#1066 Keluar dari Tanah Haram Sebelum Bermalam (Mabit) di Mina

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Seseorang melakukan haji, tawaf ifadhah, sa‘i dan selesai bercukur tetapi pulang ke rumah yang jaraknya 100km. Kemudian, selepas maghrib datang semula ke Mina untuk bermalam (mabit) di sana. Adakah dia dikenakan dam? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya:Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.[1]

Allah SWT mengkhabarkan mengenai keagungan Baitullah al-Haram yang merupakan rumah ibadat pertama yang dibina untuk beribadah kepada-Nya di atas muka bumi yang terletak di Makkah, padanya terdapat keberkatan dan petunjuk (hidayah) bagi seluruh manusia.[2]

Pada asasnya, Rasulullah SAW mengingatkan kepada kita semua agar mengikuti manasik haji yang telah diajarkan dan ditunjukkan oleh Baginda SAW. Terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خُذُوا عَنِّي مَنَاسِكَكُمْ

Maksudnya:Ambillah ibadat hajimu daripadaku.”[3]

Menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili, bermalam (mabit) di Mina termasuk dalam salah satu perkara wajib haji. Hal ini adalah berdasarkan kepada perbuatan Nabi SAW yang bermabit di Mina pada hari-hari tasyriq. Seseorang yang melakukan haji wajib bermabit di Mina pada malam-malam hari tasyriq yang tiga melainkan bagi mereka yang melakukan nafar awal pada hari kedua daripada hari-hari tasyriq.

Sekiranya jemaah haji meninggalkan perbuatan bermabit di Mina pada hari-hari tasyriq, maka dia dikenakan dam kerana meninggalkan perkara wajib haji sebagaimana dikenakan juga dam ke atas orang yang meninggalkan perbuatan bermabit di Muzdalifah. Bagi setiap malam yang ditinggalkan dikenakan dam sebanyak satu cupak (mud) daripada makanan.[4]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kata guru kami Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti, jika dia pulang ke rumah selepas itu, dia tidak dikenakan apa-apa dam, apabila malamnya dia pergi ke Mina dan bermalam (mabit) di sana. Akan tetapi tidak digalakkan melakukan seperti itu. Sebaiknya, dia hendaklah tidak keluar dari tanah haram sebelum menyempurnakan ibadah hajinya.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat jika seseorang itu keluar dari tanah haram dan pulang ke rumahnya sebelum bermabit di Mina, tetapi kembali semula pada waktu maghrib untuk bermalam di sana, maka dia tidak dikenakan sebarang dam. Akan tetapi jika dia meninggalkan atau terlepas untuk bermabit di Mina, maka dia dikenakan dam kerana telah meninggalkan perkara wajib haji. Apa yang Rasulullah SAW lakukan adalah dengan terus pergi ke Mina selepas selesai tawaf ifadhah. Itulah manasik haji Rasulullah SAW.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 15 Julai 2022 bersamaan 15 Zulhijjah 1443H

[1] Surah Ali ‘Imran: 96

[2] Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, 213-214.

[3] Riwayat Muslim (1297); Abu Daud (1970); Ahmad dengan sedikit perbezaan lafaz (14419); al-Nasa’i (3062).

[4] Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi ‘i, 2/393.

Latest articles

Related articles