#141 Jamak Qasar di Tempat Kerja

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Setiap hari saya berulang alik dari rumah ke tempat kerja yang terletak sekitar 120 km. Bolehkah saya solat jamak qasar disebabkan jarak yang jauh dan telah melebihi 2 marhalah itu?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Antara rahmat yang Allah SWT berikan kepada umat ini adalah boleh melakukan solat secara qasar iaitu memendekkan solat daripada empat rakaat menjadi dua rakaat dan juga boleh menggabungkan antara dua waktu solat. Menggabungkan antara Solat Zohor dengan Solat Asar dan juga menggabungkan antara Solat Maghrib dengan Solat Isyak. Ia dipanggil sebagai solat Jamak. Kedua-dua kemudahan ini dibenarkan untuk dilakukan khususnya ketika bermusafir.

Ianya adalah sebagai satu keringanan agar solat boleh dilakukan di mana sahaja walaupun ketika bermusafir. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang…”[1]

Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan solat qasar dan jamak dilakukan. Antara yang disebutkan oleh para fuqaha:

  • Solat yang diqasarkan adalah solat fardu yang empat rakaat.
  • Ada tujuan walaupun dengan mana-mana arah
  • Permusafirannya adalah permusafiran yang diharuskan bukan kerana maksiat
  • Mempunyai tujuan yang baik seperti pergi kerana urusan perniagaan dan lain-lain.
  • Jarak perjalanan adalah sejauh dua marhalah iaitu dianggarkan sejauh 82 kilometer. Jarak ini adalah secara taqribi (lebih kurang).
  • Melepasi negeri atau kawasan tempat bermukim.
  • Ada pengetahuan berkenaan hukum hakam solat qasar dan jamak.[2]

Al-Khatib Al-Syarbini ketika menjelaskan berkenaan dengan syarat yang membolehkan untuk qasar dan jamak, beliau mengatakan permusafiran tersebut mestilah bukan dengan tujuan maksiat. Sama ada yang wajib seperti bermusafir untik menunaikan haji ataupun yang mandub seperti menziarahi kubur Nabi SAW ataupun yang harus seperti bermusafir untuk perniagaan.[3]

Imam Al-Ramli menyatakan permusafiran itu mestilah sama ada yang wajib atau mandub ataupun yang harus. Boleh jadi permusafiran itu adalah yang makruh seperti bermusafir sendirian terutamanya pada waktu malam.[4]

Dalam persoalan di atas, kami melihat bahawa boleh untuk menqasarkan dan menjamakkan solat pada hari bekerja kerana telah memenuhi syarat-syarat utama qasar dan jamak iaitu perjalanan melebihi 2 marhalah dan tujuan perjalanan adalah tujuan yang harus.

Meskipun begitu, perlu diingatkan bahawa solat jamak dan qasar hanya boleh dilakukan di tempat kerja ataupun ketika dalam perjalanan. Adapun ketika sampai di kawasan permukiman tidak boleh untuk mengambil rukhsah tersebut dan perlu dilakukan solat secara sempurna.

Marilah sama-sama kita akhiri dengan doa:

‏ رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ‎﴿٤٠﴾‏ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 17/11/2021 bersamaan 12 Rabiul Akhir 1443H

[1] (Surah al-Nisa : 101)

[2] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidahhlm 314-315

[3] Lihat al-Iqna’ fi Hilli Alfaz Abi Syuja’, 2/384

[4] Lihat Nihayah al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 2/248

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *