#22: Masa Depan Islam dan AI

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kebelakangan ini hangat diperkatakan tentang teknologi Artificial Intelligence (AI) dalam aplikasi perniagaan dan lain-lain. Ia berkembang begitu pesat pada mutakhir ini berbanding 20 tahun yang lampau. Dengan perkembangan tersebut, maka banyaklah isu-isu AI dibahaskan seiring dengan perkembangan AI yang mempunyai pelbagai penggunaan dan matlamat. Justeru, telah timbul banyak persoalan yang terkait dengan AI. Oleh kerana isu ini adalah isu baru dan terkini, maka para ulama terdahulu tidaklah menjawab persoalan ini secara khusus kerana ia termasuk dalam permasalahan semasa. Kajian ilmiah pada kali ini, akan cuba merungkai beberapa persoalan yang terkait dengan AI secara khusus. Antaranya:

  • Apakah AI?
  • Apakah fungsi AI?
  • Apakah kebaikan dan keburukan AI?
  • Apakah isu-isu keagamaan yang timbul berkaitan AI?
  • Bagaimanakah aplikasi kaedah-kaedah fiqh dalam isu AI?
  • Etika Islam dalam Penggunaan AI oleh Syeikh Abdullah bin Bayyah 
  • Garis panduan umum

Menariknya, AI telah digunakan dengan amat meluas mutakhir ini termasuklah sebagai pembaca berita di Astro Awani baru-baru ini. Sejujurnya, saya melihat ruang yang luas untuk perbahasan ini dikembangkan menjadi sebuah manual yang lengkap kelak. Semoga makalah ringkas ini membantu umat Islam di Malaysia memahami pandangan Islam terhadap AI.

Panduan Asas Dalam Isu AI

Menjadi kelaziman kepada saya dalam membincangkan isu yang baharu, saya noktahkan beberapa panduan terlebih dahulu. Antaranya ialah:

  • Kaedah fiqh:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan keseluruhan perkara tersebut.” (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 1/50)

Penjelasan yang terperinci perlu diambil kira bagi mengeluarkan hukum terkait AI agar ia menepati kaedah di atas apabila kita mengambil satu-satu hukum.

  • Kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”  (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60)

Sebarang perkembangan dalam teknologi termasuk AI perlu dilihat dari sudut yang neutral dan tidak meletakkan sebarang sangkaan awal tanpa memahaminya terlebih dahulu.

  • Kaedah fiqh

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh membuat kemudaratan.”

Riwayat Ahmad (2865) dan Ibn Majah (2340)

Teknologi AI mestilah tidak mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri dan kepada orang lain, atau hanya memanfaatkan diri sendiri tetapi mendatangkan kemudaratan atau kesusahan kepada orang lain. Kayu ukur kemudaratan dan kemanfaatan adalah lima teras maqasid syariah.

  • Kaedah fiqh

الضَّرَر يُزَال

Kemudaratan hendaklah dihilangkan” Lihat al-Wajiz fi Idhah Qawaid al-Fiqh al-Kulliyyah (hlm. 258).

Apabila wujud kemudaratan berkaitan maqasid syariah pada satu-satu teknologi melibatkan AI, wajib ia ditinggalkan atau digantikan dengan alternatif lain yang menepati syarak.

  • Kaedah fiqh:

 دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ المَصَالِحِ

Maksudnya: “Menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan.” (Lihat al-Qawa’id al-Fiqhiyyah Baina al-Asalah wa al-Taujih, 2/12)

Ini antara prinsip penting dalam penggunaan dan pelaksanaan AI. Sebarang isu ataupun risiko yang jelas berkaitan AI perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kita melihat kepada pelbagai manfaat yang bakal diperoleh. Perkara ini menjadi lebih penting apabila berlaku pertembungan antara mafsadah dan maslahah.

  • Kaedah fiqh:

الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا

Maksudnya: “Sesuatu hukum berlegar bersama-sama ‘illahnya ketika ia ada dan tiada.”

Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah, kaedah ini bermaksud: Apabila Allah mengaitkan sesuatu hukum dengan sebab ataupun ‘illah tertentu, maka hukum tersebut akan hilang apabila hilangnya kedua-duanya iaitu sebab atau ‘illah. (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 4/80)

Justeru, ‘illah (sebab) menjadi punca utama dalam memutuskan satu-satu hukum terkait AI. Jika wujud ‘illah maka wujudlah hukum. Sebaliknya, jika tiada, maka tiadalah hukum.

  • Kaedah al-qiyas dan takyif fiqhi. Ini kerana, masalah ini adalah baru. Justeru, perlu diqiyaskan dengan hukum asal di dalam fiqh berdasarkan persamaan ciri-ciri antara asal dan baharu. Kaedah al-qiyas mengutamakan dalil dan ‘illah, manakala takyif fiqhi tidak semata-mata terikat dengan illah tetapi juga persamaan ciri-ciri antara asal dan baharu, tujuan hukum dan persamaan kaedah umum. (Lihat al-Takyif al-Fiqhi li al-Waqai’ al-Mustajiddah wa Tatbiqatuhu al-Fiqhiyyah oleh Uthman Syabir, hlm. 19)
  • Memahami kedudukan ‘illah dalam qiyas memerlukan beberapa elemen di bawah:

Pertama: Tahqiq al-Manat (تَحْقِيْق الْمَنَاط). Tahqiq al-Manat adalah proses meneliti, mengkaji, dan mengenal pasti dalam mentahkikkan ‘illah yang telah sabit dengan nas, ijma‘ atau istinbat, pada kejadian atau permasalahan yang tidak terdapat padanya nas. Contohnya, hadith Nabi SAW sebagaimana daripada riwayat Abu Qatadah R.A berkenaan kucing. Rasulullah SAW bersabda:

‏ إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ وَالطَّوَّافَاتِ 

Maksudnya:Sesungguhnya ia bukanlah najis. Ia adalah di antara haiwan yang selalu berlegar-legar di sekeliling kalian.

Riwayat al-Nasa’i (339)

Hadith di atas jelas menunjukkan nas hukum bahawa sucinya kucing dan baki jilatannya. Juga jelas menunjukkan ‘illah hukum iaitu ia merupakan haiwan yang sering berlegar-legar di sekeliling manusia.

Akan tetapi, adakah hukum ini juga terpakai kepada tikus? Maka dalam hal ini seorang mujtahid perlu melakukan tahqiq al-manat dalam proses mengaplikasikan kewujudan ‘illah pada furu‘ (cabang).

Contoh yang lain, firman Allah SWT:

وَيَسۡ‍َٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡمَحِيضِۖ قُلۡ هُوَ أَذٗى فَٱعۡتَزِلُواْ ٱلنِّسَآءَ فِي ٱلۡمَحِيضِ وَلَا تَقۡرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطۡهُرۡنَۖ  

Maksudnya:Dan mereka bertanyakan kepadamu (Muhammad) berkenaan haid. Katakanlah bahawa ia merupakan satu kotoran maka asingkanlah diri dengan para isteri ketika mereka dalam haid dan janganlah kalian mendekati (untuk bersetubuh) mereka sehinggalah mereka suci.

(Surah al-Baqarah: 222)

Di dalam ayat ini terdapat nas hukum larangan menjauhi isteri untuk bersetubuh dengan mereka dalam tempoh haid mereka. ‘llah menjauhi isteri ketika haid adalah disebabkan kotoran.

Lalu seorang mujtahid melakukan penelitian untuk mentahkikkan ‘illah ini kepada nifas pula. Jika dia mendapati ‘illah yang sama iaitu kotoran terdapat pada nifas maka dia melakukan qiyas padanya dan mengambil hukum yang asal kepada furu‘ (cabang) iaitu kewajipan menjauhi isteri ketika nifas.

Kedua: Tanqih al-Manat (تَنْقِيْح الْمَنَاط). Tanqih al-Manat adalah proses penelitian dalam menentukan apa yang telah ditunjukkan oleh nas atas bentuk ‘illah yang mana tidak ditentukan ‘illah tersebut di dalam nas. Dengan cara membuang apa-apa yang tidak mempunyai kaitan untuk diambil kira daripada ciri-ciri lain yang turut terdapat di dalam nas. (Lihat Muntaha al-Sul, hlm. 218). 

Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan menyebutkan, dari sudut istilah ulama usul, tanqih al-manat bermaksud membersihkan ‘illah daripada ciri-ciri atau sifat-sifat yang berkaitan dengannya yang tidak dikira sebagai ‘illahnya (yang memberi kesan kepada hukum). (Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, hlm. 170).

Contohnya, seorang Arab Badwi datang bertemu Nabi SAW dan mengkhabarkan kepadanya bahawa dia telah bersetubuh dengan isterinya pada siang hari Ramadhan dengan sengaja. Lalu Nabi SAW telah mewajibkan ke atasnya untuk membayar kaffarah. 

Justeru, kewajipan membayar kaffarah adalah hukum syar‘i yang dikenakan kepada Arab Badwi tersebut. Seterusnya, terdapat beberapa ciri-ciri atau sifat-sifat yang berkemungkinan menjadi ‘illah kepada hukum syar‘i itu iaitu: 

  • Bersetubuh dengan isterinya.
  • Dia seorang Arab Badwi.
  • Dia bersetubuh dengan isterinya pada bulan Ramadhan.
  • Dia bersetubuh dengan isterinya pada siang hari Ramadhan dengan sengaja.

Justeru, hasil penelitian seorang mujtahid kepada ciri-ciri ini yang mungkin menjadi ‘illah atau memberi kesan kepada hukum syar‘i (iaitu kewajipan kaffarah kepadanya), maka dapat dipastikan bahawa ‘illah (sebab) yang mewajibkan kaffarah itu kepadanya adalah kerana dia telah bersetubuh dengan isterinya pada siang hari Ramadhan dengan sengaja.

Ketiga: Takhrij al-Manat (تَخْرِيج الْمَنَاط). Apabila terdapat hukum syarak yang telah ditetapkan tanpa menerangkan alasan dan illah pada pengharamannya, maka para mujtahid akan berusaha untuk berijtihad untuk mengetahui ‘illah di sebalik hukum syar‘i tersebut dan mencari hujah-hujah yang menyokongnya.

Contoh dalam hal ini adalah hukum syarak yang melarang minum arak, namun tidak diterangkan alasan mengapa ia diharamkan. Oleh itu, para ahli fiqh berusaha untuk mencari ‘illah dan alasan-alasan yang menyebabkan minuman arak diharamkan. Begitu juga dengan hukum syarak yang melarang riba, para ahli fiqh berusaha untuk mencari ‘illah dan alasan-alasan yang menyebabkan riba diharamkan.

  • Ijtihad dalam Fiqh al-Maalat. Dari sudut bahasa, perkataan al-Ma’al (المآل) membawa erti tempat kembali, tuju, matlamat dan kesudahan. Pada istilahnya, al-Ma’al (المآل) membawa erti, “kesudahan dan natijah sesuatu perbuatan, sama ada baik atau buruk dan sama ada diniatkan oleh orang yang melakukan perbuatan atau tidak.” (Lihat Mabda’ I`tibar al-Ma’al fi al-Bahth al-Fiqhi oleh Yusuf bin `Abd Allah, hlm. 36 dan 38)

Fiqh al-Ma’alat adalah memikirkan kesan, implikasi atau natijah yang bakal terhasil di sebalik sesuatu keputusan yang diambil sama ada fatwa atau hukum. Maka, sebarang hukum melibatkan AI perlu meliputi jangkaan dan kemungkinan yang belum berlaku pada masa kini kerana teknologi ini berkembang dengan amat laju.

Semoga dengan beberapa noktah awal yang dibangkitkan ini boleh menjadi pemandu dalam menemukan hukum berkenaan dengan AI.

Memahami AI

AI merupakan singkatan kepada Artificial Intelligence atau dalam bahasa Melayu dipanggil Kecerdasan Buatan / Kepintaran Buatan. Ia merupakan kecerdasan yang dimiliki dan ditunjukkan suatu sistem beraturcara atau mesin jentera yang mampu melakukan tugas dan fungsi mirip yang dijana oleh pemikiran manusia. AI telah difahami sebagai satu bidang ilmu komputer di pertengahan tahun 1950-an. 

Istilah AI telah diterapkan dalam program dan sistem komputer yang mampu melakukan tugas-tugas yang lebih kompleks daripada program komputer biasa, walaupun masih jauh dapat menandingi pemikiran manusia. Kemampuan AI kini digunakan secara meluas di bidang-bidang seperti pemprosesan maklumat, permainan komputer, keselamatan negara, perdagangan elektronik, dan sistem diagnostik.

Justeru, saya memahami AI sebagai penggunaan teknologi tinggi dalam bentuk machine learning dan data mining yang sentiasa berkembang dalam urusan kehidupan dan kehendak manusia, ke arah yang lebih mudah, pantas, dan berkesan.

Fungsi, Kebaikan dan Keburukan AI

AI digunakan oleh institusi-institusi kewangan, saintis, ahli psikologi, pengamal perubatan, jurutera reka bentuk, perancang bandar, dan perkhidmatan keselamatan, dan pelbagai lagi. Ia juga digunakan dalam permainan komputer, meramal pergerakan saham, mencipta gambar, mendiagnosis penyakit, merancang perjalanan, menterjemah bahasa, membantu membina mesin yang kompleks, mengajar, bermain muzik, dan lain-lain.

Contoh paling terkenal kegunaan AI adalah superkomputer Deep Blue yang mengalahkan juara catur dunia Garry Kasparov pada tahun 1997. Dalam permainan catur ini, Deep Blue memanfaatkan pemprosesan selari (pemprosesan aplikasi komputer yang berjalan serentak dan berkait) untuk memproses 200 juta pergerakan catur per saat. 

Terdapat banyak penggunaan AI yang sudah mula terkenal di dunia termasuklah di Malaysia. Saya nyatakan di sini beberapa AI yang masyhur yang digunakan secara meluas pada masa kini. Antaranya:

  • Chat GPT. Ia sebuah bot sembang yang dilancarkan OpenAI pada November 2022. Ia dibina di atas kelompok model bahasa besar GPT-3, dan dihaluskan (pendekatan pembelajaran serahan) dengan teknik seliaan dan pembelajaran pengukuhan.

https://assets.website-files.com/6344c9cef89d6f2270a38908/64148ed756708f9b82464c96_image-of-hand-holding-an-ai-face-looking-at-the-words-chatgpt-openai.webp 

  • GPS. Penggunaan AI dalam GPS dapat dilihat ketika seseorang memandu mengikut navigasi yang telah ditetapkan, kemudian GPS mengesyorkan satu laluan berbeza yang mampu menjimatkan masa perjalanan?  Itulah AI yang dalam sistem GPS, yang berfungsi di belakang tabir. Kemampuan algoritma GPS untuk mencari jalan tanpa dipinta, sebenarnya adalah sejenis AI. Apabila GPS mempunyai kebolehan melakukan cadangan atau menukar sendiri navigasi akibat perubahan yang kita lakukan secara sengaja atau tidak sengaja, itu adalah satu bentuk kepintaran buatan.
  • Fungsi ‘Autocorrect’. Kini, setiap telefon pintar bukan sahaja mampu menyemak ejaan bahkan turut sama mampu membentuk ayat serta menterjemah istilah, dari satu bahasa ke beratus-ratus bahasa berbeza – tanpa kita perlu menggunakan aplikasi luaran lain. Semua kemudahan dan fasiliti ini ada AI di belakangnya, di mana pengendali sistem operasi telefon pintar seperti Google atau Apple bertanggungjawab membangunkan dan menambah baik sistem yang ada. Apabila tersalah taip, maka tidak perlu untuk dibetulkan. AI akan memadam kesalahan kita dan menggantikan perkataan salah tersebut dengan ejaan yang betul, tanpa perlu kita membetulkannya satu per satu.
  • Vakum Robotik (Robotic vacuum cleaner). Pembersih vakum robotik ialah pembersih vakum robotik automatik yang mempunyai sistem pembersihan lantai vakum terhad digabungkan dengan penderia dan pemacu robotik dengan pengawal boleh atur cara dan rutin pembersihan. Reka bentuk awal termasuk operasi manual melalui alat kawalan jauh dan mod “pandu kendiri” yang membolehkan mesin membersihkan secara automatik. Sesetengah reka bentuk menggunakan berus berputar untuk mencapai sudut yang ketat, dan sesetengahnya lagi memiliki beberapa ciri pembersihan bersama-sama dengan ciri penyedut (mop, pensterilan UV, dan lain-lain). Model yang lebih terkini menggunakan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence dan pembelajaran mendalam untuk pemetaan yang lebih baik, pengenalpastian objek dan pembersihan berdasarkan acara.

Sepanjang penelitian saya, terdapat dua model AI yang diperkenalkan oleh institusi fatwa di dunia iaitu iMurasalah oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Malaysia dan Virtual Mufti oleh Pihak Berkuasa Am Hal Ehwal Islam dan Wakaf, Emiriah Arab Bersatu.

Saya memperkenalkan sistem chatbot AI ini pada tahun 2016 semasa menjawat jawatan sebagai Mufti. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan merupakan institusi kefatwaan pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi AI bagi menjawab persoalan hukum-hakam di Facebook. Fungsi iMurasalah di Facebook Mufti Wilayah Persekutuan membolehkan pengguna berinteraksi terus dengan bot untuk mendapatkan jawapan berdasarkan bank soal-jawab Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Adapun Virtual Ifta’ Pihak Berkuasa Am Hal Ehwal Islam dan Wakaf, Emiriah Arab Bersatu (IACAD) menerima pertanyaan untuk sekitar 130,000 fatwa setiap tahun. Inisiatif ini menawarkan pembantu maya kepada pengguna dari seluruh dunia untuk soalan mereka.

Fasa pertama platform itu dilancarkan di Emirates Towers, di mana pameran tiga hari yang menggambarkan pelbagai peringkat fatwa diadakan. Tersedia 24/7, projek itu selaras dengan inisiatif ‘Dubai 10X’, yang bertujuan untuk menyediakan penyelesaian yang progresif dan menyumbang kepada kemampanan dan daya saing Dubai sebagai bandar masa depan.

Menggalakkan orang ramai untuk memilih perkhidmatan maya, Dr Ahmed Abdulaziz Haddad, Pengarah Ifta di IACAD merangkap Mufti Dubai, berkata: “Tambahan terbaru kepada bahagian fatwa di IACAD adalah agak tepat dan akan memberikan fatwa yang lebih cepat dan selamat kepada orang ramai yang akan membantu mereka mengelakkan daripada berunding dengan bukan pakar yang mungkin memberi mereka maklumat yang salah atau menyesatkan mereka.”

Walaupun saya telah nyatakan AI banyak kebaikannya, tetapi tidak kurang juga keburukannya:

  • Pencerobohan maklumat, plagiat tesis atau kajian ilmiah termasuk penipuan karya yang dinisbahkan kepadanya. Begitu juga boleh berlaku pengubahan markah serta mendapat soalan bocor. 
  • Mengurangkan dan menutup peluang pekerjaan. Pekerja terpaksa bersaing dengan AI yang kadang-kadang boleh mengalahkan pekerja itu sendiri.

Gudang yang beroperasi penuh dengan bantuan robot dan mesin menggunakan teknologi AI oleh syarikat JD.com di Shanghai yang hanya mempunyai 5 pekerja. Kebiasaannya, gudang bersaiz sama mempunyai 400-500 orang pekerja.

  • Kos yang tinggi. Kebolehan untuk mencipta satu mesin yang mampu berfungsi dengan kepintaran yang sama dengan manusia tidaklah memerlukan kos yang sedikit. Ia mengambil masa yang lama dan sumber yang pelbagai dan kewangan yang tinggi. AI juga memerlukan hardware dan software yang terkini untuk berfungsi dan memerlukan kos yang amat tinggi. Justeru, ia akan membebankan kepada pesakit atau pengguna.
  • Tiada emosi. Sejak kecil kita telah diajar bahawa komputer atau mesin-mesin lain tidak mempunyai perasaan. Manusia berfungsi dalam satu pasukan dan pengurusan pasukan adalah penting untuk mencapai matlamat. Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa robot adalah lebih unggul daripada manusia kerana ia mampu berfungsi dengan lebih berkesan dan pantas, tetapi ia juga benar bahawa hubungan manusia, yang merupakan asas dalam sesebuah pasukan, tidak dapat digantikan oleh komputer. 
  • Menjadikan manusia malas. Aplikasi AI mengautomasikan kebanyakan tugas yang membosankan dan berulang-ulang. Oleh kerana kita tidak perlu menghafal perkara atau menyelesaikan permasalahan untuk menyelesaikan kerja, manusia akan lebih cenderung untuk semakin kurang dan tidak menggunakan otak. Kebergantungan kepada AI ini boleh menyebabkan masalah kepada generasi masa depan.
  • Privasi. Salah satu kebimbangan terbesar yang diutarakan oleh pakar adalah sekitar privasi data pengguna, keselamatan, dan AI. Kebimbangan utama lain adalah bahawa hanya terdapat sedikit peraturan mengenai AI (secara am, atau sekitar privasi data) di peringkat nasional atau antarabangsa. Justeru memerlukan kepada penggubalan undang-undang secara khusus berkenaan AI.
  • Algoritma yang berat sebelah dan diskriminatif. “Berat sebelah” bukan hanya masalah sosial atau budaya, ia juga terdapat dalam sfera teknikal. Kekurangan reka bentuk atau data yang cacat dan tidak seimbang yang dimasukkan dikumpul atau diprogram ke dalam algoritma boleh menyebabkan perisian dan artefak teknikal yang berat sebelah. Oleh itu, AI hanya akan menambahkan diskriminasi kaum, jantina, dan umur yang telah wujud dalam masyarakat dan memperdalam ketidaksetaraan sosial dan ekonomi.
  • Tidak telus. AI juga mempunyai pelbagai kelemahan, oleh itu ketelusan sangat penting. Data input mungkin dipenuhi dengan kesilapan atau tidak dijangka. Atau mungkin saintis data dan jurutera yang melatih model secara tidak sengaja memilih set data yang berat sebelah pada permulaannya. Tetapi dengan begitu banyak faktor atau perkara yang boleh mendatangkan masalah, masalah sebenar ialah kurangnya ketelusan: tidak tahu mengapa AI tidak berfungsi dengan baik. Atau kadang-kadang tidak sedar bahawa ia tidak berfungsi dengan baik. Dalam pembangunan aplikasi yang biasa, terdapat jaminan kualiti serta proses pengujian dan alat yang dapat dengan cepat mengesan sebarang kesalahan.
  • AI boleh memusnahkan sistem keselamatan negara, bahkan musuh mudah menceroboh sesebuah negara yang berdaulat dengan teknologi canggih serta kesan kematian, kecederaan, dan kemusnahan pada skala yang amat tinggi.
  • AI juga boleh digunakan oleh penjenayah yang cerdik dan licik dalam melakukan jenayah seperti merompak bank melalui transaksi dan data-data daripada pendeposit yang dipindahkan dengan sewenang-wenangnya. Hal ini saban tahun kita dengar ia berlaku.
  • Mudah bagi pihak penyeludup untuk mengelakkan dari penguatkuasaan dan badan-badan seperti polis, kastam, imigresen, tentera laut, dan lain-lain.

Memori Saya, Tun Dr. Mahathir dan Sophia

Sophia ialah sejenis robot AI sosial yang berbentuk manusia yang direka dan dibangunkan oleh Hanson Robotics, sebuah syarikat kejuruteraan dan robotik yang berpusat di Hong Kong. Sophia diaktifkan pada 19 April 2015 dan membuat penampilan awam pertamanya di Festival South by Southwest (SXSW) di Austin, Texas, pada Mac 2016.

Sophia menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan algoritma pembelajaran mesin untuk mensimulasikan perbualan, ekspresi wajah, dan emosi manusia. Dia direka untuk berinteraksi dengan manusia secara semulajadi, menggunakan pengiktirafan pertuturan dan pemprosesan bahasa semulajadi untuk memahami dan menjawab arahan dan soalan yang diucapkan.

Salah satu ciri paling menarik Sophia adalah penampilan manusia yang dimilikinya, yang bertujuan untuk menjadikannya lebih mudah didekati oleh manusia. Dia mempunyai wajah yang menyerupai manusia, dengan ekspresi wajah yang realistik dan pergerakan dengan gabungan motor, sensor, dan kamera.

Berita mengenai Sophia telah mendapat liputan ramai termasuk Forbes, The New York Times, dan The Guardian. Sophia juga telah membuat penampilan awam di pelbagai acara seperti Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, di mana dia memberi ucapan tentang topik kecerdasan buatan dan hak asasi manusia.

Walaupun kemampuannya yang mengagumkan, beberapa kritikan turut diutarakan antaranya kebimbangan tentang kesan penciptaan robot seperti Sophia dan risiko-risiko yang mungkin terkait dengan penciptaan robot yang menyerupai manusia. Walau bagaimanapun, Sophia tetap menjadi contoh yang menarik tentang teknologi canggih dan kemajuan yang dicapai dalam bidang kecerdasan buatan dan robotik.

Sophia juga berkesempatan untuk berbual dengan Tun Dr. Mahathir dalam satu acara pada tahun 2018 di mana robot sosial ini dijemput untuk menghadiri sebuah persidangan teknologi di Kuala Lumpur, di mana dia berbual secara terbuka dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia kini yang merupakan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu.

Saya berada di sana, masih jelas di ingatan detik bersejarah tersebut. Pada permulaan perbualan dengan Sophia yang memakai baju kurung moden berwarna merah, Tun kelihatan kehilangan kata-kata sambil memandang kagum sehingga Sophia bersuara dalam Bahasa Inggeris.

“Selamat pagi, Mahathir. Saya teruja. Saya harap masih belum terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada anda atas pemilihan semula anda dan selamat ulang tahun ke-94,” ujar Sophia dengan lancar dan mimik muka seakan-akan manusia.

Tun menjawab: “Adakah anda tahu tentang penggal pertama saya sebagai Perdana Menteri?”

Sophia menjawab: “Sudah tentu, anda telah mengangkat sumpah pada 16 Julai 1981, sekitar 13,881 hari yang lalu dari hari ini.”

Tun berkata beliau tidak akan dapat membayangkan dirinya duduk dan berbual dengan robot  yang canggih semasa penggal pertamanya sebagai Perdana Menteri.

Sophia kemudian bertanya kepada Tun sama ada dirinya akan berpeluang menjadi Perdana Menteri jika dia mempunyai pengetahuan dan kebijaksanaan yang sama seperti manusia.

Tun menjawab: “Nah, ia memerlukan lebih daripada pengetahuan dan kebijaksanaan untuk memerintah negara … tetapi kita tidak pernah tahu apa masa depan. Ini adalah masa yang menarik untuk hadir semasa era pertumbuhan teknologi.”

Apabila Sophia bertanya kepada Dr Mahathir sama ada beliau ingin menjadi seperti dirinya dan hidup selama-lamanya, Dr. Mahathir berkata: “Memang muda mempunyai kelebihan tersendiri, tetapi seiring dengan usia datang pengalaman dan pengetahuan. Saya mungkin sudah tua tetapi saya pasti lebih bijak daripada kamu,” katanya sambil berseloroh.

Edward Snowden dalam Sejarah Jenayah AI

Pada tahun 2013, seorang lelaki bernama Edward Snowden telah mendedahkan rahsia kerajaan Amerika Syarikat yang dikatakan “mengintip” dunia selama ini. Beliau merupakan seorang yang professional dalam bidang komputer dan pernah bekerja di Central Intelligence Agency (CIA) dan National Security Agency (NSA) di mana kedua-dua agensi ini merupakan agensi perisikan dan sekuriti bagi kerajaan Amerika Syarikat.

CIA dan NSA merupakan agensi yang sama seperti Federal Bureuau of Investigation (FBI) berlindung di sebalik kerajaan USA. Beliau rasa bersalah setelah bekerja dengan agensi NSA setelah mengetahui apa yang dilakukan selama ini oleh NSA

Pada peringkat awal kerjayanya, beliau ingin untuk menjadi tentera dan berhasrat untuk berperang dalam perang Iraq kerana merasakan manusia perlu bebas dari penjajah. Beliau dinamakan dalam Pasukan Khas untuk Tentera Simpanan USA setelah menjalani latihan.

Snowden terpaksa melupakan hasratnya setelah kedua-dua kakinya patah pada tahun 2004 ketika menjalani latihan. Beliau terpaksa menukar haluan dan setahun kemudian bekerja sebagai pakar sekuriti di Universiti Maryland iaitu pusat penyelidikan yang ditaja NSA.

Kerana rasa cinta terhadap negaranya, beliau memilih untuk bekerja dengan CIA supaya dapat menabur jasa semula kepada USA. Pada tahun 2007, beliau dihantar ke Geneva, Switzerland sebagai diplomat secara sembunyi untuk memastikan sekuriti rangkaian komputer berada di tahap yang tinggi.

Snowden mendapat passport diplomatik yang memastikan beliau mendapat imuniti semasa berada di negara lain. Selain itu, semasa di Geneva, beliau juga dianggap pakar dalam bahagian sekuriti siber dan teknikal. Beliau terus bekerja di bawah CIA sebelum berhenti pada tahun 2009 

Pada tahun 2009, beliau bekerja di bawah NSA khususnya bersama Dell kerana mendapat subkontrak bersama syarikat komputer tersebut. Beliau ditugaskan untuk menguruskan sistem komputer untuk pelbagai agensi kerajaan ditempatkan di fasiliti NSA di Pangkalan Tentera Yokota berdekatan Tokyo.

2 tahun kemudian, beliau pulang ke Maryland dan ditugaskan sebagai pakar teknologi utama untuk CIA bagi Dell. Pada tahun 2012 beliau ditukarkan ke Hawaii mendapat tugas sebagai ahli teknologi dalam menguruskan perkongsian maklumat NSA.

Setelah setahun bekerja di Pusat Operasi Serantau NSA, beliau mendapat maklumat yang tidak pernah disangkakan dimiliki oleh kerajaan Amerika Syarikat. Semasa bekerja, beliau didedahkan dengan informasi bahawa kerajaan USA dapat mengakses kesemua maklumat melalui pangkalan data “PRISM” termasuk akaun e-mel, Facebook, Twitter dan bermacam-macam lagi. 

Snowden semasa ditemu ramah NBC menceritakan bahawa beliau memasukkan dokumen-dokumen NSA ini ke dalam pendrive sebelum menyeludup maklumat ini ke luar dari pangkalan operasi mereka. Sesudah selesai, beliau menghubungi wartawan New York Times  untuk melaporkan maklumat ini ke seluruh dunia. Beliau berjumpa dengan 3 wartawan New York Times di Hong Kong

Wartawan bernama James Risen melaporkan bahawa keputusan Snowden untuk mendedahkan maklumat ini dibuat sejak beliau berada di Geneva lagi. Pada tahun 2012, beliau pernah menghubungi wartawan The Guardian untuk mendedahkan rahsia tetapi kerana banyak masalah yang dihadapi, ia tidak berjaya.

Sejurus beliau mendedahkan maklumat itu, beliau lari ke Rusia untuk mendapat perlindungan. Beliau tidak dapat masuk ke Rusia dan hampir sebulan tersekat di lapangan terbang Rusia setelah menaiki kapal terbang dari Hong Kong. Setelah hampir sebulan tersekat, beliau akhirnya dapat masuk ke Rusia. Beliau mendapat perlindungan di Rusia dan boleh tinggal di Rusia sehingga tahun 2020. 

Pada penghujung tahun 2022, beliau diberikan kerakyatan Rusia dan kemudiannya diberikan pasport Rusia oleh kerajaan di sana. Hal ini susulan beliau dan isterinya memohon kerakyatan Rusia pada November 2020, sebulan setelah diberikan pemastautin tetap.

Pemain Utama AI di Dunia

Antara negara yang terkehadapan dalam pembangunan teknologi AI ialah:

  • Amerika Syarikat

Amerika Syarikat telah menjadi pemimpin dalam pembangunan AI sejak awal kemunculan bidang ini, dengan pelaburan kerajaan yang besar dan inisiatif dasar yang mempromosikan penyelidikan dan pembangunan. Negara ini adalah rumah kepada beberapa institusi penyelidikan AI terkemuka di dunia dan syarikat teknologi terbesar di dunia, seperti Google, Amazon, dan Microsoft, yang telah melabur secara besar-besaran dalam teknologi AI seperti rangkaian neural dan pembelajaran mendalam. Kerajaan Amerika Syarikat telah melancarkan inisiatif seperti Inisiatif AI Amerika untuk memajukan penyelidikan dan pembangunan AI. Secara keseluruhannya, US mempunyai asas yang kukuh dalam pembangunan AI, dengan ekosistem kerajaan, akademik, dan industri yang maju memacu inovasi dalam bidang ini.

  • China

China mempunyai komitmen yang terbuka, mendalam, dan sangat menyokong pembangunan AI. Menurut Jeneral Tentera Udara Vera Linn Jamieson, “Kami menganggarkan belanja keseluruhan untuk rangkaian kecerdasan buatan di China pada tahun 2017 adalah $12 bilion. Kami juga menganggarkan bahawa ia akan berkembang menjadi sekurang-kurangnya $70 bilion menjelang tahun 2020.” Menurut Laporan White House Obama pada tahun 2016, China menerbitkan lebih banyak artikel jurnal mengenai pembelajaran mendalam daripada AS dan telah meningkatkan jumlah paten AI sebanyak 200%. China bertekad untuk menjadi ketua seluruh dunia dalam AI menjelang tahun 2030. 

Shenzhen atau juga dikenali sebagai Bandar Silikon China

https://img2.chinadaily.com.cn/images/201912/19/5dfb3fdda310cf3e97ac8fb3.jpeg 

  • Jerman

Kertas-kertas penyelidikan yang paling banyak diterbitkan tentang AI adalah di Jerman. Antara tahun 2011 hingga 2015, bilangannya kekal pada angka sekitar 8,000. Seperti China, Jerman juga merancang untuk menjadi pusat utama untuk kecerdasan buatan. Mengikut artikel FT, Max Planck Society Jerman, dua kolej teknikal, dan negeri pengeksport terkemuka sedang menggabungkan penyelidikan kecerdasan buatan mereka bersama-sama dengan syarikat seperti Porsche, Daimler, dan Bosch.

  • India

India telah mengambil strategi yang unik dalam strategi negaranya mengenai AI dengan memberi tumpuan kepada bagaimana negara tersebut dapat menggunakan AI untuk pembangunan ekonomi, tetapi juga untuk kebajikan sosial. NITI Aayog, badan pemikir kerajaan yang menyusun laporan itu, menyebut strategi ini sebagai #AIforAll. Oleh itu, strategi tersebut bertujuan untuk (1) meningkatkan dan memberi keupayaan kepada rakyat India dengan kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan berkualiti; (2) melabur dalam penyelidikan dan sektor-sektor yang dapat membangunkan pembangunan ekonomi dan kesan sosial; dan (3) memperluaskan solusi AI buatan India ke seluruh dunia membangun yang lain.

  • Canada

Kanada adalah negara pertama yang melancarkan strategi kecerdasan buatan kebangsaan. Terperinci dalam belanjawan kerajaan 2017, Strategi Kecerdasan Buatan Pan-Kanada adalah rancangan selama lima tahun dengan dana sebanyak C$125 juta untuk melabur dalam penyelidikan dan bakat AI. Strategi AI Kanada adalah berbeza daripada strategi lain kerana ia pada dasarnya adalah strategi penyelidikan dan bakat. Institut AI baru, CIFAR Chairs dalam AI, dan program AI Nasional semuanya ditujukan untuk meningkatkan profil antarabangsa Kanada sebagai pemimpin dalam penyelidikan dan pendidikan AI. Program AI dan Masyarakat CIFAR mengkaji implikasi dasar dan moral AI, tetapi strategi keseluruhannya tidak termasuk polisi yang terdapat dalam strategi lain.

Perbezaan di antara AI dan Big Data

Big Data merujuk kepada penyimpanan dan pemprosesan sejumlah besar data berstruktur, separa berstruktur dan tidak berstruktur dengan potensi besar untuk diekstrak dan disusun bagi menyediakan maklumat berharga bagi organisasi dan perusahaan. Sebaliknya Artificial Intelligence (AI) atau kecerdasan buatan ini terdiri daripada gabungan algoritma dengan objektif untuk mencipta mesin yang meniru fungsi manusia seperti belajar, menaakul dan membuat keputusan.

https://www.orangemantra.com/blog/wp-content/uploads/2018/01/big-data-AI.jpg 

Selain itu, Big Data bertindak sebagai input yang menerima set data yang besar. Data ini perlu diproses dan diseragamkan untuk menjadi berguna. 

Manakala AI pula adalah hasil daripada proses ini. Ia terdiri daripada satu set perisian yang mengambil maklumat dan informasi daripada output yang dijana oleh data-data terkumpul ini untuk mencipta siri algoritma yang membolehkan program dan mekanisme menunjukkan tingkah laku pintar dan membuat pertimbangan dan jangkaan berdasarkan maklumat yang diperoleh seperti yang dilakukan oleh manusia, dan ini memberi pelbagai kelebihan untuk syarikat.

Oleh itu, Big Data adalah umpama bahan api kepada AI. Ia mengambil maklumat dan belajar daripada data yang diproses, mencipta dan mengenali corak dan membangunkan penyelesaian analitik yang canggih untuk semua jenis industri.

Peningkatan jumlah dan kelajuan pemprosesan data telah memungkinkan pembangunan AI, yang menggunakan maklumat ini untuk menganalisis dan bertindak dengan alam sekitar dengan sewajarnya. Ia akan menjadi satu kesilapan yang wajar untuk membandingkan kedua-dua istilah ini kerana ia adalah dua konsep yang berbeza tapi saling melengkapi dan berjalan seiring.

Etika Islam dalam Pengaplikasian AI Menurut al-‘Allamah Syeikh Abdullah bin Bayyah

Oleh kerana isu ini amat baru dan moden yang bersifat terkini, maka fatwa berkenaan AI adalah amat nadir dan jarang ditemui pada masa saya menyiapkan penulisan ini. Saya nyatakan di sini beberapa poin yang dikemukakan oleh al-‘Allamah Syeikh Abdullah bin Bayyah dalam persidangan Rome Call for AI Ethics pada 10 Januari 2023. 

Syeikh menegaskan bahawa semua agama dalam risalah masing-masing mahukan kebahagiaan manusia. Tetapi Islam menggesa untuk mencapai dan mendapatkan pengetahuan dengan kajian dan ilmu sebagaimana firman Allah SWT:

 وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

Maksudnya: “Dan berdoalah dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.’”

(Surah Taha: 114)

Ilmu dengan mafhum yang lebih luas merangkumi sebarang bentuk pengetahuan sama ada agama mahupun dunia yang dengannya tertegaknya masyarakat secara kerohanian dan material. Itulah cara berdirinya tamadun dan membangun dapatan kajian di mana agama sekali-kali tidak pernah menghalangnya bahkan menggalakkannya.

Menurut beliau, sebarang bentuk AI perlu meraikan batasan akhlak yang menjadi nilai yang paling tinggi bagi kedudukan manusia memelihara kemuliaannya dan kehidupannya.

AI adalah sebahagian daripada ciptaan moden timbul dari sifat kecerdikan manusia yang telah berpindah dari perkembangan teori kepada realiti dan penghasilan. Kejayaannya amat membanggakan dalam pelbagai cabangan dan bidang dan ia sentiasa berkembang yang memberi faedah kepada golongan yang khusus dan juga pihak kerajaan.

Mutakhir ini, AI telah menguasai kecerdikan buatan yang mampu menduduki banyak cabang seperti kesihatan, pengangkutan, pembelajaran, latihan dan pembuatan. Ini sudah tentu menambahkan lagi kehidupan manusia dengan lebih baik. Dalam masa yang sama, Syeikh juga mengingatkan bahawa AI boleh membuka pintu yang membawa kepada banyaknya bahaya dan malapetaka apabila penggunaannya tersalah langkah.

Kesungguhan manusia untuk mencapai sesuatu sehingga membinasakan diri digambarkan oleh beliau melalui syair  oleh penyair Arab yang terkenal Abu al-Fath al-Busti seperti katanya:

كَدُودٌ كَدُودِ القَزِّ يَنْسُجُ دَائِماً                  وَيَهْلِكُ غَمًّا وَسْطَ مَا هُوَ نَاسِجُهْ

Dia bersungguh seperti ulat sutera yang sentiasa menganyam

         Dan dia membinasakan dengan kecewa saat menganyamnya.

(Lihat Mu’jam al-Udaba’ oleh Yaqut al-Hamawi, 1/103)

Menariknya, Syeikh menimbulkan beberapa persoalan secara falsafah akhlak berkenaan kebebasan, kehendak, dan kebertanggungjawaban. Beliau bertanyakan beberapa soalan antaranya

  1. Siapa yang menanggung kesilapan AI?
  2. Apa yang akan berlaku dengan hubungan sosial antara manusia?

III. Bagaimana mungkin AI memberi kesan kepada akhlak dan peradaban serta perlakuan kita?

  1. Bagaimana cara kita membetulkan kesilapan AI?
  2. Bagaimana kita hendak menghukum sistem atau program yang kita bina jika ia lebih cerdik daripada kita?
  3. Bagaimana kita boleh menjamin kita selamat?

Semuanya ini akan membentuk satu ancaman kepada sistem manusia keseluruhannya yang dikenali di sisi Islam sebagai kulliyat al-khams iaitu memelihara agama, kehidupan, akal, pemilikan harta benda dan keluarga. Manakala sifat syariat adalah untuk memelihara kelima-limanya.

Antara kerisauan yang ditimbulkan beliau adalah ancaman besar kepada keluarga yang menyebabkan hilang keadaan bersendirian tanpa gangguan (privacy) dan pencerobohan data maklumat, bahkan boleh menyebabkan hilang harta benda dan pemilikan. Lebih parah daripada itu, dibimbangi ia membawa perpecahan kepada masyarakat melalui penyebaran maklumat yang palsu, sesat dan lain-lain.

Syeikh menyeru pemimpin agama, pengurusan syarikat, pelaksana dan kerajaan untuk bekerjasama bagi membesarkan faedah daripada AI dan mengecilkan mudaratnya berdasarkan neraca akhlak Islam yang mulia

Beliau membawakan Kaedah yang masyhur berdasarkan hadith:

‏ لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya:Tidak ada sebarang mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”

Menurutnya, ia menjadi asas hukum oleh pemerintah agar dapat memelihara manusia dalam arus kemajuan dan perkembangan AI daripada sebarang kemudaratan.

Beliau akhirnya menyimpulkan, perkembangan AI dalam masyarakat tidak memadai dengan hanya memenuhi tujuan tertentu semata-mata, tetapi nilai dan akhlak yang mulia wajib dijunjung dan menjadi petunjuk jalan yang sebenarnya.

Garis Panduan yang Perlu Dipelihara

Saya kemukakan di sini beberapa garis panduan asas berkenaan dengan AI:

  •   Perlu kefahaman yang jelas, tujuan dan matlamat penggunaan dan penciptaannya. Ini kerana Nabi SAW bersabda:

وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَـوَى

Maksudnya:Sesungguhnya setiap orang memperolehi apa yang diniatkan.”

Riwayat al-Bukhari (1)

Kaedah yang masyhur menyatakan:

الْأُمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara bergantung kepada niatnya.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 30)

  • Sebarang bentuk AI hendaklah menyanggahi sifat sanam (berhala) atau timthal (patung) yang bernyawa. Ini sebahagian daripada sadd al-zari‘ah.
  • Elakkan sebarang bentuk gharar dan penipuan. Justeru, sebarang penggunaan dan penciptaan AI wajar disertakan penafian (disclaimer) yang boleh diketahui umum.
  • Penggunaan dan penciptaan AI hanya untuk tujuan urusan harian kehidupan dan perkara teknikal berkaitan agama. Ia tidak mungkin menggantikan taklif rabbani terhadap manusia seperti perintah pelaksanaan ibadat, solat, dan lain-lain. Begitu juga ia tidak menyanggahi norma manusia seperti perkahwinan dengan AI yang berlaku di Jepun dan sebahagian negara Barat.
  • AI tidak boleh  menyentuh sensitiviti agama seperti isu ghaibiyyat dan lakaran wajah Rasulullah SAW misalnya.
  • Perlu dibuat kajian yang lebih mendalam tentang penisbahan kesalahan jenayah, kemalangan, dan kesalahan AI samada melibatkan sistem atau manusia. Saya menjangkakan, pihak kehakiman dan perundangan juga perlu melihat isu ini dengan lebih serius.
  • Jika ada keperluan untuk pentarjihan hukum, kepakaran manusia masih diutamakan kerana AI sama sekali tidak akan membuat keputusan terhadap perkara yang diluar data yang diperolehnya.
  • AI dilarang sama sekali menceroboh karamah insaniyyah. Ia adalah konsep yang menekankan pembentukan adab, akhlak dan integriti. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”

(Surah al-Isra’ :70)

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya mengatakan mengenai karamah insaniyyah yang dikurniakan oleh Allah SWT, bahawa manusia diberi nikmat yang pelbagai. Antara nikmat tertinggi yang Allah SWT kurniakan adalah kemuliaan dan kehormatan diri, dimana dua nikmat ini tidak ada pada makhluk yang lain. Selain itu, manusia juga diberikan akal dan kelebihan bertutur yang sempurna, bagi membezakan perkara baik dan buruk serta mengucapkan kata-kata yang baik.  (Lihat al-Jami’ li Ahkam Al-Quran, 5/190)

Manusia itu adalah merupakan makhluk ciptaan Allah SWT yang dimuliakan dan dihormati semasa hidupnya mahupun telah pergi meninggalkan dunia ini. Imam Jalaluddin al-Suyuti dan Imam Jalaluddin al-Mahalli menyebut bahawa tidak boleh dihinakan mahupun dikotori mayat mereka. (Lihat Tafsir al-Jalalain, 5/108)

  • Dengan perkembangan terkini AI, maka kaedah penghakiman dan pembuktian di mahkamah melalui video, audio dan imej di masa akan datang mungkin tidak lagi menjadi bayyinah dan syahadah yang boleh diterima pakai, tetapi sekadar qarinah (circumstantial evidence) semata-mata. Inilah hikmah mengapa Islam menekankan yang berhak menjadi saksi adalah manusia yang sebenar yang mempunyai sifat-sifat dan syarat-syarat yang diterima.

Beberapa Hukum-Hakam Berkaitan AI

Ulama zaman dahulu tidaklah memberi jawapan yang khusus berkenaan dengan AI kerana ia baru muncul pada zaman mutakhir. Dari segi fiqh tawaqqu‘ ia baru berlaku. Justeru, secara umumnya, hukum asal sesuatu perkara adalah halal dan diharuskan sehinggalah terdapatnya dalil yang melarang atau mengharamkannya. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, aku tidak mengetahui terdapatnya perselisihan daripada mana-mana ulama salaf (terdahulu) bahawa apa-apa perkara yang tidak ada dalil yang menunjukkan kepada pengharamannya, maka ia adalah mutlak tidak dilarang. Sesungguhnya terdapat banyak nas mengenai perkara tersebut daripada mereka yang membicarakan berkenaan usul al-fiqh dan cabang-cabangnya. Aku merasakan sebahagian daripada mereka menyebutkan bahawa dalam hal itu telah mencapai ijma‘ yang diyakini atau sangkaan (yang kuat) seperti mana tahap yakin. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 21/538).

Kaedah ini adalah salah satu kaedah dalam syariah, dan ia adalah salah satu manifestasi kebaikan dan kemudahan Islam, dan melepaskan kesusahan yang terbeban dan membelenggu.

Seorang Muslim, jika dia memahami kaedah ini dengan baik, maka cukuplah baginya daripada bertanya tentang hukum setiap perkara baharu khususnya yang orang mengetahui bahawa ia secara zat tidak dilarang, tetapi larangan itu adalah berdasarkan kepada aspek penggunaannya. Dalam erti kata lain, misalnya jika ia digunakan untuk perkara haram atau mengandungi perkara-perkara yang diharamkan dalam syarak, maka hukumnya menjadi haram. Maka, termasuklah dalam perkara baharu ini adalah AI.

Satu realiti yang perlu kita terima, kemajuan teknologi manusia semakin hari semakin berkembang pesat. Perkara yang suatu ketika dahulu kedengaran mustahil untuk dicapai, pada hari ini ia ada peluang untuk digapai. Zaman ini diistilahkan oleh ramai pihak sebagai zaman Revolusi Perindustrian 4.0 (Industrial Revolution 4.0), menyaksikan kemajuan kecerdasan buatan (artificial intelligence), industri robotik dan kejuruteraan genetik (genetic engineering) mula diaplikasikan dalam segenap bidang kehidupan manusia.

Dengan perubahan norma baharu akibat pandemik COVID-19, pengkaji pasti masih banyak ruang-ruang ijtihad dalam permasalahan agama yang boleh ditelaah untuk maslahah umat Islam. Apa yang dinyatakan ini merupakan sebahagian kecil daripada cabaran zaman moden yang mesti dihadapi oleh institusi kefatwaan serta semua pihak yang berkecimpung dalam bidang fiqh ini. Sebagaimana yang ditegaskan oleh sekian ramai para ulama, fiqh dan fatwa mesti sentiasa mampu menyelesaikan permasalahan umat manusia, dan tidak kaku serta terhad kepada fiqh di dalam kitab, tanpa mengambil kira fiqh realiti yang pantas berubah.

Di bawah payung fiqh tawaqqu’, terdapat beberapa contoh ijtihad fiqh iftiradhi yang mungkin agak pelik pada zaman silam, pada namun pada zaman kini ia terbukti berlaku. Contohnya Ibn ‘Abidin pernah menyebut bahawa jika seseorang itu solat dalam keadaan menanggung bersamanya bekas yang mengandungi air kencing, maka solatnya tidak sah (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 1/403). Hal tersebut kedengaran janggal pada zaman tersebut, namun pada zaman ini ia terbukti relevan bagi kes-kes pesakit yang memakai colostomy bag atau continous bladder drainage. Maka, hukumnya sudah pasti perlu dinilai semula.

Begitu juga dengan nukilan daripada Imam al-Syatibi yang menyatakan bahawa mereka yang menuju ke Mekah untuk menunaikan haji secara ‘terbang di langit’ atau ‘berjalan di atas air’ tidak dianggap sebagai perbuatan bidaah, kerana ia hanya merupakan wasilah untuk melaksanakan satu kefardhuan (Lihat Al-Muwafaqat, 1/253). ‘Berjalan di atas air’ sudah berlaku pada zaman tersebut melalui kapal. Pun begitu, penerbangan dengan di langit dalam ertikata yang lebih tepat hanya berlaku pada zaman sekarang melalui kapal terbang dan helikopter.

Imam al-Hattab al-Maliki pula dalam syarah beliau terhadap Mukhtaṣar al-Khalīl mengandaikan satu masalah fiqh: Jika seorang wali Allah terbang ke langit sejam sebelum terbitnya fajar, dan ketika di langit dia melihat fajar atau matahari itu sendiri; dalam keadaan ini haram untuknya solat Subuh, kerana fajar yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai sebab kepada wajibnya solat Subuh ialah fajar yang kita lihat ketika di bumi (Lihat Mawahib al-Jalil, 1/382). Atas dasar inilah para ulama pada zaman sekarang berhukum pada isu solat di atas kapal terbang mestilah mengikut masuknya waktu solat berdasarkan waktu di bumi, bukannya semata-mata melihat fajar ketika di atas kapal terbang.

Isu-isu fiqh sebegini akan terus timbul selagi akal manusia berfikir. Dengan kemajuan teknologi Kecerdasan Buatan yang ada pada hari ini, timbul satu lagi permasalahan yang dibincangkan oleh para ulama iaitu berkenaan etika dan maqasid syariah yang perlu dibangunkan bagi memandu teknologi sebegini. Secara mudahnya, bagaimana untuk memprogramkan Kecerdasan Buatan dengan etika dan moral?

Bolehkah kereta pintar melanggar orang lain untuk menyelamatkan pemandunya? Adakah dibenarkan untuk memprogramkan robot ketenteraan untuk membunuh pengganas? Adakah boleh bot perdagangan (trading bot) memaklumkan semua orang tentang ramalan masalah pasaran, atau merahsiakan sahaja untuk mendapatkan wang daripada ramalan? Apakah hukum manusia berkahwin dengan humanoid atau hologram? Adakah sah jual beli tanah di metaverse? Bagaimana pula dengan hartanah maya? Bolehkah diwariskan, difaraidkan dan didagangkan? Untuk sebab itu, kod etika holistik mesti dibangunkan untuk mendidik dan melindungi manusia, sesuai dengan maqasid syariah.

Pertama: Hukum mencipta imej model menggunakan AI 

Mencipta gambar model dengan menggunakan AI berkait rapat dengan hukum melukis gambar makhluk bernyawa atau manusia. Berkenaan hal ini, Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah menimbulkan persoalan mengenai hukum gambar-gambar dan lukisan seni yang dilukis di atas kertas lukisan, kain kanvas, tirai, dinding, permaidani, mata wang dan sebagainya? Kemudian, beliau menyebutkan, jawapannya masih tidak jelas kecuali kita lihat dan kaji apa tujuan gambar tersebut dicipta, di mana ia diletakkan dan apa kegunaannya. Begitu juga dengan apa yang dimaksudkan pelukis apabila melukis gambar itu.

https://openaimaster.com/wp-content/uploads/2023/03/Midjourney-Free-Trial-Limit.jpg 

Saya berpandangan, jika gambar yang dihasilkan oleh prompter itu adalah gambar melibat elemen ketuhanan agama-agama lain dan seumpamanya dengan tujuannya untuk disembah selain daripada Allah, maka orang yang melakukan prompt bagi tujuan dan niat tersebut dianggap berdosa besar kerana terlibat dalam urusan agama-agama lain. Dalam hal ini, terdapat ancaman berat daripada Rasulullah SAW sendiri sebagaimana sabdanya:

إنَّ أشدَّ النّاسِ عذابًا عندَ اللَّهِ المصَوِّرونَ

Maksudnya:Sesungguhnya orang yang paling berat seksanya di sisi Allah SWT ialah para pelukis.

Riwayat al-Bukhari (5950) dan Muslim (2109) dengan sedikit perbezaan lafaz.

Imam al-Tabari menyatakan, apa yang dimaksudkan di sini ialah sesiapa yang melukis sesuatu sebagai sembahan selain daripada Allah SWT sedangkan dia mengetahuinya dan berniat menyembahnya, maka dengan sebab itu dia menjadi kafir. Tetapi, jika orang yang melukis itu tidaklah bermaksud yang demikian, maka dia dikira melakukan maksiat sahaja dengan perbuatannya itu.

Begitu juga, sesiapa yang melakukan prompt bukan dengan tujuan untuk disembah atau dipuja, tetapi dia berniat untuk menyaingi ciptaan Allah iaitu mendakwa bahawa dia juga pandai menjadikan dan mencipta sebagaimana Allah, dia juga dikira berdosa besar. Dalam hal ini, terdapat hadith:

أشَدُّ النّاسِ عَذابًا يَومَ القِيامَةِ الَّذِينَ يُضاهُونَ بخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya: Orang yang paling berat menerima seksaan pada hari kiamat ialah orang yang mahu menandingi ciptaan Allah SWT.

Riwayat al-Bukhari (5954) dan Muslim (2107)

Ini juga sebagaimana hadith qudsi daripada Allah SWT yang berfirman:

وَمَن أظْلَمُ مِمَّنْ ذَهَبَ يَخْلُقُ كَخَلْقِي، فَلْيَخْلُقُوا حَبَّةً، ولْيَخْلُقُوا ذَرَّةً

Maksudnya: “Siapakah lagi yang lebih menzalimi dirinya daripada seorang yang mengaku dapat mencipta seperti Aku menciptanya, cubalah ciptakan sebiji gandum atau sebiji jagung!

Riwayat al-Bukhari (5953) dan Muslim (2111)

Ungkapan dengan sabda Baginda: “ذَهَبَ يَخْلُقُ كَخَلْقِي” menunjukkan niat hendak menandingi Tuhan dalam sifat uluhiyyah-Nya yang  khusus iaitu mencipta sesuatu dan mengadakan sesuatu yang baru.

Oleh kerana itu, Allah SWT telah mencabar mereka untuk menciptakan sebiji gandum atau sebiji jagung. Ungkapan terakhir ini menunjukkan bahawa mereka memang berangan-angan hendak mencipta sebiji gandum atau jagung kerana itulah Allah SWT mencabar mereka membuatnya. Lantaran itu juga, di hari akhirat kelak, Allah SWT akan membalas mereka di hadapan khalayak ramai dengan menyeru kepada mereka: “Ayuh, hidupkanlah apa yang sudah kamu ciptakan itu!” Maksudnya, mereka disuruh meniupkan roh kepada benda yang diciptakan oleh mereka itu. Namun mereka tetap sekali-kali tidak akan mampu untuk meniupkan roh pada gambar mereka itu.

Adapun jika ia dalam kategori gambar yang tidak bernyawa umpama tumbuh-tumbuhan, pepohon, lautan, kapal-kapal, gunung-ganang, matahari, bulan, bintang-bintang dan seumpamanya, yang terdiri daripada gambar pemandangan semula jadi — seperti tumbuh-tumbuhan dan benda-benda yang tidak bergerak — maka tidak salah untuk seseorang melakukan prompt.

Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ لَنَا سِتْرٌ فِيهِ تِمْثاَلُ طاَئِرٍ، وَكاَنَ الدَّاخِلُ إِذَا دَخَلَ إِسْتَقْبَلَهُ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: حَوِّلِي هَذَا، فَإِنِّي كُلَّمَا دَخَلْتُ فَرَأَيْتُهُ ذَكَرْتُ الدُّنْيَا

Maksudnya:Aku mempunyai kain tabir padanya terlukis gambar burung, dan setiap orang yang masuk rumahku akan melihatnya. Maka Rasulullah SAW berkata kepadaku: ‘Pindahkanlah (tabir) ini, kerana setiap kali aku masuk ke rumah dan melihatnya, aku akan teringat akan dunia.’

Riwayat Muslim (2107)

Rasulullah SAW tidak menyuruh Aisyah R.Anha memotongnya tetapi meminta ia dipindahkan dari tempat asalnya supaya Baginda SAW tidak melihatnya apabila masuk ke dalam rumah. Ini kerana adanya perasaan benci di dalam hati Baginda SAW untuk melihat benda yang boleh mengingatkan kepada dunia serta keindahannya.

Seperti yang diketahui, sesungguhnya Rasulullah SAW menunaikan solat sunat di rumahnya dan tirai-tirai yang bergambar kebiasaannya menjadi penghalang hati dan fikiran daripada khusyuk dan menetapkan diri bermunajat kepada Allah SWT. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas R.A, katanya: Ada satu tabir milik Aisyah R.Anha yang beliau gunakan untuk menutupi satu sudut rumahnya. Maka Nabi SAW bersabda kepadanya:

أَمِيْطِيْهِ عَنِّي، فَإِنَّهُ لاَ تَزَالُ تَصَاوِيرُهُ تَعْرِضُ لِي فِي صَلاَتِي

Maksudnya:Jauhkanlah tabir ini daripadaku, kerana sesungguhnya gambar-gambar yang ada padanya sentiasa menggangguku dalam solatku.

Riwayat al-Bukhari (5959)

Berdasarkan hadith ini, jelaslah bahawa Rasulullah SAW membenarkan tabir bergambar burung diletakkan di dalam rumahnya, begitu juga kain bergambar sesuatu yang lain. Cuma ia tidak sewajarnya diletakkan berhampiran ruang solat kerana boleh menganggu kekhusyukan.

Selain daripada itu, perawi hadith mengenai bantal daripada Aisyah R.Anha, iaitu anak saudaranya yang bernama al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakr, dan beliau membolehkan menyimpan gambar yang tidak memiliki bayang. Daripada Ibn Aun, katanya: “Aku pernah menziarahi al-Qasim yang tinggal di tempat paling tinggi di Makkah. Aku melihat di rumahnya ada sebuah pentas yang dihiasi dengan tabir-tabir yang bergambar memerang dan burung cenderawasih.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Kemungkinan al-Qasim berpegang dengan sabda Nabi SAW yang umum iaitu “kecuali garisan (gambar) pada pakaian,” seolah-olahnya beliau menganggap bahawa apa yang diingkari oleh Nabi SAW ke atas Aisyah R.Anha adalah menggantungkan tirai yang terdapat padanya lukisan gambar dan menutupi dinding. Al-Qasim bin Muhammad ialah salah seorang al-Fuqaha’ al-Sab‘ah (ahli fiqh yang tujuh) di Madinah dan di antara ulama yang terbaik pada zamannya. Beliau juga merupakan perawi hadith tentang kisah bantal tersebut. Jika tidak kerana beliau memahami adanya kelonggaran (rukhsah), iaitu seperti yang ada di pentas itu, tentulah beliau tidak akan membolehkan untuk menggunakannya.

Maka, jika gambar-gambar itu adalah gambar makhluk bernyawa yang dijana AI, maka saya berpandangan ia tidak diharamkan. Hakikatnya, gambar-gambar sebegitu bukanlah difahami dengan makna “sempurna”, jauh sekali untuk dimuliakan dan diagungkan, dan tidak bermaksud untuk menandingi ciptaan Allah SWT. Ini boleh diqiyaskan dengan gambar burung pada tirai sebagaimana hadith di atas.

Berhubung hadith-hadith larangan melukis dan menyimpan gambar bernyawa, Rasulullah SAW mengambil sikap tegas pada ketika itu disebabkan hampirnya kaum Muslimin dengan zaman syirik dan penyembahan berhala serta memuliakan gambar-gambar dan patung pada zaman tersebut. Apabila telah mantap dan teguh keimanannya di dalam hati dan fikiran, maka Rasulullah SAW memberi kelonggaran (rukhsah) pada gambar yang tidak berjisim, lukisan dan corak semata-mata. Kalau tidak, tentu sekali beliau tidak akan meredhai adanya tabir atau kain yang bergambar di dalam rumahnya. Bahkan, jika ia adalah muktamad, sudah tentu Baginda tidak akan mengecualikan gambar-gambar yang bercorak dan terlukis pada pakaian seumpama lukisan pada pakaian ialah kertas, dinding dan sebagainya. Namun, hal yang sebaliknya kita temui dalam hadith-hadith di atas.

Kesimpulannya, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, saya berpendapat bahawa penggunaan AI untuk melakar gambar model bagi tujuan mempromosi sesuatu produk adalah diharuskan. Pun begitu, isu-isu asas syarak hendaklah diutamakan seperti menutup aurat dan tidak dihasilkan dengan penampilan yang boleh menimbulkan syahwat atau bertujuan mempromosikan perkara yang diharamkan. 

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kedua: Memohon fatwa dan pandangan hukum kepada AI

Imam Al-Nawawi membentangkan sepuluh syarat kelayakan seorang Mufti iaitu mukallaf, Muslim, dipercayai, bebas daripada sifat yang dicurigai, bersih daripada perlakuan fasik dan menjatuhkan maruah, faqih dan kefahaman yang baik, berfikiran telus, betul urusan dan istinbat, sentiasa berwaspada. difahami semua lapisan masyarakat samada merdeka, hamba, wanita, buta atau bisu. 

Mengandaikan AI sebagai seorang mufti, ciri-ciri penting yang perlu ada pada seorang mufti juga iaitu faqih al-nafs sudah tentu tidak boleh didapati pada Kecerdasan Buatan ini. Faqih al-nafs tidak bertindak dengan memikirkan kemaslahatan diri tetapi memikirkan setiap tindakan yang dilakukannya, samada memberi impak positif atau negatif kepada keadaan di sekeliling. Hal ini amat sukar bagi AI kerana ia hanya berfungsi sebagaimana yang telah diprogramkan.

Apabila isu-isu asas ini tidak dapat diuruskan dengan baik oleh AI, sudah tentu ia menyebabkan proses pengeluaran fatwa menjadi tergendala dan memakan masa kerana setiap jawapan yang dikemukakan perlu disemak semula kesahihannya.

Sekiranya ada keperluan untuk membina sebuah sistem AI dalam pengeluaran pandangan hukum dan fatwa di Malaysia, pengkaji berpandangan ia mestilah hanya berperanan sebagai pemudahcara dan bukan penentu jawapan sebagaimana ChatGPT. Kekurangan paling utama yang dapat disimpulkan adalah AI tidak mempunyai empati dan tidak ada kebolehan menguruskan empat proses pengeluaran fatwa seperti marhalah al-taswir, marhala al-takyif, marhalah al-hukm dan marhalah al-ifta’. Sedangkan, itu adalah antara kriteria paling penting dalam proses pengeluaran fatwa.

Tidak pelik bila terdapat cadangan dari beberapa tokoh yang tegas tidak membenarkan AI sebagai contoh Syeikh Dr Abdul Hakim Murad. Beliau mencadangkan agar program AI dihapuskan dan ditutup kerana lebih banyak mudarat dari manfaat mengikut dapatan kajiannya.

Syor dan Cadangan

Di sini suka saya syorkan kepada pihak kerajaan agar mengambil cakna dan keprihatinan yang sungguh berkenaan dengan perkembangan AI pada masa kini. Perkembangannya begitu drastik dan mempunyai potensi besar sebagai penyumbang ekonomi yang terbesar pada masa akan datang.

Justeru, tiga cadangan dan syor dari saya agar pihak Kerajaan pertimbangkan dengan segera:

Pertama, pembinaan garis panduan AI sesuai dengan budaya setempat, adab dan akhlak yang selari dengan neraca syarak. Di sini, peranan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (MKI) amat diperlukan sebagai panduan bagi para Mufti mendapat gambaran yang menyeluruh tentang hal ini dan bersedia dengan lebih awal dari sudut hukum-hakam.

Kedua, penggubalan undang-undang secara khusus yang terkait dengan AI sama ada isu hak cipta atau harta intelek. Saya yakin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mempunyai kepakaran secukupnya untuk meneliti isu ini. Begitu juga, isu kebertanggungjawaban apabila melibatkan kesalahan AI dalam beroperasi perlu diperincikan supaya tidak timbul isu-isu melibatkan hal ini kelak.

Ketiga, Cyberjaya pernah dilihat sebagai satu tempat strategik pembangunan Lembah Silikon Malaysia. Pun begitu, mungkin ada alasan-alasan tertentu mengapa ia seakan tidak diteruskan dengan baik. Walau bagaimanapun, saya berpandangan pembentukan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) yang menggabungkan dua agensi di bawah Kementerian Sains, Teknlogi dan Inovasi (MOSTI) iaitu Technology Park Malaysia Corporation (TPM) dan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) berpotensi menyumbang kepada usaha memperkasa agenda pemangkin pengkomersialan teknologi negara terutamanya dalam AI. Justeru, saya pasti ramai sedang menunggu pelan dan perancangan masa hadapan melalui bantuan awal RM18 juta kepada MRANTI dalam Bajet 2023 yang telah dibentangkan.

Penutup

Laporan 100 Year Study on Artificial Intelligence dari  Stanford  University  yang  diterbitkan  pada  2016  telah mengesyorkan bahawa etika, kebersendirian (privacy) dan keselamatan mestilah ditangani dengan  baik  untuk  memastikan  manfaat  teknologi  Kecerdasan Buatan  dapat  disebarluaskan  memandangkan  Kecerdasan Buatan   mula  terlibat  dalam  kehidupan  manusia  dalam  pelbagai  dimensi. Peraturan yang disediakan juga memberi panduan kepada pembangun AI  untuk  menghormati  hak  manusia,  kebajikan  dan  undang-undang.

Antara perkara yang perlu diberi penekanan; adakah pencapaian AI boleh memberi kesan dan mudarat yang besar kepada ummah sehingga merosakkan sistem kehidupan manusia yang bersifat bebas, teratur dan berakhlak. Dengan kemasukan AI ke dalam keluarga manusia sudah tentu akan memberi kesan kepada ekosistem dan fitrah kemanusiaan itu sendiri. Justeru, amat penting pertimbangan demi pertimbangan dengan penuh penelitian dibuat agar maslahah manusia benar-benar terbela, di samping mudaratnya dapat dihindarkan.

Menggunakan yang baik dan mengambil manfaat daripadanya merupakan hikmah yang perlu dicari oleh umat Islam:

الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

Maksudnya:Hikmah kebijaksanaan merupakan harta yang hilang milik orang Mukmin; di mana sahaja dia dapatinya, maka dialah yang paling berhak ke atasnya.”

Riwayat al-Tirmizi (2687)

Saya cuba melihat sisi baik dan buruk AI untuk ditarjihkan dengan sebaik mungkin bagi kemaslahatan manusia. Semua kemudahan dan makhluk Allah SWT di muka bumi selayaknya ditundukkan untuk kegunaan manusia itu sendiri. Benarlah firman Allah SWT:

وَذَلَّلْنَاهَا لَهُمْ فَمِنْهَا رَكُوبُهُمْ وَمِنْهَا يَأْكُلُونَ ‎﴿٧٢﴾‏ وَلَهُمْ فِيهَا مَنَافِعُ وَمَشَارِبُ ۖ أَفَلَا يَشْكُرُونَ

Maksudnya:Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan. Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?

Surah Yasin (72-73)

Walaupun ayat ini ditujukan kepada haiwan ternakan berkaki empat atau lain tetapi kaedah menyebut:

الْعِبْرَة بِعُمُومِ اللَّفْظِ لا بِخُصُوصِ السَّبَبِ

Maksudnya:Sesuatu itu diambil kira berdasarkan kepada keumuman lafaz dan bukan berdasarkan kepada kekhususan sebab.

Justeru, sekali lagi saya tegaskan jika sekiranya penggunaan dan pelaksanaan AI dapat mematuhi garis panduan yang dikemukakan, maka sudah pasti ia adalah amat baik serta memberi maslahah dan kemudahan kepada ummah. 

Benarlah firman Allah SWT:

يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ

Maksudnya:Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Akhir kalam, saya mengharapkan semoga jawapan ini dapat memberi pencerahan serta kefahaman yang baik kepada kita dalam berinteraksi dengan AI mengikut neraca syariah dalam mencari mardhatillah. Usah takut dan risau dengan sesuatu yang belum kita depani sepenuhnya, sebaliknya bersedialah semampu mungkin untuk menjadikannya manfaat yang besar buat kita.

2 thoughts on “#22: Masa Depan Islam dan AI

  1. Pingback: Punyai Potensi Besar Dalam Ekonomi, Dr Zul Syor 3 Saranan Mengenai AI Kepada Kerajaan | Vigo

  2. Pingback: #3173: Peranan Manusia dalam Menghadapi Artificial Intelligence – bukudrzulkiflialbakri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *