#259 Memasak Haiwan Laut secara Hidup-hidup

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Saya pernah melihat sebahagian tukang masak  ketika mereka memasak hidupan laut, terutamanya sotong kurita, mereka akan panaskan kuali dan minyak, masukkan bahan-bahannya, kemudian terus mengambil sotong kurita tersebut yang masih lagi hidup, dan masukkannya dalam kuali. Saya dapat lihat, sotong kurita tersebut masih lagi berdenyut-denyut hidup. Jadi soalan saya, apakah hukumnya memasak haiwan laut yang masih hidup? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Suruhan berbuat baik kepada semua makhluk termasuklah haiwan

Sebagai umat Islam kita dituntut untuk berbuat baik kepada semua makhluk, tidak kira orang Islam atau orang bukan Islam, termasuklah haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”[1]

Menurut al-Sa‘di, berbuat baik itu adalah seperti seseorang memberi manfaat kepada orang lain dengan hartanya, tubuh badannya, ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya suruhan berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya — yakni haiwan yang tidak dimakan.[2]

Selain itu, berbuat baik kepada haiwan termasuk dalam akhlak dan sikap yang baik. Terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”[3]

Hadith ini menunjukkan supaya bersikap rahmat — yakni belas kasihan — sesama manusia, bahkan juga kepada haiwan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ia adalah suatu sikap dan akhlak yang baik lagi terpuji. Sesungguhnya Allah SWT telah memuji rasul-Nya yang bersikap sedemikian melalui firman-Nya:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.[4]

Manakala lawannya iaitu sikap keras hati yang merupakan hukuman Allah ke atas orang Yahudi tatkala mereka mencabuli perjanjian setia, sebagaimana firman Allah SWT:

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً

Maksudnya:Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran).[5]

Oleh itu, rahmat — yakni bersikap kasih sayang dan mengasihi — itu merupakan kelebihan dan sifat yang baik, sedangkan keras hati itu pula ialah sifat yang buruk. Justeru, bersikap rahmat kepada haiwan, antaranya adalah dengan memberinya makan dan minum, mengubati lukanya, tidak membebankan haiwan tersebut di luar kemampuannya.[6]

Begitu juga, kita tidak boleh sewenang-wenangnya membunuh haiwan melainkan dengan tujuan bagi mendapat manfaat daripadanya seperti untuk memakannya. Rasulullah SAW pernah bersabda:

ما من إنسانٍ قتلَ عُصفورًا فما فوقَها بغيرِ حقِّها إلّا سألَهُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ عَنها قيلَ: يا رسولَ اللَّهِ ! وما حقُّها؟ قالَ : يذبحُها فيأكُلُها ولا يقطعُ رأسَها يرمي بِها

Maksudnya: “Tidaklah seseorang membunuh burung pipit dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya. Dan tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.’”[7]

Bukan itu sahaja, bahkan ketika hendak menyembelih haiwan pun kita disuruh untuk berbuat baik kepada haiwan itu dengan mematikannya dengan cara yang terbaik iaitu dengan menggunakan pisau yang tajam dan tidak memperlihatkannya ketika disembelih kepada haiwan yang lain. Rasulullah SAW ada bersabda mengenai perkara ini:

إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya.”[8]

Hadith ini secara jelas menunjukkan kepada kewajipan berlaku ihsan kepada setiap makhluk, termasuklah juga kepada haiwan kerana pada saat ia hendak disembelih pun, kita dituntut untuk berlaku ihsan kepada haiwan tersebut.[9]

Selain itu, al-Nawawi juga ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa haiwan sembelihan itu hendaklah direhatkan dengan cara menajamkan pisau dan menyegerakan proses sembelihannya. Begitu juga disunatkan untuk tidak menajamkan pisau di hadapan haiwan yang ingin disembelih dan tidak menyembelih haiwan dengan keberadaan haiwan yang lain.[10]

Memasak haiwan yang masih hidup

Secara umumnya, memasak haiwan yang masih hidup tidak mungkin berlaku melainkan kepada hidupan laut kerana bagi haiwan darat, bagi menghalalkan dagingnya, hendaklah disembelih atau dimatikan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syarak terlebih dahulu. Jika tidak, maka ia dianggap sebagai bangkai dan haram ke atas kita — yakni orang Islam — untuk memakannya. Begitu juga apa-apa bahagian yang terpotong daripada haiwan daratan yang masih hidup dianggap sebagai bangkai. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Waqid al-Laithi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما قُطِعَ منَ البَهيمةِ وَهيَ حيَّةٌ فَهوَ ميتَةٌ

Maksudnya: “Apa-apa bahagian yang dipotong daripada haiwan ternakan dalam keadaan ia masih hidup, maka ia ialah bangkai.”[11]

