Syeikh Tahir Ibn ‘Asyur Alim Rabbani

Syeikh Tahir Ibn ‘Asyur Alim Rabbani

Oleh Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Kelahiran dan Pendidikan

Kelahiran

Nama penuhnya ialah Muhammad Tahir  (al-Thani) bin Muhammad bin Muhammad Tahir (al-Awwal) bin Muhammad bin Muhammad Shazali bin  Abdul Qadir  Mahamad bin ‘Asyur. Beliau dilahirkan pada 1296/1878M di kediaman datuknya sebelah ibu Muhammad Aziz Bu’atur. Keluarga ini berasal dari Andalusia dan berhijrah ke Tunis pada tahun 1650M dan menetap di  sana. Perpindahan mereka ke Tunis kerana pencerobohan  tentera Salib  atas Andalusia. Datuknya Muhammad Tahir merupakan seorang ulama dan ahli fikih yang terkenal dan banyak mengarang buku termasuk hasiyah Qatr al-Nada. Beliau pernah menjadi kadi dan ahli fatwa pada zaman Muhammad Sadiq Bay dan meninggal dunia pada  1868M.

Bapanya Muhammad juga memegang jawatan sebagai ketua Majlis Persatuan Wakaf dan berkahwin dengan Fatimah bin Muhammad Aziz al-Bu’atur. Dari kedua-dua mereka inilah lahirnya Muhammad Tahir di Marsi berdekatan dengan ibu negeri Tunisia. Muhammad Azuz Bu’atur merupakan seorang menteri dalam pemerintahan Amir Sadiq Bay.[1]

Pendidikan

Ketika berusia 6 tahun dia telah menghafal al-Quran dari Muhammad al-Khiyari di Masjid Sayyid Abi Hadid. Di samping menghafaz matan al-Ajrumiah dalam nahu dan matan fiqah mazhab Maliki. Muhammad Tahir telah memasuki Jami’ al-Zaitun pada tahun 1893 pada ketika berusia 15 tahun dan belajar ilmu-ilmu agama di sini. Di samping itu, beliau juga belajar bahasa Perancis dai guru khas Ahmad Wanas Mahmudi. Pada tahun 1899, beliau telah memperolehi ijazah dari Universiti Zaitun. Beliau juga menghadiri Majlis ilmu Muhammad al-Nakhli dan belajar akidah, usul fiqah  dan kitab al-‘Asmuni dalam bidang nahu pada tahun 1900M.

Muhammad Tahir telah membawa seruan pembaharuan terutama pembaikan dalam bidang pendidikan. Pada tahun 1910, beliau dipilih menjadi anggota panel dalam membuat pembaikan pembelajaran di Jami’ Zaitun. Beliau merupakan tokoh Tajdid Tunis dalam memerangi segala bentuk kejahilan dan buta huruf serta menyeru kepada penggunaan akal.[2]

Pekerjaan dan Jawatan

Muhammad mula berkhidmat di Jami’ Zaitun pada tahun 1899M dan pada tahun 1903M telah berjaya menjadi guru pada peringkat kedua. Pada tahun berikut, beliau juga mengajar di Sekolah al-Sadaqiah. Pada tahun 1905M, beliau telah diangkat menjadi guru untuk mengajar pada peringkat pertama di Jami’ Zaitun. Semasa beliau menjadi Syeikh al-Zaytun ini, universiti telah berkembang dengan pesat dan mempunyai 25 cawangan termasuk satu cawangan di Algeria dan dua cawangan khas untuk pelajar wanita.

Ibn ‘Asyur turut aktif dalam bersatuan Ibn Khaldun yang yang mengadakan ceramah-ceramah dan pembelajaran terhadap ilmu-ilmu semasa. Tajuk-tajuk ceramah persatuan ini berkisar dalam meninggikan akal kaum muslimin dan kepentingan ilmu-ilmu semasa kepada umat Islam. Beliau juga aktif dalam madrasah al-Sadaqiah yang diasaskan oleh Khairuddiin Basha pada tahun 1875M. Sekolah ini merupakan lambang kepada sistem pendidikan moden. Ibn ‘Asyur telah menjadi anggota pentadbiran sekolah ini pada tahun 1910M.

Semasa memegang jawatan di Jami’ Zaitun beliau membuat beberapa rombakan dari segi penggunaan buku dan masa mengajar. Buku-buku yang digunakan dalam balaghah seperti ‘Asrar al-Balaghah dan Dala’il al-‘Ijaz oleh al-Jurjani, al-Muwatta’ Imam Malik, al-Muqadimah Ibn Khaldun dan Diwan al-Hamasah dalam kesusasteraan Arab. Beliau juga mengadakan pembaikan dalam bidang sistem pengajaran dengan mengadakan tiga peringkat pengajian dan setiap subjek mempunyai jadual waktu yang ditetapkan.

Di samping menjadi guru, beliau juga diangkat menjadi kadi  pada tahun 1913M selama 10 tahun dan pada tahun 1923M dilantik menjadi Mufti. Beliau memegang jawatan tersebut dengan baik dan jayanya. Ini kerana jawatan mufti bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan ilmu yang luas dan mendalam serta akhlak yang mulia. Kehidupan Muhammad Tahir sama ada sebagai guru. kadi, mufti. Syeikh Jami’ Zaitun dan  Syeikh Islam Maliki merupakan kehidupan yang penuh dengan perjuangan tajdid dan menyeru kemajuan untuk rakyat Tunis.[3]

Sumbangan dan Pencapaian

Semasa hidupnya banyak kejayaan dan pencapaian cemerlang yang telah dicapai oleh Ibn ‘Asyur, sama ada di bidang keagamaan atau pemerintahan. Antara pencapaian-pencapaian gemilang yang berjaya beliau raih adalah seperti berikut:

  • Ibn ‘Asyur berjaya menyelesaikan pentafsiran al-Quran secara lengkap dengan menggunakan metode analisis yang berkualiti dan diakui oleh ramai ulama. Tafsir tersebut diberi nama al-Tahrir wa al-Tanwir, sebuah nama yang menjadi cita-cita penulisnya, di mana pemikiran Ibn ‘Asyur yang mengandungi idea-idea besar tercatat lengkap di dalam tafsir tersebut.
  • Beliau adalah orang pertama yang diberi amanah menerajui dua jabatan sekaligus, pertama, jabatan sebagai Syaikh al-Islam, kedua, jawatan sebagai Imam Besar Masjid Agung Zaitunah pada tahun 1932. Jawatan dan gelaran terhormat ini beliau manfaatkan untuk mereformasi sistem pendidikan di sekolah-sekolah yang berada dalam naungan Masjid Agung Zaitunah ketika itu. Namun, pada September 1933 beliau mengundurkan diri dari jabatan Imam Besar Masjid Agung Zaitunah disebabkan fitnah dan tuduhan pembesar-pembesar politik dari parti al-Harakah al-Qaumiyyah; Parti Nasionalis yang beraliran sekular liberal. Tetapi kebenaran selalu berpihak kepada orang-orang yang benar. Pada tahun 1945, Sheikh Ibn ‘Asyur kembali dilantik sebagai Imam Besar Masjid Zaitunah.
  • Beliau mendapat anugerah penghormatan dari negara Tunisia pada tahun 1968. Penghormatan tersebut adalah anugerah tertinggi yang diberikan negara kerana karya-karyanya yang berkualiti, mempunyai motivasi dan pesanan-pesanan reformasi yang diakui ulama sedunia;
  • Beliau merupakan ulama kontemporari yang berjaya menyusun kitab Maqasid Syariah dengan penalaran dan analisis yang sangat tajam selepas ‘Izzuddin bin Abd al-Salam dan al-Syatibi;
  • Beliau memasukkan idea-idea pencerahan dalam dunia pendidikan di Masjid Agung Zaitunah, mereformasi pendidikan dengan memasukkan banyak pelajaran umum ke dalam kurikulum pelajaran Masjid Agung Zaitunah, seperti kimia, fizik, matematik, dan lain-lain;
  • Beliau juga pernah menjawat sebagai Anggota Panitia Reformasi Pendidikan Tahap II tahun 1910, dan kemudian berlanjut pada Revisi Program Pendidikan Tahap III tahun 1924 dan Tahap IV tahun 1933;
  • Anggota Majlis Tinggi Wakaf tahun 1911;
  • Hakim Mahkamah ‘Aqqariah yang memutus perkara yang berkaitan dengan hukum harta dan hak milik tahun 1911;
  • Penggubal Undang-Undang Syariat berdasarkan mazhab Maliki tahun 1913-1923;
  • Mufti Mazhab Maliki tahun 1924;
  • Ketua Majlis Syura tahun 1927;
  • Selepas kemerdekaan Tunisia, Ibn ‘Asyur dilantik sebagai Dekan Universiti Zaitunah tahun 1956- 1960, yang kemudian dianjurkan untuk beristirehat kerana sikapnya yang menolak mentah-mentah perintah mengeluarkan fatwa kempen menentang kewajiban puasa di bulan Ramadhan, atas permintaan dan pesanan fatwa dari Presiden Tunisia ketika itu Habib Bourghiba;
  • Di peringkat antarabangsa, Ibn ‘Asyur terpilih menjadi anggota dari dua akademi bahasa sekaligus, iaitu Akademi Bahasa Arab yang berpusat di Kaherah, Mesir, tahun 1950 dan Akademi Bahasa Arab di Damsyik, Syria, tahun 1955;
  • Beliau juga turut aktif mengambil bahagian dalam penyusunan Ensiklopedia Fiqh yang diselenggarakan Kementerian Agama Islam Kuwait.[4]

Karya Penulisan

Sebagai ulama yang produktif, Ibn ‘Asyur memiliki banyak karya ilmiah, di antaranya adalah:

  • Al-Tahrir wa al-Tanwir ;
  • Maqasid al-Syari‘ah al-Islamiyyah;
  • Al-Nazru al-Fasih ‘Inda Madha’iq al-Anzhar fi al-Jami‘ al-Sahih
  • Usul al-Nizam al-Ijtima‘i fi al-Islam;
  • Alaisa al-Subhu bi Qarib;
  • Naqdun ‘Ilmiyyun li Kitab al-Islam wa Usul al-Hukmi[5]
  • Kasyf al-Mughatta min al-Ma’ani wa al-Alfaz al-Waqi’ah fi al-Muwatta’
  • Al-Taudhih wa al-Tashih li Musykilat Syarh al-Tanqih fi Usul al-Fiqh
  • Mujaz al-Balaghah
  • Usul al-Insya’ wa al-Khitabah
  • Syarh al-Muqaddimah al-Adabiyyah
  • Al-Sirah al-Nabawiyyah – Qissatu al-Maulid

Tafsir Ibn Asyur (al-Tahrir wa al-Tanwir)

Syeikh Tahir Ibn Asyur telah menghasilkan beberapa karya penulisan. Antara yang terkenal ialah kitab al-Tahrir wa al-Tanwir yang dinamakan dengan judulnya yang asli iaitu “Tahrir al-Ma’na al-Sadid wa Tanwir al-’Aql al-Jadid wa Tafsir al-Kitab al-Majid”.

Dalam hal pentafsiran, Ibnu ‘Asyur menggunakan kaedah yang pelbagai, di antaranya adalah metode tahlili (analisis), naqdi (kritis), istidlali (argumentatif), maudhu‘i (tematik) dan maqasidi (objektif). Menurutnya, dengan gabungan metode-metode ini dapat diungkapkan jawapan-jawapan al-Quran tentang pelbagai masalah kehidupan, sekaligus dapat dijadikan bukti bahawa ayat al-Quran selari dengan perkembangan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi serta kemajuan peradaban manusia.

Secara khusus, Ibnu ‘Asyur pada kebiasaannya ketika mentafsirkan al-Quran beliau akan menjelaskan terlebih dahulu tentang surah yang hendak ditafsirkan; mulai dari makna surah, tempat turun surah, jumlah ayat dalam surah, sebab turun ayat atau surah, keutamaan surah, hinggalah kandungan surah secara umum. Kemudian beliau menggabungkan beberapa ayat yang temanya sama, lalu mentafsirkannya dengan menggunakan analisis hubungan antara ayat atau surah, analisis kebahasaan, riwayat-riwayat yang bersangkutan, dan pendapat-pendapat ulama terdahulu. Setelah merangkumkan semuanya, beliau kemudian mengambil langkah ijtihad dengan menggunakan metode istidlali, naqdi dan maqasidi. (Lihat Atharu al-Dilalat al-Lughawiyyah fi al-Tafsir ‘Inda al-Thahir ibni ‘Ashur fi Kitabihi al-Tahrir wa al-Tanwir oleh Musyrif bin Ahmad al-Zahrani)[6]

Metode umum di dalam kitab tafsir ini, lebih cenderung kepada tafsiran menerusi asas sastera, zahir, bahasa dan logika yang seiring dengan dalil hujah serta mementingkan teknik Qiraat (cara bacaan para qura). Teknik pentafsiran beliau adalah dengan menyebut setiap ayat di dalam surah tersebut, kemudian mula menghuraikannya menurut kesesuaian dari aspek bahasa dan tafsiran ringkas dengan dipaparkan padanya teknik Qiraat serta hukum fiqh di dalamnya.

Beliau turut menyatakan secara terperinci pada kandungan surah dan membicarakan perkaitan antara ayat-ayatnya. Kaedahnya yang lebih khusus di dalam tafsirannya ini ialah dengan:

  • Menerangkan nama surah, bilangan ayat dan keterangannya.
  • Menjelaskan perkara berkaitan akidah
  • Menyatakan huraian al-Quran dengan al-Quran
  • Memaparkan huraian al-Quran dengan al-Sunnah
  • Menjelaskan tafsiran al-Quran dengan kalam ulama Salaf
  • Menjelaskan kaitan dengan aspek sejarah
  • Membentangkan kekeliruan Israeliyyat
  • Menjelaskan perkaitan ilmu Qiraat
  • Menyatakan hal yang bersangkutan dengan Fiqh dan Usul
  • Menghuraikan berdasarkan ilmu yang lebih moden seperti fizikal, falsafah dan mukjizat yang terdapat di alam ini
  • Mengutamakan perkaitan dengan adab dan akhlak yang baik

Inilah antara kitab yang menarik untuk dibaca, dikaji dan diamalkan.

 

Metode dan Corak Tafsirnya

Dalam menentukan corak tafsir dari suatu kitab tafsir, perkara yang diperhatikan adalah aspek dominan dalam tafsir tersebut. Dalam tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, Ibnu Asyur juga menggunakan banyak metode dan corak pentafsiran, seperti tafsir bi al-ma’thur, tafsir bi al-ra’yi, tafsir fiqhi, tafsir falsafi, tafsir ‘ilmi, dan tafsir adab ijtima‘i.

Namun tidak ada salahnya bila ada yang beranggapan bahawa corak penafsiran Ibnu ‘Ashur didominasi oleh corak tafsir adab ijtima‘i, kerana beliau dalam pentafsirannya memberi penumpuan terhadap pengungkapan balaghah dan kemukjizatan al-Quran, menjelaskan makna dan kandungan sesuai hukum alam, memperbaiki sistem hidup kemasyarakatan umat, dan lainnya.

Akan tetapi, sesetengah penulis mendapati, tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir didominasi tafsir bi al-ra’yi dengan pendekatan penafsiran lughawi atau adabi, dengan maksud, Ibn ‘Asyur dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran lebih cenderung bermula dari aspek tatabahasa dan sastera terlebih dahulu. Beliau selalu memulakan pentafsirannya dengan menggunakan corak bi al-ra’yi untuk melakukan analisis bahasa sebelum mengungkap hal-hal lain sebagaimana yang dimaksud dalam corak tafsir adab ijtima‘i di atas.[7]

Buku Maqasid Syariah oleh Ibn Asyur

Ibn ‘Asyur membincangkan idea Maqasid Syariah-nya secara khusus dalam buku Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyyah, di samping karyanya yang lain, iaitu tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, buku Usul al-Nizam al-Ijtima’i dan Alaisa al-Subhu bi Qarib.

Dalam buku Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyyah, Ibn ‘Asyur mengembangkan dan menyempurnakan konsep Maqasid al-Syari’ah daripada Imam al-Syatibi. Berbanding dengan kitab al-Muwafaqat oleh Imam al-Syatibi, penulisan Ibn Asyur lebih terfokus dan luas dalam menjelaskan konsep Maqasid al-Syari’ah. Beliau telah mengembangkan dan menjadikan ilmu Maqasid al-Syari’ah sebagai disiplin ilmu baru yang terpisah daripada ilmu usul fiqh. Disebabkan itu, beliau telah digelar sebagai ‘guru kedua’ (al-Mu’allim al-Thani), di mana al-Syatibi digelar sebagau ‘guru pertama’.

Beliau telah berjaya mengembangkan teori Maqasid al-Syari’ah yang sebelumnya hanya berlegar pada kajian juz’iyyah dan kulliyyah menjadi lebih luas, yakni dengan melebarkan perbahasan Maqasid al-Syari’ah ke dalam maqasid al-syari’ah al-khassah tentang muamalat yang di dalamnya mengupas pelbagai isu-isu maqasid al-syari’ah, seperti maqasid al-syari’ah hukum keluarga, maqasid al-syari’ah penggunaan harta, maqasid al-syari’ah hukum perundangan dan lain-lain.

Dalam bukunya yang terdiri daripada satu pengantar dan tiga bab, beliau membahaskan dalam Bab Pertama berkaitan penetapan maqasid al-syari’ah, kredibiliti seorang ahli hukum Islam (faqih) untuk mengetahui dan cara menetapkan serta tahap-tahapnya. Kedua, tujuan syariah yang umum (maqasid al-syari’ah al-’ammah). Ketiga, tujuan syariah yang khusus (maqasid al-syari’ah al-khassah) yang berkaitan dengan pelbagai jenis pembahasan muamalah yang disebut dengan bab fiqh muamalah.

Berdasarkan definisi umum yang disampaikan oleh al-Syatibi, Ibn ‘Asyur cuba mendefinisi semula maqasid al-syari’ah sebagai makna dan hikmah-hikmah yang keberadaannya selalu diperhatikan oleh Allah dan Rasul-Nya pada setiap penciptaan hukum. Menurut beliau, perbahasan tentang maqasid al-syari’ah memiliki tujuan praktis bagi suasana pemikiran dan kehidupan sosial umat Islam ketika ini. Ini kerana, tujuannya adalah membantu umat Islam dengan memberikan aturan atau undang-undang terhadap pelbagai kepentingan dan kemaslahatan yang ada ketika munculnya pelbagai perkara baru dan kompleks, di samping untuk memutuskan sesuatu pendapat hukum ketika berlakunya perbezaan hujah setiap mazhab dan berlaku perdebatan sengit di antara para ulama.

Pujian Ulama Terhadap Syeikh Ibnu ‘Asyur

Ramai ulama memuji tokoh yang luar biasa ini dan beliau daripada keturunan ulama termasuk datuknya iaitu al-Syeikh al-Qadhi Muhammad al-Tahir Ibn ‘Asyur (1815-1868). Kitab tafsir dan maqasidnya telah mengangkat kedudukan Ibn ‘Asyur sebagai tokoh yang luar biasa dalam penguasaan ilmunya. Begitu juga, sifat keberanian dan hikmah yang kami nyatakan dalam mauqifnya jelas menggambarkan kehebatan Ibn ‘Asyur. Ramai ulama memuji Syeikh Ibn ‘Asyur, antaranya:

  • Syeikh Sa’id al-Kamali berkata, “Beliau adalah imam di kalangan tokoh mazhab Maliki, kedudukan ilmunya tidak dipertikaikan lagi. Daripada Muhammad bin Abu Bakar al-Silawi berkata, “Apabila disebut Syeikh Ibn ‘Asyur maka dikatakan beliau adalah ulama yang paling alim di utara Afrika.”
  • Syeikh Adnan Ibrahim memuji Ibn ‘Asyur dengan sifat istiqamahnya dan taufik hidayah yang dikurniakan Allah SWT dalam menulis kitab yang amat berfaedah. Sebahagian tulisannya tiada yang mendahulukannya. Gaya tulisan tafsirnya itu, berlainan dengan yang lain.
  • Syeikh Soleh al-Mughamisi, berkata, “Beliau seorang ulama Tunisia yang hebat, telah mengkaryakan tafsirnya al-Tahrir wa Tanwir. Beliau menulis kitab tersebut selama 39 tahun. Penulisan tafsirnya masih hidup dan sesuai sehingga zaman kini.”
  • Dr ‘Aidh al-Qarani berkata, “Syeikh Tahir Ibn ‘Asyur boleh jadi ulama yang paling masyhur dalam tempoh 100 tahun. Kitab tafsir beliau antara kitab tafsir yang terbaik di kalangan ulama mutakhirin.”
  • Syeikh Dr Khalid al-Sabt berkata, “Syeikh Ibn ‘Asyur merupakan gunung dalam ilmu, kitab tafsirnya jelas menunjukkan kaya dengan ilmu dan faedah. Beliau adalah seorang yang hidup bergelumang dengan ilmu dan menguasainya dengan sungguh-sungguh.”
  • Dr Abdul Rahman al-Syihri berkata, “Beliau memasukkan Syeikh termasuk di kalangan ahli tafsir yang terkenal.”

Mauqif Ibn Asyur

Antaranya mauqifnya ialah:

  • Syeikh Tahir Ibn Asyur dan Presiden Tunisia, Habib Bourguiba (الحبيب بورقيبة)

Presiden Tunisia Hamid Borkiba telah membuat satu peraturan untuk diikuti oleh khalayak rakyat iaitu tidak perlu berpuasa pada bulan Ramadhan kerana kesibukan bekerja dan pendapatan negara akan berkurangan. Beliau sendiri melalui kaca TV telah minum di khalayak ramai pada siang hari. Akhirnya, pihak pemerintah memohon fatwa dan pandangan kepada seorang ulama rabbani Syeikh Tahir Asyur.

Lantas, keesokan hari Syeikh Tahir Asyur berada di khalayak ramai dan menyampaikan ucapannya. Beliau memulakannya dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah:183)

Seterusnya, beliau berkata, “Sadaqallah wa kazaba Borkiba.” Maksudnya: “Benarlah Allah dan dustalah Borkiba,” sebanyak 3 kali. Akhirnya, peraturan dan undang-undang tersebut telah ditarik balik. Akhirnya, rakyat Tunisia terus dapat melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan dengan baiknya.

  • Khutbah Terpendek

Diriwayatkan bahawa Syeikh Ibn ‘Asyur telah menaiki mimbar Jamek al-Zaitunah selepas dia berjalan melalui kawasan pasar di ‘Atiq menuju ke masjid. Didapati ramai wanita yang berlebihan dalam berhiasan serta tidak menutup aurat. Inilah yang digalakkan oleh Presiden Borkiba yang amat membenci hijab dan akhirnya beliau mengeluarkan arahan secara rasmi.

Kemudian, beliau menaiki mimbar dan selepas tahmid dan puji Allah SWT, beliau berkata, “Wanita mana yang berada di pasar-pasar (isteri-isteri, anak-anak perempuan siapa) ini?” Dan dia mengulanginya beberapa kali.

Ini menyebabkan semua jemaah diam terbungkam di dalam Masjid jamek Zaitunah. Kemudian, Syeikh duduk dan bangkit seraya berkata, “Tiadalah kebaikan pada soalt kamu sedangkan wanita-wanita kamu bertelanjang. Dirikanlah solat.” Inilah khutbah yang paling pendek dalam sejarah Islam.

Mafhum daripada tindakan Ibn ‘Asyur ini jelas menunjukkan yang belaiu amat benci wanita yang bertabarruj dan tidak menutup aurat serta berjalan di pasar-pasar dengan bebasnya. Inilah Syeikh yang penuh dengan hikmah dan mempunyai keberanian yang luar biasa.

Kewafatan

Syeikh Tahir Ibn ‘Asyur meninggal dunia pada 13 Rejab 1393H bersamaan 12 Ogos 1973M ketika berusia 94 tahun. Beliau dikebumikan perkuburan Zalaj di Tunis. Beliau telah meninggalkan 6 orang anak empat lelaki dan dua wanita hasil perkahwinannya dengan Fatimah binti Naqib. Anak-anaknya ialah Murtada, Muhammad Fadil, Abdul Malik, Zainal Abidin, Safiah dan Umi Hani. Muhammad Fadil merupakan pensyarah di Universiti Zaitun dan menjadi Dekan Kuliah Syariah dan Usuluddin dan juga menjadi Mufti Tunis. Cucunya  seperti Abdul Aziz bin Abdul Malik dan Dr. Iyad bin Muhammad Fadil kini bekerja di Universiti Tunis.[8]

Penutup

Membaca sejarah Ibn ‘Asyur salah seorang tokoh ulama Tunisia yang terbilang mengingatkan kita kepada kehebatan Ibn Khaldun. Pengamatannya yang mendalam serta penguasaan ilmu yang meluas jelas menunjukkan betapa Ibn ‘Asyur menjadi tokoh yang cukup terkenal lagi hebat. Begitu juga, keberaniannya dan hikmah yang dimilikinya menjadikan beliau ulama yang amat disegani oleh masyarakat bahkan pemerintah.

Walaupun beliau hidup dalam zaman penjajahan, tetapi beliau sekali-kali tidak menggadaikan prinsip. Beliaulah yang layak untuk dianggap sebagai rijal sebagai mana firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

Surah al-Ahzab (23)

Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50).

Semoga Allah SWT merahmatinya dan menempatkannya dalam kalangan para anbiya’ syuhada’ dan solihin.

[1] Lihat Muhammad Tahir Bin ‘Asyur (Ibn ‘Asyur) (1878-1970M) :Tokoh Tafsir dan Ilmu Maqasid dari Tunisia oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali

[2] Lihat Muhammad Tahir Bin ‘Asyur (Ibn ‘Asyur) (1878-1970M) :Tokoh Tafsir dan Ilmu Maqasid dari Tunisia oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali

[3] Lihat Muhammad Tahir Bin ‘Asyur (Ibn ‘Asyur) (1878-1970M) :Tokoh Tafsir dan Ilmu Maqasid dari Tunisia oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali

[4] http://journalarticle.ukm.my/13576/1/53-92-1-SM.pdf

[5] http://journalarticle.ukm.my/13576/1/53-92-1-SM.pdf

[6] http://journalarticle.ukm.my/13576/1/53-92-1-SM.pdf

[7] http://journalarticle.ukm.my/13576/1/53-92-1-SM.pdf

[8] Lihat Muhammad Tahir Bin ‘Asyur (Ibn ‘Asyur) (1878-1970M) :Tokoh Tafsir dan Ilmu Maqasid dari Tunisia oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *