat sebagai balasan kepada tarikan yang kuat ini (agar orang lebih takut).
Rejam ini juga sebagai peringatan tentang hukuman Allah SWT ke atas kaum Nabi Lut A.S yang direjam dengan batu kerana hubungan sumbang mahram. (Lihat al-Solat wa Hukmu Tarikiha, hlm. 30)
- Hikmah Sebatan
Apabila dilaksanakan hukuman hudud, kebiasaannya akan dipertontonkan pelaksanaannya di khalayak umum, begitu juga apabila dilaksanakan hukuman sebat. Imam al-Qurtubi menyebutkan, para ulama’ berbeza pendapat tentang maksud kehadiran orang yang ramai. Adakah maksudnya berlaku hanya kepada para penzina dan menghinanya dengan kehadiran orang ramai. Jika begitu, ia akan menghalang individu yang dikenakan hukuman had (dari terus melakukannya). Sesiapa yang hadir, melihat dan mengambil pelajaran, serta menjauhi perbuatan tersebut di samping menyebarkan apa yang berlaku maka ia akan menjadi pengajaran selepas itu. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 12/111)
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menjelaskan kaedah sebatan iaitu dengan satu bentuk pukulan yang sederhana (tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan) dengan menggunakan cemeti yang sederhana (tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan). (Lihat al-Siyasah al-Syar’iyyah fi Islahi al-Ra’i wa al-Ra’iyyah, hlm. 101)
Pelaksanaan hukuman hudud secara sebatan dan penetapannya oleh syara‘ bukanlah bertujuan untuk menghina dan merendah-rendahkan pesalah itu, dan tidak juga untuk ia dilaksanakan dengan hasrat agar pesalah itu meninggal atau cacat anggota tubuhnya. Bahkan, yang diinginkan dari hukuman ini adalah membersihkan dirinya dari kesalahan serta maksiat yang telah dikerjakannya, dalam masa yang sama mencegahnya dari mengulangi perbuatan tersebut, dan sebagai ancaman kepada sesiapa sahaja yang berhasrat untuk melakukan maksiat tersebut agar tidak meneruskan niat buruk itu.
Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata, inilah antara hikmah pensyari‘atan Tuhan terhadap pelaksanaan hukuman hudud ke atas umat Islam yang melakukan kesalahan. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/304)
Syeikh Soleh al-Fauzan menukilkan kalam Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, katanya: “Hukuman hudud itu ditetapkan sebagai bentuk rahmat dari Sang Pencipta yang menginginkan kebaikan buat para hamba-Nya. Oleh yang demikian, sesiapa yang bertindak menjatuhkan hukuman atas kesilapan yang dilakukan oleh manusia perlulah berlaku ihsan dan menunjukkan sifat rahmah, sepertimana seorang ayah yang menunjukkan sifat-sifat tersebut ketika mendidik anaknya, dan seperti doktor yang merawat pesakitnya.” (Lihat al-Mulakkhas al-Fiqhi, 2/521)
Dr. Herman Pilipenko dari Siberia menyatakan bahawa merotan akan melepaskan endorphins daripada otak di mana ia akan membuatkan orang yang ketagihan arak bebas dari ketagih. Ini menyebabkan mereka akan serta-merta berhenti dari meminum arak.[7]
- Hikmah Potong Tangan
Firman Allah SWT:
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Ma’idah: 38)
Di dalam ayat di atas, Allah SWT mendatangkan perbincangan berkenaan salah satu bentuk hukum hudud yang wajib dilaksanakan iaitu, memotong tangan terhadap mereka yang mencuri sekiranya telah cukup syarat-syarat yang ditentukan oleh syara‘. Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa hukuman hudud bagi pencuri adalah salah satu bentuk hukuman pada zaman Jahiliah yang kemudiannya diperakui oleh Islam. Antara hukuman lain pada zaman Jahiliah yang diperakui oleh Islam ialah Diyah dan Qasamah. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/757)[8]
Antara hikmah pensyariatan hukuman hudud bagi pencuri seperti memotong tangan adalah sebagaimana berikut:
- Menjaga kemaslahatan umum
- Sebagai pengajaran bagi sesiapa yang berniat untuk mencuri harta orang lain
- Membersihkan pencuri dari dosa yang telah dilakukan
- Menegakkan keamanan dan ketenangan dalam masyarakat serta melindungi harta. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah,3/235)
Telah dinyatakan dalam Mausu’ah al-Ijma’ bahawa: Salah satu tujuan Syariah Islam adalah menjaga harta yang telah Allah jadikan amanah di tangan manusia untuk digunakan dalam ketaatan kepada-Nya dan bagi tujuan mengimarahkan bumiNya yang dijadikan sebagai tempat untuk menegakkan syariatnya. Oleh kerana itu, Allah menggalakkan perdagangan secara halal dan mengharamkan segala bentuk keuntungan yang haram seperti penindasan, kezaliman, dan riba. Yang paling buruk dan paling keji di antara hal tersebut adalah pencurian, kerana itu merupakan perbuatan keji yang mengakibatkan keamanan terganggu serta menimbulkan ketakutan di hati orang ramai. Maka Allah menetapkan hukuman bagi pencuri yang memenuhi syarat-syarat yang boleh dijatuhkan hukuman ke atasnya dengan memutuskan tangan kanannya. (Lihat Mausu‘ah al-Ijma‘ fi Fiqh al-Islami, 10/36)
Menjawab Salah Faham berkenaan dengan Hukuman Potong Tangan
Syubhah yang dilontarkan oleh golongan yang kurang memahami hikmah dan maqasid Syariah khususnya terhadap hukum hudud perlu dilihat dengan lebih tuntas dan mendalam melalui neraca Syariat sendiri dan pandangan para ulama’. Sejarah klasik menunjukkan dua syubhah yang diwar-warkan oleh mereka yang tidak memahaminya.
Pertama: Seorang penyair Abu al-’Ala’ al-Ma’arri[9] pernah melontarkan syubhat melalui syairnya:
يَدٌ بخمْسِ مِئِينٍ عَسْجَدٍ وُدِيَتْ مَا بَالُهَا قُطِعَتْ فِي رُبْعِ دِينَار
تَنَاقُضٌ مَالَنَا إِلَّا السُّكُوتُ لَهُ وَأَنْ نَعُوذَ بِمَوْلَانَا مِنَ النَّارِ
Diyat tangan adalah lima ratus dinar
Kenapa dipotong kerana seperempat dinar?
Percanggahan yang nyata, tetapi kita tidak dapat melakukan kecuali hanya diam
Dan berlindung kepada Allah dari api neraka
Lantas seorang ulama’ lain mengarang satu syair lain pula bagi menjawab syubhat dalam syair tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari, nama ulama’ tersebut ialah al-Qasim Abd al-Wahhab al-Maliki. Beliau menulis:
يَدٌ بِخَمْسِ مِئِينٍ عَسْجَدٍ وُدِيَتْ مَا بَالُهَا قُطِعَتْ فِي رُبْعِ دِينَار
عِزُّ الأَمَانَةِ أَغْلَاهَا، وَأَرْخَصَهَا ذُلُّ الخِيَانَةِ فافْهَمْ حِكْمةَ البارِي
Diyat tangan adalah lima ratus dinar
Tetapi dipotong kerana seperempat dinar
Kemuliaan amanah menjadikan tangan itu mahal
Dan harganya murah tatkala berkhianat, Maka fahamilah hikmah Syariat Allah
(Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 3/287; Tarikh al-Islam oleh al-Zahabi, 30/205)
Al-Maziri dan yang mengikutinya berkata: “Allah memelihara harta dengan mewajibkan potong tangan bagi pencurinya. Dikhususkan dengan ‘pencurian’ kerana ia lebih jarang berlaku dibandingkan dengan perampasan dan ghasb, dan kerana selain pencurian lebih mudah dibuktikan. Maka hukuman pencurian itu berat agar ia lebih diwaspadai. Dalam potong tangan, diyat itu tidaklah ditetapkan sebagai bentuk perlindungan terhadap tangan, kerana ketika tangan itu melakukan pengkhianatan, maka ia telah menjadi tangan yang hina.” (Lihat Fath al-Bari, 12/100)
Dalam riwayat lafaz yang lain, al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa al-Qasim ‘Abd al-Wahhab al-Maliki menjawab:
صِيَانَةُ الْعُضْوِ أَغْلَاهَا، وَأَرْخَصُهَا صِيَانَةُ الْمَالِ، فَافْهَمْ حِكْمَةَ الْبَارِي
Memelihara anggota tubuh adalah yang paling mahal, sedangkan yang paling murah
adalah memelihara harta. Kerana itu, fahamilah hikmah dari Sang Pencipta.
Penjelasannya adalah, sekiranya diyat itu hanya satu perempat dinar, tentu akan banyak berlaku perbuatan kejahatan terhadap tangan. Dan seandainya nisab (kadar untuk disabitkan) potong tangan itu 500 dinar, tentu akan banyak perbuatan kejahatan terhadap harta. Dengan begitu, jelaslah hikmahnya. Itu semua dilakukan bagi menjaga keutuhan tangan dan harta. (Lihat Fath al-Bari, 12/100)
Kedua: Pendapat Makruf al-Dawalibi dengan mengambil kisah pelaksanaan hudud pada zaman al-Malik Abd al-Aziz[10]. Dinukilkan satu kisah pada zaman al-Malik Abd al-Aziz yang melaksanakan hukuman potong tangan pada zaman pemerintahannya selama 24 tahun, tidak lebih daripada 16 tangan dipotong dan kejadian mencuri dan rompakan hampir menjadi sifar sepanjang pemerintahan beliau.
Sesungguhnya kaedah syariat Islamiyyah yang dilaksanakan kesemuanya di Arab Saudi di mana ada yang dikenakan hukuman qisas kerana membunuh. Begitu juga hukuman potong tangan kerana mencuri dalam keadaan ketika berlangsungnya haji berulang kali, maka didapati tangan yang dipotong pada zaman al-Malik Abd al-Aziz hanya 16 tangan sepanjang tempoh 24 tahun. Ketika itu negara telah membelanjakan untuk pemulihan mahkamah-mahkamah serta badan-badan keselamatan.
Natijahnya, negara dalam keadaan stabil sehingga sampai kepada kawasan pendalaman dan padang pasir. Maka begitulah, tatkala hudud dan perundangan Islam dilaksanakan untuk mencegah sebarang bentuk jenayah dan kerosakan di bumi sebagaimana yang dinaskan di dalam al-Quran kepada jenayah rompakan sama ada dibunuh, atau disula, atau dipotong kaki secara bersilang atau dibuang daerah sebagaimana penzina yang muhsan.
Sebagaimana kita sedia maklum maka begitu juga pengamal undang-undang barat yang bukan Islam sendiri yang menyaksikan keadilan Islam sekalipun mereka bercanggah dengan agama dan sistem Islam. Antara tokohnya seperti De Janeiro yang berbangsa Itali yang memuji sistem Islam dengan panjang lebar. Beliau merupakan ketua lajnah PBB bagi membanteras jenayah. (Lihat Athar al-‘Aqidah al-Islamiah fi Ikhtifa’ al-Jarimah, hlm 192-193)
Maka benarlah firman Allah:
نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ
Maksudnya: “Suatu hukuman pencegah dari Allah.”
(Surah al-Maidah: 38)
Ibn Kathir dalam tafsirnya menyatakan: Iaitu cegahan daripada Allah dengan kedua-dua pencuri lelaki dan perempuan atas jenayah tersebut. Sedangkan Allah Maha Perkasa untuk menghukumnya dan Maha Bijaksana dalam segala urusannya sama ada perintah larangan syariat dan takdir-Nya (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/100)
Dikatakan dalam satu dialog cendekiawan Islam dalam menghujahkan dan mempertahankan undang-undang Islam ini berkata: “Di negeri kami, apabila pelaksanaan hukuman potong tangan, maka masyarakat terdidik untuk menjaga amanah dan maruah serta tidak khianat dan mencuri. Hasilnya harta sentiasa dalam keadaan selamat. Adapun di negeri kamu, tempat yang paling selamat untuk memelihara harta adalah di bank-bank. Itu pun terjadi rompakan bank-bank. Bukan satu, tetapi kerap kali.”
Hukuman Qisas
Seterusnya, saya kemukakan pula penjelasan berkenaan qisas dari sudut definisi dan hikmah pensyariatannya seperti berikut:
Definisi
Allah SWT berfirman:
وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.”
(Surah al-Baqarah: 179)
Imam al-Baiḍawi berkata: “Kalimah al-qisas (الْقِصَاصِ) ditaʿrifkan dan ḥayah (حَيَاةٌ) dinakirahkan, untuk merujuk kepada hukum yang menjamin suatu bentuk kehidupan yang lebih signifikan. Itu kerana seseorang yang ingin membunuh akan mencegah dirinya daripada membunuh apabila mengetahui hukum tersebut lalu menjadi sebab terjaminnya dua nyawa di situ (mangsa dan pembunuh). Ini juga kerana (pada zaman Jahiliyyah) mereka akan membunuh semua orang (yakni kabilah si pembunuh itu). Dibunuh satu kumpulan atas kesalahan seorang sahaja. Maka ini akan mendatangkan fitnah kekacauan antara pihak-pihak yang terlibat. Justeru, apabila qisas hanya berlaku kepada pembunuh sahaja, maka selamatnya orang lain dan inilah sebab bagi keselamatan nyawa mereka.” (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 1/122)
Qisas merupakan ketetapan syara‘ yang telah disyari‘atkan berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى ۖ الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنثَىٰ بِالْأُنثَىٰ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman Qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan.”
(Surah al-Baqarah: 178)
Ia tidak lain bertujuan untuk mengelakkan dari berlakunya kekacauan, kacau-bilau dan tersebarnya budaya jenayah yang merupakan salah satu hasutan syaitan kepada pengikutnya. Kerana itulah Allah SWT berpesan di dalam firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”
(Surah al-Baqarah: 208)
Hukuman qisas itu ditetapkan pastinya dengan hikmah dan sebab yang tertentu. Para ilmuan Islam telah banyak menggariskan perkara ini sama ada secara langsung atau tidak langsung di dalam penulisan mereka, antaranya adalah:
- Apabila diketahui akibat yang akan diterima oleh pelaku jenayah, ia mampu menghalang sesiapa sahaja yang dirinya terpanggil untuk melakukan maksiat jenayah dari terus melakukannya.
- Ia juga akan mencegah pelaku maksiat jenayah ini dari mengulangi perkara yang sama apabila dia mengingati akibat yang telah dilaluinya.
- Balasan ini sebagai penyucian dosa bagi pelaku jenayah tersebut.
Adapun hikmah yang lebih mendalam dari itu, pensyari‘atan hukum ini merupakan salah satu bentuk rahmat Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, sifat ihsan-Nya kepada mereka, dan juga sebagai bentuk didikan kepada masyarakat dari segi kelakuan dan tingkah laku mereka. (Lihat Tabyin al-Haqa’iq, 3/538; Qawa‘id al-Ahkam, 1/163-165; al-Fawakih al-Dawani, 2/291; I‘lam al-Muwaqqi‘in, 2/95)
Hikmah Pelaksanaan Hukum Qisas dan Implikasinya
Allah SWT berfirman:
وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.”
(Surah al-Baqarah: 179)
Syeikh al-Sya’rawi berkata: “Di sini kita dapati bentuk ayat yang datang dengan firmanNya: ‘Wahai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu qisas’, sedangkan di sini didatangkan dalam bentuk al-Quran: ‘Bagi kamu pada qisas’.”
Ini menunjukkan betapa mendalam dan kukuhnya syariat yang datang bersama dengan kewajiban dan hak-hak. Maka tiada kewajiban tanpa hak dan tiada hak tanpa kewajiban. Hingga kita mengetahui betapa tingginya syariat yang dituntut daripada setiap Mukmin untuk melihat apa yang wajib daripada taklif dan disertakannya dengan hak. Supaya orang yang beriman dapat memahami cahaya manhaj Allah bagi mendapat keadilan yang mutlak.
Al-Syahid Sayyid Qutb berkata: “Hukuman qisas itu bukannya bertujuan membalas dendam dan memuaskan perasaan dendam kesumat, malah ia mempunyai tujuan yang lebih mulia dan tinggi daripada itu lagi, iaitu untuk membela hidup dan untuk kepentingan hidup, malah qisas itu sendiri merupakan hidup. Dan di samping itu ia bertujuan supaya manusia berfikir tentang hikmah undang-undang qisas itu serta menggerak dan merangsang hati mereka ke arah takwa kepada Allah.”
Wujud undang-undang qisas itu terbit dari pada tindakan mencegah penjenayah pada peringkat awal lagi, daripada melakukan pencerobohan hak orang lain. Orang yang tahu bahawa dia pasti membayar dengan nyawanya apabila dia membunuh orang lain, tentulah akan berfikir panjang dan dia akan teragak-agak (untuk melakukan pencerobohan). Ia juga terbit daripada kepuasan hati para waris-waris apabila berlakunya pembunuhan qisas itu kerana ia tidak lagi menaruh perasaan dendam dan keinginan menuntut bela, iaitu suatu keinginan yang tidak menge nal batas dalam kalangan suku-suku Arab sehingga terus-menerus mencetuskan peperangan yang terputus-putus selama 40 tahun sebagaimana yang telah berlaku dalam Peperangan al-Basus yang terkenal. Juga se bagaimana kita lihat dalam kehidupan sesetengah orang Arab pada hari ini, di mana darah terus mengalir dalam pembunuhan demi pembunuhan, atas alasan membalas dendam antara keluarga dan kaum, yang berlanjutan generasi demi generasi, seolah- olah tiada hentinya.
Dalam undang-undang qisas terdapat jaminan hidup dalam erti kata yang syumul, kerana pencerobohan atas setiap nyawa dan semua manusia hidup yang mempunyai sifat hidup yang sama dengan si mati yang dibunuh.
Apabila undang-undang qisas dapat mencegah penjenayah daripada mencabut satu nyawa, maka bererti ia dapat mencegah penjenayah itu daripada menceroboh seluruh nyawa yang lain. Pencegahan itu member jaminan hidup yang mutlak, iaitu ia bukan hanya memberi jaminan hidup kepada satu individu, kepada satu keluarga, kepada satu kelompok, malah memberi jaminan kepada hidup seluruhnya.
Ibn Qayyim berkata: “Kalaulah tidak adanya qisas nescaya binasa dan rosaklah alam dan akhirnya seluruh kehidupan diancam kebinasaan. Qisas merupakan suatu pencegah dan penghalang daripada berlakunya kerosakan dan daripada penumpahan darah dengan se bab jenayah dan pelaksanaan hukum. Kerana itu, berkata orang Arab pada zaman jahiliah: ‘Pembunuhan boleh menafikan bagi pembunuhan (yang lain) dan menumpahkan darah boleh memelihara darah.’ Najis tidak boleh dibasuh dengan najis, bahkan jenayah yang merupakan najis hendaklah dibasuh dengan qisas.” (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 2/122)
Antara hikmahnya juga, hukuman ini melindungi negara daripada kekejaman pembunuhan orang yang tidak bersalah, menyebarkan keganasan di negara, menyebabkan wanita menjadi janda, dan anak-anak menjadi yatim piatu. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/171)
Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata, lebih dari seorang ulama’ telah meriwayatkan ijma‘ tentang pensyari‘atan hukuman ini, dan ia adalah sesuatu yang semestinya diketahui dalam agama. Kalau tidak kerana hukuman al-qisas, dan jika tidak kerana hukuman kepada pelaku jenayah, pasti manusia akan membinasakan sesama mereka sendiri, dan dengan itu juga aturan kehidupan alam juga akan menjadi rosak. Maka, tidak boleh tidak perlunya ada hukuman yang menghalang mereka, dan menjadikan pelakunya dihukum sebagai amaran kepada sesiapa yang ingin melakukan perkara yang sama. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/73)
Inilah antara hikmah yang disebutkan oleh para ilmuan tentang hikmah pensyari‘atan hukuman bunuh dibalas bunuh ini. Adapun tidak membalas kemudharatan dengan kemudharatan yang lain, benar ia disebutkan dalam hadith Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak ada mudharat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudharatan.”
Riwayat Ahmad (2865) dan Ibn Majah (2340)
Akan tetapi, hukuman hudud atau al-qisas itu sendiri terkeluar dari konteks hadith di atas kerana datang nas lain yang mewajibkan perkara tersebut. Kewajiban hudud itu juga tidak lain bagi mencapai maslahah umum, di samping ianya disyari‘atkan berlandaskan keadilan dan hikmah Allah SWT.
Hukuman Ta’zir
Ada kekeliruan yang timbul dalam kalangan sebahagian pengamal undang-undang sehingga menyamakan hukuman ta’zir dan sivil. Sivil itu bukan sepenuhnya takzir, malah wujud perbezaan dalam pembuktian, keterangan dan sabitan. Maka, saya rasa terpanggil untuk menjelaskannya secara terperinci agar ia tidak lagi diulang pada masa hadapan.
Definisi Ta’zir
Ta’zir (التَّعْزِيرُ) pada bahasa, sepertimana disebut dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (12/254):
التَّعْزِيرُ لُغَةً: مَصْدَرُ عَزَّرَ مِنَ الْعَزْرِ، وَهُوَ الرَّدُّ وَالْمَنْعُ
Maksudnya: “Al-Ta’zir pada bahasa ialah masdar daripada ‘azzara (عَزَّرَ), daripada al-’azr (الْعَزْرِ) iaitu menolak dan mencegah atau menghalang.”
Dikatakan juga memberi sokongan dan membantu kerana seseorang itu menolak musuhnya daripada untuk menyakitinya. Ta’zir juga dengan makna menguatkannya dan juga dengan makna mengakhlakkannya atau mendisiplinkannya. Ia termasuk daripada asma’ al-adhdad (nama-nama yang ada bertentangan makna). Dinamakan ‘uqubah atau hukuman dengan ta’zir kerana daripada sifatnya akan dapat menolak penjenayah dan menjarakkannya dari melakukan jenayah atau kembali kepada perbuatan tersebut.
Manakala Ta’zir (التَّعْزِيرُ) pada istilah ialah:
هُوَ عُقُوبَةٌ غَيْرُ مُقَدَّرَةٍ شَرْعًا، تَجِبُ حَقًّا لِلَّهِ، أَوْ لآِدَمِيٍّ، فِي كُل مَعْصِيَةٍ لَيْسَ فِيهَا حَدٌّ وَلاَ كَفَّارَةَ غَالِبًا.
Maksudnya: “Ta‘zir adalah hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya oleh syara‘, yang wajib sebagai hak bagi Tuhan atau manusia pada setiap maksiat yang tiada padanya hukuman hudud dan juga kaffarah pada ghalibnya.”
(Lihat al-Mabsut oleh al-Sarakhsi, 9/36; Fath al-Qadir, 7/119; Kassyaf al-Qina’, 4/72; al-Ahkam al-Sultaniyyah oleh al-Mawardi, hlm. 224; Nihayah al-Muhtaj, 7/72; seperti dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 12/254)
Al-Qalyubi menyebut, dhabit ini berdasarkan kepada ghalib. Kadang-kadang disyariatkan Ta’zir sedangkan tiada dikira maksiat seperti mendidik kanak-kanak dan orang kafir. Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 12/254)
Al-Mawardi menyebut:
وَالتَّعْزْيرُ: تَأْدِيْبٌ عَلَى ذُنُوبٍ لَمْ تُشْرَعْ فِيهَا الحُدُودُ
Maksudnya: “Ta’zir ialah (hukuman yang bersifat) pendidikan atas perbuatan dosa yang Syarak tidak menetapkan hukuman hadnya.” (Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 344)
Berdasarkan definisi ini, difahami bahawa ta’zir adalah suatu istilah untuk hukuman-hukuman atas jenayah yang hukumannya tidak ditetapkan oleh Syarak.
Syeikh ‘Abd al-Qadir ‘Audah dalam mendefinisikan Ta’zir menyebut:
وَالتَّعْزْيرُ: تَأْدِيْبٌ عَلَى ذُنُوبٍ لَمْ تُشْرَعْ فِيهَا الحُدُودُ ، أَيْ: هُوَ عُقُوبَةٌ عَلَى جَرَائِمَ لَمْ تَضَعِ الشَّرِيعَةُ لِأَيِّهَا عُقُوبَةً مُقَدَّرَةً
Maksudnya: “Ta’zir ialah pendidikan atas kesalahan-kesalahan yang tidak disyariatkan padanya hudud, iaitu hukuman atas jenayah-jenayah yang tidak ditetapkan oleh syariat hukuman yang tertentu.” (Lihat al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami oleh ‘Abd al-Qadir ‘Audah, 1/585)
Berdasarkan takrifan yang dikemukakan di atas, dapat difahami bahawa Ta’zir ialah hukuman terhadap sesiapa yang melakukan kejahatan dan hukuman itu tidak mempunyai ukuran tertentu sepertimana hukuman had dan kaffarah. Sebaliknya, hukuman had yang sudah ditentukan jenis dan jumlahnya itu terbahagi kepada tujuh jenis, iaitu zina, qazaf, meminum minuman keras, hirabah, murtad, pemberontakan dan mencuri.
Syeikh Muhammad Abu Zahrah pula dalam mendefinisikan Ta’zir menyebut:
التَّعْزِيرُ هُوَ العُقُوبَاتُ الَّتِي لَمْ يَرِدْ نَصٌّ مِنَ الشَّارِعِ بِبَيَانِ مِقْدَارِهَا وَتَرْكُ تَقْدِيرِهَا لِوَلِيِّ الأَمْرِ أَوِ الْقَاضِي الْمُجْتَهِدِ
Maksudnya: “Ta’zir ialah hukuman yang tidak datang nas daripada Syari’ dengan penjelasan mengenai kadar hukumannya, sebaliknya ditinggalkan kadarnya kepada Ulil Amri atau Qadhi yang mujtahid.” (Lihat al-Jarimah wa al-‘Uqubah oleh Abu Zahrah, hlm. 69)
Guru kami, Syeikh Mustafa Khin dan lain-lain menyebut dalam al-Fiqh al-Manhaji (5/227-228): “Ta’zir adalah suatu hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya oleh Syara’. Hukuman ini dijatuhkan oleh hakim yang beragama Islam dan adil, iaitu hukuman yang dirasakan boleh mencegah manusia melakukan perbuatan keji ini. Hukuman ini boleh dikenakan dalam bentuk sebatan, buang negeri, penjara atau kecaman. Ini kerana perbuatan seperti ini perbuatan maksiat yang tidak termasuk dalam kesalahan hudud dan tidak akan dikenakan kaffarah. Apabila hudud tidak dikenakan, kesalahan ini perlu dikenakan hukuman ta’zir.” (Lihat juga al-Mabsut, 9/36; Fath al-Qadir, 7/119; Kasyaf al-Qina‘, 4/72; al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 224; Nihayah al-Muhtaj, 7/72; al-Fiqh al-Manhaji, 8/62).
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma katanya:
لَيْسَ عَلَى الَّذِى يَأْتِى الْبَهِيمَةَ حَدٌّ
Maksudnya: “Tiada hukuman hudud bagi orang yang menyetubuhi haiwan.”
Riwayat al-Tirmizi (1455) dan Abu Daud (4465)
Mengikut jumhur ulama’, asal pada ta’zir adalah disyariatkan pada setiap maksiat yang tidak dikenakan hukuman hadd dan kaffarah. Tujuannya untuk mengislah dan membaikkan manusia. Al-Zaila’ie berkata, tujuan daripada ta’zir adalah pencegahan. Dinamakan juga dengan ta’zirat sebagai zawajir ghairu al-muqaddarah yang memberi maksud hukuman-hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya. (Lihat Tabyin al-Haqa’iq, 3/207)
Saya katakan, ta’zir juga sebahagian daripada hukum Allah yang diserahkan pelaksanaan dan kadar hukumannya kepada pemimpin setempat atau sesebuah negara. Ini berdasarkan pengamatan saya dari segi takrif ta’zir serta perbahasan para ulama’ berkenaan dengan ta’zir di dalam kitab-kitab Feqah.
Maksiat yang Disyariatkan Ta’zir
Perkataan maksiat memberi maksud perlakuan yang diharamkan atau meninggalkan yang difardukan. Ijma’ ulama’ dan fuqaha’ bahawa meninggalkan yang wajib atau melakukan yang haram adalah maksiat yang dikenakan ta’zir selama mana tiada di sana hukuman hadd yang telah ditetapkan. (Lihat Tabsirah al-Hukkam, 2/366-367; Mu’in al-Hukkam, hlm. 189; Kassyaf al-Qina’, 4/75; al-Siyasah al-Syar’iyyah oleh Ibn Taimiyyah, hlm. 55; dan al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 10)
Contoh kesalahan yang dikenakan ta’zir seperti:
- Enggan menunaikan zakat.
- Meninggalkan bayaran hutang ketika berkemampuan.
- Tidak menunaikan amanah.
- Tidak mahu memulangkan harta rampasan.
- Penjual menyembunyikan perkara yang wajib diberitahu seperti berbohong pada barang jualan yang ada aib yang tersembunyi. (Lihat Tabsirah al-Hukkam, 2/366; Mu’in al-Hukkam, hlm. 189; Kassyaf al-Qina’, 4/75; dan al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 210)
Pelaksanaan Ta’zir oleh Pemerintah
Ta’zir adalah hukuman yang diserahkan kepada pendapat pemerintah. Inilah pendapat Malikiyyah, Syafi’iyyah, Hanabilah dan yang rajih di sisi Mazhab Hanafi.
Pemerintah boleh menentukan hukuman ta’zir dengan meraikan serta melihat kesan jenayah dan penjenayah. Adapun meraikan kesan jenayah, para fuqaha’ telah menyebut dalam nas yang banyak. Antaranya:
Al-Astrusyani daripada Hanafiyyah berkata: “Sayugia qadhi atau hakim melihat kepada sebabnya. Jika sekiranya daripada jenis yang diwajibkan hadd dan tidak wajib dengan sebab terhalang, maka perlu ta’zir dilakukan pada tahap yang tertinggi. Sebaliknya jika bukan daripada jenis yang tiada wajib hadd, maka tidaklah perlu kepada tahap maksimum. tetapi diberi keputusan oleh pendapat imam atau pemerintah. (Lihat Fusul al-Astrusyani, hlm. 14)
Adapun meraikan keadaan penjenayah atau pesalah maka kata al-Zaila’ie, ia perlu dilihat kepada keadaan pesalah tersebut.
- Ada di kalangan mereka yang boleh dihukum dengan kadar minimum.
- Ada di kalangan mereka tidak mungkin dihukum kecuali dengan maksimum.
Justeru, Ibn Abidin berkata, ta’zir adalah khilaf berdasarkan keadaan manusia. Makanya, tiada makna dalam memberi penentuan sedangkan terhasil maksud selain daripadanya. Hukuman yang diserahkan kepada qadhi atau hakim hendaklah dilaksanakan berdasarkan kepada kefahaman tentang maslahat yang terdapat padanya. (Lihat Hasyiyah Ibn ‘Abidin, 3/183)
Al-Sindi berkata: “Seminimum ta’zir adalah mengikut apa yang diijtihadkan oleh pemerintah pada penjenayah dengan qadar diketahui bahawa pelaku jenayah akan takut dan tidak melakukan jenayah lagi kerana inilah asal maksud ta’zir. Justeru, keadaan manusia berbeza antara satu sama lain dalam mencegah jenayah. Ada di kalangan mereka akan menghentikan kesalahan dengan hanya beberapa beberapa sebatan dan dia berubah. Tetapi ada yang tidak endah dan meneruskan perlakuan maksiat kecuali dengan sebatan yang banyak. Justeru, kenyataan daripada Abu Yusuf: sesungguhnya ta’zir berlainan mengikut qadar kemampuan orang yang kena sebat. (Lihat Matalib al-Anwar oleh al-Sindi, 7/605; dan al-Fusul oleh al-Astrusyani, hlm. 18)
Pembahagian Ta’zir
Dalam jenayah Islam, Ta’zir boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu:
- Ta’zir atas perbuatan maksiat
Syeikh Abd al-Qadir ‘Audah menjelaskan bahawa, maksud perbuatan maksiat ialah: “Melakukan perbuatan-perbuatan yang diharamkan Syarak dan meninggalkan perbuatan-perbuatan yang diwajibkan oleh Syarak.” (Lihat al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami, hlm. 128) Berdasarkan takrifan ini, dapat dilihat bahawa pengertian maksiat itu adalah begitu luas, iaitu setiap yang diharamkan oleh Syarak daripada dilakukan, dan meninggalkan perbuatan yang diwajibkan Syarak. Namun, sekiranya nas telah menetapkan hukum hadd padanya, maka ta’zir tidak ada dalam perkara itu. Antara contoh ta’zir dalam kategori ini adalah seperti menyebarkan fitnah dan mencemarkan nama baik orang lain. Manakala dalam perkara meninggalkan perkara yang diwajibkan adalah seperti meninggalkan solat, zakat dan seumpamanya.
- Ta’zir bagi maslahat umum
Menurut Syeikh ‘Abd al-Qadir ‘Audah, bahawa perbuatan yang dihukum dengan hukuman Ta’zir itu tidaklah diharamkan disebabkan zatnya. Akan tetapi, ia diharamkan kerana sifatnya. Jika didapati padanya sifat yang diharamkan itu, maka perbuatan tersebut dibolehkan. (Lihat al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami, hlm. 128) Sifat yang dijadikan sebagai sebab untuk dihukum pelakunya adalah memudaratkan kepentingan umum atau peraturan umum. Ia dengan maksud peraturan umum yang dibuat oleh pemerintah. Maka, apabila seseorang melanggar peraturan tersebut, maka hakim atau penguasa boleh menghukum pelakunya dengan hukuman ta’zir yang sesuai dengan kesalahannya. Antara contoh ta’zir kategori ini adalah seperti menghukum orang yang melanggar lampu isyarat lalu lintas.
- Ta’zir bagi perbuatan yang makruh
Antara hukuman ta’zir dalam kategori ini ialah seperti menghukum orang yang memakan makanan yang berbau tidak sedap, mengambil harta kepunyaan ibu bapa dan sebagainya.
Perbezaan Hukuman Hadd dan Hukuman Ta’zir
Al-Qarafi dari kalangan ulama Malikiyyah menyebut sepuluh perbezaan antara hukuman hadd dan hukuman ta’zir dalam kitab al-Furuq (4/177). Sepuluh perbezaan tersebut adalah seperti berikut:
- Penentuan Bentuknya
Hukuman hadd dan qisas telah ditentukan dan ditetapkan bentuknya oleh Syarak, sama ada bentuk hukumannya mahupun jenis kategori kejahatannya. Sehingga seorang hakim tidak mempunyai kuasa dan autoriti untuk menentukannya sesuai dengan situasi dan keadaan pelaku kejahatan atau situasi dan keadaan kejahatan yang dilakukan.
Manakala hukuman ta’zir, maka penentuan bentuknya diserahkan kepada penilaian dan kebijaksanaan hakim untuk memilih bentuk hukuman atau denda yang layak dan sesuai dengan situasi dan keadaan orang yang didakwa, keperibadiannya, sejarahnya, rekod jenayahnya, tahap keberkesanan suatu hukuman terhadap dirinya, tahap keadaan kejahatannya dan seberapa jauh kesan kejahatan itu terhadap masyarakat.
Akan tetapi, perlu dicatat bahawa kuasa dan autoriti penentuan masalah hukuman ta’zir yang diberikan kepada hakim ini memiliki batasan dan peraturan-peraturan yang mesti diperhatikan dan dipenuhi. Antara batasan dan peraturan tersebut yang terpenting adalah, memilih di antara bentuk-bentuk hukuman ta’zir yang diakui oleh Syarak yang menurut penilaiannya sesuai dan tepat untuk dijatuhkan terhadap kes-kes yang dilaporkan kepadanya dan kes-kes itu termasuk kategori perbuatan maksiat. Lebih daripada itu, seorang hakim Muslim hendaklah seorang yang sangat adil.
Bahkan menurut ulama Malikiyyah, ulama Syafi’iyyah dan ulama Hanabilah, seorang hakim hendaklah orang yang sudah mencapai tingkatan seorang mujtahid. Dengan begitu, jelas bahawa kuasa dan autoriti yang diberikan kepada hakim tersebut bukanlah kuasa yang bebas tanpa ada batasan dan kawalan, atau kuasa yang tidak memberikan pelbagai jaminan terhadap mereka yang didakwa, atau kuasa yang berpotensi merugikan pihak didakwa meskipun itu akibat kesalahan atau ketidaktahuan hakim, jika memang tidak kerana sikapnya yang berpihak, berat sebelah dan tidak neutral atau kerana kezalimannya.
Meskipun begitu, dalam hal ini, negara boleh sahaja membuat dan mengesahkan suatu undang-undang hukum jenayah yang mengatur segala hal yang berkaitan dengan tindakan jenayah dan hukuman ta’zirnya, untuk seterusnya dijadikan sebagai buku garis panduan bagi para hakim. Kerana menurut hukum asal, kuasa dalam menentukan bentuk hukuman ta’zir adalah diberikan kepada pemerintah, iaitu ketua negara jika dia ialah orang yang mencapai tingkat mujtahid dan terus menangani sendiri autoriti pengadilan. Sehingga apabila autoriti pengadilan dipegang oleh para hakim mewakili ketua negara, maka dalam menjalankan kekuasaannya itu, para hakim tersebut hendaklah berpandukan kepada aturan undang-undang yang dibuat dan disahkan oleh ketua negara.
- Pelaksanaan
Hukuman hadd dan qisas ketika pewaris mangsa tidak memberikan keampunan, maka pemerintah wajib melaksanakannya. Di dalamnya tidak boleh ada pengampunan, pembebasan (ibra’), memintakan ampun (syafa’at) dan pengguguran walau atas apa jua alasan.
Adapun hukuman ta’zir, maka terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama’. Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad (jumhur) menyatakan, bahawa apabila hukuman ta’zir itu adalah untuk hak Allah SWT, maka wajib dilaksanakan sama seperti hukuman hadd, kecuali jika menurut sangkaan kuat penguasa, bahawa hukuman selain sebat seperti dengan teguran keras dan perkataan sudah mampu memberikan kemaslahatan. Dengan erti kata lain, bahawa hukuman ta’zir apabila itu adalah kerana hak Allah SWT (hak masyarakat umum), maka penguasa tidak boleh meninggalkannya, tetapi wajib melaksanakannya. Akan tetapi, di dalamnya boleh ada pemberian ampunan dan memintakan keampunan jika memang ada suatu kemaslahatan menghendaki hal itu, atau pelaku sudah serik tanpa perlu dihukum ta’zir.
Adapun hukuman ta’zir yang berkait dengan hak individu, maka individu yang menjadi mangsa boleh memberi ampunan atau menuntut selain hukuman ta’zir. Hal ini bergantung pada adanya laporan kepada pengadilan. Akan tetapi, apabila mangsa menuntut dilaksanakan hukuman ta’zir, maka penguasa hendaklah melaksanakannya, tidak boleh memberikan ampunan dan tidak boleh menggugurkannya.
- Penyesuaian dengan Prinsip Dasar atau Kaedah Umum
Hukuman ta’zir disesuaikan dengan prinsip dasar atau kaedah umum yang menetapkan bentuk hukuman ta’zir yang dijatuhkan berbeza-beza sesuai dengan kejahatan yang dilakukan. Adapun hukuman hadd, sifatnya tetap dan pasti, tidak berbeza-beza disebabkan perbezaan ukuran dan tingkat keseriusan kejahatan yang dilakukan. Hal ini berdasarkan bukti bahawa dalam kes pencurian, Syarak menyamakan antara pencurian harta yang sedikit seperti hanya satu dinar dengan pencurian harta yang banyak seperti seribu dinar misalnya.
- Pengkategorian Pelanggaran yang Dilakukan Sebagai Kemaksiatan ataukah Tidak
Hukuman ta’zir adalah satu pendisiplinan (ta’dib) yang kewujudannya mengikuti mafsadah (kerosakan) yang ditimbulkan. Dalam banyak kes, sering kali hukuman ta’zir dijatuhkan tanpa ada perbuatan kemaksiatan, seperti ta’zir yang dilakukan dalam usaha mendisiplinkan dan memperbaiki perilaku kanak-kanak kecil, binatang dan orang gila, kerana apa yang mereka lakukan tidak dikategorikan sebagai kemaksiatan.
Adapun hukuman hadd, tidak dijalankan kecuali pada kes perbuatan yang termasuk dalam kategori kemaksiatan berdasarkan hasil pengamatan dan pemerhatian yang dilakukan.
- Gugurnya Hukuman
Hukuman ta’zir terkadang boleh gugur walaupun kita berpegang pada pendapat yang menyatakan bahawa pelaksanaan hukuman ta’zir adalah wajib bagi pemerintah. Seperti jika pelakunya adalah kanak-kanak kecil, atau pelakunya adalah orang mukallaf, namun pelanggaran yang dilakukannya adalah satu pelanggaran yang remeh, yang jika dijatuhkan hukuman, maka tidak mewujudkan apa yang dikehendaki dari hukuman yang dijatuhkan itu. Ini kerana, jika dijatuhkan hukuman yang ringan, maka hal itu tidak dapat memberi kesan pencegahan. Namun, jika dijatuhkan hukuman berat, maka itu pula tidak boleh dilakukan kerana kes kejahatan yang dilakukannya adalah kejahatan yang remeh.
Adapun hukuman hadd, jika memang statusnya sudah wajib dan tetap, walaubagaimana sekalipun ia tetap wajib dilaksanakan dan sama sekali tidak boleh gugur disebabkan apa sahaja alasan.
- Kesan dan Pengaruh Taubat
Sesungguhnya hukuman ta’zir boleh gugur kerana pelaku bertaubat, dan di sini tidak diketahui adanya perbezaan pendapat. Adapun hukuman hadd, sebagaimana yang akan saya jelaskan, maka tetap tidak dapat gugur kerana taubat berdasarkan pendapat yang sahih menurut jumhur ulama’ selain ulama’ Hanabilah, kecuali dalam kes kejahatan hirabah (merompak), kerana dalam ayat hirabah, Allah SWT berfirman:
إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن قَبْلِ أَن تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ ۖ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Ma’idah: 34)
- Pilihan
Hukuman ta’zir mengandungi beberapa pilihan secara mutlak. Adapun hukuman hadd, maka tidak ada pilihan di dalamnya kecuali hukuman hadd dalam kejahatan hirabah (merompak).
- Memperhatikan dan Mempertimbangkan Hal-Hal yang Meringankan
Sesungguhnya bentuk dan tahap hukuman ta’zir boleh berbeza-beza bergantung kepada keadaan pelaku, mangsa dan bentuk kejahatannya. Dengan maksud, bentuk hukuman ta’zir boleh berbeza-beza bergantung kepada individu yang terkait dan kejahatannya. Oleh sebab itu, dalam menjatuhkan keputusan hukuman ta’zir, hendaklah memerhatikan dan mempertimbangkan besar dan kecilnya kejahatan yang dilakukan, keadaan pelaku dan mangsa.
Manakala hukuman hadd, bentuknya tetap dan tidak berbeza-beza disebabkan perbezaan pelaku. Keadaan dan hal-hal yang meringankan tidak memberi sebarang pengaruh terhadap kejahatan yang ancaman hukumannya adalah hadd atau qisas.
- Memperhatikan dan Mempertimbangkan Tempat dan Waktu Berlakunya Kejahatan
Sesungguhnya bentuk hukuman ta’zir boleh berbeza-beza sesuai dengan masa dan tempat. Hukuman ta’zir di suatu daerah, boleh jadi di daerah lain pula sebaliknya dianggap sebagai bentuk penghormatan.
- Hak Allah SWT dan Hak Hamba
Hukuman ta’zir itu ada dua jenis, ada hukuman ta’zir yang dijatuhkan bagi memenuhi hak Allah SWT seperti perbuatan kejahatan terhadap para sahabat, kejahatan terhadap al-Quran, dan pelbagai bentuk penghinaan terhadap kemuliaan-kemuliaan agama Islam yang lain. Ada juga hukuman ta’zir yang dijatuhkan bagi memenuhi hak hamba, yakni hak individu, seperti menghina seseorang, memukul dan sebagainya.
Adapun hukuman hadd, menurut para imam mazhab yang ada, semuanya merupakan hak Allah SWT, kec,uali hukuman hadd untuk kejahatan qazaf, maka di dalamnya terdapat perbezaan pendapat. (Lihat juga al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, 7/223-227)
Sejarah Pelaksanaan Undang-Undang Islam di Terengganu dan Sarawak
Di Terengganu, seawal zaman pemerintahan Sultan Umar (1837), baginda telah melaksanakan undang-undang jenayah Islam, di mana hukuman rejam dan potong tangan telah dilaksanakan bagi kesalahan-kesalahan hudud. (Lihat Expedition: Terengganu and Kelantan oleh Hugh Clifford, dalam Journal oleh Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (JMBRAS), Jld. 34, Part 1, hlm. 107)
Selain itu, di Sarawak juga telah menyaksikan pelaksanaan undang-undang Islam sebelum kedatangan Brooke lagi. Charles Brooke dalam satu pernyataannya – meskipun dalam bentuk sindiran – jelas menggambarkan bahawa pelaksanaan undang-undang Islam pada zaman tersebut, katanya:
“..and at present are only practised in very ignorant and base Mahommedan Governments; such as the deprivation of fingers for the crime of theft, deliberately making it difficult or impossible for the criminal ever after to earn an honest livelihood.”
Maksudnya: “…dan pada masa ini, hanya diamalkan dalam kerajaan Islam yang sangat jahil dan rendah, seperti pemisahan jari bagi jenayah mencuri, yang dengan sengaja menjadikannya sukar atau mustahil bagi penjenayah itu untuk mencari nafkah yang jujur selepas itu.” (Lihat Ten Years in Sarawak oleh Brooke, 2/321; dalam Sejarah dan Perkembangan Pentadbiran Islam pada Era Pemerintahan Brooke di Sarawak dalam Journal oleh al-Tamaddun, Vol. 17(2), 2022, hlm. 53-70)
Selain itu, Hugh Low juga menyebut berkenaan hukuman hudud potong tangan terhadap pencuri serta hukuman qisas dengan pembunuhan dibalas dengan dibunuh seperti berikut:
“… Formerly the slightest and most paltry theft, if, during the supremacy of the native rajahs, the culprit had no powerful friend to protect him, was punished by the loss of his hand; … Murder is, at present, the only crime in Sarawak punishable with death; …”
Maksudnya: “Dahulu, walaupun pencurian yang paling kecil dan remeh, jika semasa pemerintahan Rajah[11] tempatan, orang yang bersalah tidak mempunyai rakan yang berpengaruh untuk melindunginya, akan dihukum dengan kehilangan tangannya;..Pembunuhan adalah, pada masa ini, satu-satunya jenayah di Sarawak yang boleh dihukum dengan hukuman mati.” (Lihat Sarawak: Its Inhabitants oleh Hugh Low, hlm. 133; dalam Journal oleh al-Tamaddun, hlm. 53-70)
Undang-Undang Kerajaan Melayu Islam Dahulu
Hakikat keteguhan kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu/Islam yang tegak berdiri sejak berabad-abad lamanya ini diperkukuhkan lagi dengan pemakaian kanun-kanun Negeri-Negeri Melayu (Malay Digest) yang berlandaskan hukum Syarak.
Bahkan di dalam mukadimah Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan Perak tercatat bahawa sebuah negara akan aman damai sekiranya pemerintah mengamalkan dasar pemerintahan dan perundangan yang berlandaskan Quran
“Jika didirikan hukum Quran dengan hukum undang-undang di dalam sebuah negeri nescaya amanlah isi negeri itu. Maka barangsiapa tiada mengikut hukum seperti yang tersebut di dalam undang-undang, maka orang itu duduk di luar negeri, diam dalam hutan. Maka amanlah orang memerintah negeri. Jika tiada mau memakai undang-undang dan hukum Quran, maka tersebut di dalam undang-undang orang itu tiada boleh memegang perintah di dalam negeri.”
Jelas kepada kita bahawa adat dan hukum kanun yang berteraskan syariat Islam bukanlah sesuatu yang baru diperkenalkan di negeri-negeri Melayu, bahkan ia jauh lebih lama menjadi law of the land berbanding undang-undang Inggeris yang dibawa masuk oleh Francis Light ke Pulau Pinang menerusi apa yang dikenali sebagai Piagam Keadilan pertama hanya pada tahun 1807.
Pandangan Tokoh Barat tentang Perundangan Islam
Sesungguhnya keistimewaan perundangan Islam ini telah disedari oleh mereka yang mengkaji dan menelitinya sama ada dari kalangan orang Islam sendiri mahupun bukan Islam dari barat. Antara tokoh barat yang mengakui akan keistimewaan perundangan Islam ini, antaranya:
- Moris dari Perancis menyebut: “Sesungguhnya al-Quran adalah sebaik-baik kitab yang dikeluarkan oleh ‘inayah ketuhanan kepada anak Adam dan sebenarnya ia sebuah kitab yang tidak ada sebarang prasangka.”
- Henry de Costrie pula berkata: “Bahawasanya al-Quran menawan fikiran dan lubuk hati manusia, dan ia telah diturunkan kepada Muhammad yang membuktikan kebenaran risalahnya.”
- Alex Loison berkata: “Muhammad telah meninggalkan kepada dunia sebuah kitab yang menjadi lambang keindahan bahasa dan sastera, serta dasar akhlak, iaitu kitab suci dan tidak ada masalah-masalah ilmiah yang baru dibongkar atau penemuan-penemuan baru yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam. Maka terbuktilah persesuaian yang sempurna antara pengajaran al-Quran dengan undang-undang alam.”
- Gothe, seorang penyair barat yang terkenal berkata: “Bahawa pengajaran-pengajaran al-Quran adalah praktikal dan selaras dengan keperluan-keperluan pemikiran.” (Lihat Manusia dan Islam oleh Dr. Haron Din, hlm. 426)
- Tokoh ilmuwan Barat, George Bernard Shaw menulis dalam bukunya ‘Genuine Islam’: “Muhammad adalah manusia agung yang pernah dilahirkan ke dunia. Beliau membawa satu agama, mendirikan sebuah bangsa, meletakkan dasar-dasar moral, memulakan banyak pergerakan pembaharuan sosial dan politik serta juga berjaya mendirikan masyarakat yang kuat dan berdaya dinamik bagi melaksanakan dan mewakili ajarannya.”
- (Snouck) Hurgronje berkata: “Dunia telah banyak mengenal konsep ketuhanan, telah banyak individu yang hidup dan misinya lenyap menjadi legenda. Sejarah menunjukkan tiada satu pun legenda ini yang menyamai bahkan sebahagian daripada apa yang Muhammad capai. Seluruh jiwa raganya Baginda curahkan untuk satu tujuan: menyatukan manusia dalam pengabdian kepada Tuhan dalam aturan-aturan ketinggian moral. Muhammad atau umatnya tidak pernah dalam sejarah menyatakan bahawa Baginda adalah anak Tuhan atau seorang jelmaan Tuhan, Baginda sejak dahulu sampai saat ini menganggap dirinya dan dianggap oleh umatnya sebagai seorang pesuruh yang dipilih Tuhan.”
- Sarojini Naidu berkata: “Inilah agama pertama yang mengajar dan mempraktikkan demokrasi; di setiap masjid, ketika azan dikumandangkan dan jemaah telah berkumpul, demokrasi dalam Islam terwujud lima kali sehari ketika seorang hamba dan seorang raja berlutut bersujud dan mengakui: Allah Maha Besar.” (Lihat juga Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 272)
Kehebatan Undang-Undang Islam telah dibahaskan secara terbuka di pelbagai persidangan antarabangsa yang terus menzahirkan keunggulan Syariat Islam dan undang-undangnya.
Seorang tokoh murabbi (pendidik) Islam yang terkenal, Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dipetik sebagai menulis di dalam bukunya, al-Madkhal Ila al-Syari`ah al-Islamiyyah:
“Memadailah kita memetik rumusan beberapa kongres antarabangsa yang diadakan pada kurun lepas, (untuk membuktikan perlunya kita kembali kepada fitrah agama) iaitu:
Kongres antarabangsa yang membincangkan mengenai undang-undang perbandingan yang diadakan di Bandar Lahai pada tahun 1938.[12]
Pihak Universiti Azhar juga diundang menyertai kongres tersebut, di samping dua orang wakil ulama bagi membincangkan “Tanggungjawab Kemajuan dan Jenayah dalam Syariat Islam” dan “Fiqh Islam Yang Bebas Dan Tidak Terpengaruh Dengan Undang-Undang Roman”.
Kongres itu meninggalkan pengaruhnya mengenai ketentuan sejarah yang penting dengan adanya perkaitan tokoh undang-undang barat. Di dalamnya ada menyebut mengenai:
- Syariat Islam dianggap sebagai salah satu sumber rujukan syariat umum;
- Islam adalah syariat yang hidup yang boleh menerima segala perkembangan; dan
- Syariat Islam adalah syariat yang tulen, bukan yang diambil dari syariat lain.
Di bandar yang sama pada tahun 1948, diadakan satu Kongres Peguam Bela Antarabangsa yang dihadiri oleh 53 buah negara dunia. Antara yang hadir juga adalah segolongan professor dan peguambela dari pelbagai bangsa serta daerah.
Pada tahun 1950, peguam bela daripada bahagian timur dari Bahagian Undang-undang Perbandingan Antarabangsa telah mengadakan kongresnya bagi membahaskan fiqh Islam di fakulti undang-undang di sebuah universiti di Perancis sempena Minggu Fiqh Islami.
Ia dihadiri oleh Professor Fakulti Undang-undang, peguambela berbangsa Arab, Perancis dan lain-lain. Beberapa wakil universiti termasuk Universiti al-Azhar serta golongan orientalis menghadirinya.
Perbincangan mereka tertumpu kepada 5 persoalan mengenai fiqh yang telah ditentukan oleh kesatuan antarabangsa tersebut iaitu:
- Hak milik perseorangan.
- Hak milik umum.
- Tanggungjawab jenayah.
- Pengaruh sebahagian mazhab kemasyarakatan kepada yang lalai.
- Teori riba dalam Islam.
Berdasarkan kepada hasil yang didapati daripada beberapa pembentangan ketika berlangsungnya Minggu fiqh Islami, resolusi yang dipersetujui adalah:
- Tidak dapat disangkal bahawa segala dasar fiqh Islami mempunyai nilai perundangan.
- Perselisihan pandangan mazhab fiqh menunjukkan kefahaman dan bahan maklumat sentiasa berkembang. Prinsip undang-undang Islam di antara yang menakjubkan dengan fiqh Islam pasti dapat menyahut semua tuntutan kehidupan moden.
- Kongres antarabangsa tersebut menunjukkan bahawa syariat itu bersesuaian, boleh diperbaharui serta memberi, lengkap serta kekal sepanjang zaman.
Rumusan di atas menunjukkan penerimaan tokoh-tokoh Islam dan bukan Islam terhadap Syariat Islam sebagai sebuah sistem perundangan yang sah. Ini juga menunjukkan sistem perundangan Islam juga tidak bersifat kaku dan literal, tetapi fleksibel dan menyeluruh di dalam perlaksanaannya kerana dipandukan oleh nilai-nilai sejagat yang boleh difahami oleh sesiapa pun yang memiliki fitrah yang sihat.
Perbincangan untuk menghalusi proses perlaksanaan itu amatlah digalakkan dan diraikan juga sumbangan ahli intelektual yang bukan Islam.
Pendapat Tokoh Berkenaan Isu Mahkamah Syariah dan Taqnin
Ramai tokoh membincangkan isu ini yang betapa pentingnya memperkasakan undang-undang Islam dengan sistem kehakiman dan pengkanunan yang berfungsi dan kuat. Antaranya ialah:
Pertama: Syeikh Dr. Yusuf al- Qaradhawi
Secara ringkasnya beliau menegaskan bahawa kita mestilah meraikan semua faktor dan ke arah itu jika mahu melaksanakan qanun bersumberkan Syariah Islamiah dengan melihat kepada Syariah, Feqahnya dan keperluan semasa yang sentiasa baru serta permasalahan pelbagai. Ini memerlukan kepada membentuk generasi ulama yang menghimpunkan thaqafah syar’iyyah bertunjangkan sumber utama bergabung dengan thaqafah qanuniyyah yang moden yang ketika itu mereka mampu mentajdidkan feqah tanpa hilang asolah dan keasliannya. (Lihat al-Madkhal li Dirasat al-Syari’ah al-Islamiyyah, hlm. 263)
Kedua: Syeikh Abdullah bin Mahfuz Bin Bayyah
Beliau menyokong usaha ke arah taqnin fiqh tetapi dalam ruang lingkup yang lebih sesuai dengan tuntutan semasa. Ini berdasarkan pengalamannya sebagai Menteri Undang-Undang Mauritania dalam mengendalikan penggubalan undang-undang keluarga di sana.[13]
Ketiga: Para ulama muktabar yang bersetuju dengan taqnin:[14]
Ramai tokoh ulama dunia pada kurun ini bersetuju dengan taqnin dan juga mahkamah syariah untuk diperkasakannya. Antaranya:
- Syeikh Allamah Mustafa al-Zarqa’ yang merupakan ulama besar Syam.
- Syeikh Muhammad Abu Zahrah. Beliau merupakan tokoh ulama besar al-Azhar.
- Syeikh Ali ’Muhammad al-Khafif yang merupakan mantan ulama besar al-Azhar.
- Syeikh Rashid Khunain, iaitu mantan ahli Kibar Ulama Saudi.
- Syeikh Abdullah Khayyat yang merupakan mantan Imam Masjid al-Haram.
- Syeikh Abdullah bin Mani’, iaitu mantan Ahli Kibar Ulama Saudi.
- Syeikh Abdul Majid bin Hassan yang juga mantan Ahli Kibar Ulama Saudi.
- Syeikh Soleh bin Ghusun yang merupakan mantan Qadhi Masyhur di Saudi.
Perkara ini bertepatan dengan kaedah:
مَا لاَ يَتِمّ الوَاجِبُ إلاّ بِهِ فهُوَ وَاجبٌ
Maksudnya: “Sesuatu yang menyebabkan tidak sempurna kewajipan kecuali dengan sesuatu perkara, maka perkara itu menjadi wajib.” (Lihat al-Mustasfa fi Ilmi al-Usul, 2/92)
Kaedah ini signifikan dengan isu di tangan bahawa penubuhan Mahkamah Syariah dan taqnin yang berfungsi itu wajib bagi menegakkan keadilan.
Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Dato’ Haji Zainul Rijal Bin Abu Bakar dipetik daripada tulisannya dalam akhbar Sinar Harian pada 26 Ogos 2016: “Sudah tiba masanya pengamal undang-undang di Malaysia mengakui hakikat bahawa Islam adalah sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia. Malah rakyat bukan Islam juga mengakui hakikat ini. Marilah sama-sama kita menginjak paradigma ke arah melaksanakan undang-undang lazim Islam yang lebih sesuai dan adil kepada masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.”
Syor dan Cadangan
Mengambil kesempatan dalam isu yang dibahaskan ini, saya kemukakan beberapa syor bagi menamatkan polemik ‘pertembungan’ sivil dan syariah dalam isu perundangan di Malaysia.
- Keperluan mendesak dan segera dalam mentaqninkan undang-undang Islam. Sejarah menunjukkan, sudah ada taqnin dalam Islam sejak sekian lama. Antaranya seperti Majallah al-Ahkam al- ‘Adliyyah ketika era Kerajaan Uthmaniyyah di bawah teraju Sultan Abdul Hamid II (1876-1908). Malah, manual ini telah dibawa kepada Kerajaan Johor pada tahun 1893 semasa pemerintahan Sultan Johor Abu Bakar (1862-1895) dalam bahasa Arabnya dan kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan tulisan Jawi semasa pemerintahan Sultan Ibrahim (1895-1959) di 1913. Terjemahan telah dilakukan oleh Mufti Johor dan ia dikenali sebagai Majalah Ahkam Johor.
- Wajib menghilangkan segala bentuk syubhah dan salah faham terhadap undang-undang Islam yang dimomokkan oleh musuh Islam sehingga dilihat sebagai barbarian, zalim, kejam serta penindasan yang melampau, sebaliknya undang-undang yang diciptakan oleh manusialah yang terdedah kepada kezaliman dan melampau. Satu contoh yang paling mudah, beza antara sebatan sivil dan sebatan syariah. Dalam hal ini, sudah pasti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu mengambil langkah proaktif dengan kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri. Saya yakin, isu ‘fear of the unknown’ masih kuat dalam kalangan bukan Muslim terutamanya ahli politik bukan Muslim.
- Usaha meminda peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh perlu terus digiatkan terutamanya pada perkara-perkara yang menyekat undang-undang syariah untuk dilaksanakan secara lebih sistematik dan tersusun kepada orang Muslim. Ini termasuk Istilah-istilah terkait dengan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu diberikan definisi yang muktamad. Bagi Mahkamah Sivil, sesuatu perbuatan akan menjadi jenayah jika menyalahi undang-undang dibuat pemerintah, namun bagi hukum syarak jenayah itu adalah perbuatan yang dilarang Allah. Sebagai contoh, undang-undang sivil meletakkan kesalahan judi jika individu berjudi di tempat tidak dilesenkan namun bagi hukum syarak, judi dilarang di mana-mana sahaja tanpa mengira tempat. Bagi kes zina, mereka yang berusia 16 tahun ke atas tidak dikira melakukan kesalahan jika zina terjadi atas kerelaan hati dan bukan terpaksa. Ini berbeza dengan hukum syarak.
- Ahli politik Muslim tanpa mengira parti perlu terus menyuarakan hal ini di dalam Dewan Rakyat dan mendesak agar usul ini dibahaskan dengan terperinci. Saya pernah menyeru untuk pelaksanaan diyat dalam sistem perundangan Malaysia dan saya tetap komited dengan cadangan berkenaan. Rujuk https://zulkiflialbakri.com/3-ke-arah-pelaksanaan-diyat-dalam-sistem-perundangan-malaysia/
-
Dengan kepakaran yang ada dalam kalangan pengamal undang-undang, hakim-hakim dan bekas hakim, peguam, pensyarah dalam bidang undang-undang, maka sudah tentu, penggubalan yang dilakukan bukan lagi bermula daripada ‘A’, tetapi, ia seharusnya bermula daripada ‘U’ untuk sampai kepada ‘Z’ dengan pantas. Kemudahan mutakhir ini serta rujukan dengan cukup cepat dan mudah melalui capaian internet yang boleh diakses melalui Google dan seumpamanya menyebabkan penggubalan undang-undang boleh dilakukan dengan pantas. Bak kata pepatah Melayu: “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.”
Saya cukup yakin, sebagai orang Islam yang mengucap kalimah syahadah, dan beriman dengan segala rukun iman termasuklah kepercayaan yang tinggi lagi utuh kepada al-Quran al-Karim yang wajib diimani dan dihayati adalah semestinya difahami oleh semua pihak. Semoga suatu masa nanti, Malaysia dapat melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya dalam mencari mardhatillah sehingga negara dinobatkan sebagai negara yang berkat dan menjadi Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur.
Suatu ketika, semasa lawatan guru yang kami kasihi ke Malaysia, iaitu Fadilatu al-Syeikh al-Allamah Dr. Wahbah al-Zuhaili,[15] saya bersama dengannya di dalam sebuah kereta. Lalu saya bertanya kepadanya: “Wahai Syeikh, dalam hidup ini, dengan apa yang Syeikh telah perolehi, apa lagi yang dimahukan?” Jawabnya: “Saya hanya mempunyai dua lagi hajat. Semoga ianya dapat dilaksanakannya. Pertamanya, saya mahu solat di Masjid al-Aqsa dalam keadaan ia terbebas dari belenggu cengkaman Zionis. Keduanya, saya mahu melihat undang-undang Islam ditegakkan di muka bumi ini sebelum saya menghembuskan nafas saya yang terakhir.”
Tetapi kedua-dua hasrat tersebut tidak kesampaian kerana Syeikh telah meninggal dunia. Namun, sekurang-kurangnya beliau telah meninggalkan sebuah cita-cita yang mulia dan murni untuk agamanya.
Samada disatukan mahkamah syariah dan mahkamah sivil, atau apa jua cadangan lain yang pernah diutarakan oleh tokoh-tokoh perundangan tanah air, saya melihat ia perlu dimulakan dengan langkah yang jelas oleh pihak Kerajaan disamping semak-imbang pihak Pembangkang dalam empat isu yang saya utarakan di atas.
Penutup
Kadangkala kita bersusah payah cuba memenangi hati orang dengan pelbagai kemahiran tetapi akhirnya mereka menjauhkan diri daripada kita. Hal ini biasanya terjadi disebabkan kurangnya kemahiran dalam berbincang dan berhujah. Satu peringatan yang sering saya semat dalam hati, ‘Kebijaksanaan adalah bukan untuk memenangi perbalahan tetapi untuk mengelakkannya.’
Syeikh Muhammad Ali al-Sais menyebut bahawa perundangan Islam tegak di atas tiga dasar iaitu tiada kesulitan (‘adam al-haraj), sedikit bebanan (qillatu al-takalif) dan beransur-ansur (al-tadarruj) dalam perundangan. Manakala Dr. Muhammad Yusuf Musa pula menyatakan tiga asas iaitu tiada kesukaran, menghindarkan kesusahan dan memelihara maslahat manusia seluruhnya termasuklah melaksanakan keadilan sejagat.
Kita semua boleh bersetuju dalam soal asolah dan thawabit (perkara dasar dan prinsip) tetapi cabaran yang utama ialah soal pendekatan dan cara penyampaian. Justeru perlu ada satu anjakan paradigma dan tindakan yang pro-aktif dalam usaha pendekatan Islam kepada umat Islam sendiri dan juga kepada bukan Islam. Kaedah ini merangkumi soal mesej, kaedah, medium penyampaian, pendekatan, dan keutamaan yang dinyatakan.
Sekali lagi saya nyatakan bahawa isu taqnin di Mahkamah Syariah adalah amat penting. Pernah dalam satu lawatan seorang ulama yang terkenal, almarhum Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili satu ketika dahulu di mana berlaku satu perbincangan antara saya dan bersama beberapa tokoh ilmuan Islam yang berpengaruh di Malaysia. Ketika itu, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili membangkitkan keperluan dan kepentingan untuk ditaqninkan[16] hukum berkaitan kehidupan umat Islam. Ini kerana peri pentingnya satu sistem kehakiman dan mahkamah yang berasaskan kepada mendaulatkan undang-undang dan keadilan.
Kembali kepada fitrah yang diperintahkan Allah kepada kita sebagai khalifah-Nya di muka bumi, maka sewajarnya pensyariatan juga mengikut kehendak-Nya. Allah SWT menyebut dengan firman-Nya yang tegas:
أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ
Maksudnya: “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan – mana-mana bahagian dari agama mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?”
(Surah al-Syura: 21)
Al-Syaukani berkata: Firman Allah: ‘ أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ’, yakni dalam bentuk kesyirikan dan kemaksiatan. Sehingga mereka menjerumuskan para pengikut mereka dalam kebingungan tentang urusan agama. (Lihat Fath al-Qadir, 4/332)
Jelas menunjukkan kepada kita di sini bahawa mencipta undang-undang dan menggubalnya, jika sekiranya bertentangan dengan yang termaktub dalam al-Quran dan juga hadith yang sahih, maka ia termasuk dalam larangan dan ancaman yang tidak diizinkan sama sekali. Justeru, seolah-olah sekutu kepada yang lain, selain daripada Allah dan ia merupakan satu kesesatan yang nyata.
Sebagaimana Allah SWT ciptakan kita dan segala perkara di muka bumi ini untuk kemudahan kita seperti firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Begitu juga, Allah menciptakan undang-undang-Nya untuk manusia ketahui di mana manfaat serta maslahat diperolehi oleh manusia jika mengikutinya. Sebaliknya, jika mengingkari dan menentangnya, maka digantikan dengan mafsadah atau mudarat yang melanda kehidupan manusia dan ia merupakan bencana yang dapat dilihat serta disaksikan oleh kita semua.
Saya teringat ucapan Ignaz Goldziher, salah seorang orientalis terkemuka, ketika ditanya: “Berapa ramaikah orang yang telah ditarik di kalangan orang Islam untuk murtad?” Katanya: “Tiada seorang pun. Tetapi aku telah berjaya menjarakkan orang Islam daripada agamanya dan pegangan agamanya al-Quran dan al-Hadith.” Itulah ucapannya yang menggambarkan betapa jaraknya kita dari al-Quran dan Islam yang sebenar dengan kelekaan seperti hiburan yang melampau, permainan yang melalaikan sehingga akhirnya Islam menjadi sejuzuk yang kecil dalam kehidupan.
Al-Quran dianggap hanya untuk akhirat, tetapi dalam masalah keduniaan, seolah-olah Islam tiada tempat padanya, dan jika diberikan pun, seakan-akan kasta kedua. Kita tetap beriman dengan firman Allah SWT:
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ ۚ فَمَا جَزَاءُ مَن يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰ أَشَدِّ الْعَذَابِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Baqarah: 85)
Syeikh al-Sa’di berkata: Ayat ini adalah dalil bahawasanya keimanan itu menuntut pelaksanaan perintah dan menjauhi larangan, dan bahawasanya hal-hal yang diperintahkan itu adalah di antara keimanan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/88)
Marilah sama-sama kita beristiqamah untuk mengikut jalan Rasulullah SAW sebagai qudwah dan uswah dalam kehidupan kita. Sesungguhnya dengan berpegang teguh kepada kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya dengan cara beramal serta mengikut dengan penuh redha dan keikhlasan yang puncak, insya Allah kita tidak akan sesat selama-lamanya.
Daripada Malik bin Anas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Maksudnya: “Aku telah tinggalkan buat kamu semua dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kamu berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.”
Riwayat Imam Malik di dalam al-Muwatta’ (3). Isnad hadith ini dinyatakan sebagai hasan dalam Manzilah al-Sunnah (13)
Saya akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.
(Surah al-Baqarah: 286)
____________
Nota Hujung:
[1] Lihat hantaran di Facebook Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di pautan berikut: https://www.facebook.com/photo?fbid=855206809299830&set=a.350961289724387 . Diakses pada: 19.2.2024
[2] Lihat Kenyataan Media 09.02.2024- BKA-2-05/2022(D) Nik Elin Zurina binti Nik Abdul Rashid & 1 lagi v Kerajaan Negeri Kelantan. Pautan: https://www.kehakiman.gov.my/ms/node/1570 . Diakses pada: 19.2.2024
[3] Dalam istilah bahasa Melayu, ambiguiti bermaksud kesamaran atau ketidaktentuan yang memungkinkan dua tafsiran dibuat terhadap sesuatu. (Lihat Pusat Rujukan Persuratan Melayu, pada perkataan ambiguiti. https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=ambiguiti. Diakses: 19.2.2024)
[4] Lihat hantaran di Facebook Selangor Royal Office. Pautan: https://www.facebook.com/selangorroyaloffice/posts/pfbid0eVMVkuSMnv6JkiKixq2y4s6WJ1bMxbAkr2wPR3kGzYsEJxwCegfD46C954113BrSl Diakses pada: 19.2.2024.
[5] Dengan lafaz lain, menyebut: ‘أن أحكام الشارع معللة بالمصالح ، مرتبطة بالأسباب ’
[6] Ta‘zir merupakan hukuman yang tidak ditetapkan oleh syara‘, bahkan ditentukan sendiri oleh pemerintah berdasarkan kebijaksanaannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/62)
[7] Lihat https://www.dailymail.co.uk/news/article-2258395/How-beat-addictions-literally-Siberian-psychologists-thrash-patients-sticks-help-kick-habits.html. Diakses pada 27 Oktober 2023.
[8] Firman Allah SWT ini datang dalam lafaz yang mutlak, tanpa diikat dengan jumlah tertentu yang boleh dijadikan sebagai kayu ukur untuk menilai sama ada seseorang itu layak dikenakan hukuman yang berat ini atau tidak. Dan hukum asal adalah wajib beramal suatu syari‘at yang datang dalam bentuk mutlak, sehinggalah datangnya nas dan dalil yang sahih sebagai pengikat. Di dalam ayat di atas, Allah SWT menggunakan lafaz yang berbentuk umum dan tidak terikat (وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا), yang pada zahirnya menunjukkan bahawa sesiapa sahaja yang didapati mencuri, dari kalangan lelaki dan perempuan, walau berapa sahaja nilai kecurian itu, maka dikenakan hukuman potong tangan. Dan inilah hujjah sebahagian ulama’ dari kalangan al-Zahiriyyah, al-Khawarij, serta pendapat yang dipegang oleh al-Hasan al-Basri sebagaimana yang dinukilkan dari Imam al-Qadhi ‘Iyadh. Mereka berpandangan bahawa hukuman potong tangan wajib dikenakan jika berlakunya kecurian, tanpa menetapkan had minima nilai kecurian tersebut.
Kemudian, datang dalil yang lain dari Sunnah al-Nabawiyyah yang mengikat dan memperincikan lagi hukuman ini dengan meletakkan had minima nilai kecurian. Dan inilah pendapat yang dipegang oleh majoriti fuqaha’ mazhab. Diriwayatkan daripada Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha 2 bentuk lafaz yang menerangkan tentang jumlah minima yang dikenakan hukuman potong tangan, pertamanya adalah ayat penyata, dan keduanya berbentuk penafian. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari, daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تُقْطَعُ اليَدُ فِي رُبُعِ دِينَارٍ فَصَاعِدًا
Maksudnya: “Tangan pencuri dipotong jika (nilaian barang curiannya) menyamai satu perempat dinar[1] atau lebih.” [Riwayat al-Bukhari (6789)]
Dan di dalam riwayat yang lain di dalam Sahih Muslim, ‘Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تُقْطَعُ يَدُ السَّارِقِ إِلَّا فِي رُبْعِ دِينَارٍ فَصَاعِدًا
Maksudnya: “Tidak dipotong tangan pencuri dipotong kecuali jika (nilaian barang curiannya) menyamai satu perempat dinar atau lebih.” [Riwayat Muslim (1684)]
Maka hadith ini telah mengikat jumlah tertentu, iaitu mestilah tidak kurang dari satu perempat dinar, atau hampir menyamai RM400 berdasarkan harga semasa emas. Sekiranya seseorang mencuri di bawah nilai ini, maka dia tidak dikenakan hukuman potong tangan, akan tetapi hukuman ta‘zir yang ditentukan oleh pemerintah berdasarkan kebijaksanaannya.
Adapun nilai 3 dirham di sisi Mazhab al-Syafi‘i, ia sebagaimana yang warid daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma pula, Rasulullah SAW bersabda:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَطَعَ فِي مِجَنٍّ ثَمَنُهُ ثَلاَثَةُ دَرَاهِمَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menyuruh untuk dipotong (tangan pencuri) pada (sekiranya barang yang dicuri menyamai nilai) perisai yang harganya tiga dirham.” [Riwayat al-Bukhari (6795) dan Muslim (1686)]
Imam al-Nawawi menyebutkan perselisihan fuqaha’ dalam menentukan kadar minima ini. Beliau mengatakan bahawa Imam al-Syafi‘i berpegang kepada zahir hadith ‘Aisyah R.Anha di atas, iaitu kadarnya satu perempat dinar atau nilai yang menyamainya, atau yang menyamai nilai 3 dirham. Dan tidak dihukum potong tangan jika kurang dari had minima ini, sebagaimana yang disebutkan oleh kebanyakan ahli ilmu, dan inilah pandangan ‘Aisyah, ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, al-Auza‘ie, al-Laith, Abu Thaur, Ishaq dan lain-lain.
Imam al-Syafi‘i dan mereka yang bersetuju dengan pendapatnya berkata, Rasulullah SAW telah menyebutkan dengan jelas kadar minima satu perempat dinar ini. Manakala riwayat yang menyebutkan 3 dirham itu pula, dianggarkan kadarnya menyamai satu perempat dinar atau lebih. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/182)
Imam al-Syafi‘i berkata, hadith Ibn ‘Umar bertepatan dengan hadith ‘Aisyah, kerana 3 dirham pada zaman Rasulullah SAW dan zaman selepasnya menyamai satu perempat dinar. Oleh itu, jika sesuatu harta dicuri pada hari ini, perlu dinilai terlebih dahulu kadarnya. Jika menyamai satu perempat dinar maka dipotong tangannya, dan jika kurang dari nilai tersebut maka tidak dipotong tangannya.
Kadar minima asal adalah satu perempat dinar, maka jika dileburkan beberapa walaupun 2 dirham sahaja dan dijadikan 1 dinar, maka dipotong tangannya kerana mencapai satu perempat dinar. (Lihat al-Umm, 6/159)
Berdasarkan perbincangan ringkas ini, sayai katakan bahawa kadar minima dikenakan hukuman potong tangan menurut Islam adalah yang menyamai satu perempat dinar atau lebih. Jika harta yang dicuri itu kurang dari nilai ini, maka tidak boleh dijatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri tersebut. Pada pandangan kami, berdasarkan dapatan kajian, satu dinar menyamai antara RM 1200 – RM 1400. Justeru, satu perempat dinar hendaklah melebihi RM 300. Meskipun begitu, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat yang mempunyai perundangannya tersendiri, termasuklah yang melibatkan kes-kes jenayah seperti mencuri. Maka kuasa menjatuhkan hukuman ini tertakluk di bawah kekuasaan dan kebijaksanaan pemerintah, yang ditentukan di bawah perbicaraan mahkamah.
[9] Beliau ialah Abu al-ʿAla al-Maʿarri (Arab أبو العلاء المعري Abū al-ʿAlāʾ al-Maʿarrī, nama penuh أبو العلاء أحمد بن عبد الله بن سليمان التنوخي المعري Abū al-ʿAlāʾ Aḥmad ibn ʿAbd Allāh ibn Sulaimān al-Tanūkẖī al-Maʿarrī, dilahirkan pada tahun 363H, meninggal dunia pada tahun 449H adalah seorang ahli falsafah, penyair, dan penulis Arab yang buta. Beliau berasal dari suku Arab al-Tanukhi. Walaupun pandangannya kontroversi dan tidak beragama, beliau dianggap sebagai salah seorang yang hebat dalam syair Arab kuno.
Abu al-‘Ala’ dilahirkan di al-Maʿarra (kini Ma’arat al-Nu’man, Syria). Pada zaman Kesultanan Abbasiyah, beliau menderita buta pada usia muda akibat cacar, tetapi beliau mendapat pendidikan di dekat Aleppo, kemudian Tripoli, dan Antiokhia. Beliau menulis banyak syair di Baghdad tetapi menolak untuk menjualnya. Beliau adalah anggota Bani Sulayman, sebuah keluarga bangsawan dari Maʿarra, yang termasuk dalam suku besar Tanukh. Beliau digambarkan sebagai “Pemikir Bebas yang Pesimis”, kontroversi, dan seorang rasionalis pada masanya, yang menekankan akal sebagai sumber kebenaran dan wahyu.
[10] Beliau ialah Abd al-’Aziz bin ‘Abd al-Rahman al-Sa’ud. Lahir di Riyadh pada tahun 1875 M. Beliau ialah Raja Arab Saudi yang pertama. Beliau memerintah pada tahun 1932 sehingga 1953 M. Pada tahun 1890M, beliau mengikuti keluarganya dalam pengasingan di Kuwait setelah dikalah oleh dinasti Rasyidi. Beliau menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Kuwait. Pada tahun 1901, Abd al-’Aziz menggantikan bapanya sebagai ketua keluarga dinasti Sa’ud dengan gelaran Sultan Najd. Pada tahun 1902, beliau bersama dengan pasukan keluarga dan saudaranya berjaya merebut semula Riyadh. Pada tahun 1925, pasukan Ibn Sa’ud berjaya merebut kota suci Makkah dari Syarif Husain. Pada 8 Januari 1926, tokoh-tokoh terkemuka Makkah, Madinah dan Jeddah mengisytiharkan Ibn Sa’ud sebagai Raja Hijaz dalam majlis yang diadakan di Masjid al-Haram. Pada tahun 1932, selepas menguasai sebahagian besar Semenanjung Arab dari musuh-musuhnya. Beliau kemudian menamakan Hijaz dan Najd sebagai Arab Saudi. Raja Abd al-’Aziz telah meninggal dunia pada 9 November 1953.
[11] Penggunaan kata Rajah adalah untuk membezakan gelaran keluarga diraja dengan keluarga Brooke. Rajah Sarawak atau Rajah Putih juga adalah panggilan kepada Raja Putih. Raja Putih ialah sebuah dinasti pemerintahan sebuah keluarga orang putih di Sarawak iaitu keluarga Brooke.
[12] Lihat juga Kongres Peguam Antarabangsa di Lahai 1948, Resolusi Kongres Himpunan Dekan Undang-Undang dan Syariah di Universiti Beirut 1973, Universiti Baghdad 1974, Resolusi Kongres Tasyri’ Islami di Bandar Baidha’ Libya 1972, dan Resolusi Muktamar Fiqh Islami di Riyadh 1976. Sila rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh oleh Dr Wahbah al-Zuhaili (4/3220) cetakan Dar al-Fikr 2006.
[13] Lihat https://binbayyah.net/arabic/archives/1423
[14] Lihat Harakah Taqnin al-Fiqh al-Islami oleh ‘Amir bin Isa al-Lahwi, hlm. 6.
[15] Syeikh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili merupakan seorang profesor Islam yang terkenal di Syria dan merupakan seorang cendekiawan Islam khusus dalam bidang perundangan Islam (Syariah). Beliau adalah penulis sejumlah buku mengenai undang-undang Islam dan sekular, yang kebanyakannya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Beliau dilahirkan di Syam. Sejarah membuktikan ramai tokoh terbilang lahir di negeri Syam sejak zaman berzaman. Beliau dilahirkan pada 6 Mac 1932 di perkampungan Dir ‘Atiyah, satu kawasan di Qalmun daerah al-Nabk, pinggir Kota Damsyik. Beliau diberi nama Wahbah Mustafa al-Zuhaili dan digelar Abu ‘Ubadah kerana salah seorang anaknya bernama ‘Ubadah. Ayahnya, al-Haj Mustafa al-Zuhaili merupakan seorang peniaga dan peladang, yang hafiz al-Quran, banyak beribadat dan memelihara solat jemaah di masjid. Ibunya Hajjah Fatimah binti Mustafa Sa’adah terkenal dengan sifat warak dan solehah.
Beliau mendapat pendidikan awal sejak kecil daripada kedua ibu bapanya disamping pengajian sekolah rendah di kampungnya sebelum berpindah ke Damsyik atas saranan ibunya. Beliau menyambung pengajian peringkat menengah di Damsyik sehingga tamat pengajiannya di Kuliah Syariah pada 1952. Di Mesir, beliau belajar di Universiti al-Azhar dalam dua fakulti iaitu Kuliah Syari’ah dan Kuliah Bahasa Arab. Dalam masa yang sama, beliau juga merupakan pelajar Kuliah Undang-undang di Universiti ‘Ain Syams. Seterusnya beliau meneruskan pengajiannya pada peringkat Sarjana dan pada 1959 dengan tajuk tesisnya al-Zara’i fi al-Siyasah al-Syar’iyyah wa al-Fiqh al-Islami. Tesis Doktor Falsafah beliau pada 1963 yang bertajuk Athar al-Harb fi al-Fiqh al-Islami: Dirasah Muqarin seliaan Dr. Muhammad Sallam Madkur mendapat martabah Syaraf Ula dan pujian ramai para ulama’ serta ahli akademik.
Antara guru-gurunya adalah Syeikh Muhammad Hashim al-Khatib al-Syafie, seorang khatib di Masjid Umawi yang masyhur dan Syeikh Abdul Razaq al-Hamasi. Beliau mempelajari Fiqh dengan kedua-dua ulama ini. Dalam bidang Hadith, gurunya adalah Syeikh Mahmud Yassin manakala bagi ilmu Faraid dan Wakaf, gurunya adalah Syeikh Judat al-Mardini dan Syeikh Hassan al-Shati. Antara yang membentuk pemikirannya dalam ilmu Tafsir adalah Syeikh Hassan Habnakah al-Midani. Beliau mempelajari Kesusasteraan Arab daripada Syeikh Muhammad Soleh al-Farfour, ilmu Usul Fiqh dan Mustalah Hadith daripada Syeikh Muhammad Lutfi al-Fayoumi dan ilmu Akidah daripada Syeikh Mahmoud al-Rankusi. Di Mesir, beliau berguru dengan ramai para ulama’ antaranya Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Abd al-Rahman Taj, Syeikh ‘Abd al-Ghani ‘Abd al-Khaliq. Beliau juga amat terkesan dengan buku-buku tulisan ‘Abd al-Rahman Azam seperti al-Risalah al-Khalidah dan buku karangan Maulana Abu Hassan ‘Ali al-Nadwi berjudul Maza Khasira al-‘alam bi Inhitat al-Muslimin. Syeikh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili meninggal dunia pada 8 Ogos 2015.
[16] Syeikh Mustafa al-Zarqa telah membicarakan isu ini dengan panjang lebar ketika membincangkan kerajaan Uthmaniyyah dalam isu taqnin antara lain menyebut: “Membina majallah al-ahkam berasaskan fiqh Hanafi semata-mata sekalipun mazhab yang satu ini luas, tetapi tidak mungkin menyelesaikan semua keperluan zaman dan maslahat yang berkembang yang boleh jadi tidak terdapat penyelesaiannya dalam mazhab tersebut sebaliknya memerlukan ijtihad yang lain.” (Lihat al-Madkhal al-Fiqh al-‘Am, 1/212-214)