Di samping itu, al-Khatib al-Syirbini ada menjelaskan lagi mengenai perkara ni dengan menyebutkan bahawa bahagian yang terpisah daripada haiwan yang masih hidup adalah sebagaimana hukum bangkainya. Dalam erti kata lain, jika haiwan itu bangkainya adalah suci, maka bahagian yang terpisah daripadanya juga dianggap suci seperti ikan, belalang dan manusia. Namun, jika bangkainya itu dikira sebagai najis, maka bahagian yang terpisah itu juga dianggap sebagai najis. Manakala bahagian yang terpisah daripada haiwan yang sudah mati, hukumnya mengikut sebagaimana haiwan tersebut mati — yakni sama ada disembelih mengikut syarak ataupun tidak.[12]

Namun, berbeza dengan hidupan air kerana semua hidupan air secara umumnya adalah halal dan tidak berhajat kepada sembelihan serta bangkainya juga dianggap suci. Hal ini adalah sepertimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut.”[13]

Begitu juga berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya: “Airnya suci, dan bangkainya suci (tidak perlu disembelih).”[14]

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, hal ini ada disebutkan di dalam kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa seseorang yang mendapatkan ikan yang masih hidup, maka dia tidak boleh terus untuk memakannya — yakni secara hidup-hidup — sehinggalah ikan itu mati atau dimatikan terlebih dahulu. Begitu juga makruh hukumnya memanggang ikan tersebut hidup-hidup kerana perbuatan itu telah menyeksanya tanpa keperluan. Hal ini kerana ikan ialah hidupan yang cepat mati, maka boleh ditunggu sehingga ia mati terlebih dahulu — sebelum dimasak.[15]

Selain itu, al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa sekiranya ditelan ikan yang masih hidup atau ikan yang masih hidup itu dipotong separuh daripadanya, kemudian dimakan. Maka dalam hal ini, terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih ialah makruh dan bukannya haram. Manakala pendapat yang kedua ialah haram dan ini merupakan pendapat al-Ghazali.[16] Justeru, termasuklah juga haiwan-haiwan atau hidupan air lain yang mengambil hukum ikan.

Kesimpulannya

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum memasak haiwan laut seperti ikan, sotong kurita atau seumpamanya — yakni yang hidup di dalam air dan halal dimakan — secara hidup-hidup, hukumnya adalah makruh. Walau bagaimanapun adalah lebih baik, sekiranya ia dimatikan terlebih dahulu dengan cara yang terbaik atau menunggunya mati terlebih dahulu sebelum dimasak kerana kebiasaannya haiwan yang tinggal di air tidak dapat hidup lama di atas darat (setelah berpisah dengan air).

Lebih-lebih lagi, kita dituntut supaya bersikap ihsan terhadap haiwan. Maka, termasuklah dalam perbuatan ihsan itu, tidak menyeksanya dengan cara memasaknya secara hidup-hidup. Begitu juga, perbuatan memasak haiwan ketika ia masih hidup tidak mencerminkan akhlak sebagai seorang Islam yang dekat dengan sifat rahmat — yakni bersikap belas kasihan dan berkasih sayang — sesama makhluk sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam itu sendiri. Hal ini kerana perbuatan atau cara memasaknya secara hidup-hidup itu merupakan sejuzuk daripada perbuatan menyeksa haiwan. Kami akhiri dengan hadith ini sebagai iktibar buat kita semua, di mana Baginda SAW ada bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya:Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”[17]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 7 Januari 2022 bersamaan 4 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Nahl: 90

[2] Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/447

[3] Riwayat al-Bukhari (5997)

[4] Surah al-Taubah: 128

[5] Surah al-Ma’idah: 13

[6] Lihat al-Adab al-Nabawi, hlm. 122-123.

[7] Riwayat al-Nasa’i (4349)

[8] Riwayat Muslim (1955)

[9] Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, 1/127.

[10] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/92

[11] Riwayat al-Tirmizi (1480)

[12] Lihat Mughni al-Muhtaj,1/235.

[13] Surah al-Ma’idah: 96

[14] Riwayat al-Tirmizi (68); Abu Daud (83); al-Nasa’i (59)

[15] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/131.

[16] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/73.

[17] Riwayat al-Bukhari (5997)

-43%
Original price was: RM70.00.Current price is: RM40.00.
-30%
Original price was: RM10.00.Current price is: RM7.00.
-29%
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.
-30%

Buku Fizikal

Inilah Doaku

Original price was: RM20.00.Current price is: RM14.00.
-30%

Buku Fizikal

Imam Mahdi

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%
Original price was: RM20.00.Current price is: RM14.00.
-30%

Buku Fizikal

Firasat Orang Beriman

Original price was: RM28.00.Current price is: RM19.60.
-14%
Original price was: RM79.00.Current price is: RM68.00.
-25%
Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
-30%
Original price was: RM10.00.Current price is: RM7.00.
-30%
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

Original price was: RM15.00.Current price is: RM10.50.
-30%

Buku Fizikal

Imam Mahdi

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-29%
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *