#17: Korupsi Yang Membarah: Tribut Kepada Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan

Mukadimah

Alhamdulillah, lafaz syukur kepada Yang Maha Esa, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW, keluarga, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.

Pada hari ini, 23 Februari 2023, kami dikejutkan dengan pemergian tokoh pemikir Islam, bukan sekadar di Malaysia, bahkan di dunia iaitu Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan. Saya rakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum, rakan taulan dan kenalan rapatnya atas pemergian insan yang saya anggap amat istimewa ini. Saya katakan, ‘إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ’. Semoga Allah mengurniakan kepada Almarhum keampunan, rahmat dan kasih sayang dari-Nya, dan ditempatkan beliau bersama para nabi, siddiqin, syuhada’ dan solihin

Saya tidak berkata kecuali yang baik dan penyaksian saya bahawa Almarhum adalah seorang yang soleh, wara’ dan mempunyai keperibadian yang unggul, yang boleh dicontoh serta pendirian yang jelas dalam banyak isu-isu agama. Inilah keistimewaan Almarhum di samping keilmuannya tidak boleh dipertikaikan lagi, bahkan disanjung di dunia Arab dan di Barat. Mengambil semangat buah fikirannya yang terakhir terkait rasuah – melalui bukunya – maka saya mengemukakan di sini sedikit ulasan ringkas kepada karyanya, Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika.

Penulisan ini telah disiapkan awal, namun saya tidak bercadang untuk mengeluarkan lebih awal dan mendahului beberapa artikel lain yang lebih penting. Namun, perancangan-Nya jauh lebih baik. Pemergian beliau menjentik hati saya untuk menerbitkan artikel ini dan menyahut seruan gerakan #RasuahBusters yang diasaskan Datuk Hussamuddin Yaacub, bagi mengingatkan kembali perjuangan Almarhum Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan menentang gejala rasuah yang boleh menghancurkan negara. 

Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu

Pada 22 September 2022 yang lalu, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan  Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah bertitah ketika menyempurnakan pelancaran buku Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika karya tokoh pemikir Islam, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan di Kumpulan Karangkraf. Titah tersebut amat menarik perhatian saya di samping muhasabah buat diri yang kerdil ini. 

Ketika mendefinisikan rasuah, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan menjelaskan bahawa rasuah ditakrifkan sebagai perbuatan salah guna kuasa untuk memperkaya atau memberikan kelebihan kepada individu, anggota keluarga, dan kenalan rapat ketika seseorang itu diamanahkan dengan tanggungjawab untuk mentadbir urus sumber awam.

Ia adalah satu bentuk kemungkaran atau kerosakan dalam proses membuat keputusan di mana seseorang pembuat keputusan bersetuju untuk menyimpang atau melakukan penyelewengan daripada kriteria yang ditetapkan dalam membuat keputusan, sebagai pertukaran untuk ganjaran atau untuk janji atau jangkaan ganjaran.

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dengan tegas menyatakan rasuah sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan, serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik. Rasuah juga mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara. Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah, ada negara yang terbenam dalam kemelut kemunduran, ada negara yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan.

Natijahnya juga, hasil mahsul negara pasti akan lesap. Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa. Itulah penyakit dalam masyarakat, barah, penyakit yang menjalar sedikit demi sedikit, merosakkan satu persatu organ organisasi, hingga akhirnya melumpuhkan keseluruhan organisasi dan membawa “maut” kepada negara.

Baginda turut menitahkan menyeru supaya lebih ramai berani tampil menggemakan mesej memerangi rasuah dan menyarankan aktivis dalam gerakan tersebut menumpukan kepada tenaga muda yang masih belum rosak mindanya.

Sultan Nazrin bertitah ketika menyempurnakan pelancaran buku Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika karya tokoh pemikir Islam, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan di Kumpulan Karangkraf pada Khamis. – Foto SINAR HARIAN https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/09/22/1918335.jpg 

Renungan Bersama

Pada mukadimah titahnya, Sultan Nazrin dengan lantang menyatakan: “Sesungguhnya, pendekatan penulis, merupakan pendekatan baharu di luar norma – di luar kotak budaya bangsa. Penulis berkemungkinan menghadapi risiko tidak disenangi oleh sebahagian daripada masyarakat Melayu, terutama yang terasa pedasnya cili.”

Namun, itulah realiti bangsaku. Sesekali perlu disentakkan, tak selamanya dielus-elus. Agar bangun dari lena dan leka serta segera sedar bahawa bangsanya dan negaranya sedang menghadapi virus penyakit yang sangat memudaratkan; jauh lebih berbahaya daripada serangan virus Covid-19.

Almarhum Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan telah membahagikan bukunya kepada 12 bab, berserta dengan kesimpulan dan penutup. Rujukan yang digunakannya mencapah daripada Timur dan Barat, sarjana silam mahupun masa kini. Ia jelas menunjukkan sifat ensiklopedik (mawsu’i) dalam kemahiran daya tampung ilmu pengetahuan dan letak duduknya setiap perbahasa, menzahirkan lagi kewibawaannya dalam ilmu. Ini adalah tulisan yang tulus daripada lubuk hati nurani yang saya harapkan, diterima di sisi-Nya dalam timbangan amal yang baik.

Terdapat 198 negara yang disenaraikan dalam indeks persepsi rasuah. Negara majoriti Islam seperti Iraq, Somalia, Afghanistan, Libya, Syria, dan Yaman, berada di kedudukan 20 terbawah indeks. Walaupun negara-negara ini pada tahap tertentu menggubal undang-undang Islam, mereka masih dianggap sangat korup. Sebaliknya, masih ada harapan untuk negara-negara majoriti Islam berjaya dalam usaha memerangi rasuah.

Pada tahun 2020, Malaysia, sebuah negara majoriti Islam yang mengamalkan sistem dwi perundangan, iaitu undang-undang Sivil dan undang-undang Syariah, menduduki tempat ke-51, yang menunjukkan bahawa Malaysia adalah antara negara Islam yang paling kurang rasuah. Bagaimanapun, Indeks Rasuah di Malaysia telah menurun kepada 51 mata pada 2020 daripada 53 mata pada 2019 (Transparency International, 2021). Indonesia menduduki tempat ke-81 dalam indeks itu, yang jauh lebih baik berbanding negara-negara Islam yang lain.

Pada 31 Januari 2023, akhbar melaporkan bahawa Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun 2022 yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) terus merosot kepada 47 mata dalam kalangan 180 negara. Presiden TI-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, penurunan signifikan secara statistik ini menunjukkan bahawa kita menuju ke arah yang salah dalam memerangi rasuah, mendukung hak asasi manusia dan demokrasi di sektor awam. Negara-negara Skandinavia terus mendominasi kedudukan indeks dengan Denmark, Finland, Norway dan Sweden antara 10 negara teratas atau terbersih bersama dengan New Zealand dan Singapura dari rantau Asia Pasifik.

Muhammad menunjukkan CPI Malaysia tahun 2022 yang terus merosot kepada 47 mata dalam kalangan 180 negara.Dr. Muhammad menunjukkan CPI Malaysia sepanjang empat tahun belakangan.

Amat menyedihkan apabila melihat lima negara terbaik dalam sifar rasuah atau korupsi dimiliki oleh negara non-Muslim. Sebaliknya, negara Islam tidak menduduki carta terbaik bahkan antara yang terbawah di dunia. 

Benarlah kata Badiu’zzaman Sa’id al-Nursi: “Aku melihat Islam di Barat dan mereka mengandungkan anak-anak Islam. Sedangkan aku melihat orang Islam di negara Arab sedang mengandungkan anak-anak orang Barat, dan mereka tidak mampu mengikut Islam sepenuhnya.”

Inilah realiti pada masa kini. Amat jarak dan jauh dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW pada zamannya dan zaman sahabat, begitu juga zaman kegemilangan Islam.

Isu rasuah bersifat sejagat. Buta warna kulit, bangsa, pangkat, keturunan, hatta agama sekalipun. Bagi Muslim, benteng utamanya adalah iman. Justeru, benarlah ucapan Nabi SAW, daripada Anas bin Malik R.A:

لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ، وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ.

Maksudnya: “Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak amanah, dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak setia terhadap janjinya.”

[Riwayat Ahmad (12567), al-Bazzar (7196), Abu Ya’la (2863) dan Ibn Hibban (194). Al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir (9685) menyatakan hadis ini sahih. Syeikh Syu’aib al-Arnaut dalam takhrij al-Musnad (13637) menilainya sebagai hasan.]

Imam al-Zahabi dalam al-Kaba’ir berkata: “Khianat merupakan perkara yang amat buruk dalam semua keadaan dan sebahagian daripadanya lebih teruk daripada yang lain.” (Lihat al-Kaba’ir, hlm. 149)

Menariknya, dalam al-Quran Allah SWT menyebut keburukan makan rasuah atau korupsi hanya beberapa ayat, antaranya:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah: 188)

Ibn Jarir al-Tabari berkata: Jangan kamu makan harta antara kamu dengan cara kebatilan seperti kamu rasuah kepada hakim. Makan harta dengan batil adalah haram dan ditegah. (Lihat Jami’ al-Bayan, 3/277)

Al-Maraghi berkata: Janganlah seseorang kamu memakan harta orang lain. Penggunaan lafaz “harta kamu” bertujuan untuk menyatakan adanya kesatuan umat dan kewajipan saling bertanggungjawab di antara mereka. Seterusnya, diingatkan menghormati harta orang lain seperti menghormati harta sendiri. Contohnya, jika kamu melanggar harta orang lain bererti kamu melakukan kejahatan terhadap harta dan kamu akan menerima tindakan jenayah. Ini disebabkan seseorang yang bebas dan berani mengambil harta orang lain pasti orang lain juga berani mengambil hartanya. 

Kalimah “batil” adalah kalimah yang sudah diketahui maknanya oleh manusia dari setiap aspek iaitu merangkumi, antaranya riba kerana ia memakan harta orang lain tanpa ada tukaran dan imbalan daripada pelakunya. Selain itu, ia juga merujuk kepada segala bentuk rasuah yang diberikan kepada penguasa. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/81)

Sedangkan ayat memerintahkan supaya berintegriti teramat banyak. Itulah pendekatan Islam, suruhan kepada kebaikan (al-amr bil ma’ruf) diperbanyakkan dan didahulukan tanpa menafikan keperluan tegahan kepada kemungkaran (al nahyu ‘an munkar).

Sekitar tahun 2008, saya pernah menulis sebuah buku yang bertajukRasuah: Punca, Kesan dan Penyelesaiannya’ dan diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Saya tegaskan beberapa noktah penting bagi penyelesaian isu rasuah. Antaranya:

  • Memantapkan iman dan mengukuhkan jati diri. Iman dalam erti kata menghindari segala perbuatan haram termasuk rasuah.
  • Memasukkan bahaya rasuah dalam sistem pendidikan. 
  • Membudayakan budaya benci dan tolak rasuah. 
  • Meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman. 
  • Mengurangkan birokrasi dengan mempelbagaikan urusan dalam talian dan memanfaatkan teknologi.
  • Menanam keyakinan bahawa etika kerja dan etika agama mesti bergerak serentak dan bukannya memisahkan antara keduanya.

Tidak boleh kita memandang ringan, bersifat leka, membuat penafian, dan memikirkan 1001 justifikasi dan bersilat dengan segala helah untuk menidakkan kewujudan rasuah di depan mata kita. Ingatlah kenyataan, ‘كَمَا تَدِينُ تُدَانُ’. Sebagaimana kamu lakukan, itulah yang kamu akan pungut hasilnya.

Dalam erti kata lain, baik dibalas baik, buruk pasti mendapat pembalasannya. Sumber kuasa yang diperoleh melalui sogokan belum terjamin keberkatannya. Sifat sebenar insan pasti akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa. 

Pesanan almarhum ini perlu terus disematkan dalam lubuk hati orang Melayu dan para pemimpinnya.

“Reformasi undang-undang berkaitan dengan korupsi atau politik wang ialah satu daripada usaha penting itu. Reformasi sistem politik berparlimen itu juga tidak kurang penting, dan pakar-pakar dalam ilmu sains politik tentu mempunyai idea-idea yang bernas bagi mengatasi krisis moral-etika dalam negara ini.

Tetapi undang-undang atau reformasi politik semata-mata tidak akan menyekat pemimpin politik dan pengikut-pengikut mereka berbohong kepada rakyat, menipu negara atau menghindari penyakit-penyakit gila kuasa, tamak kekayaan, egoisme, kronisme, cauvinisme, fanatisme, hipokrasi dan sentiman kebangsaan yang tak rasional, dan lain-lain penyakit moral atau akhlak. Undang-undang juga tidak akan dapat menamatkan amalan politik Machiavelli “tujuan menghalalkan cara”, ketaasuban melampau dan kleptokrasi – penyakit politik terbaru Malaysia – kalau tidak disokong dengan transformasi yang lebih mendasar, iaitu transformasi moral-etika yang menyentuh kalbu dan hati nurani pelaku-pelaku politik.” (Lihat Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu. Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika, hlm. 180)

Sesungguhnya, kehidupan rakyat di negara yang sifar rasuah akan lebih bahagia, tenang dan damai berbanding dengan negara yang terbelit dan terbelenggu dengan krisis dan bencana rasuah. Kita harus berubah sekarang, atau tiada lagi masa depan buat anak bangsa kita. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *