#354: Syahadah Orang Bisu

[ux_products]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana kedudukan syahadah yang dilafazkan oleh orang yang bisu? Adakah diambil kira keislaman seseorang dengan hanya menggunakan isyarat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Syahadah (شهادة) dari sudut bahasa ialah pecahan daripada perkataan (شهد) yang memberi maksud menyaksikan.[1] Perkataan syahadah juga boleh diertikan memberitahu apa yang dilihat, menafsirkan apa yang diketahui.[2]

Mengucap dua kalimah syahadah merupakan rukun yang pertama daripada lima rukun Islam. Hal ini sepertimana hadis daripada Ibnu Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya“Islam terbina atas lima perkara: Penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan.”[3]

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ عَلَى مَا كَانَ مِنْ الْعَمَلِ

Maksudnya“Barangsiapa yang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya, dan bahwasanya Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya, dan bahawasanya ‘Isa adalah hamba dan utusan-Nya dan kalimat-Nya yang Dia sampaikan kepada Maryam dan ruh dari-Nya, dan (dia juga bersaksi) bahawa syurga itu benar adanya dan neraka itu benar adanya, maka Allah akan memasukkan dirinya ke dalam surga berapa pun amal yang telah diperbuatnya.”[4]

 

Kedudukan Lafaz Syahadah Orang Bisu

Allah SWT tidak memberikan beban taklif kepada para hamba-Nya melebihi batas kemampuannya. Hal ini berdasarkan firman-Nya:

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya.”[5]

Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka.[6]

Dalam isu di atas, kami kemukakan di sini pandangan Imam al-Nawawi yang antara lain menyebut: “Keislaman orang bisu melalui bahasa isyarat yang dapat difahami adalah dianggap sah. Tetapi dalam pendapat lain dikatakan, keislaman seseorang tidak diakui melainkan setelah dia menunaikan solat selepas mengucapkan syahadah dengan bahasa isyarat tersebut. Ini adalah zahir pendapat Imam Syafi’i yang terdapat dalam kitab Al-Umm. Pendapat yang benar yang ma’ruf adalah pendapat pertama. Sedangkan pendapat Imam Syafi’i itu mesti difahami dalam konteks ketika (syahadat) dengan bahasa isyarat tidak dapat difahami.”[7]

Sebuah kaedah menyebut:

الإِشَارَةُ المعْهُوْدَةُ لِلْأَخْرَسِ، كَالْبَيَانِ بِاللِّسَانِ

Maksudnya“Isyarat yang difahami daripada orang bisu, sama seperti keterangan dengan lisan.”[8]

Syeikh Ahmad al-Zarqa’ menjelaskan: Isyarat yang diketahui sebagaimana kebiasaannya bagi orang bisu dengan mana-mana anggotanya seperti tangannya atau kepalanya adalah diambilkira sebagaimana percakapan atau penjelasan melalui lisan.[9]

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan di atas, kami berpandangan bahawa orang bisu yang masuk Islam dengan menggunakan bahasa isyarat yang dapat difahami, maka dikira sah keislamannya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita ilmu dan kefahaman yang tepat dalam menjalankan setiap titah perintah-Nya di atas muka bumi ini. Amin.

Bertarikh: 21 Januari 2022 bersamaan 18 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat al-Munjid fi al-Lughah, hlm. 406

[2] Lihat Mu’jam al-Wasit, hlm. 516

[3] Riwayat al-Bukhari (8)

[4] Riwayat Bukhari (3435)

[5] Surah al-Baqarah: 286

[6] Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672

[7] Lihat Raudhah al-Talibin, 7/282

[8] Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 31; al-Asybah oleh Ibn Nujaim, hlm. 343 dan al-Wajiz, hlm. 244

[9] Lihat Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 351

Latest articles

Related articles