Ummul Mukminin Juwairiyah binti al-Harith al-Mustaliqi R.Anha

Nama beliau ialah Juwairiyah binti al-Harith bin Abu Dhirar bin Habib bin ‘A’iz bin Malik bin Juzaimah iaitu al-Mustaliq bin ‘Amr bin Rabi‘ah bin Harithah bin ‘Amr al-Khuza‘iyyah al-Mustaliqiyyah. Beliau pada awalnya merupakan tawanan perang dalam peperangan al-Muraisi‘ yang berlaku pada tahun 5 Hijrah. Nama asalnya ialah Barrah, akan tetapi kemudiannya Baginda menukarnya (kepada Juwairiyah). Selain itu, beliau juga adalah di antara wanita yang paling cantik. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/72-73; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/261).

Berkenaan penukaran namanya kepada Juwairiyah, terdapat riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَتْ جُوَيْرِيَةُ اسْمُهَا بَرَّةُ. فَحَوَّلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْمَهَا جُوَيْرِيَةَ. وَكَانَ يَكْرَهُ أَنْ يُقَالَ: خَرَجَ مِنْ عِنْدَ بَرَّةَ.

Maksudnya:Sesungguhnya Juwairiyah ini nama asalnya ialah Barrah. Lalu Rasulullah SAW menukar namanya kepada Juwairiyah. Hal ini kerana sesungguhnya Baginda tidak suka apabila dikatakan, Baginda keluar dari sisi Barrah (kebaikan).

Riwayat Muslim (2140)

Seperti mana yang telah diketahui bahawa Juwairiyah asalnya merupakan tawanan perang dalam peperangan al-Muraisi‘ atau dikenali juga sebagai peperangan Bani al-Mustaliq yang berlaku pada tahun 5 Hijrah atau 6 Hijrah menurut sebahagian pendapat. Juwairiyah R.Anha sebelum ditawan merupakan isteri kepada Musafi‘ bin Safwan al-Mustaliqi. Musafi‘ terbunuh dalam peperangan al-Muraisi‘. Semasa ditawan, beliau berada di bawah tawanan Thabit bin Qais bin Syammas atau sepupunya. Kemudian, beliau melakukan mukatabah dengan tuannya sebagai gantian untuk membebaskan dirinya.

Juwairiyah R.Anha adalah seorang wanita yang cantik. Aisyah berkata: “Juwairiyah seorang yang berwajah manis dan cantik pada pandangan, sehinggakan hampir tidak ada seorangpun yang melihatnya melainkan akan jatuh cinta.” Aisyah juga ada berkata: “Beliau datang bertemu Rasulullah SAW meminta pertolongan supaya membantunya melunaskan perjanjian tersebut.” Aisyah berkata: “Demi Allah, setelah aku melihatnya di depan pintu rumah, aku merasa benci. Aku mengetahui bahawa Baginda akan rasa seperti mana yang aku fikirkan. Beliau berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku Juwairiyah binti al-Harith bin Abu Dhirar, yang merupakan pemimpin kaumnya. Aku telah ditimpa suatu perkara (kecelakaan) yang engkau sendiri tahu. Aku telah menjadi tawanan kepada Thabit bin Qais atau sepupunya, lalu aku telah membuat perjanjian mukatabah dengannya sebagai gantian untuk membebaskan diriku. Maka, aku datang ini untuk meminta bantuanmu (bagi melunaskan perjanjian itu).’ Baginda SAW pun bersabda kepadanya: ‘Adakah engkau mahukan sesuatu yang lebih daripada itu?’ Beliau bertanya: Apakah ia, wahai Rasulullah?’ Baginda SAW menjawab: ‘Aku akan melunaskan perjanjianmu itu dan aku menikahimu.’ Beliau menjawab: ‘Setuju.’ Baginda bersabda: ‘Aku akan lakukan.’ Setelah itu, tersebarlah berita kepada orang ramai bahawasanya Rasulullah SAW telah berkahwin dengan Juwairiyah binti al-Harith. Orang ramai berkata: ‘Tawanan-tawanan ini mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Rasulullah SAW.’ Oleh sebab itu, mereka pun membebaskan semua tawanan dalam kalangan Bani al-Mustaliq yang mereka miliki.” Aisyah berkata: “Aku tidak mengetahui seorang wanita yang lebih besar keberkatannya terhadap kaumnya berbandingnya (Juwairiyah).” (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1804-1805; al-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi, no. 18128; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/74).

Imam al-Zahabi ada menyebutkan bahawa bapanya iaitu al-Harith datang bertemu dengan Nabi SAW, lalu memeluk agama Islam. Terdapat riwayat daripada Juwairiyah, beliau berkata: “Rasulullah SAW menikahiku ketika aku berusia 20 tahun.” Begitu juga terdapat riwayat daripada al-Sya‘bi, katanya: “Rasulullah SAW memerdekakan Juwairiyah, kemudian menikahinya, dan maharnya adalah memerdekakan semua hamba (tawanan) daripada kalangan Bani al-Mustaliq.”

Di samping itu, beliau juga ada meriwayatkan hadith. Menurut Imam al-Zahabi, jumlah hadith yang diriwayatkan daripada jalur Juwairiyah adalah sebanyak tujuh hadith. Daripada jumlah tersebut, Imam al-Bukhari meriwayatkan sebanyak satu hadith, manakala Imam Muslim pula sebanyak dua hadith. Di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah Ibn Abbas, ‘Ubaid bin al-Sabbaq, Kuraib, Mujahid, Abu Ayyub Yahya bin Malik al-Azdi dan ramai lagi. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/261-263).

Hadith daripada jalurnya yang terdapat dalam sahih al-Bukhari adalah daripada Abu Ayyub, daripada Juwairiyah binti al-Harith R.Anha bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، دَخَلَ عَلَيْهَا يَوْمَ الجُمُعَةِ وَهِيَ صَائِمَةٌ، فَقَالَ: «أَصُمْتِ أَمْسِ؟»، قَالَتْ: لاَ، قَالَ: «تُرِيدِينَ أَنْ تَصُومِي غَدًا؟» قَالَتْ: لاَ، قَالَ: «فَأَفْطِرِي» وَقَالَ حَمَّادُ بْنُ الجَعْدِ: سَمِعَ قَتَادَةَ، حَدَّثَنِي أَبُو أَيُّوبَ أَنَّ جُوَيْرِيَةَ حَدَّثَتْهُ: فَأَمَرَهَا فَأَفْطَرَتْ

Maksudnya:Nabi SAW masuk menemuinya pada hari Jumaat dan beliau dalam keadaan berpuasa. Nabi SAW bertanya: ‘Adakah engkau berpuasa semalam?’ Juwairiyah menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bertanya lagi: ‘Adakah engkau mahu berpuasa esok?’ Beliau menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Berbukalah.’” Hammad bin al-Ja‘d mendengar Qatadah berkata (bahawa) dia mendengar Qatadah (berkata): “Abu Ayyub menyampaikan kepadaku bahawa Juwairiyah menyampaikan kepadanya: ‘Nabi memerintahkannya (untuk berbuka puasa), lalu beliau pun berbuka.’

Riwayat al-Bukhari (1986)

Manakala di antara hadith daripada jalurnya yang terdapat dalam sahih Muslim adalah daripada Ibn Syihab bahawasanya ‘Ubaid bin al-Sabbaq berkata: Sesungguhnya Juwairiyah — isteri Nabi SAW — telah mengkhabarkan kepadanya bahawa:

 أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهَا فَقَالَ: هَلْ مِنْ طَعَامٍ؟ قَالَتْ: لَا. وَاللَّهِ! يَا رَسُولَ اللَّهِ! مَا عِنْدَنَا طَعَامٌ إِلَّا عَظْمٌ مِنْ شَاةٍ أُعْطِيَتْهُ مَوْلَاتِي مِنَ الصَّدَقَةِ. فَقَالَ: قريبة. فَقَدْ بَلَغَتْ مَحِلَّهَا.

Maksudnya:(Suatu hari) Rasulullah SAW masuk menemuinya, lalu bersabda: ‘Adakah ada makanan?’ Beliau menjawab: ‘Tidak, demi Allah, wahai Rasulullah, kami tidak memiliki makanan kecuali tulang kambing yang disedekahkan kepada maulaku.’ Baginda bersabda: ‘Bawalah kemari, bukankah sedekah itu sudah sampai tujuannya.’

Riwayat Muslim (1073)

Selain daripada itu, Juwairiyah R.Anha juga banyak beribadah dan berzikir kepada Allah SWT. Hal ini dapat dilihat menerusi riwayat daripada Ibn Abbas, daripada Juwairiyah bahawa:

أنَّ النَّبيَّ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ خَرَجَ مِن عِندِهَا بُكْرَةً حِينَ صَلَّى الصُّبْحَ وَهي في مَسْجِدِهَا، ثُمَّ رَجَعَ بَعْدَ أَنْ أَضْحَى وَهي جَالِسَةٌ، فَقالَ: ما زِلْتِ علَى الحَالِ الَّتي فَارَقْتُكِ عَلَيْهَا؟ قالَتْ: نَعَمْ، قالَ النَّبيُّ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ: لقَدْ قُلتُ بَعْدَكِ أَرْبَعَ كَلِمَاتٍ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لو وُزِنَتْ بما قُلْتِ مُنْذُ اليَومِ لَوَزَنَتْهُنَّ: سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ، عَدَدَ خَلْقِهِ، وَرِضَا نَفْسِهِ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ، وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ.

Maksudnya:Nabi SAW pernah keluar dari sisinya di suatu pagi ketika selesai mendirikan solat subuh, sedangkan beliau ketika itu masih berada di tempat sujudnya (yakni solatnya). Kemudian Nabi SAW semula selepas waktu dhuha dan ketika itu beliau masih lagi dalam keadaan duduk (di tempatnya tadi). Baginda bersabda: ‘Adakah engkau masih duduk di tempat tadi sejak aku meninggalkanmu?’ Beliau menjawab: ‘Ya.’ Nabi SAW bersabda: ‘Sesungguhnya aku telah ucapkan sesudah meninggalkanmu tadi, empat kalimat sebanyak tiga kali, seandainya ia ditimbang dengan apa yang engkau ucapkan sejak pagi tadi hari ini, nescaya ia menyamai timbangannya iaitu, ‘سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ، عَدَدَ خَلْقِهِ، وَرِضَا نَفْسِهِ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ، وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ’ (Maha Suci Allah dan  aku memuji-Nya sebanyak makhluk ciptaan-Nya, keredhaan diri-Nya, seberat timbangan arasy-Nya dan sebanyak tinta kalimah-Nya).’” 

Riwayat Muslim (2726)

Ummul Mukminin Juwairiyah R.Anha meninggal dunia pada tahun 50 Hijrah. Namun, ada pendapat menyatakan, beliau meninggal dunia pada bulan Rabiul Awwal tahun 56 Hijrah. Ini merupakan pendapat al-Waqidi. Jenazah beliau disolatkan oleh Marwan. Dikatakan, beliau hidup selama 65 tahun. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/263; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/74).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *