#612: Umur Baligh

q
-25%
Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
-30%
Original price was: RM10.00.Current price is: RM7.00.
-30%
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

Original price was: RM15.00.Current price is: RM10.50.
-30%

Buku Fizikal

Imam Mahdi

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-29%
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tentang berapakah umur baligh menurut empat mazhab? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Baligh

Dalam istilah bahasa Melayu, Kamus Dewan mentakrifkan akil baligh sebagai cukup umur atau dewasa (mengikut pandangan Islam, biasanya apabila mencapai umur antara 9-12 tahun bagi perempuan dan 12-15 tahun bagi lelaki.[1]

Maksud baligh adalah apabila seseorang lelaki atau perempuan itu telah sampai tempoh umur layak ditujukan kepadanya perintah melaksanakan syariat seperti solat, puasa, haji dan lain-lain.

Para ahli feqah bersepakat menetapkan bahawa keluar air mani dalam keadaan tidur, bermimpi, sedar ataupun usaha mengeluarkannya dengan sengaja seperti beronani atau sebagainya, adalah demikian tanda seseorang itu menjadi baligh.

Al-Qalyubi berkata: “Keluar air mani daripada lelaki atau perempuan dalam keadaan sedar ataupun tidur ketika sampai waktunya.”[2]

Ulama menyifatkan air mani yang keluar dikira sebagai baligh ialah air mani yang mampu menghasilkan anak. Ibnu Qudamah berkata: “Maka Adapun keluar mani: Apabila seseorang keluar mani, iaitu air putih yang memancut yang terjadi daripadanya anak ketika berjima’, atau di dalam tidur, atau ketika sedar, maka dia dikira baligh.”[3]

Selain itu juga, ulama menentukan minima masa atau umur keluarnya mani seseorang itu secara matang yang dikira sebagai baligh ialah 9 tahun. Imam al-Nawawi berkata: “Keluar air mani ketika sampai waktunya iaitu sempurna umurnya Sembilan tahun.”[4]

Baligh Dari Sudut Perspektif Sains

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, akil baligh adalah satu peringkat dalam hidup seseorang di mana tubuh badannya berubah dari seorang kanak-kanak ke seorang dewasa. Perubahan-perubahan ini termasuklah ciri-ciri seks ‘primer’ dan ‘sekunder’. Ia disebabkan bahan kimia di dalam badan yang dipanggil hormon.

Untuk lelaki :

  • Ciri-ciri seks primer yang berubah adalah perubahan zakar (penis) dan buah zakar (testis)
  • Manakala ciri-ciri seks sekunder pula melibatkan pertumbuhan misai dan janggut serta suara yang lebih garau
  • Bulu ketiak serta di bahagian kemaluan juga merupakan tanda-tanda akil baligh

Untuk perempuan :

  • Ciri-ciri seks primer yang berubah adalah perubahan faraj dan ovari
  • Manakala ciri-ciri seks sekunder pula melibatkan perubahan payudara serta punggung membesar
  • Bulu dari ketiak dan di bahagian kemaluan juga merupakan tanda-tanda akil baligh

(Lihat portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah tajuk Akil Baligh. http://www.myhealth.gov.my/akil-baligh/)

 

Umur Baligh Menurut Empat Mazhab

Allah SWT telah menjadikan baligh itu sebagai salah satu tanda sempurnanya akal. Para ulama berselisih pendapat dalam menentukan umur baligh seseorang:

Ulama bermazhab al-Syafie, Ahmad, Abu Yusuf daripada ulama bermazhab Hanafi, dengan pandangan keduanya itu juga difatwakan di dalam mazhab dan al-Awza’ie menyatakan bahawa umur baligh adalah sempurna 15 tahun qamariyyah bagi lelaki dan wanita (sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ulama bermazhab al-Syafie) berdasarkan khabar (riwayat) daripada Ibn Umar.

عُرِضْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ أُحُدٍ وَأَنَا ابْنُ أَرْبَعَ عَشْرَةَ سَنَةً، فَلَمْ يُجِزْنِي وَلَمْ يَرَنِي بَلَغْتُ، وَعُرِضْتُ عَلَيْهِ يَوْمَ الْخَنْدَقِ وَأَنَا ابْنُ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً، فَأَجَازَنِي، وَرَآنِي بَلَغْتُ

Maksudnya: “Aku menyerahkan diriku kepada Nabi SAW pada peperangan Uhud ketika aku berusia 14 tahun dan Nabi SAW tidak mengizinkanku kerana Baginda SAW tidak menganggapku telah baligh. Aku juga menyerahkan diriku kepada Nabi SAW pada peperangan Khandak ketika aku berusia 15 tahun dan Nabi SAW mengizinkanku kerana Baginda SAW menganggapku telah baligh.[5]

Berkata Imam al-Syafie bahawa Nabi SAW telah menolak 17 orang daripada kalangan sahabat yang mana usia mereka pada ketika itu adalah 14 tahun kerana Baginda SAW menganggap mereka belum lagi baligh. Kemudian Baginda SAW didatangi anak-anak yang berusia 15 tahun lalu Baginda SAW membenarkan mereka. Antaranya Zaid bin Thabit, Rafi’ bin Khadij dan Ibn Umar.

وَرُوِيَ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَال: إِذَا اسْتَكْمَل الْمَوْلُودُ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً كُتِبَ مَا لَهُ وَمَا عَلَيْهِ، وَأُخِذَتْ مِنْهُ الْحُدُودُ

Maksudnya: “Apabila sempurnanya umur anak itu 15 tahun maka akan ditulis apa yang dilakukannya dan apa yang dikenakan ke atasnya serta akan dikenakan hudud.”[6]

Syeikh Salim bin Sumair al-Hadhrami dalam kitabnya Safinah al-Naja menyatakan bahawa tanda-tanda baligh ada tiga[7] iaitu:

  • Genap 15 tahun qamariah bagi lelaki dan perempuan.[8]
  • Bermimpi basah bagi lelaki dan perempuan selepas berumur 9 tahun qamariah.[9]
  • Datang haidh bagi perempuan selepas berumur 9 tahun qamariah.[10]

Ulama al-Malikiyyah mengatakan umur baligh adalah sempurnanya 18 tahun, dikatakan juga dengan persetubuhan atau dengan bermimpi (keluar mani) berdasarkan sabda Nabi SAW:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثٍ: عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ

Maksudnya: “Diangkat pena pada 3 perkara: Antaranya daripada budak sehingga dia bermimpi.”[11]

Ataupun apabila datangnya haid (bagi wanita) berdasarkan sabda Nabi SAW:

لاَ يَقْبَل اللَّهُ صَلاَةَ حَائِضٍ إِلاَّ بِخِمَارٍ

Maksudnya: “Allah SWT tidak akan menerima solat orang yang telah berhaid melainkan dengan menutup kepala.”[12]

Atau dengan mengandung dan juga dengan tumbuhnya bulu ari-ari di bawah perutnya.

Al-Hattab ada mendatangkan 5 pandangan di dalam mazhab, antaranya riwayat yang mengatakan 18 tahun, 17 tahun dan sebahagian pensyarah kitab al-Risalah menambah kepada 16 tahun, 19 tahun dan diriwayatkan oleh Ibn Wahab 15 tahun menurut riwayat Ibn Umar.

Adapun Abu Hanifah menyatakan bahawa umur baligh seseorang budak lelaki itu mengikut pada umur adalah 18 tahun dan budak perempuan pula adalah 17 tahun. Disebabkan itu Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri).”[13]

Telah berkata Ibn Abbas RA, umur 18 tahun (dalam menentukan had baligh) adalah amat sedikit ahli ilmu yang cenderung kepadanya. Akan tetapi, ia diterima sebagai langkah berhati-hati. Ini adalah umur yang paling tua bagi had baligh budak lelaki dan budak perempuan pula lebih cepat balighnya berbanding budak lelaki maka kami kurangkan setahun (iaitu 17 tahun).[14]

 

Penutup

Kesimpulannya,  secara umumnya mazhab al-Syafie dan Ahmad melihat had umur baligh seseorang itu adalah pada usia 15 tahun qamariyyah berdasarkan dalil-dalil di atas. Adapun, mazhab al-Maliki dan al-Hanafi melihat had umur baligh seseorang itu adalah pada usia 18 tahun.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 1 Mac 2022 bersamaan 27 Rejab 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=akil%20baligh

[2] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/188

[3] Lihat al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafie, 6/218

[4] Lihat Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftin, hlm 123

[5] Riwayat Ibn Hibban (4728) dan ia mempunyai asal di dalam al-Sahihain.

[6] Riwayat ini dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam al-Talkhis al-Habir pada 106/3 dan Imam al-Baihaqi meniali riwayat ini adalah dhaif.

[7] Tidak menjadi syarat baligh untuk cukup ketiga-tiga tanda ini, tetapi memadailah jika satu tanda pun didapati pada diri.

[8] Yakni mengikut kalendar Hijrah, bukan kalendar Masihi.

[9] Yakni keluarnya mani. Sekiranya seseorang itu berasa keluar air mani kemudian menahannya, maka dia masih belum baligh mengikut Imam Syamsuddin al-Ramli. Manakala menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami, dia tetap baligh. Bentuk keluar itu tidak semestinya sewaktu tidur, boleh jadi pada waktu sedar kerana melakukan persetubuhan atau seumpamanya seperti onani dan berfikir. Sekiranya saluran zakarnya tersumbat lalu keluar maninya dengan cara lain, maka tetap sabit hukum baligh. Lihat Kasyifah al-Saja (hlm.75); Tuhfah al-Muhtaj (1/456).

[10] Lihat Safinah al-Naja, hlm. 42

[11] Riwayat Abu Daud (4401)

[12] Riwayat Ahmad dan ashab al-Sunan melainkan al-Nasaie dan juga Ibn Khuzaimah dan al-Hakim daripada Aisyah R.Anha. Riwayat ini sanadnya adalah hasan sebagaimana yang dinilai oleh Syeikh Syuaib al-Arna’outh.

[13] Surah al-Isra’: 34

[14] Lihat al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 2/15-17

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *