#16 Bantuan kepada Turkiye dan Syria

Mukadimah 

Pada siri mawaqif kali ini, saya mulakan dengan melafazkan, ‘إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ’. Dari hati yang mendalam, saya nyatakan rasa yang amat sedih, simpati dan empati terhadap musibah yang ditanggung oleh saudara-saudara kita di Turkiye dan Syria akibat gempa bumi yang berlaku pada hari Isnin yang lepas. Peristiwa yang dahsyat ini sehingga telah mengorbankan ramai nyawa dan memusnahkan banyak bangunan serta rumah kediaman amat menginsafkan kita. Sesungguhnya kuasa dan kudrat Allah SWT tiada siapa pun dapat menghalangnya. Tetapi sebagai seorang Muslim, dengan sifat sabar dan redha dengan takdir Ilahi, maka pasti akan muncul pelbagai hikmah.

Benarlah firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(Surah al-Baqarah: 155)

Syeikh al-Maraghi menjelaskan: Pada ayat ini, Allah SWT memberi khabar bahawa Dia menguji hamba-hambaNya yang beriman dengan beberapa ujian di saat mereka berada dalam keadaan suka dan duka, dan kesemua ini (mereka yang diuji Allah SWT dalam kalangan hambaNya) mendapat pahala jika mereka bersabar terhadapnya. Mereka kemudiannya mengucapkan lafaz istirja’ bukti sebagai seorang yang sabar dan syukur. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/467)

Kami mengambil kesempatan untuk mengucapkan sekali lagi takziah kepada kerajaan Turkiye dan kerajaan Syria serta mangsa dan keluarga mangsa atas ujian gempa bumi yang dihadapi ini. Semoga sebuah ketabahan yang tinggi dan kesabaran yang puncak yang disulami dengan keredhaan sentiasa menghiasi kita semua. Amin.

Antara Tanda Akhir Zaman Serta Jawapan Salah Faham

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

 لا تَقُومُ السّاعَةُ حتّى يُقْبَضَ العِلْمُ، وتَكْثُرَ الزَّلازِلُ، ويَتَقارَبَ الزَّمانُ، وتَظْهَرَ الفِتَنُ، ويَكْثُرَ الهَرْجُ

Bermaksud: “Tidak akan berlakunya Kiamat sehingga diangkat ilmu, banyaknya berlaku gempa, masa berlalu dengan pantas, terzahirnya fitnah-fitnah dan banyaknya pembunuhan.”

Riwayat al-Bukhari (1036)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Gempa telah banyak berlaku di belahan bumi Utara, Timur dan Barat, akan tetapi kelihatannya, yang dimaksudkan dengan banyaknya gempa adalah luasnya wilayah kejadiannya dan berlaku secara terus menerus. (Lihat Fath al-Bari, 25/286)

Justeru, menginsafi apa yang berlaku kami nyatakan sewajarnya kita sentiasa mengingati akan pesanan Rasulullah SAW dan bersikap positif untuk menghadapinya dengan penuh ketabahan dan kesabaran.

Ada orang kata bahawa apa yang berlaku di Turkiye disebabkan kerana ramai yang tidak mentaati perintah Allah SWT seperti solat, berselawat dan lain-lain lagi. Dalam hal ini, suka kami nyatakan bahawa sepatutnya kita melihat kejadian seperti itu sebahagian dariapda cara Allah SWT menyedarkan kita untuk menjadi insan yang lebih baik di samping mendekatkan diri kepada Allah begitu juga mengetahui bahawa kuasa Allah SWT tiada tandingan dan bandingannya. Inilah yang dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi dalam satu kuliah tafsirnya.

Kedua, sebagaimana yang maklum dalam ilmu yang terkait dengan bumi, mereka menyatakan bumi ini mempunyai beberapa kerak (tektonik plat) yang terpisah-pisah di mana tempat kejadian itu juga terletak di garisan sesar (fault lines) yang memang sellau akan terjadi gempa bumi ketika tektonik plat ini bergerak akibat pergerakan seismik bumi. Maka, apabila berlaku gempa dengan pergerakan kerak atau ledakan ia menghasilkan gempa yang kuat. Inilah sunnatullah kepada alam, jadi tidak peliklah gempa bumi ini juga berlaku kepada Iran, Mexico tanpa mengira negara umat Islam atau tidak.

Ketiganya, dengan kenyataan kita sedikit sebanyak melukakan perasaan sahabat-sahabat kita yang terkena musibah tanpa kita mengetahui keadaan sebenar hal mereka. Boleh jadi ramai di kalangan mereka mempunyai akhlak dan amalan yang jauh lebih baik daripada kita. Justeru, sikap husnu dzan sudah barang tentu banyak memberi manfaat kepada kita dan mereka tanpa merasa kesal atas tuduhan terhadap mereka.

Solat Sunat Apabila Berlaku Gempa Bumi

Para ulama Syafi’iyyah menghukumkan sunat untuk seseorang menunaikan solat dua rakaat secara bersendirian di rumah apabila berlaku gempa bumi. Ia dipanggil solat sunat ayat (tanda-tanda daripada Allah) dan dikerjakan apabila berlaku bencana alam seperti gempa bumi, banjir besar dan lain-lain. (Al-Majmu 5/61; Asna al-Matalib, 1/288).

Gempa Bumi Turkiye-Syria

Gempa bumi pertama yang berukuran 7.8 pada skala Richter telah menggegarkan tenggara Turkiye  pada pukul 4.17 pagi (waktu tempatan) ketika penduduk sedang lena tidur. Manakala, gegaran kedua berukuran 7.5 pada skala Richter melanda tenggara Turkiye pada jam 1.24 petang (waktu tempatan) di bahagian selatan pekan Ekinozu.

Gegaran-gegaran ini dikatakan turut dirasai sejauh pulau Cyprus, Lubnan, Mesir dan Iraq. Ia turut dirasai sehingga ke Greenland.

Gempa bumi ini dikatakan mempunyai kekuatan setara dengan 1,000 kali ganda bom atom yang diletupkan di Hiroshima dan Nagasaki.

Sempadan Turkiye-Syria adalah salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia. Gempa bumi ini merupakan gempa bumi terburuk di Turkiye sejak tahun 1939.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan tempoh berkabung selama tujuh hari susulan gempa bumi itu, “Bendera kami akan dikibarkan separuh tiang sehingga matahari terbenam pada Ahad, 12 Februari 2023, di semua perwakilan negara kami dan negara asing,” kata Erdogan.

Menurut laporan terbaru pihak berkuasa dan pegawai perubatan, mangsa korban dilaporkan di Turkiye dan Syria daripada gempa bumi Isnin lalu telah melebihi 47,000 orang (sehingga Rabu, 22.2.2023). Sedangkan jumlah kematian di Syria setakat ini melebihi 7,1207 di Syria dan 40,364 di Tukiye. Manakala yang cedera lebih 10,000 orang.

Pakar menjangkakan jumlah itu bagaimanapun dikhuatiri boleh meningkat sehingga dua kali ganda. Sahabat saya Dr Sani Arabi dari MAPIM menjangkakan kematian boleh mencecah lebih 40,000 orang.

Pihak berkuasa Turkiye berkata kira-kira 13.5 juta orang terjejas di kawasan yang merangkumi kira-kira 450 km dari Adana di barat ke Diyarbakir di timur, dan 300 km dari Malatya di utara ke Hatay di selatan. Pihak berkuasa Syria pula melaporkan kematian dicatatkan sejauh selatan Hama, kira-kira 100 km dari pusat gempa.

Gempa bumi terbaru dicatatkan berskala 6.3 skala Richter yang berlaku iaitu pada hari Isnin, 20 Februari 2023 genap 2 minggu selepas gempa bumi yang besar berlaku. Maka, sekali lagi pada 20 Februari, di wilayah Hatay Turki telah mengorbankan 6 orang lagi dan mencederakan 294 orang di samping 18 orang cedera parah.

Bangunan dan Rumah Yang Musnah

Naib Presiden Turkiye, Fuat Oktay berkata, lebih 8,000 orang setakat ini  ditarik keluar dari serpihan runtuhan di Turkiye. Ratusan ribu bangunan dilaporkan runtuh atau musnah teruk, hospital dan sekolah musnah, dan puluhan ribu orang cedera atau kehilangan tempat tinggal di beberapa bandar di Turkiye dan Syria.

Menurut laporan terbaru Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (Afad) berkata 139,000 bangunan musnah dalam gempa bumi itu dan lebih 100,000 orang cedera.

Katanya, kira-kira 380,000 orang dilaporkan berlindung di pusat perlindungan atau hotel kerajaan dengan yang lain berkumpul di pusat beli-belah, stadium, masjid dan pusat komuniti.

Presiden Turkiye Tayyip Erdogan mengisytiharkan darurat di 10 wilayah yang musnah teruk akibat dua gempa bumi pada 8 Februari 2023. 

Agensi pengurusan bencana Turkiye berkata, ia mempunyai 11,342 laporan bangunan runtuh, di mana 6,500 disahkan ranap.

Kementerian Pengangkutan dan Infrastruktur Turkiye pula berkata, semalam, 3,400 orang berteduh di dalam kereta api yang digunakan sebagai penginapan kecemasan.

Turkiye kini mengerahkan lebih 24,400 anggota mencari dan menyelamat ke kawasan gempa.

Bilangan kakitangan dijangka meningkat dengan kedatangan pasukan tambahan, kata pegawai agensi pengurusan bencana Orhan Tatar.

Rekahan Akibat Gempa Bumi

Gempa bumi yang berlaku menyebabkan dua rekahan besar di permukaan bumi, yang panjangnya menjangkau kira-kira 300 km merentasi selatan Turki. Rekahan tersebut muncul merentasi padang dan jalan, serta memindahkan bangunan beberapa meter mengikut arahnya.

Rakaman dron di selatan Turkiye menunjukkan rekahan dan retakan merentasi padang, jalan, sungai dan lereng bukit disebabkan oleh gempa bumi besar yang melanda wilayah itu. Kelihatan tanah kosong yang retak dan terbelah disebabkan gempa bumi, berhampiran bandar Tevekkeli, di wilayah selatan Turkiye, Kahramanmaras.

Apabila gempa itu melanda lebuh raya, ia memecahkan penghadang tar dan besi. Batu-batu besar jatuh ke bawah bukit, di tepi jalan. Pemandu terpaksa menunggu dan secara bergilir-gilir melalui laluan yang merekah. Berhampiran perkampungan Tepehan, gaung besar ‘membelah’ hutan berhampiran sebuah rumah menyebabkan tanah coklat kelabu dan pokok tercabut dari akarnya.

Kerugian Akibat Bencana

Dengan gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter, selepas hampir 2 minggu, dapatan kerugian dan kemusnahan yang dialami akibat gempa bumi Tukiye-Syria pada Isnin 6 Februari 2023 yang lalu, kerugiannya amat besar dan ketara.

Mangsa terselamat pula berdepan krisis air dan masalah sanitasi. Di wilayah Adiyaman, selatan Tukiye, penyakit kudis buta menjangkiti orang dewasa, manakala wabak cirit-birit menye­rang kanak-kanaknya.

Dilaporkan hampir 1 juta penduduk Turkiye kehilangan tempat tinggal kesan daripada gempa bumi ini.

Kerugian ekonomi akibat bencana gempa bumi kali ini mencecah AS$84.1 bilion (RM365.7 bilion), kata persatuan majikan Turkiye, Turkonfed kelmarin.

Reaksi dan Bantuan dari Negara-Negara Seluruh Dunia

Sehingga kini, hampir 45 buah negara telah menyatakan komitmen untuk menghantar bantuan dan mahu bersama-sama menyertai operasi mencari dan menyelamat. Amerika Syarikat (AS) , Perancis, Ukraine, Russia, Jerman, Azerbaijan, Pakistan dan India telah menghulurkan bantuan awal ke Turkiye dan Syria.

Cuaca sejuk yang melampau telah menghalang usaha menyelamat dan penyampaian bantuan, serta menjadikan nasib gelandangan dalam keadaan yang lebih menyedihkan. Beberapa kawasan juga tidak mempunyai bekalan bahan api dan elektrik. Apa yang dilaporkan bahawa angin bertiup kencang dalam sehari dua ini, begitu juga, cuaca begitu sejuk sehingga -1 darjah celcius. Pada tempat-tempat tertentu turunnya salji. Jalan-jalan juga banyak yang musnah.

Pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Pakistan, India dan Malaysia bergegas menghantar pasukan penyelamat mereka ke Turkiye.

WHO juga memberi amaran sehingga 23 juta orang mungkin terjejas akibat gempa bumi besar itu dan menggesa negara luar untuk segera membantu ke zon bencana.

Susulan itu, negara Kesatuan Eropah (EU) bertindak pantas dengan menghantar pasukan penyelamat ke Turkiye selepas bencana yang berlaku berhampiran sempadan Syria.

“Kerajaan China turut menyediakan bantuan kecemasan kepada Turkiye dan Syria dengan bantuan kecemasan pertama 40 juta yuan (US$5.8 juta) dihantar ke Turkiye,” menurut jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying menerusi ciapan di Twitter.

Jepun menyatakan kesediaannya untuk memberi sokongan yang diperlukan, dengan menghantar sepasukan 18 kakitangan ke Istanbul pada pagi Selasa untuk menyertai operasi menyelamat dan bantuan.

Korea Selatan pada Selasa mengumumkan akan menghantar kira-kira 60 anggota pasukan penyelamat antarabangsa dan bekalan perubatan kecemasan ke Turkiye, lapor media tempatan.

Menteri Dalam Negeri Taiwan Lin Yu-chang mengimbas kembali bantuan dan sokongan Turkiye hampir 24 tahun lalu, sambil berkata “Kini giliran Taiwan untuk membantu,” dan telah menghantar pasukan operasi menyelamat dan bantuan, dan satu lagi misi bantuan akan berlepas pada Selasa.

Sementara itu, Pakistan juga menghantar kumpulan penyelamat dan barangan bantuan ke Turkiye untuk mangsa gempa bumi pada Isnin.

Sebuah pesawat C-130 yang membawa pasukan mencari dan menyelamat Tentera Pakistan, bersama 25 tan barangan bantuan, berlepas dari Pangkalan Udara Chaklala di Rawalpindi lewat Isnin, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menterinya.

Mulai Rabu dan seterusnya, penerbangan PIA akan membawa 15 dan tujuh tan barangan bantuan masing-masing ke Turkiye dan Syria setiap hari, tambah kenyataan itu.

India juga menghantar bantuan menggunakan pesawat Tentera Udara India (IAF) ke Turkiye pada malam Isnin.

Kerajaan mengumumkan bahawa dua pasukan NDRF terdiri daripada 100 anggota dengan skuad anjing terlatih khas dan peralatan yang diperlukan bersedia dihantar ke kawasan yang dilanda gempa bumi untuk operasi mencari dan menyelamat.

Australia dan New Zealand pada Selasa mengumumkan bahawa mereka akan menyalurkan berjuta-juta dolar bantuan kemanusiaan untuk mangsa gempa bumi yang dahsyat di Turkiye dan Syria.

Australia telah menyediakan bantuan kemanusiaan awal berjumlah U$10 juta (AS$6.94 juta) kepada mereka yang terjejas melalui rakan kongsi Palang Merah dan Bulan Sabit Merahnya serta melalui agensi kemanusiaan manakala New Zealand akan menyumbang NZD$1.5 juta (US$948,007).

Poland pada Isnin mengumumkan bantuan segera untuk Turkiye, termasuk sepasukan 76 anggota bomba dan lapan anjing penyelamat telah dikerah ke negara itu.

“Kumpulan pertama bantuan gempa bumi berlepas ke Turkiye bersama Pasukan Mencari dan Menyelamat Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF), skuad anjing terlatih khas, bekalan perubatan, mesin penggerudi dan peralatan lain yang diperlukan,” menurut Arindam Bagchi, jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar India dalam ciapannya.

PBB telah mengumumkan bantuan sebanyak USD 25 juta sebagai bantuan ke kawasan Turkiye-Syria yang terjejas.

Presiden AS, Joe Biden berkata, beliau sangat sedih dengan gempa bumi di Turkiye dan Syria dengan menyatakan di dalam Tweet daripada akaun rasmi beliau:

“Saya amat sedih dengan kehilangan nyawa dan kemusnahan akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria. Saya mengarahkan pasukan saya untuk terus memantau situasi dengan koordinasi dengan Turkiye dan memberikan apa-apa dan semua bantuan yang diperlukan.”

Teknologi HAARP dan Isu Gempa Bumi

Program Penyelidikan Auroral Aktif Frekuensi Tinggi (High-frequency Active Auroral Research Program – HAARP) ialah program yang menggunakan pemancar frekuensi tinggi berkuasa tinggi untuk mengkaji sifat dan ciri-ciri ionosfera (haarp.gi.alaska.edu/). Pada 2015, operasi kemudahan penyelidikan itu dipindahkan dari Pangkalan Tentera Udara di Amerika Syarikat ke Universiti Alaska Fairbanks.

Menurut pelbagai pakar, ini hanyalah tuduhan dan teori konspirasi yang palsu. Menurut bahagian FAQ laman web rasmi HAARP, ia tidak boleh mengawal atau memanipulasi cuaca (haarp.gi.alaska.edu/faq).

Jessica Matthews, pengurus program HAARP di University of Alaska Fairbanks, memberitahu Reuters bahawa “peralatan penyelidikan di tapak HAARP tidak boleh menyebabkan atau menguatkan bencana alam.” Dia berkata, “Gempa bumi baru-baru ini dan kehilangan nyawa yang tragis di Turki menunjukkan kemusnahan dahsyat yang boleh disebabkan oleh bencana alam.”

HAARP ialah pemancar radio yang lebih besar daripada kebanyakan pemancar radio lain, menurut David Hysell, seorang profesor kejuruteraan Thomas R. Briggs di Universiti Cornell, dan secara teorinya tidak mungkin HAARP menyebabkan gempa bumi.

David Malaspina, seorang saintis penyelidikan di Laboratory for Atmospheric and Space Physics (LASP) di University of Colorado Boulder, memberitahu Reuters gelombang radio HAARP adalah serupa dengan gelombang stesen penyiaran radio AM yang kuat, dan “tiada mekanisme yang diketahui yang dipancarkan oleh siaran radio AM boleh menyebabkan gempa bumi.”

Beliau berkata gelombang radio jenis ini menembusi kurang daripada 1 cm ke dalam tanah, manakala gelombang gempa bumi jauh lebih dalam. “Gempa Bumi 2023 di Turki berpunca daripada pergerakan atau gelombang yang berasal lebih kurang 17 km ke dalam perut bumi.”

Gelombang radio tiruan sememangnya boleh mengganggu atmosfera atasdi kawasan setempat, tetapi ia adalah setanding dengan gangguan yang disebabkan oleh Matahari, Toshi Nishimura, seorang profesor penyelidikan kejuruteraan elektrik dan komputer di Universiti Boston, memberitahu Reuters. Dia menambah bahawa dia tidak mengetahui sebarang bukti saintifik bahawa “gelombang buatan boleh mencipta gangguan yang lebih kuat dan memberi kesan kepada keadaan seismik tempatan.”

Selanjutnya, pada masa ini “tiada teknologi untuk melancarkan gelombang radio dari tanah dan menyasarkannya kepada mana-mana bandar dengan tepat,” kata Nishimura. “Nampaknya tidak mungkin gelombang radio boleh memberi kesan kepada pergerakan seismik yang jauh.”

Manakala, terdapat juga laporan yang mengatakan HAARP adalah penyebab gempa bumi ini kerana terdapat rakaman video kilat yang kelihatan semasa kejadian gempa bumi tersebut.

HAARP juga “tidak boleh mencipta kilat,” kata Hysell kepada Reuters, bertentangan dengan dakwaan dalam video yang dikongsi dalam talian yang mengatakan kilat “tidak normal ketika kejadian gempa bumi.”

Fenomena yang dikenali sebagai Cahaya Gempa (kilat semasa gempa bumi), bagaimanapun, sebenarnya perkara normal, Jamesina Simpson, seorang profesor kejuruteraan elektrik dan komputer di The University of Utah (di sini) memberitahu Reuters, walaupun “Saya tidak tahu berkenaan sambaran petir berkaitan kepada operasi HAARP.”

Cahaya Gempa Bumi “terjadi hasil daripada percikan elektrik pada talian kuasa atau grid kuasa apabila ia terganggu oleh gempa bumi,” kata Nishimura, dan ini berkemungkinan yang boleh dilihat dalam video yang dikongsi dalam talian.

Nishimura berkata mungkin tidak ada kilat sama sekali dalam video yang dikongsi dalam talian. “Cahaya itu tidak lama kemudian diikuti oleh gangguan kuasa,” kata Nishimura, bahawa cahaya yang kelihatan itu mungkin “terkait dengan talian kuasa dan kegagalan grid kuasa.”

“Video itu menunjukkan bahawa malam itu mendung. Cahaya itu bukan datang dari angkasa tetapi berasal dari tanah dan dipantulkan oleh awan,” kata Nishimura. “Cahaya yang kelihatan juga tidak diikuti dengan guruh, maka ini menunjukkan bahawa ia bukan sambaran kilat.”

Dr Danial berkata, “Ramai tokoh menuduh Amerika melakukan HAARP terhadap bumi Turkiye kerana Turkiye tidak bersekutu dengan NATO dan beberapa polisi Turkiye yang bercanggah dengan kehendak Barat. Akhirnya, dilakukan dengan menggunakan teori HAARP ini. Ini semua adalah tuduhan-tuduhan.”

Syor dan Cadangan

Marilah sama-sama kita memohon dan munajat kepada Yang Maha Esa dengan bersolat dan berdoa kepada-Nya. Daripada Thabit beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَصَابَتْ أَهْلَهُ خَصَاصَةٌ نَادَى أَهْلَهُ: يَا أَهْلَاهُ صَلُّوا صَلُّوا. قَالَ ثَابِتٌ: وَكَانَتِ الْأَنْبِيَاءُ إِذَا نَزَلَ بِهِمْ أَمْرٌ فَزِعُوا إِلَى الصَّلَاةِ.

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW, apabila ahli keluarganya ditimpa sesuatu kesusahan, Baginda akan menyeru ahli keluarganya: “Wahai ahli keluargaku! Solatlah solatlah.” Thabit berkata: “Para Nabi, jika mereka ditimpa sesuatu, maka mereka akan segera kembali menunaikan solat.”

Riwayat Ibn Abi Hatim dalam Tafsirnya (7/442), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3185) dan Imam Ahmad dalam al-Zuhd (49). Dinilai sebagai dha’if dalam Silsilah al-Ahadith al-Da’ifah (2760).

Hulurkanlah bantuan seupaya mungkin kerana ini sebahagian daripada tanda sifat kemanusiaan kita serta ihsan yang sewajarnya dizahirkan. Bak kata pepatah Arab:

يَوْمٌ لَنا وَيْومٌ عَلَيْنَا

Maksudnya: “Ini hari kita tapi boleh jadi sehari lagi kita terkena ujian pula.” (Lihat Majma’ al-Amthal, 2/426; Nihayah al-Arab fi Funun al-Adab, 1/150)

Keyakinan kita kepada Yang Maha Esa adalah dengan memberi bantuan kepada umat Islam yang ditimpa kesusahan, kita akan mendapat pelepasan daripada Allah SWT. Benarlah sabda Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah R.A:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ 

Maksudnya: “Siapa yang meringankan salah satu daripada kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan meringankan salah satu daripada kesusahannya di hari kiamat. Dan sesiapa yang mempermudahkan sesuatu kesusahan, maka Allah akan mempermudahkan kesusahannya di dunia dan di akhirat.”

Riwayat Muslim (2699), al-Tirmizi (2945), Ibn Majah (225), Abu Daud (1455) secara ikhtisar (ringkasan) dan Ahmad (7427)

Ujian Allah terhadap manusia adalah sebagai ujian untuk kita semua. Bagaimana sikap kita untuk menolong saudara-saudara kita sehingga dalam hadis ini menyebut dua ibarat sama ada menolong dan juga memudahkan saudara-saudara kita yang lain. Inilah sifat muslim sejati yang sentiasa menolong saudara-saudaranya yang lain sama ada dengan harta, tubuh badan, tenaga, buah fikiran dan lain-lain. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 337)

Menginsafi peristiwa dan ujian yang amat berat ini, saya ingin memberikan beberapa syor untuk Kerajaan Malaysia bagi membantu menangani musibah gempa bumi Turkiye dan Syria ini.

Pertama, perlunya ditubuhkan sekretariat khas bagi penyelarasan sama ada bantuan atau tempat-tempat yang dituju. Amat baik jika ada satu keselarasan dalam saluran bantuan bagi memudahkan wakil badan Kerajaan dan NGO. Dengan adanya sekretariat khas ini, sudah pasti ia dapat membantu sedikit sebanyak koordinasi secara lebih tersusun dan terfokus kepada semua mangsa yang terbabit dan tidak bertindih fokus.

Kedua, merujuk NGO-NGO yang benar-benar berpengalaman dalam penyaluran bantuan bencana khususnya di Turkiye dan Syria, disamping berhubungan secara terus dengan pihak Kerajaan Turkiye dan Syria. Setiap tempat sudah pasti ada isu yang tersendiri.

Ketiga, bantuan haruslah seimbang dengan keperluan di satu-satu tempat. Sebagai contoh, keadaan di Syria sudah pasti berbeza dengan Turkiye walaupun kedua-duanya mengalami gempa bumi. Masyarakat Syria turut berhadapan dengan krisis ekonomi dan politik. Maka perhatian yang serius diperlukan kepada mereka.

Keempat, Malaysia perlu ada bidang tujahan tertentu bagi mengelakkan pertindihan fokus dengan negara-negara lain, disamping menjalankan tugas dengan lebih efisien. Sebarang masalah komunikasi antara negara-negara luar yang membantu hanya akan melengahkan masa untuk bantuan sampai tepat kepada sasaran.

Saya yakin dan percaya dengan munajat kita kepada Tuhan dan berdoa kepada-Nya semoga Allah SWT memberi kepada kita semua ketabahan dan kesabaran yang tinggi serta menetapkan kaki-kaki kita. 

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Saya yakin kerjasama yang erat dapat dilaksanakan dek kerana hubungan kerajaan Malaysia yang begitu akrab dan intim dengan kerajaan Turkiye dan juga Syria.

Pada hari ini, Jumaat 10 Februari 2023 bersamaan 19 Rejab 1444 dalam khutbah saya di Surau al-Insaf, Maybank, Kuala Lumpur, saya titipkan kepada khalayak masyarakat agar menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi kepada saudara-saudara kita di Tukiye dan Syria. Ia juga sempena dengan khutbah JAWI yang diberi tajuk Ibrah Musibah Menyubur Keinsafan.

Alhamdulillah, syukur atas keterlibatan Kerajaan Malaysia, NGOs, badan berkanun, dan orang perseorangan yang telah menghulurkan bantuan serta sanggup terbang ke Turkiye dan Syria dengan menyertai misi bantuan ke sana. Saya menyarankan supaya rakyat Malaysia memberi bantuan melalui pelbagai NGO yang terlibat. Antara yang boleh diyakini adalah Tabung Kecemasan Bencana MAPIM Malaysia Maybank 5622 6354 0066

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW: 

وَاَللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Dan Allah sentiasa menolong seorang hamba selagimana hamba itu menolong saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699)

Saya akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Yang ikhlas,

Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Petang Jumaat, Asar 4.50 petang

10 Februari 2023 bersamaan 19 Rejab 1444 H

Dikemaskini pada 15 Februari 2023 bersamaan 24 Rejab 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *