Khutbah Terakhir Nabi SAW di Arafah

Mukadimah

Alhamdulillah, sempena Hari Arafah pada 9 Zulhijjah bersamaan 28 Jun 2023 ini, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan untuk memahami khutbah yang disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Arafah. 

Kami menganggap khutbah tersebut merupakan pesanan dan wasiat terakhir Rasulullah SAW kepada umatnya. Dan ia cukup mengesankan kerana itulah pesanan terakhir Rasulullah SAW kepada khalayak sahabatnya. Khutbah tersebut antara khutbah yang terpanjang pernah disampaikan oleh Rasulullah SAW pada waktu Zohor hari Jumaat, 9 Zulhijjah tahun ke-10 Hijrah.

Fasting on the Day of Arafah - IslamiCity

Oleh kerana khutbah tersebut panjang makanya kami tidak menyebut dalam bahasa Arab kecuali menyebut takhrijnya sahaja.

Amat penting bagi kita mengamatinya dan menekuninya. Oleh kerana khutbah tersebut panjang maka kami akan noktahkan kepada beberapa noktah. Kemudian, kami akan sertakan syarahan ringkas serta iktibar yang mungkin dapat diambil berdasarkan poin-poin yang disusun.

Semoga khutbah ini menjadi pegangan sebagai wasiat terakhir Rasulullah SAW kepada kita untuk kita amalkannya.

Takhrij Hadith

Hadith daripada Jabir bin Abdillah R.A, dan diriwayatkan oleh Imam Muslim (1218), Abu Daud (1905), Ibn Majah (3074) dan al-Nasa’ie (656)

Khutbah Rasulullah SAW

Kami akan pisahkan ucapan Baginda SAW dalam beberapa perenggan untuk dimasukkan sebahagian iktibar dan pengajaran yang dapat diambil. Kami juga akan memasukkan di hadapan ucapan Baginda SAW sebahagian daripada tajuk.

Pertama: Pesanan Nabi SAW Serta Kemuliaan Orang Islam

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak aku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap Muslim sebagai amanah suci.”

Iktibar 

  • Pesanan untuk mengambil cakna atas khutbah yang disangkakannya sebagai terakhir dan itulah yang sebenarnya yang terakhir.
  • Kemuliaan bulan Zulhijjah 
  • Kemuliaan Tanah Haram Makkah
  • Peliharalah jiwa, harta dan maruah umat Islam sebagai mana kita memelihara kemuliaan bulan Zulhijjah dan Tanah Haram Makkah.

Kedua: Harta dan Hitungan Amalan

Rasulullah SAW bersabda:Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan Dia pasti akan membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.”

Iktibar

  • Isu harta hendaklah dilihat dengan berhati-hati supaya harta yang kita miliki benar-benar bersih dan menjadi milik kita yang sahih. Sebaliknya, jika harta itu milik yang lain, maka serahkanlah kepada pemunyanya dengan rasa tanggungjawab.
  • Berakhlak yang mulia kepada manusia, itulah caranya agar orang lain juga berakhlak dengan baik kepada kita. Bak kata pepatah, “كَمَا تَدِينُ تُدَانُ” Maksudnya: “Sebagaimana kamu lakukan maka begitulah kamu akan dibalas.”
  • Ingatkan kematian sebagai tempat kita akan dibalas di akhirat kelak. Semuanya akan diperhitung di hadapan Allah SWT. Benarlah firman Allah SWT:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ‎﴿٧﴾‏ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ ‎

Maksudnya: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Surah al-Zalzalah (7-8)

Ketiga: Riba dan Godaan Syaitan

Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT telah mengharamkan riba. Oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.”

“Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu, dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara kecil.”

Iktibar

  • Riba adalah bentuk penindasan ekonomi . Di samping ia meruntuhkan kehidupan seseorang, syarikat, bahkan negara apabila bergelumang dengan riba dan akhirnya terbelenggu dengan hutang riba yang melampau. Allah SWT denagn tegas berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ‎﴿٢٧٨﴾‏ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ 

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat).”

Surah al-Baqarah (278-279)

  • Ingatlah tipu daya syaitan kerana dia sentiasa ingin menyesatkan kita dan dia adalah musuh yang nyata. Firman Allah SWT:

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: ““Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

Surah Yasin (60)

  • Awasilah daripada perkara yang kecil yang membawa kepada pertelingkahan sesama kita. Bukan sekadar itu bahkan menjadi musuh yang amat nyata walaupun sama-sama mengucap dua kalimah syahadah. Ini kerana, perkara yang kecil yang dibesarkan membawa kepada perselisihan yang parah. Daripada Jabir bin Abdillah R.A, sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ مِنْ أَحَبِّكُمْ إِلَيَّ وَأَقْرَبِكُمْ مِنِّي مَجْلِسًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَحَاسِنَكُمْ أَخْلاَقًا. وَإِنَّ أَبْغَضَكُمْ إِلَيَّ وَأَبْعَدَكُمْ مِنِّي يَوْمَ الْقِيَامَةِ الثَّرْثَارُونَ وَالْمُتَشَدِّقُونَ وَالْمُتَفَيْهِقُونَ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ قَدْ عَلِمْنَا الثَّرْثَارُونَ وَالْمُتَشَدِّقُونَ فَمَا الْمُتَفَيْهِقُونَ: قَالَ: الْمُتَكَبِّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kamu dan yang paling dekat kedudukannya denganku pada hari kiamat kelak, iaitu orang yang terbaik akhlaknya. Dan orang yang paling aku benci dan paling jauh kedudukannya dariku pada hari kiamat kelak, yaitu tsarsarun, mutasyaddiqun dan mutafaihiqun.” Para sahabat bertanya: “Ya, Rasulullah. Kami sudah mengetahui arti tsarsarun dan mutasyaddiqun. Tetapi, apa maksud mutafaihiqun?” Baginda menjawab,”Orang yang takabbur.” 

Riwayat al-Tirmizi (2018), dan katanya: “Hadith ini hasan.” al-Khara’iti dalam Masawi’ al-Akhlaq (59) dan al-Tabarani dalam Makarim al-Akhlaq (6). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya hasan dalam takhrij Riyadh al-Salihin (1738)

Al-Munziri menjelaskan: Perkataan ‘الثَّرْثَارُ’ dengan dua huruf tsa’ (ث) diberi baris fathah dengan maksud banyak bercakap yang dibuat-buat. Perkataan ‘الْمُتَشَدِّقُ’ adalah orang yang bercakap dengan memenuhi sudut mulutnya agar terlihat fasih dan agung bagi ucapannya. Manakala perkataan ‘الْمُتَفَيْهِقُ’ adalah berasal daripada al-fahq (الْفَهْق) yang bermaksud terisi penuh, dan  ‘الْمُتَفَيْهِقُ’ ini semakna dengan ‘الْمُتَشَدِّقُ’ kerana dia memenuhi mulutnya dengan ucapan dan memperlebar ucapan dengan memperlihatkan kefasihan, keutamaan dan penguasaan terhadap orang lain. Disebabkan itulah, Nabi SAW mentafsirkannya dengan orang yang takabbur. (Lihat al-Targhib wa al-Tarhib, 3/277)

  • Malang bagi umat ini yang tidak suka kepada perkara yang utama dan besar tetapi bergaduh sakan dalam perkara yang remeh-temeh. Daripada Husain bin ‘Ali RA, sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ اللهَ تَعَالَى يُحِبُّ مَعَالِيَ الأُمُوِر وَأَشرَافَهَا، وَيَكَرهُ سَفْسَافَهَا 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyukai perkara-perkara yang tinggi lagi mulia dan tidak menyukai yang rendah.”

Riwayat al-Tabarani dalam Mu’jam al-Kabir (2894) [Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Silsilahnya, no. hadith 1890].

  • Pada akhir zaman banyaknya golongan yang menunjukkan kepandaian sedangkan hakikat sebenar, beliau termasuk dalam golongan juhala’. Justeru, mereka bercakap tanpa ilmu bahkan mereka ingin berbicara dalam isu yang penting dan besar tanpa asas ilmu dan makrifah yang sebenar. Anas ibn Malik dan juga Abu Hurairah R.Anhuma berkata: Sabda Rasulullah SAW:

 سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتٌ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ، قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ.

Maksudnya: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang benar dikatakan pendusta, pengkhianat dikatakan amanah sedangkan orang yang amanah dikatakan sebagai pengkhianat. Pada ketika itu Ruwaibidhah akan berbicara.” Ada yang bertanya, “Apa yang dimaksud Ruwaibidhah?” Baginda menjawab, “Orang taaffah (bodoh, akal pendek, lalai, celaru) yang turut campur dalam urusan manusia.”

Riwayat Ibn Majah (4036) dan Ahmad (7912). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (3650)

Para ulama’ telah menafsirkan beberapa makna bagi al-Ruwaibidhah, antaranya ialah:

  1. Al-Ruwaibidhah adalah sighah tasghir bagi Rabhidhah (رابضة) dan ta’ marbutah di akhirnya bagi menunjukkan mubalaghah. Al-Rabidhah ialah seseorang yang lemah dan tenggelam di dalam hal-hal keduniaan dan sentiasa menginginkannya. (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Ibn Majah, 2/494)
  2. Riwayat di dalam Musnad Ahmad mengatakan: Orang yang bodoh bercakap perkara umum.(Musnad Ahmad, no. hadith 7912)

III. Riwayat di dalam Syarh Musykil al-Athar: Orang yang fasiq bercakap perkara umum. (Syarh Musykil al-Athar, no. hadith 13299)

  1. Imam al-Syatibi di dalam al-‘Itisham: Orang yang bodoh dan keji bercakap berkaitan perkara umum sedangkan dia bukan ahli dalam perkara tersebut tetapi masih ingin bercakap. (Lihat al-‘Itisham, 3/100)

Keempat: Peliharalah Hak Suami Isteri

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.” 

Iktibar

  • Tanggungjawab suami kepada isterinya: 
  1. Mas Kahwin
  2. Nafaqah

III. Pergaulan yang baik

  • Tanggungjawab isteri terhadap suaminya:
  1. Taat dalam perkara bukan maksiat
  2. Tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke rumahnya tanpa keizinan dan keredhaan suaminya

III. Menjaga kemuliaan, maruah dan harta suami

  • Sebahagian daripada tips menuju kebahagian:
  1. Memastikan sudah cukup bersedia dari sudut lahir dan batin, fizikal dan mental.
  2. Memastikan kemantapan ilmu sama ada dari segi ilmu agama dan juga ilmu alam rumah tangga.

III. Pasangan perlu ada sifat matang dari segi pemikiran, tindakan, pergaulan dan kesediaan memikul tanggungjawab dan yang paling utama kematangan dalam hal-hal agama.

Kelima: Mu’asyarah Dengan Isteri Secara Yang Baik

Rasulullah SAW bersabda: “Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang lain yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”

Iktibar

  • Kehidupan berasaskan kepada mu’asyarah yang baik. Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Imam al-Zamakhsyari menjelaskan bahawa ““Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik” secara umum ditafsirkan “berlaku adil dalam hal tempat tinggal dan nafkah, serta memperhalusi tutur kata”.  (Lihat Tafsir al-Kasysyaf, 1/491)

Daripada Saidatina ‘Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

Maksudnya: “Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang terbaik kepada keluarganya dan aku adalah yang paling baik di antara kamu terhadap keluargaku.”

Riwayat al Tirmizi (3895) dan Ibn Majah (1977)

Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman al-Mubarakfuri Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: (Iaitu berbuat baik) kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: (Iaitu) kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/269) 

  • Antara ciri suami yang baik ialah hormatkan isterinya serta mempunyai kematangan emosi dengan mengurus secara berhemah tanpa melenting dan menjadi pemarah. Sebaliknya, digantikan dengan sifat pemaaf. Suami juga dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku dengan segera dan harmoni.
  • Isteri hendaklah memahami kehendak suami dengan tidak sewenang-wenangnya memasukkan orang-orang yang tidak disukai oleh suami ke rumahnya. Ini sebagai tanda menghormati suami.
  • Larangan sama sekali untuk tidak berzina kerana buruk akibatnya. Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

Surah al-Isra’ (32)

  • Kami sertakan di sini keburukan-keburukan yang datang daripada zina: Imam al-Zahabi berkata: 
  1. Mengikut hukum Islam, penzina yang belum pernah berkahwin disebat 100 kali sebatan sedangkan bagi yang sudah berkahwin, direjam sehingga mati.
  2. Bagi mereka yang terlepas daripada hukuman dunia dan tidak bertaubat, para penzina digantung dengan kemaluan mereka di dalam neraka sambil dipukul kemaluan mereka dengan cemeti daripada besi sambil dicemuh oleh Malaikat Zabaniah.
  3. Dicabut iman daripada dalam hatinya ketika berzina, seperti pakaian yang dicabut daripada tubuh.
  4. Allah Taala tidak akan berkata-kata dengan orang tua yang berzina di Hari Kiamat, tidak mahu melihatnya (yakni membiarkannya), dan tidak menyucikannya daripada dosa-dosa dan baginya azab yang pedih.
  5. Dianggap sebagai dosa paling besar selepas syirik kepada Allah dan membunuh nyawa tanpa alasan yang hak.
  6. Dijadikan bekas seperti ketuhar dalam neraka bagi para penzina, yang sempit bahagian atasnya dan luas bahagian bawahnya, setiap kali disambar api mereka akan menjerit-jerit kerana panas yang melampau.
  7. Kemaluan mereka akan berbau sangat busuk sehingga menyeksa para penghuni ahli neraka.
  8. Iblis berbangga dengan para tenteranya yang berjaya menarik manusia melakukan zina hingga menganugerahkan mahkota istimewa kepada mereka.
  9. Mendapat tiga keburukan di dunia; dihilangkan seri wajahnya, dipendekkan umurnya dan berkekalan dalam kefakiran.
  10. Memperolehi tiga keburukan di akhirat; kemurkaan Allah, penghitungan amal yang buruk dan azab neraka.
  11. Dijadikan sebatang sungai dalam neraka yang mengalirkan nanah dan muntah daripada kemaluan orang berzina yang menjadi minuman para peminum arak.
  12. Dijadikan bagi mereka sebuah lembah di dalam neraka yang dalamnya ada ular dan kala jengking sebesar baghal, yang memiliki tujuh puluh duri yang berbisa yang mengengat para penzina selama seribu tahun sehingga terlerai dagingnya.
  13. Dijadikan azab kubur baginya seperti azab separuh umat.
  14. Diharamkan syurga buat orang yang berzina sedangkan dia tahu perbuatan itu dilarang.
  15. Selain itu, perbuatan zina juga boleh merosakkan nasab manusia dengan lahirnya anak di luar hubungan perkahwinan. Semoga Allah mengampuni kita dan menjauhi kita daripada perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar. (Lihat al-Kaba’ir, 1/50-54)

Keenam: Laksanakan Ibadat dan Rukun Islam

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kata aku ini, “Sembahlah Allah SWT, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu, kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu.”

Iktibar

  • Peri pentingnya melaksanakan rukun Islam yang lima. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, sabda Rasulullah SAW:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam dibina atas lima perkara, iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya selain Allah, dan Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan ibadah haji, dan puasa di bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)

  • Faedah Solat:

Solat merupakan tiang agama sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Nabi SAW:

رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ

Maksudnya: “Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad.”

Riwayat al-Tirmizi (2616)

Bahkan, ia merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak. Sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan pertama seorang hamba yang akan dihisab oleh Allah SWT adalah solatnya. Jika elok solatnya maka dia akan berjaya (dalam proses hisab tersebut), jika rosak solatnya maka dia adalah orang yang rugi.”

Riwayat al-Tirmizi (413)

Oleh itu, dalam apa keadaan sekalipun umat Islam perlu menunaikan solat kerana ia merupakan kewajipan yang Allah SWT perintahkan ke atas sekalian mukalaf. 

  • Faedah Puasa: 

Ibadah puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu kewajipan kepada umat Islam yang cukup syarat-syarat wajib untuk berpuasa. Ia merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam. Firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Surah al-Baqarah (183)

Puasa merupakan madrasah akhlak yang besar dalam melatih keperibadian mukmin, melawan hawa nafsu daripada tergoda dengan tipu daya syaitan. Puasa mengajar erti amanah dan muqarabah kepada Allah SWT yang sentiasa sama ada dalam keadaan sir atau terang-terangan. Begitu juga menguatkan semangat dalam menambahkan lagi kesabaran.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: “Puasa adalah tarbiyyah yang berkesan dan suatu jihad mengawal diri dan hawa nafsu serta membiasakan diri dengan bersifat sabar, sama ada sabar melakukan ketaatan atau sabar menjauhi maksiat.”

  • Faedah Zakat:

Membayar zakat merupakan rukun Islam yang ketiga selepas mendirikan solat lima waktu. Sebagaimana firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ

Maksudnya: “Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat.”

Surah al-Baqarah (43)

Al-Mawardi berkata: Ayat ini merupakan antara dalil kewajipan ke atas setiap individu muslim agar mengeluarkan zakat (setelah sampai nisab dan juga cukup haul) ke atas hartanya supaya dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, ayat di atas antaranya mengandungi perintah Allah SWT supaya mengeluarkan zakat daripada harta-harta yang telah Allah SWT kurniakan kepada para hamba-Nya, lalu memberikannya kepada orang-orang fakir dan selainnya yang terdiri daripada penerima-penerima zakat yang telah disebutkan oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 573).

  • Faedah Haji:

Antara dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah tentang kewajipan mengerjakan ibadah haji adalah seperti firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

 Surah Ali ‘Imran (97)

Syeikh al-Maraghi ketika menafsirkan ayat di atas, menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, pelaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853).

Ketujuh: Kelebihan Taqwa dan Balasan Akhirat

Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh. Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah SWT pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.”

Iktibar

  • Kelebihan manusia bukan berasaskan warna kulit, bangsa, bahasa tetapi yang melebihkannya berdasarkan taqwa.
  • Terdapat banyak kelebihan taqwa antaranya Allah SWT jadikan baginya pelepasan dalam hidup, dimasukkan dalam syurga, dimuliakan di dunia dan di akhirat, dimudahkan segala urusan, dimurahkan rezeki dan lain-lain.
  • Kita akan bertemu Allah SWT dan akan dihitung di hadapan Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا 

Maksudnya: Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.

Surah al-Kahfi (49)

  • Hendaklah mengikut sunnah Rasulullah SAW dan jangan sekali-kali terkeluar daripada landasan. Daripada ‘Irbadh bin Sariyah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ اْلأُمُوْرِ، فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

Maksudnya: “Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulafa’ al-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham dan jangan kamu mengikuti perkara-perkara (bid’ah) yang dibuat-buat, kerana sesungguhnya semua perkara bid’ah itu adalah sesat.” 

Riwayat Abu Daud (4607), al-Tirmizi (2676), Ibn Majah (44), Ahmad (17144). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Riyadh al-Salihin (157)

Kelapan: Nabi Terakhir Dan Berpegang Dengan Al-Quran Serta Sunnah

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara; yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya itulah “al-Quran dan sunnahku”.

Iktibar

  • Sebarang bentuk golongan yang mengaku menjadi nabi maka hendaklah ditentang, kerana tiada lagi nabi selepas Nabi Muhammad SAW. Jika ada, maka itu adalah Dajjal kecuali Nabi Isa AS.

Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُبْعَثَ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ قَرِيبٌ مِنْ ثَلاَثِينَ، كُلُّهُمْ يَزْعُمُ أَنَّهُ رَسُولُ اللهِ.

Maksudnya: “Tidak akan berlaku hari Kiamat sehinggalah dibangkitkan ‘dajjal-dajjal’ (para pendusta) yang jumlahnya menghampiri tiga puluh. Kesemuanya mengaku bahawa mereka adalah utusan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (3609) dan Muslim (157)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: ‘دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ’ (“Dajjal-dajjal pendusta.”) Dajjal berasal daripada perkataan dajl (الدَّجْل) yang bermaksud menutupi dan mengaburkan. Perkataan ini juga diertikan sebagai dusta. Atas dasar ini, maka perkataan ‘pendusta’ adalah menjadi penguat kepada perkataan sebelumnya.

‘قَرِيبٌ مِنْ ثَلاَثِينَ’ (“Sekitar 30 orang.) Dalam riwayat Imam Muslim, daripada Jabir bin Samurah, terdapat penegasan tentang jumlahnya: ‘إِنَّ بَيْن يَدَيْ السَّاعَة ثَلَاثِينَ كَذَّابًا رِجَالًا كُلّهمْ يَزْعُم أَنَّهُ نَبِيّ’ (“Sebelum hari Kiamat, ada 30 orang pendusta. Semuanya mengaku dirinya sebagai nabi.”) Abu Ya’la meriwayatkan melalui sanad yang hasan, daripada Abdullah bin al-Zubair tentang sebahagian nama pendusta tersebut: ‘لَا تَقُوم السَّاعَة حَتَّى يَخْرُج ثَلَاثُونَ كَذَّابًا مِنْهُمْ مُسَيْلِمَة وَالْعَنْسِيّ وَالْمُخْتَار’ (“Hari Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah keluar 30 pendusta, antara mereka ialah Musailimah, al-’Ansi dan Mukhtar.”)

Aku (Ibn Hajar) berkata, “Kebenaran berita tersebut terbukti pada masa akhir kehidupan Nabi SAW. Musailimah muncul di Yamamah dan al-Aswad al-Ansi muncul di Yaman. Seterusnya pada zaman pemerintahan Abu Bakar, keluar Tulaihah bin Khuwailid dari bani Asad bin Khuzaimah, dan Sijah al-Tamimiyyah dari bani Tamim. Al-Aswad dibunuh sebelum Nabi SAW meninggal dunia, manakala Musailimah dibunuh pada zaman pemerintahan Abu Bakar. Sementara Tulaihah bertaubat dan meninggal dunia dalam keadaan memeluk Islam – menurut pendapat yang benar – pada zaman pemerintahan Umar. Ada juga yang menyatakan bahawa Sijah juga bertaubat dan memeluk Islam.”

Al-Hafiz Ibn Hajar kemudian berkata: “Batasan dalam hadith-hadith yang menyebut perihal ini tidaklah bermaksud ia ditujukan bagi setiap orang yang mengaku sebagai Nabi secara mutlak. Ini kerana mereka yang seperti itu ramai dan tidak terhingga. Tetapi, yang dimaksudkan dalam hadith adalah orang yang (mengaku sebagai Nabi) di mana mereka memiliki kekuatan, ramai pengikut dan terkenal dalam kalangan manusia. Allah telah membinasakan orang-orang yang melakukan demikian. Begitu juga mereka yang muncul sesudahnya. Hingga yang terakhir di antara mereka adalah Dajjal terbesar.” (Lihat Fath al-Bari, 10/410)

  • Imam al-Syafi’i berkata, “Setiap yang bercakap berdasarkan kitab dan sunnah maka itulah yang sebenarnya. Adapun selain keduanya dilihat sia-sia.”
  • Sunnah Rasulullah SAW merupakan pedoman dan petunjuk yang sebaik-baiknya yang menafsir dan menterjemahkan serta mentaqrirkan apa yang terdapat di dalam al-Quran.

Kesembilan: Perintah Berdakwah Dan Sifat Rasul Adalah Tabligh

Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang lain dan hendaklah orang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”

Iktibar

  • Perintah menyampaikan ilmu yang diambil daripada Rasulullah SAW kepada khalayak masyarakat. Inilah yang dikenali sebagai pengajaran atau dakwah. 
  • Kefahaman tidak sama antara seseorang dengan seseorang. Boleh jadi yang menyampaikan bukanlah lebih alim dan faqih kepada yang disampaikan. Inilah hakikat yang perlu diakui. Benarlah firman Allah SWT:

 يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”

Surah al-Baqarah (269)

  • Rasulullah SAW memohon kepada kita agar menjadi saksi yang Rasulullah SAW tidak sembunyi walau sedikit pun dari perintah Allah SWT. Benarlah firman Allah SWT:

وَمَا عَلَى الرَّسُولِ إِلَّا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ

Maksudnya: Dan (ingatlah) tugas Rasul hanya menyampaikan dengan penjelasan yang terang nyata”.

(Surah al-Ankabut: 18)

Penutup

Ketika Rasulullah SAW berada di Arafah, Allah SWT telah menurunkan ayat al-Quran:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ 

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Surah al-Maidah (3)

 

2 thoughts on “Khutbah Terakhir Nabi SAW di Arafah

  1. Pingback: Khutbah Terakhir Rasulullah: Pesanan Untuk Umat Sepanjang Zaman

  2. Pingback: Khutbah Terakhir Nabi SAW di Arafah – Tc. FAIZ HAZIZI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *