Kisah Syeikh Abdullah Kamil

Saya telah mengulas pada minggu lepas berkenaan dengan pemergian Syeikh Abdullah Kamil menuju ke alam Baqa’. Selepas beberapa hari, saya telah merujuk banyak video melalui YouTube yang memperihalkan kisah Syeikh Abdullah Kamil. Walaupun usianya amat muda sekitar 38 tahun tetapi jasa, semangat, serta waktu yang digunakan untuk ilmu, dakwah terutamanya al-Quran al-Karim dijaga dengan sebaik mungkin.  

Beliau mewakafkan seluruh waktunya untuk agama Allah SWT dan al-Quran, menjadi imam dan khatib serta mempunyai suara yang amat mendayu-dayu dan bacaaannya penuh dengan kesedihan. Dilahirkan di Mesir dan berguru dengan ramai tokoh-tokoh ulama, kemudian,  berhijrah ke Amerika lebih tepatnya ke New Jersey. 

Beliau amat kagum dengan Syeikh Abi Ishak al-Huwaini serta sempat bertemu dan menghadiri majlisnya. Pernah dalam satu rancangan television, pada hujung rancangan, beliau hampir dan memohon izin untuk medeklamasikan sajak, khusus untuk Syeikh al-Huwaini. Pada awalnya, Syeikh keberatan, tetapi memandangkan kesungguhan dan keikhlasannya maka diizinkannya.

Syeikh mendengar dengan penuh khusyuk segala pujian serta manaqib dan sifat Syeikh yang disampaikan oleh Syeikh Abdullah Kamil. Akhirnya, Syeikh Huwaini mengulas bahawa pujian tersebut selayaknya ditujukan kepada Imam Ahmad bin Hanbal. Itulah tawadhuk Syeikh Huwaini.

Untuk pengetahuan, Syeikh Abdullah Kamil diuji dengan tanpa penglihatan. Justeru, beliau banyak bergantung kepada braille dan redha dengan ujian Allah SWT. Ini mengingatkan kita kepada hadith Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ قَالَ إِذَا ابْتَلَيْتُ عَبْدِى بِحَبِيبَتَيْهِ فَصَبَرَ عَوَّضْتُهُ مِنْهُمَا الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah berfirman, Apabila Aku menguji hamba-Ku dengan dua kekasihnya, maka dia sabar, nescaya Aku gantinya dengan syurga.

Sahih al-Bukhari (5653)

Prof Dr Mustafa al-Bugha berkata, “Dalam hadith ini, Nabi SAW mengkhususkan dengan kedua mata kerana mata sangatlah dicintai. Lihatlah jika seseorang keadaannya seperti itu dan ia mahu bersabar, sudah tentu balasannya adalah syurga. Kenikmatan dunia sudah tentu amat jauh bezanya berbanding dengan kenikmatan akhirat kelak. Allah menguji hamba-Nya pada penglihatannya bukan kerana kurangnya ilmu Allah, namun Allah ingin menzahirkan bagaimanakah kesabaran hamba tersebut. Pahala tentu saja bergantung pada besarnya kesulitan yang diderita.” (Lihat Nuzhah al-Muttaqin Syarh Riyadhu al-Solihin, hlm. 36)

Beliau mempunyai 5 orang anak dan yang terakhir lahir pada bulan Ramadhan baru-baru ini. Syeikh Abdullah Kamil pada tahun lepas telah khatam al-Quran sebanyak 28 kali dan pada tahun ini hanya sempat 24 kali.

Kisah kematiannya cukup menarik dan saya menyangkanya secara husnu dhzan bahawa beliau adalah seorang yang amat baik dan meninggal dalam husnul khatimah. Sebahagian dan juga sahabatnya dan keluarganya menceritakan beberapa perkara berkenaan dengan Syeikh Abdullah Kamil sesudah meninggal dunia. Saya sebutkan beberapa point:

  • Beliau menggunakan masa Ramadhan dengan sepenuhnya, menjadi imam Tarawih, dan melawat pelbagai tempat sebagai imam jemputan. 
  • Beliau menjadi imam solat Hari Raya Aidilfitri dan juga solat-solat waktu.
  • Pada hari terakhir, beliau juga menjadi imam solat Subuh. Kemudian, selepas itu beliau sempat menunaikan solat Zohor berjemaah di samping sebelumnya muzakarah ilmu bersama rakan-rakannya. 
  • Kematiannya amatlah mudah, ketika sahabat atau kaum keluarganya mendapati beliau tidak solat Asar bersama kemudian naik ke biliknya dan didapati beliau telah meninggal dunia. 
  • Jenazahnya mudah diuruskan untuk dimandikan dan kelihatan mukanya tersenyum.
  • Ketika solat jenazah, amat ramai yang datang. Sama seperti solat Hari Raya, mereka yang dari jauh juga hadir untuk solat jenazah ke atasnya. 
  • Ramai ulama, orang-orang soleh memuji dan mendoakannya.
  • Ayat-ayat al-Quran yang dibaca diperdengarkan dan dirakam serta kadang-kadang beliau menangis ketika membaca al-Quran

Akhirnya, saya nyatakan benarlah hadith Nabi SAW, daripada Umar Ibn Al-Khattab RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرفَعُ بِهَذَا الْكِتَابِ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengangkat dengan kitab ini (al-Quran) kaum-kaum dan menjatuhkan dengan kitab ini (al-Quran) golongan yang lain.”

Riwayat Muslim (817), Ibn Majah (180), Al-Daruqthni (261) dan lain-lain.

Satu hari, seorang sahabat bernama Nafi’ bin Abdul Harith telah menggantikan Ibn Abza sebagai gabenor di Mekah. Kemudian, bertemu dengan Saidina Umar ibn al-Khattab di ‘Usfan. Lantas, Khalifah Umar bertanya, “Siapakah yang kamu gantikan berkenaan dengan urusan di kota Mekah?” Jawab Nafi’, “Ibnu Abza.” Tanya Saidina Umar, “Siapa Ibn Abza?” Jawabnya, “Dia adalah bekas hamba di kalangan kami.” Saidina Umar terkejut, tetapi akhirnya dijawab oleh Nafi’, “Sesungguhnya, Ibn Abza adalah orang yang alim dalam ilmu faraid dan mahir tentang kitab Allah.” Maka, redalah kemarahan Umar seraya berkata, “Ketahuilah, sesungguhnya nabimu telah bersabda, ‘Sesungguhnya Allah SWT mengangkat dengan kitab ini (al-Quran) kaum-kaum dan menjatuhkan dengan kitab ini (al-Quran) golongan yang lain.’

Dikatakan Ibnu Abza ialah Abdul Rahman bin Abza dari kalangan sahabat yang kecil juga perawi hadith Nabi SAW. Beliau seorang yang faqih. Saidina Ali RA pernah melantiknya menjadi gabenor di Khurasan dan Ibnu Abza telah hidup sekitar 70 Hijrah lebih. Semoga Allah SWT merahmatinya. Justeru, saya katakan Syeikh Abdullah Kamil  juga menepati nas hadith yang dinyatakan di atas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *