#7 Penambahbaikan SOSMA: Antara Fiqh dan Realiti

Mukadimah

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda SAW hingga ke Hari Kesudahan.

Pada 27 Julai 2022, diadakan Mesyuarat Khas Dewan Negara bagi membincangkan secara khusus seterusnya meluluskan usul berkenaan Akta 747: Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Ramai Senator yang membentangkan pendapat masing-masing dan saya mengambil kesempatan untuk memberi pendapat juga dalam menyokong akta yang dibahaskan secara khusus dengan cadangan dan penyelesaiannya.

Justeru, dalam siri al-Mawaqif pada kali ini, saya namakan dengan “Akta 747: Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA): Cadangan dan Penyelesaian.”

Melihat kepada sisi neraca syariat, harapan saya semoga sebuah keadilan dan ketenteraman awam serta kebahagiaan masyarakat dan negara berjalan seiring ketika mana pelaksanaan akta ini. Keyakinan yang tinggi saya kepada pihak kerajaan yang diberi amanah untuk memastikan kestabilan dan keamanan negara sentiasa berada di puncak tanpa digugat oleh sebarang subversif dan anasir jahat yang cuba mengancam keselamatan negara.

Akhir kalam, marilah kita doakan agar negara kita sentiasa dikurniakan dengan kebaikan dan kita cita-citakan supaya negara kita menjadi sebuah negara yang bersifat “Baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur.” Amin.

Kronologi dan Latar Belakang

Bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika itu secara peribadi menganggap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta 747 sedia ada sudah mantap. “SOSMA digubal bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) pada 2012. SOSMA ialah undang-undang prosedur yang memberi ruang bagaimana polis menjalankan siasatan seperti reman selama 28 hari di mana kita boleh gunakan saksi terlindung untuk beri keterangan di mahkamah, suspek tidak boleh dijamin dan kita boleh gunakan maklumat sensitif daripada agensi perisikan asing di mahkamah,” katanya.[1]

Stigma ramai termasuk ahli-ahli politik terhadap SOSMA adalah dengan menganggap SOSMA merupakan jelmaan semula ISA yang telah dimansuhkan oleh kerajaan pada 12 Jun 2012. Sedangkan SOSMA bukanlah suatu akta drakonian seperti yang digembar gemburkan dan berbeza dengan ISA sebelum ini. Perlu diingat bahawa setiap negara di dunia ini mempunyai satu undang-undang khusus untuk memerangi jenayah berat dan keganasan terancang untuk memelihara ketenteraman awam.

Penahanan pra-perbicaraan dikenali juga sebagai penahanan reman. Ia juga diistilahkan sebagai al-tauqif al-ihtiyati atau  al-habs al-ihtiyati dan sering diguna pakai serta dikaitkan dengan pelaksanaan siasatan. Penahanan pra-perbicaraan menurut al-Sharidi,[2] merujuk kepada suatu tatacara penyiasatan yang melibatkan suatu perintah dari pihak berkuasa yang kompeten untuk menahan seseorang di suatu tempat tertentu disebabkan jenayah yang telah dilakukan olehnya. Tatacara ini dikuatkuasakan untuk menjamin integriti penyiasatan serta maklumat yang diperoleh sehinggalah sama ada suspek disabitkan atau dibebaskan.

Sebagaimana yang dibentangkan oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri bahawa Subseksyen 4(5) Akta 747 ini perlu untuk dilanjutkan lagi bagi tempoh 5 tahun akan datang bagi mengekang aktiviti-aktiviti subversif demi mengekalkan maksud keselamatan awam. Perlu diingat bahawa Subseksyen 4(11) Akta ini jelas menunjukkan sekatan kuasa daripada disalah gunakan apabila kedua-dua dewan Parlimen perlu untuk meluluskan semula tempoh penahanan 28 hari oleh pihak polis selepas tempoh 5 tahun. Hal ini menunjukkan bahawa Akta ini tidak bersifat subjektif dan tidak bertitik kuasa kepada satu pihak sahaja seperti ISA di mana kuasa berpusat hanya kepada menteri yang berkuasa sahaja.

Subseksyen 4(5) Akta ini dilihat memberi ruang masa yang cukup dan munasabah kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan kerana jenayah yang disenaraikan adalah rumit dan kompleks bagi tujuan pendakwaan. Tuduhan yang mengatakan bahawa Akta ini digubal adalah untuk menahan tahanan politik agak janggal kerana Subseksyen 4(3) Akta ini menyatakan bahawa tiada seorang boleh ditahan di bawah Akta ini semata-mata kepercayaan politik dan kegiatan politik tanpa menafikan bahawa ahli politik juga boleh ditahan jikalau mereka juga terlibat dengan kesalahan di bawah Akta ini.

Fakta Berkenaan Akta 747, SOSMA

Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Akta 747, lebih dikenali sebagai SOSMA, memperuntukkan langkah-langkah khas berhubungan dengan kesalahan keselamatan. Tujuannya untuk mengekalkan ketenteraman awam, keselamatan dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya. SOSMA digubal untuk membendung aktiviti seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara, apatah lagi dunia hari ini berhadapan dengan ancaman-ancaman baru yang merentas sempadan.

Ancaman di bawah SOSMA boleh dikatakan sebagai:

  • Ancaman menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu;
  • Membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong;
  • Memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya;
  • Mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang;
  • Dan Parlimen berpendapat bahawa adalah perlu tindakan itu dihentikan.

10 fakta penting tentang SOSMA:

  1. Seorang pegawai polis boleh, tanpa waran, menangkap dan menahan mana-mana pihak yang berkenaan dengannya jika dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan.
  2. Seseorang yang ditangkap hendaklah dimaklumkan dengan seberapa segera yang boleh, mengapa dia ditangkap.
  3. Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya.
  4. Pihak yang ditangkap boleh ditahan selama 24 empat jam bagi tujuan penyiasatan.
  5. Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari.
  6. Peranti pengawasan elektronik boleh dipasangkan pada tertuduh yang dilepaskan.
  7. Jaminan tidak boleh diberikan kepada seseorang yang dipertuduh atas kesalahan keselamatan.
  8. Semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi.
  9. Semasa perbicaraan, Mahkamah tidak boleh memerintahkan Pendakwa Raya mengemukakan apa-apa maklumat yang dianggap sensitif dan memudaratkan keselamatan atau kepentingan negara.
  10. Seseorang tertuduh yang dipenjarakan di bawah seksyen ini, hendaklah ditahan sehingga semua rayuan diselesaikan.[3]

Adakah Boleh Ditahan Seseorang Tanpa Bukti Nyata?

Kaedah fiqh menyatakan:

لَا عِبْرَةَ بِالظّنّ البَيّن خَطَؤُهُ

Maksudnya: “Tidak diambil kira dengan sangkaan yang sudah jelas kesalahannya.”

Suatu perkara yang boleh mendatangkan fitnah terhadap diri sendiri ataupun orang lain perlu dijauhi sebagaimana satu kaedah yang menyebut:

اتَّقُوا مَواضِعَ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan tempat-tempat tohmahan.”

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar R.A,

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.”

Berdasarkan kepada kaedah di atas, kita disuruh untuk menjauhi sebarang perkara yang boleh mendatangkan fitnah sama ada kepada diri sendiri atau kepada agama kerana perkara ini boleh mendatangkan kesan buruk.

Pada asasnya untuk mensabitkan sesuatu kes  perlulah mengemukakan keterangan sehingga mencapai ke tahap yang yakin, ini kerana al-aslu (zahir) itu tidak boleh dihapuskan kecuali dengan keyakinan. Zan bermaksud semata-mata sangkaan walaupun kedudukannya lebih hampir kepada kebenaran, dengan semata-mata zan ia tidak cukup untuk mengenalpasti kebenaran.

Firman Allah SWT:

 إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Maksudnya: “Sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran.

(Surah Yunus: 36)

Ayat di atas menjelaskan kedudukan sangkaan secara umum, dalam beberapa keadaan sangkaan mungkin boleh membantu mencapai kebenaran walaupun tidak dapat memberikan kepastian, ini dapat difahami daripada firman Allah :

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”

(Surah al-Hujurat: 12)

Berdasarkan ayat diatas tidak semua sangkaan ditegah oleh syarak sebaliknya ada yang boleh diterima iaitu “zan al-ghalib.” Zan al-Ghalib ialah sangkaan yang didokong oleh dalil-dalil atau mana-mana petunjuk yang kuat. Sebahagian ulama menjelaskan berhukum dengan perkara Zan al-Ghalib adalah wajib.

Oleh yang demikian keterangan yang berasaskan kepada “zan al-ghalib” ini diiktiraf oleh syarak untuk mengambil tempat al-yaqin semasa gagal untuk sampai ke tahap al-yaqin. Inilah sekurang-kurang tahap pembuktian dalam undang-undang keterangan Islam.

Kita dapat lihat bahawa beban pembuktian dalam undang-undang keterangan Islam adalah lebih tinggi dan ketat berbanding dengan undang-undang keterangan barat dan ia kelihatan lebih berhati- hati dalam meletakkan kesalahan kepada seseorang. Dalam kes zina umpamanya, tidak terdapat satu kes pun yang berjaya disabitkan melalui pembuktian sepanjang hayat Rasulullah SAW. Keadaan ini membuktikan betapa ketatnya kaedah pensabitan kes dalam jenayah seumpama ini.

Penahanan yang dilakukan oleh pihak berkuasa ini berkait rapat juga dengan hukuman ta’zir. Ta’zir berasal daripada perkataan “عزَّرَ يعزِّر تعزيرًا” merupakan masdar. Ia memberi maksud menolak atau menghalang. Dikatakan juga memberi sokongan dan membantu kerana seseorang itu menolak musuhnya daripada untuk menyakitinya. Ta’zir juga dengan makna menguatkannya dan juga dengan makna mengakhlakkannya atau mendisiplinkannya. Ia termasuk daripada asma’ al-adhdad (nama-nama yang ada bertentangan makna).

Dinamakan ‘uqubah atau hukuman dengan ta’zir kerana daripada sifatnya akan dapat menolak penjenayah dan menjarakkannya dari melakukan jenayah atau kembali kepada perbuatan tersebut.

Pada istilahnya pula, ta’zir adalah hukuman yang tidak ditetapkan kadar oleh Syarak yang wajib sebagai hak bagi Tuhan atau manusia pada setiap maksiat yang tiada padanya hukuman hudud dan juga kaffarah pada ghalibnya.[4] Al-Qalyubi berkata, dhabit ini berdasarkan kepada ghalib. Kadang-kadang disyariatkan ta’zir sedangkan tiada dikira maksiat seperti mendidik kanak-kanak dan orang kafir. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 12/254)

Guru kami, Syeikh Mustafa Khin dan lain-lain menyebut dalam al-Fiqh al-Manhaji (5/227-228): Ta’zir adalah suatu hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya oleh Syara’. Hukuman ini dijatuhkan oleh hakim yang beragama Islam dan adil, iaitu hukuman yang dirasakan boleh mencegah manusia melakukan perbuatan keji ini. Hukuman ini boleh dikenakan dalam bentuk sebatan, buang negeri, penjara atau kecaman. Ini kerana perbuatan seperti ini perbuatan maksiat yang tidak termasuk dalam kesalahan hudud dan tidak akan dikenakan kaffarah. Apabila hudud tidak dikenakan, kesalahan ini perlu dikenakan hukuman ta’zir.

Mengikut jumhur ulama’, asal pada ta’zir adalah disyariatkan pada setiap maksiat yang tidak dikenakan hukuman hadd dan kaffarah. Tujuannya untuk mengislah dan membaikkan manusia. Al-Zaila’ie berkata, tujuan daripada ta’zir adalah pencegahan. Dinamakan juga dengan ta’zirat sebagai zawajir ghairu al-muqaddarah yang memberi maksud hukuman-hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya. (Lihat Tabyin al-Haqa’iq, 3/207)

Kisah Umar R.A dan Nasr bin Hajjaj

Imam al-Daraqutni berkata dalam al-Mu’talif wa al-Mukhtalif (4/2205): Dikatakan bahawa Nasr bin al-Hajjaj adalah anak kepada al-Hajjaj bin ‘Alat al-Sulami. Dia hidup pada zaman Umar bin al-Khattab dan digambarkan sebagai seorang yang sangat tampan. Diceritakan bahawa pada suatu malam, Khalifah Umar bin al-Khattab R.A mengelilingi kota Madinah. Tiba-tiba, Umar R.A mendengar seorang wanita melantunkan beberapa bait syair:

هَلْ مِنْ سَبِيْلٍ إِلَى خَمْرٍ فَأَشْرَبُهَا          أَوْ مِنْ سَبِيْلٍ إِلَى نَصْرِ بْنِ حَجَّاجِ

          Adakah cara untuk mendapatkan khamar agar aku meminumnya

                                                  Atau adakah cara untuk mendapatkan Nasr bin Hajjaj

Pada pagi harinya, Khalifah bertanya-tanya tentang nama yang disebut-sebut wanita itu, iaitu Nasr bin Hajjaj. Dia ialah seorang pemuda yang sangat tampan dan memiliki rambut yang sangat bagus. Umar R.A lalu menyuruhnya untuk membotakkan kepalanya, namun ia menjadikannya semakin tampan. Umar kemudian menyuruhnya untuk memakai serban, namun ia juga menjadikan dia semakin tampan. Akhirnya, Umar R.A mengatakan:

لَا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَا تُجَامِعُنِي بِأَرْضٍ أَنَا بِهَا، فَأَمَرَ لَهُ بِمَا يُصْلِحُهُ وَسَيَّرَهُ إِلَى الْبَصْرَةِ

Maksudnya: “Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, kamu tidak boleh bersatu denganku di negeri ini.” Lalu Umar R.A mengasingkan Nasr bin Hajjaj ke Basrah (supaya ia tidak menjadi fitnah bagi kaum hawa).”

Kisah ini diriwayatkan Ibn Sa’ad dalam al-Tabaqat (3/285) dan disahihkan al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Isabah (6/382). Kisah ini juga disebut oleh ramai ulama, antaranya al-Sam‘ani dalam al-Ansab (3/156), Abu al-Abbas Ibn Taimiyyah di beberapa tempat di dalam Majmu‘ al-Fatawa (11/552, 15/ 313, 28/109, 28/371), Ibn al-Qayyim dalam I‘lam al-Muwaqqi’ien (4/284), Ibn Muflih dalam al-Adab al-Syar‘iyyah (3/132), dan lain-lain.

Pengajaran Daripada Kisah Ini: Mendahulukan Kepentingan Umum Berbanding Kepentingan Khusus

Dari sudut fiqh, kisah ini merupakan satu bab dalam mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan peribadi, iaitu dengan menjejaskan kepentingan peribadi dan khusus untuk tujuan melindungi kepentingan awam adalah satu kemestian secara umum.

Badr ad-Din al-Zarkashi menukilkan daripada Ibn ‘Abd al-Salam, katanya: Para ulama bersepakat untuk menolak keburukan yang lebih besar dalam perkara dunia. Ibn Daqiq al-‘Eid berkata: Antara kaedah besar dan mencakup hajat manusia secara umum adalah mencegah dan menghalang dua kerosakan besar dengan memilih yang lebih ringan antara keduanya, sekiranya salah satu daripada keduanya pasti akan terjadi. Maka, hendaklah dengan menghasilkan kemaslahatan yang lebih besar dengan meninggalkan yang lebih ringan dari keduanya. Katanya: Ini adalah peraturan secara umum, tetapi ia tidak mutlak dan tidak terpakai dalam semua kes. Syeikh ‘Izz al-Din berkata: Jika terdapat percanggahan antara dua maslahah, maka diambil yang paling banyak kemaslahatannya atau kebaikannya di antara keduanya dengan mengenepikan yang paling rendah.(Lihat al-Manthur fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, 1/348-349).

Al-Sarkhasi berkata: Jika terbukti bahawa seseorang itu dibuang negeri, maka ini adalah dengan cara mencapai tujuan dan kepentingan, bukan dengan cara mengenakan hukuman had. Rasulullah SAW telah mengusir lelaki yang berzina itu dari Madinah, dan ‘Umar R.A. telah mengasingkan Nasr bin Hajjaj dari Madinah apabila beliau mendengar seorang wanita berkata: “Adakah jalan untuk minum arak, dan adakah cara untuk bersama dengan Nasr bin Hajjaj?” Maka beliau membuangnya ke negeri lain, walaupun ketampanan tidak menentukan seseorang itu harus dibuang; sebaliknya dia berbuat demikian demi kepentingan umum.  (Lihat al-Mabsut, 9/45).

Al-Alusi berkata: Penguasa boleh menghukum untuk mengusir seseorang demi kepentingan umum, sebagaimana yang patut difikirkannya, seperti yang diceritakan dengan jelas bahawa Umar bin al-Khattab R.A mengusir Nasr bin Hajjaj ke Basrah kerana ketampanannya, sebagaimana sebahagian daripada wanita itu tergoda olehnya. (Lihat Tafsir al-Alusi, 9/280).

Syeikh Taqiyuddin Abu al-Abbas Ibn Taimiyyah berkata:  Umar bin al-Khattab mengusir Nasr bin Hajjaj dari Madinah, dari tanah airnya, ke Basrah, apabila beliau mendengar wanita mengarang syair menyatakan kecintaan mereka kepadanya. Sebelum itu, beliau telah mengeluarkan arahan supaya rambutnya dicukur, untuk mengurangkan ketampanannya yang menyebabkan wanita tergoda. Tetapi selepas itu beliau melihat bahawa dia adalah antara orang yang paling tampan dari segi pipinya, dan itu membuat Umar R.A kecewa, lalu beliau mengusirnya ke Basrah. Ini bukan kerana dia telah melakukan apa-apa kesalahan atau melakukan perbuatan tidak bermoral yang mana dia akan dihukum; tetapi kerana terdapat antara wanita-wanita itu ada yang tergoda olehnya, maka Umar mengeluarkan perintah supaya dilakukan sesuatu untuk mengurangkan ketampanannya yang memukau. Dengan memindahkannya dari tanah airnya, cita-cita dan kekuatan fizikalnya akan menjadi lemah, dan dia akan merasakan bahawa dia sedang dihukum. Ini adalah sebagai langkah perlindungan kerana takut akan maksiat dan kegilaan sebelum ia berlaku; itu bukan dengan cara menghukum. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 15/313).

Dakwaan dan Bukti dalam Kehakiman

Daripada Ibn Abi Mulaikah, katanya: Bahawasanya dua orang wanita selalu menjahit di rumah atau di biliknya. Lalu seorang daripadanya keluar dan tangannya tertusuk jarum. Dia pun mendakwa yang melakukan hal itu adalah wanita yang seorang lagi. Maka perkara ini diajukan kepada Ibn Abbas R.Anhuma, lalu beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لذَهَبَ دِمَاءُ قَوْمٍ وَأَمْوَالُهُمْ». ذَكِّرُوهَا بِاللَّهِ وَاقْرَءُوا عَلَيْهَا: {إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّـهِ}، فَذَكَّرُوهَا فَاعْتَرَفَتْ. فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «اليَمِينُ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ».

Maksudnya: “Sekiranya manusia diberikan (hak) dengan sebab dakwaan mereka, nescaya akan tertumpah darah suatu kaum dan habis harta benda mereka.” Ingatkanlah dia (wanita tersebut) kepada Allah dan bacakan kepadanya (firman Allah SWT): {إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّـهِ} (Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah.) [Surah Ali ‘Imran: 77]. Maka mereka pun mengingatkannya dan dia mengakui perbuatannya. Ibn Abbas berkata: “Nabi SAW bersabda: “Bersumpah adalah kewajipan ke atas orang yang didakwa.”

Riwayat al-Bukhari (4552) dan Muslim (1711)

Ibn Daqiq al-‘Eid berkata: Hadith ini adalah salah satu asas daripada asas-asas  hukum, dan ia menjadi rujukan yang paling besar apabila berlaku perselisihan dan pertengkaran dan ia menjadi syarat bahawa tidak seorang pun dinilai berdasarkan dakwaannya semata-mata. (Lihat Syarh Arbain al-Nawawiyah, hlm. 109)

Syeikh al-Sa’di berkata: “Hadith ini sangat besar ketetapannya, dan ia adalah salah satu asas dalam perkara kehakiman dan hukum. Hal ini kerana keputusan kehakiman antara manusia hanya berlaku apabila terdapat perselisihan. Sebagai contoh, seseorang ini menuntut haknya dan tuntutannya diingkari, dan seseorang ini mendakwa dia tidak bersalah terhadap hukuman yang telah thabit ke atasnya. Maka Nabi SAW menjelaskan berkenaan asas dalam menyelesaikan perselisihan antara mereka. Maka jelaslah apa yang benar dan apa yang batil, maka sesiapa yang menuntut harta tertentu, atau hutang, atau hak hak dan tanggungan mereka kepada orang lain, dan orang lain itu mengingkarinya, maka pada asalnya tuntutan itu merupakan tuntutan yang mungkar. Jika yang mendakwa itu datang dengan bukti yang membuktikan hak itu, maka tuntutan tersebut diterima dan thabit, maka dihukum kepada yang dituntut itu dengan tuntutan pendakwa itu. Sekiranya yang dituntut itu tidak mengemukakan bukti, dia tidak mempunyai apa-apa terhadap yang lain kecuali sumpah. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar wa Qurrah ‘Uyun al-Akhyar, hlm. 135)

Tempoh Tahanan dan Pihak yang Diberi Kuasa untuk Mengeluarkan Perintah Tahanan

Para fuqaha mempunyai pelbagai pendapat mengenai tempoh tahanan. Di antaranya:

  • Al-Mawardi menukilkan daripada Abu Abdillah Zubairi daripada kalangan ulama mazhab Syafi‘i yang berpendapat bahawa tempoh maksimum penahanan (bagi soal siasat) mestilah tidak melebihi tempoh sebulan. (Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 344).
  • Menurut Abu Hanifah, penahanan itu tidak bolehlah melebihi tempoh sehari semalam.
  • Pendapat lain pula menyatakan bahawa tempoh penahanan adalah terletak di atas pihak mahkamah dalam menentukannya.
  • Pendapat seterusnya, penahanan ini boleh melebihi tempoh sebulan. Inilah yang dilakukan oleh Qadhi Abu Ya‘la ketika beliau menjadi hakim. Beliau berpendapat bahawa jika tempoh penahanan kurang daripada 30 hari, maka ia di bawah kebenaran hakim dan sekiranya lebih daripada 30 hari, maka ia adalah di bawah perintah atau kebenaran khalifah.
  • Sebahagian fuqaha berpendapat dengan pendapat yang mengatakan bahawa tempoh tahanan adalah suatu ijtihad Ketua Negara sendiri.[5]
  • Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan, jumhur fuqaha dalam kalangan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali tidak meletakkan kadar had maksimum bagi suatu penahanan bagi tujuan ta’zir. Mereka menyerahkan perkara tersebut kepada hakim. Maka, hakim akan mengeluarkan keputusan (mengenai tempoh penahanannya itu) berdasarkan kepada tempoh yang sesuai bergantung kepada keadaan suspek atau penjenayah itu sendiri. Justeru, hakim boleh memanjangkan tempoh tahanan bagi sesiapa yang berulang kali melakukan jenayah atau bagi penjenayah yang berbahaya — atau seumpamanya.
  • Manakala dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i pula terdapat tiga pendapat:

Pertama: Al-Zubairi berpendapat tempoh maksimum tahanan ialah enam bulan.

Kedua: Pendapat masyhur dalam mazhab menyatakan, tempoh maksimumnya ialah setahun.

Ketiga: Pendapat Imam al-Haramain dan ia selari dengan pendapat jumhur yang menyatakan, tidak ditentukan tempoh maksimum bagi suatu penahanan. Bahkan, sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i mengharuskan untuk beramal dengan pendapat jumhur ini berdasarkan kepada maslahah dan bukannya kerana kepentingan sesuatu atau balas dendam. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/288).

Tarjih

Oleh itu, kami berpendapat bahawa tempoh penahanan adalah berdasarkan kepada tempoh yang sesuai bergantung kepada maslahah dan keperluan sesuatu kes. Ibn Abi al-Dam tegas mengatakan bahawa setiap penahanan yang dibenarkan mestilah dilaksanakan dalam tempoh yang sesuai dan ia bergantung kepada keadaan suspek itu sendiri.

Kebanyakan para fuqaha bersetuju memilih pandangan ini sebagai pegangan mereka. Iaitu tempoh penahanan sementara atas tujuan siasatan ini tiada had masa yang terhad dan bergantung ke atas keadaan kes itu sendiri.

Inilah juga pendapat Ibn Qayyim yang mengatakan bahawa jika seorang tertuduh itu pernah mempunyai rekod sabitan jenayah sebelumnya, maka ia boleh ditahan dalam tempoh yang panjang namun jika sebaliknya, tempoh penahanannya itu boleh dipendekkan. Ia bergantung ke atas keadaan dan latar belakang

Para ulama bersepakat bahawa kuasa penahanan ini tidak hanya diberikan kepada pihak hakim semata-mata, namun diberikan kepada gabenor atau pemerintah tentera wali al-harb kerana hakim diberi kuasa untuk melaksanakan hukum syarak dan dia tidak dibenarkan menahan seseorang melainkan dengan adanya hak dan terbukti sabit kesalahan. (Lihat al-Turuq al-Hukmiyyah, hlm. 148).

Pendapat al-Mawardi, Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim dalam perundangan Islam, pihak yang boleh mengeluarkan perintah penahanan hanyalah hakim sahaja. Ia merupakan kata sepakat daripada para fuqaha. Menurut ijmak ulama mestilah mendapat kebenaran daripada pihak qadhi atau pihak yang berautoriti terlebih dahulu.

Kami tegaskan disini bahawa tempoh penahanan reman atau sementara menurut Islam yang disepakati adalah bergantung kepada suspek dan jenis atau keadaan kes itu sendiri. Sekiranya kes itu merupakan kesalahan yang berat, berkemungkinan tempoh penahanan itu akan menjadi lebih panjang. Berkenaan dengan pihak yang diberi kuasa untuk mengeluarkan perintah reman.

Apabila seseorang itu ditangkap dan ditahan serta gagal mendapatkan jaminan, maka dia bolehlah ditahan dalam penjara mahupun dalam jagaan pihak berkuasa dengan suatu perintah daripada hakim. Terdapat hadith yang diriwayatkan Mu‘awiyah al-Qusyairi R.A, katanya:

 أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَبَسَ رَجُلًا فِي تُهْمَةٍ ثُمَّ خَلَّى عَنْهُ

Maksudnya:Bahawa Nabi SAW telah menahan seorang lelaki oleh kerana terdapat tuduhan padanya, kemudian Baginda membebaskannya.

Riwayat Abu Dawud (3630) dan al-Tirmizi (1417). Imam al-Tirmizi menghasankan hadith ini.

Mulla Ali al-Qari menyatakan: Bahawa Nabi SAW pernah menahan seorang lelaki yang dituduh, iaitu dalam memberikan keterangan bahawa dia berbohong mengenainya, atau yang dia didakwa melakukan kesalahan, hutang, lalu Baginda SAW menahannya dengan tujuan untuk mengetahui kebenaran dakwaan itu dengan bukti. Kemudian ketika mana tidak terdapat bukti, maka dia dibebaskan, iaitu Baginda meninggalkannya daripada ditahan dengan membebaskannya. Berdasarkan peristiwa ini menunjukkan bahawa menahan seseorang merupakan daripada hukum-hukum syarak. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 6/452)

Inilah juga pendapat Ibn Qayyim al-Jauziyyah iaitu sekiranya tertuduh masih tidak diketahui statusnya, maka dia boleh ditahan sehingga kedudukan sebenarnya diketahui. Akan tetapi, tuduhan yang dilakukan itu mestilah berasas, kemudian barulah boleh dipanggil tertuduh, bukan semata-mata tuduhan sahaja. Selain itu, begitu juga dengan tertuduh yang telah mempunyai rekod jenayah turut boleh ditahan bagi menjalankan siasatan lanjut. (Lihat al-Turuq al-Hukmiyyah, hlm. 148)

Hak-hak Orang yang Ditahan

Di antara hak-hak mereka adalah:

Pertama: Melaksanakan Kewajipan Solat

Hukum solat adalah fardhu ain. Ertinya, ia wajib ditunaikan oleh semua orang Islam, yang berakal, baligh, berada dalam keadaan suci (bukan haid). Dalil hukumnya adalah wajib adalah seperti berikut:

Al-Quran

Di antaranya ialah firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”

(Surah al-Baqarah: 43)

Menurut Abu al-Husain al-Subki bahawa ayat ini dalil yang mewajibkan solat ke atas semua manusia, orang beriman bahkan kepada kanak-kanak, melainkan untuk mereka adalah ta’dib (pendidikan wajib ke atas ibu bapa) sekalipun dari sudut hukum wajib ke atas kanak-kanak itu masih belum berlaku selagi belum mumayyiz, baligh dan berakal. (Lihat Bahr al-Muhit oleh al-Zarkasyi, 2/59).

Al-Sunnah

Di antaranya, hadith daripada riwayat Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya:Dibina Islam atas lima perkara; penyaksian bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji dan berpuasa Ramadhan.

Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)

Ibn Hajar al-Haitami menyatakan, dibina Islam ertinya diasaskan, dan penggunaan perkataan bina, seperti mana yang diletakkan dalam hadith, untuk merujuk kepada kepada perkara-perkara yang boleh dicerap secara fizikal, untuk memberi maksud kiasan. Hubungannya adalah persamaan. Islam itu disamakan dengan binaan yang hebat dan kukuh. Tiang-tiangnya siap dengan pasak-pasak yang teguh lagi kukuh untuk menampuk bangunan tersebut. (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 189)

Begitu juga hadith daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma bahawa tatkala Rasulullah SAW menghantar Muaz bin Jabal ke Yaman, Baginda berpesan kepada beliau:

إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَى أَنْ يُوَحِّدُوا اللَّهَ تَعَالَى، فَإِذَا عَرَفُوا ذَلِكَ، فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي يَوْمِهِمْ وَلَيْلَتِهِمْ

Maksudnya:Sesungguhnya engkau akan pergi ke suatu kaum daripada kalangan ahli kitab, maka jadikanlah seruan pertamamu untuk mereka adalah mengesakan Allah. Jika mereka telah mengetahui perkara itu maka khabarkan kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka sembahyang lima waktu sehari semalam.”

Riwayat al-Bukhari (7372)

Begitu juga daripada riwayat Muaz bin Jabal R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ

Maksudnya:Tunjang segala urusan adalah Islam dan tiangnya pula adalah solat.”

Riwayat al-Tirmizi (2616) dengan sanad yang hasan (baik).

Oleh itu Imam al-Haramain al-Juwaini menyebutkan, solat itu adalah tiang agama maka sesiapa yang meninggalkan solat, nescaya dia telah meruntuhkan agama. (Lihat Nihayah al-Matlab, 2/5)

Ijmak

Umat Islam seluruh zaman dan tempat telah bersepakat bahawa solat fardhu lima waktu sehari dan semalam, hukumnya adalah wajib, sehingga ia termasuk dalam urusan agama yang sudah diketahui umum (al-Ma‘lum min al-Din bi al-Darurah). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/297).

Justeru, solat adalah satu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan dalam apa jua keadaan sekalipun. Maka, pihak berkuasa yang menahan seseorang perlu memberikan ruang untuk mereka melakukan solat walau apa keadaan sekalipun kerana ia merupakan kewajipan bagi setiap orang.

Kedua: Menutup Aurat

Termasuk dalam kewajipan seorang Muslim dan Muslimah itu adalah untuk menutup aurat mereka. Perkataan aurat adalah merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutupi dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut al-Khatib al-Syirbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185).

Menurut pengarang kitab Kifayah al-Akhyar, aurat menurut syarak ialah batas minima daripada bahagian tubuh yang wajib ditutup kerana perintah Allah SWT. (Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/52).

Selain itu, dijelaskan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa aurat adalah suatu anggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 31/44).

Pada asasnya, hukum menutup aurat adalah wajib sepertimana disepakati ulama berdasarkan firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya:Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

(Surah al-Nur: 31)

Berdasarkan ayat al-Quran ini, para ulama menetapkan hukum wajib bagi menutup aurat bagi orang lelaki dan perempuan. Begitu juga dalam hadith Rasulullah SAW menegur Asma’ binti Abu Bakar R.Anhuma:

يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا

Maksudnya:Wahai Asma’! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak daripada anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).”

Riwayat Abu Dawud (4104) dan al-Baihaqi (3218)

Sebahagian para ulama membezakan batasan aurat ketika dalam solat dan luar solat. Hal ini dijelaskan dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/124-127) sebagaimana berikut:

Batasan aurat ketika bersolat

Aurat lelaki ialah bahagian badan antara pusat hingga lutut. Oleh itu wajib menutupnya dan tidak boleh kelihatan sedikitpun anggota tersebut ketika bersolat.

Sementara aurat perempuan pula ialah seluruh badan selain muka dan dua tapak tangan. Oleh itu wajib menutupnya dan tidak boleh kelihatan sedikitpun ketika bersolat selain anggota yang dikecualikan tersebut.

Batasan aurat ketika di luar solat

Aurat lelaki sesama lelaki walau apapun keadaannya dan aurat lelaki terhadap perempuan mahramnya ialah bahagian badan di antara pusat dan lutut.

Sementara aurat lelaki terhadap perempuan lain pula mengikut pendapat yang muktamad adalah seluruh anggota badan selain muka dan dua tapak tangan. Oleh itu tidak harus bagi perempuan melihat anggota lelaki bukan mahramnya selain muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, hukum melihat mukanya dengan berahi (syahwat) tetap haram.

Selanjutnya batasan aurat perempuan Islam sesama mereka pula ialah bahagian badan di antara pusat dan lutut, manakala aurat perempuan Islam terhadap perempuan kafir ialah seluruh badan selain anggota yang biasa kelihatan kerana keperluan tugas seperti melakukan kerja-kerja di rumah dan sebagainya.

Sementara itu aurat perempuan terhadap lelaki mahramnya ialah bahagian badan di antara pusat dan lutut. Ini bererti mereka harus mendedahkan seluruh anggota badannya yang lain di hadapan mahramnya dengan syarat terhindar daripada berlaku fitnah. Jika ada kemungkinan berlaku fitnah hukumnya tetap haram.

Kemudian, aurat perempuan terhadap lelaki yang bukan mahram ialah seluruh tubuhnya. Oleh itu tidak harus dia mendedahkan mana-mana bahagian tubuhnya di hadapan mereka kecuali dengan sebab-sebab yang dimaafkan (عُذرٌ). Begitu juga sebaliknya, mereka tidak harus melihat mana-mana bahagian tubuh badan perempuan bukan mahramnya yang terdedah. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka yang demikian itu lebih suci bagi mereka.

 (Surah al-Nur: 30)

Dalam hadith pula, terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

لَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي الفَجْرَ، فَيَشْهَدُ مَعَهُ نِسَاءٌ مِنَ المُؤْمِنَاتِ مُتَلَفِّعَاتٍ فِي مُرُوطِهِنَّ، ثُمَّ يَرْجِعْنَ إِلَى بُيُوتِهِنَّ مَا يَعْرِفُهُنَّ أَحَدٌ.

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang perempuan Mukminah juga turut solat Subuh bersama Nabi SAW. Mereka solat dengan berselimutkan kain-kain mereka. Setelah solat, mereka pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan tiada sesiapa pun mengenali mereka.”

Riwayat al-Bukhari (372)

Selain daripada itu, terdapat beberapa keadaan yang diharuskan untuk mendedahkan aurat dan melihatnya dengan sebab-sebab yang dimaafkan (عُذرٌ):

  • Ketika meminang perempuan untuk tujuan bernikah, harus melihat muka dan dua tapak tangan.
  • Untuk menjadi saksi atau untuk berurusan, harus melihat bahagian muka sahaja sekiranya perlu untuk mengenali perempuan tersebut yang tidak mungkin dikenali tanpa melihatnya.
  • Untuk tujuan merawat dan berubat, harus mendedahkan aurat dan melihatnya setakat yang diperlukan.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Jabir bin Abdullah RA:

أَنَّ أُمَّ سَلَمَةَ اسْتَأْذَنَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِى الْحِجَامَةِ فَأَمَرَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَا طَيْبَةَ أَنْ يَحْجُمَهَا

Maksudnya:Ummu Salamah R.Anha meminta izin Rasulullah SAW untuk berbekam lalu Nabi SAW pun menyuruh Abu Taibah untuk membekamnya.”

Riwayat Muslim (2206)

Harus melihat aurat perempuan untuk tujuan merawat dan berubat dengan syarat dihadiri mahram atau suaminya bersama-sama, dan tiada orang perempuan yang mampu mengubatinya. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat lelaki atau wanita Islam yang mampu melakukan rawatan tersebut, janganlah menyerahkannya kepada orang yang bukan Islam.

Justeru, pihak berkuasa yang menahan seseorang perlu memberikan ruang mereka yang ditahan untuk menutup aurat mereka walau apa keadaan sekalipun kerana ia merupakan kewajipan bagi setiap orang.

Ketiga: Berlaku adil

Menurut Ibn Manzur, keadilan dari segi bahasa ialah tidak berat sebelah atau menetapkan sesuatu dengan benar. Dari segi konsep, beliau menyebutkan yang dimaksudkan dengan keadilan ialah sesuatu yang sudah mantap dalam fikiran sebagai perkara yang lurus. (Lihat Lisan al-‘Arab, 11/430)

Manakala Sayyid Sabiq pula menyebutkan, keadilan adalah menyampaikan segala sesuatu yang menjadi haknya sekaligus menjaga atau memelihara dan menjauhi yang bukan haknya sesuai dengan kadar atau ketentuan haknya masing-masing. (Lihat ‘Anasir al-Quwwah fi al-Islam oleh Sayyid Sabiq)

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”

(Surah al-Nahl: 90)

Menurut al-Sa‘di, berbuat baik itu adalah seperti seseorang memberi manfaat kepada orang lain dengan hartanya, tubuh badannya, ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya suruhan berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya — yakni haiwan yang tidak dimakan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/447).

Justeru, keadilan yang sepatutnya perlu diberikan kepada mereka yang ditahan supaya mereka dapat diadili dengan sebaiknya tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

Keempat: Diberi Waktu Rehat

Keperluan berehat merupakan keperluan bagi semua manusia kehidupan yang Allah ciptakan. Ia juga bertepatan dengan fitrah kemanusiaan yang telah diciptakan oleh Allah SWT di dalam diri setiap manusia. Firman Allah SWT:

فِطْرَتَ اللَّـهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّـهِ ۚ

Maksudnya: “(Turutlah terus) fitrah (agama) Allah, iaitu agama yang Dia fitrahkan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu.”

(Surah al-Rum: 30)

Dalam hal ini, hak untuk berehat, makan, minum, dan tidur termasuk dalam hak asasi manusia. Hak asasi manusia menurut perspektif Islam tidak lain bermaksud al-Hurriyyah al-fitriyyah iaitu kebebasan manusia menurut fitrah.

Sebagaimana kata al-Buti, kebebasan menurut fitrah sekali-kali tidak akan bercanggah dengan sifat perhambaan manusia kepada Allah SWT, bahkan dengan memperhambakan diri kepada Allah SWT, maka ia semakin mengangkat tinggi fitrah kemanusiaan. (Lihat Huriyyah al-Insan fi Zill ‘Ubudiyyatih Lillah, hlm. 119)

Justeru, bagi pihak berkuasa yang menahan pesalah, perlu juga memberi masa kepada mereka yang ditahan waktu untuk mereka berehat sesuai dengan fitrah manusia.

Syor dan Cadangan

SOSMA dilihat lebih baik dengan menyediakan satu peruntukan yang menghormati hak individu di bawah Seksyen 5 Akta ini di mana keluarga orang yang ditahan akan dimaklumkan dan diberi pilihan untuk berunding dengan peguam pilihannya. Disamping itu, Seksyen 12 Akta ini menyatakan bahawa semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi. Hal ini jelas berbeza berbanding ISA dimana menteri berkuasa melanjutkan tempoh tahanan setelah 2 tahun tanpa had serta tidak dibicarakan di mana-mana mahkamah.

Penahanan ini tidak dinafikan menyebabkan satu tindakan agresif terhadap kebebasan individu tetapi pada masa yang sama ia menjustifikasikan kepentingan penyiasatan. Ia melibatkan kebebasan tertuduh dirampas untuk satu jangka masa tertentu sahaja dan ia juga merupakan satu tatacara yang melindungi masyarakat serta kepentingan awam. Penahanan pra perbicaraan jelas menyebabkan konflik antara dua maslahat yang saling bertentangan iaitu maslahat individu yang berhak untuk menikmati kebebasannya dan maslahat masyarakat awam yang berhak untuk menikmati keamanan dan mencari kebenaran. Prinsip asas penahanan seseorang suspek jenayah adalah untuk mencari kebenaran sesuatu kes yang melibatkan kepentingan serta keselamatan masyarakat.

Umar Said Ramadhan mengatakan bahawa antara tujuan lain penahanan pra-perbicaraan ini adalah demi memelihara kemaslahatan dan ketelusan penyiasatan seperti mengelakkan tertuduh menganggu para saksi dan memanipulasi bukti-bukti yang boleh dijadikan sebagai bahan sokongan kes tersebut. (Lihat Mabadi’ Qanun al-Ijra’at al-Jana’iyyat, 1/40).

Kebolehterimaan penahanan seperti ini adalah berdasarkan prinsip:

الضَّرُورَات تُبِيح الْمَحْظُورَات

Maksudnya: “Keadaan darurat mengharuskan perkara-perkara yang asalnya haram.”

Kaedah ini tidaklah bermaksud perkara-perkara yang haram itu bertukar hukumnya menjadi halal secara mutlaq; namun ia hanya dibenarkan untuk keadaan tertentu, bagi orang tertentu dan untuk jangka masa yang tertentu.

Tatacara penahanan pra-perbicaraan ini bukan sekadar menahan seseorang tanpa motif dan tujuan yang sah di sisi undang-undang. Ia juga bukan suatu bentuk hukuman dan bukan bertujuan untuk menghukum. Hukuman hanya dilaksanakan ke atas pesalah jenayah sedangkan individu yang ditahan pada peringkat pra perbicaraan ialah seorang suspek dan belum dibuktikan bersalah. Seterusnya, pelaksanaan dan penguatkuasaan tatacara penahanan pra perbicaraan mampu mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan awam. Ia menghalang tertuduh dari melarikan diri, menyembunyikan serta memusnahkan bukti-bukti yang menentangnya dan mengancam saksi-saksi. Sebagai contoh, al-Sarakhsi[6] telah mencadangkan supaya suspek yang dituduh berzina dan tidak dikenali dirinya oleh pihak berkuasa, untuk ditahan sehingga terdapat bukti-bukti yang kukuh dikemukakan.

Penahanan ini adalah bertujuan untuk memastikan suspek tidak menghindari dari diadili. Penahanan ini juga mengelak tertuduh dari mengulangi perbuatan jenayahnya (recidivist) atau melakukan jenayah yang baru dan melindunginya dari ancaman dendam pihak mangsa.[7] Pelaksanaan dan penguatkuasaan tatacara penahanan pra perbicaraan tidak menafikan pengaplikasian kaedah fiqhiyyah (الأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّة) dan tidak mungkin menepati prinsip andaian tidak bersalah walau apa jua justifikasi yang diberi. Namun sebilangan  fuqaha seperti Ibn  Farhun, al-Mawardi dan Abu  Ya’la berpandangan bahawa tatacara penahanan ini tidak bertentangan dengan prinsip anggapan tidak bersalah. Mereka menganggap prinsip ini hanya satu kaedah pembuktian kes jenayah Islam. Pangarang Tuhfah al-Ahwazi mencatatkan bahawa penahanan orang yang didakwa sebelum dikemukakan keterangan ke atasnya adalah selari dengan hukum syarak.

Justeru, saya menyokong agar Subseksyen 4(5) Akta  ini dilanjutkan lagi bagi tempoh 5 tahun akan datang demi kemaslahatan umum dan keselamatan awam. Namun, harus diingat bahawa kita mengharapkan agar Akta ini bergerak dengan ruh dan matlamat asalnya serta tidak disalah guna oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.

Penutup

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137).

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

_______________________________

[1]Lihat https://www.sinarharian.com.my/article/58455/BERITA/Nasional/SOSMA-sedia-ada-sudah-mantap-kata-Ayob-Khan

[2] Lihat Jurnal bertajuk: Tatacara Penahanan Pra Perbicaraan Jenayah Syariah Di Malaysia: Analisis Menurut Pandangan Fuqaha, Journal of Contemporary Islamic Law, Vol. 1(1) (2016)

[3] Lihat https://www.astroawani.com/berita-malaysia/10-fakta-anda-perlu-tahu-tentang-sosma-76148

[4] (Lihat al-Mabsut, 9/36; Fath al-Qadir, 7/119; Kasyaf al-Qina’, 4/72; Al-Ahkam al-Sultaniyyah oleh al-Mawardi, hlm. 224; Nihayah al-Muhtaj, 7/72; Qalyubi, 4/205.)

[5] Lihat Jurnal bertajuk: Justifikasi Keperluan Penahanan Reman Menurut Perundangan Islam dan Sivil, oleh Fathin Shahirah Abd Rahim, Jurnal Fiqh, No. 15 (2018) 87-116.

[6] Lihat Jurnal bertajuk: Tatacara Penahanan Pra Perbicaraan Jenayah Syariah Di Malaysia: Analisis Menurut Pandangan Fuqaha, Journal of Contemporary Islamic Law, Vol. 1(1) (2016)

[7] Ibid

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *