Alhamdulillah, sempena dengan kehadiran lebaran Aidiladha maka kami titipkan di sini iktibar Qurani terkait Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail untuk sama-sama kita hayati pengorbanan mereka. Semoga percikan kesabaran, kesolehan, keimanan, ketaqwaan, keihsanan akan mengalir dan tersimbah ke dalam kehidupan kita dengan taufiq dan hidayah-Nya. 

Hasil daripada pengamatan yang mendalam kisah seperti ini akan menginsafkan kita serta memberi kefahaman yang jelas betapa perintah Allah SWT perlu didaulatkan dan dijunjung sekalipun bertentangan dengan kehendak dan naluri seseorang. Inilah yang telah dipamerkan oleh kedua beranak ini.

Firman Allah SWT:

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ ‎﴿١٠٠﴾‏ فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلَامٍ حَلِيمٍ ‎﴿١٠١﴾‏ فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ ‎﴿١٠٢﴾‏ فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ ‎﴿١٠٣﴾‏ وَنَادَيْنَاهُ أَن يَا إِبْرَاهِيمُ ‎﴿١٠٤﴾‏ قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ ‎﴿١٠٥﴾‏ إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْبَلَاءُ الْمُبِينُ ‎﴿١٠٦﴾‏ وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ ‎﴿١٠٧﴾‏ وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الْآخِرِينَ ‎﴿١٠٨﴾‏ سَلَامٌ عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ ‎﴿١٠٩﴾‏ كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ ‎﴿١١٠﴾‏ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ ‎﴿١١١﴾‏ وَبَشَّرْنَاهُ بِإِسْحَاقَ نَبِيًّا مِّنَ الصَّالِحِينَ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh! Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar. Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu.” Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!” Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

Surah al-Saffat (100-112)

Nabi Ibrahim AS berhijrah ke bumi Baitul Maqdis. Kemudiannya, semasa berada di sana, Nabi Ibrahim AS meminta kepada Allah SWT agar mengurniakannya seorang anak yang soleh, yang mentaati Allah SWT, tidak melakukan maksiat kepada-Nya, melakukan kebaikan di atas muka bumi dan bukannya kerosakan, sebagai ganti kepada kaum kerabatnya yang meninggalkannya. Maka, setelah itu, Allah SWT memberikan khabar gembira buat Nabi Ibrahim AS bahawa anak yang direzekikan kepadanya itu kelak ketika dewasa akan menjadi seorang yang sangat penyabar, namun ketika waktu kecil ini, sifat tersebut belum lagi dimilikinya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/72)

Anak yang dimaksudkan itu ialah Nabi Ismail AS, dan bukannya Nabi Ishak AS. Nabi Ismail AS lebih tua berbanding Nabi Ishak AS mengikut kesepakatan ulama Islam dan pendeta ahli kitab. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 5/15; Tafsir Ibn Kathir, 7/27)

Apabila Nabi Ismail AS sudah menginjak dewasa iaitu tatkala dia sudah mula mengikuti dan membantu bapanya, Nabi Ibrahim AS bekerja. Al-Farra’ berkata ketika itu Nabi Ismail AS berumur 13 tahun. Pada suatu hari, Nabi Ibrahim AS mengkhabarkan kepada anaknya bahawa dia bermimpi menyembelih anaknya, lalu Baginda meminta pendapat dan pandangan daripada anaknya. Baginda menyampaikannya kepada anaknya itu, agar dia dapat mempersiapkan diri menjalankan perintah Allah SWT dan mengharapkan pahala daripadanya. Di samping itu juga, hal ini adalah untuk mengetahui tahap kesabarannya terhadap perintah Allah SWT. Hal ini kerana, mimpi para nabi ialah wahyu yang mesti dituruti dan dilaksanakan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 23/120)

Setelah mendengar apa yang disampaikan oleh bapanya itu, Nabi Ismail lantas menyahut seruan Ilahi untuk disembelih dengan penuh kesabaran dan pengharapan akan ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Di sinilah terbuktinya sifat ‘حَلِيمٍ’ (sangat penyabar) dalam diri Nabi Ismail AS. Maka, Nabi Ibrahim AS mula bersiap melaksanakan perintah Allah SWT, tatkala kedua-duanya telah berserah diri kepada Allah SWT dan Nabi Ismail AS sudah bersedia dengan badannya direbahkan dan mukanya dihadapkan ke tanah, agar dirinya tidak terpengaruh atau berasa kasihan dengan anaknya itu sehingga berkemungkinan memungkirkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah SWT. Sejurus itu, tiba-tiba Nabi Ibrahim AS diseru dari belakang bukit, menyatakan bahawa tujuan asal mimpinya telah dipenuhi dan dengan keazaman dirinya untuk melaksanakan perintah tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/28-30; al-Tafsir al-Munir, 23/121) 

Diriwayatkan bahawa Allah SWT mentakdirkan agar pisau yang digunakan untuk menyembelih itu tidak dapat memotong leher Nabi Ismail. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 5/16)

Iktibar Qurani

Antara iktibar Qurani ialah:

  • Doa dalam perkara atau urusan yang amat sukar atau mustahil seperti orang yang tidak mempunyai anak. Perkara ini diungkapkan oleh Nabi Ibrahim AS tanda keyakinannya kepada Yang Maha Esa yang bersifat dengan arahan-Nya: Kun fa ya kun. 
  • Nabi Ibrahim AS bukan memohon untuk mendapatkan anak semata-mata tetapi yang lebih penting dan utama memohon memperolehi anak yang soleh. Maka, Allah SWT nyatakan:

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!

  • Permohonan yang diadukan kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan dan pengharapan yang tinggi menatijahkan penerimaan dari-Nya. Jawapan-Nya dan kurniaan-Nya cukup pantas yakni masih di dunia.

Firman Allah SWT:

فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلَامٍ حَلِيمٍ ‎

Maksudnya:Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.

Kalimah Fa’ (فَ) adalah kurniaan yang cepat di dunia lagi. Keyakinan seperti inilah yang kita kehendaki apabila kita berdoa dan bermunajat kepada-Nya. 

Kurniaan Allah SWT dimulakan dengan berita gembira فَبَشَّرْنَاهُ adalah uslub yang mendatangkan rasa seronok kerana dikurniakan anak. Tetapi yang lebih menarik lagi, kurniaan tersebut diberikan kepadanya dengan dua kegembiraan. Pertamanya, anak lelaki بِغُلَامٍ dan keduanya, anak yang mempunyai pekerti yang tinggi dan akhlak yang mulia. Sebenarnya, ia akan melaksanakan taklifan rabbani yang besar lagi berat dengan jayanya. Dek kerana sifatnya حَلِيمٍ.‎ 

Kalimah yang digunakan oleh Allah SWT dengan بِغُلَامٍ حَلِيمٍ kerana itulah penyejuk mata hakiki dan membawa kebaikan abadi serta kebahagiaan. 

  • Ujian Tuhan datang selepas memiliki kurniaan Allah SWT dengan anak yang sempurna segala sifat zahir dan batin serta pekerti yang unggul yang bersifat nabi. Makanya, datanglah mimpi. Ini menjadi dalil bahawa mimpi Nabi Ibrahim AS adalah wahyu. 
  • Kasih sayang bapa tidak pernah luntur bahkan jelas dipamerkan oleh Nabi Ibrahim AS apabila menamakan anaknya dengan panggilan يَا بُنَيَّ. Ia merupakan panggilan manja dan kasih sayang yang amat tinggi dari seorang bapa. 
  • Wujudnya perbincangan tanpa paksaan atau kekerasan sekali pun menjunjung titah perintah Allah SWT. Menariknya, Nabi Ibrahim AS dengan jujur mengisahkan mimpinya yang amat pelik. Tetapi, dengan tenang diterima oleh anaknya. 
  • Penghormatan yang tinggi oleh anak yang soleh yang disifatkan dengan بِغُلَامٍ حَلِيمٍ  tanpa teragak-agak kepada bapanya. Hal ini jelas dengan jawapan Nabi Allah Ismail dengan bahasa permulaannya يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ. Beliau tanpa ragu memerintahkan kepada bapanya supaya melaksanakan perintah tersebut.
  • Urusan yang ‘gerun’ bahaya pada hukum zahir tidak dinisbahkan kepada Allah SWT. Inilah yang difirmankan-Nya: “مَا تُؤْمَرُ”. Justeru, itulah nilai dan adab yang tinggi yang dipamerkan oleh Nabi Allah Ismail AS. Hal ini tidak disandarkan kepada Allah SWT sekali pun perkara itu baik. Ini kerana sembelihan anak adalah dianggap tidak baik pada mata kasar manusia tetapi dalam kes Nabi Allah Ibrahim ia berbeza kerana tujuannya akan ada pensyariatan korban.
  • Antara sifat Nabi Ismail AS ialah sentiasa menggantungkan urusannya kepada Tuhan dengan sebab itu beliau menyebut سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ seterusnya Nabi Ismail AS mengharapkan daripada Allah SWT agar beliau termasuk dalam golongan orang-orang yang bersabar.
  • Kedua-duanya yakni Nabi Allah Ibrahim AS dan Nabi Allah Ismail AS tanpa ragu terus laksanakan perintah Allah SWT. Dengan sebab itu Allah SWT menyebut dengan kalimah fa’ (فَ). Dan puncak penyerahan mereka berdua di mana Nabi Ibrahim AS akan melaksanakan tugas dan anaknya Nabi Ismail AS telah merebahkan diri dan pipinya ke tanah di mana itulah cara apabila berlaku sembelihan. Lebih hebat lagi, tanpa meronta tanpa perlu diikat sebagaimana layaknya kita sembelih lembu korban atau haiwan yang lain. Benarlah firman Allah SWT:

فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ

Maksudnya: “Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami).

  • Seruan Ilahi dalam kisah ini menjadi dalil yang mimpi sembelihan anak itu adalah wahyu. Justeru, ia bukan omong-omong kosong, bisikan syaitan atau mainan tidur. Inilah uslub al-Quran bagi mentahqiqkan yang mimpinya memang benar-benar wahyu. Kebenaran wahyu dibalas dengan kebenaran yang puncak oleh Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS dengan penegasan daripada Tuhan.

قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا

Maksudnya:  “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu.”

  • Mulianya Nabi Ibrahim AS secara langsung Allah SWT sifatkannya dengan siddiqnya kerana dia membenarkan dan melaksanakan perintah Allah SWT, lantas dibenarkannya oleh Allah SWT.

Allah SWT mengabadikan nama Nabi Ibrahim AS dengan pujian dan nama yang baik, sehinggakan semua penganut agama mencintainya. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT: 

وَاجْعَل لِّي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ ‎﴿٨٤﴾‏ وَاجْعَلْنِي مِن وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ ‎

Maksudnya: “Dan jadikanlah bagiku lisan yang benar bagi orang yang datang kemudian. Dan jadikanku dalam kalangan mereka yang mewarisi Syurga al-Naim yang penuh kenikmatan.”

 (Surah al-Syu‘ara’: 84-85)

Maka sesungguhnya Nabi Ibrahim AS termasuk dalam kalangan orang-orang yang beriman, lantas Allah SWT membalasnya dengan ganjaran kebaikan. 

  • Akhirnya, Allah SWT pasti membalas kepada Nabi Allah Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dan disebut sebagai golongan muhsinin.

كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

  • Golongan yang dikenali sebagai muhsinin sifatnya ialah melaksanakan tanpa ragu-ragu, kesabaran dalam melakukannya, penyerahan yang mutlak, maka itulah golongan muhsinin. 
  • Natijah sabar, taat, patuh maka terlaksanalah dapatan muhsinin
  1. Allah SWT menggambarkan peristiwa korban melalui mimpi, ujian sembelih anak ujian yang amat besar lagi nyata
  2. Puncak keredhaan Allah SWT terhadap kedua-duanya yang benar-benar melaksanakannya dibalas dengan sembelihan yang benar

III. Allah SWT menebus anaknya dengan seekor kambing yang besar dan gemuk, atau berkualiti. Lalu Nabi Ibrahim AS menyembelih kambing tersebut sebagai ganti kepada Nabi Ismail AS. 

  • Yakni pelaksanaan perintah Allah SWT dengan tulus ikhlas dan bersungguh-sungguh pasti akan dibalas. Justeru, peri pentingnya menunaikan  segala syariat lantas akan dibalas dengan kurniaan-Nya.
  • Memahami cara kita berinteraksi dengan Allah SWT sebagai hamba, hendaklah ia dimulakan daripada hamba dengan kepatuhan dan ketaatan, pasti balasannya tercapai mardhatillah yang menjadi lesen dan bukti untuk meraih kurniaan dan anugerah daripada Ilahi.
  • Allah SWT telah memuji Nabi Ibrahim AS dan telah mensifatkan kepadanya serta menganugerahkan kepadanya dengan tiga kurniaan; pertamanya, sebagai muhsinini, termasuk hamba-Nya yang mukminin dan ketiganya, berita gembira dikurniakan Nabi Allah Ishak AS dari kalangan yang soleh. Benarlah firman Allah SWT:

سَلَامٌ عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ ‎﴿١٠٩﴾‏ كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ ‎﴿١١٠﴾‏ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ ‎﴿١١١﴾‏ وَبَشَّرْنَاهُ بِإِسْحَاقَ نَبِيًّا مِّنَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!” Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh.

Allah SWT sekali lagi memberikan khabar gembira buat Nabi Ibrahim AS dengan berita bakal lahirnya seorang lagi anak, yakni Nabi Ishak AS, yang kelak akan menjadi seorang nabi yang soleh. Kelima, Allah SWT melimpahkan keberkatan dan pelbagai kenikmatan buat Nabi Ibrahim AS dan juga anaknya iaitu Nabi Ishak AS, antara nikmat-Nya juga ialah keturunan yang ramai, di samping ramai nabi yang diutuskan dalam kalangan keturunan mereka. Ada sebahagian yang akan mengerjakan kebaikan, namun menjadi sunnatullah, ada sebahagian yang lain akan tergolong dalam kalangan mereka yang zalim dan ingkar. (Lihat Anwar al-Tanzil, 5/16; al-Tafsir al-Munir, 23/121-123)

Mimpi sebagai Hujah dan Panduan

Dalam gugusan ayat di atas ada diceritakan tentang mimpi yang dialami oleh Nabi Ibrahim AS bahawa Baginda AS menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail AS. Lalu, Nabi Ibrahim AS bertanyakan pendapat anaknya terhadap mimpi yang dilihatnya tersebut. Nabi Ismail menyatakan kesanggupannya untuk ayahnya menjalankan apa yang diperintahkan Allah SWT kepadanya dan menyatakan bahawa dia akan mendapatinya daripada orang-orang yang sabar. Allah SWT merakamkan perbualan antara kedua-duanya di dalam al-Quran, firman Allah SWT:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Maka ketika anaknya itu telah sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengan Nabi Ibrahim dalam mencari keperluan hidup, Nabi Ibrahim berkata kepadanya, “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu, maka apakah pendapatmu?” Anaknya menjawab, “Wahai ayah, laksanakan apa yang diperintahkan kepadamu; dengan izin Allah, ayah akan mendapati aku termasuk dalam golongan orang yang sabar.”

(Surah al-Saffat: 102)

Berdasarkan ayat di atas, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat tentang sejauh manakah mimpi boleh dijadikan hujah dan panduan oleh seseorang di dalam hidupnya? Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu untuk mengetahui pembahagian mimpi menurut perspektif Islam. Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الرُّؤْيَا ثَلَاثٌ، فَرُؤْيَا حَقٌّ، وَرُؤْيَا يُحَدِّثُ بِهَا الرَّجُلُ نَفْسَهُ، وَرُؤْيَا تَحْزِينٌ مِنَ الشَّيْطَانِ فَمَنْ رَأَى مَا يَكْرَهُ فَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ 

Maksudnya: Mimpi itu ada tiga jenis; mimpi yang benar (wahyu kepada para nabi), mimpi yang pada asalnya perkara di dalam minda manusia hingga terbawa hingga ke dalam tidur dan mimpi berupa kesedihan daripada syaitan. Sesiapa melihat perkara yang tidak disukainya di dalam mimpi, hendaklah dia bangun dan tunaikan solat.”

Riwayat al-Tirmizi (2280)

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa mimpi itu terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:

  • Pertama, mimpi yang baik / benar (al-ru’yah al-hasanah / al-sadiqah) iaitu mimpi yang dialami oleh para nabi dan rasul, termasuk dalam salah satu daripada 46 bahagian kenabian.
  • Kedua, mimpi yang buruk (al-ru’yah al-sayyi’ah) iaitu mimpi daripada gangguan syaitan. 
  • Ketiga, mimpi yang merupakan adat kebiasaan pada setiap orang, iaitu sesuatu yang difikirkan ketika jaganya, yang akhirnya terbawa-bawa hingga ke dalam tidur dan dilihat di dalam mimpi.

Sesungguhnya mimpi yang tiada keraguan padanya merupakan petunjuk dan hujah ialah mimpi para nabi dan rasul AS. Hal ini sepertimana berlaku kepada Nabi Yaakub AS dan Nabi Yusuf AS. Nabi Yusuf SAW bersama dua orang penghuni penjara dan begitu juga Nabi Muhammad SAW. 

Bahkan, antara wahyu terawal diturunkan kepada Baginda SAW adalah melalui mimpi. Ia sebagai satu persediaan bagi Nabi SAW sebelum menerima wahyu secara jaga. Namun begitu, tiada wahyu al-Quran yang diturunkan melalui cara ini, kecuali semuanya diterima dalam keadaan jaga. Walau bagaimanapun, mimpi yang benar (al-Ru’ya al-Sadiqah) ini tidak hanya khusus kepada nabi dan rasul sahaja, bahkan ia turut terdapat pada orang-orang mukmin juga. (Lihat Mabahith fi ‘Ulum al-Quran oleh Manna‘ al-Qattan, 1/35)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ تَكْذِبُ رُؤْيَا الْمُؤْمِنِ وَرُؤْيَا الْمُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ 

Maksudnya: “Apabila hari kiamat semakin hampir, mimpi seseorang yang beriman itu hampir tidak menipu, dan mimpi orang yang beriman itu satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”

Riwayat al-Bukhari (7017)

Justeru, antara mimpi yang diterima dan boleh dijadikan panduan ialah mimpi yang benar (al-ru’yah al-sadiqah) daripada para nabi dan rasul serta orang-orang mukmin. Namun begitu, mimpi orang mukmin itu termasuk dalam dalil-dalil yang dikhilafkan oleh para ulama’ (al-adillah al-mukhtalafat fih) dan bersifat dzanniyyah. (Lihat Mada Hujjiyatul Ru’ya Inda Usuliyyin oleh Ali Jum’ah, hlm. 88) 

Oleh yang demikian, ia tidak boleh dijadikan sebagai dalil syarak dan tidak boleh digunakan dalam menetapkan sebarang hukum. Adapun bisikan dan mimpi yang buruk itu datang daripada syaitan untuk menimbulkan rasa tidak senang dan dukacita dalam hati orang yang beriman, sebagaimana firman Allah SWT pada ayat 10 Surah al-Mujadilah. Maka apabila mengalami mimpi yang buruk ketika tidur, Rasulullah SAW telah mengajarkan kita supaya meludah sedikit ke sebelah kiri dan membaca isti’azah. Daripada Abu Qatadah R.A, sabda Rasulullah SAW:

الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ مِنَ اللَّهِ وَالْحُلُمُ مِنَ الشَّيْطَانِ فَإِذَا حَلَمَ أَحَدُكُمْ حُلُمًا يَخَافُهُ فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ وَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّهَا فَإِنَّهَا لا تَضُرُّهُ 

Maksudnya: “Mimpi yang baik itu adalah daripada Allah SWT, adapun mimpi yang buruk itu daripada syaitan. Jika seseorang itu bermimpi suatu yang menakutkan hendaklah dia meludah sedikit ke kirinya dan memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada keburukan mimpi itu. Sesungguhnya keburukan mimpi itu tidak akan memudaratkannya.”

Riwayat al-Bukhari (3292)

Penutup

Membaca dan menekuni sirah Nabi Allah Ibrahim AS dan anaknya Ismail AS telah memberi isyarat dan signal kepada kita agar sentiasa mencari mardhatillah. Mentaati Allah SWT dalam perkara yang bertentangan dengan akal serta nafsu kita, ditambah dengan hati yang cintakan kepada sesuatu akan begitu sukar untuk dilaksanakannya. Tetapi, dengan tekad dan semangat yang tinggi yang merangkumi padanya iman, Islam serta keikhlasan dalam melaksanakannya akan menerbitkan natijah ihsan. 

Ayat-ayat yang kita bacakan di atas, mengandungi iman, Islam dan berakhir dengan ihsan sebagai ganjaran. Nas Ilahi menunjukkan mereka adalah golongan yang beriman, مُؤْمِنِينَ, Islam (مُسْلِمِيْنَ) dan juga مُحْسِنِينَ. Maka, layaklah mereka mendapat mardhatillah serta keredhaan Allah SWT.

Begitu juga, ayat-ayat yang kita baca disebut sifat-sifat nabi yang baik iaitu:

  • Solihin (الصَّالِحِينَ)
  • Halim (حَلِيمٍ)
  • Sobirin (الصَّابِرِينَ)

Sifat-sifat seperti inilah yang membawa seseorang mahu pun masyarakat atau negara akan berjaya dan bahagia dalam hidup bukan semata-mata di dunia tetapi hingga ke akhirat. Mereka yang mempunyai sifat inilah yang selayaknya menerajui masyarakat dan negara dan memimpin ummah ke arah mencapai mardhatillah yang menatijahkan badatun tayyibatun wa rabbun ghafur. 

Hal ini akan membawa kruniaan keberkatan demi keberkatan dari langit dan bumi bersyaratkan iman dan taqwa. Yang mana kedua-duanya merupakan ciri yang wujud kepada orang yang soleh, halim dan sabar.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa agar anak, keluarga dan zuriat kita menjadi orang-orang yang soleh. 

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *