#2 Status Pertukaran Agama oleh Kanak-Kanak: Solusi dan Cadangan

1.0      PENDAHULUAN

Negara sekali lagi dikejutkan dari utara tanah air berkaitan isu tiga beradik yang telah memeluk agama Islam dan dikatakan telah ‘diculik’ oleh Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) selepas ibu mereka Puan Loh Siew Hong membuat sembilan laporan polis berhubung haknya sebagai ibu dan satu lagi laporan polis telah dibuat setelah mengesyaki anaknya berada di bawah jagaan pihak berkuasa agama di Utara semenanjung.[1]

Pada 16 Feb 2022, Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Perlis telah dilaporkan mengakui melalui sebuah video yang diposkan di Facebook dan YouTube, bahawa ketiga-tiga anak Puan Loh itu telah diislamkan oleh bapa mereka secara unilateral pada sekitar bulan Julai 2020 sebelum ayah mereka dilaporkan dipenjarakan atas pertuduhan kes dadah.

Puan Loh Siew Hong merupakan seorang yang berbangsa Cina yang menganut agama Hindu dan merupakan ibu tunggal kepada tiga beradik tersebut. Bekas suaminya, Nagahswaran Muniandi berbangsa India telah dipenjara di Machang, Kelantan atas sabitan kes dadah. Difahamkan bekas suaminya itu telah memeluk agama Islam bersama tiga orang anak mereka iaitu dua orang anak kembar perempuan berumur 14 tahun dan seorang anak lelaki berumur 10 tahun.

Hubungan kedua ibu bapa beradik tersebut sememangnya tidak baik apabila Puan Loh dimasukkan ke hospital pada sekitar tahun 2019 kerana didakwa dicederakan oleh suaminya. Ketika itu, tiga anaknya telah diambil oleh suaminya. Sekitar Julai 2019, Puan Loh mendapat perintah hak penjagaan interim (sementara) anak-anaknya itu, sementara menunggu isu penceraian dengan mantan suaminya itu dimuktamadkan. Disebabkan pandemik Covid-19, kes penceraian mereka di mahkamah telah tertunda. Pada bulan Mac 2021, Puan Loh akhirnya berjaya mendapat perintah penjagaan penuh (a full custody) anak-anak beliau dari mahkamah.

Pada sekitar Januari 2022, Puan Loh mendapati anak perempuanya berada di sebuah rumah perlindungan di Pulau Pinang, manakalah anak lelakinya berada di sebuah madrasah Tahfiz juga di Pulau Pinang.

Terkini, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan habeas corpus oleh Loh untuk mendapatkan tiga anaknya yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ketika prosiding permohonan yang dibuat Loh Siew Hong, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta.[2]

2.0      STATUS PEMELUKAN ISLAM OLEH KANAK-KANAK MENURUT PANDANGAN ISLAM

          2.1      Definisi Kanak-Kanak

Pada asasnya, pengislaman kanak-kanak boleh berlaku dalam dua keadaan, iaitu:

Pertama: Kanak-kanak itu sendiri melafazkan kalimah syahadah.

Kedua: Kanak-kanak itu mengikut agama ibu atau bapanya yang memeluk Islam.

Sebelum kami membahas isu ini dengan lebih lanjut, kami akan menghuraikan terlebih dahulu berkenaan definisi kanak-kanak yang disinonimkan dengan individu bawah umur atau di dalam bahasa arabnya disebut al-Sighaar (الصغار).

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘kanak-kanak’ bermaksud budak lelaki atau perempuan yang masih kecil (biasanya yang belum berumur lebih daripada 7 atau 8 tahun).[3] Manakala istilah ‘remaja’ pula merujuk kepada seseorang yang mulai dewasa, sudah akil baligh, dan sudah cukup umur untuk berkahwin.[4]

Manakala dalam Seksyen 2 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyebutkan bahawa kanak-kanak adalah: “seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun. “

Daripada sudut bahasa Arab, Ibn Manzhur menyebut: Al-Sighar  (الصغار) dari sudut bahasa bermaksud: Kurang saiznya atau kurang umurnya maka dia adalah saghir (kecil). Ia adalah perkataan yang berlawanan dengan besar. (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/458)

Manakala dari sudut istilah, ia membawa maksud: Suatu ciri yang dikaitkan dengan seorang manusia semenjak kelahirannya sehinggalah dia bermimpi (baligh). (Lihat Kasyf al-Asrar oleh al-Bazdawi, 4/1358)

Berdasarkan definisi dan takrif yang dinyatakan di atas, jelas kepada kita bahawa terdapat perbezaan dalam memahami apakah yang dimaksudkan dengan kanak-kanak. Kadang-kadang ia difahami sebagai umur seseorang di bawah tujuh atau lapan tahun, dan terkadang di bawah paras umur lapan belas tahun. Manakala daripada sudut tradisi Islam, takrifnya lebih konsisten dengan menghubungkan keadaan aqil baligh dengan definisi kanak-kanak.

2.2      Keadaan Jika Kanak-Kanak Itu Sendiri Melafazkan Kalimah Syahadah

Jumhur ulama berpendapat bahawa pengislaman kanak-kanak bukan Islam yang sudah mumayyiz adalah sah dari sudut Hukum Syarak. Mereka berdalilkan hujah Saiyidina Ali bin Abi Talib RA memeluk Islam sewaktu dia masih kecil.

Sabda Rasulullah SAW:

مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ

Maksudnya: “Semua anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah.”

Riwayat al-Bukhari (1357) dan Muslim (2658)

Fitrah itu menurut pendapat yang masyhur adalah Islam. (Lihat Fath al-Bari, 3/315)

Manakala mengikut pendapat minoriti ahli fiqh dan juga merupakan pendapat yang rajih dalam mazhab al-Syafie, pengislaman kanak-kanak yang sempurna akal dan mumaiyiz adalah tidak sah kerana hujah-hujah berikut:

  1. Kanak-kanak tiada kelayakan untuk mengikat kontrak atau memberi keterangan saksi.
  2. Hadis Saiyidina Ali itu berlaku selepas baligh seperti mana kata Imam Ahmad bin Hanbal. Manakala berkata Imam al-Baihaqi, hadis itu sebelum baligh dan dipersetujui oleh Imam al-Subki, tetapi tidak terpakai kerana pada awal Islam hukum-hakam Islam tertakluk pada usia mumaiyiz namun selepas tahun peperangan Khandaq, turunnya hadis yang menasakhkan hukum tersebut dan mensabitkan umur baligh iaitu dengan keluarnya mani atau mencapai umur lima belas tahun Qamariyyah. Hadis tersebut diriwayatkan oleh Saiyidina Ali bin Abi Talib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ، عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ، وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ المَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ

Maksudnya: “Diangkat pena (taklif/tanggungjawab) daripada tiga kategori manusia; bayi sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehingga dia sedar, dan orang yang bermasalah aqal sehingga dia sembuh.”

Riwayat Abu Daud (4402)

Pun begitu, para ulama yang berpendapat seperti ini menyarankan agar dibataskan anak tersebut daripada dipengaruhi oleh ibu bapa yang masih belum Islam, atau salah seorang daripada mereka, berdasarkan keizinan mereka. Jika mereka tidak mengizinkan, maka hendaklah diserahkan kembali. Namun menurut Imam al-Subki, hukum pembatasan itu adalah wajib untuk menjaga maslahat agama anak itu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/609)

Sebahagian ulama Syafieyyah seperti al-Suyuti yang berpendapat bahawa sah Islam kanak-kanak yang bukan Islam apabila dia mengucap syahadah. Mereka berdalilkan hadis daripada Muslim al-Tamimi RA:

بَعَثَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَرِيَّةٍ فَلَمَّا هَجَمْنَا عَلَى الْقَوْمِ تَقَدَّمْتُ أَصْحَابِي عَلَى فَرَسِي فَاسْتَقْبَلَنَا النِّسَاءُ وَالصِّبْيَانُ يَضِجُّونَ فَقُلْتُ لَهُمْ: تُرِيدُونَ أَنْ تُحَرِّزُوا أَنْفُسَكُمْ؟، قَالُوا: نَعَمْ، قُلْتُ: قُولُوا: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ فَقَالُوهَا فَجَاءَ أَصْحَابِي فَلَامُونِي، فَقَالُوا: أَشْرَفْنَا عَلَى الْغَنِيمَةِ فَمَنَعْتَنَا ثُمَّ انْصَرَفْنَا إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: مَا تَدْرُونَ مَا صَنَعَ؟، لَقَدْ كَتَبَ اللهُ لَهُ مِنْ كُلِّ إِنْسَانٍ كَذَا وَكَذَا مِنَ الْأَجْرِ ، ثُمَّ أَدْنَانِي مِنْهُ

MaksudnyaNabi SAW telah mengutus kami dalam suatu peperangan/ Ketika kami menyerang musuh, aku dapat mendahului sahabat-sahabatku dengan cara menunggang kuda. Lalu kami menemui para wanita dan kanak-kanak yang berteriak ketakutan. Aku berkata kepada mereka: “Sukakah kamu menyelamatkan diri kamu?” Mereka menjawab: “Ya”. Aku berkata: “Ucapkanlah: Kami bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad , hamba dan Pesuruh-Nya.” Maka mereka pun mengucap syahadah itu. Lalu sahabat-sahabatku mengatakan kepadaku: “Hampir sahaja kita memperolehi harta rampasan perang, akan tetapi engkaulah yang menghalang kami.” Kemudian kami berangkat menuju Rasulullah ﷺ, lalu baginda bersabda: “Tahukah kamu apa yang telah dibuat olehnya (Muslim al-Tamimi)? Sesungguhnya Allah telah menulis baginya setiap manusia begini, begitu (yakni pahala tertentu bagi Muslim)” Kemudian baginda mendekatiku.”

Riwayat Abu Daud (5050) dan Ibn Hibban (2022) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (1052)

Imam al-Suyuti berdalilkan hadis di atas selepas menyatakan: “(Menerima pengislaman kanak-kanak) tidak menafikan hadis (hadis Ali di atas). Sesungguhnya hanya sahnya yang dinafikan ialah balasan azab jika suatu kemungkaran itu berlaku sewaktu umur kanak-kanak dan keislamannya seperti ibadat. Begitu juga sah puasa kanak-kanak, solat, haji dan lain-lain, maka sah jugalah Islamnya.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir,  hlm. 221)

Ibn al-Qayyim berkata: “Nabi SAW tidak sekali-kali pernah menolak keislaman seseorang yang masuk Islam daripada kalangan kanak-kanak, yang dewasa, orang merdeka, hamba, lelaki dan perempuan. Nabi sendiri tidak pernah memerintahkan, begitu juga tidak pernah para khalifahnya dan sahabat-sahabat lain, supaya kanak-kanak yang masuk Islam sebelum baligh memperbaharui Islamnya. Perkara ini tidak pernah diketahui terjadi dalam sejarah Islam.” (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 2/906)

Hukum ini disokong oleh hadis yang diriwayatkan Anas bin Malik RA:

كَانَ غُلاَمٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ، فَقَالَ لَهُ: أَسْلِمْ، فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا القَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ada seorang kanak-kanak Yahudi yang berkerja dengan Nabi SAW kemudian kanak-kanak itu jatuh sakit. Nabi SAW datang menziarahinya, dan Baginda duduk di sisi kepalanya seraya bersabda kepadanya: “Islamlah kamu”, lalu dia memandang ayahnya yang ada di sisinya. Ayahnya berkata kepadanya: “Taatilah Abu al-Qassim (gelaran Nabi SAW).” Lalu dia pun masuk Islam dan Nabi SAW keluar seraya berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan anak itu daripada neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1356)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani apabila mensyarahkan hadis ini, beliau bersetuju dengan pendapat yang mengesahkan keislaman kanak-kanak dengan berkata bahawa hadis ini, antara lain, dalil keharusan mendakwahkan Islam kepada kanak-kanak. Kata beliau, jika keislaman itu tidak sah, apa faedah Nabi SAW mengajak kanak-kanak itu kepada Islam. Begitu juga apabila baginda bersabda Allah telah menyelamatkannya daripada neraka, yang menjadi dalil bahawa sah keislaman kanak-kanak itu, seperti jika kanak-kanak itu membesar sebagai seorang kafir lalu mati, nescaya dia akan diazab. (Lihat Fath al-Bari, 3/221)

Kami mentarjihkan dalam isu ini pendapat majoriti ulama yang mengesahkan pengislaman kanak-kanak yang sempurna akal dan sudah mumaiyiz kerana menjaga kepentingan awam iaitu maslahat agama dan diri kanak-kanak tersebut. Pendapat ini juga disokong oleh Mufti Kerajaan Brunei Darussalam, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, dalam fatwa yang dikeluarkan pada tahun 2002. (Lihat Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, hlm. 151-160)

Adapun jika kanak-kanak tersebut sudah baligh, tetapi umurnya masih belum mencapai 18 tahun, maka hukum pengislamannya adalah sah berdasarkan kesepakatan para ulama kerana anak itu hakikatnya sudah dewasa. Namun berdasarkan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, pendaftaran pengislamannya tidak boleh dibuat melainkan dengan persetujuan ibu bapa atau penjaganya.

2.3      Kanak-Kanak Itu Mengikut Agama Ibu atau Bapanya yang Memeluk Islam

Bagi kanak-kanak yang belum baligh, apabila ibu bapanya, ataupun salah seorang daripada ibu bapanya, memeluk agama Islam, maka agama anak berkenaan adalah Islam berdasarkan kaedah al-tab’iyyah. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga).”

(Surah al-Tur: 21)

Firman Allah SWT:

وَلَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Nisa’: 141)

Kaedah fiqh menyebut:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya: “Hukum bagi perkara yang mengikut adalah hukum bagi yang diikut.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazair oleh Imam al-Suyuti, hlm. 228)

Imam al-Nawawi berkata: “Sekiranya salah seorang daripada ibu bapa seorang kanak-kanak masuk Islam semenjak anak itu dalam kandungan pada fasa alaqah maka anak itu adalah Islam. Justeru, sekiranya dia baligh kemudian dia berperwatakan orang kafir, maka dia dianggap murtad.” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm.177)

Oleh itu, bagi kanak-kanak yang berusia kurang 18 tahun dan belum aqil baligh maka pengislamannya adalah sah apabila salah seorang daripada ibu bapanya memeluk Islam, sekalipun dia tidak pernah mengucap dua kalimah syahadah.

Namun begitu sekiranya kanak-kanak tersebut sudah baligh, kemudian ibu bapa atau salah seorang daripada mereka memeluk, kanak-kanak terbabit tidak boleh dipaksa masuk Islam. Ini berdasarkan Firman Allah SWT:

لا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ

Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam).”

(Surah al-Baqarah: 256)

Al-Tabari dalam mentafsirkan ayat ini berkata: “Sebahagian ulama menyatakan sebab turun ayat ini ialah seorang lelaki Ansar yang memiliki anak-anak yang sudah dewasa yang beragama Kristian (atau Yahudi). Apabila dia memeluk Islam maka dia ingin memaksa anak-anak itu masuk Islam lalu Allah melarangnya agar anak-anak itu memilih sendiri untuk memeluk agama Islam.” Menurut al-Tabari, inilah tafsir yang benar. (Lihat Jami’ al-Bayan, 5/407-414).

Faktor paksaan boleh membatalkan pengislaman seseorang kerana seseorang yang memeluk Islam perlu dibuat secara sukarela. Jika tidak, maka dia boleh keluar daripada Islam tanpa dihukum murtad atau terus kekal di dalamnya.

Menurut Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, paksaan boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, iaitu:

  • Paksaan al-mulji’ atau sempurna: iaitu seseorang dipaksa sehingga tiada langsung kemampuan dan pilihan, seperti diancam bunuh, kebinasaan sebahagian anggota tubuh, pukulan yang teruk sehingga boleh mengakibatkan kematian dan kebinasaan anggota, atau binasanya seluruh hartanya. Hukumnya: Paksaan ini menafikan redha dan merosakkan pilihan.
  • Paksaan yang cacat atau tidak sempurna: Iaitu ancaman yang tidak memudaratkan nyawa atau anggota tubuh, seperti mengancam untuk pukulan ringan atau penjara, atau merosakkan sebahagian harta, atau mengenakan kezaliman seperti menafikan kenaikan pangkat, atau menurunkan pangkat. Hukumnya: menafikan redha tetapi tidak merosakkan pilihan.

Di sisi Imam al-Syafie, paksaan itu hanya ada satu jenis iaitu paksaan al-mulji’ (sempurna). Adapun selain daripada itu tidak dianggap sebagai paksaan.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/3064)

Difahami daripada sudut ini, bahawa sekiranya seseorang itu dipaksa tetapi paksaannya itu tidak mengancam lima tujuan Syarak untuk dipelihara daripada kebinasaan yang total pada agama, nyawa, keturunan, aqal atau harta, maka itu bukanlah paksaan.

2.4      Syarat-Syarat Memeluk Islam Bagi kanak-Kanak

Daripada perspektif Islam, seorang kanak-kanak dianggap baligh apabila keluarnya air mani atau mencapai umur lima belas tahun qamariyyah, dan tambahan, keluarnya darah haid bagi perempuan. (Lihat Minhaj al-Talibin oleh Imam al-Nawawi, hlm. 171).

Manakala kanak-kanak yang berusia bawah 18 tahun tetapi sudah aqil baligh kemudian salah seorang daripada ibu bapanya memeluk Islam maka dia tidak mengikut masuk Islam kerana dia dikira sebagai dewasa yang mukallaf dan syahadahnya adalah diterima jika dia mengucap tanpa khilaf ulama. Dalam Islam, dia tidak dianggap sebagai kanak-kanak sebaliknya orang dewasa.

Berikut kami nyatakan syarat-syarat memeluk agama Islam bagi kanak-kanak:

Pertama: Hendaklah kanak-kanak itu mampu mengucapkan dua kalimah syahadah.

Seksyen 85 (1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan:

  1. Orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah Syahadah dalam bahasa Arab secara semunasabahnya jelas;
  2. pada masa mengucap dua kalimah itu, orang itu mestilah sedar bahawa ia bermakna “Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W ialah Pesuruh Allah”; dan
  3. pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri.

Manakala Seksyen 95 (2) membenarkan mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan cara isyarat yang menunjukkan makna bagi seseorang yang tidak dapat bercakap boleh.

Kedua: Hendaklah kanak-kanak itu sudah sempurna akal.

Sebahagian ulama mensyaratkan umur 10, 9, 7 tahun kerana wajib disuruh untuk solat, bahkan 5 tahun. Pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanbali ialah tidak disyaratkan umur tertentu. (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 2/910)

Manakala Seksyen 95 (1) memperuntukkan seseorang yang tidak beragama Islam boleh masuk Islam jika dia sempurna akal, mencapai umur lapan belas tahun; atau jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan kemasukannya.

2.5      Umur Baligh Menurut Empat Mazhab

Allah SWT telah menjadikan baligh itu sebagai salah satu tanda sempurnanya akal. Para ulama berselisih pendapat dalam menentukan umur baligh seseorang:

Ulama bermazhab Syafie, Ahmad, Abu Yusuf daripada ulama bermazhab Hanafi, dengan pandangan keduanya itu juga difatwakan di dalam mazhab dan al-Awza’ie menyatakan bahawa umur baligh adalah sempurna 15 tahun qamariyyah (tahun Hijri) bagi lelaki dan wanita (sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ulama bermazhab al-Syafie) berdasarkan khabar (riwayat) daripada Ibn Umar.

عُرِضْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ أُحُدٍ وَأَنَا ابْنُ أَرْبَعَ عَشْرَةَ سَنَةً، فَلَمْ يُجِزْنِي وَلَمْ يَرَنِي بَلَغْتُ، وَعُرِضْتُ عَلَيْهِ يَوْمَ الْخَنْدَقِ وَأَنَا ابْنُ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً، فَأَجَازَنِي، وَرَآنِي بَلَغْتُ

Maksudnya: “Aku menyerahkan diriku kepada Nabi SAW pada peperangan Uhud ketika aku berusia 14 tahun dan Nabi SAW tidak mengizinkanku kerana Baginda SAW tidak menganggapku telah baligh. Aku juga menyerahkan diriku kepada Nabi SAW pada peperangan Khandak ketika aku berusia 15 tahun dan Nabi SAW mengizinkanku kerana Baginda SAW menganggapku telah baligh.

Riwayat Ibn Hibban (4728) dan ia mempunyai asal di dalam al-Sahihain.

Berkata Imam al-Syafie bahawa Nabi SAW telah menolak 17 orang daripada kalangan sahabat yang mana usia mereka pada ketika itu adalah 14 tahun kerana Baginda SAW menganggap mereka belum lagi baligh. Kemudian Baginda SAW didatangi anak-anak yang berusia 15 tahun lalu Baginda SAW membenarkan mereka. Antaranya Zaid bin Thabit, Rafi’ bin Khadij dan Ibn Umar.

وَرُوِيَ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَال: إِذَا اسْتَكْمَل الْمَوْلُودُ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً كُتِبَ مَا لَهُ وَمَا عَلَيْهِ، وَأُخِذَتْ مِنْهُ الْحُدُودُ

Maksudnya: “Apabila sempurnanya umur anak itu 15 tahun maka akan ditulis apa yang dilakukannya dan apa yang dikenakan ke atasnya serta akan dikenakan hudud.” 

Riwayat ini dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam al-Talkhis al-Habir pada 106/3 dan Imam al-Baihaqi menilai riwayat ini adalah dhaif.

Ulama al-Malikiyyah mengatakan umur baligh adalah sempurnanya 18 tahun, dikatakan juga dengan persetubuhan atau dengan bermimpi (keluar mani) berdasarkan sabda Nabi SAW:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثٍ: عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ

Maksudnya: “Diangkat pena pada 3 perkara: Antaranya daripada budak sehingga dia bermimpi.”

Riwayat Abu Daud (4401)

Ataupun apabila datangnya haid (bagi wanita) berdasarkan sabda Nabi SAW:

لاَ يَقْبَل اللَّهُ صَلاَةَ حَائِضٍ إِلاَّ بِخِمَارٍ

Maksudnya: “Allah SWT tidak akan menerima solat orang yang telah berhaid melainkan dengan menutup kepala.” 

Riwayat Ahmad dan ashab al-Sunan melainkan al-Nasaie dan juga Ibn Khuzaimah dan al-Hakim daripada Aisyah R.Anha. Riwayat ini sanadnya adalah hasan sebagaimana yang dinilai oleh Syeikh Syuaib al-Arna’out.

Atau dengan mengandung dan juga dengan tumbuhnya bulu ari-ari di bawah perutnya.

Al-Hattab ada mendatangkan 5 pandangan di dalam mazhab, antaranya riwayat yang mengatakan 18 tahun, 17 tahun dan sebahagian pensyarah kitab al-Risalah menambah kepada 16 tahun, 19 tahun dan diriwayatkan oleh Ibn Wahab 15 tahun menurut riwayat Ibn Umar.

Adapun Abu Hanifah menyatakan bahawa umur baligh seseorang budak lelaki itu mengikut pada umur adalah 18 tahun dan budak perempuan pula adalah 17 tahun. Disebabkan itu Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri).”

(Surah al-Isra’: 34)

Telah berkata Ibn Abbas RA, umur 18 tahun (dalam menentukan had baligh) adalah amat sedikit ahli ilmu yang cenderung kepadanya. Akan tetapi, ia diterima sebagai langkah berhati-hati. Ini adalah umur yang paling tua bagi had baligh budak lelaki dan budak perempuan pula lebih cepat balighnya berbanding budak lelaki maka kami kurangkan setahun (iaitu 17 tahun). (Lihat al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 2/15-17)

Kesimpulannya,  secara umumnya mazhab al-Syafie dan Ahmad melihat had umur baligh seseorang itu adalah pada usia 15 tahun qamariyyah berdasarkan dalil-dalil di atas. Adapun, mazhab al-Maliki dan al-Hanafi melihat had umur baligh seseorang itu adalah pada usia 18 tahun.

3.0      KEDUDUKAN KANAK-KANAK APABILA SALAH SEORANG IBU BAPA MEMELUK ISLAM MENURUT PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG DAN SYARIAH

Secara asas, undang-undang utama yang mengawal pertukaran agama ke agama Islam di Malaysia oleh penganut agama lain telah digariskan di bawah Senarai 11 Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang telah menyenaraikan peruntukan berhubung Hukum Syarak sekaligus menyatakan bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Oleh hal yang demikian, Undang-undang di Malaysia telah mewujudkan peruntukan undang-undang bagi pertukaran agama seseorang kepada Islam. Peruntukan sedemikian didapati pada enakmen di peringkat negeri iaitu di dalam pentadbiran undang-undang Islam negeri.  Undang-undang tersebut pada mulanya merupakan sebuah peruntukan yang ringkas.

Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Selangor 1952 merupakan enakmen paling awal menyatakan bahawa Majlis Agama Islam hendaklah mendaftarkan setiap individu yang menukar agamanya (seksyen 145-148). Ini bermakna seseorang tidak boleh menukar agamanya melainkan ianya dilakukan selaras dengan peruntukan enakmen terbabit, iaitu seseorang individu yang yang belum mencapai usia akil baligh tidak dibenarkan sama sekali untuk menukar agamanya, dan setiap pertukaran agama perlu didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam.[5]

Meskipun begitu, penentuan agama kanak-kanak bagi salah satu pihak yang memeluk agama Islam juga masih menjadi persoalan besar dan tidak berkesudahan kerana ia melibatkan satu pihak yang memeluk agama Islam dan satu lagi bukan Islam. Ia menjadi polemik sekali lagi apabila terdapat cadangan pindaan terhadap Seksyen 117 Enakmen Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 di Dewan Undang Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini iaitu meminda keizinan ibu dan bapa atau penjaganya kepada keizinan ibu atau bapa atau penjaganya bagi kanak-kanak  bawah 18 tahun.

Ini kerana dalam konteks di Malaysia, Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan “Bagi maksud Fasal (3), agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya”. Melihat kepada versi dalam Bahasa Inggeris, ia menyebut perkataan ‘parent’ yang membawa maksud ibu atau bapa. Sekiranya perkataan ‘parents’ ditulis dengan jelas, ia membawa maksud ibu dan bapa.

Sejujurnya, pembangunan undang-undang berkaitan hal ini masih samar sehingga sekarang. Ini dapat dilihat dengan siri-siri kes yang mempunyai fakta kes yang lebih kurang sama. Antara kes terawal di Malaysia berkaitan pertukaran agama oleh kanak-kanak sebelum merdeka adalah In Re Maria Huberdina Hertogh[6]. Kes init telah diputuskan bahawa seorang kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tidak mempunyai hak menentukan agamanya sendiri kerana ia tertakluk kepada persetujuan kedua ibu bapanya. Dia pada waktu itu baru berumur 14 tahun, oleh hal demikian, agamanya adalah mengikut agama orang tuanya.

Adapun setelah merdeka, kes-kes seperti ini rancak berlaku dan diputuskan di mahkamah. Antara yang menjadi kes-kes rujukan dalam hal ini adalah In Re Susie Teoh; Teoh Eng Huat vs Kadhi of Pasir Mas Kelantan & Majlis Ugama Islam[7], Genga Devi Chelliah vs Santanam Damodaram[8], Chang Ah Mee vs Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Ugama Islam Sabah & Ors.[9], Shamala Sathiyaseelan vs Dr Jeyaganesh C Mogarajah & Anor[10], Nedunchelian Uthiradam vs Nurshafiqah Binti Mah Singai Annal and 9 others[11], Subashini a/p Rajasingam vs Saravanan a/l Thangathoray[12] dan kes terkini  Indira Gandhi a/p Mutho v. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & Ors [2013].

Dari segi perspektif undang-undang sivil, dua peruntukan undang-undang mengawal hal ini. Pertama, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa persetujuan ibu bapa adalah perlu bagi menentukan agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun. Kedua, Seksyen 5 Akta Penjagaan Budak 1961 yang juga memperuntukkan perkara yang sama.

4.0      KEBENARAN OLEH KEDUA IBU BAPA DALAM ISU PERTUKARAN AGAMA OLEH KANAK-KANAK DI BAWAH USIA 18 TAHUN

Cukup jika dikatakan bahawa kebenaran oleh ibu bapa adalah suatu kemestian apabila melibatkan pertukaran agama bagi kanak-kanak di bawah umur. Namun, isu yang menjadi pertikaian sehingga sekarang adalah siapakah yang dimaksudkan sebagai ‘parent’ dan ‘guardian’ di dalam enakmen dan perlembagaan tersebut. Adakah perkataan ‘parent’ membawa kepada lafaz jamak (plural) atau mufrad (singular). Maka mahkamah member tafsiran yang pelbagai melalui kes-kes yang telah diputuskan.

Isu yang diketengahkan di dalam kes In Re Susie Teoh; Teoh Eng Huat vs Kadhi of Pasir Mas Kelantan & Majlis Ugama Islam, di mana plaintif yang merupakan seorang bapa telah menyaman Majlis Ugama Islam Kelantan kerana telah menukar agama anaknya yang di bawah umur tanpa pengetahuan dan persetujuan beliau. Beliau kemudian telah meminta Mahkamah Tinggi Kota Bharu untuk mengishtiharkan bahawa beliau adalah bapa yang sah kepada kanak-kanak tersebut dan mempunyai hak menentukan agama, pendidikan dan kehidupan anaknya. Beliau juga memohon kepada mahkamah suatu pengisytiharan bahawa penukaran agama anaknya kepada Islam adalah terbatal.

Dalam keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, mengisytiharkan bahawa pertukaran agama kanak-kanak tersebut adalah sah kerana menurut mahkamah pertukaran agama itu dilakukan atas kehendaknya sendiri tanpa wujud paksaan dan dia berhak menentukan agamanya sendiri dan tidak bercanggah dengan Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah juga berpendapat bahawa ianya seiring dengan peruntukan Seksyen 75 Enakmen Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1966, di mana memperuntukkan bahawa Kadhi berpuas hati bahawa kanak-kanak tersebut adalah seorang yang cukup umur (baligh) menurut Hukum Syarak kerana pada waktu itu kanak-kanak tersebut berumur 17 tahun 8 bulan.

Namun, keputusan Mahkamah Tinggi ini telah ditolak oleh Mahkamah Agung pada ketika itu. Tun Abdul Hamid yang merupakan Hakim pada ketika itu memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf membuat keputusan dalam menafsirkan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan. Walaupun mahkamah boleh membenarkan rayuan si bapa, namun mahkamah tidak membenarkan rayuan tersebut kerana pada waktu kes itu dirayu, responden telah mencapai umur 18 tahun di mana dia berhak menentukan agamanya.

Sebaliknya di dalam kes Shamala Sathiyaseelan vs Dr Jeyaganesh C Mogarajah & Anor, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Faiza thamby Chik memutuskan bahawa permohonan plaintif iaitu ibu kepada anak-anaknya yang telah ditukarkan agama mereka kepada Islam dengan mengikut bapa mereka tertolak kerana menurut pentafsiran hakim, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan bahawa perkataan ‘parent’ merujuk kepada mufrad(singular). Maka memadai dengan persetujuan bapa mereka menukarkan agama anak-anaknya kepada Islam.

Namun, plaintif merujuk kepada keputusan di dalam kes Chang Ah Mee vs Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Ugama Islam Sabah & Ors bahawa perkataan ‘parent’ di dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan adalah membawa maksud jamak(plural) di mana persetujuan kedua ibu dan bapa kepada kanak-kanak di bawah umur untuk menukar agama mereka adalah diperlukan.

5.0      KES INDIRA GHANDI YANG MENJADI ‘LANDMARK CASE’ KEPADA ISU PERTUKARAN AGAMA KANAK-KANAK DI BAWAH UMUR

Kes ini adalah mengenai kesahan pengeluaran Sijil Perakuan Memeluk Agama Islam kanak-kanak dari perkahwinan di bawah Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang dimohon oleh bapanya yang telah memeluk agama Islam. Perayu, Indira Ghandi telah berkahwin dengan responden, Patmanathan secara perkahwinan sivil pada tahun 1993. Pada tahun Mac 2009, Patmanathan telah memeluk agama Islam. Pada April 2009, Patmanathan telah memohon hak jagaan sementara secara ​ex-parte dari Mahkamah Syariah bagi ketiga-tiga anak mereka dan kemudiannya mendapat hak jagaan penuh pada September 2009. Pada April 2009, Indira menerima dokumen yang menunjukkan bahawa tiga sijil Perakuan Memeluk Agama Islam telah dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak. Dokumen itu juga menunjukkan bahawa ketiga-tiga anaknya telah didaftarkan sebagai orang Islam oleh Pendaftar Mualaf. Pada bulan Jun 2009, Indira memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Ipoh. Sewaktu semakan kehakiman dibuat, anak-anak mereka Tevi Darsiny berumur 12 tahun, Karan Dinish berumjr 11 tahun, dan Prasana Diksa berumur 11 bulan.

Pada tahun 2010, Mahkamah Tinggi telah memutuskan hak penjagaan anak kepada Indira berpandukan perkara 8 Perlembagaan Malaysia. Keputusan ini telah diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 dengan merujuk kepada perkara 121 (1A) yang menyimpulkan bahawa isu penukaran agama kepada Islam sebagai sebahagian bidang kuasa Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah kemudiannya telah memutuskan hak penjagaan ketiga-tiga anak tersebut kepada Patmanathan. Indira telah merayu supaya kes ini dilihat semula dalam bidang kuasa Mahkamah Persekutuan. Indira telah mengemukakan rayuan terhadap Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Pendaftar Mualaf, Kerajaan Negeri Perak, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kerajaan Malaysia dan Patmanathan A/L Krishnan.

Kes ini telah dikemukakan di Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali. ​Mahkamah Persekutuan secara sepakat telah memutuskan tiga persoalan undang-undang iaitu merangkumi (i) Kuasa Semakan Kehakiman; (ii) Pendaftaran Penukaran Agama Kepada Agama Islam; dan (iii) Izin Memeluk Agama Islam dari Ibu atau Bapa atau Penjaga.

Perbincangan pokok dalam hal ini ialah tafsiran Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan iaitu izin Ibu dan bapa atau salah seorang sahaja (penggunaan perkataan ‘parent’ dalam versi bahasa inggeris). Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa, bagi maksud hak berkenaan pendidikan agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

Mahkamah Persekutuan mengambil ingatan bahawa tafsiran terhadap hak-hak asasi dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibuat secara literal. Dalam hal pendidikan agama kanak-kanak, pertimbangan utama harus diberi kepada kebajikan mereka dan keadaan menyeluruh kes. Mahkamah berpendapat bahawa isu penukaran agama adalah sebuah isu yang besar yang boleh memberikan impak terhadap kanak-kanak tersebut. Justeru, tidakan membenarkan kanak-kanak menukar agama tanpa kebenaran kedua-dua ibu dan bapa akan menimbulkan isu dan berlawanan dengan kepentingan yang terbaik bagi anak. Mahkamah juga merujuk kepada kesaksamaan hak bagi kedua ibu dan bapa seperti yang diperuntukkan dalam Akta Penjagaan Budak 1961.

Mahkamah telah mengambil pendekatan tafsiran secara menyeluruh (​purposive​) yang memberi maksud keperluan terhadap keizinan dari kedua ibu dan bapa dengan mengambil kira panduan tafsiran dalam Jadual Kesebelas Perlembagaan Persekutuan dan kesaksamaan hak bagi kedua ibu dan bapa seperti yang diperuntukkan dalam Akta Penjagaan Budak 1961 seperti yang dinyatakan.

6.0      FATWA-FATWA KONTEMPORARI[13]

Berikut adalah fatwa-fatwa kontemporari berkaitan hak hadanah kanak-kanak apabila salah seorang ibu bapa memeluk Islam:

Pandangan Syeikh Dr. ‘Abd al-Latif al-Farfur:

Guru kami, almarhum Syeikh Dr. ‘Abd al-Latif al-Farfur (1992) dalam kitabnya “Fatawa Wa Qadaya Fiqhiyyah Mu’asirah” berkata:

أما إسلام الحضانة فليس شرطا في استحقاق الحضانة، لأن شفقة الأم الطبيعية لا يؤثر عليها اختلاف دينها عن دين الصغير، وتكون أحق بحضانته، إلا إذا خيف عليه أن يتأثر بحضانتها أو أن يتعود تناول المحرمات الإسلامية؛ فتكون كالفاجرة غير الأمينة على الصغير .

Maksudnya, “Islamnya penjaga bukanlah syarat dalam hak penjagaan kanak-kanak, kerana belas kasihan ibu biologi tidak terkesan ke atasnya dengan perbezaan agamanya (si ibu) dengan agama kanak-kanak tersebut. Ia menjadikan ibu itu lebih berhak dengan penjagaannya (kanak-kanak tersebut), kecuali jika ditakuti ke atasnya akan memberi kesan dengan penjagaannya atau kanak-kanak itu diberi makan yang haram dalam Islam, maka si ibu umpama orang yang jahat lagi tidak beramanah ke atas penjagaan si anak”.

Pandangan Dr. ‘Abd al-Rahman bin Hasan al-Nafisah:

Dr. ‘Abd al-Rahman bin Hasan al-Nafisah (2005) menjelaskan dalam artikelnya yang diterbitkan dalam “Majallat al-Buhuth al-Fiqhiyyah al-Mucasirah”:

ولعل الصواب -والله أعلم- ما ورد في مذهب الإمامين أبي حنيفة ومالك جواز حضانة الأم غير المسلمة لأن الأثار التي وردت دلت على أن طبيعة الأم (مسلمة أو غير مسلمة) في الشفقة على ولدها ورعايته في صغره تفوق ورعاية أبيه. ولكن هذا لا يعني بأي حال إغفال حق الأب في ولده فالأم ليست أكثر قدرة منه عندما يتجاوز مرحلة الصغر فعندما يتجاوز هذه المرحلة يدرك الأشياء يميزها فإن كانت أمه مسلمة وجب أن يكون عند أبيه لتربيته وتعليمه وإن كانت أمه غير مسلمة (وهذا أساس المسألة) فيخشى عليه بعد بلوغ هذه السن أن يألف دينها فوجب أن يكون عند أبيه.

Maksudnya, “Mudah-mudahan pandangan yang tepat -Allah lebih Mengetahui- adalah apa yang disebut dalam mazhab imam Abu Hanifah dan Malik yang membenarkan hak penjagaan kepada ibu bukan Islam. Hal ini kerana athar yang ada menunjukkan bahawa tabiat seorang ibu (sama ada dia seorang Islam atau tidak) dalam perasaan kasih sayang kepada anak-anaknya dan penjagaan mereka melebihi ayah mereka. Tetapi ini tidak menafikan hak bapa pada anak-anaknya. Si ibu tidaklah melebihi kekuatan si ayah apabila si anak melepasi tahap kanak-kanak. Apabila si anak melepasi tahap kanak-kanak, dia dapat mengetahui banak perkara dan membezakannya. Sekiranya si ibu adalah muslimah, wajib si anak berada bersama si ayah untuk pendidikannya. Sekiranya si ibu bukan muslimah (dan ini asas masalah), dibimbangi selepas baligh si anak akan terbiasa dengan agamanya. Oleh itu, wajib si anak bersama si ayah”.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Status Agama Anak Bawah Umur Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam, Jumhur Ulama telah bersepakat bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak di bawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam.

Oleh yang demikian, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan tersebut adalah secara langsung beragama Islam. Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya tidak perlu dipinda.

Keputusan Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang

Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-(Mesyuarat Khas) pada 25 Julai 2009 memutuskan: 

Apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak dibawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam

Oleh yang demikian, apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa ) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur adalah secara langsung beragama IslamPerkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa penjaganya tidak perlu dipinda.

6.0      PANDANGAN DAN CADANGAN PENYELESAIAN

Untuk memutuskan hukum fiqh dalam isu M Indira Gandhi tidak wajar sekadar melihat kepada sudut fiqh sahaja, tetapi juga perlu melihat dan mengambil kira realiti dan undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia. Sehubungan itu, satu kajian komprehensif perlu dibuat untuk mengkaji dan menganalisa isu ini bukan sahaja dari sudut fiqh tetapi juga realiti dan undang-undang. Dalam penghakiman kes ​Izwan Abdullah v Deepa Subramaniam pada 2016 Mahkamah Persekutuan telah memberikan hak jagaan salah seorang anak kepada pihak yang memeluk islam selepas memberi peluang anak-anak menyatakan pandangan masing-masing.

Mahkamah pada ketika itu telah memutuskan jika pihak-pihak berkahwin di bawah Akta membaharui Undang-Undang (Pekahwinan dan Perceraian)1976, maka Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan kes hak jagaan anak walau pun sebelah pihak telah memeluk Islam. Ruang lingkup kesejahteraan kanak-kanak itu tidak seharusnya terbatas pada agama walaupun agama adalah penting untuk dipertimbangkan. Sebaliknya, mahkamah harus melihat faktor-faktor lain yang akan memberi kesejahteraan kepada anak-anak yang terbaik, seperti keupayaan penjaga untuk membesarkan anak.

Berikut adalah solusi dan cadangan saya kepada Kerajaan Persekutuan dan juga Pihak Berkuasa Agama Negeri:

Kepentingan Mengkanunkan Hukum Fiqh yang Sesuai: Hukum fiqh pada dasarnya perlu dihormati dan diikuti oleh umat Islam serta dihormati oleh bukan Islam. Namun, pada zaman sekarang, khususnya di Malaysia yang memerlukan hukum fiqh dikanunkan untuk tujuan kuatkuasa, maka pihak berkuasa agama perlu berusaha dalam memastikan pengkanunan hukum hakam fiqh. Hal ini kerana dalam urusan yang melibatkan pertikaian di mahkamah, sesuatu perkara yang dikanunkan lebih kuat berbanding perkara yang tidak dikanunkan.

Memartabatkan Mahkamah Syariah: Memandangkan di Malaysia terdapat dua jenis undang-undang iaitu undang-undang Syariah dan undang-undang sivil, maka perlu mekanisme yang jitu untuk mengharmonikannya bagi memastikan Islam dan undang-undang Syariah juga dipandang tinggi dan dihormati.

Berdasarkan kepada alasan penghakiman dan kedudukan undang-undang mengenai isu ini, tidak dapat dinafikan ia akan memberikan implikasi yang signifikan kepada Mahkamah Syariah. Ini memerlukan kepada tindakan dan inisiatif secara menyeluruh bagi memastikan kemaslahatan semua dapat dilindungi dan dipertahankan demi keadilan dan kebenaran. Berikut ialah syor yang difikirkan sesuai dan berhikmah bersesuaian dengan ruang lingkup undang-undang di Malaysia.

Pindaan Undang-undang Tubuh NegeriPenghakiman kes ini telah menzahirkan keperluan bagi undang-undang tubuh negeri menyatakan dengan jelas kuasa Mahkamah Syariah seperti yang disenaraikan dalam Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah untuk mengelak pelbagai tafsiran yang akan menjejaskan kedudukan Mahkamah Syariah. Penghakiman kes-kes terdahulu seperti Soon Singh a/l Bikar Singh v Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah & Anor [1999] 1 MLJ 489, Latifah Mat Zin v Rosmawati bt. Shariban & Anor [2007] 5 MLJ 101, telah menunjukkan kesukaran mentafsir kuasa penuh mahkamah syariah tanpa peruntukan yang jelas dalam undang-undang negeri. Berdasarkan kes Latifah Mat Zin v Rosmawati bt. Shariban & Anor yang turut dirujuk oleh penghakiman ini, ia menyatakan bahawa mahkamah syariah tidak wujud selagi undang-undang negeri tidak memperuntukkan undang-undang yang memberi kesan tersebut secara jelas, berbanding kedudukan mahkamah sivil yang sudah disebut dalam Perlembagaan Persekutuan dari awal. Risiko yang dihadapi oleh mahkamah syariah ialah ia boleh dianggap sebagai bertaraf mahkamah rendah, setaraf dengan mahkamah sesyen dan majistret.

Justeru, mahkamah Syariah tidak boleh bergantung kepada interpretasi undang-undang sebagai mempunyai kuasa secara rujukan (by inference or by implication) kepada enakmen negeri berkaitan, tetapi perlu diberikan kedudukan yang kukuh dengan mengisytiharkannya melalui penggubalan undang-undang oleh kerajaan negeri berdasarkan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan. Pindaan undang-undang tubuh negeri dalam hal ini adalah penting selari dengan hasrat pengenalan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.

Membenarkan Orang Bukan Islam Hadir di Mahkamah Syariah sebagai Pihak-pihak: Undang-undang perlu memberikan kelonggaran bagi membenarkan orang bukan Islam hadir di mahkamah syariah sebagai pihak -pihak supaya kehendak dan keperluan kedua-dua belah pihak dapat didengari oleh hakim. Hal ini boleh mengurangkan geseran di antara pihak-pihak yang bertikai, membantu mahkamah syariah dalam memahami keperluan pihak-pihak dan meningkatkan kepercayaan dan keyakinan pihak-pihak terhadap mahkamah syariah.

Mahkamah Rayuan Syariah: Dalam perkara-perkara yang melibatkan persoalan syariah atau mahkamah syariah, dicadangkan supaya dibenarkan penglibatan Ketua Hakim Mahkamah Syariah dalam komposisi Mahkamah Rayuan dan membenarkan juga sebaliknya penglibatan hakim mahkamah sivil di mahkamah syariah dalam hal-hal yang sama. Penglibatan sebegini membolehkan kepentingan pihak-pihak orang Islam dan bukan Islam terpelihara di dalam kedua-dua mahkamah. Dengan cara ini, ia memberi lebih makna terhadap kewujudan seiring (co-existence) kedua-dua entiti ini dalam pentadbiran sistem keadilan negara.

Prosedur Kepatuhan Sebelum Masuk Islam: Bagi menjaga keharmonian masyarakat, dicadangkan supaya negeri-negeri menetapkan prosedur sebelum mendaftar perakuan memeluk agama Islam, termasuklah mendapatkan persetujuan mengenai agama anak dan hak penjagaan anak melalui mekanisma yang dipersetujui pihak-pihak seperti perbincangan pihak-pihak atau mediasi.

Pindaan Had Umur Menukar Agama. Menjunjung prinsip Islam dan kedaulatan undang-undang di Malaysia sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, besar harapan saya agar usul pindaan oleh pihak pembuat dasar agar had umur menukar agama bagi kanak-kanak di bawah Perkara 12(4) dipinda kepada 15 tahun mengambil kira had umur maksimum akil baligh menurut Islam, tanpa memerlukan persetujuan sesiapa.

Hal ini kerana semenjak sebelum kemerdekaan negara lagi, telah berlaku banyak siri-siri konflik di dalam hal pemelukan agama Islam bagi kanak-kanak di bawah 18 tahun kerana ketidakjelasan dan keseragaman undang-undang di peringkat persekutuan dan negeri. Oleh hal yang demikian, saya beranggapan ini adalah antara jalan terbaik menyelesaikan kemelut ini agar tidak berpanjangan tanpa menafikan hak-hak agama lain menurut perundangan.

Penubuhan Baitul Amni wa al-Salam (Rumah Aman dan Sejahtera). Sudah sampai masanya Kerajaan Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri serta Baitulmal bekerjasama untuk membina rumah perlindungan khusus untuk kanak-kanak bagi kes-kes seperti ini. Ibu bapa dan keluarga kedua-dua belah pihak walaupun berbeza agama, boleh mengunjungi mereka pada bila-bila masa kerana Islam tidak pernah menafikan hak kanak-kanak untuk mendapat kasih sayang ibu bapa dan keluarga. Kanak-kanak ini juga dicadangkan untuk menerima peruntukan asnaf mu’allaf, ibnu sabil atau fi sabilillah.

7.0      KESIMPULAN

Berdasarkan keterangan di atas, dapat kami simpulkan bahawa:

  • Kanak-kanak yang belum baligh memeluk Islam dengan mengikut Islamnya salah seorang daripada ibu bapanya; sama ada dia sudah mencapai umur mumayyiz atau belum, atau dia enggan.
  • Kanak-kanak yang sudah baligh dianggap sudah dewasa. Justeru, sekiranya dia memeluk Islam, sah syahadahnya, sekalipun ditentang oleh ibu bapanya. Namun, berdasarkan perundangan di Malaysia, kanak-kanak berkenaan tidak boleh didaftarkan keislamannya. Begitu juga jika ibu bapanya masuk Islam, mereka tidak boleh memaksa anak tersebut memeluk Islam, tetapi berdasarkan perundangan Malaysia, kanak-kanak berkenaan boleh didaftarkan sebagai Islam kerana agama kanak-kanak berumur bawah 18 tahun ditentukan oleh ibu bapa atau penjaganya.
  • Kanak-kanak yang sudah mumayyiz tetapi belum baligh yang memeluk Islam tidak dianggap sah pengislamannya sekalipun jika ibu bapanya yang bukan Islam menghalang, mengikut pendapat yang asah di dalam mazhab Syafie. Namun pendapat Jumhur mengesahkannya. Kami lebih cenderung kepada pendapat Jumhur kerana lebih baik untuk maslahat agama anak tersebut.
  • Apabila seorang kanak-kanak bukan Islam yang sempurna akal dan mengucapkan dua kalimah syahadah, maka sahlah pengislamannya.

Semoga penjelasan di atas memberikan kefahaman kepada semua dalam memahami isu ini dengan sebaiknya. Amin.

Wallahu a’lam.

____________________

[1] https://myeidos.com/pengislaman-tiga-beradik-kronologi-dan-fakta-kes/

[2] https://www.astroawani.com/berita-malaysia/mahkamah-arah-tiga-beradik-diserah-kepada-ibu-347899

[3] Lihat http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kanak-kanak

[4] Lihat http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=remaja

[5] https://iais.org.my/publications-sp-1447159098/dirasat-sp-1862130118/shariah-law-governance-halal/item/1068-penentuan-agama-kanak-kanak-sepihak-sah-atau-tidak-in-bahasa-malaysia

[6] (1951) MLJ 164

[7] (1990) 2 MLJ 228

[8] (2001) 2 CLJ 359

[9] (2003) 5 MLJ 106

[10] (2004) MLJ 648

[11] (2005) 2 CLJ 306

[12] (2007) 2 MLJ 798; (2008) 2 MLJ 147

[13] https://www.zulkiflihasan.com/2018/02/08/kedudukan-kanak-kanak-apabila-salah-seorang-ibu-bapa-memeluk-islam-menurut-perspektif-undang-undang-dan-syariah/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *