#1071 Tanam Benang di Muka (Thread Lift)

[ux_products]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh beri ulasan terhadap isu tanam benang di muka untuk menghilangkan kedut serta menganjalkan kulit muka seperti yang dilakukan oleh sesetengah wanita pada masa kini?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”[1]

Sayyid Qutb menyebutkan bahawa perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semula jadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semula jadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semula jadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain daripadanya — yakni suaminya itu.[2]

Begitu juga firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.[3]

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT.[4]

Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian — yakni halal dan harus — selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut.[5]

Selain daripada itu, Allah SWT juga ada berfirman:

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya: “Tetaplah atas fitrah Allah SWT  yang telah menciptakan  manusia  atas fitrah itu, tidaklah patut ada  sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu.”[6]

Allah SWT turut berfirman:

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”[7]

Imam al-Tabari menjelaskan, bahawa dalam satu konteks, ayat ini memberi makna larangan mengubah ciptaan Allah SWT.[8]

Definisi dan Proses Tanam Benang di Wajah

Dalam mendapatkan kulit yang kembali cekang dan tidak berkeriput, sebahagian wanita pada masa kini mengambil jalan untuk melakukan rawatan kecantikan ekstrem di mana salah satunya adalah menggunakan proses tanam benang pada kulit atau lebih dikenali dengan thread lift.

Menurut Pakar Estetik, Dr. Abdul Jamil Jamal Buhari, proses tanam benang (threadlifting) akan menggunakan benang jenis Polydioxanone (PDO) yang dimasukkan di bawah lapisan kulit menggunakan jarum yang sangat halus. Benang itu akan diserap pada kulit wajah dan badan selepas dua hingga empat bulan rawatan dijalankan. Benang yang diserap itu akan merangsang badan untuk menghasilkan kolagen. Kolagen yang terhasil oleh benang PDO membantu menegangkan kulit. Benang PDO ini hanya digunakan untuk menjahit luka dalaman.

Rawatan dimulakan dengan menyapukan krim kebas pada wajah supaya tidak rasa sakit ketika rawatan dijalankan. Kemudian, wajah akan dicuci dengan bersih dan memasukkan benang PDO ke dalam kulit menggunakan jarum khas. Biasanya untuk rawatan pada wajah benang yang digunakan berukuran antara 25 hingga 60 mililiter (mm) manakala pada tubuh pula berukuran 60 hingga 90 mm.

Penggunaan benang PDO dapat memberi hasil seperti:

  • Menganjalkan wajah dan leher seperti kulit pipi serta rahang
  • Meremajakan kulit wajah.
  • Mengurangkan kerutan pada wajah, garis senyum, kerutan pada dahi dan sudut mata.
  • Mencerahkan kulit wajah
  • Mengecilkan pori-pori.
  • Membuat wajah menjadi tirus.
  • Mengurangkan kulit berlapis di bawah dagu.

Menurut Dr. Abdul Jamil Jamal Buhari lagi, rawatan tanam benang tidak ada banyak kesan sampingan, cuma bengkak dan kemerahan untuk tempoh satu atau dua hari. Masalah jangkitan jarang berlaku. Mereka yang menjalani rawatan ini tidak dibenarkan membuat urutan pada muka dan tidak boleh mengadakan aktiviti lasak selama seminggu selepas rawatan kerana bimbang terkena sebarang jangkitan. Namun, empat jam selepas rawatan, mereka dibenarkan mencuci wajah mereka perlahan-lahan.

Menurut beliau lagi, selain menjalani rawatan penjagaan wajah sebegini, orang ramai seharusnya menjalani kegiatan hidup sihat dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan sentiasa bersenam dan menggunakan produk kecantikan bersesuaian. Cuma, bagi mereka yang mahukan rawatan lebih segera dan berbaloi bagi merangsang kolagen, rawatan benang PDO mungkin boleh difikirkan kerana ia mampu bertahan sehingga dua tahun. Selepas tempoh itu, mereka digalakkan membuat rawatan ini lagi. Jika enggan, ia tidak memberi sebarang kesan negatif, sebaliknya wajah akan kembali seperti sebelum rawatan.[9]

Selain itu, tanam benang adalah prosedur kosmetik yang dikenali dalam pengubatan estetika sebagai ‘teknik menganjalkan kulit wajah dengan pantas.’ Di setiap klinik, namanya biasanya berbeza-beza seperti Happy Lift, Contour atau Silhoutte Lift. Prosedur ini hanya mengambil masa sekitar satu jam dengan sedikit rasa sakit dan waktu pemulihan yang singkat, jika dibandingkan dengan Facelift tradisional.[10]

Selanjutnya Dr. Maizan Khairun Nissa[11] ada menyatakan, prosedur tanam benang adalah prosedur berisiko rendah dan jarang menyebabkan komplikasi. Tetapi seperti rawatan kecantikan lain, prosedur ini juga boleh menyebabkan kesan sampingan yang ringan. Kesan sampingan tanam benang biasanya dirasai di kawasan di mana benang ditanam. Di antara gejalanya adalah:

  • Terasa panas
  • Pedih
  • Kemerahan
  • Bengkak

Gejala ini tidak berbahaya dan akan hilang dalam masa beberapa hari. Sementara itu, dalam beberapa kes lain, penanaman benang juga boleh mencetuskan komplikasi yang serius. Walaupun jarang berlaku, berikut adalah risiko komplikasi yang masih perlu diwaspadai:

  • Tindak balas alahan kepada bahan benang, gatal-gatal hingga sesak nafas sekiranya berlaku kejutan anafilaktik (anaphylactic shock) akibat alahan.
  • Pendarahan.
  • Cekung pada muka di lokasi penanaman benang.
  • Benang beralih, menyebabkan kesan permukaan muka yang tidak rata.
  • Sakit dan rasa seperti ditarik pada muka.
  • Jangkitan di kawasan penanaman benang.
  • Bengkak lebih daripada 48 jam.
  • Sakit kepala dan demam.

Beliau mengingatkan, jika orang yang melakukan rawatan ini mengalami mana-mana daripada 8 tanda ini, hendaklah dia menghubungi doktor dengan segera untuk rawatan lanjut.[12]

Rawatan: Antara Kecantikan dan Keperluan Perubatan

Pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.[13]

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373)

Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan.[14]

Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebutkan, difahami daripada lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” bahawa ia adalah perbuatan tercela jika mereka melakukan perbuatan tersebut untuk tujuan kecantikan. Namun, jika adanya keperluan bagi perkara tersebut seperti untuk rawatan, maka ia adalah diharuskan.[15]

Di samping itu, Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut.[16]

Hukum Tanam Benang (Thread Lift)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, secara umumnya rawatan kecantikan melalui prosedur tanam benang sebagaimana dinyatakan di atas adalah bertujuan untuk menegangkan kulit wajah melalui penghasilan kolagen oleh benang PDO yang diserap. Dr. Soleh al-Fauzan dalam bukunya yang berkaitan pembedahan kecantikan ada membawakan satu dhawabit umum bagi pengubahan yang diharamkan iaitu:

إِحْدَاثُ تَغْيِيرِ دَائِمٍ فِي خِلْقَةٍ مَعْهُودَةٍ

Maksudnya:Mengadakan sesuatu yang baru dengan cara membuat pengubahan yang kekal pada kejadian yang asal.”

Pengubahan tersebut boleh jadi dengan cara menambah seperti suntikan kecantikan, menanam atau seumpamanya, ataupun dengan menghilangkan sebahagian tisu badan seperti menyedut lemak, ataupun dengan mengubah rupa bentuk sebahagian anggota, sama ada dengan membesarkannya, mengecilkannya atau mengetatkannya.

Manakala lafaz “دَائِم” di sini pula merujuk kepada kesannya itu kekal dalam suatu tempoh yang lama seperti berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dan tidak semestinya kekal sepanjang hayatnya. Justeru, pengikat ini mengeluarkan pengubahan yang bertempoh (التغيير المؤقت) yang mana kesannya itu tidak kekal lebih daripada beberapa hari.

Kemudian, lafaz “خِلْقَة مَعْهُودَة” pula merujuk kepada kejadian yang asal atau normal mengikut sunnah kauniyyah. Misalnya, orang yang sudah lanjut usianya akan mempunyai kedutan pada wajah mereka. Manakala orang yang masih muda pula, kedutan yang terdapat pada wajahnya dengan rupa yang hodoh dikira sebagai kejadian yang tidak normal.  Pengikat “خِلْقَة مَعْهُودَة” meliputi perubahan atas beberapa sebab:

  • Mengubah kejadian yang asal demi kecantikan tambahan semata-mata seperti tatu, mencabut bulu-bulu wajah dan merenggangkan gigi serta apa-apa pembedahan kosmetik yang disandarkan kepadanya yang dilakukan pada kejadian yang asal mengikut uruf kebanyakan manusia.
  • Mengubahnya untuk tujuan menyeksa seperti membutakan mata, memotong telinga dan seumpamanya.
  • Mengubahnya untuk tujuan penyamaran dan melarikan diri daripada pihak berkuasa keselamatan.

Justeru, terkeluar daripada pengikat ini mengubah kejadian yang tidak normal seperti rawatan bagi penyakit, kecederaan, kehodohan dan keaiban yang asal atau keaiban yang mendatang yang menyebabkan kemudaratan pada anggota fizikal atau jiwa. Begitu juga tidak termasuk di dalamnya, pengubahan yang diizinkan oleh syarak seperti khitan dan menjatuhan hukuman syariah.[17]

Begitu juga Dr. Soleh al-Fauzan ada menetapkan tiga syarat bagi mengharuskan penggunaan suntikan kolagen pada bahagian-bahagian tubuh badan:

  • Hendaklah kolagen tersebut diambil daripada bahan yang suci seperti lembu yang disembelih.
  • Hendaklah doktor telah memastikan bahawa tiada mudarat pada suntikan tersebut.
  • Hendaklah tujuan suntikan itu adalah untuk merawat keaiban yang bukan asli dan menghilangkan kehodohan, seperti membuang kedutan yang luar biasa. Adapun jika kesan rawatan itu membawa kepada penipuan atau mengubah ciptaan Allah, maka ia tidak dibolehkan, seperti membuang kedutan yang biasa muncul bagi orang yang sudah tua.[18]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa prosedur menanam benang sebagaimana yang dinyatakan di atas adalah diharuskan sekiranya ada keperluan bagi melakukannya seperti untuk menghilangkan aib kerana kedutan yang berlebihan di wajahnya sehingga menampakkannya lebih tua dan berusia daripada umurnya yang sebenar, untuk tujuan rawatan dan seumpamanya. Selain itu, ia juga terikat dengan syarat prosedur tersebut tidak memberikan mudarat kepada penerima rawatan tersebut.

Adapun jika prosedur menanam benang ini dilakukan untuk kecantikan tambahan semata-mata (tahsiniyyah), bukan untuk mengembalikan kecantikan yang hilang, akibat penuaan yang tidak normal kerana pemakanan yang tidak sihat, penyakit, kemalangan, kecuaian menjaga kesihatan dan seumpamanya, maka ia adalah dilarang dan tidak dibenarkan kerana dikhuatiri ia termasuk dalam pengubahan yang diharamkan. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan berhati-hati (ihtiyat).

Walau bagaimanapun, kami turut menasihatkan agar seseorang yang ingin mendapatkan rawatan dengan prosedur ini, sebaiknya rujuklah terlebih dahulu pakar bagi membuat pemeriksaan dan mendapatkan nasihat daripada pakar sebelum melakukannya — yakni sama ada rawatan itu sesuai ataupun tidak buat mereka — bagi mengelakkan sebarang komplikasi-komplikasi yang tidak diinginkan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 29 Julai 2022M bersamaan 29 Zulhijjah 1443H

[1] Surah al-Nur: 31

[2] Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512.

[3] Surah al-A‘raf: 32

[4] Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15.

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90.

[6] Surah al-Rum: 30

[7] Surah al-Nisa’: 119

[8] Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 9/222.

[9] Lihat rencana bertajuk Kekalkan keremajaan kulit oleh Dr Abdul Jamil Jamal Buhari.  Diterbitkan pada 6 Januari 2017 di portal Berita Harian, https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2017/01/230855/kekalkan-keremajaan-kulit. Diakses pada 27 Julai 2022.

[10] Heinrichs, HL; Kaidi, “Subperiosteal facelift: a 200-case, 4-year review”: Plastic and Reconstructive Surgery (AA: 1998), 102 (3): 843–55.

[11] Beliau ialah seorang doktor, pensyarah dan penulis yang aktif. Dalam kesibukannya bertugas sebagai pakar jantung, beliau juga fokus menulis artikel kesihatan.

[12] Lihat artikel bertajuk: ‘Tanam Benang,’ yang ditulis oleh Dr. Maizan Khairun Nissa dan ditinjau oleh Dr. Reni Utari, https://www.sehatq.com/tindakan-medis/tanam-benang. Diakses pada 27 Julai 2022.

[13] Riwayat al-Bukhari (4886)

[14] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107.

[15] Lihat Fath al-Bari, 10/372.

[16] Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73.

[17] Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74-75.

[18] Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 351.

Latest articles

Related articles