Bab 56: Fatwa, Usul al-Fiqh dan INFAD

Pengalaman bergaul dengan pelbagai bangsa ketika zaman belajar, membuka ufuk minda tentang keluasan adat dan budaya sesuatu bangsa dan negara. Malah, boleh jadi satu bangsa itu ada pelbagai adat dan budaya yang berbeza. Arab Saudi, Yaman, Syria, Mesir, Palestin, Jordan dan lain-lain negara Arab mempunyai budaya yang berlainan antara satu sama lain walaupun berkongsi beberapa persamaan.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Ulama tafsir terkenal, Imam al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan.

Penglibatan dalam pelbagai seminar-seminar peringkat antarabangsa juga memberi peluang kepada Zulkifli untuk lebih memahami keluasan fiqh dan kepelbagaian fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh para ulama’ silam dan kontemporari. Pengalaman itu dimanfaatkan sebaiknya semasa memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) USIM.

“Para ulama’ ada banyak definisi tentang fatwa. Boleh rujuk pandangan Imam al-Qarafi, Imam al-Munawi, Imam al-Buhuti, dan lain-lain. Guru kami Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa fatwa adalah jawapan yang diberikan oleh seorang mufti terhadap sesuatu perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya. Ana melihat, ada titik persamaan antara kesemua takrif iaitu menjawab, menerangkan, menjelaskan, atau mengkhabarkan hukum. Begitu juga pandangan ulama’ usul yang berbeza dengan ulama’ fiqh.”. Zulkifli bangun daripada kerusinya dan berjalan ke barisan hadapan para pelajarnya di BTS 2.4 Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM.

Beliau meneliti satu persatu nota yang disalin para pelajarnya dan menyambung syarahannya. “Ana cenderung kepada ta’rifan ulama Malikiyyah iaitu mengkhabarkan hukum syarak tanpa sebarang kemestian untuk dipatuhi dan menurut ana juga, tanpa mengikat. Ini membezakan antara fatwa dengan keputusan mahkamah yang mewajibkan pihak berkenaan mematuhinya apabila telah diputuskan oleh qadhi. Misalnya di negara kita, apabila sesuatu fatwa itu digazetkan maka ia bersifat mengikat serta menjadi undang-undang yang sah dan boleh dihujahkan di mahkamah.”

Begitulah huraian panjang lebar oleh Zulkifli kepada para mahasiswa di dalam kelas tutorialnya. Sebagaimana di Kolej UNITI dahulu, gayanya tetap sama. Beliau tidak terikat dengan teks rujukan tertentu dan lebih selesa berkongsi dengan anak didiknya apa sahaja yang diperlukan, berkaitan dengan subjek yang dibincangkan.

“Ada apa-apa yang nak tanya?”, persoalan Zulkifli memecah kesunyian di BTS 2.4. Jam sudah menunjukkan angka 3.30 petang. Waktu yang “genting” bagi para mahasiswa. Panas membahang di luar, pendingin hawa pula memukul-mukul lembut ke muka. Beliau menjeling ke sudut kiri bilik tutorial. Sudah dua orang mahasiswa yang “syahid”. Seorang mahasiswi nampaknya sedang “nyawa-nyawa ikan”, tersengguk-sengguk.

Tidur selepas solat Zohor memang enak. Namun hati seorang penuntut ilmu perlu kental.

Tarmizi segera mengangkat tangan. “Dr. Apa hukum fatwa dikeluarkan dari orang yang tak ada kelayakan?”

Zulkifli mengangguk. “Soalan bagus, Mizi. Orang yang berfatwa dalam keadaan dia tak ada ilmu, hukumnya pelaku maksiat dan berdosa. Ini dinyatakan sendiri Imam Ibn Hamdan al-Harrani dalam Sifat al-Mufti wa al-Mustafti. Ana teringat kata-kata Syeikh Hasanain Makhluf, mantan Mufti Mesir. Kata Syeikh: ‘Jawatan fatwa pada awal Islam merupakan jawatan yang paling mulia dalam agama dan bahayanya juga paling besar. Ia menjadi pengganti Rasulullah SAW dalam menyampaikan ilmu daripada Tuhannya, menyebarkan agamanya yang diredhai Allah terhadap hamba-Nya. Ia termasuk memberi pengajaran, memberi tunjuk ajar, kefahaman dan memahamkan makna al-Quran dan al-Sunnah di samping berijtihad untuk istinbat hukum daripadanya…’. Jadi, tak boleh buat main-main bab fatwa.”

********************

Jika ada kelapangan, Zulkifli suka berada di Perpustakaan INFAD, meneliti satu persatu kitab fatwa yang terkumpul di sana. Tidak selengkap perpustakaan-perpustakaan besar yang lain, cuma ia memadai dan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa.

Bagi seorang penuntut ilmu agama, adalah menjadi satu kemestian untuk membiasakan diri dengan menelaah fatwa para ulama’ samada moden mahupun silam kerana di sana terdapat 1001 mutiara yang boleh didapati baik dari segi fiqh, faedah, mahupun seni dalam berfatwa. Adakalanya, ia tidak ditemui dalam silibus pengajian.

Dalam Mazhab Hanafi, terdapat beberapa kitab fatwa yang masyhur antaranya Tanqih al-Fatawa al-Hamidiyyah, Fatawa Qadikhan, Al-Fatawa al-Sughra dan al-Fatawa al-Kubra, al-Fatawa al-Bazzaziah, al-Fatawa al-Zainiyyah, al-Fatawa al-Hindiyyah/Alamgiri, Fatawa al-Qadhi Husain.

Dalam Mazhab Malik pula ada beberapa kitab fatwa yang sering menjadi rujukan iaitu Fatawa al-Imam Ibn Rusyd, Fatawa al-Imam al-Syatibi, al-Mi’yar al-Mu’rib wa al-Jami’ ‘an Fatawa Ahl Ifriqiyyah wa al-Andalaus wa al-Maghrib, Fatawa Ibn ‘Ulaysh.

Mazhab Syafie sudah pasti dikenali dengan jujukan kitab fatwa seperti Fatawa al-Imam al-Nawawi, Fatawa al-Imam al-Ghazali, al-Fatawa al-Kubra, al-Fatawa al-Hadithiyyah, al-Hawi li al-Fatawi, al-I’lam wa al-Ihtimam bi Jam’i Fatawa Syaikh al-Islam Zakariyya al-Ansari, Kitab al-Fatawa li al-Imam ‘Izz al-Din Ibn Abdul Salam, Fatawa al-Subki fi Furu al-Fiqh al-Syafie, Fatawa wa Masail Ibn al-Salah.

Bagi mazhab Hanbali pula, antara rujukan yang masyhur adalah Majmu’ al-Fatawa.

Fatwa-fatwa moden pula terlalu banyak dan mungkin tidak akan tamat untuk dibaca semuanya. Antaranya adalah Bughyah al-Mustarsyidin oleh Syeikh Sayyid ‘Abdur Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi, al-Fatawa oleh Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi, al-Fatawa al-Mu’asarah oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Yas’alunaka fi al-Din wa al-Hayah oleh Syeikh Ahmad al-Syarbasi, Fatawa Syar’iyyah wa Buhuth Islamiyyah oleh Syeikh Hasanain Makhluf, Fatawa al-Syeikh al-Kisyk: Humum al-Muslim al-Yaumiyyah oleh Syeikh ‘Abd al-Hamid Kisyk, Himpunan ensiklopedia al-Fatawa al-Islamiyyah yang menghimpunkan fatwa semua Mufti Mesir sejak yang pertama hingga terbaharu, Majmu’ al-Fatawa Ibn Baz oleh Syeikh ‘Abdulaziz bin Baz, Majmu’ Fatawa Ibn ‘Uthaimin oleh Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin dan sudah pasti Al-Fatawa al-Fathaniyah oleh Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fathani.

Beliau mengimpikan pada satu hari nanti, INFAD mempunyai hubungan yang utuh dengan badan berautoriti fatwa dunia Islam seperti Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Duali, Jeddah’ al-Majma’ al-Fiqh al-Islami, Mekah; Rabitah al-‘Alam al-Islami, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah; Lajnah Fatwa al-Azhar, Lajnah Hai’ah Kibar Ulama’ Arab Saudi’ dan Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu.

Begitu juga hubungan yang baik dengan Mufti-Mufti di Asia Tenggara, dan negara-negara minoriti Muslim seperti benua Eropah, Amerika Syarikat, China, Jepun, dan sebagainya.

Adakalanya Zulkifli tersenyum sendirian, membayangkan INFAD mempunyai sebuah pusat pengumpulan fatwa dan pengeluaran pandangan hukum bersifat elektronik. Mungkin di masa hadapan dengan bantuan Artificial Intelligence, orang awam mampu mendapatkan pandangan hukum secara lebih mudah. Zulkifli sudah memikirkan keperluan untuk INFAD mempunyai sebuah akaun Facebook, laman sosial yang mula diasaskan pada tahun 2004. Boleh juga difikirkan kesesuaian untuk INFAD aktif di Twitter, laman sosial yang juga baharu dikenali semenjak dilancarkan pada tahun 2006. Semuanya di hujung jari. Memudahkan urusan ummah.

Kerjasama dengan JAKIM perlu ditingkatkan dengan JAKIM menjadikan INFAD sebagai rakan strategik dalam penyelidikan, begitu juga rujukan utama selain Jabatan-Jabatan Mufti.

********************

“Firdaus. Ana dah tulis atas kertas ni draf senarai kitab-kitab Usul Fiqh 4 mazhab. Enta salin dulu dalam komputer. Insya-Allah, doakan moga siap kitab terbaru ana, Istilah-Istilah Fiqah dan Usul: Empat Mazhab.”, pesan Zulkifli kepada muridnya sebelum beliau masuk ke kelas.

“Baik Dr. Insya-Allah…”. Firdaus menyambut sehelai kertas A4 yang diserahkan oleh gurunya. Satu persatu tulisan tangan gurunya itu dibaca dengan teliti sebelum ditaip semula dan diedit.

Sebelum kami kongsikan berkenaan kitab-kitab yang ditulis di dalam ilmu usul fiqh mengikut pecahan mazhab, suka untuk kami jelaskan bahawa di antara keempat-empat mazhab fiqh yang ada, golongan yang paling banyak menulis ilmu usul fiqh adalah al-Syafi’iyyah, kemudian Al-Ahnaf, kemudian Al-Hanabilah, kemudian Al-Malikiyyah. Justeru, berikut kami sertakan kitab-kitab tersebut dengan kami nyatakan sekali kitab-kitab paling penting mengikut mazhab dan juga di susun mengikut turutan mazhab fiqh.

 

Antara kitab usul fiqh mazhab Hanafi adalah Al-Taqrir wal-Tahbir oleh Muhammad bin Muhammad Amir al-Haj al-Halabi, Syarh al-Talwih ‘ala al-Taudhih oleh Mas’ud bin Umar al-Taftazani, Fath al-Ghaffar Syarah al-Manar oleh Ibn Nujaim, Al-Fusul fil Usul oleh Abu Bakr Ahmad bin Ali al-Jassas, Al-Usul oleh Ali bin Muhammad al-Bazdawi, Al-Usul oleh al-Syaasyi.

Adapun antara kitab usul fiqh terpenting mazhab Hanafi adalah Al-Fusul lil Usul oleh Abu Bakr Ahmad bin Ali al-Jassas, Taqwim Usul al-Fiqh oleh Abu Zaid al-Dabusi, Al-Usul oleh al-Sarkhasi, Kasyf al-Asrar Syarh al-Usul al-Bazdawi oleh ‘Ala’uddin Abdul Aziz bin Ahmad al-Bukhari.

Antara kitab usul fiqh mazhab Malikiyyah adalah Syarah Tanqih al-Fusul oleh Ahmad bin Idris al-Qarafi, Al-Muwafaqat oleh Ibrahim bin Musa bin Muhammad al-Syathibi, Al-Isyaarat fi Usul al-Fiqh oleh Sulaiman bin Khalaf Abu al-Walid Al-Baji.

Adapun antara Kitab usul fiqh terpenting mazhab Maliki adalah Nafais al-Usul fi Syarh al-Mahsul oleh Ahmad bin Idris al-Qarafi.

Antara kitab usul fiqh mazhab Syafie adalah Al-Risalah oleh Muhammad bin Idris al-Syafie, Al-Ibhaj fi Syarah al-Minhaj, Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam oleh Saifuddin al-Amidi, Irsyad al-Fuhul oleh Muhammad bin Ali al-Syaukani, Al-Bahr al-Muhith fi Usul al-Fiqh oleh Muhammad bin Abdillah al-Zarkasyi, Al-Burhan fi Usul al-Fiqh Abdul Malik al-Juwaini, Jam’ul Jawamik oleh Abdul Wahhab bin Ali al-Subki, Hasyiah al-Attar ‘ala Syarh Jam’ul Jawamik oleh Jalaluddin al-Mahalli, Syarah al-Mahalli ‘ala Jam’ul Jawami’ oleh Jalaluddin al-Mahalli, Fawatih al-Rahamut oleh Ibn Abd al-Syakur, Al-Mahsul fi Ilm al-Usul oleh Fakhrur al-Razi, Al-Mustasfa fi Ilm al-Usul, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali, Nihayah al-Sul Syarah Minhaj al-Usul oleh Abdullah bin Umar bin Muhammad al-Baidhawi, Al-Tabsirah fi Usul al-Fiqh oleh Abu Ishak al-Fairuz Abadi, Al-Burhan oleh Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini, Al-Mustasfa oleh Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali, Qawathi’ al-Adillah oleh Mansur bin Muhammad bin Abdul Jabbar al-Tamimi al-Sam’ani, Syarah al-Luma’ oleh Abu Ishak Ibrahim al-Shirazi.

 Antara kitab usul fiqh mazhab Hanabilah adalah Syarah al-Kaukab al-Munir oleh Muhammad bin Ahmad bin Abdul Aziz Ibn al-Najjar, Al-Uddah fi Usul Fiqh oleh Muhammad bin Husain Ibn al-Farra’ Abu Ya’la, Al-Musawwadah fi Usul Fiqh oleh Aalu Taimiyyah, Raudhah al-Nazhir oleh Muwaffaquddin Abdullah bin Ahmad Ibn Qudamah, Usul al-Fiqh oleh Abu Abdillah Muhammad Ibn Muflih, Al-Tahbir Syarh al-Tahrir oleh Abu al-Hasan al-Mardawi.

Adapun antara kitab usul fiqh terpenting mazhab Hanbali adalah Syarah al-Kaukab, Muhammad bin Ahmad bin Abdul Aziz Ibn al-Najjar, Musawwadah fi Usul al-Fiqh oleh Aalu Taimiyyah, Al-Uddah oleh Abu Ya’la Muhammad bin Husain.

Buntang mata Firdaus membaca puluhan nama kitab usul fiqh empat mazhab itu. “Masya-Allah! Bila agaknya aku ada masa nak baca semua ni?!”, bisik hatinya.

Tiba-tiba beliau tersengih sendirian dan berpaling kepada Zulkifli yang sedang membetulkan tali leher yang dipakainya.

“Dr. Hehe…Senarai kitab-kitab ni masuk exam ke?”, soal Firdaus tersipu-sipu.

“Dok auu gop…!”[1], jawab Zulkifli ringkas dalam loghat pekat Terengganu sambil berlalu meninggalkan muridnya terpinga-pinga.

__________________

[1] Tak tahu lah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *