Bab 63: Manhaj Umum dalam Fatwa

Sejak awal pelantikan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli sudah menyusun metodologi yang jelas bagi fatwa dan pandangan hukum yang dikeluarkan oleh beliau. Inilah profesionalisme dalam kefatwaan. Seorang Mufti perlu tampil dengan metodologi yang jelas dalam perkhabaran hukum agar ia tidak semudah-mudahnya dipertikaikan oleh pihak lain.

Pertama, jelas tentang persoalan yang diutarakan. Ini berdasarkan kaedah:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Ini merupakan kaedah yang masyhur dan amat mulia dalam kalangan ulama yang merentasi mazhab. Al-Jurjani berkata: “Tasawwur merupakan menghasilkan gambaran sesuatu pada akal dengan tepat. Bukanlah maksud dengan tasawwur dalam kaedah ini semata-mata gambaran minda pada akal akan sesuatu.[1]

Ibn Qayyim pernah berkata bahawa mufti amat perlu membina kefahaman dalam satu-satu hal. Begitu juga dengan hakim ketika mahu berfatwa atau berhukum dengan sebenar, hendaklah mempunyai dua jenis kefahaman iaitu (i) memahami waqi’, mampu istinbat ilmu pada hakikat yang bertepatan dengan kehendak syarak. Hakim tersebut juga perlu memahami hukum Allah dalam kitab-Nya atau lisan Rasul-Nya SAW. Inilah jua manhaj para para Sahabat Nabi SAW dalam berfatwa.[2]

Kedua, mengemukakan pendapat ulama’ sama ada yang menyokong atau menentang sekiranya ada.

Ketiga, mengemukakan sumber rujukan dari kitab-kitab.

Keempat, mendatangkan dalil-dalil dan hujah mereka sama ada rujukan primer atau sekunder.

Kelima, melihat pada wajah istidlal[3] dan istinbat[4].

Keenam, merujuk kepada fatwa-fatwa terdahulu dan terkini jika ada.

Ketujuh, mentarjihkan pendapat berdasarkan kekuatan dalil dan hujah serta mengikut asas dan kaedah mazhab Syafie.

Kelapan, mendahulukan kemaslahatan yang lebih banyak dan bersifat umum.

Kesembilan, meraikan waqi’ dan realiti kehidupan yang sebenar.

Kesepuluh, mengambil kira maqasid al-syari’ah.

********************

“Tidak semuanya yang difatwakan itu, perlu terikat dengan teks dalam kitab-kitab turath. Kadang-kadang masalah tahun 2014 Masihi, tak sama dengan masalah tahun 500 Hijrah. Sebab tu kena teliti betul-betul sebelum kita sepakat keluarkan satu-satu fatwa.” Begitulah ucapan aluan Zulkifli dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, di hadapan semua Ahli Jawatankuasanya.

Tidak lain tidak bukan, itulah yang dijelaskan oleh Imam al-Qarafi:

وَالْجُمُودُ عَلَى الْمَنْقُولَاتِ أَبَدًا ضَلَالٌ فِي الدِّينِ وَجَهْلٌ بِمَقَاصِدِ عُلَمَاءِ الْمُسْلِمِينَ وَالسَّلَفِ الْمَاضِينَ

Maksudnya: “Kejumudan terhadap fatwa-fatwa dan pandangan ulama’ terdahulu adalah satu kesesatan dalam agama dan satu kejahilan terhadap maksud sebenar mereka.”[5]

Begitu juga Ibn ‘Abidin al-Syami, faqih mazhab Hanafi pernah berpesan:

ليس للمفتي الجمود على المنقول في كتب ظاهر الرواية من غير مراعاة الزمان وأهله، وألاّ يُضيَّع حقوقًا كثيرة، ويكون ضرره أعظم من نفعه

Maksudnya: “Seorang mufti tidak seharusnya bersikap jumud terhadap nukilan pandangan terdahulu yang terdapat dalam kitab hanya semata-mata berdasarkan zahir riwayat tanpa meraikan suasana zaman dan masyarakat setempat. Jika tidak, banyak hak-hak yang akan diketepikan, dan membawa mudarat yang lebih besar daripada kebaikan.”[6]

Setiap hari, Zulkifli akan memulakan paginya di pejabat dengan meneliti soalan-soalan yang sampai ke mejanya daripada orang ramai. Beliau akan meneliti dan menapis soalan-soalan yang akan dijawab kerana ada sebahagiannya sama, atau tidak perlu dijawab.

Beliau tertarik dengan satu soalan yang diterimanya di Facebook yang berbunyi: “Kenapa Mufti tak jawab soalan saya?”

Zulkifli ketawa kecil sendirian. “Ada jugok soalang gini ye…Insya-Allah kena jawab.” Bisik hati kecilnya.

Dalam kebanyakan hal dan persoalan yang dikemukakan, kebiasaannya Zulkifli akan menjawabnya dengan kerjasama pasukan penyelidik yang baru ditubuhkannya melibatkan beberapa orang staf yang diambil melalui Skim Pekerja Sambilan Harian (PSH). Ini kerana, ia adalah amanah dan tanggungjawab seorang Mufti kepada khalayak masyarakat untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan.

Antara beberapa sebab beliau tidak menjawab sebahagian soalan yang dikemukakan adalah:

  1. Tidak mengetahui jawapannya. Tidak perlu malu untuk menyatakan, “Saya tidak tahu”. Ini adalah jawapan ramai para ulama’ seperti Imam Malik, Imam al-Syafi’ie, Imam Ahmad bahkan kami saya mendengar jawapan daripada guru saya, kisah Syeikh al-‘Allamah Muhammad al-Amin al-Syanqiti[17], pengarang Adhwa’ al-Bayan.

Al-Sya’bi suatu ketika ditanya tentang satu masalah, lantas dijawabnya: “Aku tidak tahu.” Seorang lain bertanya kepadanya: “Apakah tuan tidak merasa malu berkata ‘aku tidak tahu’, walhal tuan adalah seorang ulama besar di Iraq?” Jawab al-Sya’bi: “Para malaikat juga tidak merasa malu ketika berkata seperti firman Allah SWT:

قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.[7]

  1. Telah dijawab Mufti-Mufti lain di Malaysia. Justeru, Zulkifli amat menghormati setiap jawapan yang telah pun dikemukakan oleh Ashabus Samahah Mufti-Mufti lain.
  2. Telah diambil tindakan. Berkenaan masalah yang telah dibincangkan secara umum dan terbuka dan telah diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berautoriti, Zulkifi lebih selesa untuk tidak memanjangkannya.
  3. Persoalan yang ada kepentingan tertentu. Ada juga ketikanya soalan yang diutarakan, ada kepentingan yang tersirat. Maka, Zulkifli cenderung untuk tidak menjawabnya.
  4. Boleh menjatuhkan maruah seseorang. Selalunya, Zulkifli tidak akan menjawab jika ditanya pandangan-pandangan ulama’ dan asatizah lain untuk dibandingkan. “Kalau ana jawab lain, boleh jadi jatuh maruahnya. Itulah yang guru ana, Syeikh al-‘Allamah Dr. Muhammad Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti selalu nasihatkan.”, ujar Zulkifli ketika ditanya satu hukum yang telah pun dijawab oleh seorang ustaz lain dengan jawapan yang kurang kukuh.

Inilah sebagaimana yang dikisahkan oleh ‘Abd al-Rahman ibn Abi Laila: “Aku pernah bertemu dengan seratus orang Sahabat Rasulullah SAW dan ditanya kepada mereka beberapa persoalan. Tidak seorang pun daripada mereka itu apabila ditanya kecuali dia mengharapkan agar saudara dan sahabatnya menjawab baginya.”

  1. Isu mahkamah. Sering kali Zulkifli ditanya berkenaan status rumahtangga pasangan samada dikira bercerai atau tidak. Beliau suka mengulasnya secara umum dan menyarankan penanya untuk merujuk kepada Mahkamah Syariah kerana itu adalah dalam bidang kuasanya.
  2. Tidak menjawab adalah jawapan. Tidak terkecuali, ada yang sengaja mencari peluang untuk menimbulkan perselisihan maka Zulkifli biasanya tidak menjawab. Inilah kaedah تَرْكُ الْجَوَابِ عَلَى الْجَاهِلِ جَوَابٌ (meninggalkan jawapan kepada orang jahil adalah jawapan). Benarlah firman Allah SWT:

وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا

Maksudnya: dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;

Ibn Kathir berkata: Apabila orang jahil membodohkan mereka dengan keburukan, janganlah mereka melawan dengan cara yang sama bahkan maafkanlah dan jangan berkata kecuali yang baik. (Lihat Tafsir Al-Quran al-Azim, 6/122)

Satu kisah yang dinisbahkan kepada Imam al-Syafie apabila beliau pernah ditanya berkenaan suatu perkara, beliau diam sejenak dan berfikir. Dikatakan kepadanya: “Tidakkah kau mahu menjawab?” Balas beliau:

حَتَّى أَدْرِيَ الْفَضْلُ فِي سُكُوتِي أَوْ فِي الْجَوَابِ

Maksudnya: “Sehingga aku tahu kebaikan itu pada diamnya aku atau pada jawapanku.”

********************

Pertemuan Zulkifli dengan Syed Azmi, salah seorang penganjur program I Want to Touch a Dog, yang menimbulkan kekecohan dalam kalangan umat Islam di Malaysia, mengakhiri polemik yang panas pada penghujung 2014.

Zulkifli memuji pendekatan Syed Azmi yang inginkan umat Islam untuk tidak memandang anjing sebagai haiwan yang mempunyai konotasi negatif. Anjing diharamkan kerana dianggap sebagai najis mughallazah. Selain daripada itu, ia tetap makhluk Allah yang wajar diberi ihsan sebagaimana haiwan lain.

Setelah menjelaskan satu persatu hukum anjing di sisi mazhab Syafie dan hikmah pengharamannya, Zulkifli berkata, “Ana harap kalau Tuan Syed Azmi berhajat lagi nak buat apa-apa program kesedaran awam, boleh kita bincang lebih lanjut. Ana suka dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan. Buatlah apa yang sesuai, mohon pandangan pihak-pihak lain. Yang penting jangan lupa solat dan sentiasa tambah ilmu.

Kedua-duanya berpelukan dan saling mengucapkan terima kasih.

Setelah Syed Azmi pulang, Zulkifli menutup pintu biliknya dan kembali duduk di sofa. Puan Rahmah masuk ke biliknya untuk mengambil cawan-cawan teh yang dihidangkan untuk pertemuan sebentar tadi. “Dah selesai ye Dr? Banyak betul pertemuan Dr. dari awal pagi. Semuanya nak mengadu masalah, cari masalah. Hehehe…Dr. tak penat ke? Saya yang susun jadual pun dah penat.”, kata Puan Rahmah berseloroh.

Puan, Mufti ni bukan semata-mata kerjanya letak hukum. Mufti jugak adalah pendamai, penyatu, dan penyelesai pelbagai masalah masyarakat. Kadang-kadang, ada hal yang boleh selesai dengan sikit perbincangan dan cara yang berdiplomasi. Tak perlu hukum…”, jawab Zulkifli sambil tersenyum.

____________________________

[1] Al-Ta’rifat, hlm. 59

[2] I’lam al-Muwaqqi’in, 1/165-166

[3] Istidlal (الاستدلال‎) adalah daya usaha mencari dalil atau sumber hukum bagi sesuatu masalah yang belum diketahui hukumnya.

[4] Istinbat (الإستنباط) adalah daya usaha membuat keputusan hukum syarak berdasarkan dalil-dalil al-Quran, al-Sunnah, Ijma’, Qiyas dan masadir hukum yang lain

[5] Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq, 1/177

[6] Rasa’il Ibn ‘Abidin, 2/131

[7] Surah al-Baqarah: 32

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *