#11 Pandangan Tentang Keperluan Ujian Saringan HIV Pra-Perkahwinan

Mukadimah

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami telah menerima satu soalan yang meminta pandangan kami tentang isu dakwaan bahawa ujian saringan HIV pra-perkahwinan yang dijalankan di Malaysia adalah satu pembaziran kepada dana kesihatan awam yang terhad.

Dalam menjawab persoalan ini, suka kami nyatakan bahawa hal ini perlu mendapat sebuah gambaran yang jelas dalam semua aspek. Ini berasaskan kaedah:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Hukum atas sesuatu perkara adalah cabang daripada gambarannya.”

Ini merupakan antara kaedah yang masyhur dan amat mulia dalam kalangan ulama yang merentasi mazhab. Al-Jurjani berkata: “Tasawwur merupakan menghasilkan gambaran sesuatu pada akal dengan tepat. Bukanlah maksud dengan tasawwur dalam kaedah ini semata-mata gambaran pada zihin pada akal dari sesuatu. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 59)

Abu al-Baqa’ al-Kafawi berkata: “Kadangkala tasawwur dengan maksud ilmu atau pengetahuan. Dan ia bukanlah berdasarkan kepada tasawwur yang dusta. Justeru, tasawwur yang dimaksudkan dalam kaedah ini ialah tasawwur yang penuh dengan ilmu yang mendalam tentang sesuatu perkara. Hal ini kerana tasawwur tersebut adalah dhabit pada zihin dan fikir yang selamat daripada kesilapan. (Lihat al-Kulliyyat, hlm. 290)

Imam al-Ghazali turut menekankan peri pentingnya bagi seorang ilmuwan itu untuk memahami hakikat sebenar perkara yang dibahaskan sebelum itu layak untuk mengkritik atau menerimanya. Beliau menegaskan seseorang yang mengkritik sesuatu perkara tanpa terlebih dahulu memahaminya dengan mendalam adalah ibarat orang yang memanah dengan mata yang tertutup. (Lihat al-Munqiz min al-Dhalal, hlm. 578)

 

Memahami HIV dan AIDS

Definisi HIV / AIDS

HIV atau Human Immunodeficiency Virus adalah virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan AIDS. Ini boleh mengakibatkan pesakit mudah mendapat jangkitan kuman dan kanser. AIDS adalah singkatan bagi ‘Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit’ dan adalah peringkat terakhir jangkitan HIV. Pada tahun 2018, terdapat 37.9 juta orang menghidap penyakit HIV/AIDS di seluruh dunia, di mana 1.7 juta orang baru dijangkiti manakala 770,000 orang maut.[1]

Wabak jangkitan virus Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS) adalah masalah kesihatan sosio – ekonomi yang telah melanda hampir kesemua negara – negara di dunia. Kes yang pertama dikesan pada tahun 1981 di California, USA. Manakala di Malaysia pula, kes pertama dikesan pada tahun 1986.

 

Agen Penyebab

Human Immunodeficiency Virus (HIV) – sejenis retrovirus yang ditemui pada tahun 1980an. Jangkitan ini menyebabkan kelemahan sistem daya tahan melawan penyakit dan akhirnya musnah sama sekali, juga boleh mengakibatkan barah.

 

Cara Jangkitan

Antaranya berjangkit melalui:

  • Hubungan seks dengan pembawa HIV
  • Darah/produk darah yang tercemar dengan virus HIV
  • Penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan yang telah tercemar dengan virus HIV
  • Transfusi darah/penerima organ yang telah tercemar dengan virus HIV
  • Jangkitan vertikal – daripada ibu yang telah dijangkiti oleh virus HIV kepada anak sama ada semasa mengandung, proses kelahiran dan penyusuan ibu.

Medium Jangkitan HIV

Pada asasnya, HIV mudah dijangkiti melalui cecair badan seperti:

  • Darah
  • Air mani
  • Cecair faraj
  • Susu ibu

HIV boleh merebak melalui:

  • Hubungan seks bebas bersama individu yang telah dijangkiti (termasuk hubungan melalui faraj, dubur atau mulut).
  • Penagih dadah yang berkongsi jarum dan alat suntikan.
  • Pemindahan darah dan organ yang tercemar dengan virus HIV.
  • Ibu yang telah dijangkiti boleh merebakkan HIV kepada bayinya ketika dalam rahim, melahirkan atau sewaktu menyusu.

Selain itu, virus HIV adalah virus yang lemah, tidak bertahan di luar badan manusia. HIV tidak boleh dijangkiti melalui:

  • Sentuhan seperti duduk bersebelahan, berjabat tangan, memeluk atau bekerja dengan pesakit HIV
  • Berkongsi kemudahan awam seperti telefon awam, kolam renang, tandas dan pengangkutan awam
  • Berkongsi perkakas atau makanan dengan seorang pesakit HIV
  • Bersin, batuk, berpeluh atau kencing
  • Berpegangan tangan dan bersalaman.
  • Berkongsi kemudahan awam, misalnya telefon.
  • Berkongsi menggunakan cawan, gelas, pinggan, sudu dan lain – lain melalui makanan atau air.
  • Ciuman ringan/pelukan.
  • Gigitan serangga seperti nyamuk dan kutu.
  • Pergaulan di sekolah atau di tempat kerja.
  • Berkongsi buku (sekolah).[2]

Rawatan

Belum ada ubat yang boleh menyembuhkan atau vaksin yang boleh mencegah jangkitan virus HIV. Rawatan Antiretroviral (ARV) hanya menghalang pembiakan virus HIV. Rawatan juga boleh diberi bagi jangkitan oportunis. Rawatan ARV lebih berkesan secara kombinasi. Rawatan ini bertujuan untuk meningkatkan survival dan melambatkan perkembangan ke peringkat AIDS. Amnya lawatan susulan ialah 6 bulan sekali bagi pengidap asimptomatik dan 2 minggu sekali  untuk pesakit yang menerima rawatan ARV atau mengalami infeksi oportunis. Keperluan kekerapan lawatan susulan bergantung kepada keterukan penyakit, keperluan pesakit, komplians dan perkembangan penyakit. Keputusan untuk memulakan atau menukar rawatan antiretroviral adalah berpandukan parameter makmal kedua – dua plasma HIV RNA dan bilangan sel CD4 dan T sel serta menilai keadaan klinikal pesakit. Pengukuran CD4 dan T sel pada pengidap HIV adalah pada setiap 6 bulan sekali. Manakala untuk pesakit yang menerima rawatan ARV, pengawasan paras CD4 dan T sel dilakukan setiap 3 bulan sekali.

Kesan atau Implikasi HIV/AIDS

Pertama: Keruntuhan Institusi Keluarga

  • Ekonomi keluarga tumbang akibat pengurangan nafkah
  • Penceraian
  • Stress
  • Anak yatim piatu

Kedua: Beban kepada Ekonomi Negara

Kos rawatan yang ditanggung oleh kerajaan = RM 6,000/seorang/tahun.[3]

 

Data dan Statistik Jangkitan HIV

Pada 11 Disember 2021, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyebut bahawa jumlah jangkitan baharu HIV masih mencecah 3,000 kes. Pada 2020, sebanyak 3,146 jangkitan baharu dilaporkan atau 9.3 bagi setiap 100,000 populasi atau 94 peratus daripada disebabkan oleh transmisi seksual. Empat peratus lagi adalah disebabkan penggunaan dadah secara suntikan dan masing-masing satu peratus disebabkan transmisi ibu kepada anak dan lain-lain sebab.[4] Menurut beliau lagi, walaupun berdepan pandemik Covid-19, negara telah membelanjakan hampir RM100 juta untuk AIDS pada tahun 2020 dengan kebanyakannya adalah bagi tujuan rawatan dan pencegahan.[5]

Menurut Ketua Sektor HIV/AIDS dan Hepatitis C Kementerian Kesihatan Dr Anita Suleiman, sehingga Disember 2020, seramai 125,878 pesakit HIV/AIDS telah berdaftar di seluruh negara untuk mendapatkan penjagaan dan rawatan dengan pihaknya. Sebanyak 90 peratus penghidap HIV/AIDS di negara ini adalah terdiri daripada golongan lelaki dan 60 peratus penghidap HIV/AIDS pula terdiri daripada golongan muda berusia antara 29 hingga 39 tahun.[6]

 

Ujian HIV dan Prosedurnya

Ujian saringan HIV pra-perkahwinan boleh dilakukan di mana-mana Klinik Kesihatan di Malaysia dan dilaksanakan secara percuma.

Tujuan utama ujian ini adalah bagi membolehkan individu mengetahui status HIV masing-masing, terutamanya di kalangan yang berisiko samada telah dijangkiti HIV atau sebaliknya dan seterusnya mengambil tindakan yang wajar bagi mencegah transmisi penyakit ini kepada orang lain. Mana-mana individu yang telah dijangkiti akan diberikan pendidikan kesihatan, kaunseling, rawatan dan sebagainya bagi memastikan kesihatan mereka sentiasa dipelihara.

Prosedur pelaksanaan ujian saringan HIV di Klinik Kesihatan Kerajaan adalah seperti berikut:

  • Bakal pengantin hendaklah mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran serta melengkapkan borang permohonan ujian Saringan HIV pra-perkahwinan.
  • Ujian saringan HIV menggunakan kaedah ujian pantas (Rapid test) akan dilakukan oleh anggota klinik
  • Keputusan ujian saringan HIV dengan kaedah ujian pantas (Rapid test) boleh diketahui dalam masa 5 hingga 20 minit (bergantung kepada jenis kit yang digunakan). Keputusan ujian saringan HIV akan dimaklumkan kepada bakal pengantin.
  • Bagi keputusan ujian saringan HIV (Rapid test) TIDAK REAKTIF:
  1. Bakal pengantin akan dimaklumkan tentang keputusan tersebut.
  2. Bakal pengantin tidak perlu melalui kaunseling kecuali bagi mereka yang didapati berisiko untuk dijangkiti HIV.

iii. Bagi bakal pengantin yang mempunyai risiko beliau diberi kaunseling dan perlu diberi temujanji untuk mengulangi semula ujian saringan HIV di Klinik Kesihatan dalam tempoh 3 – 6 bulan.

  • Bagi keputusan ujian saringan HIV (Rapid test) REAKTIF:
  1. Bakal pengantin akan diberi kaunseling serta ujian pengesahan (confirmatory test) akan dilakukan. Keputusan ujian pengesahan HIV pada kebiasaannya akan mengambil masa selama 2 minggu. Oleh yang demikian bakal pengantin akan diberi temujanji untuk datang semula ke Klinik Kesihatan, dalam tempoh 2 – 3 minggu berikutnya untuk mengambil keputusan dan menjalani kaunseling.
  2. Keputusan ujian pengesahan dan kaunseling akan diberikan kepada bakal pengantin.

iii. Keputusan ujian adalah sama ada bakal pengantin disahkan HIV positif (telah dijangkiti) atau negatif.

Keputusan HIV Rapid Test adalah rahsia. Keputusan sama ada pasangan bakal pengantin mahu meneruskan perkahwinan adalah di tangan mereka.

Buat masa sekarang, hanya pasangan Muslim yang wajib menjalani ujian saringan HIV Pra Perkahwinan. Bagi pasangan daripada agama lain, mereka digalakkan untuk menjalani ujian saringan HIV ini.[7]

Kos Ujian Saringan

Bagi warganegara Malaysia, kos ujian saringan adalah ditanggung oleh kerajaan dan mereka hanya dikenakan bayaran sebanyak RM1.

Manakala bagi warga asing, bayaran dikenakan adalah sebanyak RM90 (Daftar RM40 + ujian HIV RM50).

Implikasi Jika Dilakukan Ujian atau Tidak Melakukan

Antara kesan jika seseorang itu melakukan ujian saringan HIV ialah dapat mencegah HIV daripada merebak sekiranya dia menghidapnya.

Manakala antara implikasi jika tidak melakukan ujian saringan HIV ialah: Seseorang yang tidak mengetahui bahawa dia menghidap HIV, akan menyebabkan jangkitan kepada pasangannya dan juga keturunannya.

Negeri yang Mewajibkan Ujian Saringan HIV

Antara negeri yang telah mewajibkan saringan HIV Pra Perkahwinan ialah: Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Selangor, Kelantan,[8] Perlis[9],  Pulau Pinang[10], Kedah, Pahang, Terengganu[11], Perak[12], Johor, Melaka[13] dan Wilayah Persekutuan[14].

Negara-negara seperti Arab Saudi, Palestin, Iran dan Cyprus mewajibkan ujian talasemia sebelum berkahwin (seperti mana ujian HIV). Malaysia memilih untuk melakukan saringan yang sama untuk pelajar sekolah (tingkatan 4), iaitu lebih awal sebelum mereka bertemu pasangan.[15]

Fatwa dan Pandangan Ulama’

Kami kemukakan juga di sini pandangan beberapa tokoh ulama’ berkaitan isu ini, antaranya:

Pertama: Syeikh Muhammad al-Zuhaili

Beliau berkata: Pemeriksaan kesihatan sebelum berkahwin yang berkaitan penyakit keturunan adalah satu kewajipan yang wajib, dan ini tidak dianggap sebagai pelanggaran hak kebebasan peribadi, kerana di dalamnya terdapat maslahah kepentingan umum yang menjadi milik individu, masyarakat, negara dan dunia. (Lihat al-Irsyad al-Jini, hlm. 782)

 

Kedua: Syeikh Abd al-Rahman al-Sobuni [16]

Beliau menyebut: Semua permohonan perkahwinan mesti diwajibkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, supaya perkahwinan itu hanya boleh dilakukan selepas keputusan pemeriksaan kesihatan itu membuktikan yang dia sihat. (Lihat Ahkam al-Zawaj fi al-Fiqh al-Islami, hlm. 237)

 

Ketiga: Syeikh Nasir bin Abdullah al-Maiman[17]

Beliau menyatakan di dalam kajiannya yang bertajuk al-Irsyad al-Jini bahawa, berdasarkan faedah yang terhasil daripada kaedah ini, dan berdasarkan apa yang terkandung di dalamnya untuk menolak kemudharatan sebelum ia berlaku, dan untuk mencapai Maqasid Syar’iyyah untuk melindung diri dan juga keturunan, maka pemeriksaan kesihatan ini diharuskan, dengan syarat cara pemeriksaan itu selamat dan diharuskan. Pemeriksaan kesihatan ini juga menjadi wajib sekiranya ia mencapai tahap berikut iaitu apabila wabak itu merebak dalam komuniti atau kumpulan etnik tertentu. (Lihat al-Ahkam al-Syar’iyyah wa al-Qanuniyyah li al-Fahs al-Tibbi ma Qabl al-Zawaj, hlm, 59)

 

Keempat: Syeikh Dr. Muhammad al-Qudhah[18]

Beliau berucap di dalam satu persidangan berkaitan Pemeriksaan Kesihatan Sebelum Perkahwinan yang dianjurkan oleh Jam’iah al-’Afaf al-Khairiah, dan beliau menyatakan bahawa pemeriksaan kesihatan sebelum perkahwinan adalah jaminan yang pasti pada kesihatan individu. Sesungguhnya hukum yang diambil itu mempunyai matlamat. Sekiranya matlamat itu untuk memastikan keselamatan akal dan fizikal manusia, maka cara untuk mencapai matlamat ini juga diharuskan oleh syara’ bahkan boleh sampai ke martabat wajib jika terdapat sebab-sebab yang menyebabkan kepada kekhuatiran mendapat zuriat keturunan yang sakit disebabkan oleh penyakit keturunan.  Maka, beliau berkata: “Dan berdasarkan nas-nas, maka sesungguhnya pemeriksaan kesihatan sebelum berkahwin ini diharuskan bagi dua orang bakal pengantin ini dengan tujuan untuk mengesahkan melalui pemeriksaan klinikal, radiologi dan makmal bahawa fizikalnya itu bebas daripada penyakit genetik, dan berjangkit yang boleh menjejaskan keturunan dan menyebabkan dia meninggalkan keturunannya sebagai mangsa kepada penyakit kronik dan juga penyakit yang menyebabkan hilang upaya kekal. (Lihat al-Nadwah al-Fahs al-Tibbi Qabla al-Zawaj, hlm. 38-39)

 

Kelima: Dr. Muhammad Uthman Syabir[19]

Beliau di dalam kajiannya bertajuk “Pandangan Islam berkaitan dengan Penyakit Genetik berkata: Adapun cara-cara untuk mengetahui bahawa salah seorang pasangan itu menghidap penyakit ialah dengan melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum berkahwin. Ia tidak bercanggah dengan hukum syara’ Islam, dan juga tidak bercanggah dengan tujuan perkahwinan dalam Islam. Hal ini kerana perkahwinan orang yang sihat itu kekal dan berterusan lebih lama daripada perkahwinan orang sakit. Ia boleh dianjurkan supaya kelakuannya tidak mendatangkan mudarat kepada lelaki atau perempuan.

Baginda SAW bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tiada kemudaratan (dalam Syariat Islam) dan tidak boleh mengenakan kemudaratan (tanpa hak).”

Dalam hal ini, kami mencadangkan bahawa negara menyediakan peralatan yang diperlukan untuk menjalankan pemeriksaan, dan bahawa ia adalah percuma, dan pemeriksaan bermula selepas orang itu mencapai umur lima belas tahun, dan diberi sijil kesihatan yang menunjukkan keadaan kesihatannya, dan sijil kesihatan itu akan diminta oleh qadhi ketika pasangan itu ingin melakukan urusan akad nikah. (Lihat Mauqif al-Islam min al-Amradh al-Warithiah, 1/336)

 

Keenam: Syeikh Abd al-Salam al-Bassiuni

Beliau merupakan pendakwah dan pembimbing syar’ie di bawah Kementerian Waqaf Qatar. Beliau menegaskan bahawa masalah pemeriksaan kesihatan sebelum berkahwin adalah perkara yang diharuskan dalam Syariat Islam dan tiada larangan padanya.  Lebih-lebih lagi, jika kuat sangkaan bahawa akan berlaku penyakit tertentu akibat perkahwinan ini, kerana masalah perubatan yang berkait dengan salah seorang pasangan (sama ada suami atau isteri), dan sejarah genetik penyakit dalam keluarganya. Kemudian beliau menjelaskan bahawa penyakit berjangkit seperti AIDS atau Tuberkulosis (TB) atau kusta atau sopak atau gila, yang dengannya boleh membawa kepada terpisahnya suami isteri adalah bertepatan dengan kaedah ‘لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ’ (“Tiada kemudaratan (dalam Syariat Islam) dan tidak boleh mengenakan kemudaratan (tanpa hak).”). (Lihat al-Ahkam al-Syar’iyyah wa al-Qanuniyyah li al-Fahs al-Tibbi Ma Qabla al-Zawaj, hlm. 61)

 

Ketujuh: Dr. Muhammad Ra’fat Uthman

Beliau menyatakan dalam kajiannya bertajuk, “Pandangan Fiqhiyyah tentang Penyakit di mana Ujian Genetik Harus Diwajibkan, Sepertimana Pandangan oleh Beberapa Badan Perubatan,” di mana hasil kajiannya antara lain menyebut bahawa negara tidak boleh mewajibkan rakyatnya untuk menjalani Ujian Genetik di peringkat umum apabila seseorang ingin memohon untuk proses perkahwinan, tetapi hendaklah membiarkannya untuk menjalankan ujian itu sendiri (secara pilihan). Dan jika kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalankan ujian ketika memohon untuk berkahwin, maka setiap pihak mempunyai hak untuk mengetahui keputusan yang lain secara umum tanpa diperincikan. (Lihat Nazrah Fiqhiyyah fi al-Amradh, 2/936)

 

Kelapan: Dr Muhammad ‘Abd al-Ghaffar al-Syarif

Beliau menyebut: Kesimpulannya, pemeriksaan perubatan sebelum perkahwinan yang berkaitan dengan penyakit genetik tidak harus diwajibkan. Ini kerana ia akan membawa kepada pelanggaran kebebasan peribadi dan disebabkan oleh beberapa masalah kewangan dan psikologi, dan kadang-kadang membawa kepada tersingkapnya (aib) orang tersebut dan prasangka terhadapnya. Dan berbeza dengan pendapat-pendapat ini yang membolehkan pemeriksaan kesihatan sebelum nikah, iaitu terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan mereka mengenai pemeriksaan kesihatan ini diwajibkan ataupun ia sekadar pilihan. Aku tidak mendapati mereka yang tidak bersetuju dengan pemeriksaan perubatan sebelum berkahwin kecuali Syeikh Ibn Baz Rahimahullah yang berpandangan bahawa tidak ada keperluan untuk pemeriksaan ini, dan menasihati kepada mereka yang memohon untuk berkahwin agar bersangka baik terhadap Allah SWT – dan beliau turut menerangkan bahawa pemeriksaan perubatan (terkadang) memberikan keputusan yang salah. (Lihat Mustajiddat Fiqhiyyah fi Qadhaya al-Zawaj wa al-Talaq, hlm. 92-93)

 

Kesembilan: Dr. Hamdani Ma’ Al-Aynain

Beliau dalam kajiannya bertajuk “Hukum Mewajibkan Pemeriksaan Berkaitan Penyakit Genetik” menyatakan: Kami berpendapat bahawa pemeriksaan kesihatan ini wajib dijalankan sebelum akad nikah dengan tujuan untuk memastikan keselamatan setiap pasangan daripada penyakit kronik, yang ditularkan melalui genetik mengikut konsep genetik perubatan. (Lihat Silsilah al-Matbu’at li al-Manzimah al-Islamiah li al-Ulum al-Tibbiyah bi al-Kuwait, 2/956)

Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia

Dalam persidangan kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Kewajaran Mewajibkan Pelaksanaan Ujian Saringan HIV Kepada Bakal Pengantin. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Ujian saringan HIV kepada setiap pasangan yang hendak berkahwin wajib dilaksanakan sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan mudharat yang lebih besar kepada pasangan dan keturunannya.
  2. Usaha bersungguh-sungguh dilakukan ke arah mewujudkan undang-undang induk di semua negeri bagi memperkukuhkan pelaksanaan ujian saringan HIV ini pada masa-masa akan datang.

Keterangan / Hujah:

  1. Walaupun perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW dan amat digalakkan, namun ianya akan bertukar menjadi haram dan dilarang sekiranya kesan yang akan timbul daripada perkahwinan tersebut akan memberikan kemudharatan yang lebih besar. Apabila bertembung kebaikan dan kemudharatan maka menolak kemudharatan itu adalah lebih diutamakan bagi menjamin kelangsungan hidup masyarakat dalam sesebuah negara.
  2. Antara Maqasid Syar’iyyah yang lima ialah menjaga keturunan. Menutup sesuatu kemudaratan sebelum berlakunya mudarat tersebut adalah lebih baik daripada mengubatinya. Ia adalah penting bagi memelihara agama dan keturunan.
  3. Muhammad al-Zuhaili mengatakan bahawa adalah harus bagi pemerintah mengeluarkan hukum mewajibkan sesiapa yang hendak berkahwin melakukan ujian HIV.
  4. Ali al-Sabuni berpandangan bahawa pengesahan kesihatan daripada doktor tidak dikira melewatkan perkahwinan, akan tetapi ianya memberi gambaran yang jelas kepada pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga mengenai perkongsian hidupnya pada masa akan datang. Syariat Islam membenarkan sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat (ujian saringan kesihatan) kepada individu dan keluarga walaupun tidak dinaskan oleh fuqaha’ ke atasnya secara langsung.[20]

Menjawab Isu yang Ditimbulkan

Ucapan yang masyhur menyebut:

الوِقَايَةُ خَيرٌ منَ العِلَاجِ

Maksudnya: Mencegah itu lebih baik dari merawat.”

 Selain itu, kaedah fiqh jelas menyatakan:

 الضَّرَرُ يُدْفَعُ بِقَدْرِ الْإِمْكَانِ

Maksudnya: “Kerosakan itu dihindari seboleh mungkin.” (Lihat al-Wajiz fi Idhah Qawa’id al-Fiqh al-Kulliyyah, hlm. 258)

Syeikh al-Zarqa’ berkata: Mudarat hendaklah ditolak dengan semampu yang boleh. Jika boleh ditolak keseluruhannya, maka lakukanlah. Sebaliknya, jika tidak mungkin, maka hendaklah mengikut kadar kemampuan. (Lihat Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, hlm. 207)

Allah SWT berfirman:

وَلَا تُلۡقُوا۟ بِأَیۡدِیكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ

Maksudnya : “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan…”

Surah Al-Baqarah (195)

Imam al-Baghawi dalam menjelaskan ayat ini menyebut bahawa setiap perkara yang membawa kepada kebinasaan dalam agama mahupun dunia, maka ia termasuk dalam makna ayat ini.  (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 1/367)

Menurut Syeikh Sayyid Tantawi, maksud “التَّهْلُكَةِ” ialah kehancuran dan kematian atau apa jua yang boleh membawa kepadanya. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 329)

Ini bermakna, dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan umat Islam agar tidak membiarkan diri terkena mudarat atau bahaya tanpa mengambil sebarang sebab atau ikhtiar untuk menghindarinya. Ini dipertegaskan lagi dalam surah al-Nisa’ ayat 29:

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.”

Termasuk dalam maksud ayat ini ialah orang yang membunuh diri sendiri atau membunuh orang lain tanpa mengira apa jua cara seperti mengambil dadah dan meminum racun yang membahayakan dan melampau dalam mengambil risiko yang memudaratkan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/32)

Kami katakan, dengan mendedahkan diri kepada jangkitan HIV/Aids juga termasuk dalam membunuh diri secara tidak langsung. Dengan sebab itulah, langkah-langkah seperti melakukan ujian saringan HIV sebelum perkahwinan dan seumpamanya adalah sebahagian daripada usaha dan ikhtiar untuk kita selamatkan diri daripada penyakit seperti ini.

Apabila seseorang tidak mengambil langkah yang disyorkan pemerintah mengenai penularan HIV / AIDS, ini bererti mereka dengan sengaja telah mendedahkan diri dan orang lain kepada kemudaratan. Perbuatan tersebut jelas melanggar perintah Allah SWT supaya kita mengambil segala sebab atau usaha yang boleh mengelakkan diri dan orang lain daripada ditimpa bahaya dan kemudaratan.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan: Sesungguhnya ujian makmal dan pemeriksaan kesihatan sebelum perkahwinan tidak ada salahnya di dalam syariat dan juga dalam pengamalannya walaupun di negara yang tidak menuntut dan mensyaratkan untuk melakukannya. Sekiranya pihak pemerintah menetapkannya atas tujuan kemaslahatan, maka pemeriksaan itu menjadi wajib. (Lihat al-Irsyad al-Jini, hlm. 780)

Pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang lebih penting. Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang masyhur :

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: Adalah tidak wajib untuk menuruti arahan pemimpin (al-hakim) yang tidak membawa kepada maslahah ‘ammah. Maka difahami secara mafhum mukhalafah, bahawa menurut arahan pemimpin yang mempunyai maslahah ‘ammah ialah wajib. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 3/71)

Definisi maslahah seperti yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali ialah: ‘Mendatangkan manfaat dan menghalang kemudharatan (Lihat al-Mustasfa min ‘Ilm al-Usul, 2/139).

Justeru, sebarang bentuk perkara yang memberikan kebaikan dan manfaat kepada manusia serta dalam masa yang sama ia menghalang keburukan dan kemudaratan ke atas diri mereka, adalah dianggap sebagai maslahah.

Penutup

Selepas menekuni isu ini dan mengamatinya, kami berpendapat bahawa Ujian Saringan HIV Pra-Perkahwinan adalah dibolehkan bahkan menjadi kemestian jika diputuskan oleh pihak pemerintah atau badan berautoriti.

Pendapat yang mengharuskan, bahkan yang mewajibkan dengan dalil dan hujahnya amat bertepatan berdasarkan maslahat untuk kedua pasangan. Inilah pandangan kebanyakan tokoh dan ulama’. Ia selari dengan pendapat kesemua negeri-negeri di Malaysia dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Justeru saya tegaskan bahawa ujian saringan ini bertujuan untuk menjaga maslahat kedua-dua belah pihak sama ada pasangan suami atau isteri. Ini bagi mengelakkan sebarang penipuan yang sudah pasti boleh merosakkan bahtera perkahwinan yang inginkan damai dan bahagia. Tindakan pemerintah adalah selaras dengan Maqasid Syari’ah, antaranya hifz al-nafs dan hifz al-nasl. Begitu juga, tindakan mereka menepati dengan kaedah:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

 

 

Nota Hujung:

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/hiv-aids/. Diakses pada 14 September 2022.

[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/hiv-aids/; http://www.myhealth.gov.my/hiv-human-immunodeficiency-virus-sindrom-kurang-daya-tahan-melawan-penyakit-aids/. Diakses pada 14 September 2022.

[3] Lihat http://www.myhealth.gov.my/hiv-human-immunodeficiency-virus-sindrom-kurang-daya-tahan-melawan-penyakit-aids/. Diakses pada 14 September 2022.

[4] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12/897686/transmisi-seksual-punca-utama-penularan-hiv

[5] https://www.utusan.com.my/berita/2021/12/hiv-banyak-menular-dalam-kalangan-orang-muda/

[6] https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/05/844634/90-peratus-penghidap-hivaids-adalah-lelaki

[7] Lihat http://www.myhealth.gov.my/pra-perkahwinan/. Diakses pada 14 September 2022.

[8] https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2008/12/18/bakal-pengantin-islam-wajib-jalani-ujian-hiv

[9] https://jknperlis.moh.gov.my/v3/index.php/kenali-jabatan/saringan

[10] https://jknpenang.moh.gov.my/jknpenang/index.php/bahagian-kesihatan-awam/908-ujian-saringan-hiv-pra-perkahwinan

[11] https://jknterengganu.moh.gov.my/v1/index.php/2-uncategorised/87-faq-ujian-saringan-hiv-pra-perkahwinan

[12] http://jknperak.moh.gov.my/v4/index.php/my/soalan-lazim/bahagian-kesihatan-awam.html

[13] https://www.facebook.com/172202259466525/posts/makluman-penggunaan-borang-permohonan-ujian-saringan-hiv-pra-perkahwinan-kemente/3930478070305573/

[14] https://www.jawi.gov.my/index.php/prkahwinan/borang-perkahwinan

[15] https://www.facebook.com/publichealthmalaysia/photos/malaysia-mensasarkan-untuk-mencapai-zero-kelahiran-bagi-pesakit-talasemia-major-/2243707575919102/

[16] Beliau merupakan seorang ulama’ dalam bidang Ahwal al-Syakhsiah di Syria dan UAE. Beliau dilahirkan di bandar Aleppo dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Damsyik, dan dihantar ke Universiti Kaherah semasa zaman kesatuan antara Mesir dan Syria, di mana beliau memperoleh ijazah kedoktoran.

[17] Beliau merupakan seorang warganegara Saudi, adalah seorang profesor akademik, dan telah memperoleh jawatan profesor akademiknya dalam topik kehakiman dan perundangan.

[18] Beliau merupakan seorang pensyarah di Fakulti Syariah, Universiti Jordan.

[19] Beliau (Dr. Muhammad Uthman Syabir) merupakan pensyarah di Fakulti Syariah, Universiti Jordan.

[20] https://103.8.161.218/pdf/panduan/fatwa_munakahat-2013.pdf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *