#30 Maruah Malaysia Dihina Kumpulan 1975

Mukadimah

Baru-baru ini, setepatnya pada Jumaat, 21 Julai 2023 telah diadakan satu persembahan oleh kumpulan muzik luar negara yang dikenali sebagai 1975 dalam Good Vibes Festival. Ia telah mengundang pelbagai reaksi oleh semua pihak mengikut pertimbangan masing-masing. Kami mengambil kesempatan di sini untuk menyatakan pendirin kami memandangkan isu sudah beberapa kali berulang sejak sebelum ini.

Kesilapan-kesilapan sebegini biasanya berulang kali skripnya; setelah timbul kekecohan, biasanya “tersedar” dalam seketika tempoh dan waktu, kemudian “terlupa” kembali. Bak kata pepatah, “Sudah terhantuk baru terngadah.”  Pada ketika itulah barulah cuba dilihat semula garis panduan dan pelbagai lagi hal. Berdegar-degar seketika media sosial dengan kenyataan demi kenyataan. Tak sampai beberapa minggu – percayalah –  isu tersebut akan terpadam begitu sahaja. Lebih memalukan, segelintir pihak pula membentangkan pelbagai justifikasi untuk menghalalkan tindakan bagi membenarkannya.

Kami tidak bercakap politik kerana pemimpin politik datang dan pergi di sesebuah kementerian. Namun sesiapa sahaja yang menerajui kementerian berkaitan, perlu lebih cakna akan hal-hal sebegini.

Setelah meneliti video yang tular, kami bahagikan masalah 1975 kepada enam perkara utama:

  1. Lirik dan lagunya. 
  2. Aksinya bercium sesama lelaki di khalayak.
  3. Mempromosikan seks bebas dan LGBTQ+
  4. Ucapan carut-marut dan makian Matt Healy.
  5. Merosakkan dron
  6. Mabuk, minum  arak, dan meludah di atas pentas.

Keenam-enam perkara di atas membuktikan maruah Malaysia “dibakulsampahkan” atas nama hak kebebasan bersuara. Atas asas itu, saya berpandangan bahawa 1975 pada hakikatnya telah merendahkan maruah Malaysia dan rakyatnya yang mempunyai tamadun dan adab yang tinggi.

Seni Kita, Seni Berbudaya

Al-Qur’an diturunkan dalam masyarakat yang amat mengagungkan kesenian dan keindahan puisi. Pemuisi mendapat tempat dan status yang tinggi dalam kalangan masyarakat Arab Jahiliyyah, sebaris dengan ahli sihir atau pawang yang mampu mengujakan masyarakat dengan pidato mereka, dengan bantuan jin. 

Ada satu kisah yang masyhur tentang al-Farazdaq, seorang pemidato dan penyair terkenal Arab pada abad ke-7. Pada satu hari, beliau didatangi seorang lelaki yang mendeklamasikan puisinya dan meminta pandangan al-Farazdaq. Kata al-Farazdaq, “Syair ini ada dua jin yang bersamanya; al-hawbar (puisi akan menjadi indah dengannya) dan al-hawjal (puisi menjadi buruk dengannya).” Menurut al-Farazdaq, syair lelaki tersebut ada al-hawbar pada bahagian pertama puisinya dan ada al-hawjal pada bahagian akhirnya. Betapa teruknya syair lelaki tersebut.

Antara syair yang masyhur pada zaman Arab Jahiliyyah adalah al-Mu’allaqat / Diwan al-Mu’allaqat / al-Mu’allaqat al-Sab’ah; 7 buah puisi yang digantung pada Kaabah kerana keindahannya dengan anugerah raja pemuisi jatuh kepada Imru’ al-Qays. Maka, tidak hairanlah apabila Rasulullah SAW melantunkan wahyu-wahyu-Nya, masyarakat Jahiliyyah memanggil Baginda sebagai tukang sihir kerana keindahan ayat-ayat al-Qur’an yang mengalahkan puisi-puisi terindah di zaman itu.

Pada masa Arab Jahiliah, selain alam, objek lain yang paling utama dalam syairArab adalah wanita yang digambarkan dalam bentuk tasybih, majaz dan isti’arah. Mungkin tak perlu kami bawakan di sini kerana sebahagiannya agak lucah dan keterlaluan dalam menggambarkan kecantikan wanita seperti puisi ‘Amr bin Kulthum, dan pujaan kepada arak serta kemabukan dalam puisi ‘Antarah ibn Syaddad.

Syair Arab pada era Islam pula pelbagai temanya. Memahami keperluan lirik yang berunsur positif dan patuh syariah, sebenarnya memberikan penulis lirik lebih ruang untuk berkreativiti. Sebagai contoh, syair Banat Su’ad yang dicipta oleh Ka’ab bin Zuhair. Beliau pada asalnya tidak disukai oleh Nabi SAW kerana sikapnya, namun syair tersebut menjadikan Baginda SAW kasih kepadanya. Apatah lagi beliau memeluk Islam selepas itu. Contoh lain adalah puisi-puisi dalam Diwan al-Imam al-Syafie.  Baginda SAW juga digambarkan bak bulan purnama dalam hadis. Jadi, perlambangan ini hal yang sangat lazim dalam dunia kesenian syair Islam.

Kedua-duanya ada mengetengahkan elemen tasybih (penyerupaan manusia dengan haiwan, hal yang abstrak atau sesuatu yang tidak bernyawa) atau boleh juga dikatakan personifikasi. Ka’ab bin Zuhair mengumpamakan Rasulullah SAW seperti singa dan cahaya. Di awal syair menceritakan tentang kesedihan seorang ditinggalkan kekasih. Digambarkan kekasih itu seperti cantiknya kijang, dengan perlambangan fizikal yang mendalam. Dalam Diwan al-Imam al-Syafie , Imām al-Shāfiʿī ada menyamakan manusia dengan masa, dunia, nafsu, hari.

Kami nukilkan pandangan Dr Yusuf al-Qaradhawi berkenaan dengan hiburan dan melapangkan diri antara lain menyatakan:

Antara hiburan yang menyenangkan jiwa, melapangkan dada dan memberikan nikmat kepada halwa telinga ialah nyanyian. Islam membolehkan nyanyian selama mana ianya tiada unsur maksiat, kata-kata yang kotor, lirik yang lucah dan menghasut kepada penyelewengan akidah. Tidak mengapa jika ianya diiringi dengan alat-alat muzik yang tidak membangkitkan syahwat.

Malah digalakkan juga upacara-upacara yang menggembirakan untuk menampakkan perasaan suka dan riang untuk menghiburkan jiwa umpamanya pada Hari Raya, hari perkahwinan, aqiqah dan hari menyambut kelahiran bayi.

Daripada Aisyah R.Anha berkata:

 أَنَّهَا زَفَّتِ امْرَأَةً إِلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:‏‏ يَا عَائِشَةُ! مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ؟ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ ‏‏‏.‏

Maksudnya: “Bahawasanya beliau membawa seorang pengantin perempuan untuk dihantar kepada seorang lelaki daripada kaum Ansar, kemudian Nabi SAW bersabda: “Wahai ‘Aisyah, apakah kamu semua tidak mempunyai hiburan untuk dimainkan? Sesungguhnya orang-orang Ansar menyukai hiburan.”

Riwayat al-Bukhari (5162)

Ibn Abbas R.Anhuma berkata:

أَنْكَحَتْ عَائِشَةُ ذَاتَ قَرَابَةٍ لَهَا مِنَ الأَنْصَارِ، فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ  صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ،  فَقَالَ :‏ أَهْدَيْتُمُ الْفَتَاةَ؟‏ قَالُوا: نَعَمْ .‏ قَالَ ‏:‏ أَرْسَلْتُمْ مَعَهَا مَنْ يُغَنِّي؟ قَالَتْ: لاَ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏:‏ إِنَّ الأَنْصَارَ قَوْمٌ فِيهِمْ غَزَلٌ، فَلَوْ بَعَثْتُمْ مَعَهَا مَنْ يَقُولُ: أَتَيْنَاكُمْ أَتَيْنَاكُمْ… فَحَيَّانَا وَحَيَّاكُمْ. 

Maksudnya: “Aisyah R.Anha pernah mengatur satu upacara perkahwinan salah seorang kerabatnya daripada kaum Ansar. Lalu datang Rasulullah SAW bertanya kepadanya: Apakah sudah engkau berikan hadiah kepada pengantin perempuan itu? Jawabnya: Sudah. Baginda SAW bertanya lagi: Sudahkah kamu aturkan seseorang untuk menyanyi di sana? Jawabnya: Tidak. Maka Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya kaum Ansar itu suka kepada nyanyian Ghazal (sambut menyambut), kalau dapat seorang yang bernyanyi seperti, “Kami datang kepada kamu! Kami datang kepada kamu! Selamat bagi kami, selamat bagi kamu!”

Riwayat Ibn Majah (1900)

Di dalam sebuah hadis yang lain, daripada Aisyah R.Anha berkata:

أَنَّ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، دَخَلَ عَلَيْهَا، وَعِنْدَهَا جَارِيَتَانِ فِي أَيَّامِ مِنًى (فِي عِيدِ الأَضْحَى) تُغَنِّيَانِ، وَتُدَفِّفَانِ، وَتَضْرِبَانِ، وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَغَشٍّ بِثَوْبِهِ، فَانْتَهَرَهُمَا أَبُو بَكْرٍ، فَكَشَفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ وَجْهِهِ، فَقَالَ: «دَعْهُمَا يَا أَبَا بَكْرٍ، فَإِنَّهَا أَيَّامُ عِيدٍ». وَتِلْكَ الأَيَّامُ أَيَّامُ مِنًى

Maksudnya: “Bahawa Abu Bakar RA masuk menemuinya (Aisyah), dan di sisinya terdapat dua orang hamba perempuan, dan waktu itu adalah hari-hari Mina. Kedua hamba itu menyanyi, memainkan duff (rebana) dan memukulnya (rebana) tersebut. Manakala Nabi SAW sedang (dalam keadaan) menutupi diri dengan kainnya. Abu Bakar memarahi mereka berdua. Lalu Nabi SAW menyingkap kain daripada wajahnya dan bersabda: “Biarkanlah mereka berdua wahai Abu Bakar, sesungguhnya ia adalah hari-hari perayaan.” Dan hari-hari itu adalah hari-hari Mina (Aidiladha).”

Riwayat al-Bukhari (3529) dan Muslim (892)

Imam al-Ghazali Rahimahullah telah menyebut dalam kitabnya Ihya Ulumiddin beberapa hadis tentang nyanyian dua orang jariah ini, juga tentang permainan pedang orang-orang Habsyi di Masjid Nabi SAW dan betapa Nabi SAW sendiri telah menggalakkan mereka untuk bermain-main pedang dengan berkata: Tunjukkanlah permainan kamu wahai kaum Arfidah! Kemudian Nabi SAW bertanya kepada Aisyah R.Anha: Apakah kamu mahu melihat orang-orang Habsyi bermain pedang Kemudian Baginda SAW sendiri telah menemani Aisyah R.Anha untuk melihat permainan itu sehingga Aisyah R.Anha berasa puas dan jemu, kemudian Baginda SAW membiarkan Aisyah R.Anha bermain-main boneka dengan kawan-kawannya. Imam al-Ghazali mengatakan semua hadis-hadis tersebut di dalam Sahih Bukhari dan Muslim.

Jelaslah di sini bahawa adanya nas yang sahih yang menunjukkan nyanyian dan hiburan seumpama ini tidaklah diharamkan dalam Islam.

Meneliti “persembahan” Matt Healy tempohari, saya hanya melihat kerendahan akhlak dan moral universal serta bercanggah dengan nilai-nilai ketimuran pada mereka. Peminat yang membayar sejumlah besar wang untuk menyaksikan persembahan, tetapi apa yang mereka dapat hanyalah aksi berkucupan dengan Ross MacDonald, di samping memegang botol arak dan menghamburkan kata-kata yang amat tidak bermoral kepada negara dan kerajaan. Itu tidak termasuk perbuatan menghancurkan dron yang mungkin milik peminatnya. Isu seperti ini amat berat untuk ditelan kerana ia melibatkan penghinaan terhadap negara dan perlembagaan negara serta undang-undangnya. 

Kami amat kesal dan sedih apabila dengan mudah Malaysia diperhina sedemikian rupa. Ini adalah tindakan yang amat biadab. Saya berkeyakinan, tidak ada rakyat Malaysia yang akan berkelakuan seperti itu di khalayak ramai di dalam negaranya apatah lagi di negara luar. Saya ingin sama-sama ingatkan kita tentang bala dan hukuman daripada Tuhan. Firman Allah SWT:

وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.

Surah al-Anfal (25)

Daripada Zainab bin Jahsyim R.Anha: “Bahawa Rasulullah SAW keluar dari rumahnya dalam keadaan amat serius seraya bersabda: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah SWT. Celakalah orang Arab daripada kejahatan yang hampir tiba. Hari ini telah terbuka sebahagian tembok Ya’juj dan Ma’juj seperti ini. Lantas Nabi mengisyaratkan bulatan dengan dua jarinya iaitu jari telunjuk dan jari ibu. Zainab binti Jahsy berkata: Aku bertanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ؟ قَالَ: نَعَمْ، إِذَا كَثُرَ الْخَبَثُ.

Maksudnya: Hai Rasulullah SAW, adakah kami akan binasa sedangkan di sisi kami ada orang-orang yang soleh. Jawab Baginda SAW: Ya, jika sekiranya banyak kejahatan.”

Riwayat al-Bukhari (3346) dan Muslim (7416)

Jumhur ulama menafsirkan makna “الْخَبَثُ” dengan kefasikan dan perbuatan dosa. Dikatakan juga bahawa ia bermaksud zina dan dikatakan juga anak zina. Akan tetapi, yang zahirnya adalah maksiat keseluruhannya. Tambahan pula, Imam al-Nawawi berkata makna hadis ini adalah apabila maksiat tu berleluasa maka ia boleh mendatangkan kemusnahan secara amnya walaupun pada tempat tersebut terdapat orang-orang yang soleh. (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 3-4/18)

Harapan kami agar peristiwa seperti ini adalah kali terakhir berlaku di bumi Malaysia. Kami tidak fikir kita akan menerima lagi alasan daripada pihak yang bertanggungjawab dan berautoriti bersalah dalam meluluskannya atau tersilap atau di luar jangka dan sebagainya. 

Syor dan Cadangan

Isu-isu sebegini sewajarnya dipandang tegas dan serius oleh pihak Kerajaan khususnya yang berautoriti. Ini kerana implikasinya teramat banyak kepada Malaysia, masyarakatnya sementelahan anak-anak muda yang menjadi benteng negara. Amat tidak patut sama sekali konsert atau persembahan seperti ini dibenarkan. Kami syorkan di sini kepada pihak berautoriti:

  • Sebarang konsert antarabangsa yang ingin dianjurkan oleh mana-mana pihak, perlulah disaring sebaiknya. Mana-mana kumpulan muzik yang mempunyai sejarah yang bermasalah dari apa-apa sudut terkait Malaysia seperti 3R, atau yang bercanggah dengan pendirian Kerajaan walaupun berbeza dengan negara-negara lain seperti mempromosi LGBTQ+, hendaklah dilarang untuk memasuki negara.
  • Saya meraikan tindakan Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) yang dikhabarkan akan menyerahkan satu garis panduan baharu berkaitan penganjuran konsert antarabangsa kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pada minggu hadapan.
  • Dalam masa yang sama, perlu satu pelan tindakan yang jelas sekiranya sesebuah konsert turut melibatkan penggerai yang berniaga sepanjang konsert. Kita tidak mahu berlaku kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Para penggerai perlu mendapat keadilan sewajarnya sekiranya sesebuah konsert dibatalkan.

Penutup

Islam sebagai agama persekutuan di Malaysia sentiasa meraikan hak kehidupan masyarakat pelbagai bangsa dan agama. Kebebasan bersuara, beragama dan lain-lain diberikan seluas-luasnya dengan prinsip Rukun Negara dihormati. Kepatuhan itu lebih-lebih lagi terpakai kepada orang luar yang ingin bertandang. Peradaban dan akhlak kita tidak serendah itu untuk kita bertolak ansur atas perlakuan mereka.

Semoga Allah SWT mengampunkan dosa dan kekhilafan kita.

اللهم إنا نسألك العافية في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللهم إنا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنَ أَيْدِينَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *